Search This Blog

Monday, June 22, 2015

Tukang Cuci Sumbat Mayat Rakan Dalam Beg


Diterbitkan: Isnin, 22 Jun 2015 12:58 PM

GEORGE TOWN: Seorang tukang cuci wanita warga Indonesia didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, Isnin atas pertuduhan menyebabkan kematian rakan senegaranya, Mei lalu.
Ita Puspalia, 28, dari Jawa Timur, Indonesia bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ibrahim Othman.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyebabkan kematian Siti Maisaroh di Blok 8-06-8, Permai Jaya, Jalan Lembah Permai Tanjung Tokong dekat sini pada pukul 1.30 tengah hari, 9 Mei lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Charanjit Singh memohon kepada mahkamah agar tidak diberikan jaminan terhadap tertuduh memandangkan wanita itu tiada dokumen pengenalan sah masuk ke Malaysia.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh yang diwakili peguam R.Sankra Krishna  diikat jamin dan menetapkan 24 Ogos depan untuk sebutan bagi laporan bedah siasat.
Media sebelum ini melaporkan mayat seorang wanita yang telah mereput dan disumbat ke dalam kotak dijumpai di tepi Puncak Bukit Mutiara, Tanjung Bungah, di sini.

KPDNKK Serbu 247 Premis Jual Barangan Tiruan


Diterbitkan: Ahad, 21 Jun 2015 9:39 PM
Hasan Malek.

KUALA PILAH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah menyerbu 247 premis perniagaan di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor yang menjual barang-barang tiruan.
Menterinya Datuk Seri Hasan Malek berkata setakat 19 Jun lepas, bahagian penguatkuasa KPDNKK telah membuka 269 kertas siasatan dengan nilai sitaan RM13.5 juta.
"Antara jenis barang-barang yang disita ialah pakaian, barangan kulit, pakaian sukan, dakwat mesin pencetak, minyak wangi, kosmetik, rokok, minuman keras, peralatan komputer dan telefon bimbit.
"Serbuan-serbuan telah dilakukan ke atas stor simpanan, pengilang, pengimport, pemborong, peruncit dan perniagaan dalam talian," katanya kepada media di Majlis Berbuka Puasa Dun Juasseh di sini Ahad.
Hasan berkata serbuan ke atas pemilik premis perniagaan yang menjual barangan tiruan akan kerap dilakukan bagi membanteras penjualan barangan tiruan di pasaran bagi menjaga kepentingan pengguna.
"Tindakan ini juga untuk melindungi pemilik paten barangan daripada hakcipta mereka dicetak rompak atau dicuri," katanya.
Beliau berkata hasil daripada risikan yang dilakukan, sebanyak 433 premis di beberapa buah negeri telah dikenal pasti aktif menjual barangan tiruan.
"Saya ingin memberi peringatan kepada para peniaga supaya tidak meneruskan penjualan barangan tiruan dan individu yang melakukan kesalahan ini, boleh didenda maksimum RM10,000 bagi setiap unit atau tiga tahun penjara di bawah Akta Perihal Perdagangan 2011. Bagi syarikat diperbadankan, denda maksimum RM15,000 bagi setiap unit," katanya.
Beliau turut meminta para pengguna untuk membuat aduan ke pihak kementerian sekiranya mendapati ada peniaga yang menjual barangan tiruan.
Sementara itu, dalam majlis pada Ahad, Hasan menyampaikan sumbangan RM1,000 kepada setiap 17 masjid di DUN Juasseh dan sumbangan wang zakat kepada 260
asnaf.--BERNAMA

21 Jenazah Mangsa Pemerdangangan Manusia Dikebumi


Diterbitkan: Isnin, 22 Jun 2015 11:59 AM

POKOK SENA: Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan khairiah Kampung Tualang di sini ketika 21 jenazah mangsa pemerdagangan manusia dipercayai bangsa Rohingya yang ditemui di Bukit Wang Burma, Wang Kelian bulan lepas, dikebumikan pada Isnin.
Sebanyak 19 daripada jenazah terbabit adalah lelaki dan dikebumikan di dalam satu liang lahad, manakala dua jenazah wanita dikebumikan di liang lahad berasingan tetapi bersebelahan.
Lima buah trak Polis Diraja Malaysia (PDRM) digunakan untuk mengangkut kesemua keranda kayu daripada Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) ke tanah perkuburan dan diiringi motosikal peronda PDRM.
Pengebumian jenazah-jenazah mangsa kekejaman sindiket pemerdagangan manusia di Wang Kelian itu bermula pada 9.30 pagi dan dihadiri penduduk Kampung Tualang dan penduduk-penduduk kampung berhampiran.
Kawasan tanah perkuburan dikawal ketat oleh anggota polis.
Kesemuan jenazah terbabit dikebumikan selepas proses proses bedah siasat yang dijalankan oleh HSB selesai.
Pada Ahad, Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, baki 85 jenazah mangsa pemerdagangan manusia di Wang Kelian itu akan turut dikebumikan di Kampung Tualang secara berperingkat selepas berakhirnya proses bedah siasat di HSB.
Menurut beliau, pengebumian jenazah terbabit dikendalikan oleh Majlis Agama Islam Kedah (MAIK), manakala kos pula ditanggung sepenuhnya oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menteri Besar dijadualkan menghadiri majlis tahlil sejurus selepas pengebumian selesai dilakukan hari ini.
Turut kelihatan berada di tanah perkuburan ialah Anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar dan pegawai-pegawai kanan MAIK, MKN Kedah dan HSB serta badan kebajikan Rohingya Society Malaysia (RSM) Kedah. 

