Search This Blog

Friday, June 5, 2015

200 sekolah ditutup, lima lagi kes baru MERS

Seoul: Presiden Korea Selatan Park Geun-hye berkata segala-galanya perlu dilakukan bagi mengekang merebaknya Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS) ketika kebimbangan mengenai virus itu menyebabkan ratusan sekolah ditutup.
Lima lagi kes disahkan semalam, menjadikan jumlah mereka di Korea Selatan yang disahkan dijangkiti virus itu meningkat kepada 30 sejak ia dikesan merebak dua minggu lalu.
Kebimbangan dalam kalangan rakyat Korea Selatan mengenai virus itu meningkat apabila dua orang yang disahkan menghidapnya meninggal dunua.
MERS mula dikesan pada manusia sejak 2012 dan disebabkan oleh virus korona daripada keluarga sama yang menyebabkan Sindrom Pernafasan Akut Yang Teruk (SARS) yang merebak pada 2002 hingga 2003 dan menyebabkan kira-kira 800 orang mati di seluruh dunia.
Bagaimanapun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, angka kematian akibat MERS lebih tinggi.
Menurutnya, jumlah kes MERS di seluruh dunia ketika ini ialah 1,161 dengan sekurang-kurangnya 436 kematian, kebanyakannya di Asia Barat. Setakat ini belum ada ubat untuk merawatnya.
“Ramai bimbang mengenai keadaan yang berlaku disebabkan MERS. Apa saja perlu dilakukan untuk mengekangnya daripada merebak,” kata Park pada mesyuarat tergempar dengan menteri dan pegawai kanan.
Lebih 200 sekolah ditutup semalam, kebanyakannya di wilayah Gyeonggi, sekitar Seoul, tempat kematian pertama berlaku Isnin lalu.
Sehingga semalam, kira-kira 1,300 orang dikuarantin atau diasingkan kerana bimbang mereka dijangkiti virus itu.
Dalam pada itu, media melaporkan ada pelancong membatalkan lawatan ke negara itu.
Meskipun WHO belum mengesyorkan sekatan perdagangan atau perjalanan, pihak berkuasa kawalan sempadan negara itu menguatkan pengharaman terhadap mereka yang dikuarantin supaya tidak ke luar negara.
China minggu lalu melaporkan kes MERS pertamanya, membabitkan seorang lelaki Korea Selatan yang melancong ke Hong Kong dan kemudian ke tanah besar negara itu. - AP
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2015 @ 7:41 AM


PEGAWAI kuarantin memeriksa suhu badan seorang lelaki yang baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/55526#sthash.KqOWi0wz.dpuf

Harapkan keajaiban

Jianli (China): Anggota keluarga lebih 400 mangsa yang masih hilang selepas kapal yang mereka naiki karam di Sungai Yangtze mengharapkan keajaiban ketika pihak berkuasa bertungkus-lumus mengejar masa untuk mencari mereka yang terselamat.
Media kerajaan berkata hanya 14 orang berjaya diselamatkan dari kapal Eastern Star yang karam lewat Isnin selepas terbalik dalam keadaan cuaca buruk.
Badan penyiar kerajaan CCTV melaporkan, 19 mayat lagi ditemui bererti ratusan yang lain, kebanyakannya warga emas, masih hilang dan mungkin terperangkap di dalam kapal itu.
Menurut saksi, kapal itu karam dalam hanya beberapa saat.
Seramai 456 orang berada di dalam kapal itu yang belayar di laluan pelancongan popular dari Nanjing di timur China ke Chongqing di barat daya negara itu.
Nahas berlaku di daerah Jianli di wilayah Hubei, tengah China.
Kapal itu mempunyai 150 bilik yang diperiksa satu persatu oleh penyelam. Pihak berkuasa turut meluaskan kawasan carian ke lokasi di sekitar Wuhan, 220 kilometer ke hilir sungai.
Jurutera turut menimbang untuk memotong kapal itu kepada tiga bahagian atau diapungkan semula.
Sementara itu penyelam berdepan pelbagai kesukaran untuk mencari mangsa.
Naib Pengarah Jabatan Penyelamat Kementerian Pengangkutan Zhang Jianzin berkata: “Kawasan nahas dipenuhi air yang berlumpur hingga menyukarkan penyelam kerana terpaksa bergantung kepada sentuhan ketika berada di dalam air.”
Hujan lebat turut memburukkan keadaan dan kawasan sekitar lokasi itu dinaiki air menyebabkan kenderaan digunakan pasukan kecemasan juga terpaksa meredah air.
Pasukan keselamatan mengepung kawasan kira-kira dua kilometer dari lokasi nahas dan semua pengamal media tempatan kecuali agensi berita rasmi Xinhua serta CCTV diarahkan pulang.
Dalam pada itu, pihak berkuasa China juga berkata, lokasi nahas itu dibadai puting beliung kecil yang bergerak pantas ketika kejadian.
Laporan itu mengesahkan dakwaan kapten kapal berkenaan.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2015 @ 7:44 AM


