Search This Blog

Monday, May 25, 2015

Gempa Bermagnitud 5 Gegar Kathmandu Awal Hari Ini


Diterbitkan: Isnin, 25 Mei 2015 12:04 PM
Tanah runtuh berlaku di kawasan tanah tinggi susulan gempa yang melanda sekali gus menimbus Sungai Kali Gandaki di daerah Myagdi dekat Kathmandu awal pagi Isnin.

KATHMANDU: Gempa bumi berukuran 5 pada skala Ritcher menggegarkan Kathmandu pada awal pagi Isnin mencetuskan suasana panik dalam kalangan penduduk.
Ketika gempa bumi menggegarkan Kathmandu pada 3.23 pagi waktu tempatan, penduduk menjerit-jerit dan berlari keluar ke jalan-jalan raya serta kawasan terbuka untuk menyelamatkan diri memandangkan mereka pernah mengalami ketakutan semasa gempa kuat melanda pada 25 April lalu.
Menurut Pusat Seismologi Kebangsaan (NSC) Nepal gempa bumi berukuran 5 pada skala Ritcher dengan pusat gempa di Gorkha, 85 kilometer di barat Kathmandu.
NSC memberitahu ia merupakan gempa susulan selepas gempa bumi 25 April lalu dan meminta orang ramai tidak panik memandangkan ia merupakan perkara biasa selepas kejadian gempa bumi kuat.
"Kita tidak menerima laporan mengenai kerosakan terbaharu akibat gempa susulan tetapi kemusnahan awal sangat besar," kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Laxmi Prasad Dhakal.
Sementara itu, kerajaan Nepal telah membatalkan semua program dan sambutan rasmi yang dijadualkan pada 29 Mei ini berikutan kemusnahan besar yang berlaku akibat gempa bumi.
Menurut kenyataan pejabat Presiden, kesemua 11 acara termasuk sambutan Hari Republik untuk tahun ini telah dibatalkan.
"Majlis jamuan minum petang tidak akan diadakan tahun ini berikutan kesedihan akibat gempa bumi kuat pada 25 April lalu dan kejadian gempa susulan," menurut kenyataan itu.
Presiden Nepal mengadakan majlis resepsi Hari Republik berkenaan setiap tahun sejak 2008 apabila negara ini diisytihar sebagai republik.

Penyelam buka pintu

Johor Bahru: Pasukan penyelam yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) kapal korek Ocean Line SC208 yang karam di perairan Tanjung Sedili, Kota Tinggi, di sini, menemui dua lagi mayat mangsa.
Mayat mangsa yang belum dikenal pasti identiti itu ditemui kira-kira jam 8 pagi semalam, selepas pasukan penyelam membuka pintu kapal korek yang tenggelam dipukul ombak Rabu lalu.
Pengarah Operasi Daerah Maritim Tanjung Sedili Komander Maritim Mustafa Kamal Abas berkata, semua mayat itu ditemui berhampiran pintu kapal berkenaan selepas anggota penyelam berjaya membukanya.
“Penemuan terbaru itu menjadikan jumlah mayat mangsa nahas ditemui setakat ini empat mangsa.
“Operasi SAR disertai kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor akan diteruskan bagi mengesan 10 lagi mangsa yang hilang,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2015 @ 8:04 AM


PASUKAN penyelam cuba menaikkan mayat mangsa kapal korek yang ditemui, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/53166#sthash.JivFGveD.dpuf

