Search This Blog

Friday, June 12, 2015

Siasatan polis Thai hampir lengkap

Siasatan polis Thai hampir lengkap
Pihak berkuasa Thailand menggali dan membawa keluar mayat mangsa pemerdagangan manusia dari kubur di hutan Songkhla, bulan lalu.

BANGKOK - THAILAND. Polis Thailand semalam berkata, siasatan terhadap sindiket pemerdagangan manusia hampir selesai dan merancang untuk menghantar satu laporan mengenai hasil siasatan mereka kepada peguam negara, hujung bulan ini.

Menurut laporan Reuters, kerajaan Thailand mengambil tindakan tegas membanteras pemerdagangan dan penyeludupan manusia melalui jalan darat selepas penemuan lebih 30 kubur di sebuah kem rahsia di hutan Songkhla, bulan lalu.

Kubur berkenaan dipercayai lokasi pendatang Bangladesh dan penduduk Islam Rohingya dari Myanmar ditanam, selepas menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia.

Susulan daripada itu, 53 orang yang ada kaitan dengan kumpulan penyeludup termasuk pegawai polis dan ahli politik ditahan bagi membantu siasatan.

Manakala, waran tangkap telah dikeluarkan terhadap 90 suspek dan daripada jumlah itu 36 orang masih diburu.

"Siasatan dijalankan pihak polis hampir selesai dan akan diserahkan kepada peguam negara sebaik ia lengkap.

"Mereka yang belum ditangkap dan mahu bekerjasama, boleh terus menghadiri perbicaraan di mahkamah kerana kami akan menyerahkan nama-nama suspek kepada mahkamah," kata ketua polis Thailand, Somyot Pumpanmuang, semalam.

Zon selatan Thailand  adalah  laluan  utama bagi aktiviti pemerdagangan manusia serta menempatkan rangkaian kem-kem rahsia di mana pendatang ditempatkan dan hanya akan dibebaskan jika ahli keluarga mangsa membayar wang pampasan.

Ijazah palsu, menteri India letak jawatan


NEW DELHI - INDIA. Menteri Undang-undang Delhi, Jitendra Singh Tomar meletak jawatan selepas ditangkap polis kerana dituduh memiliki dan memalsukan Ijazah Sarjana Undang-Undang.

"Tomar menghantar surat peletakan jawatannya kepada Ketua Menteri dan beliau telah menerimanya," kata wakil Timbalan Ketua Menteri Delhi, Manish Sisodia.

Semalam, polis India mengesahkan penangkapan Tomar yang juga ketua Parti Aadmi Aam (APP) di kediaman peribadinya, pada Selasa.

Tomar yang memegang beberapa portfolio dalam kerajaan Delhi termasuk keadilan, berdepan pertuduhan konspirasi jenayah, penipuan dan pemalsuan.
 
Jurucakap polis Delhi, Rajan Bhagat berkata, Tomar  ditangkap  berikutan aduan daripada Majlis Peguam Delhi.

"Tomar menafikan semua tuduhan terbabit.  Tapi hasil siasatan awal, kami dapati banyak maklumat telah dipalsukan dan ijazahnya telah diubah," katanya dalam laporan Hindustan Times.

Sementara itu, Ketua Menteri Delhi, Arvind Kejriwal mendakwa penangkapan Tomar sebagai usaha untuk melemahkan pemerintahannya.

Bakal pengantin dikelar pencuri

Bakal pengantin dikelar pencuri
Wajah suspek yang berjaya dirakam CCTV.

GUANGDONG - CHINA. Seorang jurujual wanita yang akan menamatkan zaman bujangnya bulan hadapan maut selepas dikelar oleh seorang pencuri di sebuah pasar raya tempatnya bekerja, di sini semalam.
 
Menurut laporan Net Ease, mangsa melihat lelaki terbabit mencuri barangan di pasar raya berkenaan dan cuba bertindak untuk menghalang lelaki tersebut daripada meninggalkan pasar raya berkenaan.
 
Namun, kerana ketakutan, lelaki tersebut terus mengambil pisau dan mengelar leher jurujual berkenaan.
 
Wanita tersebut disahkan meninggal di tempat kejadian dan pasar raya berkenaan ditutup sementara untuk siasatan.
 
Lelaki tersebut kemudiannya berjaya ditahan di sebuah perkampungan di Zhanjiang.

