Search This Blog

Tuesday, June 2, 2015

Pendedahan Dari Kem Pemerdagangan Manusia


Diterbitkan: Isnin, 1 Jun 2015 6:16 PM
Kem transit sindiket pemerdagangan manusia di Padang Besar.

ALOR SETAR:  Wanita-wanita Rohingya yang ditahan di kem transit sindiket pemerdagangan manusia di Padang Besar, Thailand diperlakukan persis hamba seks. 

Mereka menjadi mangsa rogol beramai-ramai oleh pengawal kem berkenaan. 

Pendedahan itu dibuat oleh seorang wanita Rohingya, Nur Khaidha Abdul Shukur, 24, yang ditahan selama lapan hari bersama anaknya yang baru berusia beberapa bulan di kem transit itu. 

"Setiap malam, dua atau tiga wanita muda Rohingya yang agak cantik, akan dibawa keluar dari kandang tahanan dan dibawa ke tempat tersembunyi oleh pengawal-pengawal kem itu." 
|
"Wanita itu dirogol beramai-ramai oleh mereka (pengawal kem), malah di dalam kem itu, ada dua wanita muda yang telah mengandung dipercayai akibat perbuatan pengawal itu," katanya kepada wartawan Bernama menerusi penterjemah di sini, Isnin. 

Menurut Nur Khaidha, ada juga di antara wanita-wanita itu yang "dibawa" oleh pengawal-pengawal kem berkenaan selama beberapa hari untuk menjadi mangsa kebuasan seks mereka.

"Mereka (wanita) akan 'hilang' selama dua hingga tiga hari selepas dibawa oleh pengawal itu. Selepas mereka dikembalikan ke kandang, saya tidak bertanya tetapi saya tahu apa yang telah terjadi kepada mereka." 

"Dari raut wajah mereka, kita tahu," katanya dan menambah, wanita-wanitayang ditahan dalam kandang itu tidak dibenarkan bercakap di antara satu sama lain, atau akan dipukul. 

Kedua-dua wanita Rohingya yang mengandung dipercayai akibat dirogol pengawal itu, kata Nur Khaidha, telah ditahan di kem transit itu lebih daripada enam bulan.

Katanya, di dalam kem transit itu di mana beliau ditahan pada tahun lepas, terdapat 15 wanita Rohingya mangsa sindiket itu, dengan lima daripada merek amempunyai anak-anak kecil. 

Kelima-lima yang mempunyai anak itu turut ditahan di dalam kandang bersama-sama anak mereka, tetapi tidak diapa-apakan oleh pengawal terbabit.

"Mungkin kerana kami mempunyai anak-anak kecil, maka pengawal-pengawal tidak bertindak merogol kami. Tetapi walau apapun, saya berdoa setiap hari agar tidak menjadi mangsa rogol mereka," katanya. 

Nur Khaidha, yang berasal daripada Maungdaw, Myanmar memberanikan diri menyeberangi Laut Andaman menaiki bot ke Malaysia bersama-sama anak kecilnya untuk menjejaki suaminya. 

Beberapa bulan sebelum itu, suaminya, Nurul Amin Nobi Hussein, 25, telah menaiki bot dari Maungdaw ke Ranong, Thailand, dalam usahanya untuk menjejakkan kaki di Malaysia. 

Tanpa diketahui oleh isterinya, beliau turut ditahan oleh sindike tpemerdagangan manusia di kem transit mereka di Bukit Wang Burma, Wang Kelian. 

Berbanding Nur Khaidha yang ditahan selama lapan hari di kem transit di Padang Besar, suaminya pula telah ditahan di kem di utara tanah air itu selama 22 hari, sebelum nekad melarikan diri.

Nurul Amin yang kini bekerja di sebuah bengkel di Alor Setar berkata, keinginan mencari kehidupan yang lebih baik membuat beliau, isteri serta anak lelaki mereka bertaruh nyawa menaiki "bot-bot maut" ke Malaysia. Sama seperti yang didedahkan oleh isterinya, Nurul Amin turut menceritakan kisah wanita Rohingya itu dirogol.

"Pada waktu malam, beberapa pengawal akan datang ke kandang-kandang yang menempatkan wanita itu dan menarik keluar mereka ke suatu tempat berdekatan."

"Kami mendengar teriakan dan tangisan wanita-wanita itu kerana tempat di mana mereka dirogol amat hampir dengan kandang kami...cuma kami tidak dapat melihat," katanya.  

Kini hampir setahun berlalu, Nurul Amin dan isterinya, bersyukur kerana telah bebas dari azab dan sengsara di kem-kem pemerdagangan manusia. 

