Search This Blog

Wednesday, May 27, 2015

Gadis tunggang motor diraba


Kuala Terengganu: Gelaran lelaki miang sesuai untuk menggambarkan tindakan seorang pemuda yang bertindak memegang dada seorang gadis yang sedang menunggang motosikal dalam kejadian di Jalan Kamaruddin, di sini, 20 Mei lalu.
Bagaimanapun, suspek berusia 20-an yang menyangka terselamat daripada perbuatan tidak bermoral itu dicekup polis, kelmarin, dan kini ditahan untuk siasatan lanjut.
Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku pada jam 9.30 pagi apabila mangsa berusia 20-an yang menunggang motosikal bersendirian dihampiri suspek yang turut menunggang motosikal.
“Suspek dipercayai mengekori mangsa dalam keadaan perlahan sebelum menghampiri motosikal mangsa dan terus memegang dada gadis terbabit.
“Walaupun terkejut dengan tindakan suspek, mangsa nekad mengejar suspek yang segera melarikan diri selepas melakukan perbuatan keji itu.
“Walaupun gagal menangkap suspek, tindakan berani mangsa membuahkan hasil apabila mencatat nombor pendaftaran motosikal suspek,” katanya.
Sumber berkata, mangsa membuat laporan polis dan susulan itu, suspek ditahan semalam (kelmarin),” katanya.
Sementara itu, Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi membenarkan suspek ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan penahanan suspek.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/53766#sthash.t2mSRLx3.dpuf

Lelaki dicekup di saf wanita

Kota Bharu: Seorang lelaki nekad menyamar sebagai muslimat dan mengenakan sepersalinan lengkap telekung untuk mencuri sebelum kegiatannya dihidu jemaah masjid.
Kejadian berlaku Ahad lalu ketika jemaah sebuah masjid di Jalan Telipot, di sini, sedang solat Subuh.
Insiden itu tersebar dalam laman sosial dan aplikasi WhatsApp memaparkan wajah suspek apabila dicekup jemaah masjid.
Seorang ahli jawatankuasa (AJK) masjid itu yang enggan dikenali berkata, suspek berusia 26 tahun sebelum itu dilihat masuk ke kawasan masjid dalam keadaan mencurigakan bersama satu set telekung di tangannya.
“Ketika itu sudah hampir solat dan kami masing-masing bersiap untuk menunaikan ibadah. Hanya selepas solat jemaah jam 6.15 pagi, ada muslimat nampak suspek yang kelihatan pelik berada di saf wanita dan segera mengadu.
“Dalam masa sama, beberapa AJK menyemak rakaman kamera litar tertutup dan mendapati suspek mencurigakan serta memaklumkan kepada pengawal keselamatan untuk menangkapnya.
“Dia segera ditahan dan ketika ditanya, dia mendakwa tiada niat mencuri, sebaliknya memberikan alasan melarikan diri daripada jadual tugas sebagai pengawal keselamatan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Menurutnya, polis tiba tidak lama kemudian sebelum membawa suspek ke balai polis.
Katanya, suspek ke masjid dengan menunggang motosikal jenis Honda EX5 dan pemeriksaan mendapati tiada barang dalam masjid yang hilang.
“Mungkin dia ada rancang sesuatu, tetapi tindakannya hanya memakan diri sendiri.
“Sebelum ini pernah berlaku kecurian apabila suspek menyamar jadi muslimat dengan memakai telekung dan kemudian melarikan beg tangan wanita,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2015 @ 10:11 AM


SUSPEK yang menyamar muslimat ditahan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/53770#sthash.sLfWBewy.dpuf

Seorang lagi Naib Presiden FIFA ditahan

NAIB Presiden FIFA Jeffrey Webb
Geneva: Pihak berkuasa Switzerland menahan Naib Presiden FIFA, Eugenio Figueredo, menjadikan tujuh pegawai pertubuhan bola sepak dunia itu ditahan berhubung kes rasuah selepas diminta pihak berkuasa Amerika Syarikat.
“Selepas penahanan enam orang, seorang lagi pegawai pertubuhan bolasepak itu ditahan,” kata kenyataan pejabat peguam negara Switzerland
Selain, Figueredo yang juga ahli jawatankuasa eksekutif dari Urugay, turut ditahan Rican Eduardo Li yang bakal menyertai ahli jawatankuasa eksekutif dari Costa Rica dan Presiden Persekutuan Bolasepak Brazil Jose Maria Marin (ahli jawatankuasa penganjur FIFA untuk bola sepak Sukan Olimpik).
Turut ditahan Julio Rocha dari Nicaragua, Costas Takkas dari Britain, Naib Presiden Jeffrey Webb dari Britain serta Presiden Persekutuan Bolasepak Venezuela Rafael Esquivel.
Polis Switzerland yang menyerbu ibu pejabat FIFA merampas dokumen serta data elektronik untuk siasatan berasingan kes pinjaman wang dan pemalsuan membabitkan pertubuhan itu memberi hak tuan rumah Piala Dunia 2018 kepada Russia dan 2022 kepada Qartar.
Pejabat Peguam Negara Switzerland juga mengarahkan pembekuan akaun FIFA di beberapa bank di negara itu yang dipercayai digunakan untuk kes rasuah.
FIFA da,lam kenyataannya menyatakan ia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa Switzerland serta mengalu-alukan langkah yang boleh membantu mengatasi salah laku dalam sukan bola sepak. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2015 @ 8:01 PM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/53866#sthash.Hi3Da09s.dpuf

