Search This Blog

Sunday, June 7, 2015

20 lagi mayat dipercayai PATI dikeluarkan

SABTU, 6 JUN 2015 @ 8:19 PM

ANTARA mayat yang ditemui dibawa ke Hospital Sultanah Bhiayah, Alor Setar untuk dirujuk kepada pakar patologi. - Foto BERNAMA

WANG KELIAN: Pasukan Gerakan Am (PGA), forensik dan siasatan yang terbabit dalam Op Wawasan Khas di sini berjaya membawa turun 20 lagi mayat yang dipercayai pendatang tanpa izin (PATI) dari kem di Bukit Genting Perah, di sini, kira-kira jam 6.55 petang tadi. Mayat berkenaan dikeluarkan PGA menerusi laluan Simpang Lima, Felcra Lubuk Sireh, di sini. Perkara itu disahkan Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Shafie Ismail, ketika dihubungi, tadi. Bagaimanapun, Shafie berkata jumlah kubur yang sudah digali setakat ini belum dapat dipastikan. Sehingga hari ini, sebanyak 69 mayat sudah dibawa keluar dari dua kawasan dalam hutan bukit sempadan Malaysia-Thailand yang didakwa menjadi kem transit PATI. Kesemua mayat dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk dirujuk kepada pakar patologi. Operasi mengeluarkan mayat dari kesemua kem transit yang ditemui dijangka selesai pada 8 Jun ini.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/59693

Singapura sahkan 5 pelajar, 1 guru terkorban di Sabah

AHAD, 7 JUN 2015 @ 2:33 PM

KUNDASANG: Singapura mengesahkan lima pelajar sekolah rendah dan seorang guru antara rakyatnya yang terkorban dalam kejadian gempa bumi di Ranau. Kementerian Pelajaran Singapura, berkata semua yang terkorban adalah pelajar dan guru dari Tanjong Katong Primary School yang menjalankan aktiviti mendaki Gunung Kinabalu. "Kementerian menzahirkan kedukaan apabila mendapat maklumat mengenai perkara ini. Semua mereka telah dikenal pasti oleh waris terdekat. "Setakat ini masih terdapat pelajar dan guru belum ditemui dan pihak kami yakin usaha mencari dan menyelamat mereka masih berjalan. "Malah juruiring dari persatuan pengembaraan Singapura turut disahkan terkorban dalam kejadian ini," menurut kementerian itu dalam satu kenyataan. Pada jam 7.15 pagi kelmarin, gempa bumi sekuat 5.9 skala Richter melanda Ranau, Sabah yang turut dirasai pendaki di puncak Gunung Kinabalu. Aktiviti pendakian Gunung Kinabalu turut ditutup berikutan laluan pendakian ke puncak gunung terjejas teruk. - AFP

SEBAHAGIAN pelajar dan guru dari Tanjong Katong Primary School bergambar kenangan sebelum menyertai ekspedisi Gunung Kinabalu. - Foto ihsan pembaca

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/59845

Korban kapal karam China meningkat kepada 406 orang

AHAD, 7 JUN 2015 @ 10:31 AM

PASUKAN penyelamat memberikan tabik hormat ketika mayat dikeluarkan dari kapal Eastern Star. - Foto AP

JIANLI, China: Ratusan mayat yang dikeluarkan dari kapal Eastern Star menjadikan angka korban tragedi kapal karam itu melebihi 400 orang, menurut badan penyiaran China, ketika pasukan bantuan bencana memperluaskan pencarian di Sungai Yangtze untuk puluhan lagi mangsa yang hilang. Pihak berkuasa menyatakan angin kuat adalah punca kapal itu terbalik dan karam Isnin lalu tetapi meletakkan kapten dan jurutera pertama kapal itu dalam tahanan polis. Waris penumpang juga sudah mempersoalkan kenapa kapal itu meneruskan pelayaran apabila ribut bermula di bahagian Hubei sungai itu serta selepas amaran cuaca dikeluarkan petang itu. Angka kematian sehingga semalam meningkat kepada 406 orang selepas ratusan mayat ditemui semalam dan kelmarin. Seramai 36 lagi penumpang disenaraikan sebagai hilang. Hu Kaihong, Naib Ketua Pengarah Biro Akhbar dari Pejabat Majlis Maklumat Negeri, memberi tahu sidang media bahawa pihak berkuasa sudah meminta pihak berkenaan di sepanjang sungai itu supaya memaklumkan jika ternampak mayat terapung. Hu berkata, pihak berkuasa sedang meningkatkan usaha mencari dan memperluaskan kawasan sasaran. Kapal yang membawa lebih 450 penumpang dan anak kapal itu dalam pelayaran dari Nanjing ke Chongqing apabila ia karam ketika ribut lewat Isnin lalu. - AP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/59803

