Search This Blog

Friday, June 19, 2015

Muatan petrol MT Orkim Harmony tidak terjejas

MT Orkim Harmony
Keadaan terkini kapal MT Orkim Harmony yang yang dipadam namanya menjadi Kim Harmon ditemui pesawat P3C Orion milik Tentera Udara Diraja Australia ketika melakukan rondaan mengesan kapal berkenaan di lokasi 210 batu nautika utara Pulau Redang. - Foto Twitter @ChiefofNavy.

PUTRAJAYA - Muatan petrol RON95 bernilai RM21 juta yang dibawa Kapal MT Orkim Harmony dipercayai tidak terjejas, demikian menurut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
  
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata, perkara itu disahkan sendiri oleh pemilik kapal yang dipanggil bagi membuat pengecaman selepas kapal itu ditemukan semalam.
  
Berdasarkan gambar yang dirakam oleh pesawat P-3C Orion milik Tentera Udara Diraja Australia, pemilik kapal mengesahkan kedudukan paras muatan 6,000 tan metrik petrol yang dibawa kapal kekal, katanya pada sidang media di sini hari ini.
  
Beliau berkata apabila proses mengambil alih kapal daripada penjenayah selesai, pemilik kapal telah menyatakan hasrat agar kapal itu dapat dibawa ke Kuantan, Pahang.
  
Kapal MT Orkim Harmony dilaporkan hilang pada 8.57 malam pada Khamis lepas ketika dalam perjalanan dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan, Pahang. Kapal tangki yang dimiliki Syarikat Magna Meridian Sdn Bhd itu membawa 22 anak kapal terdiri 16 rakyat Malaysia, lima Indonesia dan seorang Myanmar.
  
Ahmad Puzi berkata, kapal itu ditemukan semula pada jam 6 petang semalam di perairan Teluk Siam berhampiran perairan Vietnam.
  
Beliau berkata, rompakan ke atas kapal tangki tersebut disyaki dilakukan antara tujuh hingga 12 orang penjenayah.
  
Katanya, anggaran itu dibuat berdasarkan rekod dan fakta kes terdahulu iaitu penjenayah akan membuat kawalan di seluruh kapal iaitu meliputi bilik jentera, anjungan serta bahagian-bahagian strategik lain.
  
"Kita belum peroleh maklumat tepat berkenaan jumlah penjenayah tetapi fakta daripada enam kes rompakan sebelum ini menunjukkan lima hingga sembilan orang terlibat dan berdasarkan saiz kapal dan muatan kapal ini, kita percaya lebih ramai yang terbabit," katanya.
  
Beliau berkata, pihaknya masih dalam proses mengenal pasti identiti penjenayah dan tujuan mereka merompak kapal yang membawa muatan petrol bersama 22 anak kapal tersebut.
  
Ahmad Puzi berkata, jika tujuan rompakan adalah untuk menjual barangan muatan atau memeras ugut, penjenayah akan segera memindahkan barangan yang dirompak ke kapal atau pihak pembeli serta meminta wang tebusan tetapi setakat ini kedua-dua elemen itu tidak berlaku.  
  
Beliau berkata, kapal yang dicat semula di beberapa bahagian tertentu yang ditemukan kira-kira 200 batu nautika dari Kota Baharu, Kelantan itu juga telah ditukar nama kepada Kim Harmon.
  
Mengenai andaian 'orang dalam' terlibat dalam rompakan berikutan cat baharu pada kapal yang mungkin disediakan mereka yang berkenaan, beliau menjelaskan cat tersebut sebenarnya sentiasa berada di dalam stor kapal berkenaan bagi kegunaan anak kapal mengecat semula bahagian kapal yang rosak atau pudar warnanya.
  
Ahmad Puzi berkata rundingan dengan penjenayah yang dipercayai memiliki senjata ringan telah dimulakan sejak 12 tengah hari tadi dalam 'mood yang baik' dan setakat ini semua anak kapal diyakini selamat.
  
Katanya, proses rundingan yang dijangka mengambil sedikit masa itu dilaksanakan secara profesional oleh jururunding terlatih bagi memastikan penjenayah meletak senjata dan menyerah tanpa syarat.
  