Diacu pedang samurai

Kota Bharu: Seorang penuntut institusi pengajian tinggi menempuh detik mencemaskan apabila diacu pedang samurai dan diikat kaki serta tangan oleh lima penjenayah yang menceroboh banglo keluarganya di Taman Permai, Demit, Kubang Kerian, di sini, pagi tadi.
Kejadian berlaku pada 11.20 pagi ketika remaja lelaki berusia 19 tahun itu bersendirian dalam bilik tidurnya.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa berkata, akibat kejadian itu, mangsa kerugian kira-kira RM5,000.
"Kita sedang mengenal pasti lagi apa yang hilang dan siasatan lanjut masih dijalankan.
"Kegiatan jenayah itu dipercayai dilakukan lima lelaki dengan seorang daripadanya bersenjatakan pedang samurai yang digunakan untuk menakutkan mangsa. Sebelum itu mangsa juga diikat tangan dan kaki dengan kain.
"Suspek kemudian mengeledah rumah mangsa dan melarikan diri menggunakan pacuan empat roda jenis Pajero. Pedang samurai digunakan ditemui di dalam longkang kecil di kawasan rumah," katanya, di sini, hari ini.
Rohaimi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395/ 397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata.
Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya menghubungi balai polis terdekat.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2015 @ 6:29 PM


Anggota Forensik PDRM membalut pedang samurai yang ditinggalkan penjenayah. FOTO Owee Ah Chun.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/53862#sthash.4wGeRh3r.dpuf

Maut digilis lori balak


Abd Rahman Adam

abdulrahman@hmetro.com.my

Limbang: Seorang penunggang motosikal maut dalam keadaan mengerikan apabila kepalanya pecah dan isi perut terburai akibat digilis lori membawa muatan balak dalam kejadian di Jalan Lubuk Lalang, di sini, semalam.
Dalam kejadian 11 pagi itu, Litong Adrian, 34 maut di tempat kejadian, manakala rakannya yang membonceng motosikal patah kaki kanan.
Sumber berkata, mangsa dalam perjalanan ke Lubuk Lalang dari rumahnya di Long Napir, sebelum motosikal ditunggang hilang kawalan.
Mangsa tercampak ke atas jalan sebelum digilis lori itu yang datang dari arah sama.
Pemandu lori berusia 40-an menghilangkan diri sejurus kejadian.
Ketua Polis Daerah Limbang Superintendan Mohd Bukhori Saffai ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Limbang untuk dibedah siasat, manakala rakannyamenerima rawatan di hospital sama.
Katanya, siasatan dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/53852#sthash.2qQYVfoT.dpuf

1,107 pelarian, PATI di depot tahanan di Sik


Oleh Siti A'isyah Sukaimi

sitiaisyah@hmetro.com.my

Putrajaya: Seramai 1,107 pelarian Rohingya dan pendatang tanpa izin Bangladesh sehingga kini masih ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Belantik, Sik, Kedah berdasarkan rekod sehingga kini.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia Datuk Mustafa Ibrahim berkenaan, depot tahanan itu boleh menempatkan sehingga 1,500 orang, jadi pihaknya masih boleh memberikan layanan terbaik kepada mereka.
Menurutnya, berdasarkan pecahan jumlah terkini, 392 adalah pelarian Rohingya manakala 715 pendatang tanpa izin Bangladesh.
"Imigresen sudah pun memindah keluar sebahagian pendatang asing tanpa izin dari pelbagai warga negara ke depot tahanan lain antaranya Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur dan sebagainya.
"Justeru, pelbagai pihak tidak boleh membandingkan depot tahanan imigresen dengan kem pelarian yang mungkin dilihat lebih selesa untuk semua," katanya dalam kenyataan, hari ini.9
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/53841#sthash.CcXvfGH7.dpuf

Remaja mengaku salah terhadap 19 kesalahan trafik


Oleh Shamsul Munir Safini

shamsulmunir@hmetro.com.my

Bukit Mertajam: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini atas 19 pertuduhan kesalahan trafik sejak tiga tahun lalu.
Tertuduh mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang dibacakan di hadapan Majistret Dianne Niangrad Nor Azhar.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam dan hadir bersama bapanya dibenarkan diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 15 Jun ini sebagai tarikh keputusan kes serta tarikh mendengar laporan akhlak tertuduh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
Tertuduh hadir ke mahkamah dengan memakai baju kemeja kotak dan berseluar jeans dan pertuduhan dibuat Timbalan Pendakwa Raya Kamaliza Md Zain.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/53848#sthash.fqYdxzkL.dpuf

