Search This Blog

Wednesday, June 24, 2015

Satu Silo Petronas Di Kerteh Terbakar


Diterbitkan: Rabu, 24 Jun 2015 12:27 PM

KUALA LUMPUR: Kebakaran dilaporkan berlaku di sebuah daripada silo (kapal penyimpanan produk perantaraan) Petronas Chemicals LDPE Sdn. Bhd (PC LDPE) di Kertih kira-kira pukul 5 petang, Selasa.
Menurut kenyataan daripada Petronas, kebakaran itu hanya di PC LDPE dan tidak menjejaskan pengeluaran di kilang PCG yang lain.
"Kebakaran berjaya dikawal dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan. Semua pihak berkuasa berkaitan telah dimaklumkan mengenai insiden itu," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu juga menjelaskan bahawa tiada ancaman serta-merta kepada kakitangan di lokasi kejadian atau masyarakat sekeliling.
Siasatan akan dijalankan untuk mengenal pasti punca kebakaran dan jumlah kerosakan ke atas harta benda, katanya.
Sementara itu, Pegawai Zon 2, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Terengganu, Azmi Abdul Rahim ketika dihubungi Bernama berkata sejurus menerima panggilan mengenai kebakaran berkenaan, pihaknya menghantar sebanyak 35 anggota termasuk unit Hazmat bersama tiga jentera bomba ke tempat kejadian.
Katanya sehingga pukul 9 malam tadi pihaknya telah berjaya mengawal dan memadam api berkenaan namun masih ada tindak balas daripada bahan yang terbakar itu.
"Kami telah menjalankan operasi pemadaman dan penyejukan bagi mengelakkan bahan-bahan kimia yang diproses itu kembali aktif dan menyebabkan kebakaran lagi," katanya.
Beliau berkata, pihak pengurusan kilang itu berjaya menutup injap paip yang terbakar bagi mengawal api daripada merebak ke kawasan lain.--Bernama

Wanita Meninggal Dunia Jatuh Dari Tingkat 21 Wisma Sanyan


Diterbitkan: Rabu, 24 Jun 2015 5:32 PM
Wisma Sanyan

SIBU: Seorang wanita berusia 46 tahun meninggal dunia selepas jatuh dari tingkat 21 Wisma Sanyan pada Rabu.

Dalam kejadian pukul 6.50 pagi, wanita dengan nama keluarga Tiong itu ditemui mati di tempat letak kereta bangunan tersebut.

Ketua Polis Daerah ACP Mohd Kamal Kordi percaya bahawa wanita itu telah membunuh diri.

Namun mereka masih menyiasat punca sebenar kematiannya.

Wisma Sanyan mempunyai 28 tingkat.

Ragut pelancong asing, remaja dicekup

PDRM

KUALA LUMPUR - Seorang remaja lelaki yang menjadikan pelancong asing sebagai sasaran ragut dicekup selepas cuba merampas beg tangan milik warga Australia, 21 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, kejadian disedari anggota bertugas yang ketika itu sedang melakukan rondaan berkala di Jalan Conlay kira-kira jam 10.15 pagi.
“Mangsa bersama suaminya secara tiba-tiba didatangi dua lelaki bermotosikal. Suspek (pembonceng) cuba menarik beg tangan mangsa, namun berlaku tarik menarik menyebabkan motosikal ditunggang rakannya terjatuh.
“Polis kemudiannya bertindak pantas menahan remaja berusia 19 tahun itu. Seorang lagi rakan suspek larikan diri dan tinggalkan motosikal di lokasi,” katanya.
Katanya, kedua pelancong Australia berusia 60 tahun, berkunjung ke negara ini selama seminggu sebelum peristiwa malang itu menimpa mereka.
Dalam pada itu, Zainol berkata, hasil siasatan mendapati remaja terbabit mengaku terlibat dalam tiga kes ragut sejak awal bulan ini membabitkan pelancong asing.
“Suspek turut menjadikan kawasan sekitar Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) dan Jalan Kia Peng sebagai lokasi sasaran ragut.
“Ujian air kencing juga mengesahkan suspek positif syabu. Turut dirampas sebuah motosikal, beg tangan dan beberapa keping mata wang Thailand,” katanya.

Maut, motosikal langgar lembu

Maut, motosikal langgar lembu
Keadaan mangsa ketika dirawat di Hospital Kemaman sebelum meninggal dunia.

KEMAMAN – Selepas hampir 36 jam bertarung nyawa, seorang bapa meninggal dunia akibat cedera parah di kepala setelah motosikal ditunggang terlanggar lembu di jalan pintasan Seri Bandi-Ibok, di sini.

