Search This Blog

Wednesday, June 17, 2015

Dua majikan kena kompaun

Dua majikan kena kompaun
Khairul Anuar menunjukkan salinan cek kompaun yang dibayar oleh majikan kerana melakukan kesalahan di bawah akta Imigresen.

TELUK INTAN - Dua majikan warga tempatan dikenakan kompaun selepas didapati memberi perlindungan dan menggaji pendatang asing tanpa izin (Pati) yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen.

Ketua Imigresen Cawangan Teluk Intan, Khairul Anuar Sulaiman berkata, tindakan dua majikan itu dikesan dalam Ops Belanja dan Ops Dandan yang dijalankan pihaknya di daerah ini bulan lalu.

Menurutnya, pada Ops Belanja, majikan terbabit dikenakan tindakan kompaun sebanyak RM6,000 selepas didapati melindungi seorang wanita warganegara Indonesia  yang melakukan kesalahan tinggal lebih masa di negara ini.

"Ketika melakukan pemeriksaan di sebuah pasaraya, kami mendapati dokumen perjalanan wanita yang berusia 34 tahun itu sudah tamat tempoh.

"Majikan yang ditahan pada Ops Belanja ini adalah lelaki berusia 27 tahun,” katanya.

Khairul Anuar berkata, dalam Ops Dandan pula, majikan yang juga seorang wanita berusia 35 tahun dikenakan kompaun sebanyak RM8,000.

Katanya, wanita itu ditahan selepas didapati menggaji seorang wanita warganegara Indonesia berusia 20 tahun yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

"Wanita ini ditahan ketika Ops Dandan di Jalan Bandar," katanya.

Tambahnya, menjadi satu kesalahan bagi majikan warga tempatan menggaji Pati yang melanggar akta Imigresen dan mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 56 (1) (d) Akta dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63.

Beliau berkata, operasi membanteras Pati akan dilakukan secara berterusan dari masa ke semasa.

"Malah kami juga tidak akan menumpukan perhatian di satu-satu lokasi tertentu dalam satu tempoh lama kerana kawasan operasi terlalu luas.

"Oleh itu, kerjasama daripada orang ramai amat dialu-alukan bagi memastikan usaha membanteras Pati ini berjalan lancar," katanya.

Buruh dituduh rogol gadis bawah umur

Buruh dituduh rogol gadis bawah umur
Wan Maula Wan Abdullah, 35, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, kelmarin atas dua pertuduhan merogol seorang gadis bawah umur berusia 15 tahun.

KUALA TERENGGANU - Seorang buruh mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan merogol seorang gadis bawah umur berusia 15 tahun.

Wan Maula Wan Abdullah, 35, mohon dibicarakan atas kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana merogol.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa merogol mangsa berusia 15 tahun di dalam tandas di sebuah rumah di Kampung Losong Haji Mat Shafie, Jalan Losong Haji Mat Shafie, antara jam 1 hingga 4 pagi, pada 3 Jun lalu.

Wan Maula dituduh sekali lagi mengulangi kesalahan sama terhadap mangsa di alamat sama antara jam 2 hingga 4 pagi, keesokannya.

Bagi setiap pertuduhan itu, Wan Maula berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Hakim Mohd Azhar Othman menetapkan 12 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Jumlah penduduk dipindahkan meningkat 211 orang

banjir Sabah
Banjir lumpur dari Gunung Kinabalu di Sungai Masilau berikutan hujan lebat di Kundasang 15 Jun 2015. - Foto Bernama

KUNDASANG - Jumlah penduduk Kampung Mesilau dekat sini yang dipindahkan ekoran kejadian banjir lumpur di Sungai Mesilau 1 dan Mesilau 2 meningkat kepada 211 orang daripada 47 keluarga sehingga jam 7 malam ini.   

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Mohd Affendi K Ramin berkata kesemua penduduk berkenaan ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Dewan Mini Kundasang.

 Sementara itu, Mohd Affendi berkata Pegawai Daerah Ranau dan Jabatan Bomba telah menasihatkan penduduk berhampiran empangan Kg Kirambang/Kg Liwagu  agar berpindah buat sementara waktu ke Dewan Masyarakat Ranau memandangkan empangan berkenaan telah dipenuhi dengan kayu balak.

Katanya kedua-dua agensi kerajaan berkenaan mengeluarkan nasihat itu kerana dikhuatiri air empangan akan melimpah ke kawasan berhampiran.

"Anggota bomba Ranau telah bersiap sedia untuk segala kemungkinan. Pusat pemindahan (Dewan Masyarakat Ranau) telah dibuka," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Sementara itu Anggota Dewan Undangan Negeri Kundasang, Datuk Dr Juakim Gunsalam ketika melawat penduduk yang dipindahkan di Dewan Mini Kundasang berkata walaupun kediaman penduduk kampung berkenaan belum terjejas dengan banjir lumpur namun ia sebagai langkah berjaga-jaga sehingga pihak berkuasa  dapat mengesahkan bahawa perkampungan mereka selamat daripada ancaman banjir lumpur.

Katanya setakat ini, empat jambatan sudah dihanyutkan banjir lumpur di Sungai Mesilau 1 dan Mesilau 2 iaitu jambatan di Kinabalu Resort, jambatan di Kg Montoki, jambatan Kg Kauluan dan jambatan Mount Kinabalu Golf Club.

"Yang kami takut ialah jika ada air bertakung di hulu. Kalau boleh, kita minta pihak berkuasa, sama ada menggunakan dron atau helikopter untuk membuat tinjauan keadaan di hulu sungai (berhampiran kaki Gunung Kinabalu).

Melalui cara ini, kita boleh meyakinkan penduduk untuk kembali ke kampung masing-masing," katanya. - Bernama

‘We all miss you young boy’

Kapal MT Orkim Harmony mungkin dirompak lanun

KUCHING - Keluarga kepada Mohd Nur Firdaus Nawawi Akihito, 24, pegawai dek kapal MT Orkim Harmony yang hilang Khamis lalu, mendoakan keselamatannya dan berharap dia akan selamat.
 
Di dalam Facebook, bapanya Akihito Nawawi turut mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan semua pihak terhadap keselamatan anaknya dan anak kapal yang lain.
 
"Terima kasih atas keprihatinan serta doa keluarga, saudara mara dan rakan-rakan terhadap dugaan yang cukup memberi tamparan hebat buat kami sekeluarga.
 