Penoreh didenda RM2,950


Oleh Norul Awatif Romli

awatifromli@hmetro.com.my

Alor Setar: Seorang penoreh getah didenda RM2,950 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Trafik, di sini, petang tadi terhadap sembilan pertuduhan mengabaikan lapan waran tangkap membabitkan pelbagai kesalahan trafik dari 2003 hingga 2013.
Tertuduh Mohd Zamzuri Mohamad Zain, 37, yang diberkas polis melalui Ops Warta didapati kerap melakukan kesalahan sama iaitu tidak mempunyai lesen kenderaan dan melanggar peraturan jalan raya.
Majistret Nur Fadrina Zulkhairi memerintahkan tertuduh dipenjara 44 hari jika gagal membayar denda itu..
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang berasal dari Kampung Mani, Mukim Belimbing Kanan, Kuala Nerang, dekat sini, didakwa atas kesalahan tidak memiliki lesen memandu, melanggar lampu isyarat dan motosikal tidak mempunyai cermin pandang belakang.
pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Mahkamah Trafik Alor Setar Inspektor Sukmanengrat Johar.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/53851#sthash.flEBBMrR.dpuf

Pelajar tembak mati 27 orang

Tunis: Sekurang-kurangnya 27 terbunuh dalam serangan di kawasan pantai berhampiran dua hotel di kawasan pelancongan Tunisia, Sousse, petang tadi.

Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri Tunisia, serangan itu membabitkan dua hotel menyebabkan sekurang-kurangnya 27 mati.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Tunisia, Mohammed Ali Aroui, berkata pasukan keselamatan bertindak balas segera dan berjaya membunuh seorang penyerang.
Sousse yang terletak kira-kira 150 kilometer dari Tunis, ialah kawasan pelancongan popular dalam kalangan penduduk tempatan dan Eropah.
Polis kemudian mengenal pasti penyerang terbabit ialah pelajar Tunisia berasal dari wilayah Kairouan di tengah Tunisia.
Setiausaha Keselamatan Tunisia, Rafik Chelly, memberitahu radio Mosaique FM, penyerang pergi ke pantai berpakaian seperti orang lain yang mahu berenang dengan senjata api disorok di bawah payung pantai dibawanya.
“Serangan itu dilakukan hanya oleh seorang penyerang,” katanya.
Laporan sebelum ini menyatakan dua lelaki melakukan serangan itu, melepaskan tembakan di pantai di depan dua hotel.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2015 @ 11:14 PM

Mayat penyerang yang ditembak mati terbaring di atas jalan. - Foto Express UK
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/60441#sthash.I6ZVLE0m.dpuf

Ops Warta: Ibu Tunggal Terlepas Hukuman Penjara


Diterbitkan: Rabu, 27 Mei 2015 7:17 PM

KOTA BAHARU: Seorang ibu tunggal yang mempunyai waran tangkap, hampir dipenjarakan oleh Mahkamah Majistret di sini, selepas gagal menjelaskan tiga bayaran saman trafik yang dimilikinya.
Bagi kesalahan pertama, Dayang Antik Bujang Ramlee, 42, didakwa di bawah Seksyen 58(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 selepas gagal mengemukakan lesen memandu untuk pemeriksaan di Jalan Post Office Lama di sini pada 29 April 2013.
Bagi kesalahan kedua dan ketiga pula, ibu tunggal itu dihukum di bawah Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana lampu brek kenderaannya tidak menyala.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukannya pada 30 Sept 2013 dan 9 Julai 2014.
Hakim Mahkamah Majistret Nik Habri Muhammad bagaimanapun memutuskan tertuduh perlu menjelaskan denda RM300 bagi setiap saman yang dikeluarkan atau berdepan tindakan dipenjara 10 hari bagi setiap pertuduhan.
Keputusan itu dibuat selepas tertuduh mengaku salah dan memohon mahkamah mengurangkan denda kerana dia merupakan ibu tunggal serta menyesal dengan tindakan yang telah dilakukannya.
Tertuduh membayar kesemua denda itu sekaligus terlepas daripada dipenjarakan.
Tertuduh sebelum itu telah ditahan oleh sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Baharu di rumahnya di Pengkalan Chepa di sini, selepas gagal hadir di mahkamah pada sebelah pagi untuk perbicaraan.
Sementara itu, Nik Habri dalam penghakimannya turut menasihatkan orang ramai supaya mematuhi undang-undang dan hadir di mahkamah dengan segera jika dipanggil.
"Kena hadir die mahkamah jika dipanggil, baru mahkamah ada budi bicara yang luas sebelum menjatuhkan hukuman," katanya.
Ops Warta dilancarkan bagi mengesan pesalah trafik yang mempunyai status waran tangkap yang belum diselesaikan dan jumlah 1.59 juta merupakan baki daripada 1.8 juta saman seperti diumum Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam Ops Selamat 5 yang dilancarkan semasa Hari Raya Aidilfitri tahun lepas.
-- BERNAMA

Kereta Peniaga Ditembak Di Melaka


Diterbitkan: Rabu, 27 Mei 2015 6:11 PM

MELAKA: Seorang peniaga wanita nyaris maut apabila keretanya ditembak di Jalan Bertam Hulu berhampiran Taman Paya Mas di sini awal pagi Rabu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata pihak polis sedang menyiasat motif kejadian kira-kira 2 pagi itu.
Beliau berkata siasatan awal mendapati bahagian pintu kanan kereta itu berlubang manakala cermin tingkap di bahagian sama turut pecah.
"Polis turut menemui sebutir peluru yang melekat pada bahagian kanan kereta mangsa," katanya.
Kes disiasat atas cubaan membunuh. 
Sementara itu menurut sumber polis, wanita berusia 35 tahun berkenaan datang dari rumahnya di Taman Mengkuang, Masjid Tanah, Alor Gajah menuju Pasar Borong Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Batu Berendam.
Keretanya dikatakan tiba-tiba dipintas sebuah kenderaan lain sebelum mangsa mendengar bunyi kuat dipercayai bunyi tembakan ke arah keretanya.
Mangsa yang tidak mengalami kecederaan terus memecut keretanya ke Balai Polis Batu Berendam untuk mendapat perlindungan.
-- BERNAMA