PASUKAN penyelamat menarik keluar mayat seorang penumpang.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/55528#sthash.NS9p05Lm.dpuf

Menteri didakwa guna sijil PhD palsu

Jakarta: Kerajaan menyiasat dakwaan Menteri Pelancongan Indonesia, Arief Yahya (gambar) yang didakwa mendapat gelaran Doktor dengan menggunakan ijazah PhD palsu.
Setiausaha Kabinet Indonesia, Andi Widjajanto berkata, pihaknya mendapat maklumat itu daripada media dan akan meminta penjelasan daripada Arief.
“Ketika ini kami belum memanggil beliau untuk memberi penjelasan,” katanya.
Sementara itu, Arief menafikan ijazah PhD yang diterimanya palsu dan menegaskan beliau berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya.
“Bukan mudah saya mendapatkan ijazah ini. Anda mempunyai maklumat mengenai ijazah saya dan boleh memeriksanya di Internet,” tegasnya.
Sebelum ini, Kementerian Kajian dan Pendidikan Tinggi membuat siasatan di kampus Universiti Berkley di Jakarta kerana disyaki mengeluarkan ijazah palsu.
Universiti itu pernah mengeluarkan nama Arief dan beberapa pegawai tinggi kerajaan yang mengambil jurusan PhD dalam bidang pengurusan. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2015 @ 7:48 AM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/55530#sthash.simmefgZ.dpuf

28kg syabu dalam teko elektrik

Jakarta: Pihak berkuasa Indonesia berjaya mematahkan satu cubaan menyeludup dadah jenis syabu seberat 28 kilogram (kg) yang disembunyikan di dalam teko elektrik.
Ketua Polis Metro Jaya, Unggung Cahyono berkata, syabu itu dipercayai dihantar dari China menggunakan kapal kargo kepada seorang lelaki warga Nigeria.
Katanya, kegiatan sindiket itu terbongkar selepas polis menahan lima lelaki di Puri Indah Kembangan kelmarin disusuli dengan penahanan seorang wanita berusia 43 tahun.
“Ketika ditahan kami menjumpai sejumlah dadah jenis syabu seberat 5kg pada wanita ini yang disimpan dalam tin biskut.
“Hasil soal siasat, wanita itu membawa kami ke sebuah gudang di Jakarta Selatan dan kami menjumpai 23kg lagi syabu yang disembunyikan di dalam teko,” katanya.
Ujarnya, syabu itu disembunyikan di bawah penutup teko sebelum dihantar ke Indonesia.
“Semua dadah ini kami anggaran bernilai kira-kira Rp48 bilion (RM13.37 juta),” jelasnya.
Menurutnya, polis kini memburu lelaki warga Nigeria berkenaan yang dipercayai dalang sindiket itu. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2015 @ 7:48 AM


SEMUA suspek (berbaju hijau) ditahan di balai polis di Jakarta, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/55532#sthash.Yy1R6a2X.dpuf

Mati mahu pinggul besar

New York: Seorang wanita berusia 34 tahun mati selepas mendapatkan suntikan untuk membesarkan pinggul daripada seorang doktor tidak berlesen di tingkat bawah tanah sebuah rumah di sini.
Kelly Mayhew dari Suitland, Maryland, ditemani ibunya untuk mendapatkan suntikan itu daripada wanita yang diperkenalkan oleh seorang rakannya.
Wanita itu menyuntik silikon ke dalam pinggul Kelly tetapi ketika prosedur itu, mangsa menggelupur kerana sukar bernafas, kata ibunya kepada polis.
Si ibu mula memberi bantuan kecemasan kepada anaknya dan meminta wanita berkenaan menelefon ambulans tetapi dia lari meninggalkan rumah berkenaan.
Ibu Kelly yang cemas menelefon rakan anaknya yang memperkenalkan wanita itu kepada mereka, tetapi dia tidak menjawab, lapor akhbar Daily News.
Petugas kecemasan yang tiba mendapati Kelly dalam keadaan tidak sedarkan diri. Dia diberi bantuan kecemasan dan dibawa ke hospital, tetapi disahkan mati ketika dalam perjalanan.
Doktor kini berusaha memastikan punca kematiannya sementara polis melancarkan siasatan, termasuk menguji bahan yang ditemui dalam jarum suntikan itu.
Menurut polis, mereka masih memburu suspek dan setakat ini tidak pasti sama ada sudah menemui rakan Kelly yang memperkenalkannya dengan wanita itu.
Kematian akibat menyuntik silikon untuk membesarkan pinggul pernah dilapor berlaku di Alabama, Georgia, Florida, Pennsylvania, Nevada dan New York.
Di Mississippi tahun lalu, seorang wanita, Tracey Lynn Garner didapati bersalah menyuntik bahan itu pada Karima Gordon, 37, yang mati beberapa hari kemudian.
Dia dihukum penjara seumur hidup.
Seorang lagi wanita yang bertanggungjawab menyebabkan kematian serupa di Florida, kini menanti untuk dibicarakan.
Oneal Ron Morris dituduh bertanggungjawab terhadap kematian Starka Nuby selepas menyuntiknya dengan silikon.
Dia berdepan hukuman penjara 100 tahun jika sabit kesalahan.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2015 @ 8:01 AM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/55539#sthash.GRwu0hCP.dpuf