Mereka tekad memulakan hidup baru.

Polis Dapat Kebenaran Guna Laluan Thailand Bagi Operasi Gali Kubur


Diterbitkan: Isnin, 1 Jun 2015 10:07 PM

KANGAR: Polis Diraja Malaysia telahpun mendapat kebenaran daripada polis Thailand untuk menggunakan laluan mereka bagi memulakan operasi menggali kubur di hutan simpan Mata Ayer, Lubuk Sireh. 

Ketua Polis Perlis SAC Shafie Ismail berkata sebanyak 91 kubur dikenal pasti di kawasan tersebut dan operasi menggali akan bermula Rabu ini.

"Jarak kem transit itu agak jauh dari kem di Wang Kelian. Operasi di Wang Kelian telah berakhir dan pasukan polis serta forensik akan berehat dulu sebelum memulakan operasi Rabu nanti," katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Shafie berkata tempoh perjalanan menggunakan laluan di Ban Talok, Thailand mengambil masa kira-kira satu jam kerana kawasannya tidak securam di laluan Wang Kelian yang mengambil masa lebih dua jam.

Ditanya bagaimana mayat yang digali akan dibawa turun, Shafie berkata belum pasti lagi sama ada menggunakan laluan darat atau helikopter.

Pada Ahad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mendedahkan kem transit baharu itu terletak 100 meter dari sempadan Thailand dan masih belum dimasuki pasukan polis dan forensik.

Kem itu kini dikawal rapi Pasukan Gerakan Am bagi memastikan tiada pihak mencuri bahan bukti dan sehingga pihak forensik serta polis mengenal pasti perkara yang berkaitan.

Polis Mula Operasi Menggali Kubur Di Hutan Simpan Mata Ayer Rabu Ini


Diterbitkan: Selasa, 2 Jun 2015 6:45 AM

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memulakan operasi menggali kubur di Hutan Simpan Mata Ayer di Lubuk Sireh pada Rabu ini, berikutan polis Thailand membenarkan laluan ke kawasan tersebut digunakan oleh Malaysia.
Ketua Polis Perlis SAC Shafie Ismail berkata sebanyak 91 kubur dikenal pasti wujud di kawasan hutan yang terletak kira-kira 100 meter dari sempadan Thailand itu.
Beliau memberitahu Bernama bahawa operasi menggali kubur di kawasan Wang Kelian telah berakhir, dan pasukan polis serta forensik akan berehat sebelum memulakan operasi di kem transit di Hutan Simpan Mata Ayer yang mengambil masa kira-kira dua jam berjalan kaki dari kem di Wang Kelian.
"Penggunaan laluan di Ban Talok, Thailand hanya mengambil masa kira-kira sejam kerana kawasannya tidak securam di laluan Wang Kelian yang mengambil masa lebih dua jam," katanya merujuk mengenai kem transit itu yang didedahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim semalam.
Sementara itu, polis Kedah sedang giat mengumpul maklumat bagi mengesan identiti individu dikenali sebagai 'Yassin' yang dikatakan menjadi ejen besar terlibat secara langsung 'membeli' mangsa-mangsa jenayah pemerdagangan manusia itu.
Pihak polis juga telah mengeluarkan arahan kepada penguatkuasaan di sempadan untuk mengetatkan kawalan.
Sementara itu, hasil maklumat risikan awal yang dilakukan Polis Kubang Pasu berjaya mengesan kira-kira 500 lagi pendatang asing tanpa izin dipercayai pelarian Rohingya berada di Danok, Thailand cuba memasuki negara ini. 
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Abd Rahim Abdullah berkata kesemua pelarian terbabit cuba menggunakan laluan Bukit Kayu Hitam untuk masuk ke negara ini.
Sehubungan itu, polis diarahkan supaya meningkatkan kawalan keselamatan di sempadan dengan Pasukan Gerakan Am, Unit Pencegah Penyeludupan dan Balai Polis
Bukit Kayu Hitam melakukan rondaan serta memantau kawasan sempadan. 
Berikutan isu pemerdagangan manusia yang semakin berleluasa pada masa ini, Polis Kelantan juga mempertingkatkan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand di negeri berkenaan bagi mengawal aktiviti penyeludupan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin ke negara ini.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim dilaporkan berkata pihaknya mengadakan sekatan jalan raya secara bersama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di kawasan sempadan Malaysia-Thailand bermula dari Tumpat hingga ke Jeli.
Setakat ini, 35 rangka manusia dipercayai mangsa sindiket pemerdagangan manusia yang dijumpai di hutan Bukit Wang Burma di Wang Kelian telah dibawa ke
Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Kedah untuk proses patologi. Sementara itu, sebanyak 139 kubur di 28 kem sementara sindiket pemerdagangan manusia ditemui antara Kampung Wai di Kuala Perlis hingga Tangga 100 di Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar, sepanjang 11 kilometer.
-- BERNAMA