Ibu Bapa Tiga Kanak-Kanak Mangsa Culik Boleh Didakwa Kerana Cuai


Diterbitkan: Rabu, 27 Mei 2015 2:24 PM
Mazlan Lazim

KOTA BARU: Ibu bapa kepada tiga kanak-kanak yang dipercayai diculik seorang lelaki di sini, Sabtu lepas boleh didakwa mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 kerana kecuaian menjaga anak mereka.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata ini kerana mereka dipercayai membiarkan anak-anak bergelandangan dan akan menimbulkan masalah kerana mengikut orang yang tidak dikenali tanpa pemantauan ibu bapa.
"Kes ini tiada kaitan dengan mana-mana sindiket dan diingatkan kalau ibu bapa membiarkan anak-anak bergelandangan, polis akan mengambil tindakan yang sewajarnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Gym dan Fitness Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, Rabu.
Akhbar  melaporkan polis menyelamatkan tiga kanak-kanak berusia antara sembilan dan 13 tahun yang didakwa diculik seorang lelaki di Jalan Bayam di sini, Selasa. 
Mangsa membabitkan dua lelaki dan seorang perempuan itu ditemui di luar Stadium Sultan Muhammad ke-IV pada pukul 1.30 pagi semalam, selepas dikatakan diculik pada pukul 11 malam Sabtu lepas.
Polis telah menahan lelaki berkenaan dan direman selama tujuh hari mulai semalam untuk siasatan.
Sementara itu, Mazlan berkata gimnasium baharu yang turut dilengkapi sauna itu akan memberi kemudahan kepada pegawai dan anggota polis meningkatkan kecergasan.
Beliau berkata, sebanyak RM30,000 dibelanjakan untuk membeli peralatan di gimnasium tersebut.-- Bernama

Pelajar Perempuan 13 Tahun Hilang di Serdang


Diterbitkan: Rabu, 27 Mei 2015 7:28 PM

PETALING JAYA: Seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun dilaporkan hilang di Serdang.
Remaja yang dikenali sebagai Wan Shakira Aleeya Wan Rohisham kali terakhir dilihat di sekolah selepas dihantar oleh ibunya pada kira-kira pukul 9.10 pagi Rabu.
"Kehilanggan Wan Shakira hanya disedari apabila ayahnya datang ke sekolah untuk mengambilnya pada pukul 7 petang," kata Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Razimi Ahmad dalam satu kenyataan.
Mereka yang mempunyai maklumat mengenai Wan Shakira diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor M. Alli Nangai di 019-4636339 , Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang (03-80742222) atau balai polis berhampiran.

Dua Lagi Rangka Mayat Ditemui


Diterbitkan: Rabu, 27 Mei 2015 7:57 PM

PETALING JAYA: Dua lagi rangka ditemui di kem penyeludupan manusia sementara di Wang Kelian, Perlis.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat), Datin Asmawati Ahmad berkata mayat ditemui kira-kira 12.45 tengah hari dan diturunkan pada 1.45 petang Rabu.
"Ini menjadikan jumlah terkini empat rangka ditemui selepas dua rangka mayat pertama ditemui pada Isnin, " katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Dalam penemuan mengerikan terbaharu, kedua-dua mayat pendatang dibalut kain putih (kain kapan).

"Mereka ditemui berhampiran kubur di mana kedua-dua sebelum ini menemui pada dua hari lepas.

"Jenazah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah pada kira-kira 3.10 petang Rabu untuk penilaian selanjutnya oleh ahli patologi.

"Misi untuk mencari dan membongkar tinggalan pendatang lain masih berterusan," katanya.

12 Polis Ditahan Kes Pemerdagangan Manusia


Diterbitkan: Rabu, 27 Mei 2015 8:07 PM
Kubur besar dipercayai menempatkan 139 warga asing dipercayai mangsa pemerdagangan manusia ditemui di Bukit Wang Burma, Perlis, Isnin lalu.