Lelaki Maut Ditikam


Diterbitkan: Isnin, 22 Jun 2015 3:57 PM

NIBONG TEBAL: Seorang lelaki Bangladesh maut ditikam di hadapan sebuah kilang perabot di Nibong Tebal di sini, Ahad malam.
Shamim Shah, 35, yang cedera parah di dada dan perut dihantar ke Hospital Sungai Bakap (HSB) dan meninggal dunia ketika dirawat kira-kira pukul 1 pagi ini.
Jurucakap polis berkata dalam kejadian pada pukul 10.30 malam itu, Shamim dilapor diserang dua lelaki ketika ingin masuk ke kilang selepas membeli barang di kedai berdekatan.
"Mangsa dihampiri dua lelaki dan ditikam ketika dia berada di luar pagar kilang dan memanggil rakannya untuk membuka pintu pagar yang berkunci.
"Rakan mangsa yang berada di kawasan belakang kilang untuk mengambil kunci pagar terdengar jeritan mangsa dan melihat mangsa memanjat pagar kilang dengan badan berlumuran darah," katanya di sini, Isnin.
Jurucakap polis berkata lelaki itu sempat memberitahu rakannya yang dia ditikam oleh dua lelaki bersenjatakan pisau.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Wan Hassan Wan Ahmad berkata usaha mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian itu giat dijalankan dan meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat agar menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
"Polis juga sedang menyiasat motif kejadian. Kami menolak kemungkinan mangsa disamun kerana barangan milik mangsa termasuk wang tunai dan telefon bimbit tidak hilang," katanya.

Pusat Beli-Belah Runtuh Di Melaka, Tiga Maut



Diterbitkan: Isnin, 22 Jun 2015 4:56 PM

ALOR GAJAH: Dua pekerja terbunuh manakala tiga lagi mengalami kecederaan serius apabila sebuah pusat membeli-belah yang dalam pembinaan di sempadan Negeri Sembilan-Melaka runtuh pada pukul 2.15 petang Isnin.
Seramai 15 pekerja lagi dipercayai masih terperangkap di dalam bangunan tersebut.
Difahamkan, pihak keselamatan sedang berusaha melakukan kerja-kerja menyelamat mangsa yang terlibat.

MERS: Dua Lagi Kematian Di Korea Selatan


Diterbitkan: Isnin, 22 Jun 2015 12:01 PM

SEOUL: Kementerian Kesihatan Korea Selatan pada Isnin melaporkan dua lagi kematian akibat Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS) di negara itu, menjadikan jumlah kematian kini seramai 27 orang.
Kementerian turut mengesahkan tiga kes baharu, menjadikan jumlah keseluruhan 172 kes wabak itu yang merupakan terbesar berlaku di luar Arab Saudi.
Menurut Kementerian Kesihatan Korea Selatan, kematian terbaharu itu membabitkan individu berusia dalam lingkuan 80an yang sebelum itu telah pun mempunyai masalah kesihatan. - REUTERS

Enam Anggota Taliban Serang Parlimen Afghanistan Maut



Diterbitkan: Isnin, 22 Jun 2015 5:24 PM
Dewan bersidang di Parlimen dipenuhi asap.

KABUL: Kementerian Dalam Negeri Afghanistan mengesahkan enam anggota kumpulan Taliban yang melancarkan serangan ke arah bangunan Parlimen di Kabul terbunuh.
Penyerang didakwa meletupkan bom kereta di luar bangunan tersebut.
Polis mengosongkan bangunan tersebut sementara cuba bertempur dengan penyerang bersenjata itu.
Kumpulan Taliban berkata mereka melancarkan serangan tersebut ketika undian untuk menyokong seorang menteri pertahanan yang baharu, Massoom Stanekzai.
Tiada bunyi tembakan didengari selama beberapa minit.

Sekurang-kurangnya 18 orang dilaporkan cedera dalam serangan itu.

 
Keadaan di dalam dewan bersidang sejurus letupan bom kereta dilancarkan.

Beberapa gambar di laman media sosial menunjukkan bangunan Parlimen dipenuhi asap dan orang ramai bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri.