"Hari ini masuk hari ke 5. Anak saya Mohd Firdaus serta 22 krew Kapal Orkim Harmony masih belum ditemui. InsyaALLAH, semoga semuanya selamat dan kembali ke pangkuan keluarga. 'We all miss you young boy'."
 
Catatan turut dikongsi ibu Mohd Firdaus, Surayani Daud. Mereka dari Matang Jaya di sini berkongsi gambar keluarga bersama Mohd Firdaus di laman sosial tersebut.
 
Kapal MT Orkim yang membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta dilapor hilang pada 8.57 malam Khamis lepas ketika dalam perjalanan dari Melaka menuju Pelabuhan Kuantan. 
    
Kapal yang dimiliki syarikat Magna Meridian Sdn Bhd itu membawa 22 anak kapal termasuk 16 rakyat Malaysia serta rakyat Indonesia dan Myanmar. 
    
Mohd Nur Firdaus Nawawi dikatakan baru sebulan berkhidmat di atas kapal itu. - Bernama 

Misteri bau busuk di unit kondominium terjawab

Kes jenayah

KUALA LUMPUR - Misteri bau busuk di sebuah unit kondominium di Desa Petaling di sini sejak beberapa hari lalu terjawab apabila mayat seorang wanita ditemui dalam keadaan terlentang hari ini.

Mayat Ang Yoke Peng, 42, ditemui oleh seorang lelaki kira-kira 9.45 pagi yang curiga akan bau busuk lalu mengintai rumah mangsa dan mendapati tubuh mangsa di ruang tamu dalam keadaan menyayat hati.

Berikutan itu, satu laporan polis telah dibuat oleh lelaki itu dan anggota polis yang menerima maklumat bergegas ke tempat kejadian mendapati pintu jeriji rumah berkenaan berkunci manakala pintu utama terbuka separuh sehingga menyebabkan polis terpaksa memotong mangga pintu jeriji rumah mangsa untuk memeriksa keadaan rumah berkenaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok Sin, mayat mangsa ditemui dalam keadaan terlentang, perut kembung, muka bengkak dengan lidah terkeluar, tangan dan kaki yang hitam serta kulitnya telah mengelupas.

"Kami turut menemui sebatang penyapu mop pada sebelah kaki kiri dan sepasang kasut perempuan berhampiran kaki kanan mangsa.

"Selain itu, terdapat darah dan minyak kekuningan di sekitar tubuh mangsa yang mengalir di sekitar lantai ruang tamu dan kami percaya mangsa telah menemui ajal lebih kurang empat hari lepas," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Katanya siasatan awal mendapati mangsa yang menyewa di kediaman itu sejak 10 tahun lalu merupakan seorang ibu tunggal dan mempunyai dua orang anak yang kini menetap di Seremban.

Kok Sin berkata, mangsa mempunyai seorang teman lelaki yang berumur dalam lingkungan 40-an yang sering berkunjung ke rumahnya.

"Bagaimanapun, teman lelaki mangsa tiada di rumah tersebut ketika pemeriksaan dijalankan," katanya.

Hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh pasukan forensik mendapati tiada kecederaan yang nyata pada luaran tubuh mangsa dan keadaan mayat mangsa yang telah hitam menyukarkan mereka untuk melihat kesan lebam.

Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk siasatan lanjut. - Bernama

Ibu anak kapal sentiasa buat solat hajat

Ibu anak kapal sentiasa buat solat hajat
Rohani Yusof

BACHOK - Ibu kepada salah seorang anak kapal MT Orkim Harmony yang hilang di perairan Tanjung Sedeli, Kota Tinggi Johor pada 11 Jun lalu sentiasa mengadakan solat hajat walaupun dia sendiri berkerusi roda.
 
Rohani Yusof, 67, berkata, selepas mendapat berita mengenai kehilangan kapal syarikat tempat anaknya, Mohd Awis Abdullah, 28, dia tidak putus asa solat hajat untuk mendoakan keselamatan anak ke 10 daripada 11 beradik itu.
 
“Sejak dapat berita itu saya tak berselera makan dan tidur juga terganggu. Tak ada apa yang lebih penting selain mendoakan agar keselamatan Awis dan kapal itu segera ditemui.
 
"Saya harap semua dapat doakan keselamatan mereka dan pulang ke pangkuan keluarga dengan selamat. Tambahan pula dia baru sahaja menimang cahaya mata pertama Mac lalu," katanya yang menghidap strok sejak beberapa tahun lalu.
 
Rohani berkata, anaknya berkahwin dengan Nornabilah Razali pada tahun lalu dan dikurniakan seorang anak lelaki bernama Muhammad Alfateh, 2 bulan.
 
Menurutnya, sejak menimang cahaya mata, Mohd Awis sentiasa menghubungi isterinya untuk bertanya khabar Muhammad Alfateh.
 
Katanya, Awis baru sahaja bekerja dengan Orkim Ship Management Sdn Bhd lima bulan lalu dan dia amat menyukai kerjaya itu.
 
"Dia memang suka dengan kerja itu. Setiap kali balik dia akan bercerita mengenai perihal kerja kapalnya. Kami tidak pernah menghalang hasratnya untuk bekerja atas kapal. Apa yang penting dia jaga solat. Ini semua takdir ALLAH SWT dan kami doakan dia selamat," katanya.
 
Kapal tangki MT Orkim Harmony itu dilaporkan terputus hubungan pada jam 8.30 malam, 11 Jun lalu pada kedudukan 30 batu nautika timur Tanjung Sedeli. 
 
Kapal itu membawa 16 kru warga tempatan, lima warga Indonesia dan seorang Myanmar.

'Mak cik tak sangka perkara ini terjadi...'

Habibah Baharom
Habibah Baharum, 43, ibu kepada Muhammad Aiman Shafiz Marzuki ketika ditemui pemberita di kediamannya di Taman Seri Marina Fasa 2, Kuala Kedah di Alor Setar. - Foto Bernama

KUALA KEDAH – “Makcik harap dia pulang dengan selamat,” demikian luahan ibu kepada Muhammad Aiman Shafiz Marzuki, 20, salah seorang anak kapal MT Orkim Harmony yang dilaporkan hilang sejak 11 Jun, lalu.
 
Habibah Baharom, 43, yakin anak kedua daripada tiga beradik itu masih hidup dan berada dalam keadaan selamat.
 