Semua 18 mangsa terkorban di Gunung Kinabalu ditemui

AHAD, 7 JUN 2015 @ 4:46 PM

RANAU: Semua 18 mangsa yang terkorban akibat gempa bumi di Gunung Kinabalu, dekat sini, kelmarin telah ditemui namun dua daripadanya belum dapat dikenal pasti. LORI polis yang membawa tiga mayat pendaki Gunung Kinabalu dilihat memasuki kawasan Unit Forensik Patologi, Hospital Queen Elizabeth pada jam 4.25 petang. Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun, berkata seorang daripada 19 mangsa yang dilaporkan hilang sebelum ini juga sebenarnya masih hidup selepas dilaporkan berjaya turun ke kaki gunung pada hari pertama operasi dijalankan. "Dua daripada 18 mayat yang ditemui bagaimanapun tidak dapat dikenal pasti identitinya dan buat masa ini kita kategorikan sebagai hilang sehingga disahkan. "Ini berikutan dua mayat terbabit ditemui masing-masing dalam bentuk cebisan jadi kita tidak tahu mayat siapa, mungkin cebisan itu adalah anggota badan mayat yang ditemui sebelum ini dan mungkin juga yang baharu. "Operasi hari ini akan 'diperlahankan' namun ianya akan bersambung esok sehinggalah semuanya selesai," katanya pada sidang media, di sini, sebentar tadi.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/59867

Pekerja pusat sembelih ayam dicekup


ANGGOTA Jabatan Imigresen Negeri Sembilan menyoal siasat pekerja warga asing yang ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan dalam serbuan di Port Dickson semalam.


PORT DICKSON – Empat pekerja warga asing ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dalam satu serbuan oleh Jabatan Imigresen Negeri Sembilan di sebuah premis pusat penyembelihan ayam di sini, awal pagi semalam.
Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan negeri, Azly Ashaz­ly Abdul Aziz berkata, warga asing yang ditahan kira-kira pukul 1.30 pagi itu berusia antara 27 hingga 35 tahun.
Menurutnya, pekerja asing yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki warga India.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0607&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz3cMijJyPt 
Hakcipta terpelihara 

Mayat bergelimpangan depan mata



VIA Ferrata iaitu laluan besi yang digantung dekat puncak Gunung Kinabalu merupakan antara laluan sukar yang perlu dirempuh pendaki. – Gambar hiasan


RANAU – “Inilah saat pa­ling sayu dalam hidup saya apabila melihat sendiri empat mayat bergelimpangan di depan mata dengan tali keselamatan masih terpakai di badan mereka.”
Itu cerita sedih yang dikongsi seorang malim gunung, Jaisin Waisin, 25, yang menyaksikan pemanda­ngan ngeri itu ketika dia membawa turun beberapa pendaki yang cedera.
Malim gunung atau penunjuk arah merupakan individu berlesen yang dipertanggungjawabkan membawa setiap pendaki ketika mendaki Gunung Kinabalu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0607&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz3cMi3ALWn 
Hakcipta terpelihara 

Rahsia di sebalik kanvas terbongkar



SEBANYAK 24 batang kayu balak haram ditemui dalam lori ini berjaya dirampas dalam Ops Selamat di Jalan KJD, Kanowit Khamis lepas.


KANOWIT – Cubaan seorang pemandu menyembunyikan kayu balak di sebalik kain kanvas di atas lorinya tidak berhasil apabila dia ditahan sepasukan anggota polis dalam Ops Selamat di Jalan KJD pada hari Khamis lepas.
Dalam operasi kira-kira pukul 8 malam itu, pemeriksaan menemui 24 batang kayu balak haram pelbagai jenis dan saiz dalam lori jenis Nissan yang ditutup menggunakan kanvas.
Ketua Polis Daerah Kanowit, Deputi Superintendan Ismail Mahmood berkata, pemandu lori itu gagal mengemukakan sebarang dokumen berhubung pengeluaran kayu balak yang dibawanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0607&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz3cMhw60Z8 
Hakcipta terpelihara 

13 korban gempa, 6 hilang


Beberapa mayat yang dikumpulkan di Laban Rata di Gunung Kinabalu semalam.