"Kita akui proses ini sukar dan memakan masa tetapi seboleh mungkin kita ingin elak penjenayah daripada meletakkan sebarang syarat semasa proses rundingan," katanya dan menambah faktor cuaca turut menyumbang kepada kelancaran rundingan.
  
Bagi memastikan kapal sentiasa berada di dalam kawalan pihak keselamatan, Ahmad Puzi berkata, sebuah kapal milik Maritim Malaysia, KM Amanah dan kapal KD Terengganu milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah digerakkan dan berada pada jarak 10 kilometer dari kapal tersebut bagi membayangi sebarang pergerakan.
  
Sehingga kini, sebanyak 16 buah kapal dan empat pesawat berserta 1,200 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat itu. - Bernama

Perampas cuba bawa kapal ke Indonesia

MT Orkim Harmony
Maritim masih melaksanakan pencarian kapal tangki MT Orkim Harmony yang dilaporkan hilang sejak 11 Jun lalu.

KUALA LUMPUR - Kapal tangki MT Orkim Harmony dilaporkan beralih arah belayar ke timur Indonesia menuju ke Kepulauan Natuna dalam cubaan sekumpulan perampas bersenjata yang menawan kapal itu, untuk melepaskan diri.

Panglima Wilayah Laut 1 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Muda Datuk Azahari Abdul Rashid berkata, kumpulan perampas terbabit juga meminta
pihak penguatkuasa menyediakan bot ketika mereka sampai di Pulau Natuna.

"Proses rundingan masih berjalan...apabila sampai di Pulau Natuna, mereka (perampas kapal) meminta disediakan sebuah bot untuk mereka melepaskan diri, sementara pihak TLDM masih mengiringi kapal tangki itu ke sana.

"Kapal itu dijangka sampai ke pulau berkenaan pada Sabtu pagi dan TLDM juga telah memaklumkan kepada pihak penguatkuasa Maritim Indonesia mengenai  perkara itu," katanya ketika dihubungi Bernama, malam ini.

Pada masa ini, KD Terengganu masih meneruskan rundingan dengan perompak supaya mereka menyerah diri.

TLDM masih menunggu arahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam usaha menyelamatkan anak kapal terdiri dari 16 rakyat Malaysia, lima Indonesia dan seorang Myanmar, yang kini dalam tawanan sekurang-kurangnya lapan perampas bersenjatakan pistol dan parang.

Kapal tangki milik Syarikat Magna Meridian Sdn Bhd yang membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta itu, dilaporkan hilang sejak Khamis lalu ketika dalam  perjalanan dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan, Pahang. 

Kapal itu yang disahkan ditemui hari ini oleh pihak berkuasa, telah dicat semula dan ditukar nama kepada 'Kim Harmon'.

Azahari berkata sehingga kini, sebanyak 16 buah kapal dan empat pesawat berserta 1,200 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi tersebut. - Bernama

Angka kematian Mers terus bertambah

Angka kematian Mers terus bertambah
Petugas dari Palang Merah Korea Selatan membungkus barangan keperluan yang bakal diagihkan kepada penduduk yang dikuarantinkan di dalam rumah.

SEOUL - KOREA SELATAN. Korea Selatan semalam melaporkan tiga lagi kematian akibat Sindrom Pernafasan Timur Tengah (Mers),  menjadikan jumlah kematian terkini meningkat kepada 23 orang.

Kementerian Kesihatan juga mengesahkan tiga lagi kes jangkitan baharu.

Menurut laporan Press TV, perkembangan terbaharu itu menyaksikan 165 kes dicatat sejak penularan wabak itu, bulan lalu.

Sehingga ini, kira-kira 6,500 orang telah dikuarantinkan termasuk 105 orang daripada sebuah kampung.

Tentera AS bersalah

Tentera AS bersalah
Sarjan Lawrence Hutchins (kanan) didapati bersalah membunuh seorang lelaki Iraq berusia 52 tahun pada 2006.

CALIFORNIA - AMERIKA SYARIKAT. Seorang tentera Amerika Syarikat (AS) kelmarin, didapati bersalah di atas pertuduhan membunuh seorang penduduk awam Iraq pada 2006.

Lawrence Hutchins dituduh membunuh seorang lelaki kurang upaya sebagai amaran kepada penduduk sebuah kampung yang enggan bekerjasama dengan tentera AS.