Laporan media melaporkan satu lagi letupan berlaku di kawasan, Dahmazang, Kabul.

Stesen televisyen sedang bersiaran secara langsung dari bangunan tersebut apabila penyerang melancarkan serangan dengan Ahli Parlimen dilihat bertempiaran lari meninggalkan bangunan itu.
Ahli Parlimen dilihat meninggalkan dewan bersidang.

Seorang Ahli Parlimen wanita dilaporan cedera.  Negara itu tidak mempunyai seorang menteri pertahanan sepenuh masa untuk tempoh beberapa bulan.

16 Maut Kerana Hujan Di Ivory Coast


Diterbitkan: Isnin, 22 Jun 2015 11:13 AM

ABIDJAN: Sekurang-kurangnya 16 orang terkorban sepanjang Jun ini termasuk enam pada minggu lepas akibat hujan lebat yang melanda ibu negara Ivory Coast.
Menurut Ketua Perlindungan Awam, Jeneral Fiacre Kili, mangsa-mangsa terbaharu yang meninggal dunia merupakan penduduk dari dua kawasan kejiranan termiskin bandar tersebut iaitu di Attecoube dan Adjame.
Fiacre memberitahu,  mangsa-mangsa tersebut terkorban akibat kejadian tanah runtuh serta dinding runtuh berikutan hujan lebat yang melanda kawasan tersebut.
Sekurang-kurangnya 10 orang yang lain meninggal dunia pada awal Jun akibat banjir yang berlaku di kawasan itu.
Seorang penyelia bomba melaporkan 15 kematian berlaku pada 7 sehingga 18 Jun.
"Mayat-mayat ditemui di dalam alur serta terapung di dalam lopak air di daerah yang berlainan di Abidjan," kata penyelia bomba itu.
Akhbar tempatan, Fraternite Matin melaporkan 10 kematian dalam edisi yang dikeluarkan pada Jumaat.
Kebanyakan mangsa menetap di kawasan setinggan di mana rumah-rumah yang dibina tidak mampu untuk menahan banjir semasa musim hujan lebat kawasan itu dari Jun hingga Ogos.
Hujan lebat yang berlaku di kawasan itu meragut nyawa pada setiap tahun di Abidjan.
Pada Jun 2009, seramai 21 orang terkorban selepas tujuh dilaporkan meninggal dunia pada 2008.
Pada 2011 pula, 11 orang terbunuh manakala 39 kematian dicatatkan pada Jun hingga Julai 2014.
Kerajaan melancarkan kempen untuk merobohkan kawasan-kawasan perumahan yang sesak di bandar itu berikutan kebimbangan terhadap kesihatan serta keselamatan penduduk di situ pada Ogos 2014.
Jurucakap kerajaan, Bruno Kone berkata cuaca buruk menjadi punca kematian penduduk di situ.
"Ia bukan kerana kesilapan dari segi pengaturan kerana banyak tempat telah dibersihkan secara maksimum sebelum tiba musim hujan," katanya.

45 Maut Akibat Panas Terik Di Pakistan



Diterbitkan: Isnin, 22 Jun 2015 10:24 AM
Mayat-mayat penduduk Karachi yang maut akibat panas terik di bilik mayat sebelum dituntut keluarga.

KARACHI: Seramai 45 orang terkorban berikutan cuaca panas terik yang melanda bandar yang mempunyai penduduk paling ramai di Pakistan itu.
Dugaan pada Ramadan itu turut menyaksikan penduduk terpaksa bergelut dengan gangguan kuasa elektrik serta kekurangan air di Karachi.
Suhu di pelabuhan bandar itu  mencecah 45 darjah Celsius pada Sabtu dan hampir mencapai suhu tertinggi yang pernah dicatatkan iaitu 47 darjah Celsius pada 1979.
Ketua jabatan kecemasan di Hospital Jinnah, Dr Seemin Jamali berkata, seramai 30 orang dilaporkan terbunuh manakala 15 lagi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
"Kesemua mangsa terkorban akibat stroke haba," katanya.
Menurut salah seorang pegawai di sana, kesemua mangsa terkorban pada petang Sabtu.
Jabatan Meteorologi Pakistan juga menjelaskan suhu tinggi itu mungkin akan turun selepas ini tetapi doktor menasihatkan agar orang ramai mengelak daripada terdedah kepada matahari dan memakai pakaian yang tidak terlalu tebal.
Masalah suhu tinggi itu menjadi lebih teruk berikutan gangguan elektrik yang kerap berlaku dan telah mencetuskan protes di beberapa kawasan di bandar yang memuatkan 20 juta penduduk itu.
Pemotongan elektrik serta pelumpuhan sistem bekalan air di Karachi menghalang proses mengepam berjuta-juta gelen air kepada pengguna.
Seorang pegawai di pejabat perdana menteri berkata, Perdana Menteri, Nawaz Sharif memberi amaran kepada syarikat bekalan elektrik bahawa beliau tidak akan bertolak ansur dengan gangguan elektrik yang berlaku pada bulan Ramadan.
Dalam satu kenyataan dari Universiti Karachi menjelaskan, peperiksaan terpaksa ditangguhkan sekurang-kurangnya sebulan berikutan cuaca yang teruk ketika ini