“Makcik tidak sangka perkara ini akan terjadi tetapi besar harapan keluarga supaya dia dapat pulang ke rumah dengan selamat,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamannya dekat Taman Seri Marina Fasa Dua, di sini, hari ini.
 
Menurutnya, kali terakhir mereka sekeluarga berjumpanya adalah pada 27 Mei lalu ketika menghantarnya ke Terminal Bas Shahab Perdana, Alor Setar.
 
“Itu kali terakhir kami jumpa sebelum dia mengikuti latihan praktikal selama enam bulan bersama syarikat itu.
 
“Ini kali pertama dia mengikuti latihan perkapalan dan keluarga tidak menghalang kerana dia memang berminat dalam bidang tersebut,” katanya.
 
Habibah berkata, mereka dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh syarikat perkapalannya kira-kira jam 12 tengah hari keesokannya.
 
Muhammad Aiman adalah pelajar semester lima jurusan Diploma Kejuruteraan Perkapalan di Politeknik Ungku Omar, Ipoh.
 
Muhammad Aiman merupakan seorang pelajar cemerlang yang memperoleh purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 3.50.
 
“Kami hanya mampu berdoa, mengadakan majlis bacaan Yasin dan solat hajat supaya mereka semua selamat.
 
“Sehingga kini kami belum menerima apa-apa maklumat baru. Hanya mengikuti perkembangan semasa melalui televisyen,” katanya.
 
Sebelum ini, kapal yang membawa 6,000 metrik tan bekalan petrol RON95 dilaporkan terputus hubungan pada kedudukan 30 batu nautika timur Tanjung Sedili ketika dalam pelayaran dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan.
 
Syarikat Orkim Ship Management Sdn Bhd memaklumkan kehilangan kapal itu kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Wilayah Selatan kira-kira jam 6.30 pagi, Jumaat lalu.
 
Kapal tangki yang berdaftar di Malaysia itu membawa 22 anak kapal termasuk 16 rakyat Malaysia, lima warga Indonesia dan seorang Myanmar.

Lapan rumah setinggan musnah dijilat api

Kebakaran

SEMPORNA - Lapan buah rumah setinggan musnah dalam kebakaran di Kampung Air di sini, hari ini, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
  
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Mohd Affendy K Ramin berkata, Balai Bomba Semporna menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 10.05 pagi dan tiba ke tempat kejadian kira-kira empat minit kemudian.

"Seramai 10 anggota dan tiga buah jentera dikejarkan ke tempat kejadian dan kami berjaya mengawal kebakaran pada pukul 10.18 pagi," katanya dalam satu kenyataan.
  
Beliau berkata, pihak bomba mengalami kesukaran memadam kebakaran berikutan masalah tekanan air pili bomba di kawasan kejadian.
  
Mohd Affendy berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian sedang disiasat. - Bernama

Pembekal dadah dicekup dalam rumah

Pembekal dadah dicekup dalam rumah
Antara dadah yang dirampas.

KUALA LUMPUR - Kegiatan pengedaran dadah seorang lelaki terbongkar selepas ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Wangsa Melawati, Wangsa Maju, dekat sini, 11 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata,  serbuan kira-kira jam 5 petang itu berjaya merampas sebanyak 117 dadah jenis pil ekstasi.

Tambahnya, turut dirampas dua botol mengandungi cecair merah dipercayai methamphetamine, empat pil dadah eramine 5 serta tiga kapsul mengandungi serbuk dipercayai dadah ekstasi.

"Kesemua rampasan itu dianggarkan bernilai RM10,000.

"Suspek yang telah mendirikan rumah tangga berusia 31 tahun ditahan di rumahnya dan dipercayai aktif mengedar di pusat-pusat hiburan di daerah berhampiran," katanya selepas merasmikan Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati isteri suspek tidak terbabit dalam aktiviti pengedaran itu. Selain itu, pemeriksaan mendapati tiada rekod jenayah lampau direkodkan, namun ujian air kencing didapati positif.

“Kami menahan dan mereman lelaki itu selama tujuh hari sehingga 18 Jun ini, bagi mengenal pasti sumber bekalan dadah tersebut diperolehi selain mendapatkan maklumat berkenaan aktiviti pembekalan dadah di sekitar daerah ini.

"Kita memandang serius berkenaan aktiviti pengedaran dadah dan akan berusaha membanteras aktiviti tersebut termasuklah menjejak dalang-dalang utama yang terlibat dalam jenayah ini," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dipenjara 20 hari, ugut isteri orang lakukan seks

mahkamah

KUALA LUMPUR - Gara-gara mengugut isteri orang supaya melakukan hubungan seks dengannya, seorang pekerja kilang dihukum penjara 20 hari dan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
  
Majistret Nur A'minahtul Mardiah Md Nor menjatuhi hukuman itu terhadap Kwang Yee Shean, 36, yang mengaku bersalah atas pertuduhan mengugut seorang juruhias berusia 33 tahun, di sebuah premis perniagaan di Sentul di sini, pukul 10 pagi, 23 Mei lepas.
  
Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua duanya.
  
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula daripada tarikh dia ditangkap pada 9 Jun lepas, dan dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda itu.
  
Tertuduh membayar denda tersebut. 

Menurut fakta kes, Yee Shean telah menghantar mesej melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) menggunakan aplikasi Wechat kepada mangsa dan meminta wanita itu menemuinya untuk melakukan hubungan seks, tetapi mangsa menolak.
  
Yee Shean mengugut akan menghantar SMS melalui aplikasi Facebook Messenger memberitahu kepada semua orang bahawa mangsa adalah pelacur dan sesiapa yang berminat boleh menghubungi mangsa melalui nombor telefon yang disebarkan tertuduh.
  
Tertuduh juga mengugut akan menyebarkan rahsia mangsa dan akan melakukan sesuatu yang buruk kepada wanita itu.    
Ketika rayuan, Kwang yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana dia adalah penanggung tunggal keluarga selain telah menyesal dengan perbuatannya.
  
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Noor Svetlana Mohd Noor Nordin memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira tertuduh cuba menjatuhkan harga diri dan memalukan mangsa. - Bernama

Gempa bumi gegar Kathmandu sekali lagi

Gempa bumi

KATHMANDU - NEPAL. Satu kejadian gempa bumi menggegarkan Kathmandu dan daerah berdekatan pada awal Rabu.