90 maut stesen minyak meletup

Accra: Letupan di sebuah stesen minyak di ibu negara Ghana ini menyebabkan 90 orang terbunuh.
Pasukan bomba berkata, kebanyakan yang mati itu berteduh di stesen berkenaan ketika hujan lebat.
Letupan berpunca daripada kebakaran yang berlaku di sebuah terminal lori dan kemudian merebak ke stesen itu dan bangunan lain, kata jurucakap bomba Prince Billyu Anaglate.
Stesen minyak itu musnah sama sekali akibat kejadian itu.
“Stesen minyak itu meletup. Mereka yang berteduh di situ tidak mempunyai peluang untuk menyelamatkan diri,” kata Anaglate.
Anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran hingga awal pagi sementara polis dan askar membantu menyelamatkan mereka yang terperangkapm, kata Datuk Bandar Accra Oko Vanderpuije.
Mayat yang rentung bergelimpangan sementara rangka puluhan kereta dan bas mini bersepah di sekitar stesen itu.
Pasukan keselamatan terpaksa mengawal orang ramai daripada menghampiri kawasan kejadian.
Seorang wartawan berkata, dia melihat beberapa mayat rentung dalam kereta, tempat mereka dipercayai berteduh dari hujan lebat.
Menurut Anaglate, siasatan awal menunjukkan kebakaran bermula secara tidak sengaja.
Dalam pada itu, hujan lebat selama beberapa jam menenggelamkan bangunan dan kenderaan di merata tempat di Accra.
Presiden John Mahama yang melawat tempat kejadian semalam berkata, dia sedih dengan jumlah kematian dan kerosakan yang berlaku.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2015 @ 6:54 AM


KEADAAN stesen minyak di Accra selepas kebakaran, kelmarin.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/55784#sthash.z8O4eNoJ.dpuf

Murid guna senjata curi buku laporan

Belgrade: Dua murid sekolah rendah yang bersenjatakan pisau dan pistol mainan dilapor menyerbu sebuah kelas sekolah mereka untuk mencuri buku laporan guru.
Murid itu yang memakai topeng dan kaca mata hitam dikatakan bertindak demikian untuk membantu seorang rakan yang memperoleh markah rendah dalam peperiksaan sebelum ini.
Mereka ditahan polis dan kini berdepan dengan tiga tuduhan - berkelakuan ganas, mengancam keselamatan awam dan merosakkan harta benda.
Menurut jurucakap polis, dua murid berkenaan bersetuju untuk bertindak demikian selepas dipujuk rakan mereka yang gagal dalam peperiksaan.
Kejadian berlaku ketika waktu sekolah.
Jenayah di sekolah di Serbia meningkat sejak perpecahan Yugoslavia pada 1990-an. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2015 @ 6:59 AM

DISYORKAN
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/55789#sthash.2DBDaqTS.dpuf

Lebih banyak mayat ditemui

Jianli (China): Pasukan penyelamat menebuk tiga lubang pada perut kapal yang terbalik dalam sungai awal minggu ini dalam usaha mencari mangsa yang mungkin terselamat dalam nahas di Sungai Yangtze itu
Sementara itu, sebanyak 77 mayat ditemui manakala lebih 360 yang lain masih hilang dan dikhuatiri maut.
Pekerja berjaya menstabilkan kapal itu menggunakan kren sebelum memotong beberapa bahagian kapal itu untuk mencari mangsa yang mungkin terperangkap dan terselamat.
Setakat ini, pihak berkuasa berkata sekurang-kurangnya 14 berjaya diselamatkan dalam kejadian lewat Isnin itu akibat ribut kencang.
Ada mangsa terselamat selepas terjun ke dalam sungai pada awal kejadian sebelum berenang ke daratan.
Tiga mangsa yang terperangkap dalam poket udara di dalam perut kapal diselamatkan selepas jeritan mereka didengar pasukan penyelamat, Selasa lalu.
Walaupun peluang menemui mangsa terselamat amat tipis, pihak berkuasa belum menghentikan usaha mencari.
Lebih 200 penyelam mencari mangsa di bawah air dalam tiga syif dengan memeriksa setiap kabin.
Semalam, 51 mayat ditemui menjadikan jumlah kematian keseluruhannya 77, kata ketua daerah jianli Huang Zhen.
Semua mayat dibawa ke Rongcheng di Jianli untuk proces pengecaman oleh anggota keluarga.
Nahas kapal Eastern Star itu dianggap tragedi paling buruk dalam industri perkapalan China dalam tempoh tujuh dekad.
Kebanyakan 450 penumpang Eastern Star itu warga emas yang mengikuti rombongan pelancongan dari Nanjing ke Chongqing. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2015 @ 6:59 AM