Jabatan Penjara Sahkan Tiada Unsur Penganiayaan Banduan Gantung Diri


Diterbitkan: Selasa, 2 Jun 2015 6:56 AM

KUALA LUMPUR: Jabatan Penjara mengesahkan tiada sebarang unsur penganiayaan dan kesan luka lain pada mana-mana bahagian badan seorang banduan yang didapati menggantung diri di Penjara Kluang, pada 22 Mei lepas. 
Timbalan Pengarah Dasar Kepenjaraan Ibu Pejabat Penjara Malaysia Supri Hashim berkata pemeriksaan koroner dan laporan siasatan Ibu Pejabat Penjara ke atas mayat mendapati hanya kesan lebam pada leher si mati. 
"Seterusnya, hasil bedah siasat menunjukkan kematian adalah disebabkan gantung diri," katanya dalam kenyataan media mengulas laporan beberapa akhbar harian berbahasa Tamil berhubung kejadian itu, baru-baru ini. 
Dalam kejadian pada 10.25 malam itu, seorang anggota penjara yang membuat rondaan mendapati banduan berkenaan telah menggantung diri menggunakan pakaian yang dibekalkan, di jerejak lubang angin sel penempatannya. 
Supri berkata tindakan segera diambil untuk menyelamatkan banduan dengan menurunkannya dan dihantar ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan, bagaimanapun, banduan itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Kluang. 
Beliau berkata pengurusan Penjara Kluang telah menjalankan prosedur penjara yang ditetapkan selain tindakan membuat laporan polis, memaklumkan keluarga, memastikan kehadiran koroner dan menjalankan siasatan. 
Sementara itu, mengenai kemudahan rawatan kesihatan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Penjara Sungai Buloh, beliau berkata berasaskan prosedur penjara, semua banduan akan diperiksa kesihatan oleh Pegawai Perubatan semasa kemasukan dan dari semasa ke semasa jika keadaan memerlukan. 
"Seterusnya, bagi banduan yang memerlukan rawatan lanjut di hospital luar penjara termasuk rawatan dari pakar akan segera dirujuk oleh pegawai berkenaan," katanya.
Supri berkata, sejak menjalani hukuman penjara mulai 10 Feb sehingga 29 Mei lepas Anwar telah diperiksa oleh Panel Pakar Perubatan dari Hospital Kuala Lumpur. 
"Manakala bagi pemeriksaan harian, ia dilaksanakan oleh Pegawai Perubatan Penjara Sungai Buloh. Keadaan kesihatan semasa beliau adalah stabil," katanya. 
Menurutnya, Jabatan Penjara tidak pernah menghalang seseorang banduan untuk mendapatkan rawatan lanjut di hospital setelah disyorkan atau diarahkan oleh pegawai perubatan.    -- BERNAMA

Polis Kenal Pasti Mangsa ERL Penumpang Warga India


Diterbitkan: Selasa, 2 Jun 2015 7:01 AM

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan lelaki yang dijumpai mati dekat Stesen Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) Bandar Tasik Selatan, Sabtu lepas, adalah seorang warganegara India.
Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Chong Kok Sin berkata mangsa ialah seorang penumpang berusia 39 tahun.
"Si mati dipercayai salah seorang penumpang ERL dari Salak Tinggi, Sepang berdasarkn penemuan tiket yang dibeli dari kaunter stesen Salak Tinggi pada pukul 6.28 petang Sabtu lepas," katanya dalam kenyataan media, di sini, Isnin.
Beliau berkata mangsa dipercayai menghala ke KL Sentral namun telah turun di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Bandar Tasik Salak Selatan.
Chong berkata mangsa melakukan kesilapan kerana berjalan kaki di landasan ERL itu untuk ke KL Sentral dalam keadaan gelap dan mengambil keputusan tidak mengunakan jalan raya kerana tidak mengetahui arah ke KL Sentral.
"Si mati dipercayai tiada tujuan untuk bunuh diri kerana tiada motif," katanya.
Chong berkata mangsa dipercayai tidak mempunyai pekerjaan, pemabuk, memiliki hutang dan pernah meminta saksi mendapatkan pasport yang dicagarkan bagi menjelaskan hutangnya selain mengalami kehidupan yang susah.
Beliau berkata beberapa bahagian tubuh mangsa telah dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk bedah siasat.
Lelaki tersebut maut digilis oleh tren ERL pada pukul 9.30 malam Sabtu lepas ketika dalam perjalanan ke Stesen KL Sentral.
-- BERNAMA