Orang ramai keluar ke jalanan dan kawasan terbuka sambil menjerit kerana dikejutkan dengan gegaran itu sejurus selepas Subuh. Ada yang dilihat keluar dari rumah mereka dengan berbaju tidur.

Menurut Pusat Seismologi Nasional (NSC), gempa bumi berukuran 4.4 pada skala Richter itu berpusat di Kathmandu. Menurut NSC ia merupakan gegaran susulan daripada gempa bumi besar yang berlaku pada 25 April lalu.

Tiada kerosakan baharu dilaporkan akibat gempa itu setakat ini.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Laxmi Prasad Dhakal berkata: "Setakat ini kami tidak menerima apa-apa laporan mengenai kerosakan baharu".

Gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter melanda Nepal pada 25 April, mengorbankan hampir 9,000 orang dan merosakkan harta benda bernilai berbilion dolar Amerika.

Menurut NSC, lebih daripada 353 gegaran berukuran lebih 4 pada skala Richter melanda Nepal sejak 25 April lalu. Pada Selasa, dua gegaran kecil dirasai di Kathmandu.

"Gempa susulan adalah normal selepas gempa bumi besar dan ia akan berlanjutan untuk beberapa lama lagi," kata Bijaya Adhikari dari NSC.

Beliau berkata peluang untuk gempa bumi susulan yang besar di Nepal dalam masa akan datang adalah kecil dan menasihatkan orang ramai supaya tidak terlalu paranoid.

Bagaimanapun, katanya, tiada apa yang boleh diramalkan dengan tepat dan meminta supaya orang ramai sentiasa bersedia.

Nepal berada di zon seismik dan gempa bumi boleh berlaku bila-bila masa sahaja dan ia merupakan fenomena semula jadi, katanya. - Bernama 

Pencuri kantoi muat naik gambar di laman sosial

Pencuri kantoi muat naik gambar di laman sosial
Gambar yang dimuat naik pencuri tersebut di laman sosial.

NANJING - CHINA. Tindakan seorang lelaki memecah masuk ke rumah mewah dan kemudian memuat naik gambar kediaman tersebut serta berlagak seolah-olah miliknya di laman sosial mengundang padah kerana membawa kepada penangkapannya.

Menurut polis, lelaki tersebut menceroboh masuk ke dalam rumah mewah dan akan mengambil barangan yang dikehendakinya terlebih dahulu dan jika pemilik tersebut tidak pulang ke rumah mereka dalam masa terdekat dia akan tinggal di rumah tersebut dan berlagak seperti pemilik rumah berkenaan.

Malah lelaki itu turut memuat naik gambar-gambar kediaman mewah yang dicerobohinya di laman sosial We Chat dan QQ dengan mengatakan ia adalah rumah baru yang dibelinya hasil keuntungan pelaburan yang dibuatnya.

Sementara itu, salah seorang pemilik rumah berkenaan pernah membuat laporan polis selepas melihat seorang lelaki asing di dalam rumahnya melarikan diri dengan terjun melalui tingkat di rumahnya.

Pemilik itu juga mendakwa lelaki asing itu turut memasak serta mencuri beberapa wang asing, arak dan buku miliknya.

Balkoni runtuh: Lima maut, lapan cedera

Balkoni runtuh: Lima maut, lapan cedera
Balkoni pangsapuri runtuh menyebabkan lima maut, lapan cedera.

BERKELEY - CALIFORNIA. Sebuah balkoni pangsapuri runtuh awal hari ini di Berkeley menyebabkan lima terbunuh dan lapan cedera.

Jurucakap Jabatan Polis Berkeley, Jennifer Coats berkata, kebanyakan mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal

"Polis menerima panggilan kecemasan pada 1.00 pagi waktu tempatan dan sewaktu tiba pegawai mendapati balkoni di tingkat empat pangsapuri di Kittredge Street runtuh," katanya dipetik AP.

Tambahnya lagi, pihak polis dan penyiasat akan mengenalpasti punca kejadian dan maklumat mengenai mangsa termasuk umur dan jantina mangsa masih belum diketahui.

"Kami tidak mempunyai maklumat secara terperinci dan pihak penyiasat akan mencuba sedaya upaya untuk mendapatkan maklumat terperinci," katanya.

Sementara itu, kerajaan Ireland berkata, mangsa runtuhan yang maut dan cedera adalah terdiri daripada remaja  warga Ireland.

"Takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden runtuhan ini," kata Menteri Hubungan Antarabangsa Ireland, Charlie Flanagan dalam satu kenyataan.

Charlie berkata, Jeneral Konsul Ireland di San Francisco akan memberikan bantuan kepada mereka yang terlibat.

65 juta bayi kembar dibunuh sejak 1978?

bayi
Foto yang dirakam Jeff Abelin.

BEIJING - CHINA. 'Dasar satu anak, satu keluarga' di China sejak 1978 telah menyebabkan hampir 65 juta bayi kembar telah dibunuh dan 1.5 juta bayi perempuan dibuang setiap tahun di negara itu.

Dasar ini diperkenalkan oleh Presiden Deng Xiaoping pada 1978 untuk mengurangkan masalah sosial, ekonomi, dan alam sekitar China. Dasar ini bertentangan dengan dasar Mao Zedong pada 1949 bahawa 'dalam semua benda di dunia, manusia adalah paling utama'. Lebih besar penduduk, bermakna lebih banyak tenaga kerja.

Pada November 2013, kerajaan China mengumumkan yang dasar rasmi itu akan dilonggarkan bagi membenarkan pasangan memiliki dua anak jika salah seorang daripada mereka ialah anak tunggal.


KISAH YANG MENGEJUTKAN

Pada tahun 1997, ketika seorang jurugambar dari Amerika Syarikat, Jeff Abelin bersama-sama beberapa orang rakannya mendaki sebuah gunung di Wilayah Fuyang China, mereka terjumpa suatu bungkusan kain yang agak besar di kawasan lereng gunung tersebut.

Sangkaan awal mereka kain itu adalah peninggalan pendaki terdahulu, namun setelah diteliti, rupa-rupaya bungkusan kain putih itu mengandungi bayi perempuan yang masih bernyawa.

Lantas tanpa berlengah, Jeff serta rakan-rakannya membawa bayi berkenaan ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan. Namun apa yang mengejutkan, pegawai perubatan di hospital itu memaklumkan bahawa bayi itu sepatutnya ditinggalkan di sana dan tidak perlu diberi rawatan.