RANAU – Gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter yang menggegarkan negeri ini kelmarin mencatatkan angka kematian meningkat kepada 13 orang semalam manakala enam lagi masih hilang.
Dalam kejadian pukul 7.15 pagi itu, semua mayat mangsa yang ditemui terdiri daripada mayat-mayat pendaki dan malim gunung. Kesemua 13 mayat yang belum diketahui identiti tersebut ditemui di beberapa lokasi di sekitar puncak Gunung Kinabalu.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Mohd. Farhan Lee Abdullah berkata, 11 mayat ditemui dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dilakukan semalam manakala dua lagi mayat ditemui lewat malam kelmarin.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0607&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz3cMhdbUKy 
Hakcipta terpelihara 

68 pendatang ditemui dalam kontena di Britain


LONDON – Perkhidmatan kecemasan Britain semalam menyatakan pihaknya telah menemui seramai 68 pendatang asing yang dikunci di dalam kontena di sebuah pelabuhan di tenggara England termasuk dua wanita hamil.
Seramai tujuh orang termasuk dua wanita berkenaan dibawa ke hospital tetapi keadaan mereka tidak serius, menurut kenyataan Perkhidmatan Ambulans England Timur.
Perkhidmatan kecemasan itu dipanggil ke Pelabuhan Antarabangsa Harwich yang menempatkan feri ke Belanda sejurus selepas pukul 10 malam (waktu tempatan) petang kelmarin.
“Sejumlah 68 pendatang ditemui di dalam kontena itu dengan tujuh dibawa ke Hospital Besar Colchester untuk rawatan dan penilaian lanjut,” kata perkhidmatan ambulans berkenaan.
“Pesakit-pesakit yang dibawa ke hospital mengalami sakit di perut dan dada serta berasa hendak pitam. Keadaan mereka bagaimanapun tidak serius,” tambahnya.
Menurut perkhidmatan itu, baki 61 orang lagi diserahkan kepada anggota-anggota Agensi Sempadan United Kingdom.
Menurut seorang jurucakap perkhidmatan ambulans itu, kontena tersebut dipercayai tiba dari Belanda, manakala mereka yang berada di dalamnya berbeza kewarganegaraan.
Beribu-ribu pendatang masuk secara haram ke Britain pada setiap tahun dengan lori dari pelabuhan Calais di Perancis menuju ke Dover di selatan England. Namun, pe­nemuan imigran di dalam kontena kapal jarang berlaku. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0606&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3cMhVj2dL 
Hakcipta terpelihara 

Bencana terburuk di China sejak 1948


KELIHATAN sebuah kren mengangkat kapal Eastern Star yang terbalik dan karam di Sungai Yangtze pada lewat Isnin lalu sekali gus mengorbankan 396 orang setakat ini. - AFP


JIANLI, China – Seramai 396 orang disahkan terbunuh selepas sebuah kapal persiaran terbalik di China sekali gus menjadikan ia bencana kapal terburuk dalam tempoh hampir 70 tahun, kata media tempatan semalam.
Seramai 456 penumpang dan krew yang berada di atas kapal Eastern Star, namun hanya 14 orang terselamat dengan kebanyakan mangsa merupakan pelancong berusia 60 tahun ke atas.
Kapal tersebut terbalik sebelum karam di Sungai Yangtze akibat ribut pada lewat Isnin lalu.
Jumlah kematian meningkat melebihi 200 orang selepas pasukan penyelamat mengapungkan kapal tersebut kelmarin dan menemui banyak mayat terperangkap di dalamnya.
Agensi berita Xinhua meletakkan jumlah kematian kepada 396 orang pada pukul 5 petang waktu tempatan semalam.
Keadaan itu menjadikan ia satu bencana kapal paling buruk sejak 1948 apabila hampir 4,000 orang yang berada di atas kapal SS Kiangya terbunuh selepas karam berhampiran bandar di Shanghai.
Stesen penyiaran CCTV berkata, para penyelamat dilihat bertungkus-lumus untuk membawa keluar mangsa sepanjang malam. Dianggarkan lebih 3,400 anggota tentera dan 1,700 polis terlibat dalam operasi menyelamat.
Sebanyak 46 orang masih hilang, tetapi jurucakap kerajaan berkata, kemungkinan untuk menemui mangsa yang terselamat sangat tipis.
Laporan saksi mengatakan, kapal sepanjang 76.5 meter dengan berat 2,200 tan itu terbalik dalam tempoh kurang seminit selepas dilanda ribut.
Kapal tersebut dikatakan telah melanggar peraturan keselamatan dua tahun lalu, menurut notis daripada Biro Maritim Nanjing.
Dalam pada itu, seorang waris mangsa memberitahu, pihak berkuasa lambat menyalurkan maklumat dan kekurangan akses untuk ke lokasi kemalangan.
“Kami datang dari jauh, namun tiada apa yang dapat dilakukan kecuali menunggu,” kata Jin Weifeng dari Shanghai yang kehilangan ibu mertuanya, Wang Shuisheng dalam tragedi itu. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0607&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3cMh4z280 
Hakcipta terpelihara 