Menurut laporan al-Arabiya, Hutchins membunuh lelaki tersebut apabila berang selepas usaha menangkap seorang suspek militan menemui jalan buntu dan tidak mendapat kerjasama daripada penduduk tempatan.

"Sebelum ini Hutchins pernah dibicarakan dan disabit tidak bersalah atas tuduhan membunuh, mencuri dan membuat kenyataan palsu berhubung pembunuh orang awam.

"Namun, dia didapati bersalah apabila kesnya dibicarakan semula," kata seorang pegawai Kor Marin AS.

Menurut pendakwa raya, Hutchins mengetuai sepasukan Marin ke kampung Hamdania pada 26 April 2006 bagi memburu suspek pengebom.

Apabila gagal menemui suspek, Hutchins menyerbu sebuah rumah yang dihuni bekas anggota polis.

Tanpa banyak soal, Hutchins dan aggotanya melepaskan tembakan ke arah Hashim Ibrahim Awad.

Menurut saksi, selepas membunuh mangsa, Hutchins meletakkan senjata AK-47 di sebelah mayat seolah-olah bapa kepada 11 orang anak itu adalah suspek yang diburu.

Sultan Perak ampun 11 banduan



SEBANYAK 11 banduan di Penjara Tapah, Perak dibebaskan atas perkenan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selepas meneliti rayuan yang dipersembahkan kepada baginda.


IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan supaya 11 banduan yang dihukum penjara 10 bulan kerana menyertai perhimpunan haram di Kuala Kangsar pada 2009 dibebaskan semalam.
Setelah meneliti rayuan banduan-banduan dalam semangat menghadapi Ramadan, baginda atas ihsan dan budi bicara membebaskan kesemua banduan untuk membolehkan mereka menunaikan ibadah puasa dan menyambut Syawal bersama kaum keluarga.
Setiausaha Lembaga Pengampunan Negeri Perak, Datuk Razali Othman berkata, kesemua 11 banduan telah menyembahkan sendiri rayuan masing-masing melalui saluran yang betul.
“Baginda berpuas hati dengan ulasan pegawai Penjara Tapah bahawa kesemua banduan telah me­nunjukkan keinsafan dan berkelakuan baik semasa menjalani hukuman.
“Sultan Nazrin juga berpuas hati dengan pengakuan keinsafan para banduan atas kesalahan yang mereka lakukan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0619&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz3dSVbUQRG 
Hakcipta terpelihara 

Kapal ditawan sampai ke Teluk Siam


GAMBAR terbaharu kapal MT Orkim Harmony yang berjaya ditemui pesawat AP-P-3C Orion milik Australia di Teluk Siam, perairan Kemboja semalam.


PUTRAJAYA – Misteri kehilangan kapal tangki minyak Malaysia, MT Orkim Harmony sejak tujuh hari lalu di Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor akhirnya terjawab apabila ia berjaya dijejak pesawat P-3C Orion milik Australia di Teluk Siam, perairan Kemboja pukul 6 petang kelmarin.
Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Madya Datuk Ahmad Puzi Ab. Kahar berkata, seramai tujuh hingga 12 orang lanun yang bercakap dalam bahasa Melayu loghat Indonesia menjadi dalang me­rampas dan membawa MT Orkim Harmony kira-kira 800 batu nautika dari lokasi ia dilaporkan hilang.
Katanya, kesemua 22 kru kapal dilaporkan berada dalam keada­an selamat dan pihak syarikat kapal mengesahkan petrol RON95 bernilai RM21 juta yang dibawanya masih belum disedut keluar berdasarkan tinggi kapal dari paras laut.
Katanya, bagaima­napun drama rampasan tersebut terus berpanjangan apabila kumpulan lanun yang bersenjatakan pistol dan parang setakat malam tadi masih enggan menyerah diri, sebaliknya telah berpatah balik ke perairan Malaysia.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0619&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz3dSVEWFgD 
Hakcipta terpelihara 

Maut tertembak diri sendiri



Di Kampung Terus, Kubang Semang di Seberang Perai inilah Hamzah dipercayai tertembak dirinya sendiri malam kelmarin ketika memburu burung.