Keenganan pegawai perubatan berkenaan merawat bayi itu mengecewakan Jeff. Dia kemudian membawa semula bayi itu ke lereng bukit berkenaan kerana tidak tahu ke mana hendak meletakkan bayi tersebut.

Berat hati memikirkan tentang bayi itu, Jeff kembali semula ke lokasi itu beberapa hari kemudian namun kali ini dia dikejutkan dengan lebih ramai bayi diletakkan di tempat sama.


MALANG BAGI SIBAYI

Selang beberapa hari, bayi perempuan yang ditemui Jeff meninggal dunia kerana masalah radang dan komplikasi hati.

Bagi menzahirkan kesedihannya, Jeff telah mengambil sekeping foto bagi menceritakan betapa kejamnya dasar tersebut dan menjadi saksi bisu kes pembuangan bayi oleh pasangan di China kerana dasar 'satu anak satu keluarga'.

Gambar tersebut tidak pernah memenangi sebarang anugerah namun ia tersenarai antara 100 gambar yang mampu menggegarkan dunia.

Selepas tersebarnya gambar itu, para aktivis hak asasi manusia dengan lantangnya mengkritik kerajaan China atas pelaksanaan dasar kejam tersebut.


KESAN DASAR

Kerajaan China menganggap dasar itu sebagai kejayaan besar untuk mengatasi masalah kependudukan seperti kemiskinan, kelaparan, kebuluran, kesihatan, kadar celik huruf dan pelbagai masalah sosial lain.

Presiden AS George W. Bush menggunakan alasan hak asasi manusia untuk menghentikan AS$40 juta bayaran kepada UNFPA (China) pada awal tahun 2002.


NEGARA CHINA

Republik Rakyat China (RRC), China merupakan sebuah negara di Asia Timur yang merupakan negara paling ramai penduduknya di dunia dengan diduduki lebih 1,300 juta orang, iaitu kira-kira satu perlima manusia di bumi. China diperintah oleh Parti Komunis China di bawah sistem satu parti.

Pada keluasan kira-kira 9.6 juta kilometer persegi (3.7 juta batu persegi), RRC ialah negara ketiga atau keempat terluas di dunia dari segi keluasan keseluruhan dan negara kedua terbesar dari segi keluasan daratan.

Ia juga merupakan sebuah negara yang kuat dari segi ketenteraan dan ekonomi.

Merana jalin cinta dengan isteri orang


Kota Bharu: Gara-gara menjalin hubungan sulit dengan isteri orang, seorang lelaki berusia 31 tahun bukan hanya cedera dibelasah suami teman wanitanya itu, malah rugi lebih RM50,000 selepas kereta Honda Civic Ferio miliknya dilarikan, semalam.

Kejadian berlaku jam 1.27 pagi di Jalan Kota Darulnaim, di sini, semalam.

Sumber berkata, mangsa sebelum itu diekori suami teman wanitanya bersama tiga rakan sebaik mangsa menghantar wanita lingkungan usia 20-an itu pulang ke rumah di Flat Kampung Sireh, di sini.

“Selepas menurunkan teman wanitanya, mangsa memandu kereta ke Jalan Kota Darulnaim, namun dipintas empat lelaki yang menaiki Perodua Kancil.

“Suspek keluar dari kenderaan dan terus memukul mangsa. Seorang daripadanya adalah suami teman wanita mangsa.

“Mangsa cuba mempertahankan diri sebelum berlaku pergelutan dengan salah seorang daripada suspek yang mengacukan pisau.

“Mangsa cedera di belakang badan ditoreh pisau sebelum suspek merampas kunci kereta mangsa dan melarikan diri bersama telefon bimbitnya,” katanya di sini, semalam.

Katanya, mangsa berlari ke restoran terdekat untuk meminta bantuan orang ramai sebelum dia dibawa ke klinik untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu.

Beliau berkata, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu dan kes masih disiasat mengikut Seksyen 395/397, Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2015 @ 10:16 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/58058#sthash.GrdLfg26.dpuf

Intip mangsa keluar wang ATM


Kajang: Sekumpulan penjenayah dikenali sebagai ‘Geng Yahama’ dikesan mengganas melakukan rompakan bersiri di daerah ini dengan taktik mengepung dan mengacukan pisau ke arah mangsa.

Dalam kejadian terbaru jam 8 malam Jumaat lalu, seorang suri rumah nyaris terjatuh selepas motosikal ditunggang ditendang empat penjenayah terbabit berhampiran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Willey Richard berkata, mangsa berusia 42 tahun itu dalam perjalanan dari Kajang menuju ke Bandar Baru Bangi, di sini.

“Bagaimanapun setibanya di lokasi kejadian, motosikal mangsa tiba-tiba ditendang seorang suspek dari belakang.

“Mangsa yang hampir terjatuh bagaimanapun sempat memberhentikan motosikal di bahu jalan. Keempat-empat suspek terus mengepung mangsa sebelum mengacu pisau ke arahnya,” katanya.

Menurutnya, suspek merampas beg tangan mangsa berisi RM1,500 dan beberapa dokumen penting termasuk Mykad.

“Kumpulan penjenayah sama dikesan menyamun seorang lelaki berusia 36 tahun di sebuah stesen minyak berhampiran Seksyen 16 Bandar Baru Bangi, di sini.

“Dalam kejadian kedua jam 11 malam Sabtu lalu, mangsa baru mengeluarkan RM1,000 dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di stesen minyak itu,” katanya.

Dia berkata, mangsa bagaimanapun diekori suspek sebelum ditahan di tengah jalan berhampiran rumahnya di Taman West Country, Bang, di sini.

“Suspek turut mengacu pisau ke arah mangsa sebelum mengarahkannya menyerahkan wang.

“Polis percaya suspek daripada kumpulan sama berdasarkan modus operandi digunakan dalam kes sebelum ini,” katanya.

Willey berkata, kumpulan ini dikesan sekali lagi melakukan rompakan membabitkan pekerja lelaki kedai serbaneka di Batu 11, Cheras di sini.

Dalam kejadian jam 9.50 malam Sabtu lalu itu, suspek menyerang pekerja kedai berusia 37 tahun sebelum melarikan wang dan telefon bimbit dianggarkan bernilai hampir RM2,000.

Katanya, hasil siasatan mendapati semua suspek menaiki motosikal model Yamaha 125Z yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Polis masih menjalankan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 / 397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dan bersenjata.