Tak sempat lihat anak sulung

Kota Bharu: “Ibu ada berpesan kepada Afif Asyraf supaya membatalkan hasrat menyaksikan perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur,” kata Norzila Yahya, 48, kakak kepada Afif Asyraf Yahya, 28, yang maut dalam kemalangan membabitkan kereta dipandu dengan sebuah treler.
Dalam kejadian jam 6 pagi semalam, mangsa, Afif Asyraf meninggal dunia serta merta di kilometer 105, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, Laloh, Kuala Krai.
Mangsa yang cedera parah di kepala dan badan dihantar ke Hospital Kuala Krai (HKK) sebelum dituntut ahli keluarga untuk pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kubang Kachang di sini, jam 2.30 petang semalam.
Seorang lagi sepupu mangsa, Amiruddin Nawi, 29, turut cedera parah dan dikejarkan ke hospital sama untuk rawatan kecemasan.
Norliza berkata, emaknya menghalang adiknya ke Kuala Lumpur berikutan isteri Afif Asyraf sedang sarat mengandung anak sulung dan dijangka bersalin dalam tempoh masa terdekat.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2015 @ 8:10 AM


JENAZAH Allahyaham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kubang Kachang. Gambar kiri, isteri arwah sebak mengenangkan anak di dalam kandungannya sebaik jenazah suaminya tiba di rumah.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/53174#sthash.MRcvg4UW.dpuf

Lapan ditahan, RM10 juta dadah dirampas

Kuala Lumpur: Lapan individu ditahan termasuk dua warga asing dari Sri Lanka dan India dan 34.76 kilogram syabu serta 18,651 pil ekstasi yang dianggarkan bernilai RM10 juta dirampas dalam serbuan, minggu lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, lapan suspek terbabit ditahan dalam tujuh serbuan berasingan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor pada 22 dan 23 Mei lalu termasuk menemui makmal pemprosesan dadah dan stor penyimpanan bahan kimia.
"Polis turut merampas peralatan memproses dadah selain bahan kimia yang kami percaya di bawa masuk melalui negara India," katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.
Menurutnya, semua suspek berusia 29 hingga 43 tahun dipercayai akan memasarkan dadah yang siap diproses ke Indonesia selain pasaran tempatan.
Semua suspek direman tujuh hari sehingga 29 Mei ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2015 @ 12:44 PM


MOHD Mokhtar (tiga kanan) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/53303#sthash.07Djkm1q.dpuf

Pemandu lori direman empat hari

Kuala Terengganu: Pemandu lori direman empat hari bagi membantu siasatan kemalangan di Kilometer 386.6 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) di sini, semalam yang mengakibatkan empat sekeluarga retung manakala dua cedera.
Majistret Rozianti Mohamad Hanaphi membenarkan suspek berusia 35 tahun direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu atau membahayakan.
Suspek yang berasal dari Labis, Johor tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Tinggi, Sesyen dan Majistret Kuala Terengganu pada 11.40 pagi.
Dalam kejadian 4.30 petang itu, pemandu dan tiga penumpang kereta itu termasuk dua kanak-kanak mati terbakar selepas kereta dirempuh lori 10 tan.
Dua lagi penumpang terselamat kerana berada di luar kereta ketika rempuhan berlaku, namun seorang daripada mereka dilaporkan cedera parah.
Kejadian dipercayai berlaku apabila kenderaan dinaiki mangsa dikatakan berhenti selepas keretanya rosak sebelum dirempuh lori.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2015 @ 2:26 PM


PEMANDU lori dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu untuk direman. FOTO Syahirah Abdullah
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/53329#sthash.Suptfd4U.dpuf

Gali semula 139 kubur

Padang Besar: Operasi penggalian semula 139 kubur dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) di 28 kem yang ditemui di puncak Gunung Perlis, Wang Klian dimulakan pada hari ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberitahu operasi penggalian semula kubur itu dilakukan oleh anggota forensik polis dan beberapa kakitangan dari Jabatan Kesihatan Malaysia.
"Seramai 31 orang pasukan forensik polis sudah mula memasuki kawasan dan memulakan tugasnya pada pagi ini untuk membuat penggalian semula kubur itu," katanya kepada pemberita di Markas Taktikal Pasukan Gerakan Am (PGA) Wang Klian, disini, tengah hari tadi.
Tambahnya, pasukan itu akan menggali kubur di kawasan kem PATI itu dan membawa turun mayat selewat-lewatnya petang ini.
"Berdasarkan operasi bersepadu mengesan kem PATI yang kita jalankan pada 11 Mei hingga Sabtu oleh anggota VAT 69 dan PGA, kita turut menjumpai satu mayat yang sudah reput yang ditinggalkan dalam kem itu," katanya lagi.
Kawasan kubur itu berada antara 300 hingga 500 meter dari sempadan Malaysia-Thailand.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2015 @ 2:56 PM