Mangsa, Mohd Ismail Jusoh, 41, yang bekerja di syarikat swasta menghembuskan nafas akhir jam 6 pagi kelmarin ketika menerima rawatan di Hospital Kemaman.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Normansah Din berkata, kemalangan berlaku lebih kurang jam 6.30 petang, Sabtu lalu ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Ibok dari arah Seri Bandi.

Mangsa yang tinggal di Rumah Murah Ibok dan punyai seorang anak berusia 6 tahun, ketika kejadian menunggang Yamaha Ego LC.

“Bagaimanapun ketika tiba di lokasi kejadian mangsa dipercayai tidak sempat mengelak selepas sekumpulan lembu melintas secara tiba-tiba.

“Berikutan itu mangsa tercampak ke atas jalan dan alami kecederaan parah di kepala sebelum dikejarkan ke Hospital Kemaman,” katanya.

Ketika kejadian, kebetulan ambulans dari Klinik Kesihatan Seri Bandi melalui laluan itu dan bertindak membawa mangsa segera ke hospital.

Normansah berkata, disebabkan keadaannya yang kritikal, mangsa meninggal dunia selepas tiga hari dirawat hospital dan punca kematian akibat kecederaan parah pada kepala.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 manakala jenazah pula dituntut keluarga pagi kelmarin sebelum dikebumikan pada tengah hari di Ibok.

Gadis dirogol tiga lelaki

Rogol

SUBANG JAYA - Tindakan seorang gadis berusia 15 tahun menerima pelawaan tiga lelaki untuk bersiar-siar mengundang padah apabila dia dirogol secara bergilir-gilir di sebuah hotel di sini, baru-baru ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam, mangsa  dikatakan duduk di tingkat bawah sebuah pangsapuri di Petaling Jaya sebelum didatangi tiga lelaki termasuk satu pasangan kembar.
Sumber berkata, suspek bersembang selama beberapa jam dengan mangsa sebelum mengajaknya bersiar-siar menaiki sebuah kereta jenis Myvi.
Mangsa bersetuju dan dibawa ke sebuah hotel di Subang Jaya kira-kira jam 4.15 pagi, suspek mendaftar masuk dan membawa mangsa ke sebuah bilik.
“Tiba di bilik, seorang daripada suspek terus membuka baju serta seluar mangsa, sementara dua rakan suspek menunggu di luar,” katanya.
Setelah selesai, pasangan kembar yang menunggu di luar pula masuk dan merogol mangsa secara bergiir-gilir tanpa belas kasihan.
“Kesemua mereka tidak mempedulikan jeritan mangsa, disebabkan tidak bermaya mangsa tidak mampu melawan perbuatan suspek terhadapnya,” kata sumber itu.
Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Subang Jaya, polis berjaya memberkas ketiga-tiga suspek untuk tindakan selanjutnya.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli ketika dihubungi Sinar Harian memberitahu pihaknya ada menerima laporan daripada mangsa.
Tangkapan dibuat terhadap ketiga-tiga suspek namun selepas beberapa hari, mangsa menarik balik laporan dibuat.

Makmal dadah terbongkar, tujuh ditahan

dadah

JOHOR BAHRU - Polis membongkar dua makmal memproses dadah dan menahan tujuh individu dalam serbuan di tiga lokasi di bandar raya ini, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Rusli Ahmad berkata, bertindak atas maklumat polis menahan seorang lelaki dan wanita tempatan pada 12.05 malam di Taman Pelangi, di sini, manakala seorang wanita rakyat Vietnam di Taman Century, di sini.

"Pemeriksaan ke atas premis di Taman Pelangi yang menjadi makmal memproses dadah itu menemui serbuk ecstasy seberat 766.45 gram, serbuk putih disyaki dadah seberat 1.18 kilogram serta pelbagai peralatan memproses dadah," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Rusli berkata, lanjutan penahanan ketiga-tiga mereka, polis menyerbu sebuah premis di Taman Bayu Puteri, di sini, sejam kemudian dan menahan empat lagi lelaki.

Beliau berkata, pemeriksaan di premis yang turut dijadikan makmal memproses dadah itu menemui 270 pil ecstasy, 830.85 gram serbuk ecstasy serta 736.9 gram serbuk putih disyaki dadah.

Katanya kesemua tujuh individu yang direman selama seminggu berumur 24 hingga 36 tahun dengan tiga daripadanya positif dadah manakala seorang lagi mempunyai enam rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah.

Menurut Rusli, kesemua serbuk berkenaan boleh diproses untuk menghasilkan kira-kira 12,000 biji pil bernilai RM550,000 yang dipercayai untuk edaran pasaran tempatan dan polis percaya kegiatan memproses dadah terbabit aktif sejak setahun lepas.