Lelaki maut cuba makan tablet sendiri

tablet
Gambar hiasan

SAINT PETERSBURG - RUSIA. Seorang lelaki maut selepas cuba memakan peranti elektroniknya, sebuat tablet pada Isnin lepas.

Menurut Sputnik News, laporan polis dibuat selepas seorang lelaki didakwa menimbulkan kekacauan dan kekecohan di sebuah kawasan perumahan di Partnas.

Polis mendakwa lelaki berumur 41 tahun tersebut membaling objek, termasuk perabot ke luar rumahnya.

"Lelaki tersebut yang tidak bekerja telah menentang polis dan berterusan berkelakuan tidak sopan dan cuba memakan cawan yang pecah dan peranti tablet miliknya," dipetik dari kenyataan polis tempatan.

"Pegawai polis di tempat kejadian terpaksa menghentikan tindakan lelaki tersebut.

"Lelaki tersebut pengsan dan maut sebelum ketibaan pegawai perubatan," jelas kenyataan berkenaan.

Jenis peranti tablet tersebut tidak dapat dipastikan dan polis masih menyiasat kejadian tersebut.

Mers: 11 kematian dicatatkan

Mers: 11 kematian dicatatkan
Pekerja pembersihan membasmi kuman dalam gerabak kereta api bawah tanah di ibu negara. - Foto AFP

SEOUL - KOREA SELATAN. Angka kematian yang membabitkan wabak Sindrom Pernafasan Timur Tengah (Mers) meningkat kepada 11 orang.

Menurut laporan AP, lebih daripada 120 mangsa dijangkiti wabak ini sejak melanda Korea Selatan awal bulan lepas yang turut mencetuskan kebimbangan dikalangan masyarakat.

Kebanyakan mangsa yang meninggal dunia terdiri daripada pesakit yang mempunyai masalah pernafasan atau kanser.

Menurut Kementerian Kesihatan Korea Selatan, mangsa terbaru membabitkan warga emas berusia 72 tahun yang turut mengidap penyakit radang paru-paru.

Pesakit pertama dikesan dijangkiti Mers pada 20 Mei lalu selepas melakukan lawatan ke Arab Saudi.

Angkat bas untuk selamatkan warga emas

Angkat bas untuk selamatkan warga emas
Seramai hampir 100 orang membantu mengeluarkan warga emas tersebut.

GUANGZHOU - CHINA. Seorang warga emas berjaya diselamatkan selepas dilanggar dan terperangkap di bawah bas selepas terlibat dalam kemalangan.

Menurut laporan televisyen Guangdong, seramai hampir 100 orang yang berada di tempat kejadian membantu mengangkat bas yang menghempap mangsa di Lujing Road.

Operasi menyelamat mengambil masa selama 15 minit.

Wanita tersebut kemudiannya dikejarkan ke hospital dan mengalami kecederaan di kepala dan patah tulang tangan.

Tanah runtuh di Nepal, 21 maut


Gambar amatur yang sempat dirakam, menunjukkan kejadian gempa
Gambar amatur yang sempat dirakam, menunjukkan kejadian gempa bumi yang berlaku di pergunungan Taplejung, timur laut Nepal, Rabu lalu. AGENSI
KATHMANDU 11 Jun – Sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh dan kira-kira 27 lagi dilaporkan hilang dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku kelmarin di timur laut Nepal ekoran hujan lebat.
Penolong Pegawai Daerah, Surendra Kumar Bhattarai berkata, kejadian tanah runtuh tersebut berlaku hanya beberapa minggu selepas gempa bumi berkembar melanda negara ini yang mengorbankan kira-kira 8,700 orang, serta memusnahkan berpuluh-puluh rumah di daerah pergunungan Taplejung.
“Kami menjumpai 21 mayat, dan kira-kira 27 lagi dilaporkan hilang. Mereka dilaporkan berada di dalam rumah ketika kejadian berlaku.
“Selain itu, 10 orang dilapor­kan cedera,” jelas Bhattarai.
Ramai penduduk Nepal terkorban setiap tahun akibat banjir dan kejadian tanah runtuh ketika musim monsun.
Daerah pergunungan Taplejung tidak teruk terjejas dalam gempa bumi pada 25 April dan 12 Mei lalu, yang mengakibatkan setengah juta rumah musnah ­akibat dilanda tanah runtuh serta beribu-ribu penduduk kehilangan tempat tinggal beberapa minggu sebelum kedatangan monsun. 
– AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/tanah-runtuh-di-nepal-21-maut-1.101841#sthash.sEONjNv7.dpuf