PASUKAN penyelamat menarik mayat seorang mangsa yang ditemui semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/55791#sthash.1fjUydFk.dpuf

Susilo boleh didakwa gubah wang haram

Jakarta: Pendedahan di mahkamah baru-baru ini yang mendakwa suspek kes rasuah bekas Menteri Tenaga dan Sumber Galian Jero Wacik membelanjakan wang kementerian yang digelapkan untuk membiayai perbelanjaan bermain golf dengan presiden ketika itu Susilo Bambang Yudhoyono boleh membawa kepada bekas pemimpin Indonesia itu dituduh menggubah wang haram.
Pakar penggubahan wang Yenti Garnasih dari Universiti Trisakti berkata kelmarin, sebarang pemindahan wang rasuah dalam bentuk apa sekali pun kepada pihak lain dianggap penggubahan wang haram dan pihak terbabit perlu didakwa.
Menurutnya, Suruhanjaya Pembantaresan Rasuah (KPK) mempunyai asas kukuh untuk mendakwa Susilo berdasarkan pengakuan seorang saksi ketika perbicaraan terhadap Ketua Setiausaha kementerian Waryono Karno yang dituduh menggelapkan wang Rp11 bilion (RM3.08 juta).
Yenti juga berkata, memandangkan Waryono atau Jero tidak dituduh menggubah wang, KPK seharusnya membuka siasatan baru untuk mendakwa semua penerima wang haram daripada kementerian berkenaan.
Dalam perbicaraan Isnin lalu, saksi Sri Utami mengaku sejumlah wang rasuah dalam kes itu diperuntukkan untuk membayar bil bermain golf Susilo dan Jero.
Yenti berkata, dia syak KPK memberi layanan khas kepada bekas menteri tenaga itu.
Menurutnya, dalam kes lain, agensi itu akan mendakwa suspek atas tuduhan penggubahan wang haram jika mendapati mereka menyalurkan wang yang diperoleh secara haram kepada pihak lain. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2015 @ 7:01 AM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/55792#sthash.9xYmMcLH.dpuf

Beg tangan ditoreh ketika beli buah

Beg tangan ditoreh ketika beli buah
Sabariah menunjukkan beg tangannya yang ditoreh dalam cubaan mencuri di Pekan Ahad.

PADANG SERAI - Seorang wanita berusia 27 tahun hampir menjadi mangsa pencuri yang menggunakan taktik menoreh beg tangan.
 
Sabariah Ismail, 27, berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 11 pagi apabila dia dan kakaknya pergi ke pekan Ahad, Padang Serai selepas pulang dari tempat kerja.
 
“Ketika itu waktu kemuncak memang orang ramai dan terpaksa bersesak. Jadi jika ada berlanggar antara satu sama lain, itu perkara biasa.
 
“Namun semasa saya dan kakak berada di gerai buah dan sedang memilih ada dua orang suspek datang bergesel dengan kami.
 
“Ketika itu saya dan kakak berdiri di depan gerai buah secara bergandingan dan kedudukan kami memang rapat, namun ada seorang wanita sengaja meraba-raba di bahagian beg tangan dan menghulurkan tangan di tengah-tengah antara kami,” katanya kepada Sinar Harian.
 
Bagaimanapun, Sabariah berkata, dia tidak mengesyaki wanita tersebut cuba untuk mencuri barangan yang disimpan dalam beg dengan menoreh.
 
“Memang saya pelik juga apabila wanita tersebut berebut-rebut untuk memilih buah di tempat kami berdiri sedangkan masih banyak ruang kosong lain. Saya juga perasan wanita itu seperti menarik-menarik beg saya,” katanya.
 
Tambahnya, nasib menyebelahinya apabila secara kebetulan ketika itu seorang lagi kakaknya yang berada di parkir kereta menelefon.
 
“Telefon bimbit saya letakkan dalam beg, jadi saya menarik beg saya ke depan untuk mengambil telefon bimbit yang sedang berbunyi, saya percaya usaha wanita itu untuk mencuri gagal apabila saya menarik beg saya ke depan,” katanya.
 
Sabariah juga berkata, bagaimanapun kejadian itu hanya disedarinya ketika berada di rumah apabila mendapati sisi beg tangannya telah pun rabak di toreh.
 
“Saya balik rumah baru perasaan beg saya telah ditoreh sehingga tembus ke dalam. Kalau tidak gaji saya yang baru ambil akan lesap begitu sahaja bersama telefon bimbit,” katanya.

Gunung Sinabung meletus lagi

Gunung Sinabung meletus lagi
Penduduk di daerah Karo berhampiran Gunung Sinabung dipindahkan ke kawasan penempatan sementara. Foto: AFP

JAKARTA - INDONESIA. Lebih 2,000 penduduk yang tinggal berhampiran gunung berapi Sinabung, di Sumatera Indonesia, terpaksa dipindahkan selepas ia mula meletus dan mengeluarkan asap tebal.