“Usaha memburu semua suspek dijalankan dan orang ramai diminta berhati-hati terutama selepas mengeluarkan wang di mana-mana mesin ATM,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2015 @ 10:45 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/58067#sthash.0kfnwnLj.dpuf

Asmara goyang...

Georgetown: Seorang pemandu lori memberi alasan kasihan dan prihatin terhadap nasib janda beranak satu ketika mereka ditangkap selepas disyaki berkhalwat di sebuah rumah di Nibong Tebal, kelmarin.
Lelaki berusia 36 tahun itu ditahan bersama wanita berusia 20 tahun serta seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan pasukan pegawai penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) yang membuat serbuan jam 1 petang selepas menerima aduan awam.
Ketua Unit Operasi JHEAIPP Khairul Azman Azizan berkata, selepas menerima maklumat awam, lima pegawainya pergi ke tempat kejadian untuk membuat pemeriksaan dan siasatan lanjut.
Beliau berkata, sebaik tiba, rumah berkenaan berkunci dan anggotanya terpaksa mengetuk pintu serta memperkenalkan diri, namun tidak dibuka hingga terpaksa menunggu sejam.
“Berikutan itu, kami meminta bantuan dua anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan sebelum akhirnya pintu depan dibuka wanita.
“Selepas memasuki rumah itu, kami menemui seorang lelaki yang baru keluar dari sebuah bilik dalam keadaan berpakaian lengkap manakala wanita itu mendukung bayi lelaki.
“Kedua-dua mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pernikahan kepada pegawai penguat kuasa agama dan hasil soal siasat mendapati rumah itu disewa lelaki berkenaan,” katanya.
Menurutnya, lelaki itu mengaku memberi izin kepada wanita berkenaan menumpang kerana kasihan berikutan wanita itu dikatakan sebatang kara selepas bercerai dengan bekas suami serta tidak bekerja.
Beliau berkata, kedua-dua mereka ditahan dan dibawa ke balai polis untuk laporan tangkapan dan siasatan lanjut mengikut Seksyen 27(a)(b), Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2015 @ 10:43 AM


WANITA yang ditahan mendukung bayi lelakinya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/58066#sthash.nb9MPbJz.dpuf

Diserang hendap tiga perompak


Kajang: Seorang pengurus syarikat pembinaan kerugian RM40,000 selepas diserang hendap tiga perompak yang menanti mangsa di hadapan rumahnya.

Dalam kejadian jam 2 pagi kelmarin, mangsa berusia 44 tahun itu difahamkan baru saja pulang ke rumahnya di Taman Bukit Segar Jaya di sini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Willey Richard berkata, mangsa yang memandu kereta Proton Waja dikatakan keluar dari kenderaannya masuk ke rumah.

Menurutnya, tiga suspek tiba-tiba muncul dan menolak mangsa hingga jatuh.

“Suspek merampas beg duit dan kunci kereta mangsa sebelum lari meninggalkan mangsa bersendirian di hadapan rumahnya.

“Siasatan awal mendapati seorang daripada suspek membawa pisau dalam kejadian itu,” katanya.

Menurutnya, polis percaya ketiga-tiga suspek berkemungkinan menunggu mangsa balik ke rumahnya sebelum menyamun mangsa.

“Ekoran kejadian itu mangsa segera membuat laporan di Balai Polis Kajang, di sini.

“Mangsa mendakwa kerugian RM500 bersama dokumen penting termasuk Mykad selepas dompet miliknya dilarikan penjenayah terbabit,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2015 @ 10:39 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/58064#sthash.C3V3nHNy.dpuf

Dihujani peluru dalam kereta

 Fardy Bungga dan Nabihah Kamal

am@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Seorang wanita warga Mongolia kritikal selepas dihujani lapan das tembakan peluru yang dilepaskan dua penjenayah bermotosikal.

Dalam kejadian jam 5.45 petang semalam, wanita berusia 26 tahun dan kekasihnya berusia 35 tahun diserang suspek berhampiran Jalan Dataran Bandar Utama di sini.

Kejadian dikatakan berlaku ketika mangsa berada di dalam kenderaan pacuan empat roda model Toyota Landcruiser dipandu teman lelakinya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim berkata, pasangan terbabit dipercayai menaiki kenderaan itu dari Bandar Utama menuju ke Damansara sebelum berhenti di tepi jalan untuk menjawab panggilan telefon.

Bagaimanapun sebuah motosikal dinaiki dua suspek lelaki muncul dan menghampiri kenderaan mangsa.

“Suspek kemudian melepaskan lapan das tembakan ke arah cermin kenderaan itu.

“Empat das tembakan terkena mangsa yang duduk di bahagian penumpang hadapan sebelum suspek melarikan diri dari lokasi kejadian,” katanya.

Menurutnya, mangsa wanita warga asing itu parah akibat ditembusi peluru pada beberapa bahagian tubuhnya.

“Bagaimanapun teman lelakinya tidak cedera.

“Mangsa yang parah itu kini dirawat di sebuah hospital swasta di Damansara. Dia dilaporkan dalam keadaan kritikal,” katanya, semalam.

Menurutnya, polis percaya kejadian berkenaan bermotifkan dendam dan setakat ini polis mengklasifikasikan kes mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Sementara itu polis menutup jalan berkenaan bagi membolehkan anggota polis forensik melakukan siasatan terhadap bukti ditemui.

Beberapa anggota polis forensik dilihat meletakkan penanda bahan bukti kes termasuk kelongsong peluru ditinggalkan penjenayah di atas jalan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2015 @ 10:47 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/58068#sthash.oKy0USnh.dpuf

Putus tangan

Kuala Lumpur
Mengerikan apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia 15 bulan putus pergelangan tangan kanannya akibat tersepit pada tangga eskalator di KL Sentral di sini, awal pagi semalam.
Lebih menyedihkan apabila tangan mangsa yang putus hanya berjaya dikeluarkan dari dalam eskalator itu kira-kira dua jam selepas kejadian.
Dalam insiden kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa, Mohd Afkar Daniel Freedy cedera parah ketika dibawa ibu bapanya pergi ke pusat beli belah itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad berkata, mangsa dikatakan berjalan ke arah tangga eskalator di tingkat dua bangunan itu.
Menurutnya, kejadian itu tidak disedari kedua ibu bapa mangsa yang ketika itu sedang membeli barang di premis berhampiran.
“Mangsa dipercayai menaiki eskalator dari aras dua menuruni tingkat satu bangunan sebelum tangan kanannya tersepit di tangga bergerak itu. Akibatnya pergelangan tangan mangsa putus dan memasuki celah eskalator itu.
“Insiden itu bagaimanapun disedari anggota pasukan polis bantuan yang berada di lokasi kejadian. Anggota polis itu kemudian segera memberi bantuan sebelum mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian ini dan polis percaya insiden ini lebih kepada kelekaan ibubapa memerhatikan mangsa.
“Tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian. CCTV hanya tertumpu di bahagian tangga sahaja,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2015 @ 7:17 PM