376 Pekerja Asing Ada Akuan Penerimaan PLKS Ditahan


Diterbitkan: Selasa, 2 Jun 2015 9:57 AM

EKSKLUSIF
PETALING JAYA: Seramai 376 pekerja asing di Semenanjung ditahan polis sejak Februari lalu ketika mereka masih dalam tempoh menunggu pelekat baharu bagi Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang telah diperbaharui secara dalam talian.
Menurut sumber, jumlah penahanan pekerja asing itu diperoleh selepas sebanyak 281 majikan membuat aduan kepada pihak imigresen.
Proses pembaharuan PLKS secara dalam talian mula dikuatkuasakan pada Januari lalu.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan kewarganegaraan 376 pekerja asing yang ditahan.
Kesemua mereka merupakan pekerja asing di enam sektor yang dibenarkan iaitu pembuatan, pertanian, perladangan, pembinaan, perkhidmatan dan pembantu rumah.
Sumber memberitahu, majikan mendakwa pekerja mereka ditahan pihak berkuasa disebabkan kelewatan Jabatan Imigresen dan penyedia perkhidmatan dalam talian dalam mengeluarkan pelekat baharu PLKS selepas permohonan dibuat.
Sebaliknya, menurut sumber, kelewatan itu disebabkan oleh permohonan pada saat akhir yang dibuat majikan masing-masing.
Laporan mStar Online sebelum ini memetik Pengarah Bahagian Pekerja Asing Jabatan Imigresen, Farah Adura Hamidi sebagai berkata, pembaharuan PLKS perlu dibuat lebih awal dan bukannya 24 jam sebelum tamat tempoh.
Ini kerana katanya, hal berkaitan pemeriksaan oleh Agensi Pemantauan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) mengambil masa dan majikan perlu membayar kompaun terlebih dahulu bagi pekerja asing tinggal lebih masa.
"Selain itu, proses memperbaharui pasport pekerja asing bagi segelintir negara mengambil masa sehingga tiga bulan kerana permohonan perlu dibuat di negara mereka seperti Bangladesh, Pakistan, Nepal dan Sri Lanka," katanya.
Difahamkan, majikan perlu memperbaharui PLKS sekurang-kurangnya setahun sebelum pasport pekerja asing mereka tamat tempoh terutama di negara-negara sub-kontinen dan sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum pas tamat tempoh.
Turut difahamkan, prosedur operasi standard (SOP) bagi pengeluaran PLKS adalah tujuh hari bekerja sekiranya semua dokumen berkaitan lengkap dikemukakan majikan semasa membuat permohonan.
Berdasarkan rekod Jabatan Imigresen, sejak Januari sehingga 25 Mei, sebanyak 185,505 PLKS baharu dikeluarkan kepada pekerja asing di Semenanjung.
Jumlah itu terdiri daripada pekerja asing yang berkhidmat dalam sektor pembuatan (81,382 orang), pertanian (11,254), perladangan (15,420), pembinaan (47,771), perkhidmatan (22,520) dan pembantu rumah (7,158).
Walaupun nisbah 376 pekerja asing ditahan itu mungkin jumlah yang kecil jika dibandingkan dengan 185,505 yang telah memperbaharui PLKS, namun keadaan itu masih membimbangkan.
Difahamkan, timbul kekeliruan di kalangan majikan dan pihak polis apabila akuan penerimaan sebagai bukti permohonan memperbaharui PLKS tidak diiktiraf pihak berkuasa itu.
Sehubungan itu, menerusi laporan portal berita ini pada Isnin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia bekerjasama dengan Jabatan Imigresen untuk menerima pakai akuan penerimaan sebagai dokumen gantian sementara yang sah sehingga PLKS dikeluarkan kepada majikan untuk pekerja asing di negara ini.
Persetujuan itu berdasarkan siri pertemuan antara kedua-dua agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam menetapkan koordinasi penguatkuasaan.
Ia susulan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memberi maklum balas berhubung isu sama mengesahkan akuan penerimaan itu manakala Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar turut memberi jaminan untuk menyelesaikan kekeliruan berhubung isu penahanan pekerja asing ketika proses memperbaharui PLKS.