Lanun Rampas Kapal Tangki Minyak Malaysia


Diterbitkan: Ahad, 7 Jun 2015 7:25 AM

PETALING JAYA: Sebuah kapal tangki minyak dari Malaysia dirampas di luar pesisir pantai timur.
Menurut laporan Dewan Perdagangan Antarabangsa (ICC), sekumpulan lelaki bersenjata menawan kapal tersebut di 14 kilometer barat daya Pulau Aur berhampiran Mersing pada Khamis.
"Mereka membawa bersama semua krew sebagai tebusan, mengubah perjalanan kapal dan memindahkan minyak dari kapal tersebut," menurut laporan itu.
Sebelum meninggalkan kapal tersebut, sekumpulan lanun itu mencuri barang yang terdapat di dalam kapal dan juga milik krew serta  merosakkan radio di kapal berkenaan.
Kapal tersebut kemudiannya berlayar ke pelabuhan yang selamat.

Seorang pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesahkan rampasan kapal yang disahkan sebagai Orkim Victory.

"Kapal tersebut selamat tiba di Kuantan kira-kira pukul 7 malam Khamis, kata Pengarah C3i (Command, Control, Communication and Information) Maritim, Kapten Maritim Hamid Mohd Amin kepada The Star.

Hamid berkata 18 krew kapal tersebut berada dalam keadaan selamat dan sekumpulan lanun itu melarikan diri ke Pulau Matek di Kepulauan Anambas di Indonesia.

Malah, pengawal pantai Indonesia turut dimaklumkan mengenai rampasan kapal itu.

APMM sedang menyiasat kes tersebut.

Portal berita IHS Maritime 360 dipetik sebagai berkata, kapal tersebut dalam perjalanan dari Sungai Udang di Melaka ke Kuantan sebelum dirampas.

Menurut laporan ICC pada 21 April lalu, lebih separuh daripada kejadian lanun dan rompakan bersenjata berlaku antara Januari dan Mac di perairan Asean.

Wanita Kes Kanak-Kanak Ditanam Di Dapur Rumah

Penilaian Psikiatrik Untuk Suspek 

Diterbitkan: Sabtu, 6 Jun 2015 4:33 PM

GOMBAK: Isteri yang ditahan bersama suaminya bagi soal siasat atas tuduhan membunuh dan menanam anak mereka di lantai dapur di kediaman mereka di Kepong mendakwa menjadi mangsa keadaan dalam insiden tersebut. 

Peguam yang mewakili wanita berusia 32 tahun itu memohon penilaian terhadap rawatan psikiatrik bagi membuktikan anak guamnya itu menghidap 'sindrom isteri didera'. 

Wanita yang juga merupakan surirumah serta suaminya berusia 33 tahun, merupakan agen peminjam wang ditahan reman sehingga 13 Jun untuk siasatan lanjut.

Peguam yang mewakili wanita tersebut, Kitson Foong berkata, akan memberi bukti bahawa wanita itu mungkin terlibat dalam tragedi yang mengerikan, namun tidak mengikut kerelaannya.

"Kami meminta agar wanita itu dihantar ke Hospital Bahagia untuk pemeriksaan psikiatri, khusus untuk sindrom isteri didera.

"Malah, kami turut percaya bahawa dia menghidap sindrom ini, sehinggakan soalan yang ditanyakan pada hari itu, adalah bukan kesalahannya. Dia hanya mengikut arahan.

"Jadi, dia juga merupakan salah seorang mangsa," kata Foong kepada pemberita di luar kompleks mahkamah.

Menurut Jurnal Perubatan Kanada, sindrom isteri didera adalah apabila keadaan wanita itu berada di bawah penderaan fizikal atau psikologi sehingga memilih untuk kekal bersama suami disebabkan perasaan takut.

Hanya rawatan sahaja yang boleh membuatkan si isteri meninggalkan suaminya.

Selain itu, Foong menambah bahawa anak perempuan berusia 14 tahun pasangan tersebut mungkin akan hadir untuk memberi keterangan pada perbicaraan yang akan datang.

Terdapat kemungkinan untuk kanak-kanak lebih muda memberi keterangan, iaitu dibawah Akta Bukti Saksi Kanak-kanak 2007.

Tambahnya lagi, wanita itu 'bimbang terhadap anak-anaknya' apabila dia terpaksa meninggalkan mereka di Penampang selepas anggota polis datang untuk menahannya pada Ahad lalu.

Sementara itu, peguam yang mewakili suami wanita itu turut meminta untuk menghantar anak guamnya ke hospital untuk menjalani rawatan di kaki selepas mengalami kecederaan dalam satu 'pergaduhan' pada 2014.

Pasangan tersebut tiba di kompleks mahkamah dengan berlain kenderaan dengan perbezaan tempoh masa selama 15 minit pada Sabtu.

Kedua-dua mereka menjauhkan diri daripada pemberita dan rakaman kamera semasa diiringi masuk ke mahkamah dengan tangan digari.

