Butterworth: Kejam. Itu ungkapan sesuai buat individu yang tergamak membuang bayi sebelum kedua-dua tangan insan tidak berdosa itu dibaham anjing manakala kepala pula terputus dalam kejadian di tepi sungai berhampiran kilang gula, di sini, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/57738#sthash.RyPfVN3Y.dpuf
Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, mayat bayi perempuan berkenaan ditemui seorang lelaki yang ketika itu sedang berehat di sebuah pondok kira-kira 20 meter dari lokasi.
Menurut sumber, lelaki berusia 51 tahun terbabit pada mulanya menyangkakan anjing berkenaan menggonggong anak anjing, namun dia pelik kerana melihat haiwan terbabit menggigit dengan rakus objek itu.
“Lelaki itu kemudian menghampiri anjing terbabit dan terkejut apabila melihat ia sedang membaham mayat bayi sebelum dia menghalaunya.
“Dia kemudian meminta bantuan rakannya menghubungi polis untuk tindakan susulan,” katanya.
Menurutnya, sepasukan anggota forensik tiba di lokasi kejadian dan siasatan mendapati tangan bayi itu sudah hilang kerana dipercayai dimakan anjing.
“Setakat ini, polis sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti umur bayi terbabit dan akan mengesan individu yang membuangnya.
“Mayat bayi itu mungkin dibuang tidak jauh dari lokasi ia ditemui sebelum digonggong anjing,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Prai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Menurutnya, mayat dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian terbabit diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2015 @ 5:22 AM