SEBERANG PERAI – Seorang pemburu burung maut selepas dipercayai tertembak diri sendiri semasa cuba menyembunyikan sepucuk senapang di bawah titi di kawasan sawah padi, Kampung Terus, Kubang Semang di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam, mangsa, Hamzah Man, 40, sebelum itu dikatakan dalam perjalanan ke kawasan memburu burung di situ bersama seorang lagi rakannya.
Difahamkan, Hamzah yang bekerja sebagai pemandu kren semasa itu turut membawa sepucuk senapang shotgun miliknya jenis Remington 12 bore.
Sumber berkata, kejadian berlaku apabila mangsa dikatakan cuba menyorok senjata api tersebut di bawah titi berkenaan selepas menyedari kelibat orang awam yang melalui jalan terbabit.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0619&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz3dSUm9qDk 
Hakcipta terpelihara 

Maut dipukul adik, saudara sendiri



DI tepi jalan berdekatan sebuah pasar di Jelutong, George Town inilah Eng Bee (gamabr kecil) dipukul hingga mati oleh adik dan saudaranya sendiri malam kelmarin.


GEORGE TOWN – Malang nasib seorang lelaki warga emas apabila maut setelah hampir 12 jam bertarung nyawa dipercayai akibat dipukul adik kandungnya sendiri dan anak saudara mereka di tepi jalan berdekatan sebuah pasar di Jelutong di sini malam kelmarin.
Mangsa, Ooi Eng Bee, 67, di­sahkan mati kira-kira pukul 7.45 pagi semalam semasa menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) akibat mengalami pendarahan otak selain terdapat kesan calar pada tangan, kaki dan muka.
Difahamkan, kejadian pergaduhan itu berlaku kira-kira pukul 8 malam kelmarin dan polis dimaklumkan mengenai kejadian tersebut daripada isteri mangsa di HPP.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, susulan laporan kejadian itu polis telah menahan empat lelaki terdiri daripada seorang adik mang­sa berusia 63 tahun dan tiga saudara mereka termasuk seorang wanita yang masing-masing berusia 32, 33 dan 58 tahun.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0619&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz3dSUC4j2D 
Hakcipta terpelihara 

Padah punggah kayu bergergaji



Lori yang digunakan untuk mengangkut kayu bergergaji yang dirampas di Kampung Iboi Ulu, Sadong Jaya semalam.


KOTA SAMARAHAN – Tindakan dua lelaki memunggah kayu bergergaji dipercayai secara haram mengundang padah apabila mereka dicekup polis di Kampung Iboi Ulu, Sadong Jaya di sini semalam.
Kedua-dua suspek berusia 24 dan 34 tahun itu ditahan lima anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima Sarawak pukul 12.40 tengah hari.
Komander PPM Wilayah Lima Sarawak, Asisten Komisioner Kalai Chelvan Nadarajan berkata, semasa pihaknya melakukan serbuan, kedua-dua suspek sedang memunggah kayu berkenaan ke dalam sebuah lori tiga tan.
Menurut beliau, serbuan tersebut dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat yang memaklumkan berlaku aktiviti pemunggahan kayu bergergaji haram di kawasan berkenaan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0619&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz3dSTurj2K 
Hakcipta terpelihara 

60 juta pelarian di seluruh dunia – PBB


GAMBAR menyayat hati ini menunjukkan seorang pelarian Syria dari bandar Tel Abiad yang membawa anaknya merayu untuk masuk ke sempadan Turki di pagar kawat sempadan Akcakale di wilayah Sanliurfa, Turki pada 15 Jun lalu. - REUTERS