1,400 Penumpang Terkandas Di Lapangan Terbang Akibat Sistem Komputer Digodam



Diterbitkan: Isnin, 22 Jun 2015 8:06 AM

WARSAW: Kira-kira 1,400 penumpang LOT Polish Airlines (LOT) terkandas di Lapangan Terbang Chopin di sini, Ahad apabila sistem komputer syarikat penerbangan tersebut yang digunakan untuk mengeluarkan tiket penerbangan digodam, kata syarikat itu.
Jurucakap, Adrian Kubicki berkata, sistem komputer itu digodam pada waktu tengah hari dan hanya dapat diperbaiki selepas lima jam, menyebabkan 10 penerbangan domestik dan antarabangsa dibatalkan dan banyak lagi penerbangan ditunda. 
LOT menguruskan para penumpang yang terkandas pada Ahad dan antara mereka dapat menaiki pesawat,
Syarikat penerbangan itu memberitahu ia menyediakan kemudahan penginapan di hotel bagi mereka yang memerlukan.
Kubicki berkata, tiada kompromi dari segi keselamatan bagi penerbangan yang sedang beroperasi dan penerbangan ke Warsaw dapat mendarat dengan selamat.
Pihak berkuasa kini sedang menyiasat serangan penggodam itu. - REUTERS

Marahkan kucing, wanita gigit teman lelaki

 ISNIN, 22 JUN 2015 @ 8:44 AM



 BERLIN: Berang digigit seekor kucing, seorang wanita membalas dendam dengan menggigit dan memukul berulang kali teman lelakinya, yang juga pemilik haiwan itu, kata polis, semalam. Jurucakap polis berkata, wanita berusia 26 tahun itu diserang kucing peliharaan teman lelakinya berusia 39 tahun, di bandar Hagen, awal pagi kelmarin. Mengikut kenyataan polis, pergaduhan berlaku antara wanita dan pemilik haiwan itu yang menyaksikan lelaki terbabit dipukul dan digigit berulang kali. Lelaki berkenaan cuba menghubungi polis tetapi kekasihnya berulang kali merampas telefon bimbit daripada tangan hinggalah dia berjaya melepaskan diri dan membuat panggilan susulan. Lelaki itu dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan manakala wanita itu, yang didakwa melakukan keganasan domestik, dilarang mendekati kediaman mereka selama 10 hari. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/62785

Gempa 5.4 magnitud gegarkan barat Nepal

AHAD, 21 JUN 2015 @ 3:42 PM

 KATHMANDU: Gempa bumi 5.4 magnitud menggegarkan barat Nepal pada Sabtu petang dan gegaran itu mencetuskan panik dalam kalangan penduduk. Mengikut Pusat Seismologi Kebangsaan (NSC), gempa bumi pada Sabtu itu adalah gegaran baharu, yang tiada kaitan dengan gempa bumi kuat pada 25 April. Gempa bumi itu berpusat di Rukum, 350 kilometer barat Kathmandu. Bagaimanapun, tiada kemusnahan besar dilaporkan akibat gempa bumi itu. Sementara itu, gempa susulan terus berlaku hampir setiap hari di Kathmandu selepas gempa bumi pada 25 April itu. Gempa bumi 4.1 magnitud turut melanda Kathmandu pada awal pagi Sabtu. Pegawai NSC berkata, ia adalah gempa susulan selepas gempa bumi 25 April yang berpusat di Gorkha. Setakat ini, 393 gempa susulan direkodkan sejak gempa bumi 7.9 skala Richter melanda Nepal pada 25 April, mengakibatkan sekurang-kurangnya 8700 orang terkorban. Pakar seismologi memberi amaran bahawa gempa susulan mungkin berterusan beberapa bulan lagi, namun menolak kebarangkalian akan berlaku gempa bumi kuat di kawasan tengah dan timur Nepal. - BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/62666

Banduan ala Shawshank dilihat di New York

AHAD, 21 JUN 2015 @ 10:00 AM

DUA penjenayah sangat berbahaya, Richard Matt, (kiri) dan David Sweat. - Foto REUTERS