KEADAAN mangsa yang putus pergelangan tangan selepas tersepit pada tangga eskalator.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/58207#sthash.vmwrEq3t.dpuf

Tak jadi bunuh diri kerana sungai kotor

Zhejiang: Seorang lelaki berusia 48 tahun yang cuba melemaskan dirinya dalam usaha untuk membunuh diri di sungai di sini membatalkan hasratnya kerana air sungai itu terlalu kotor.
Lelaki itu yang hanya dikenali sebagai Liu memberitahu polis, dia mengalami kerugian besar dalam perniagaannya, menyebabkan dia mengambil keputusan membunuh diri.
Dia terjun ke Sungai Yiwu kelmarin. Sebaik berada dalam sungai itu, dia kesal dengan keputusannya kerana air sungai itu terlalu kotor dan busuk, sebelum dia cuba berenang ke tebing.
Bagaimanapun, bukan senang untuk dia berbuat demikian kerana arus deras sungai itu, diburukkan pula dengan hujan lebat.
Dia berjaya mengapungkan dirinya ketika dihanyutkan ke hulu sungai. Mujur ada orang melihatnya sebelum menelefon polis.
Dia memberitahu pasukan perubatan: “Saya tidak jadi bunuh diri kerana air sungai itu busuk dan kotor. Saya juga tidak akan cuba lagi untuk bunuh diri.” - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2015 @ 8:06 AM


LIU (dua dari kanan) diselamatkan di Sungai Yiwu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/58021#sthash.b3P5vybw.dpuf

Dadah dalam roti

Medan: Gerakan Anti Dadah Indonesia mengesan taktik baru pengedar dadah yang mencampur bahan terlarang itu dalam makanan ringan termasuk roti untuk mengaburi mata pihak berkuasa.
Ketua Gerakan Anti Dadah Indonesia, Zulkarnain Nasution berkata, polis bandar ini berjaya menahan dua suspek dan menemui 270 gram dadah jenis syabu yang dicampur dalam roti.
Katanya, ketika soal siasat kedua suspek mengaku menjual dadah berkenaan yang diletak dalam bungkusan roti untuk mengelirukan pihak berkuasa.
“Biasanya harga sebungkus roti ini hanyalah Rp15,000 (RM4.23) tetapi selepas dicampur dadah harganya menjadi Rp4 juta (RM1,129).
“Kami kini sedang berusaha membasmi sindiket dadah ini kerana bimbang ia mudah terjual kepada orang ramai,” katanya.
Beliau juga memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak terjerumus dengan aktiviti itu atau dijadikan mangsa untuk menyeludup dadah berkenaan.
“Kami berjaya merampas dadah dalam bungkusan roti berkenaan di sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi di Medan.
“Kami bimbang sekiranya dadah ini sudah beredar di sekolah dan kampus ia akan memberi kesan buruk kepada generasi muda,” jelasnya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2015 @ 12:40 PM


KETUA polis Medan, Nico Afinta Karokaro (dua dari kanan) menunjukkan syabu yang disembunyikan dalam bungkusan biskut.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/58109#sthash.2kR4sVn0.dpuf

Budak lelaki 10 tahun jalin hubungan sulit didenda RM26,294


KARACHI – Sebuah mahkamah puak di selatan Pakistan mendenda seorang budak lelaki berumur 10 tahun sebanyak AS$7,000 (RM26,294) kerana menjalinkan hubungan sulit dengan seorang wanita berkahwin berusia lewat 30-an, kata polis semalam.
Kejadian itu berlaku kelmarin di kampung Bakhrani, pedalaman wilayah Sindh pada jarak 510 kilometer ke utara bandar raya Karachi.
“Budak lelaki itu ditangkap menjalin hubungan sulit dengan wanita daripada suku lain yang mencetuskan perbalahan antara dua suku berkenaan,” kata seorang pegawai polis tempatan.
“Insiden itu dibawa ke sebuah mahkamah puak atau jirga yang kemudian memerintahkan keluarga budak lelaki itu membayar denda itu kepada pihak suami wanita berkenaan.
“Keluarga budak lelaki itu membayar pendahuluan sebanyak AS$500 (RM1,878) dan akan menyelesaikan baki denda dalam masa tiga bulan,” tambahnya.
Ketua polis daerah berkenaan, Umar Tufail mengesahkan kejadian itu tetapi memberitahu, mahkamah puak adalah diharamkan, manakala kes itu masih disiasat.
“Kami mendapat tahu bahawa sebuah jirga ditubuhkan untuk menyelesaikan isu hubungan sulit. Kami sedang menyiasat insiden ini kerana jirga diharamkan di Pakistan,” katanya.
Di bawah undang-undang jenayah Pakistan, seorang lelaki dewasa yang melakukan hubungan seks dengan kanak-kanak perempuan dianggap melakukan rogol tetapi sebaliknya jika seorang wanita meniduri budak lelaki. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0617&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3dGpBjmBy 
Hakcipta terpelihara 

18 maut kereta api langgar lori di Tunisia



AFP - ORANG RAMAI meninjau kawasan kemalangan kereta api dekat bandar El Fahes di Tunisia semalam.