Gempa Bumi Lemah Di Barat Laut Labuan


Diterbitkan: Ahad, 7 Jun 2015 1:32 PM

KUALA LUMPUR: Gempa bumi berukuran 3.2 pada skala Richter berlaku 90 kilometer (km) di barat laut Labuan, Ahad.
Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataannya berkata gempa bumi pada pukul 8.40 pagi itu turut dirasai di Ranau.
Terdahulu, gegaran turut dirasai di Ranau apabila gempa bumi berukuran 3.0 pada skala Richter berlaku 25km di tenggara Kota Belud pada 7.35 pagi, kata jabatan itu.

Senarai 19 Nama Mangsa Gempa Bumi Sabah Didedahkan


Diterbitkan: Ahad, 7 Jun 2015 12:18 PM

KUNDASANG: Senarai nama 19 mangsa gempa bumi di Gunung Kinabalu disiarkan di dalam bilik operasi dan menyelamat.
Mangsa dari Singapura, Prajesh Dhiman Patel, 12, dilaporkan mengalami kecederaan serius.

Dua mayat terawal yang dibawa turun dari kawasan pergunungan itu oleh malim gunung adalah pelatih gunung, Robbie Sapinggil, 30, dan pelajar dari Singapura, Wee Ying Ping Peony.

Jumlah pelancong yang ramai adalah dari Singapura dengan satu kumpulan yang terdiri daripada 29 pelajar dan lapan guru dari Sekolah Rendah Tanjong Katong menyertai lawatan sambil belajar ke Gunung Kinabalu.

Berikut adalah senarai penuh 19 mangsa yang terlibat:

MALAYSIA

Lim Choon Seong, 45 (lelaki)

Muhammad Logman bin Abd Karim, 22 (lelaki)

Mohd Khairuladzuan bin Abd, 39 (lelaki)

Valerian Joannes   - kakitangan Mountain Torq, (lelaki)

Ricky Masarin – kakitangan Mountain Torq, (lelaki)

Joseph Solugin – malim gunung, (lelaki)

Robbie Sapinggi, 30 (lelaki) - pelatih gunung- (mayat ditemui pada Jumaat)

SINGAPURA
Rachel Ho Yann Shilin, 12, (perempuan)
Sonia Jhala, 12, (perempuan)

Emilie Giovanna Ramu, 12, (perempuan)

Ameer Ryyan bin Mohd Aded, 12, (lelaki)

Navdeep Singh Jayral s/o Raj Kumar, 13 (lelaki)

Mohammad Ghazi b Mohamed, 35 (lelaki)

Loo Jian Liang Terrence, 29 (lelaki)

Muhammad Daanish b Amran, 22 (lelaki)

Wee Ying Ping Peony, 12 (perempuan) – (mayat ditemui pada Jumaat)

FILIPINA
Karyl Mitzi Higuit Matahom, 12 (perempuan)

JEPUN
Ozaki Masahiro, 29, (lelaki)

CHINA
Lugi, 35 (lelaki)

Empat Gempa Bumi Lemah Landa Sabah Setakat Tengah Hari Ini


Diterbitkan: Ahad, 7 Jun 2015 2:22 PM

KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi lemah berukuran 3.1 pada skala Richter berlaku pada 11.35 pagi Ahad, 16 km di timur laut Ranau, Sabah. 
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, gempa bumi itu adalah yang keempat di Sabah dalam tempoh empat jam sejak 7.35 pagi Ahad.

Dalam laporan terdahulunya, jabatan itu berkata gempa bumi berukuran 3.0 pada skala Richter berlaku pada 7.35 pagi 25 km di tenggara Kota Belud.

Gegaran kedua pada 8.40 pagi berukuran 3.2 pada skala Richter pula dikesan berlaku 90 km di barat laut Labuan.

Gegaran ketiga pula dikesan pada 9.16 pagi di utara Ranau dengan kekuatan 2.7 pada skala Richter.

Alat tiruan harga tulen

Kuala Lumpur: Tanpa disedari, ramai pemilik kenderaan kini ditipu dan menggunakan alat ganti kenderaan palsu.
Ini dibuktikan susulan pendedahan dan operasi dilakukan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sejak sebulan lalu.
Kewujudan alat ganti kenderaan tiruan agak membimbangkan berikutan ia dikenal pasti menjadi punca kenderaan mudah rosak selain urut mengundang kemalangan jalan raya.
Kebanyakan alat ganti tiruan ini dihasilkan sindiket tempatan melalui kilang haram atau diseludup dari luar negara terutama dari China.
Barangan tiruan itu kemudian dibungkus menggunakan kotak palsu lengkap dengan hologram, kod bar dan logo syarikat pengeluar tulen.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2015 @ 5:29 AM