Menurut laporan MetroTv News, penduduk beberapa kampung di sekitar kawasan itu dipindahkan sejauh 7 kilometer dari kawasan gunung.

"Pihak berkuasa tempatan mengeluarkan amaran tahap empat iaitu tahap awas setelah gunung berapi mula mengeluarkan asap panas sejak dua hari lalu. Penduduk diminta mematuhi arahan berpindah sebagai langkah keselamatan," menurutnya.

Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana, Sutopo Purwo Nugroho berkata, aktiviti gunung berapi terbabit semakin meningkat dan pihaknya sedang memantau perkembangan dari semasa ke semasa.

Sejak September 2013, Gunung Sinabung setinggi 2,460 meter itu mula aktif dan boleh meletus pada bila-bila masa berikutan statusnya yang sentiasa tidak stabil. - Bernama

MERS: 1,369 dikuarantin, 900 sekolah ditutup

MERS: 1,369 dikuarantin, 900 sekolah ditutup

HONG KONG - CHINA. Organisasi Kesihatan Sedunia memberi amaran hari ini bahawa jumlah penghidap Middle East Respiratory Syndrome (MERS) di Korea Selatan akan meningkat.

Menurut laporan CNN, sehingga kini, seramai 1,369 orang sudah dikuarantin.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea mengesahkan lima kes baru, menjadikan jumlah kes sebanyak 35 kes.

Kementerian Pendidikan Korea Selatan memberitahu, sebanyak 900 sekolah ditutup untuk mengawal penyebaran penyakit berkenaan.

Penyebaran penmyakit tersebut di Korea Selatan mengejutkan ramai pihak, di mana sistem kesihatan di negara tersebut di anggap canggih dan moden.

"Kawalan awal terhadap penyakit berjangkit seperti MERS adalah penting.

"Namun begitu, kebolehan penyakit tersebut untuk berjangkit telah disalah tafsir," kata Presiden Korea Selatan, Park Geun-hye.

MERS merupakan virus yang hampir sama dengan virus Severe Acute Respiratory Syndrome (SARS) dan demam biasa.

"Penyebaran virus tersebut dari manusia adalah (berjumlah) kecil. Ia mungkin berlaku, tetapi ia tidak mampan," kata pakar virologi, Dr Leo Poon.

Orang ramai kini dinasihatkan memakai topeng muka dan membasuh tangan dengan kerap sebagai salah satu usaha mengawal penyebaran virus berkenaan.

Antara simptom MERS adalah demam dan batuk yang berlarutan dan mampu menimbulkan pneumonia dan kegagalan fungsi buah pinggang.

Nepal rancang pindah 1,000 rumah ke tempat selamat

gempa bumi Nepal
Kemusnahan yang berlaku akibat gempa bumi di Kathamamdu, Nepal. - Foto EPA

KATHMANDU - NEPAL. Kerajaan Nepal bercadang menempatkan semula sekurang-kurangnya 1,000 kediaman didiami 30,000 orang dari beberapa daerah ke tempat yang lebih selamat kerana kampung dan pekan berkenaan didapati tidak lagi selamat diduduki berikutan gempa bumi baru-baru ini.
  
Ahli geologi mencadangkan kepada kerajaan untuk menempatkan semula kediaman mereka yang terlibat ke tempat yang lebih selamat kerana sesetengah kampung daripada enam daerah itu telah mendap dan terdedah kepada bahaya tanah runtuh menjelang musim tengkujuh, kata pihak berkuasa.
  
Bagaimanapun, keputusan akan dibuat selepas sepasukan ahli geologi dan pakar menghantar laporan terakhir mereka bersama cadangan tertentu, kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri Laxmi Prasad Dhakal.
  
Kerajaan Nepal telah menubuhkan satu pasukan ahli geologi dan pakar untuk mengkaji daerah yang terjejas oleh gempa bumi dan melaporkannya kepada kerajaan mengenai struktur tanah dan batuan kawasan terbabit.
  
Berdasarkan kaji selidik lapangan di kawasan yang terjejas oleh gempa bumi, kumpulan pakar itu telah mengemukakan laporan awal kepada kerajaan menggesa supaya memindahkan kira-kira 10,000 penempatan sebelum tiba musim tengkujuh.

"Berdasarkan laporan terakhir pasukan pakar, kerajaan akan membuat keputusan penempatan dan pembinaan semula menerusi satu mesyuarat dengan pakar berkenaan yang dirancang pada minggu hadapan," kata Dhakal.

Kerajaan merancang untuk menempatkan semula penempatan itu ke kem-kem yang sebelum ini digunakan oleh pelarian Bhutan.

"Kami sebenarnya tidak tergamak untuk menempatkan penempatan berkenaan ke daerah lain sejauh mungkin memikirkan nilai sentimental penduduk terhadap tempat tinggal mereka," katanya.