Dalam kes lain, Rusli berkata pihaknya menyelesaikan sekurang-kurangnya enam kes curi motosikal di sekitar Skudai, di sini, dengan penahanan empat lelaki di sebuah rumah di Taman Ungku Tun Aminah, di sini, semalam.

"Serbuan terhadap kesemua suspek yang berumur 18 hingga 22 tahun itu dilakukan pada jam 3.30 petang dan pemeriksaan menemui 66 komponen motosikal yang dileraikan bersama lima enjin motosikal yang masih baru serta berminyak," katanya.

Beliau berkata tiga daripada lelaki itu positif dadah dan kesemua mereka kini direman untuk siasatan lanjut berhubung kegiatan mencuri motosikal serta penjualan komponen motosikal curi. - Bernama

Wanita maut melintas jalan dilanggar dua kereta

kemalangan

JOHOR BAHRU - Seorang wanita pejalan kaki maut selepas dilanggar dua kereta ketika melintas jalan di Km31.5 Jalan Kluang-Ayer Hitam, berhampiran Taman UPC, Ayer Hitam, dekat Batu Pahat, pagi ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Kominsioner Din Ahmad berkata, dalam kemalangan 6.50 pagi itu, mangsa, Soo Yi Jing, 24, dari Taman UPC, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di paha, badan dan kepala.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila Yi Jing yang sedang melintas jalan dilanggar sebuah kereta dari arah Batu Pahat yang menyebabkannya tercampak ke laluan bertentangan.

"Yi Jing seterusnya dilanggar pula sebuah Proton Saga dan diseret ke tepi jalan," kata Din.

Beliau berkata, kereta pertama yang melanggar Soo masih gagal dikesan dan tiada saksi ketika kejadian berlaku.

Katanya, mayat Yi Jing kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat untuk bedah siasat. - Bernama

Maut balik hantar kuih ke rumah nenek

kemalangan

BACHOK - Seorang remaja maut akibat dirempuh kereta selepas menghantar kuih ke rumah neneknya di Kampung Sri Sentosa, Beris Kubur Besar di sini malam tadi.

Motosikal yang ditunggang Mohamad Amirul Shariff Kamsan, 16, dilapor dirempuh dalam kejadian 7.45 malam itu ketika dia dalam perjalanan pulang dari rumah neneknya, kira-kira 500 meter dari tempat kejadian.

Ibunya Norliza Ismail, 46, berkata beliau diberitahu mengenai kemalangan itu  kira-kira lima minit sebelum waktu berbuka dan segera ke tempat kejadian.

"Sebaik saya tiba di tempat kejadian, saya dapati arwah anak saya dalam keadaan 'nyawa-nyawa ikan' dan saya sempat memohon maaf dan memaafkan kesalahannya.

"Sebaik habis azan maghrib, arwah menghembuskan nafas terakhirnya," katanya.  

Menceritakan perangai pelik anaknya sebelum kemalangan, Norliza berkata seminggu sebelum ini, anaknya yang mesra dengan panggilan 'angah' lebih bersikap pendiam berbanding kebiasaannya selain kurang berselera ketika bersahur sehari sebelum kemalangan.

Anggota keluarga yang lain dan rakan-rakan anaknya turut memberitahu anaknya telah memohon maaf daripada mereka dan memberitahu dia mungkin tidak sempat
berhari raya bersama mereka kali ini, katanya.

Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Beris Kubur Besar pada pukul 3 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Bachok, DSP Abdul Hamid Che Ahmad berkata mangsa yang datang dari arah Kota Baharu menuju Bachok dilapor membuat pusingan U secara
tiba-tiba sebelum dilanggar. - Bernama

Tiga sekeluarga maut nahas jalan raya di Rompin

Tiga sekeluarga maut nahas jalan raya di Rompin
Keadaan kereta yang mengorbankan tiga sekeluarga Nor Hafizah Md Nor, 27, ibunya Joharia Darus, 65, dan anak saudara Muhammad Farish Ashraf Mohd Faizul, 3, selepas bertembung dengan sebuah lori di Jalan Shah Bandar Keratong Tiga petang semalam. - Foto Bernama

KUANTAN - Tiga maut manakala tiga lagi parah selepas kereta jenis Perodua Alza yang dinaiki enam sekeluarga itu bertembung dengan sebuah lori di Jalan Shah Bandar Keratong 3, Bandar Tun Razak dekat Rompin petang semalam.

Mangsa yang terbunuh ialah pemandu kereta, Nor Hafizah Md Nor, 27, dari Felda Keratong 5, ibunya Joharia Darus, 65, (penumpang belakang) dan anak saudara pemandu, Muhammad Farish Ashraf Mohd Faizul, 3, (penumpang belakang).