TUNIS – Sekurang-kurangnya 18 orang terkorban dan 98 cedera apabila sebuah kereta api penum­pang melanggar sebuah lori di selatan ibu kota Tunisia, Tunis semalam, kata kementerian pengangkutan.
Kebanyakan kematian melibatkan penumpang kereta api itu yang tergelincir, kata kementerian berkenaan.
“Kedua-dua pemandu tren dan lori turut terbunuh,” menurut kementerian sama dalam satu kenyataan.
“Angka kematian semasa ialah 18 orang dan 98 lagi cedera,” kata seorang jurucakap perkhidmatan kecemasan, Mongi Khadhi.
Ketika kejadian, kereta api itu sedang menuju Tunis dari bandar Gaafour, 120 kilometer ke tenggara negara itu pada waktu puncak pagi semalam.
Pelanggaran berlaku dekat El Fashes, sekitar 60 kilometer dari Tunis sekitar pukul 6.30 pagi (waktu tempatan).
“Angka kemudian mungkin meningkat,” kata Menteri Pengangkutan Mahmoud Ben Romdhane dalam satu wawancara bersama stesen radio Mosaique FM.
Beberapa saksi berkata, mayat-mayat bergelimpangan di landasan, manakala terdapat ­mangsa yang masih terperangkap di bawah gerabak kereta api yang terbalik.
“Darah dan cebisan mayat bertaburan,” katanya kepada stesen radio Shems-FM.
Mereka yang cedera dibawa ke beberapa buah hospital di El Fahes dan Zaghouan. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0617&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3dGooWmvN 
Hakcipta terpelihara 

Gunung berapi Sinabung meletus


REUTERS - SEORANG wanita melihat Gunung Sinabung yang meletus di daerah Karo, wilayah utara Sumatra, Indonesia semalam.


JAKARTA – Lebih 10,000 penduduk kampung melarikan diri daripada letusan sebuah gunung berapi di barat Indonesia pada bulan ini dengan kebanyakan mereka berbuat demikian sejak beberapa hari lalu, kata seorang pegawai semalam.
Pihak berkuasa Indonesia menaikkan status amaran Gunung Berapi Sinabung di Pulau Sumatra pada tahap tertinggi mulai bulan ini berikutan peningkatan ketara aktiviti volkanik.
Sinabung yang ‘hidup semula’ dua tahun lalu meletus dengan kuat pada minggu lepas dengan menghamburkan abu dan batu panas ke udara.
Letusan kuat gunung berapi itu membunuh 16 orang pada tahun lalu. Sinabung kini mengeluarkan asap hitam tinggi ke udara sehingga menyebabkan rumah-rumah yang terletak jauh turut dilitupi debu.
“Kira-kira 7,500 penduduk telah dipindahkan dari kampung-kampung mereka susulan letusan gunung berapi itu pada hujung minggu lalu,” kata Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan, Tri Budiarto kepada agensi berita AFP.
“Mereka meninggalkan rumah dengan menaiki motosikal, kereta dan trak tentera. Kesemuanya merupakan penduduk dari enam buah kampung yang terletak dalam zon bahaya di selatan dan tenggara Sinabung,” katanya.
“Beberapa ribu penduduk meninggalkan kediaman mereka pada awal bulan ini dengan bilangan perpindahan kini mencecah 10,714 orang,” tambah Tri.
Penduduk yang berpindah kini berlindung di beberapa bangunan kerajaan dan rumah ibadat di pekan Kabanjahe yang terletak kira-kira 10 kilometer (km) dari Sinabung.
Sinabung semakin aktif dan memuntahkan batu serta gas panas sejauh 3km ke udara sebanyak empat kali sehari sejak awal pagi ini (semalam), kata ketua pos pemerhatian gunung berapi tersebut, Armen Putra.
“Kami masih dapat merasakan gegaran. Debu setinggi satu hingga dua milimeter meliputi jalan dan rumah sejauh 15 km dari kawasan gunung berapi berkenaan.
“Masa beberapa minggu diperlukan untuk membersihkan kawasan yang terjejas. Namun, buat masa ini, kami menyarankan kepada penduduk di sekitar Sinabung supaya berpindah,”katanya.
Gunung Berapi Sinabung yang meletus semula pada 2013 turut menyebabkan lebih 10,000 orang melarikan diri ke kampung-kampung yang berhampiran. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0617&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3dGnt32c1 
Hakcipta terpelihara 

Rakan serumah rakam aksi 
mandi pelajar perempuan diburu


KUALA LUMPUR 16 Jun – Seorang pelajar perempuan sebuah kolej swasta di ibu negara tidak me­nyangka aksinya sedang mandi di dalam bilik air dirakam rakan serumahnya di Taman Bunga Raya, Setapak, di sini sejak dua bulan lalu.
Mangsa berusia 20 tahun ha­nya menyedari kejadian berkenaan ketika dia sedang mandi dan bersiap untuk ke kolej pada pagi, 7 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, mang­sa dikatakan menyewa bersama-sama suspek di sebuah rumah teres dua tingkat yang diubah suai menjadi 12 bilik itu.
Menurut beliau, tingkat bawah rumah berkenaan mempunyai tiga bilik manakala tingkat atas pula sembilan bilik selain mempunyai tandas di setiap tingkat.
“Memandangkan bilik air di tingkat bawah rumah tersebut te­lah rosak mangsa terpaksa mandi di tingkat atas.
“Suspek yang menyedari mang­sa sering mandi di tingkat atas bertindak merakam aksi mandi pelajar perempuan menggunakan telefon bimbit,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis serah terima tugas Timbalan Ketua Polis Wangsa Maju di sini hari ini.
Dalam majlis tersebut, Deputi Superintenden Mohd Salahuddin Che Ali dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju yang baharu berkuat kuasa hari ini.
Beliau mengambil alih tugas Pemangku Superintenden A. Asmadi Abdul Aziz yang berpindah ke Jabatan Pencegahan Jenayah Keselamatan dan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman.
Mengulas lanjut, Mohamad Roy Suhaimi memberitahu, mang­sa bertanyakan perkara terbabit kepada lelaki berkenaan selepas menyedari aksi mandinya dirakam.
Berikutan itu, mangsa meram­pas telefon bimbit dan mene­mukan pemacu cakera yang me­nyimpan 12 koleksi rakaman video melibatkan tiga mangsa lain di rumah tersebut.
“Tiga daripada mangsa tersebut sete­rusnya membuat laporan polis kira-kira jam 9.45 pagi dan pada masa sama suspek melarikan diri.
“Kita masih memburu lelaki berusia 20 tahun berkenaan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 509 kanun keseksaan dan 506 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan lelaki itu, Woo Yeong Jian dengan alamat terakhir di Sungai Buloh, boleh tampil di mana-mana balai berdekatan untuk menyalurkan maklumat.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/rakan-serumah-rakam-aksi-8232-mandi-pelajar-perempuan-diburu-1.103850#sthash.BGm4cvCU.dpuf