GENEVA – Konflik dan keganasan di seluruh dunia menyebabkan angka penduduk yang menjadi pelarian meningkat kepada 60 juta pada tahun lalu, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.
Jumlah itu bertambah sebanyak 8.3 juta orang berbanding 2013 iaitu suatu peningkatan ter­tinggi dalam masa setahun, lapor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) dalam laporan bertajuk Dunia Dalam Perang.
“Kami menyaksikan satu perubahan paradigma yang tidak terkawal pada era yang memaksa suatu pemindahan yang belum pernah berlaku sebelum ini,” ujar Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian, Antonio Guterres kepada pemberita.
Sejumlah 59.5 juta individu terpaksa melarikan dari rumah mereka di seluruh dunia sehingga hujung 2014 akibat pengania­yaan, konflik, keganasan umum atau pelanggaran hak asasi manusia, menurut laporan tersebut.
Jumlah yang dicatatkan pada 2013 ialah sebanyak 51.3 juta pelarian jauh berbeza dengan 37.5 juta orang dalam tempoh sedekad yang lalu. Malah, jika mereka berkumpul sebagai satu negara, ia boleh mewujudkan sebuah negara ke-24 terbesar dunia.
Daripada keseluruhan golongan berkenaan, sebanyak 19.5 juta di kate­gorikan sebagai pelarian, 1.8 juta pencari suaka dan 38.2 juta lagi merupakan kalangan penduduk yang terpaksa berpindah tetapi masih berada di negara sendiri, tambah laporan itu.
Lebih separuh daripada pelarian di dunia adalah kanak-kanak.
“Perkara ini semakin di luar kawalan dan dunia seakan sedang berperang,” tegas Guterres sambil memberitahu kon­flik di negara Syria dan Iraq sahaja te­lah memaksa 15 juta penduduk lari mening­galkan kediaman mereka. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0619&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3dSSUd0q8 
Hakcipta terpelihara 

Beri projek kepada syarikat anak


SPRM tahan pegawai kanan Kementerian Kesihatan

KUALA LUMPUR 17 Jun - Seorang pegawai kanan Kementerian Kesihatan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM) baru-baru ini kerana dipercayai menyalahguna kuasa dengan memberi projek yang ditawarkan kementerian itu kepada syarikat milik anaknya yang baharu sebulan beroperasi.
Sumber memberitahu, pegawai yang menjaga hal ehwal kejururawatan itu dipanggil memberi kete­rangan oleh SPRM setelah mendapat aduan dia memaksa kaki­tangan kementerian supaya menye­rahkan tiga projek melibatkan pem­bangunan Teknologi Informasi dan Komunikasi (ICT) kepada syarikat anaknya sejak awal tahun lalu walaupun tidak mempunyai kredibiliti menjalankan projek terbabit.
Lebih menimbulkan spekulasi, sumber memberitahu, pegawai itu turut dilindungi oleh pihak kementerian yang seolah-olah menutup mata mengenai isu ketirisan dalam meluluskan projek tersebut.
“Perbuatan memberi projek ke­pada syarikat anaknya telah me­nimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan kontraktor yang lebih berkelayakan menjalankan projek tersebut memandangkan syarikat anaknya itu baru sahaja sebulan ditubuhkan.
“Oleh kerana wujud unsur salah guna kuasa oleh pegawai terbabit, dia telah ditahan dan beberapa saksi turut dipanggil memberi keterangan sejak sebulan lalu bagi membantu siasatan kes itu,” kata sumber ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Tambah sumber itu, walaupun siasatan sedang dilakukan oleh pihak SPRM, tetapi masih tiada sebarang tindakan diambil oleh kementerian.
“Kebiasaannya mana-mana individu yang disiasat SPRM akan diasingkan atau dipindahkan ke jabatan lain buat sementara waktu tetapi sebaliknya, pegawai tersebut masih lagi berada di posisi jawatannya dan tiada tindakan diambil daripada pihak kementerian.
“Keadaan ini boleh menimbulkan ketakutan kepada pegawai-pegawai serta kakitangan lain yang menjadi saksi kes berkenaan,” kata sumber itu lagi.
Semalam, SPRM turut menahan bekas Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berpangkat Datuk bersama pelukis pelan jabatan tersebut kerana dipercayai terlibat meminta wang suapan membabitkan nilai hampir RM250,000.
Pegawai kanan itu dikatakan meminta sejumlah wang terbabit daripada kontraktor sebuah syarikat sebagai dorongan tidak diambil tindakan selepas kontraktor terbabit mengeluarkan pasir semasa menjalankan kerja pembersihan empangan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/beri-projek-kepada-syarikat-anak-1.104209#sthash.jWKnk9yY.dpuf