PALAM pencucuh tiruan antara alat ganti yang dirampas.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/56282#sthash.FSMJuU6j.dpuf

25 pelancong cedera

Senggigi (Indonesia): Puluhan pelancong cedera apabila beberapa letupan kecil berlaku di atas feri yang sedang dalam pelayaran ke Bali dari pulau Senggigi di Lombok, semalam.
Letupan dipercayai berpunca daripada tangki minyak feri berkenaan yang membawa 129 penumpang, kebanyakannya pelancong, lewat kelmarin.
Antara yang cedera ialah pelancong dari Australia, Perancis, Itali, Amerika Syarikat, United Kingdom serta New Zealand.
Pegawai Hospital Nusa Tenggara Barat Oxy Cahyo Wahyuni berkata: “Tiada mangsa yang parah. Kebanyakan 25 pelancong hanya cedera ringan.”
Pegawai polis Khoirul Anwar berkata, dua letupan berlaku di atas kapal itu 30 minit selepas belayar dari Senggigi. Letupan kedua mengakibatkan tingkap pecah menyebabkan beberapa penumpang cedera.
“Kami mengesyaki letupan berpunca daripada tangki minyak dan kini menyiasat kejadian itu,” katanya.
Pegawai syarikat Wahana Gili Ocean yang mengendalikan feri itu dikenali sebagai Ismail berkata: “Kawasan penumpang berselerak dengan tempat duduk terbalik serta serpihan kaca merata-rata.”
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2015 @ 5:14 AM


SEORANG pelancong yang cedera diusung untuk menerima rawatan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/56231#sthash.phJpl9bi.dpuf

Bom gegar perhimpunan Kurdis

Istanbul: Sebuah bom silinder gas diisi galas bebola meletup kelmarin mengakibatkan dua terbunuh dan lebih 200 cedera, lapor agensi berita Dogan semalam.
Letupan itu diselar Presiden Tayyip Erdogan sebagai satu provokasi yang bertujuan menggugat keamanan dan berlaku menjelang pilihan raya di Turki hari ini.
Ribuan orang menghadiri perhimpunan menyokong Parti Demokratik Rakyat (HDP) pro-Kurdis di Diyarbakir itu.
Dua letupan berlaku ketika pemimpin parti, Selahattin Demirtas bersedia membuat ucapan.
Pihak berkuasa berkata, setakat ini tiada suspek yang ditahan dan sedang memeriksa rakaman kamera keselamatan.
Keadaan agak tegang menjelang pilihan raya apabila HDP dilihat mampu mencapai sasaran undian mencukupi 10 peratus diperlukan untuk menganggotai Parlimen seterusnya menggugat majoriti yang selama ini dinikmati parti pemerintah, AK, sejak 2002.
Sementara itu, penduduk Kurdis berhimpun tanda protes dan berkabung di lokasi letupan, semalam.
Ratusan anggota kumpulan itu melaungkan ‘Erdogan pembunuh’ berarak ke tempat kejadian dan meletakkan bunga teluki di lokasi itu.
Erdogan, ahli politik paling popular di Turki, namun dituduh kuku besi oleh lawannya memerlukan majoriti besar bagi membolehkan Parti AK meletakkan lebih banyak kuasa. Usahanya itu mungkin terhalang jika HDP mendapat jumlah undian dikehendaki. - Reuters
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2015 @ 5:30 AM


SEORANG remaja Kurdis menghadiri perhimpunan di Diyarbakir.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/56284#sthash.mUyI91uw.dpuf

Empat sarang dadah dimusnahkan

Empat sarang dadah dimusnahkan
Satu lagi sarang dadah di Kampung Lembah dimusnahkan menerusi program My Beautiful Malaysia, kelmarin.

PASIR PUTEH - Selepas berjaya memusnahkan tiga kawasan yang dijadikan sarang penagihan dadah di Kampung Lembah di sini, dua minggu lalu, satu lagi sarang dadah  di kawasan sama diserbu, kelmarin.

Tindakan menerusi program My Beautiful Malaysia anjuran Agensi AndiDadah Kebangsaan (AADK) dengan kerjasama beberapa agensi lain itu menjadikan kawasan itu sifar sarang dadah.

Ketua Pegawai AADK Pasir Puteh, Normazainy Mat Roni berkata, kesemua sarang dadah itu dibina di dalam kawasan semak dan agak tersembunyi bagi mengelak kegiatan dihidu pihak berkuasa.

“Penagih membina bangsal dan wakaf sebagai tempat mereka melepaskan gian kerana hasil serbuan kita menemui kesan penagihan seperti jarum suntikan.