KHALID menunjukkan gambar tempat penemuan kubur dan khemah pendatang asing tanpa izin (PATI) di Bukit Wang Burma. FOTO Shahrizal Md Noor
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/53332#sthash.AL3rk4qI.dpuf

Mayat tercerai tiga bahagian

Padang Besar: Satu mayat reput dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya dibawa keluar dari kawasan perkuburan PATI di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, 3.45 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Rizani Che Ismail berkata, mayat itu dibawa turun selepas tujuh pegawai dan 24 anggota forensik polis memulakan perjalanan ke lokasi kem sekitar 9.20 pagi.
"Mayat yang tercerai dalam tiga bahagian itu ditemui dalam sebuah bangsal dalam salah satu kem PATI yang hanya terletak 1,500 meter dari kawasan sempadan Malaysia-Thailand," katanya kepada pemberita di Markas Taktikal Pasukan Gerakan Am (PGA) Wang Klian di sini, sebentar tadi.
Tambahnya lagi, mayat reput itu ditemui dengan keadaan bahagian bawah badannya masih lengkap berkain sarung.
"Perjalanan mendaki memakan masa dua jam hingga ke puncak dan tiga jam berikutnya untuk pasukan itu melakukan pemeriksaan kepada mayat itu," katanya lagi.
Turut ditemui adalah dua pakaian panas, selimut dan seluar panjang berhampiran mayat itu.
Cebisan mayat itu dimuatkan dalam tiga beg plastik ketika dibawa keluar dari kawasan berkenaan.
"Jantina mangsa dan sebab kematian masih tidak dapat dipastikan dimana kita akan menyerahkan kepada pihak patologi untuk tindakan selanjutnya," katanya lagi.
Rizani menjelaskan misi pada hari ini adalah hanya untuk membawa keluar mayat itu sahaja manakala penggalian kubur dalam kawasan itu hanya akan dilakukan pada esok.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2015 @ 6:40 PM


TIGA bungkusan yang berisi mayat pertama yang dibawa turun. FOTO Shahrizal Md Noor
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/53354#sthash.2e8iYgB9.dpuf

Selimut tersangkut di pagar

Sungai Siput: Tiga pelatih Pusat Serenti Perlop, di sini, melarikan diri awal pagi semalam, dipercayai dengan memanjat pagar pusat pemulihan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Wan Jamil Wan Chik, berkata ketiga-tiga pelatih berkenaan dipercayai melarikan diri ketika semua pelatih lain keluar mengerjakan solat subuh antara 5 dan 6.30 pagi.
Menurutnya, pusat pemulihan itu menyedari kehilangan pelatih berkenaan selepas menemui kain selimut tersangkut pada pagar di bahagian belakang Pejabat Pentadbiran pusat terbabit, 7 pagi semalam.
"Pelatih yang melarikan diri dikenali sebagai Mohd Sobri Abd Manaf, 32, Shahizuan Ahmad Saad, 28 dan Mohd Firhan Norizan, 23.
"Usaha mengesan ketiga-tiga pelatih terbabit giat dijalankan sejurus polis menerima laporan mengenainya, namun sehingga hari ini masih gagal ditemui," katanya, di sini, hari ini.
Wan Jamil turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau ternampak kesemua pelatih terbabit agar menghubungi balai polis berhampiran.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2015 @ 8:47 PM


FOTO ihsan PDRM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/53372#sthash.xqa5dKfh.dpuf