Beberapa kampung di Gorkha, Dolkha, Sindhupalchock, Nuwakot, Dhading dan  Rasuwa adalah tidak selamat kerana musim tengkujuh boleh mengakibatkan tanah runtuh yang berskala besar, kata ahli geologi Megharaj Dhital, salah seorang anggota pasukan pakar yang dipertanggungjawabkan melakukan kajian geologi ke atas daerah  yang terjejas oleh gempa bumi.

Gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter melanda Nepal pada 25 April lepas diikuti oleh gempa susulan yang kuat. Sekurang-kurangnya 8,700 orang terkorban, lebih 22,000 cedera dan 800,000 kediaman rosak dalam kejadian itu.

Kerajaan menganggarkan kerugian berjumlah lebih US$10 bilion (RM37 bilion) dan berkata pembinaan semula akan menelan belanja US$5 bilion (RM18.5 bilion). Pembinaan semula struktur yang rosak dijangka mengambil masa tiga tahun. - Bernama

73 maut letupan stesen minyak

73 maut letupan stesen minyak
Letupan stesen minyak di Accra, Ghana.

ACCRA - GHANA. Sekurang-kurangnya 73 orang terbunuh dalam satu kejadian letupan sebuah stesen minyak di tengah bandar Accra, Ghana, kata pihak berkuasa.
 
Jurucakap bomba dan keselamatan Ghana, Billy Anaglate berkata, punca letupan masih belum diketahui dan anggota penyelamat sedang berusaha mengeluarkan mayat dari tempat kejadian.
 
"Kami masih berusaha mengeluarkan mangsa dari lokasi kejadian sebelum mengeluarkan jumlah rasmi mangsa yang terlibat dalam nahas ini," katanya dipetik AP.
 
Beberapa gambar yang disiarkan oleh stesen TV tempatan menunjukkan beberapa mayat mangsa masih terperangkap dalam runtuhan. Letupan juga menyebabkan beberapa bangunan sekitar turut musnah.
 
Menurut salah seorang saksi, Michael Plange, ramai mangsa yang terlibat dalam letupan berkenaan terdiri daripada penduduk yang mendapatkan perlindungan dari hujan lebat yang melanda kawasan berkenaan. 

Pemandu punca kemalangan maut dipenjara 4 bulan

Pemandu punca kemalangan maut dipenjara 4 bulan
Pang Chon Seng. - Foto ihsan Straits Times

SINGAPURA - Seorang lelaki dijatuhkan penjara empat bulan selepas menjadi punca sebuah kemalangan maut melibatkan sembilan kenderaan pada 19 Jun tahun lepas.

Menurut Straits Times, Pang Chon Seng, 52 berhenti secara tiba-tiba di Lebuhraya Pie-Island (PIE) semata-mata untuk menunjukkan isyarat lucah ke arah seorang penunggang motosikal.

Tindakan Chon Seng menyebabkan Lim Kok Aun, 48 yang memandu lori di belakang Chon Seng juga melakukan brek kecemasan dan tergelincir ke sebelah kanan jalan.

Seorang penunggang motosikal, Liow Yong Seng, 35 tidak sempat mengelak lori tersebut dan merempuhnya. Beliau maut di lokasi kejadian.

Selepas kejadian tersebut berlaku, Chon Seng dilaporkan melarikan diri.

Pendakwaraya, Rachel Lee berkata, Chon Seng 'memilih' untuk memandu secara merbahaya dan tidak mempedulikan pengguna jalan raya yang lain.

Rachel juga memberitahu mahkamah beberapa kesalahan lampau Chon Seng sebelum kejadian, termasuk memandu secara merbahaya, enam bulan sebelum kejadian.

Sementara itu, Kok Aun didenda SGD 7,000 (RM1,9189.28) kerana gagal menjaga jarak selamat kenderaan diantara beliau dan Chon Seng, sekaligus menyebabkan kematian Yong Seng.

Chon Seng dan Kok Aun dilarang memandu untuk tempoh empat tahun, bermula semalam.

Warga emas pakar palsukan wang

Warga emas pakar palsukan wang

GUANGDONG - CHINA. 97 peratus kes penipuan wang palsu yang berlaku di China dilaporkan dilakukan oleh seorang lelaki warga emas yang juga pelukis di wilayah Shantou.

Pelukis yang berusia 73 tahun itu dikenali sebagai Peng Daxiang adalah seorang pelukis terkenal di kampung halamannya di mana lokasi dia menjalankan kegiatan haramnya dengan melukis template wang kertas palsu matawang China.

Menurut laporan The Telegraph, 96.7 peratus daripada kesemua wang palsu yang dirampas oleh Kementeriaan Keselamatan China sejak beberapa tahun kebelakangan ini adalah daripada template yang disediakan oleh Peng.

Malah pelukis itu mahir untuk membuat template wang palsu bernilai 100 yuan tanpa mengunakan teknologi komputer.

Peng memperoleh keuntungan besar dengan menjual template berharga di antara 50,000 yuan (RM29,881)  ke 120,000 yuan (RM71,714) kepada kumpulan pemalsuan wang tempatan.