Sementara, mangsa yang cedera parah ialah adik Nor Hafizah iaitu Norizati Md Nor, 26, (penumpang hadapan) serta dua lagi anak saudara pemandu iaitu Muhammad Affar Firdaus Mohd Zaidi, 3, dan adiknya Muhammad Aflan Arif Mohd Zaidi, 2.

Ketua Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang DSP Mohd Noor Yusof Ali berkata pemandu lori berkenaan, Mohd Nur Faizani, 33, hanya mengalami kecederaan ringan.

"Nahas 4.15 petang itu berlaku semasa enam sekeluarga itu dalam perjalanan dari arah Bandar Tun Razak menuju ke Keratong 5.

"Sampai di tempat kejadian, pemandu kereta terbabit dipercayai gagal mengawal kenderaannya dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori tersebut.

"Akibat perlanggaran itu, kereta yang dinaiki mangsa berpusing dan terbabas ke bahu kanan jalan manakala lori tersebut berhenti di tengah-tengah jalan," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata tiga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat.

Katanya Norizati dihantar ke Hospital Segamat, manakala dua lagi mangsa yang turut parah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk rawatan lanjut. - Bernama

Gelombang panas Pakistan, kematian cecah 700 orang

Gelombang panas Pakistan, kematian cecah 700 orang
Beribu-beribu penduduk di rawat di hospital dan berada dalam keadaan serius.

KARACHI - PAKISTAN. Perdana Menteri Pakistan, Nawaz Sharif mengumumkan langkah-langkah kecemasan selepas angka kematian akibat gelombang panas yang melanda selatan wilayah Sindh mencecah 700 orang.

Pihak berkuasa Pengurusan Bencana Negara (NDMA) berkata, pihaknya telah menerima arahan daripada Perdana Menteri untuk mengambil tindakan segera menghadapi krisis ini.

Ini berikutan selepas, Setiausaha Kesihatan Wilayah Sindh, Saeed Mangnejo berkata, 612 mangsa maut di hospital kerajaan di bandar Karachi sejak empat hari lalu manakala 80 yang lain dilaporkan maut di hospital swasta.

Manakala beribu yang lain masih dirawat dan berada dalam keadaan serius.

Kebanyakan mangsa terdiri daripada warga tua dan keluarga yang berpendapatan rendah.

Sementara itu, pegawai kerajaan dikritik kerana tidak melakukan tindakan yang sewajarnya untuk menghadapi krisis ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Gelombang haba ragut nyawa 335 orang di India]

Beberapa penduduk berang dengan tindakan pihak berkuasa yang telah menghadkan penggunaan pendingin hawa dan kipas.

Menurut laporan BBC, cuaca panas bukanlah perkara luar biasa di Pakistan, namun perkara ini diburukkan lagi dengan tindakan pemotongan bekalan.

Beberapa tunjuk perasaan diadakan di Karachi di mana penduduk berang dan menyalahkan kerajaan dan badan utiliti Karachi, K Electric kerana kegagalan untuk membekalkan bekalan mencukupi bagi mengelakkan kematian.

AS tahan 1,140 pesalah seks kanak-kanak


Washington: Amerika Syarikat mendakwa menahan 1,140 orang kerana kesalahan seksual berkaitan kanak-kanak melalui operasi besar-besaran bagi melindungi kanak-kanak.

Menurut Jabatan Kehakiman Amerika semalam, penahanan mereka dilakukan melalui operasi dua bulan pada April dan Mei lalu, bagi menjejak pesalah yang menggunakan Internet bagi memikat remaja untuk digunakan dalam pemerdagangan seks, bahan lucah kanak-kanak serta mereka yang ke luar negara mencari pelancongan seks kanak-kanak.

Penahanan itu sebahagian daripada Operasi Patah Hati yang tahun lalu, menyaksikan 275 orang ditahan kerana kesalahan itu.

Di Texas, 17 lelaki didakwa kerana pelbagai kesalahan, termasuk ‘mengintip’ kanak-kanak di Internet untuk seks dan memiliki atau mengedarkan bahan lucah kanak-kanak. Antara yang ditahan di Texas itu termasuk tiga tentera dan seorang bekas pekerja Boys and Girls Club. - Reuters



Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2015 @ 3:14 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/59595#sthash.qvqIZTpz.dpuf

Gempa bumi kuat di Kepulauan Bonin, Jepun


Kuala Lumpur: Gempa bumi kuat berukuran 6.0 pada skala Richter melanda Kepulauan Bonin di Jepun iaitu gugusan pulau terletak kira-kira 1,000 kilometer (KM) ke selatan Tokyo, pada 8.18 malam tadi.