 NEW YORK: Seperti kisah dalam filem Hollywood, dua pembunuh yang melarikan diri dari penjara kawalan maksimum dengan hanya menggunakan gergaji besi dua minggu lalu, dikatakan dilihat di negeri ini dan polis memperhebat gerakan memburu mereka. Polis berkata, gerakan memburu dua penjenayah sangat berbahaya, Richard Matt, 49, dan David Sweat, 35, sudah semakin hampir membuahkan hasil dan menasihatkan orang ramai untuk lebih berwaspada. Mengikut polis, kelibat penjenayah berkenaan dilihat di Allegany County, kira-kira 950 kilometer selatan Penjara Clinton County, tempat kedua-dua penjenayah melarikan diri. Sementara itu, polis menahan Joyce Mitchell, yang bekerja di kedai jahit kompleks penjara itu kerana didakwa bersubahat dengan kedua-dua penjenayah berkenaan. Mitchell dikatakan membekalkan dua banduan berkenaan gergaji besi dan pahat untuk menyelinap dari sel sebelum merangkak ikut saluran paip dan keluar daripada kawasan penjara menerusi saluran pembetung najis, seperti dalam filem The Shawshank Redemption. Matt sedang menjalani penjara sepanjang hayat kerana menculik dan membunuh bekas ketuanya pada 1997. Dia lari ke Mexico selepas pembunuhan itu dan membunuh seorang lagi warga Amerika di sana. Sweat juga menjalani penjara sepanjang hayat tanpa parol kerana membunuh timbalan sherif New York pada 2002 ketika berusia 22 tahun. - Agensi

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/62599

Orkim Harmony: Mula proses ekstradisi suspek

PUTRAJAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sudah memulakan proses ekstradisi lapan suspek yang terlibat dalam kes rompakan MT Orkim Harmony (MT OH), kata Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM Laksamana Madya Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar.
Beliau berkata ini bagi membolehkan suspek berkenaan yang ditahan pihak berkuasa Vietnam dapat dibawa ke negara ini dengan secepat mungkin.
Pihak berkuasa Vietnam telah mengesahkan bahawa lapan suspek berkenaan telah mengaku terlibat dalam rompakan MT OH, katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan APMM telah mengendalikan lima kes rompakan bersenjata sebelum ini dengan sebanyak 40 pesalah telah menerima hukuman penjara dalam kesemua kes tersebut.
"Manakala perbicaraan kes MT Sun Birdie, satu lagi kes rompakan, sedang berjalan sekarang ini. Justeru, siasatan dan pendakwaan ke atas kes rompakan di laut bukan perkara baharu buat agensi ini, katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Fuzi meminta semua pihak untuk tidak membuat sebarang andaian yang boleh menjejaskan proses siasatan kes rompakan tersebut.
Katanya pegawai forensik APMM telah memulakan kerja-kerja pengambilan bukti dari MT OH dan pegawai penyiasat APMM juga sedang mengambil keterangan saksi-saksi yang berada di kapal tersebut.
Beliau mengulas laporan sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris hari ini yang mendakwa wujud penglibatan orang dalam bersabit dengan kes tersebut.
Ahmad Fuzi yang menyangkal dakwaan itu berkata: "Bagaimanapun memandangkan APMM sedang menjalankan siasatan, sekiranya terdapat perkara-perkara yang dinyatakan itu maka pihak kami akan mengambil tindakan," katanya.
Sementara itu, katanya Master dan kru MT OH juga telah menjalani pemulihan trauma yang disediakan oleh pihak Hospital Angkatan Tentera dan Mercy Malaysia yang diuruskan oleh pihak syarikat kapal tangki itu.
MT Orkim Harmony yang membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta dan 22 anak kapal terdiri daripada 16 rakyat Malaysia, lima Indonesia dan seorang Myanmar terputus komunikasi dengan pangkalan pada 8.57 malam di Timur Tanjung Sedili, Kota Tinggi di Johor pada 11 Jun lepas.
Pada 18 Jun, kapal itu berjaya dikesan telah dirampas dan ditukar nama asalnya 'Orkim Harmony' kepada 'Kim Harmon'.
Kesemua 22 anak kapal MT Orkim Harmony dibebaskan pada kira-kira 2.30 pagi Jumaat dan kapal itu tiba di Pelabuhan Kuantan pagi semalam. - Bernama
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2015 @ 4:52 PM


LAPAN warga Indonesia disyaki lanun yang merampas kapal tangki MT Orkim Harmony ditemui di Pulau Tho Chu, Vietnam. Gambar dimuat naik di laman Twitter Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar. FOTO Bernama
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/59114#sthash.vUM5OEjz.dpuf

Orkim Harmony: Kru masih di kapal tangki

Kuantan: Kesemua 21 anak kapal tangki MT Orkim Harmony masih belum dibenarkan meninggalkan kapal berkenaan sehingga 4 petang tadi.
Tinjauan di Pelabuhan Kuantan mendapati kesemua aktiviti pelabuhan berjalan seperti biasa.
Bagaimanapun petugas media tidak dibenarkan masuk ke kawasan pelabuhan yang menempatkan kapal berkenaan.
Sementara itu menurut sumber, pasukan forensik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sedang melakukan siasatan terhadap data log pelayaran kapal berkenaan.
"Data log berkenaan berfungsi seperti kotak hitam yang merakamkan segala aktiviti, percakapan di kawalan pusat kendalian kapal selain daripada perjalanannya.
"Ia juga mungkin dapat menjawab pelbagai persoalan termasuk wujud tali barut di kalangan kru kapal berkenaan," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2015 @ 5:07 PM