MT Orkim Harmony: Bapa bersyukur, harap anak pulang dengan selamat


SETIU 18 Jun - Bapa kepada seorang daripada anak kapal MT Orkim Harmony berharap anaknya Nor Zaini Ahmad Bustaman dapat pulang dengan selamat dan menyambut Aidilfitri bersama-sama keluarga.
"Saya bersyukur kalau semuanya sudah disahkan dalam keadaan selamat. Sebagai seorang ayah, tidak ada apa yang lebih menggembirakan saya jika anak saya dapat pulang dengan selamat.
"Sejak anak saya bekerja dalam bidang perkapalan kira-kira tiga tahun lepas dia memang tidak berpeluang berpuasa dan menyambut hari raya bersama kami," kata Ahmad Bustaman Deraman, 57, ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Merbau Menyusut di sini hari ini.
Panglima Wilayah Laut 1 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),Laksamana Muda Datuk Azahari Abdul Rashid mengesahkan kapal tangki MT Orkim Harmony yang hilang sejak Khamis lalu, disahkan ditemukan di perairan Kemboja semalam dengan kesemua 22 anak kapalnya selamat.
Katanya, pihak berkuasa sedang berunding dengan perampas kapal tangki itu.
Ahmad Bustaman berkata , mereka sekeluarga sentiasa berdoa dan turut melakukan solat hajat bersama-sama penduduk kampung bagi mendoakan kesejahteraan dan keselamatan anaknya serta semua anak kapal yang lain.
Menurutnya kali terakhir berjumpa anaknya adalah pada sebulan lepas sebelum anak keempat daripada lapan beradik ini kembali bertugas.
Beliau berkata, mereka sekeluarga sentiasa mengikuti perkembangan berita berkenaan kapal tangki itu menerusi televisyen.
Kapal MT Orkim Harmony yang membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta dilapor hilang pada 8.57 malam 11 Jun ketika dalam perjalanan dari Melaka menuju Pelabuhan Kuantan.
Kapal yang dimiliki syarikat Magna Meridian Sdn Bhd itu membawa 22 anak kapal termasuk 16 rakyat Malaysia serta rakyat Indonesia dan Myanmar.- BERNAMA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/mt-orkim-harmony-bapa-bersyukur-harap-anak-pulang-dengan-selamat-1.104374#sthash.FLZHzYIs.dpuf

Lapan perampas berada atas kapal MT Orkim Harmony


KUALA LUMPUR 18 Jun - Sekurang-kurangnya lapan perampas bersenjata dilihat berada atas kapal tangki Malaysia "MT Orkim Harmony" yang hilang pada Khamis lalu dan kini dikesan di perairan Kemboja, demikian menurut Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, kesemua mereka yang berada di kapal itu, yang dicat semula dan ditukar nama kepada 'Kim Harmon', bersenjatakan pistol dan parang.
Mereka juga bertutur dalam Bahasa Melayu loghat Indonesia, katanya dalam satu tweet.
"KD Terengganu sekarang sedang memujuk perompak-perompak yang berada atas kapal itu supaya menyerah diri dan berjanji mereka tidak akan diapa-apakan. KD Terengganu sedang mengekori kapal tersebut dan berkomunikasi dengan Kapten kapal itu.
"Semua kru berada dalam keadaan selamat dan tidak diapa-apakan," katanya.
"Kapal tangki yang membawa muatan petrol itu dilaporkan hilang pada 8.57 malam 11 Jun ketika dalam pelayaran dari Melaka di pantai barat ke Kuantan di pantai timur Semenanjung.
Kapal tangki itu milik Magna Meridian Sdn Bhd dan daripada 22 krunya, 16 daripada mereka warga Malaysia, lima rakyat Indonesia dan seorang warga Myanmar. - BERNAMA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/lapan-perampas-berada-atas-kapal-mt-orkim-harmony-1.104375#sthash.g4K0Bd1G.dpuf