Pelancong UK lemas di Pulau Perhentian

Jertih: Pelancong dari United Kingdom mati lemas ketika snorkeling bersama rakannya di Pulau Perhentian, Besut, 11 pagi tadi.
Andrews Jake Samuel, 21, yang juga penuntut universiti di Ningbo, China ditemui di dasar kawasan terumbu karang oleh pemandu bot dan rakannya selepas tidak muncul ketika mereka mahu pulang.
Mangsa dikatakan tiba di pulau itu bersama lima rakannya sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, mangsa dikejarkan ke Pusat Kesihatan Pulau Perhentian Kecil dan disahkan meninggal dunia.
Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jeti Marib Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan menggunakan bot Polis Marin sebelum dihantar ke Hospital Besut untuk bedah siasat.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2015 @ 7:39 PM


SAMUEL ditemui lemas di dasar terumbu karang. FOTO ihsan polis
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/53364#sthash.5XX8TUDt.dpuf

Jumpa mayat rakan dalam bilik air


Oleh Ariffin Salleh
Kluang: Seorang pekerja kitar semula berusia 52 tahun yang tidak hadir bekerja selama tiga hari ditemui mati dalam bilik air rumah sewanya di Flet Haji Manan di sini, kira-kira 8 malam tadi.
Tengku Mohd Yusof Tuan Saleh yang juga pesara tentera ditemui terbaring dalam bilik air selepas rakannya, Ghani Mohammad, 48, berkunjung ke rumah untuk memeriksa keadaannya.
Ghani berbuat demikian kerana curiga selepas rakannya itu tidak hadir bekerja pada Sabtu dan Ahad.
Rakan mangsa dikatakan menghubungi polis dan bomba untuk membuka pintu rumah apabila mangsa tidak menyahut panggilan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/53220#sthash.RuCLZJug.dpuf

Maut kereta langgar pondok tol

Subang Jaya: Pemandu maut selepas kereta yang dipandunya terbabas dan melanggar pondok tol Sunway di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), pagi tadi.
Dalam kejadian 4.40 pagi itu, mangsa berusia 41 tahun maut di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala, badan dan kaki.
Jurucakap Polis Trafik Daerah Subang Jaya berkata, ketika kejadian mangsa yang memandu dari arah Bandar Sunway menghala ke Puchong terbabas sebelum melanggar kon pemisah lorong tol.
Katanya, mangsa yang gagal menekan brek terus melanggar tembok pembahagi tol antara Lorong 6 dan 7.
"Ketika kejadian mangsa memandu bersendirian dan kejadian itu dipercayai berpunca daripada mangsa yang hilang kawalan ke atas kereta jenis Toyota Camry yang dipandunya.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat," katanya
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2015 @ 1:16 PM


KEADAAN kereta yang terbabas dan melanggar pondok tol Petaling Jaya Selatan di Lebuhraya Damansara - Puchong (LDP). FOTO ihsan Polis
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/53307#sthash.iH2v1Z10.dpuf

Jumpa kaki dekat tapak binaan

Melaka: Sebelah kaki kiri manusia dari lutut hingga ke kaki ditemui orang awam berhampiran tapak binaan di Taman Pandan Indah, Lorong Pandan, di sini, kira-kira 9 pagi tadi.
Anggota badan manusia itu ditemui buruh binaan yang kemudian memberitahu penyelianya, Azuan Fitri Anuar, 27.
"Pekerja mengadu terhidu bau busuk dan hanyir sebelum menemui sebelah kaki yang berbalut," katanya.
Sumber berkata, kaki itu dipercayai anggota badan manusia yang diuruskan pihak hospital, namun dipercayai dilarikan binatang kerana tidak ditanam mengikut kedalaman sepatutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2015 @ 2:07 PM


KAKI manusia yang ditemui di Taman Pandan Indah, Lorong Pandan, Melaka. FOTO Amir Afiq Nor Azman
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/53328#sthash.OSDpTzKr.dpuf