KAPAL MT Orkim Harmony ditunda masuk ke Depoh Petronas di Pelabuhan Kuantan. FOTO APMM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/59116#sthash.t1XB5vtm.dpuf

Dua warga Thailand maut, dua parah

KUANTAN: Dua warga Thailand maut manakala dua lagi parah selepas van yang dinaiki mangsa bertembung dengan lori di KM12 Jalan Bentong-Raub, dekat Kampung Asap, (sebelum simpang ke Mempaga) Bentong, hari ini.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Nor Mansor berkata, nahas 5.30 pagi itu berlaku ketika van dinaiki pemandu bersama 14 penumpang warga Thailand dalam perjalanan dari Thailand ke Kuala Lumpur.
"Sampai di tempat kejadian dipercayai pemandu van terbabit gagal mengawal kenderaan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori itu.
"Akibatnya pemandu van itu, Musofa Cheana, 27, dan Rasidah Chimamali, 34, masing-masing berasal dari Narathiwat, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan," katanya.
Beliau berkata, dua lagi penumpang van terbabit yang mengalami kecederaan dikenali sebagai Aminah, 25, dari Pattani, parah di kepala manakala Mohd Nur Sama, 37, pula patah tangan kanannya.
Katanya, dua mangsa yang terbunuh itu dihantar ke Hospital Bentong untuk bedah siasat sementara mangsa yang parah turut dirawat di hospital sama.
Mohamad Nor berkata pemandu lori berkenaan, Salazli Saleh, 33, dari Machang, Kelantan dan baki penumpang van terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan. - Bernama
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2015 @ 7:03 PM


KEADAAN van selepas bertembung lori. FOTO Syazwan Msar
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/59124#sthash.hUWQhrHH.dpuf

Kedai perabot musnah terbakar

Kuala Lumpur: Kedai perabot dua tingkat musnah dalam kebakaran di Kampung Sungai Kayu Ara di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, kedai perabot dua tingkat terbabit tidak beroperasi.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 7 malam.
"Tiga jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Damansara, Seksyen 7 dan Jalan Penchala dengan kekuatan satu pegawai serta 17 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Api dapat dikawal kira-kira sejam kemudian manakala punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2015 @ 9:14 PM


KEDAI perabot yang terbakar. FOTO ihsan pembaca
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/59130#sthash.olV96mV5.dpuf

Minuman bertaburan di atas jalan

Hulu Terengganu: Pengguna Lebuhraya Pantai Timur Fasa II (LPT2) sanggup membahayakan nyawa mengutip minuman kesihatan yang bertaburan di atas jalan berikutan lori yang membawa minuman itu terbalik dalam kemalangan di Kilometer 385.1 laluan Ajil-Bukit Besi, dekat Kuala Berang, pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Asisten Superintendan Mohammad Azmi Awang Lah berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila tayar belakang lori dipandu Baharum Ab Razak, 54, pecah menyebabkan kenderaan itu terbalik.
"Difahamkan, lori berkenaan datang dari arah Temerloh menghala Gong Badak, Kuala Terengganu.
"Setiba di tempat kejadian kira-kira 7 pagi, tayar belakang kiri kenderaan itu pecah lalu terbabas melanggar besi penghadang jalan sebelah kiri dan kemudian terbalik di atas jalan," katanya.
Menurutnya, pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan dan pihak polis yang tiba sempat mengarahkan orang ramai yang berkerumun supaya tidak mengambil air yang bertaburan di atas jalan raya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2015 @ 11:15 PM


KEMALANGAN lori dipercayai berlaki apabila tayar belakang pecah. FOTO ihsan pembaca
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/59140#sthash.ifgb09F9.dpuf

Empat lot kedai hangus

Naka: Empat lot kedai di Pekan Naka, Jalan Kuala Nerang musnah 100 peratus dalam kebakaran di sini malam tadi.
Dalam kejadian 9.30 malam itu, kesemua lot pusat pengumpulan hasil pertanian itu musnah namun tiada mangsa ketika kejadian itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang, Penolong Penguasa Bomba Ahmad Noor Syamsi Zainoldin berkata, pihaknya menerima panggilan pada 9.49 malam membabitkan kebakaran di lot kedai berkenaan.
Beliau berkata, jentera pertama tiba pada 10.10 malam untuk membantu memadam api yang ketika itu sedang marak.
"Kita turut dibantu lima pasukan bomba sukarela yang disertai 43 anggota manakala anggota BBP Kuala Nerang seramai tujuh anggota.
"Api dikawal pada 10.25 malam dan dipadam sepenuhnya, 11.52 malam.
"Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini. Punca serta kerugian masih dalam siasatan," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2015 @ 1:10 AM


LOT pusat pengumpulan hasil pertanian musnah terbakar. FOTO Zuliaty Zulkiffli
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/59160#sthash.oqCXL7J0.dpuf

Pijak perut

 Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

mhafis@hmetro.com.my
Alor Setar: Tindakan seorang wanita membuang bungkusan air ketum milik suaminya mengundang padah apabila lelaki itu mengamuk dan membelasahnya di kediaman mereka di Kepala Batas, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 pagi, mangsa berusia 31 tahun yang tidak tahan dengan sikap suaminya kerana ketagih dengan minuman itu bertindak membuangnya tanpa pengetahuan lelaki terbabit.