Tiga Maut Dalam Kemalangan Di Lebuhraya Utara-Selatan


Diterbitkan: Selasa, 2 Jun 2015 1:23 PM

JASIN:Tiga maut, dua daripadanya rentung, dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di KM 192.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran Plaza Tol Ayer Keroh, awal pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Jasin DSP Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata ketiga-tiga mangsa, yang identiti mereka masih belum dikenal pasti, merupakan pemandu dan penumpang sebuah kereta Proton Saga, yang terbakar dalam kemalangan pada pukul
2.30 pagi itu.

"Siasatan awal mendapati kereta tersebut datang dari arah Johor Baharu menghala ke Kuala Lumpur yang dipercayai terbabas ke kiri jalan semasa tiba di lokasi kejadian.

"Pemandu dan seorang penumpang kenderaan terbabit rentung, manakala seorang lagi penumpang maut akibat tercampak keluar daripada kenderaan semasa kejadian," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Selasa.

Beliau berkata sebuah kereta Perodua Myvi yang dinaiki tiga orang dari arah sama yang cuba mengelak kenderaan terbabit, telah terbalik, manakala sebuah lagi kenderaan pelbagai guna (MPV) Audi yang dinaiki tiga orang, juga gagal mengelak kereta Proton Saga itu, lalu melanggarnya.

Muhd Nur Hishamuddin berkata akibat perlanggaran itu, kereta Proton Saga dan MPV Audi berkenaan tercampak sejauh kira-kira 200 meter sebelum kedua-duanya terbakar.
Bagaimanapun keenam-enam individu yang menaiki kereta Perodua Myvi dan MPV Audi itu berjaya keluar menyelamatkan diri daripada kenderaan masing-masing.
"Enam mangsa itu mengalami cedera ringan dan dikejarkan masing-masing ke Hospital Melaka dan Hospital Jasin untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.
Beliau berkata mayat ketiga-tiga mangsa kemalangan itu dihantar ke Hospital Jasin untuk bedah siasat, bagaimanapun polis mahu mengenal pasti identiti mangsa dan waris terlebih dahulu.  -- BERNAMA

APMM Tahan Bot Nelayan Vietnam Tangkap Ikan Di Johor


Diterbitkan: Selasa, 2 Jun 2015 3:15 PM

KOTA TINGGI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot nelayan Vietnam kerana menangkap ikan di perairan negara ini pada kedudukan 20.3 batu nautika tenggara Tanjung Sedili, dekat Kota Tinggi, pada Sabtu.
Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah Tanjung Sedili Kapten Maritim Amran Daud berkata bot itu dikesan oleh kapal maritim yang melakukan rondaan pada 5.30 petang.
"Setelah melakukan pemeriksaan, didapati bot tersebut tidak mempunyai sebarang dokumen," katanya menerusi kenyataan.
Amran berkata bot tersebut juga didapati membawa muatan kira-kira tiga metrik tan ikan yang dipercayai ditangkap di kawasan perairan negara dengan menggunakan pukat tunda.
Katanya berikutan itu, 21 kru bot rakyat Vietnam berusia 21 hingga 49 tahun kini ditahan untuk siasatan lanjut.
Kes akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) dan 16(3) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di kawasan perairan Malaysia, katanya.

Kapal Bawa 450 Penumpang Karam


Diterbitkan: Selasa, 2 Jun 2015 8:05 AM

BEIJING: Sebuah kapal yang membawa 450 penumpang karam di Sungai Yangtze, di tengah China, lapor media negara itu pada Selasa.
Kapal yang dinamakan Dongfangzhixing itu dilapor dalam perjalanan dari Nanjing ke bandar Chongging sebelum karam di Jianli, Hubei pada lewat Isnin.
Punca kapal tersebut karam belum dikenalpasti setakat ini, namun sebuah saluran televisyen China, iaitu CCTV mendakwa telah berlaku kemalangan.
Lapan individu telah berjaya diselamatkan termasuk kapten kapal serta ketua jurutera, dan mereka juga mendakwa kapal berkenaan telah terperangkap di dalam taufan sebelum karam.
Dilaporkan terdapat seramai 458 penumpang berada di atas kapal ketika ia karam pada pukul 9.28 malam Isnin.
Daripada jumlah itu, 406 merupakan penumpang warga China manakala 47 lagi adalah kru kapal.
Sebuah akhbar tempatan pula mendakwa, usaha menyelamat yang telah dimulakan menghadapi kesukaran akibat cuaca buruk di sekitar lokasi nahas.