“Kita menggerakkan operasi atau gotong-royong merobohkan sarang dadah dengan harapan kawasan ini bebas daripada aktiviti itu pada masa akan datang,” katanya.

Seramai 100 sukarelawan daripada AADK, Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh, Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP), polis, Rela, bomba, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Iada Kemasin Semerak, Kada, Majlis Belia Jajahan, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan masyarakat menyertai gotong-royong itu.

Katanya, My Beautiful Malaysia diadakan di seluruh negara membabitkan pelbagai lapisan masyarakat dalam beberapa aktiviti di mana agensi kerajaan dan masyarakat sama-sama menggembleng tenaga untuk menjayakannya.

Normazainy berkata, risikan awal dilakukan bagi mengesan sarang dadah sebelum membersihkan lokasi tersebut secara menyeluruh.

“Semerak merupakan kawasan berfokus kami, kita dapati terdapat banyak sarang dadah di daerah ini tapi kita memulakannya di Semerak,” katanya.

Menurutnya, komitmen tinggi semua yang terlibat dalam gotong-royong itu amat dihargai dan berharap nilai murni seperti itu berkekalan kerana ia memberi kebaikan kepada semua.

“Ini menunjukkan kesedaran tinggi masyarakat kita untuk sama-sama membantu usaha kerajaan memerangi dadah," katanya.

Kuarters terbakar ketika buat persiapan kahwin

Kuarters terbakar ketika buat persiapan kahwin
Kuarters didiami keluarga Hanapisah musnah terbakar di Dabong, tengah hari kelmarin.

KUALA KRAI - Sebuah keluarga yang sedang sibuk membuat persiapan kenduri kahwin di Pengkalan Chepa, dikejutkan dengan berita kuarters mereka di Dabong, di sini, terbakar, tengah hari kelmarin.

Mangsa, Hanapisah Ismail, 54, berkata, walaupun masih terkejut, namun dia bersyukur kerana semua barang persiapan untuk perkahwinan anak ketiganya itu sudah dibawa pulang ke Pengkalan Chepa.

“Saya kurang sihat sejak kebelakangan ini, kemudian dikejutkan pula dengan panggilan rakan setugas yang memaklumkan mengenai kejadian itu,” katanya yang juga kakitangan Majlis Daerah Dabong itu.

Ibu kepada lima anak itu berkata, disebabkan masalah kesihatan dan kesuntukan masa, dia tidak dapat ke Dabong untuk melihat keadaan kuartersnya yang musnah terbakar.

“Jarak dari Pengkalan Chepa ke Dabong juga jauh, lagipun kami sedang membuat persiapan kenduri esok (semalam),” katanya.

Hanapisah berkata, barang di kediamannya tidak banyak kerana sebahagiannya musnah ketika musibah banjir hujung tahun lalu.

Sementara itu, jurucakap bomba ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam memaklumkan kejadian sekitar jam 12.21 tengah hari.

Menurutnya, dua jentera dengan kekuatan 10 anggota dikejarkan  ke tempat kejadian yang jaraknya lebih 90 kilometer.

“Tiba di tempat kejadian, kuarters separa siap tersebut musnah keseluruhan. Bomba mengambil masa 45 minit memadamkan sisa kebakaran.

“Anggaran awal kerugian sekitar RM46,500 termasuk sebuah motor milik mangsa turut musnah dalam kejadian itu. Punca dan nilai sebenar kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Jumpa mayat bogel dalam bilik

Jumpa mayat bogel dalam bilik
Orang ramai, polis dan anggota Rela berada di hadapan rumah mangsa, di sini, malam kelmarin.

IPOH – Seorang wanita warga emas ditemui meninggal dunia dalam keadaan tidak berpakaian di rumahnya di Taman Kinta Mas, di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, sejurus selepas menerima maklumat daripada orang awam, anggota dari Balai Polis Bercham bergegas ke tempat kejadian bagi menjalankan siasatan.

Menurutnya, polis kemudiannya masuk ke dalam rumah tersebut bersama adik mangsa yang turut berada di tempat kejadian.

“Pemeriksaan yang dijalankan di dalam rumah itu menemui mayat seorang wanita berusia 66 tahun di atas katil dalam bilik tidur tanpa pakaian.

“Pembantu perubatan dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) yang menjalankan pemeriksaan ke atas mangsa mengesahkan wanita itu telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan ringkas, semalam.

Beliau berkata, ahli keluarga turut membantu polis dengan menunjukkan rekod perubatan dan pelbagai jenis ubat yang digunakan mangsa.

Jelasnya, menerusi siasatan, tiada unsur jenayah ditemui dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

“Pihak balai juga telah mengeluarkan permit kubur bagi memudahkan keluarga mangsa melakukan urusan pengkebumian,” katanya.

