Search This Blog

Sunday, May 31, 2015

Makmal dadah di rumah inap desa diserbu


ALOR SETAR 30 Mei – Kegiatan sebuah makmal memproses dadah di negeri ini berjaya dibongkar selepas polis menyerbu sebuah rumah inap desa di Jalan Langgar di sini hari ini.
Menurut sumber polis, selain menumpaskan aktiviti haram makmal tersebut, dadah jenis heroin lebih daripada 20 kilogram berjaya dirampas dan tiga suspek termasuk seorang wanita ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 1.45 pagi itu.
“Serbuan ini digerakkan oleh Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman dan ketika serbuan dijalankan ada di antara suspek tersebut yang sedang memasak sesuatu dipercayai dadah.
“Terdapat kelengkapan yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah turut dirampas dalam serbuan tersebut,” katanya di sini hari ini.
Kata sumber itu, salah seorang daripada suspek lelaki yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya,” ujarnya.
Difahamkan, satu sidang akhbar mengenai kejayaan polis membongkar makmal dadah itu akan dibuat oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah esok.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/makmal-dadah-di-rumah-inap-desa-diserbu-1.97476#sthash.K8g1TL0K.dpuf

51 ditahan sertai parti liar


KUALA LUMPUR 31 Mei - Seramai 51 individu termasuk 17 wanita yang sedang leka menari dalam parti liar di sebuah unit kondominium di Jalan Imbi, di sini ditahan dalam serbuan awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, antara ditahan dalam serbuan selama empat jam itu ialah tiga pelajar sekolah menengah dan empat penuntut universiti.
“Ketika ditahan beberapa individu termasuk kumpulan pelajar terbabit yang berumur lingkungan 16 hingga 21 tahun berada dalam keadaan khayal disyaki mengambil dadah jenis syabu dan ganja,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Operasi yang berakhir pada pukul 4 pagi itu melibatkan seramai 10 orang pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
Menurut Zainol, ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap kumpulan pelajar tersebut mendapati semua mereka positif dadah jenis methamphetamine.
“Turut ditahan seorang lelaki berusia 34 tahun dipercayai bertindak sebagai penganjur dan kita merampas 16 peket kecil berisi syabu dan satu bungkusan berwarna perang dipercayai ganja.
“Semua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala penganjur parti itu disiasat mengikut Seksyen 39B akta sama,” katanya.- UTUSAN ONLINE
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/51-ditahan-sertai-parti-liar-1.97424#sthash.PDeH0S9G.dpuf

Lelaki Nepal parah ditetak rakan senegara


ALOR SETAR 30 Mei – Seorang lelaki warga Nepal cedera parah akibat ditetak dengan menggunakan pisau pemotong daging setelah terlibat dalam satu pergaduhan dengan seorang rakan senegaranya di sebuah rumah kedai di Taman Bandar Baru, Mergong, di sini semalam.
Suspek
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 malam itu, mangsa, Nima Helmu, 26, ditetak sehingga retak tempurung kepalanya oleh suspek yang berusia 23 tahun ketika kedua-dua mereka dalam keadaan mabuk.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut kira-kira pukul 10.20 malam dan anggota polis telah diarahkan untuk ke lokasi kejadian.
“Apabila polis tiba mangsa didapati dalam keadaan terbaring berlumuran darah dan mangsa telah menunjukkan kepada anggota polis suspek yang mencederakannya.
“Pihak polis menangkap suspek dan sebilah pisau pemotong daging dipercayai digunakan oleh suspek turut dirampas," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Adzaman, mangsa dan suspek telah tinggal di negara ini hampir lima tahun dan motif kejadian masih disiasat.
“Rumah kedai tersebut dijadikan asrama pekerja sebuah kilang beras dan seramai 15 warga Nepal tinggal di situ.
“Mangsa telah dibawa untuk menerima rawatan lanjut di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/lelaki-nepal-parah-ditetak-rakan-senegara-1.97485#sthash.Ami3sxXy.dpuf