Sumber berkata, kejadian berlaku apabila lelaki berusia 30-an itu yang terjaga daripada tidur menyedari air ketum miliknya sudah tiada sebelum bertanya kepada mangsa.

“Lelaki itu kemudian mengamuk dan menghamburkan kata-kata kesat kepada isterinya selepas mengetahui mangsa membuang minuman itu. Tidak cukup dengan itu, dia turut bertindak memijak perut mangsa dan membelasahnya selama beberapa minit,” katanya.

Sumber berkata, mangsa yang kesakitan merayu dilepaskan, namun tidak diendahkan suspek yang terus memukulnya.

“Selepas puas membelasah isterinya, suspek terus keluar dari rumah tanpa mempedulikan mangsa yang lebam di kepala dan badan. Bimbang kejadian sama berulang, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kota Setar, semalam (kelmarin), untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2015 @ 5:26 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/59074#sthash.AU0j07QQ.dpuf

Penunggang maut dilanggar lari


Seorang penunggang maut selepas motosikal Honda EX5 ditunggangnya dilanggar lari kenderaan di Kilometer 4.5, Jalan Kuala Sepetang, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.25 pagi, mangsa, Hamid Sidek, 62, maut di tempat kejadian selepas motosikal ditungangnya dari Kuala Sepetang ke Taiping dipercayai dilanggar kenderaan yang secara tiba-tiba memasuki laluannya.

Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, polis menemui serpihan bumper kenderaan berwarna putih di tempat kejadian dan ia dipercayai milik kenderaan yang melanggar mangsa.

Katanya, selepas melanggar mangsa, kenderaan berkenaan dipercayai melarikan diri.

“Polis mengarahkan semua balai polis di daerah Taiping mengesan kenderaan terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2015 @ 5:24 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/59068#sthash.NQBIEKqK.dpuf

‘Bomoh nombor’ ditahan jabatan agama


Butterworth: Seorang ‘bomoh nombor’ antara dua lelaki tempatan beragama Islam yang dicekup anggota Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) ketika sedang membeli nombor ekor, di sini, kelmarin.

Dalam operasi jam 11.30 pagi, dua lelaki masing-masing berusia 51 dan 55 tahun itu diberkas ketika membeli nombor ekor di premis pertaruhan nombor ramalan di Sungai Puyu, di sini.

Ketua Unit Operasi JHEAIPP Khairul Azman Azizan berkata, pihaknya turut menemui beberapa buku nota kecil yang ditulis dengan nombor ramalan di dalam beg silang lelaki berusia 51 tahun berkenaan.

Menurutnya, ketika ditanya, lelaki berkenaan mengaku tidak pernah memenangi sebarang nombor ramalan sejak bermain dan menggunakan buku berkenaan sebagai rujukan.

Katanya, sebelum dicekup, lelaki berkenaan keluar dari premis selepas membeli nombor sebelum beberapa pegawai penguatkuasa agama menghampirinya.

“Semasa pegawai penguatkuasa cuba memperkenalkan diri, lelaki berkenaan bertindak melarikan diri dan dia dikejar sejauh 500 meter sebelum berjaya ditahan.

“Sejurus ditahan, dia mengaku membeli 19 tiket nombor ramalan di premis itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Khairul berkata, pihaknya juga menahan seorang lelaki berusia 55 tahun atas kesalahan berjudi sebelum kedua-dua mereka dibawa ke Pejabat Agama Daerah Butterworth, di sini, untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang (EKJSNPP) 1996 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2015 @ 5:24 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/59067#sthash.nYcfLBV2.dpuf

Ibu seterika perut anak


Oleh Abd Rahman Adam
abdulrahman@hmetro.com.my
Mukah: Tertekan dengan masalah rumah tangga mengakibatkan seorang wanita bertindak di luar batasan apabila menekap seterika panas pada badan anak lelakinya dalam kejadian di sebuah rumah pekerja ladang kelapa sawit di Jalan Dalat-Mukah di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun melecur kira-kira 30 peratus di perut dan menerima rawatan di Hospital Mukah, di sini.

Sumber berkata, sebelum kejadian berlaku, suspek yang juga wanita warga Indonesia berusia 32 tahun bertelagah dengan suaminya berhubung masalah rumah tangga mereka.