Selain menghasilkan template mata wang palsu, pelukis warga tua juga didakwa memalsukan sijil dan juga diploma tamat pengajian.

Peng kini menjalani hukuman penjara seumur hidup.

Masalah pemalsuan wang menjadi semakin meruncing di China.

Tahun lepas pihak berkuasa berjaya menumpaskan sindiket pemalsuan wang  bernilai lebih 100 juta Yuan di bandar Guangdong.

Lelaki dipenggal kepala untuk memanggil hujan

Lelaki dipenggal kepala untuk memanggil hujan

RANCHI - INDIA. Gara-gara percaya dengan ilmu ghaib, seorang lelaki berusia 55 tahun dipenggal kepala oleh sekumpulan yang menjalankan upacara keagamaan untuk menurunkan hujan.

Mayat tanpa kepala, Thepa Kharia, ditemui di rumahnya di perkampungan Kharvadih Kadamdohar di wilayah Gumla, 10 kilometer ibu negeri Ranchi.

Ahli keluarga Kharia memberitahu pihak polis, lelaki itu dibunuh oleh kumpulan Orkas atau Mudkatwa iaitu sebuah kumpulan ajaran sesat yang menjalankan ritual memenggal dan menanam kepala manusia di sawah padi dengan tujuan memanggil hujan untuk mendapatkan hasil tuaian yang lebih baik.

Lelaki berkenaan dipercayai berada sendirian semasa kejadian di mana kumpulan terbabit memecah masuk rumah mangsa membunuh dan memenggal kepada lelaki itu.

Menurut pegawai balai polis Palkhoit, Ajay Kumar Thakur, Thepa yang tinggal keseorangan dibunuh pada awal pagi Ahad.

"Mayatnya ditemui oleh sekumpulan penduduk kampung yang bertindak memecah masuk rumah lelaki itu selepas dia tidak kelihatan di pasar dan kemudian mendapati mayatnya terbaring dengan berlumuran darah," katanya dipetik Hindustan Times.

Polis giat memburu kumpulan berkenaan.

Gunung Berapi Sinabung Meletus, Beribu Penduduk Dipindahkan


Diterbitkan: Khamis, 4 Jun 2015 10:36 AM

JAKARTA: Lebih 2,000 penduduk di daerah Karo di Sumatera Utara terpaksa dipindahkan ekoran Gunung Sinabung, gunung berapi yang aktif di wilayah itu, kini mula meletus dan mengeluarkan asap tebal.
Menurut laporan MetroTv News, penduduk beberapa kampung di kawasan itu dipindahkan sejauh 7 kilometer dari kawasan gunung itu.
Laporan itu memetik jurucakap Unit Geogologi sebagai berkata, pihak berkuasa tempatan mengeluarkan amaran tahap empat iaitu tahap awas setelah gunung berapi itu mula mengeluarkan asap panas sejak dua hari lepas.
Katanya, penduduk diminta mematuhi arahan untuk berpindah demi keselamatan mereka dan untuk sementara ini mereka akan ditempatkan di pusat perpindahan di wilayah Kabanjahe.
Sejak September 2013, Gunung Sinabung setinggi 2,460 meter dari permukaan laut itu mula aktif dan statusnya sentiasa tidak stabil dan mempunyai gejala untuk meletus pada bila-bila masa.
Kepala Pusat Data Informasi dan Humas Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Sutopo Purwo Nugroho dipetik sebagai berkata aktiviti vulkanik gunung itu semakin meningkat dan pihaknya sedang memantau perkembangannya dari semasa ke semasa.

Nahas Roller Coaster: Remaja Lelaki Patah Kedua Belah Kaki


Diterbitkan: Khamis, 4 Jun 2015 8:06 AM

SEORANG remaja lelaki patah kaki selepas terbabit dalam kemalangan semasa menaiki permainan 'roller coaster' di taman tema Alton Towers, England pada Selasa lalu.
Portal Mirror melaporkan Joe Pugh, 18, dikatakan patah kedua belah kakinya manakala remaja perempuan, Leah Washington, 17, yang dibawanya untuk berdating buat kali pertama pada hari kejadian mengalami kecederaan parah.
Seramai 16 orang cedera dalam kemalangan di Alton Towers apabila gerabak 'roller coaster' yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lagi gerabak kosong yang ketika itu sedang menjalani ujian pemeriksaan.
Joe dan Leah antara mangsa yang cedera parah dalam nahas 'roller coaster' di taman tema, Alton Towers di England pada Selasa lalu.
Dilaporkan, rakan-rakan memberitahu bahawa mereka baharu sahaja mengenali selama empat hari dan Joe Pugh dikatakan tidak sabar-sabar untuk membawa Leah ke taman tema itu.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Merlin Entertainments yang mengendalikan taman tema itu dilaporkan memberitahu Channel Four News bahawa beliau tidak menolak kecuaian merupakan punca tragedi yang berlaku.
Joe dan Leah dikatakan duduk di bahagian hadapan gerabak 'roller coaster' yang dinaiki mereka semasa kejadian sebelum ia merempuh sebuah lagi gerabak pada kelajuan 81 kilometer sejam di landasan yang sama. - MIRROR

Gempa Bumi Berkekuatan 4.7 Gegar Barat Nepal


Diterbitkan: Rabu, 3 Jun 2015 4:30 PM
Keadaan kediaman penduduk Nepal yang musnah akibat gempa bumi berulang yang melanda sejak April lalu.