Sembilan Pekerja Kemanusiaan Maut Diserang Militan


Diterbitkan: Selasa, 2 Jun 2015 3:19 PM

MAZAR-I-SHARIF: Sembilan pekerja warga Aghanistan yang berkhidmat untuk Organisasi bantuan Czech terkorban apabila kumpulan militan bertindak menyerang rumah tamu di utara negara itu pada awal pagi Selasa.
Timbalan Ketua Polis wilayah, Abdul Razaq Qaderi berkata sembilan yang terkorban merupakan pekerja bantuan dan pengawal keselamatan.
"Mereka yang terkorban di daerah Zari wilayah Balkh adalah tujuh pekerja bantuan yang terdiri daripada enam lelaki dan seorang perempuan dan juga dua lagi pengawal keselamatan," kata Abdul Razaq.
Abdul Razaq juga menyalahkan kumpulan militan Taliban berikutan serangan tersebut.
Mangsa-mangsa serangan merupakan pekerja bagi organisasi Orang yang Memerlukan (PIN), sebuah organisasi Republik Czech yang menghulurkan bantuan kemanusiaan di Afghanistan sejak 2001.
"Malang bagi kami apabila seorang lelaki bersenjata yang tidak dikenali menyerang rumah tamu kami di Zari dan mengorbankan sembilan pekerja kami," katanya.
Setakat ini tiada kumpulan yang tampil untuk bertanggungjawab atas serangan tersebut. Bagaimanapun serangan tersebut merupakan tanda kumpulan militan Taliban memperhebatkan lagi serangan mereka walaupun rundingan berulang kali diadakan oleh pihak kerajaan mengenai perbincangan rundingan damai.
Pekerja bantuan antarabangsa kini menjadi sasaran serangan di Afghanistan walaupun kumpulan militan Taliban menyokong polisi rasmi yang menolak serangan ke atas pekerja kemanusiaan.
Serangan ini berlaku beberapa minggu selepas serangan yang mengorbankan 14 pekerja bantuan di rumah tamu di pusat bandar Kabul yang menjadi tempat kediaman pekerja bantuan antarabangsa.

Adik Bekas Menteri, 'Mat Malaya' Ditangkap Di Kundasang


Diterbitkan: Selasa, 2 Jun 2015 10:15 AM

KOTA KINABALU: Penjenayah terkenal, Mat Malaya akhirnya berjaya ditangkap selepas polis menyerbu sebuah rumah tumpangan di Kundasang lewat malam Isnin.
Suspek yang merupakan adik kepada bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar, berusia 44 tahun ditahan ditahan ketika bersama isterinya yang berusia 24 tahun dan bayi perempuan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Sabah SAC Datuk Sallehhudin Abd Rahman berkata suspek yang dikehendaki kerana menembak seorang mekanik pada 6 Mei lalu tidak membantah ketika penangkapan dilakukan.
Mat Malaya atau nama sebenarnya Mohd Jusnaidi Omar sedang disiasat kerana cubaan membunuh dan memiliki senjata api.
Polis bagaimanapun, tidak menemui sebarang senjata dalam simpanannya.
Suspek dikatakan telah menembak seorang mekanik di bengkel penghawa dingin kereta selepas kedua-dua mereka merenung antara satu sama lain.
Suspek kemudian naik berang dan bertindak menembak mangsa.
Mat Malaya sebelum ini didakwa atas kesalahan mengedar dadah pada tahun 2007 tetapi dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi.

Diculik geng pondan ganas

Kuala Lumpur: Seorang lelaki yang diculik sekumpulan ‘geng pondan’ bertindak nekad menarik stereng kereta dipandu suspek menyebabkan kenderaan itu terjunam ke dalam gaung.
Dalam kejadian jam 11.30 pagi Khamis lalu, mangsa berusia 28 tahun diselamatkan seorang pemandu lori yang kebetulan melalui lokasi kejadian di Kuala Kubu Bharu, Selangor.
Difahamkan mangsa cuba melepaskan diri selepas mendengar perbualan kumpulan suspek yang merancang mahu membunuhnya di kawasan hutan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad berkata, mangsa sebelum itu dilarikan sekumpulan lelaki selepas bertemu dengan salah seorang suspek di Jalan Thambipillay, Brickfields.
Difahamkan, mangsa bertemu suspek dengan tujuan meminta lelaki itu menarik semula laporan polis dibuat terhadap adiknya yang kini ditahan di Penjara Sungai Buluh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2015 @ 7:32 AM


KENDERAAN yang digunakan geng pondan terjatuh dalam gaung.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/54783#sthash.p6puk9VF.dpuf