Jabatan Meteorologi Malaysia, dalam kenyataan, memaklumkan pusat gempa bumi itu terletak 817 KM tenggara Hamamatsu, Jepun dan 3,342 KM dari timur laut Sandakan, Sabah.

Bagaimanapun, gempa bumi itu tidak membawa ancaman tsunami.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2015 @ 10:00 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/59628#sthash.NNl4MoEu.dpuf

Kereta ‘lawan’ lori tangki

Port Dickson: Seorang lelaki berusia 40-an terselamat walaupun kereta dipandu bertembung lori tangki gas petroleum cecair (LPG) di Jalan Lukut-Tanah Merah, berhampiran ladang kelapa sawit, dekat sini, pagi tadi.
Kejadian 9.25 pagi itu berlaku apabila lori tangki dipandu seorang lelaki berusia 40-an dari Sepang ke Lukut terbabas dan bertembung dengan kereta itu.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Pegawai Bomba Kanan II Sulong Addin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 9.29 pagi dan ke tempat kejadian bagi membantu mengeluarkan pemandu kereta yang tersepit.
Katanya, turut membantu operasi menyelamat ialah sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sepang serta tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban kerana khuatir berlaku kebocoran gas dari lori tangki berkenaan.
Pemandu kereta cedera dan dibawa ke hospital manakala pemandu lori tidak cedera, dan setakat ini tiada kebocoran gas berlaku.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2015 @ 2:09 PM


Lori tangki LPG yang terbalik dan kereta yang terbabit kemalangan. FOTO Mohd Khidir Zakaria
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/59586#sthash.gC6mt1qy.dpuf

Dua beradik redah api selamatkan nenek lumpuh

GEORGETOWN: Dua beradik nekad meredah api yang mula merebak ke rumah mereka bagi menyelamatkan nenek mereka yang lumpuh dalam kebakaran di Kampung Baru Sungai Ara, di sini, hari ini.
Hassan Al Hafiz Samsuri, 22, berkata, ketika kejadian neneknya Aminah Abdullah, 94, berada dalam bilik di kediaman dua tingkat itu manakala dia dan adiknya Ahmad Musthofa, 21, menonton televisyen di ruang tamu.
"Kami dengar bunyi letupan di rumah sebelah dan bila kami keluar untuk melihat, kami nampak api sedang marak di rumah sebelah dan merebak ke rumah kami.
"Kami terus ke bilik dan mendukung nenek keluar dari rumah... api ketika itu sudah merebak dengan pantas dan dalam sekelip mata memusnahkan rumah kami," katanya.
Kebakaran pada 11.20 pagi itu memusnahkan tiga buah rumah dua tingkat separa papan dan batu yang terletak bersebelahan.
Hassan Al Hafiz berkata, kebakaran itu menyebabkan mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang dan semua wang dan kelengkapan untuk beliau menyambung pelajaran di Kolej Insaniah di Kuala Kertil, akhir bulan ini turut musnah.
"Segala pakaian, buku dan wang yang saya simpan hangus terbakar, yang tinggal hanyalah baju dan seluar yang saya pakai sekarang," katanya yang tinggal di rumah itu bersama ibu bapa, nenek dan tiga adik beradiknya.
Pegawai Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Nazri Mustafa berkata, tiga jentera bersama 20 pegawai dan anggota dari balai Bayan Baru dan Jalan Perak mengambil masa 20 minit untuk mengawal kebakaran.
"Ketika kami sampai, api sedang marak di ketiga-tiga rumah itu," katanya.
Beliau berkata punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat. - Bernama
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2015 @ 5:40 PM


RUMAH yang terbakar pagi tadi. FOTO ihsan Bomba
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/59609#sthash.wr8OWmEV.dpuf