KATHMANDU: Gempa bumi berukuran 4.7 pada skala Richter menggegarkan bahagian barat Nepal awal Rabu.
Menurut Pusat Seismologi Kebangsaan (NSC), gempa bumi itu berpusat di Humla, kira-kira 600 kilometer di barat laut Kathmandu.
Setakat ini, belum terdapat laporan tentang kerosakan akibat kejadian itu.
Satu gegaran susulan daripada gempa bumi pada 25 April dirasai di Kathmandu dan kawasan sekitarnya pada Rabu dan menurut NSC, pusatnya dikesan di Dolkha, 85 kilometer di timur Kathmandu.
Sejak Ahad, jumlah gegaran susulan makin berkurang setiap hari.
Lebih 30,000 gegaran susulan, termasuk 295 yang berukuran lebih 4.0 pada skala Richter, direkodkan sejak berlakunya gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter pada 25 April.
Gempa bumi dahsyat itu serta gegaran susulannya meragut sekurang-kurangnya 8,600 nyawa serta mencederakan lebih 22,000 orang dan menyebabkan kerosakan harta benda bernilai berbilion dolar.
Nepal menganggarkan pembinaan semula struktur yang rosak akan memerlukan perbelanjaan sekurang-kurangnya US$5 bilion dan berjanji akan menyiapkan kerja itu dalam masa tiga tahun.-- Bernama

1.1 Juta Mangsa Gempa Bumi Nepal Terdedah Krisis Makanan


Diterbitkan: Khamis, 4 Jun 2015 7:09 PM
Porter mengangkut pelbagai barangan termasuk makanan di kawasan tanah tinggi Labja Dorhan di Wilayah Khumbu untuk diagihkan kepada penduduk di kawasan pedalaman yang berhadapan masalah untuk mendapatkan bekalan.

KATHMANDU: Sekurang-kurangnya 1.1 juta penduduk di 11 daerah yang teruk dilanda gempa bumi di Nepal baru-baru ini, amat terdedah kepada krisis makanan dan kemungkinan mengalami kebuluran, menurut laporan Kementerian Pertanian Nepal.
Tinjauan keselamatan bekalan makanan yang dijalankan oleh Kementerian Pertanian mendapati mangsa gempa bumi pada 25 April lepas dan gegaran susulan antara 8 dan 20 Mei memerlukan bekalan makanan dari luar dengan segera.
Stok makanan isi rumah telah tertimbus dan tanaman musnah, manakala aktiviti ekonomi kebanyakan keluarga di daerah-daerah dilanda gempa bumi telah terjejas, menyebabnkan kebanyakan keluarga terdedah kepada krisis bekalan makanan, " kata laporan itu.
Bagaimanapun, Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (WFP) menganggarkan lebih 1.4 juta mangsa gempa bumi memerlukan bantuan makanan di Nepal.
"Situasi bekalan makanan semakin bertambah buruk di sebahagian besar kawasan terjejas dengan kerosakan ketara kepada stok bekalan makanan isi rumah dan kemerosotan pendapatan dan kebergantungan kepada bantuan makanan terus tinggi," kata laporan itu.
Menurut laporan itu, 70 peratus daripada isi rumah dalam kajian itu dilaporkan mengalami kerugian sebahagian atau keseluruhan stok makanan mereka.
Kajian dijalankan meliputi kira-kira 1,000 isi rumah di kawasan-kawasan yang terjejas.
Laporan itu mencadangkan kepada kerajaan supaya meningkatkan bantuan kemanusiaan bagi memastikan bekalan makanan yang stabil di kawasan-kawasan dilanda gempa.
Hemaraj Regmi, penyelidik kanan di kementerian itu, berkata penduduk amat memerlukan memerlukan bantuan makanan dengan segera.
"Kehidupan, terutama aktiviti pertanian harian dan aktiviti buruh bukan pertanian teruk terjejas dengan kehilangan pendapatan sebanyak lebih 75 peratus," kata laporan.
Menurut laporan itu, perbelanjaan isi rumah secara keseluruhan menurun  purata sebanyak 13 peratus.
Kajian dijalankan selaras dengan Sistem Pemantauan Bekalan Makanan Nepal  (NKSAP) dengan bantuan teknikal daripada program WFP dan Kluster Keselamatan Makanan.
Bukan sahaja bijirin tetapi benih padi dan jagung serta peralatan pertanian yang penting juga tertimbus di bawah runtuhan di daerah-daerah dilanda gempa bumi. --Bernama