Bekas ketua polis China dipenjara seumur hidup


BEIJING 12 Jun - Bekas Ketua Keselamatan China, Zhou Yongkang, bekas pegawai tertinggi negara ini, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup atas kesalahan rasuah, membocorkan rahsia negara dan menyalahgunakan kuasa.
Agensi berita Xinhua melaporkan, Zhou mengaku bersalah pada satu perbicaraan tertutup di bandar Tianjin, utara China.
Zhou, 72, yang merupakan bekas anggota badan pembuat keputusan tertinggi di China, Jawatankuasa Tetap Politburo Parti Komunis China dan mempunyai pengaruh besar sebagai ketua polis dan mahkamah sebelum bersara pada 2012.
Zhou melahirkan rasa menyesal dan tidak akan membuat rayuan dan mahkamah memutuskan untuk merampas harta peribadinya.
Xinhua yang memetik mahkamah sebagai berkata, Zhou dan beberapa orang sekutunya menerima lebih AS$338 juta (RM1.2 bilion) keuntungan daripada pelbagai aktiviti perniagaan haram yang dijalankan.
Zhou didapati bersalah menerima rasuah kira-kira 130 juta yuan, lapor Xinhua. - AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/bekas-ketua-polis-china-dipenjara-seumur-hidup-1.102032#sthash.3mTU0XZh.dpuf

Guru tertembak murid ketika bersihkan pistol


PESHAWAR 12 Jun - Seorang guru di pedalaman Mingora, barat laut Pakistan dengan secara tidak sengaja menembak mati seorang murid berusia 12 tahun, ketika dia sedang membersihkan pistolnya di dalam bilik guru, semalam.
Guru-guru di barat laut Pakistan dibenarkan membawa senjata ke bilik darjah selepas kumpulan militan Taliban membunuh 132 murid di sekolah tersebut pada Disember lalu.
“Guru berkenaan, Majid Khan sedang membersihkan pistol di bilik darjah tetapi secara tidak sengaja melepaskan tembakan dan terkena seorang pelajar yang melalui kawasan koridor di bilik guru itu,” ujar seorang pegawai polis, Fazl Rabi.
Menurut Fazl, pelajar tersebut meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Peshawar, Saleem Khan Marwat berkata, guru tersebut telah ditahan untuk siasatan.
Januari lalu, semua guru di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, barat laut negara ini dibenarkan membawa senjata dan diberikan latihan menembak kerana pihak berkuasa tidak menyediakan pengawal keselamatan di sekolah. - AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/guru-tertembak-murid-ketika-bersihkan-pistol-1.102033#sthash.JDA9iB5w.dpuf

Wartawan dibakar hidup-hidup


Hanya kerana dakwa ahli politik merogol

NEW DELHI 11 Jun - Seorang wartawan dibakar hidup-hidup baru-baru ini di India, hanya kerana dia me­nuduh seorang ahli politik merogol seorang jururawat dan terlibat dalam gejala rasuah.
Jagendra Singh
Mail Online melaporkan, Ja­gendra Singh dari Uttar Pradesh terkorban apabila sekumpulan lima anggota polis bertindak menyerbu rumahnya selepas menuduh ahli politik, Ram Murti Verma terlibat dalam gejala rasuah di laman sosial Facebook.
Polis berkenaan mendakwa, Singh meninggal dunia selepas membunuh diri, sebelum anaknya iaitu Rahul memberi penjelasan bahawa bapanya terkorban selepas dibakar oleh anggota polis terbabit.
Susulan daripada dakwaan tersebut, mahkamah bertindak menahan anggota polis itu atas kesalahan membunuh, selain turut menahan Verma atas kesalahan sama.
Rahul berkata, pembunuhan bapanya merupakan sebahagian daripada komplot jahat Verma berhubung tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.
“Verma bersama inspektor Sri Prakash Rai membakar ayah saya di hadapan kami sekeluarga. Polis yang terlibat telah diberi rasuah untuk melakukan tindakan tersebut,” jelas Rahul.
Pengerusi Jawatankuasa Media Massa India, C K Prasad mengutuk tindakan tersebut yang disifatkan sebagai cubaan untuk menghalang kebebasan bersuara dan akan me­nubuhkan badan penyiasat sendiri bagi menyiasat kes tersebut lebih mendalam.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/wartawan-dibakar-hidup-hidup-1.101833#sthash.1aPL3psj.dpuf