Sementara itu, saudara mangsa yang enggan dikenali berkata, dia dimaklumkan mengenai kematian mangsa oleh jiran berhampiran.

Menurutnya, jiran itu berasa pelik apabila mangsa tidak keluar rumah beberapa hari dan mereka dengan bantuan anggota Rela bertindak memanjat bahagian luar tingkat dua rumah mangsa untuk melihat keadaannya.

“Mereka melihat saudara saya dalam keadaan terbaring kaku di katil dan tidak berpakaian. Kemudian mereka terus menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

“Beberapa hari lalu saudara saya pernah memberitahu dia tidak sihat malah dia turut menghidap beberapa penyakit dan mengambil ubat setiap hari untuk menjaga kesihatannya,” katanya.

Dia berkata, keluarga mangsa membuat keputusan untuk tidak menghantar mayat mangsa ke hospital sebaliknya akan menjalankan urusan pengkebumian pada masa terdekat.

Sembunyi dadah dalam rektum

Sembunyi dadah dalam rektum
Ketulan heroin yang dibalut dengan plastik hitam ditemui dalam najis suspek.

IPOH – Taktik seorang penganggur yang cuba menyembunyikan dadah terbongkar selepas satu ketulan plastik disyaki heroin ditemui dalam najis suspek terbabit pada pemeriksaan dilakukan warden penjara di sini, kelmarin.

Sumber berkata,  dalam kejadian Jumaat lalu, ketika warden sebuah pusat tahanan melakukan pemeriksaan lokap kuarantin di pusat tahanan terbabit, dia mengarahkan suspek berusia 41 tahun itu untuk membuang najis di dalam tong hitam yang disediakan pada jam 11.15 pagi.

Menurutnya, selepas proses itu selesai, seorang lagi kakitangan penjara memeriksa tong najis tersebut dan menemui satu ketulan plastik hitam disyaki berisi dadah jenis heroin seberat 82 gram.

“Warden itu merampas barangan berkenaan dan membuat laporan polis berhubung perkara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan ringkas semalam.

Sumber berkata, siasatan mendapati suspek dimasukkan ke pusat tahanan itu atas kesalahan mengikut Seksyen 39 A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 pada 16 April lalu.

Jelasnya, bagaimanapun, pada 4 Jun lalu, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh untuk menghadiri perbicaraan sebelum kembali semula ke pusat tahanan pada keesokan harinya.

“Ketika siasatan dijalankan, suspek mengaku mengambil satu ketulan berbalut plastik hitam berisi dadah jenis heroin daripada seorang tahanan lain ketika berada di sebuah lokap kira-kira jam 2 pagi semalam (kelmarin).

“Suspek dipercayai menyeludup masuk dadah itu ke dalam pusat tahanan dengan menyembunyikannya di dalam rektum,” katanya.

Berikutan itu, beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952.

Gempa dikesan 90km barat laut Labuan

Gempa bumi

KUALA LUMPUR - Gempa bumi berukuran 3.2 pada skala Richter berlaku 90km di barat laut Labuan, hari ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataannya berkata gempa bumi pada jam 8.40 pagi itu turut dirasai di Ranau.

Terdahulu, gegaran turut dirasai di Ranau apabila gempa bumi berukuran 3.0 pada skala Richter berlaku 25km di tenggara Kota Belud pada 7.35 pagi, kata jabatan itu. - Bernama

36 ditahan kerana dadah

dadah

KUALA LUMPUR - Polis menahan 36 orang, termasuk seorang remaja kerana disyaki terlibat dengan kegiatan berkaitan dadah di lima lokasi di sini semalam.

Ketua Polis Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, suspek berusia antara 15 dan 60 tahun itu ditangkap dalam 'Ops Sarang' yang dilancarkan antara 6 pagi dan 11.55 pagi.

Katanya, dalam operasi itu, polis juga merampas 152.6gram heroin.

Penumpang cemas bas terbakar

Penumpang cemas bas terbakar
Keadaan bas yang terbakar di KM149.7 Lebuhraya Utara-Selatan, pagi semalam.

BATU KAWAN - Seramai 27 penumpang dalam perjalanan dari Butterworth ke Kuala Lumpur berhadapan detik cemas apabila bas dinaiki terbakar di Kilometer 149.7 Lebuhraya Utara-Selatan, pagi semalam.
 
Bagaimanapun, semua penumpang selamat dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan berikutan tindakan pantas pemandu yang menyedari asap keluar dari bahagian enjin bas terbabit kira-kira jam 9.20 pagi.
 
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 9.26 pagi dan menghantar dua jentera ke lokasi kejadian.
 
"Semua penumpang berjaya keluar dari bas melalui pintu hadapan.
 
“Tiada mangsa yang cedera dan penumpang meneruskan perjalanan dengan bas gantian,” katanya.