KUALA LUMPUR: Seramai 12 anggota polis ditahan dipercayai berkaitan penemuan kubur besar dan kem pemerdagangan manusia di Bukit Wang Burma, Perlis pada Isnin.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, lapan anggota polis itu ditahan  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), manakala polis menahan empat anggotanya bagi membantu siasatan kes tersebut.
"Kita akan siasat semua pihak yang terlibat sama ada mereka terlibat secara langsung atau bertindak sebagai fasilitator kepada sindiket penyeludupan manusia ke negara ini menerusi sempadan," katanya pada sidang media selepas membahaskan usul tergempar mengenai isu itu di Parlimen pada Rabu.
Untuk memastikan kes tersebut disiasat secara menyeluruh, Wan Junaidi berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama dengan polis Thailand bagi mengenal pasti dalang disebalik kegiatan ini.
"Kerjasama antara polis Malaysia dan Thailand akan diperhebatkan. Kita nak cari dalang yang terlibat secara langsung di sebalik penyeludupan ini," katanya yang memberi jaminan kes ini akan disiasat secara telus.
Beliau berkata, pasukan siasatan khas dari Bukit Aman akan mengendalikan kes ini secara langsung untuk mengelak berlaku ketidakadilan dalam siasatan tersebut.
Ditanya mengenai dakwaan kegagalan pihak berkuasa untuk mengesan kegiatan tersebut. Wan Junaidi berkata, perkara itu diluar jangkaan pihak penguatkuasaan kerana lokasi tersebut terpencil dan tidak mudah dimasuki.
"Lokasi kubur ini jauh, ambil masa jalan kaki selama tiga jam dan kawasannya curam. Pihak penguatkuasa tidak pernah ke tempat terpencil, hutan tebal itu. Tidak ada manusia pun pergi ke sana. Jadi ini diluar jangkaan.
"Tetapi ia lebih mudah dinaiki daripada kawasan Thailand. Sebab itulah sindikiet memilih kawasan itu untuk kegiatan pemerdagangan dan memindahkan orang dari Thailand ke sini," katanya.
Pada masa sama, Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong menafikan dakwaan bekalan makanan tidak mencukupi terhadap pelarian Rohingya dan Bangladesh yang ditempatkan di beberapa kem penempatan sementara.
"Tuduhan itu tidak betul, saya nafikan. Esok saya akan bawa makanan tidak kurang daripada RM60,000. Ini hasil pemberian NGO dan rakyat Malaysia yang prihatin dengan keadaan tahanan," katanya.

Lebih 1,000 Mati Akibat Cuaca Panas Di India


Diterbitkan: Rabu, 27 Mei 2015 7:19 PM

NEW DELHI: Angka kematian akibat gelombang panas di seluruh India kini telah mencecah lebih 1,000 orang dengan suhu maksimum sampai ke tahap 50 darjah Selsius di sesetengah tempat.
Kebanyakan mangsa korban dicatatkan di wilayah Telangana dan Andhra Pradesh, yang menyaksikan 1,118 kematian sejak seminggu yang lalu, demikian menurut laporan BBC.
BBC juga menyebut, 24 orang telah dicatatkan terkorban di Bengal Barat dan Orissa.
Gelombang panas telah melanda negeri-negeri di selatan India sejak pertengahan April, tetapi angka kematian meningkat dengan mendadak hanya beberapa minggu yang lalu.
Negeri yang paling teruk dilanda cuaca panas ialah Andhra Pradesh, yang menyaksikan suhu meningkat sehingga 47 darjah Selsius pada Isnin dan mencatatkan angka kematian paling tinggi iaitu seramai 852 orang.
Negeri bersebelahannya, Telangana, 266 orang disahkan terkorban setakat ini apabila suhu meningkat sehingga  48 darjah Selsius.

Nahas bas kilang, operator parah

Nahas bas kilang, operator parah
Kotak bertaburan di atas jalan selepas dirempuh sebuah bas kilang merempuh tepi sebuah lori yang membawa muatan kotak dari arah sama. Gambar kecil: Hasan

PENGKALAN BALAK - Seorang operator kilang yang sedang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas habis bekerja, parah apabila bas kilang yang dinaikinya terbabit dalam satu kemalangan dengan sebuah lori dan kenderaan pelbagai guna (MPV), malam kelmarin.
Mangsa, Sarifah Mat Ausoh, 47, dikatakan sedang dalam perjalanan dari Londang, Masjid Tanah ke sini apabila kemalangan berkenaan berlaku di Batu 20 Pengkalan Balak kira-kira jam 8.40 malam.
Menurut sumber polis, pemandu bas kilang terbabit dipercayai hilang kawalan dan merempuh bahagian tepi sebuah lori yang sedang berhenti di atas bahu jalan selepas dia gagal mengelak kenderaan berat itu.
Menurutnya, bas berkenaan kemudiannya terbabas ke dalam longkang sebelum merempuh sebuah kenderaan MPV Unser yang berada di depan lori dan mengheret kenderaan itu sejauh kira-kira 30 meter.
“Mangsa yang ketika itu duduk di belakang pemandu bas mengalami kecederaan parah di bahu dan juga cedera di muka. Dia kemudiannya dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan,” katanya.
Bagaimanapun, pemandu bas kilang berkenaan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.
Sementara itu, seorang penduduk, Hasan Abd Hamid berkata, dia yang ketika itu berada di luar rumah terkejut mendengar dentuman kuat sebelum melihat dua kenderaan berada dalam longkang dan bas kilang berada di bahu jalan.
Menurutnya, dia kemudian bergegas melihat keadaan bas dan mendapati hanya terdapat seorang penumpang di dalam bas terbabit dan sedang mengerang kesakitan.
Katanya, ini bukan kemalangan yang pertama malah lebih tiga kali  kemalangan berlaku dalam tempoh lima bulan ini.
“Kebanyakan pengguna memandu laju lebih-lebih lagi sebelum sampai ke kawasan ini ia menuruni bukit.
“Sehingga kemalangan maut juga pernah berlaku di kawasan ini dan berharap pengguna tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan bagi mengelakkan kejadian seperti ini berlaku lagi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Muhammad Ismail Muhammad Yusuf berkata, siasatan awal mendapati pemandu bas hilang kawalan manakala pemandu lori serta kenderaan MPV terbabit juga didapati bersalah kerana meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sementara mangsa yang menerima rawatan di hospital dalam keadaan stabil,” katanya.