Menurutnya, wanita itu gagal mengawal perasaan akibat tertekan dengan masalah dihadapi dan ia menjadi punca kanak-kanak itu menjadi mangsa tempat melepaskan geram.

“Kebetulan, ketika pasangan itu bergaduh, kanak-kanak berkenaan berada di ruang tamu menyaksikan pergaduhan kedua ibu bapanya.

“Kebetulan ketika bertikam lidah, wanita terbabit yang sedang menggosok pakaian dengan seterika kemudian menekap seterika panas itu di perut anaknya sebelum keluar meninggalkan rumah,” katanya.

Kata sumber lagi, kejadian disedari bapa kanak-kanak malang itu apabila terdengar jeritan mangsa yang menangis kesakitan.

“Dia segera membawa anaknya ke Hospital Mukah untuk mendapatkan rawatan. Kakitangan hospital yang merawat mangsa kemudian menghubungi Balai Polis Mukah, di sini, untuk membuat laporan.

“Susulan laporan polis itu, wanita terbabit ditahan di rumahnya dua jam selepas kejadian. Suspek dibawa ke Balai Polis Daerah Mukah bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata pihaknya sudah menerima laporan kes berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2015 @ 9:37 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/58900#sthash.bC8Y1K4i.dpuf

Mohon suspek didakwa di Malaysia


Bagan Datoh: Pihak berkuasa Malaysia akan mengemukakan permohonan bagi membolehkan lapan suspek perampas kapal tangki Malaysia MT Orkim Harmony diekstradisi ke negara ini untuk menghadapi pendakwaan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, permohonan ektradisi berkenaan akan dikemukakan kepada dua negara iaitu Vietnam dan Indonesia agar siasatan serta pendakwaan dapat dijalankan.

Menurutnya, kerajaan Malaysia mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Vietnam, Kemboja serta Thailand yang memberikan kerjasama kepada pihak penguatkuasa negara ini dalam usaha menjejaki kapal tangki berkenaan.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melakukan siasatan secara terperinci selepas siasatan awal dilakukan oleh pihak berkuasa Vietnam dan sebarang tindakan akan diputuskan selepas siasatan itu dijalankan,” katanya.

Lapan suspek berkenaan yang juga warga Indonesia berjaya ditahan pihak berkuasa Vietnam berhampiran Pulau Tho Chu, selatan negara itu kira-kira jam 6.30 pagi, kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2015 @ 5:27 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/59076#sthash.RMI0zudf.dpuf

‘Ayang jangan kahwin lain’

Kuala Kubu Bharu: “Kalau abang mati, ayang jangan kahwin lain sebab nanti tak jumpa kat sana (syurga).” Demikian kata-kata yang sering diucapkan Yusrizal Mohammed Yusoff kepada isterinya sebelum terbabit dalam kemalangan maut di Kilometer 408.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah Kuala Lumpur berdekatan Lembah Beringin di sini, pagi semalam
Dalam kejadian jam 6 pagi itu, Yusrizal, 39, maut selepas lori dipandunya merempuh belakang lori kontena.
Isterinya, Rohayati Hidzir, 31, berkata, kata-kata itu kerap diucapkan arwah, tetapi dia menganggap itu hanya usikan suami.
“Arwah kerap ulang ayat itu, tetapi saya anggap itu gurauan. Bila saya tanya kenapa cakap begitu, arwah memberitahu kalau saya kahwin lain, tidak dapatlah berjumpa di syurga nanti,” katanya ketika ditemui di Hospital Kuala Kubu Bharu, semalam.
Rohayati berkata, kini hanya baju Melayu biru yang siap ditempah suaminya untuk menyambut Syawal menjadi kenangan.
Katanya, arwah menempah baju Melayu lebih awal, tetapi pakaian baru untuk dia dan anak tunggal mereka, Nur Syafiqah Irdina, 4, akan dibeli apabila hampir Syawal nanti.
“Baju raya untuk kami dia mahu beli kemudian, tetapi kini baju Melayu itu menjadi kenangan buat saya,” katanya.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Air Hitam, Teluk Intan, Perak, petang semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan R Supramaniam berkata, kemalangan membabitkan dua kenderaan dipandu di lorong kiri lebuh raya.
Katanya, kemalangan dipercayai berpunca apabila mangsa gagal mengawal lori sebelum merempuh belakang lori kontena yang membawa muatan komponen komputer.
“Akibat pelanggaran itu, pemandu lori pasir tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian kerana parah di kepala serta badan.
“Kemalangan turut menyebabkan lori kontena terbakar, namun api dapat dikawal pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2015 @ 5:29 AM


ANGGOTA bomba berusaha membawa keluar mayat Yusrizal (gambar kecil) yang tersepit di tempat duduk pemandu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/59085#sthash.MTCwUaRA.dpuf