Cemburu belum reda

Kuala Terengganu: “Saya bergegas keluar rumah selepas terdengar bunyi rempuhan dan melihat ibu berlumuran darah terbaring di atas jalan,” kata anak kepada Rosnida Awang yang dipercayai dilanggar bekas suaminya di Kampung Baru, Kemasik, pada Khamis lalu.
Anak mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Diyana, 16, berkata, akibat kejadian itu, Rosnida, 39, mengalami kecederaan di kepala.
“Saya tidak menyangka bapa tiri sanggup berbuat demikian dan hampir membunuh ibu,” katanya yang ditemui semalam.
Dia berkata, dalam kejadian jam 10 malam itu, dia sedang menunaikan solat Isyak sebelum terdengar bunyi rempuhan dan jeritan adiknya.
“Saya dapati ibu terbaring di belakang kereta milik bapa tiri,” katanya.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2015 @ 7:27 AM


ROSNIDA menerima 12 jahitan di kepala.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/54776#sthash.LgWL1sNP.dpuf

Dihukum gantung sampai mati

Kangar: Seorang wanita warga Thailand dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi, di sini, sebentar tadi atas kesalahan mengedar dadah jenis ganja kira-kira dua tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh Rohanee Subakoye, 37, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Mengikut pertuduhan, Rohanee didakwa mengedar dadah berbahaya jenis ganja seberat 407.5 gram di Pos Masuk Imigresen Wang Kelian di Padang Besar pada 2 petang, 11 November 2013.
Tertuduh ditahan ketika cuba memasuki negara ini dengan menaiki sebuah trak pikap.
Dia dituduh mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Mohd Khairuddin Idris, manakala tertuduh diwakili peguam Rabiatul Adamah Ramli, Nor Farishah Mohammad Bahar dan Fatin Hayati Abdul Rahman.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2015 @ 1:43 PM


WANITA warga Thailand yang dihukum gantung. FOTO Eizairi Shamsudin
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/54951#sthash.Y4TmXNL3.dpuf

Penculik dipenjara seumur hidup

Alor Setar: Dua lelaki termasuk seorang warga Myanmar dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, atas pertuduhan menculik remaja lelaki berusia 13 tahun, kira-kira tiga tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap tertuduh Veera Pandian Bala, 29, (warga Myanmar) dan S Sugumar, 32, selepas menimbangkan segala pendakwaan pihak pembela di akhir kes pembelaan.
Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa dengan niat bersama melakukan penculikan, tahanan atau kurungan terhadap remaja lelaki berusia 13 tahun dengan meminta wang tebusan berjumlah RM350,000 daripada bapa mangsa, 49.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada 10.40 malam di tepi Jalan Taman Rimba, Lebuhraya Darulaman, di sini, pada 25 September 2012.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 3 (1) Akta Culik 1961 yang dibaca bersama-saman Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Naizatul Zima Tajudin, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam RSN Rayer.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2015 @ 5:07 PM

TERTUDUH di Mahkamah Tinggi Alor Setar. FOTOSharul Hafiz Zam

680 diasing kerana MERS

Seoul: Lebih 680 orang di Korea Selatan diasingkan selepas terdedah kepada pesakit yang dijangkiti virus Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS), kata pegawai kesihatan negara itu, semalam.
Korea Selatan melaporkan 17 kes MERS sejak pesakit pertama negara itu didiagnos bulan lalu, iaitu seorang lelaki yang mengembara ke Arab Saudi.
Kes di Korea Selatan semuanya mempunyai kaitan dengan pesakit pertama itu, iaitu termasuk pekerja perubatan yang membantu proses merawatnya atau pesakit yang berada berhampirannya di hospital itu sebelum dia didiagnos dan diasingkan.
Selain itu, anak lelaki seorang daripada pesakit terbabit tidak mengendahkan arahan doktor supaya membatalkan perjalanannya ke China, tempat dia pula didiagnos sebagai pesakit pertama republik itu, minggu lalu.
China mengasingkan lelaki Korea Selatan itu di sebuah hospital dan pihak berkuasa Hong Kong berkata, 18 orang kini dikuarantin kerana berada berhampirannya. Bagaimanapun, mereka tidak menunjukkan sebarang simptom. - APP
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2015 @ 9:31 AM


SEORANG wanita yang dipercayai dijangkiti MERS diusung di kawasan kuarantin yang didirikan di sebuah hospital di Seoul, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/55103#sthash.5036AevI.dpuf