Tiga anggota tentera maut kemalangan dekat Juasseh

Tiga anggota tentera maut kemalangan dekat Juasseh
Tiga maut manakala dua lagi cedera selepas kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan kira-kira pukul 4.45 pagi di Jalan Bahau-Juaseh, Jempol, hari ini. - Foto Bernama

JEMPOL - Tiga anggota tentera maut dalam kemalangan di Kilometer 3, Jalan Bahau-Juasseh dekat sini awal hari ini.

Dalam kejadian 4.30 pagi itu, kereta yang dinaiki lima mangsa itu sedang dalam perjalanan dari arah Juasseh ke Bahau.

Mereka yang maut di tempat kejadian dikenali sebagai Koperal Mohd Izwan Azizan, 31; Koperal Mohd Shahrul Nizam, 35; dan Lans Koperal Mohd Mostakim Abd Majid, 29.

Dua wanita yang juga pemandu dan penumpang bahagian hadapan kereta itu yang berusia 22 dan 23 tahun cedera parah. Kedua-duanya bukan anggota tentera.

Siasatan polis mendapati pemandu terlelap mengakibatkan kenderaan yang dipandu terbabas ke bahu jalan arah bertentangan dan melanggar tiang elektrik sebelum melanggar lubang pembentungan saliran air.

Akibat dua hentakan itu menyebabkan bahagian hadapan kereta terbabit remuk. 

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hamzah Alias ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Sementara itu, Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bahau,

Pegawai Bomba Kanan II, A Gonaselan, berkata pihaknya menghantar sebuah jentera bersama tujuh anggota ke tempat kejadian sebaik menerima menerima panggilan pada 4.30 pagi dan apabila tiba di tempat kejadian mendapati kelima-limanya tersepit di dalam kenderaan itu.

"Pasukan kami mengambil masa lebih kurang 25 minit untuk mengeluarkan mangsa," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Jempol dekat sini untuk dibedah siasat manakala dua wanita yang parah dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan
Najihah, Kuala Pilah untuk rawatan. - Bernama

Dijel 5 tahun, sebat rompak wanita

Dijel 5 tahun, sebat rompak wanita
Ahmad Naim dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, selepas mengaku salah melakukan rompakan bersenjatakan menggunakan besi panjang.

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki dihukum penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, semalam, selepas mengaku salah merompak seorang wanita.

Ahmad Naim Zaidi, 23, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana merompak menggunakan senjata.

Dia mengaku salah merompak Yati Salleh, 40, dengan bersenjatakan besi panjang dan mengambil beg duit mengandungi telefon bimbit, tunai RM1,800 dan dokumen peribadi, dalam kejadian di sebuah kedai di simpang empat Kampung Bukit Guntung, Tepoh, jam 1.30 petang pada 8 Mei lalu.

Ahmad Naim dalam rayuannya memohon agar mahkamah meringankan hukuman terhadapnya atas alasan perlu menanggung isteri dan anaknya yang masih kecil.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang berada di kedainya, didatangi Ahmad Naim yang bersenjatakan besi panjang sebelum meminta mangsa menyerahkan barangan berharga dan mengambil beg duit mangsa yang mengandungi semua barang tersebut.

Sejurus Ahmad Naim beredar, mangsa membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Tukang rumah dituduh rogol remaja bawah umur

Rogol
Sekadar gambar hiasan

SEREMBAN - Seorang tukang rumah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban semalam atas dua pertuduhan merogol seorang remaja perempuan sebuah apartmen di Port Dickson.
Tertuduh, R Vadivel, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di hadapan Hakim Madihah Harullah selepas kertas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol remaja berusia 15 tahun lapan bulan itu di sebuah bilik di Apartmen PD Marina, Port Dickson pada 15 Mei 2015 pada jam lebih kurang 7.30 malam dan 8.30 malam.
Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang mensabitkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah Abdul Rashid manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
 Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan sebutan semula kes 24 Jun depan.

Nyaris maut kereta terbakar

Nyaris maut kereta terbakar
Anggota bomba memadamkan kebakaran melibatkan sebuah kereta yang terbabas dan melanggar pokok di Ayer Tawar awal pagi semalam.

SITIAWAN - Seorang lelaki nyaris maut selepas kereta dipandunya terbabas dan terbakar berhampiran Jambatan Sungai Wangi, Ayer Tawar, awal pagi semalam.
Difahamkan, ketika kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, Ngo Chien Hooi, 24, yang memandu kereta jenis Perodua Viva dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Ayer Tawar dari Sitiawan.
Sebaik tiba di lokasi kejadian dia terlihat seekor anjing berada di atas jalan dan cuba mengelak haiwan itu namun terbabas hingga melanggar sebatang pokok.
Beberapa minit selepas kemalangan itu, enjin kenderaan yang dipandu Chien Hooi  tiba-tiba mengeluarkan api dan terbakar.
Mangsa yang panik, segera lari menyelamatkan diri kerana bimbang keretanya itu akan meletup.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan, Mohd Zaki Zainol berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 1.04 pagi dan sebuah jentera dengan kekuatan  enam pegawai dan anggota bergegas ke tempat kejadian.
Menurutnya, ketika tiba di lokasi kemalangan, kereta mangsa didapati sudah terbakar  90 peratus.
“Anggota bomba ambil masa 15 minit untuk memadamkan kebakaran dan operasi tamat pada jam 1.24 pagi,” katanya.
Beliau berkata, mangsa tidak cedera dan punca kebakaran masih disiasat.