Korban cuaca panas di Karachi kini 460

Korban akan cuaca panas di selatan Pakistan kini meningkat kepada lebih 460 orang dalam masa tiga hari menyebabkan pihak berkuasa mengisytiharkan darurat.
Jumlah kematian di Karachi yang berpenduduk 20 juta orang, paling teruk terjejas dengan suhu mencapai 45 darjah selsius ialah kira-kira 450 orang manakala 10 orang lagi mati di wilayah Sindh.
Hari ini, pegawai kanan kesihatan di Karachi, Sabir Memon, berkata sebahagian besar yang mati itu akibat stroke cuaca panas sejak tiga hari lalu.
Seorang doktor di hospital terbesar di Karachi, Semi Jamali, berkata pihaknya sudah merawat lebih 3,000 pesakit.
Pertubuhan kebajikan terbesar Pakistan, Pertubuhan Kebajikan Edhi, menyatakan dua masjidnya menerima lebih 400 mayat untuk diuruskan pengebumian sejak tiga hari lalu.
Pejabat Meteorologi Karachi menyatakan suhi di bandar raya itu kekal sekitar 44.5 darjah selsius hari ini.
Kerajaan mengisytiharkan cuti hari ini bagi menggalakkan orang ramai berada di rumah kerana sebahagian besar mangsa yang mati, bekerja di luar.
Ulama terkenan Pakistan, Tahir Ashrafi, berkata mereka yang berisiko dengan cuaca panas itu, terutama di Karachi dibolehkan tidak berpuasa.
“Islam sudah menetapkan syarat puasa, malah disebut dalam al-Quran, mereka yang sakit dan pengembara yang tidak mampu boleh menangguhkannya dan mereka yang lemah, tua serta berisiko sakit dibenarkan tidak berpuasa,” katanya. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2015 @ 6:39 PM


KAKITANGAN hospital memeriksa tanda nama pada mayat mangsa cuaca panas di Rumah Mayat Edhi, Karachi. - Foto AFP
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/59616#sthash.l2swYZg4.dpuf

10 mayat dalam kubur besar

Acapulco, Mexico : Pihak berkuasa semalam menemui 10 mayat dalam kubur besar di pinggir Acapulco, Mexico, bandar pelancongan yang terkenal dengan keganasan sindeket dadah.
Kedudukan kubur mengandungi mayat tujuh lelaki dan tiga wanita yang digali keluar semalam, terletak jauh dari kawasan pelancongan.
Ketua Pendakwaraya Negeri Guerrero, Miguel Angel Godinez, berkata maklumat mengenai kubur itu diberi orang tidak dikenali Ahad lalu, dan mayat ditemui semalam, menggunakan anjing pengesan.
Menurutnya, usaha mengenal pasti mayat terbabit dan punca kematian sedang dilakukan.
Sejak beberapa talun lalu, beberapa kubur besar ditemui di sekitar Acapulco.
Negeri Guerrero juga tempat kejajdian 43 pelajar kolej diculik oleh polis tempatan di bandar Iguala pada September lalu, dan diserahkan kepada sindiket dadah yang membunh serta membakar mayat mereka. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2015 @ 9:21 PM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/59626#sthash.aR2SVvN8.dpuf

Minyak masak tumpah tercemar

Johor Bahru: Tindakan segelintir penduduk berdekatan Taman Dahlia, Pasir Gudang memungut sisa tumpahan minyak masak yang tercemar di dalam longkang ekoran kemalangan kenderaan itu Ahad lalu boleh menjejaskan kesihatan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, ia penting kerana lokasi tumpahan minyak kotor dan tercemar.
"Saya ingin mengingatkan mereka yang mengambil minyak masak itu supaya tidak menggunakannya supaya tidak menjejaskan kesihatan.
"Perkara itu berlaku di luar kawalan, namun akan merujuk kepada jabatan kesihatan apatah lagi kesan sampingan daripda penggunaanya," katanya dihubungi, hari ini.
Dalam kejadian pada 2 petang Ahad lalu, lori kontena yang membawa muatan minyak masak terbalik dalam kemalangan membabitkan lori di persimpangan lampu isyarat Taman Dahlia, Pasir Gudang.
Kemalangan itu menjadi viral di media sosial, malah ramai yang dilihat memungut minyak masak di dalam longkang tanpa memikirkan tahap kebersihannya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2015 @ 11:18 PM


ORANG ramai dilihat memungut sisa tumpahan minyak masak selepas kemlangan kendaraan yang membawa muatan itu. FOTO ihsan pembaca
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/59635#sthash.1UMPvZO2.dpuf

Dua lagi ditahan, syabu dirampas

 Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis menahan dua lagi lelaki warga Afrika dipercayai sindiket pengedaran dadah dan merampas satu kilogram syabu dalam serbuan susulan di Kepong, di sini, malam tadi.

Tangkapan dibuat Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) Bukit Aman dan

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan kejayaan itu menerusi akaun Twitternya, pada 11.18 malam tadi.

"@KBAB51: Syabas lagi STING @PDRMsia t'kap 2 lagi Warga Afrika dalam tindakan susulan di KL dan Kepong dan lebih 1 kg Syabu. Go PDRM Go," katanya.