Syukur anak kapal selamat


Bapa mahu sambut Ramadan bersama anak

a
SEREMBAN 18 Jun - Bapa kepada kru kapal tangki MT Orkim Harmony, Nurul Nafis Abdul Rauf, 34, melahirkan rasa syukur apabila menerima maklumat anaknya selamat selepas kapal itu berjaya dikesan di perairan Kemboja hari ini.
Abdul Rauf Salleh, 57, berkata, buat masa ini dia enggan memberikan sebarang komen mengenai perkara itu, namun berterima kasih dengan usaha yang dilakukan bagi memastikan anaknya selamat.
“Apa yang saya dimaklumkan usaha rundingan masih lagi dijalankan dan saya tidak dapat berikan apa-apa penjelasan mengenai perkara itu. Tetapi saya bersyukur apabila anak saya yang berada di dalam kapal berkenaan selamat.
“Cuma saya harap usaha yang dijalankan oleh pihak berkuasa berjalan dengan lancar supaya anak saya dapat kembali ke pangkuan keluarga sempena Ramadan kali ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Nurul Nafis yang merupakan anak keempat daripada lima adik-beradik telah berkhidmat selama empat tahun bersama syarikat pemilik kapal MT Orkim Harmony sebagai jurutera.
Penemuan kapal tersebut yang telah ditukar cat dan namanya di perairan Kemboja disahkan oleh Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia Tan Sri Abdul Aziz Jaafar hari ini.
Kapal berkenaan sedang diawasi oleh pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) selain penglibatan daripada pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) serta Tentera Udara Diraja Australia.
Sebelum ini, kapal yang membawa muatan petrol RON95 seberat 5,879 tan metrik bernilai RM21 juta milik Petronas itu dalam perjalanan dari Singapura menuju ke Kuantan, Pahang melalui perairan Laut China Selatan, Khamis lalu dilaporkan hilang selepas 10 jam terputus hubungan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/syukur-anak-kapal-selamat-1.104617#sthash.Zo45Gbmm.dpuf

Taktik baharu edar dadah dibongkar


15 pengedar ditahan, dadah RM25,000 dirampas

Willey Richard (kanan) menunjukkan dadah bernilai RM25,000 yang
Willey Richard (kanan) menunjukkan dadah bernilai RM25,000 yang dirampas dalam serbuan di sekitar Kajang dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Selangor, semalam. Bernama
KAJANG 18 Jun - polis berjaya membongkar taktik baharu pengedaran dadah dengan menggunakan bekas gula-gula berikutan tertangkapnya 15 suspek di sekitar sini, baru-baru ini.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Willey Richard berkata, aktiviti tersebut berjaya ditumpaskan apabila sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang membuat enam serbuan di sekitar daerah ini bermula 12 Jun lalu hingga semalam.
Menurutnya, serbuan tersebut dilakukan hasil risikan selama se­minggu setelah pihaknya mendapat aduan daripada orang ramai mengenai kegiatan pengedaran dadah di kawasan tersebut.
“Kita melakukan serbuan secara berasingan dan dalam kesemua serbuan terbabit, kita berjaya merampas 85.55 gram dadah yang terdiri daripada jenis syabu, pil kuda, eri­min 5, ketamin dan heroin dianggarkan bernilai RM25,000.
“Turut dirampas beberapa bekas gula-gula yang digunakan untuk menyimpan kesemua dadah ini,” katanya di sini hari ini.
 Mengulas lanjut, Willey memberitahu, kesemua yang ditahan berusia lingkungan 19 hingga 42 tahun dan dipercayai sudah menjalankan aktiviti menjual dadah sejak lima bulan lalu di sekitar daerah Kajang.
“Suspek menyasarkan penagih tegar sebagai pembeli dengan harga dadah ini dijual semurah RM25 sepeket.
“Siasatan kami mendapat empat daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah manakala suspek lain tidak memiliki rekod jenayah lampau,” ujarnya.
Tambah Willey, empat suspek sudah dituduh di mahkamah manakala 11 lagi ditahan reman selama seminggu untuk siasatan lanjut.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/taktik-baharu-edar-dadah-dibongkar-1.104593#sthash.UC825Nws.dpuf