Seorang pekerja kontrak maut dilanggar kereta

kemalangan
SEREMBAN - Seorang pekerja kontrak maut dilanggar kereta ketika sedang melintas jalan di KM263.2 Lebuhraya Utara Selatan, arah Selatan, susur keluar dari Tol Seremban, awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, dalam kejadian jam 3 pagi, pemandu kereta jenis Perodua Kelisa terbabit, Nur Syafiq Sariman, 28, mengalami cedera ringan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa, Chandrasekaran, 35, warganegara India yang sedang membuat kerja pembaikan jalan, dilanggar kereta yang dipandu Nur Syafiq ketika dia melintas jalan.

"Akibat kemalangan itu, Chandasekaran maut di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian kepala," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Muhamad Zaki berkata, polis menahan 15 wanita warga Vietnam dalam Ops Noda yang dijalankan malam semalam.

Beliau berkata, kesemua wanita berusia lingkungan 21 hingga 41 tahun itu ditahan atas kesalahan menyalahgunakan pas lawatan sosial dan disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan.

"Polis turut menahan penjaga premis tersebut iaitu seorang lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga Bangladesh kerana menjadi pelindung serta membenarkan kesemua wanita warga asing bekerja di premis itu," katanya. – Bernama

Penduduk panik, gempa dikesan sekali lagi

Gempa bumi

KATHMANDU - NEPAL. Gempa bumi berukuran 5 pada skala Richter melanda Nepal lewat malam Selasa mengejutkan penduduk di Kathmandu yang sebelum itu sudahpun panik.

Penduduk di Kathmandu dan di tempat lain keluar ke jalan raya menjerit dan meredah ribut kencang dan hujan berikutan gempa bumi itu.

Gempa bumi itu berpusat di Rasuwa, kira-kira 50 kilometer ke utara Kathmandu, kata Pusat Seismologi Kebangsaan kerajaan (NSC).

Tiada kemalangan jiwa dan kerosakan baharu dilaporkan akibat gempa bumi itu, menurut Kementerian Dalam Negeri.

Taufan yang kuat dan ribut menyebabkan kerosakan di Kathmandu dan lain-lain daerah namun laporan terperinci belum diterima, kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri Laxmi Prasad Dhakal.

Sebelum itu, empat gegaran lain lebih daripada 4 magnitud menggegarkan Kathmandu dan kawasan sekitarnya pada Selasa.

Lebih daripada 30,000 gempa susulan dengan 373 daripadanya lebih daripada 4 magnitud dirasai sejak gempa bumi kuat melanda Nepal 25 April lepas meragut nyawa sekurang-kurangnya 8,600 orang.

Walaupun sebulan selepas gempa bumi kuat pertama itu berlaku, ramai orang di Kathmandu masih tinggal di bawah khemah di kawasan lapang kerana bimbang dengan gegaran lain yang lebih kuat.

Kerajaan telah meminta rakyat untuk pulang ke rumah mereka dan menjalani kehidupan normal berikutan tiada lagi gempa bumi yang besar dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, orang ramai tidak mempedulikannya dan terus tinggal di dalam khemah disebabkan bimbang dengan gegaran susulan yang berterusan.

Ahli seismologi berkata, gempa susulan adalah biasa yang akan berterusan selama berbulan-bulan.

"Gempa susulan berlaku di mana-mana tempat di dunia untuk tempoh tertentu selepas gempa bumi yang kuat dan orang ramai perlu menerimanya seperti biasa memandangkan gempa susulan akan terus berlaku untuk beberapa kali lagi termasuk di Nepal juga," kata Som Lal Sapkota dari NSC.

"Tidak sepatutnya timbul rasa panik kerana gempa bumi kuat tidak akan berlaku sekali lagi dalam masa terdekat.

Lebih daripada setengah juta rumah musnah akibat gempa bumi dan mereka yang kehilangan rumah meminta kerajaan untuk membantu membina tempat tinggal sementara sebelum hujan monsun bermula.

Monson bermula di Nepal pada Jun dan berakhir sehingga September.

Kerajaan telah berjanji untuk membina tempat perlindungan sementara tidak lama lagi dan membina semula bangunan dan struktur dalam tempoh tiga tahun. - Bernama

Mangsa gempa Nepal diberi makanan kualiti rendah

gempa bumi Nepal
Kemusnahan yang berlaku akibat gempa bumi di Kathamamdu, Nepal. - Foto EPA

KATHMANDU - NEPAL .  Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRC) Nepal mengesahkan Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa Bersatu (WFP) dan Pertubuhan Palang Merah Nepal (NRSC) membekalkan beras berkualiti rendah kepada mangsa gempa bumi di Nepal dan menggesa kerajaan Nepal mengambil tindakan sewajarnya terhadap pertubuhan kemanusiaan antarabangsa.
 