Semalam, polis menahan empat warga Afrika di Sungai Buloh dan Bandar Sri Damansara dipercayai sindiket yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2015 @ 11:44 PM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/59638#sthash.yfsw0Spr.dpuf

Kilang plastik hangus

Bukit Mertajam: Kilang plastik di Juru, di sini musnah dalam kebakaran, 10.30 malam tadi.
Dalam kejadian itu, hampir 80 peratus bangunan kilang musnah dan pihak bomba juga berdepan kesukaran mengawal kebakaran selepas api cepat merebak.
Difahamkan, sekurang-kurangnya tiga anggota bomba juga terpaksa dikejarkan ke hospital selepas sesak nafas ekoran asap tebal.
Kesemua anggota berkenaan dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk menerima rawatan lanjut.
Jurucakap bomba berkata, mangsa dipercayai mengalami sesak nafas namun keadaan mereka stabil.
"Punca dan kerugian masih lagi dalam siasatan," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2015 @ 1:53 AM

ANGGOTA bomba yang sesak nafas akibat asap tebal dihantar ke Hospital Seberang Jaya. FOTO Amir Irsyad Omar
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/59645#sthash.CXkU6h5V.dpuf

21 dikebumi semula

Alor Setar: Sebanyak 21 jenazah mangsa pemerdagangan manusia etnik Rohingya daripada keseluruhan 106 selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lama Kampung Tualang, Pokok Sena dekat sini, semalam.
Jenazah membabitkan 19 lelaki dan dua wanita itu dibawa menaiki lori polis dari Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sebelum upacara pengebumian dijalankan bermula jam 10 pagi.
Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, jenazah itu adalah kumpulan pertama yang dikebumikan selepas menjalani proses bedah siasat di HSB manakala baki 85 lagi akan diuruskan dengan kaedah sama secara berperingkat.
Menurutnya, pihaknya memilih tapak perkuburan itu kerana lebih sesuai dan mampu menampung bilangan jenazah yang akan dikebumikan secara berperingkat.
“Kumpulan kedua sebanyak 28 jenazah akan dikebumikan pada 29 Jun ini.
“Sebelum ini kita beranggapan masalah penyeludupan manusia terasing daripada kita, namun apabila melihat banyak jenazah mangsa pemerdagangan ini, saya mendapati ia semakin serius,” katanya selepas selesai upacara pengebumian itu, semalam.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2015 @ 9:37 AM

MUKHRIZ (tiga dari kanan) hadir pada majlis pengebumian 21 jenazah mangsa pemerdagangan manusia etnik Rohingya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/59483#sthash.ug2hS5uU.dpuf

Tikus cari ‘habitat’ baru

Kuala Lumpur: Masalah tikus di Pasar Chow Kit yang dilabel sebagai tempat pembiakan haiwan perosak itu didakwa berpunca daripada pasar lama yang kini dalam kerja pembinaan.
Peniaga Khairul Abu Bakar, 30, berkata, pasar lama yang terletak bersebelahan pasar transit sebelum ini sememangnya menjadi lokasi tikus membiak dan kini haiwan itu mencari habitat baru di sekitarnya.
“Pasar transit kini dilengkapi dengan sistem longkang dan perairan yang lebih sempurna berbanding pasar lama.
“Saya syak semua tikus yang ditangkap oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum ini datang dari pasar lama,” katanya ketika ditemui, di Pasar Chow Kit di sini, semalam.
Menurut Khairul lagi, peniaga di pasar transit tidak boleh disalahkan kerana mereka mengikuti peraturan membuang sampah di tempat yang disediakan pada waktu yang ditetapkan.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2015 @ 8:21 AM


KHAIRUL dakwa haiwan perosak di pasar transit datang dari pasar lama yang terletak bersebelahan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/59441#sthash.Cd5g7R21.dpuf

Sengsara kaki tersepit 20 minit

Melaka: Seorang lelaki menahan kesakitan hampir 20 minit selepas kakinya tersepit dalam kereta akibat kemalangan di Jalan Ayer Keroh Lama, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, Proton Saga yang dipandu mangsa berusia lingkungan 30 tahun dikatakan dalam perjalanan dari Ayer Keroh menghala ke pusat bandar sebelum hilang kawalan dan melanggar tiang elektrik di bahu jalan.
Jurucakap bomba dan penyelamat berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 10.43 malam, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh diketuai Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Mohd Asraf Abdullah bersama tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Katanya, bomba mendapati kaki mangsa tersepit di tempat duduk pemandu sebelum mengeluarkannya.
“Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Melaka oleh ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM),” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis berkata, pihaknya belum menerima laporan berkaitan kejadian itu.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2015 @ 9:38 AM


ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/59485#sthash.3WZQo2pX.dpuf

Tergilis bayi sendiri

Nilai: “Saya sangat teruja menyambut Aidilfitri bersamanya tahun ini kerana dia sudah boleh berjalan, tetapi Allah lebih sayangkannya,” kata Zaini Daud yang secara tidak sengaja terlanggar bayi perempuan ketika mahu mengalihkan kenderaan di rumahnya di Kampung Tebing Tinggi, Labu, di sini, petang, kelmarin.
Dalam kejadian jam 4.15 petang, Zaini mengalihkan Toyota Unser di hadapan rumah bagi memudahkan dia membawa keluar motosikal untuk menghantar makanan kepada jiran.
Zaini, 35, berkata, anaknya, Nur Aminah Zaimin Jasmin yang berusia setahun dipercayai mengekori dia tanpa disedari.
Menurutnya, dia sudah berpesan kepada dua anaknya yang lain supaya menjaga adik mereka kerana dia mahu ke rumah jiran sebelum berbuka bersama suami, Jasmin Abdul Ghani, 42, yang berniaga di Jalan Pantai, dekat sini.
“Ketika mengalih kenderaan, saya terdengar dentuman seolah-olah terlanggar batu di bahagian tayar belakang. Saya hairan kerana halaman rumah tiada batu menyebabkan saya keluar dan terkejut melihat adik (Nur Aminah) terbaring dan darah keluar dari telinga, hidung serta mulut.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2015 @ 9:58 AM


LOKASI kejadian ibu secara tak sengaja terlanggar anak, kelmarin.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/59510#sthash.QRZtZ2nn.dpuf

‘Geng Jamil’ tumpas

Sabak Bernam: Kelicikan ‘Geng Jamil’ yang terbabit dengan sekurang-kurangnya 60 kes pecah rumah di sekitar daerah ini dan Bandar Contry Homes Rawang berakhir apabila empat ahlinya dicekup polis, dua minggu lalu.
Empat lelaki berusia 28 dan 32 tahun termasuk perancang utamanya ditahan polis dalam beberapa siri serbuan di sekitar daerah ini selepas menjalankan risikan dan menerima maklumat awam.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Mohd Azmi Isa berkata, dalam serbuan itu juga, polis menemui pelbagai barangan elektrik dan elektronik termasuk barang kemas dianggarkan bernilai RM100,000 dipercayai hasil jenayah yang dilakukan mereka.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati kumpulan berkenaan aktif melakukan jenayah pecah rumah sejak Jun 2014 dan menyasarkan rumah yang tidak berpenghuni untuk dipecah masuk.
Menurutnya, kumpulan berkenaan akan mengenal pasti rumah yang tidak berpenghuni pada sebelah pagi sebelum membuat ‘rondaan’ kedua pada sebelah petang bagi memastikan penghuninya tiada.
“Selepas yakin rumah yang disasarkan itu tidak berpenghuni, kumpulan berkenaan akan memecah masuk rumah dan melarikan barangan berharga dan hanya disedari pemilik apabila pulang ke rumah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, di sini, semalam.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2015 @ 6:37 AM


MOHD Azmi (tengah) menunjukkan barang curi yang dirampas.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/59658#sthash.gPoe1HDq.dpuf

Alasan ‘kaki ponteng’ puasa

Shah Alam: “Saya dah tak puasa sejak tiga hari lalu kerana tidak tahan haus. Tapi ini kali pertama saya datang ke tempat ini sejak Ramadan kerana ia berdekatan dengan pejabat untuk bermain snuker.
“Saya janji tidak akan mengulangi kesalahan ini dan menyesal dengan apa yang berlaku,” itu alasan seorang lelaki yang ditangkap Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana tidak berpuasa di sebuah pusat snuker di Seksyen 22, di sini, semalam.
Lelaki berusia 28 tahun ditahan ketika merokok sambil bermain snuker bersama rakannya yang turut didapati tidak berpuasa selain terdapat dua tin minuman yang sudah dibuka di atas meja.
“Tolonglah jangan tahan kami, lagi pun kami datang sekejap saja ketika waktu rehat pejabat. Kami janji akan melaporkan diri kepada JAIS petang nanti (semalam) selepas tamat waktu kerja.
Bagaimanapun, alasan itu tidak ‘menjadi’ dan dia bersama rakannya berusia 20-an dibawa ke pejabat JAIS untuk direkodkan keterangan sebelum dibebaskan dengan penjamin.
Sementara itu, Penolong Pengarah Seksyen Perundangan dan Kesalahan Bahagian Penguat Kuasa JAIS Shahrom Maarof berkata, Operasi Tidak Menghormati Bulan Ramadan (Ops Timer) ini adalah kali pertama diadakan sejak umat Islam mula berpuasa 18 Jun lalu.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2015 @ 6:39 AM


REAKSI lelaki tidak berpuasa sejurus dicekup JAIS.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/59660#sthash.Epa8J4Xt.dpuf