Rampas dodol ganja

Medan: Pihak polis bandar ini semalam berjaya mematahkan satu cubaan menyeludup dadah apabila merampas sejumlah ganja yang dijadikan seperti dodol.
Dadah itu dirampas daripada seorang lelaki yang dikenali sebagai M Suef, 43, dan dipercayai mahu diseludup ke Pekanbaru.
Jurucakap polis, Gunawan berkata, ketika ditahan, lelaki berasal dari Palembang itu turut membawa 30 kilogram (kg) ganja kering.
“Ketika ditahan kami menemui 20kg ganja kering yang disimpan di dalam kotak.
“Sebuah kotak lagi mengandungi 10kg ganja kering dan dua plastik dodol yang dipercayai ganja,” katanya.
Katanya, suspek memberitahu menerima ganja itu daripada seorang individu di Aceh untuk dihantar kepada seorang lelaki di Pekanbaru.
“Dodol ganja ini menggunakan bahan yang sama untuk membuat dodol seperti tepung dan santan serta dicampur dengan serbuk ganja,” jelasnya.
Menurutnya, suspek mengaku dia menerima bayaran sebanyak Rp1 juta (RM279) untuk membawa dadah berkenaan ke Pekanbaru.
“Suspek memberitahu bahawa ini kali pertama dia cuba membawa dadah ke Pekanbaru.
“Kami akan dakwanya di mahkamah dan dia berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun sekiranya didapati bersalah,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2015 @ 9:47 AM


GANJA seperti dodol yang dirampas, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/55111#sthash.z5JL4tlK.dpuf

Tetak anak tak mahu makan sayur


Palembang: Kerana enggan memakan sayur yang dihidangkan, seorang ibu bertindak kejam apabila menetak anak kandungnya sendiri dengan menggunakan parang sehingga mati.

Kejadian Sabtu lalu itu berlaku ketika Lisma, 53, makan bersama anak lelakinya, Eman Wijaya, 12, di rumah mereka di kampung Tanjung Muning di Muara Enim dekat sini.

Lisma berang selepas Eman enggan memakan sayur yang dimasaknya.

Suspek kemudian mengambil parang dan menetak anak bongsunya itu beberapa kali sehingga mati.

Ketua polis Muara Enim, Nuryanto berkata, mangsa mati di tempat kejadian akibat cedera parah di belakang kepala, leher dan bahu.

“Wanita itu ditahan selepas beberapa jiran yang terlihat mayat mangsa terbaring berlumuran darah di bawah meja makan membuat laporan polis.

“Mereka masuk ke rumah wanita itu selepas mendengar jeritan suspek dan mangsa,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2015 @ 10:02 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/55116#sthash.rQjpqZ46.dpuf

Empat cedera dihempap layang-layang gergasi

Tokyo: Satu layang-layang gergasi seberat tiga perempat tan jatuh menghempap sekumpulan penonton, menyebabkan empat orang cedera, termasuk seorang warga emas.
Rangka layang-layang itu yang dibuat daripada buluh berukuran 13 meter kali 12 meter dan berat 700 kilogram diterbangkan sekumpulan peserta di sebuah taman di Higashiomi, tengah Jepun, sempena festival ‘Layang-Layang Besar,’ kelmarin.
Ia berada 200 meter di udara apabila layang-layang berkenaan menjunam lalu menghempap penonton.
Seorang lelaki berusia 73 tahun turut menjadi mangsa dan dilapor masih tidak sedarkan diri di hospital, semalam.
Tiga yang lain, termasuk seorang budak berusia tujuh tahun cedera ringan.
Media tempatan melaporkan, polis menyiasat kes itu atas tuduhan cuai.
Kemalangan membabitkan layang-layang gergasi bukan perkara biasa di Jepun.
Pada 2004, lapan orang cedera selepas mereka dihempap layang-layang seberat 1,000 kilogram di Kanagawa, berhampiran Tokyo. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2015 @ 10:00 AM


GAMBAR hiasan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/55114#sthash.ttcXbOdQ.dpuf

Dicurah asid kerana tak mahu kahwin


Hyderabad: Seorang gadis berusia 21 tahun mencurah asid pada kekasihnya selepas teman lelakinya itu menolak gesaan supaya melamarnya.

Menurut polis, kejadian berlaku di daerah Ballia di Uttar Pradesh.

Gadis itu dikatakan berang selepas Raj Kumar Pal, 22, enggan menuruti kehendaknya dengan alasan belum bersedia untuk berkahwin.

“Suspek pergi ke rumah mangsa dengan membawa asid. Apabila melihat mangsa tidur di beranda, dia mencurahkan bahan itu pada tubuh mangsa. Lelaki itu cedera teruk di mukanya sebelum dihantar ke hospital oleh keluarganya,” kata jurucakap polis Ballia. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2015 @ 9:59 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/55112#sthash.gRJa6DAq.dpuf