Lanun gagal jual minyak


KEDUDUKAN kapal MT Orkim Harmony yang berjaya dikesan berdekatan perairan Vietnam, semalam.
KEDUDUKAN kapal MT Orkim Harmony yang berjaya dikesan berdekatan perairan Vietnam, semalam.
PUTRAJAYA 18 Jun – Cubaan sekumpulan lanun menjual minyak petrol RON95 bernilai RM21 juta yang dibawa oleh MT Orkim Harmony selepas berjaya merampas kapal itu di Timur Laut Tanjung Sedili, Johor tujuh hari lalu musnah apabila muatan petrol RON95 berjumlah hampir 6,000 tan metrik itu ditemui masih `selamat'.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Ma­ritim Malaysia (Maritim Malaysia), Datuk Ahmad Puzi Ab. Kahar berkata, perkara tersebut telah disahkan oleh pemilik kapal itu, Magna Meridian Sdn. Bhd berdasarkan foto kapal terkini yang dirakam oleh pesawat P-3C Orion milik Tentera Udara Diraja Australia selepas berjaya mengesan kedudukan kapal itu, pada pukul 6 petang semalam.
Beliau berkata, berdasarkan kepada kepakaran syarikat berkenaan, selepas melakukan perban­dingan antara foto itu dengan foto sebelum ini jelas menunjukkan muatan petrol RON95 yang dibawa oleh kapal itu masih tidak terjejas.
“Antara kaedah untuk mengetahui sama ada muatan minyak petrol itu terjejas atau tidak adalah dengan melihat kedudukan antara kapal itu dengan laut. Berdasarkan foto yang dirakam oleh pesawat P-3C Orion, pemilik kapal itu mengesahkan kedudukan kapal berkenaan begitu rendah dengan laut.
“Itu menunjukkan kapal ber­kenaan masih dipenuhi dengan muatan. Sekiranya muatan petrol itu berjaya dipam keluar sudah tentu kedudukan kapal ini dengan laut lebih tinggi berbanding sekarang,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat Maritim Malaysia di sini hari ini.
Utusan Malaysia pada 15 Jun lalu melaporkan kapal tangki itu telah dilarikan selepas sindiket lanun di Laut China Selatan mengetahui kapal tersebut membawa muatan petrol RON95 bernilai RM21 juta.
Bagaimanapun Ahmad Puzi dalam laporan akhbar tersebut berkata, disebabkan bahan yang hendak dijual itu adalah petrol RON95 dan langkah mengeluarkan bahan api tersebut daripada tangki kapal memerlukan prosedur khas, berkemungkinan besar usaha mencari pembeli di sekitar kepulauan berhampiran perairan negara agak sukar.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/lanun-gagal-jual-minyak-1.104629#sthash.qy6R4Qs5.dpuf

Thailand catat kes MERS pertama


Kerajaan pimpinan Presiden Korea Selatan, Park Geun-hye (kanan)
Kerajaan pimpinan Presiden Korea Selatan, Park Geun-hye (kanan) dikritik pelbagai pihak berikutan kegagalan menangani penularan virus MERS-CoV. REUTERS
BANGKOK 18 Jun – Thailand hari ini mengesahkan kes pertama Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS-Cov), sekali gus menjadi negara keempat mencatat jangkitan maut tersebut tahun ini, ketika angka kematian akibat wabak sama di Korea Selatan meningkat kepada 23 orang.
Menteri Kesihatan Awam, Rajata Rajatanavin berkata, pesakit itu merupakan ahli perniagaan berusia 75 tahun dari Oman.
“Dua ujian makmal mengesahkan mangsa dijangkiti MERS-CoV. Pesakit datang ke Bangkok untuk menjalani rawatan jantung,” katanya pada satu sidang media di sini.
Rajata berkata, sebanyak 59 individu lain termasuk tiga ahli keluarga pesakit berkenaan juga kini dipantau bagi memastikan mereka tidak dijangkiti virus berkenaan.
Sementara itu, tiga lagi kematian baharu (MERS-Cov) dicatatkan di Korea Selatan, menjadikan jumlah korban wabak itu meningkat kepada 23 orang, hari ini.
Kementerian Kesihatan juga mengesahkan tiga kes jangkitan terbaharu, sekali gus menjadikan semua 165 kes sejak wabak itu direkod, bulan lalu.
Peningkatan itu mula mengundang rasa gusar dalam kalangan rakyat Korea Selatan memandangkan kerajaan tidak dapat berbuat apa-apa bagi menghentikan penularannya, malah belum membuat sebarang pengumuman.
Seorang pakar kesihatan, Kang Cheong-hee mengkritik cara Presiden, Park Geun-hye menangani situasi yang disifatkan sebagai serius dan kompleks ketika ini.
“Kami tidak pasti adakah setiap pesakit benar-benar dikuarantin, selain daripada perkembangan ke­sihatan mangsa sedang diawasi.
“Sepatutnya kerajaan mengambil langkah drastik engan memastikan pesakit tidak langsung dibenarkan bercampur orang biasa,” katanya.
Dengan jumlah kes mencecah 165, krisis MERS-Cov di Korea Selatan dianggap sebagai yang terbesar di luar Arab Saudi. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/thailand-catat-kes-mers-pertama-1.104511#sthash.Jw5MwlrI.dpuf