“Semasa pemeriksaannya, NHRC mendapati beras yang diagihkan kepada mangsa gempa bumi di daerah Kavre berkualiti rendah dan tidak sesuai untuk kegunaan manusia,” kata NHRC dalam kenyataan hari ini.

NHRC memeriksa makanan yang diagihkan oleh Pertubuhan Palang Merah Nepal,  yang dibekalkan WFP, berikutan laporan bahawa kanak-kanak yang memakan nasi mengalami cirit-birit.

"NHRC mahu kerajaan menghukum institusi terbabit dalam pengagihan makanan berkualiti rendah yang memberi kesan kepada kesihatan dan kehidupan orang ramai," kata kenyataan itu.

WFP turut mengakui makanan yang dibekalnya tidak memenuhi standard.

"Sekurang-kurangnya 120 tan beras yang dibawa masuk untuk mangsa gempa bumi Nepal berkualiti rendah dan diganti serta-merta," kata WFP.

Beras tersebut diperoleh dari pembekal tempatan di Nepal dan India dan lebih 30 peratus didapati hancur semasa siasatan, kata Penyelaras Kecemasan WFP, Richard Regan kepada
sidang media.

Sebahagian mangsa gempa di Kavre mengadu beras yang diagihkan oleh agensi PBB tidak sesuai sehingga menyebabkan pihak berkuasa Nepal dan NHRC melakukan pemeriksaan dan memantau kualiti makanan yang diagih.

Sebanyak 39 daripada 75 daerah di Nepal terjejas oleh gempa bumi dan 11 daripadanya mengalami kerosakan yang dahsyat. 

Gempa bumi berukuran 7.9 menggegar Nepal pada 25 April diikuti gempa susulan pada 12 Mei yang menyebabkan sekurang-kurangnya 8,600 orang terbunuh dan hampir setengah juta rumah dan bangunan awam musnah.

Menurut PBB, kira-kira 8 juta rakyat Nepal terjejas akibat gempa bumi dengan 1.4 juta memerlukan bantuan makanan.  - Bernama

Tumbang ditampar lepas pegang punggung

Tumbang ditampar lepas pegang punggung
Sedutan video pelanggan tumbang selepas dipukul

RAKAMAN seorang pelanggan tumbang akibat ditampar menggunakan buku menu selepas memegang punggung seorang pelayan wanita dimuatnaik ke laman sosial dan mendapat perhatian lebih 5 juta pelayar.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tersebut yang dimuatnaik pada 22 Mei 2015 bagaimanapun tidak dapat dipastikan lokasi dan masa berlaku kejadian tersebut.

Dalam rakaman tersebut, seorang pelayan wanita mula bertindak menumbuk seorang pelanggan yang didakwa cuba menyentuh payu daranya.

Pelanggan tersebut kemudian bertindak memegang punggung pelayan terbabit dan wanita berkenaan pantas menampar memukulnya menggunakan buku menu.

Lelaki tersebut yang tumbang selepas dipukul kemudian dibantu oleh beberapa pelanggan lain untuk bangun dan beredar.

Rakaman tersebut membuktikan 'kuasa wanita' dan tindak balas pantasnya dipuji pelayar di laman sosial.

"Lelaki tersebut masih berani pegang punggung walaupun ditumbuk. Padan mukanya," kata Joe Bigornia di laman Youtube.

"Perempuan tersebut tenang (selepas menumbuk). Kalau saya, mungkin saya dah belasah lelaki tersebut," kata Kelly Stout.

"Anda dipukul lepas cuba meraba, dan anda bertindak pegang punggungnya pula? Sangat bijak," kata Mutagen.

Bayi diikat, dilayan seperti anjing?

Bayi diikat, dilayan seperti anjing?
Antara foto yang tersebar di laman sosial

BEBERAPA foto yang tersebar menunjukkan seorang bayi diikat di leher dan dilayan seperti binatang tersebar dan menyebabkan puluhan ribu pelayar laman terkejut, minggu ini.

Menurut Dailystar, seorang wanita yang juga merupakan ibu kepada bayi tersebut menyerah diri kepada pihak berkuasa selepas dikecam bertalu-talu di laman sosial.

Difahamkan, foto-foto dimuatnaik oleh ibunya ke laman Facebook kerana menganggapnya 'lawak'.

Ketua Jabatan Sosial dan Kebajikan, Marilyn Tigas berkata, perlakuan tersebut dianggap sebagai bahan lawak oleh ibunya.

"Mereka fikir orang ramai tidak peduli. Ini adalah kes melibatkan penderaan kanak-kanak dan suspek boleh didakwa di bawah Akta Keganasan Terhadap Wanita dan Kanak-kanak," jelas Marilyn.

Pekerja sosial, Corazon Juliano-Soliman pula beranggapan kejadian tersebut 'suatu lawak yang teruk'.

"Kanak-kanak tersebut tak tahu ianya dijadikan bahan jenaka. Pelaku patut dihukum," katanya.

Sementara itu, seorang aktivis, Lurleen Hilliard memberitahu kejadian tersebut menaikkan kemarahan orang ramai.

"Jika kita toleransi terhadap perkara sebegini, ibu bapa akan terus memuat naik foto-foto yang tidak sesuai dan orang ramai akan berkata "Oh, ianya tidak mengapa," jelas Lurleen.

Bayi tersebut diletakkan di bawah jagaan oleh jabatan sosial untuk sementara waktu.