RM1.5 juta dadah di tepi pantai

Georgetown: Polis Pulau Pinang merampas 477 kilogram (kg) ganja dianggarkan bernilai RM1.5 juta apabila menahan lelaki di kawasan tapak pembinaan di Teluk Bahang, 6 pagi Sabtu lalu.
Dadah berkenaan diisi di dalam guni dan diletakkan di tepi pantai.
Bagaimanapun, taktik itu dibongkar sepasukan anggota Balai Polis Teluk Bahang dan lelaki berusia 22 tahun ditahan ketika cuba melarikan diri dengan terjun ke dalam laut.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk A Thaiveegan berkata, setiap guni berkenaan mengandungi antara 10 dan 15 ketulan ganja yang setiap satu ketulan seberat 1 kg.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati dadah berkenaan dipercayai dibawa masuk menerusi negara jiran dan kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2015 @ 3:12 PM


PENANG 25 May 2015. Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk A Thaiveegan (tengah) menunjukan ketulan dadah jenis ganja bernilai RM1.6 juta yang dirampas dalam serbuan di Teluk Bahang ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri, semalam. STR/ Zulaikha Zainuzman
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/53334#sthash.aLGhEBkK.dpuf

Mayat mangsa lemas ditemui

Kuala Lumpur: Mayat wanita berusia 20-an ditemui di bawah jambatan Brickfields, di sini, 12.30 tengah hari tadi dipercayai individu yang terjatuh di Sungai Klang, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah berkata, mayat wanita terbabit dijumpai pasukan mencari dan menyelamat dan akan dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk proses pengecaman mayat dan bedah siasat.
"Mayat wanita itu ditemui selepas pasukan mencari dan menyelamat memulakan pencarian mereka pagi tadi selepas insiden dua wanita terjatuh di Sungai Klang, petang semalam dilaporkan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurutnya, operasi mengesan seorang lagi wanita yang dikhuatiri lemas giat dijalankan di kawasan-kawasan yang dikenal pasti mangsa mungkin dihanyutkan.
Semalam, dua wanita dikhuatiri lemas selepas dikatakan terjatuh di Sungai Klang berhampiran Little India, Jalan Tun Sambathan di sini apabila mereka didakwa dikejar dua penunggang motosikal, bagaimanapun dalam kejadian itu tiga rakan mangsa terselamat.
Berita berkaitan
Dua wanita Indonesia dikhuatiri lemas: http://www.hmetro.com.my/node/53127
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2015 @ 3:28 PM


MAYAT mangsa dipercayai individu yang terjatuh di Sungai Klang. FOTO ihsan Bomba
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/53336#sthash.1CWJwIS3.dpuf

Rempuh van polis cuba larikan diri


Oleh Shamsul Munir Safini

shamsulmunir@hmetro.com.my

Kepala Batas: Dua suspek lelaki pecah rumah masing-masing berusia 22 dan 28 tahun dicekup polis selepas merempuh kenderaan pihak berkuasa dalam usaha melarikan diri menaiki kereta di Jalan Lunas, Seberang Perai Tengah, 9.10 malam tadi.
Dalam kejadian itu, dua suspek menaiki kereta berkenaan melarikan diri sejurus ditahan polis di Kawasan Perindustrian Mak Mandin sebelum dikejar sejauh lebih 10 kilometer sehingga ke Jalan Permatang Pauh, Seberang Perai Tengah.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, suspek kemudian merempuh van Balai Polis Bergerak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPU dalam usaha melarikan diri.
Beliau berkata, suspek kemudian ditahan polis dan hasil pemeriksaan pihaknya menemui peralatan pecah rumah di dalam kereta suspek.
Menurut beliau, kedua mereka ditahan sebelum dibawa pulang ke IPD SPU bagi tindakan selanjutnya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/53338#sthash.QTWRZyCb.dpuf

Tangkap suspek kes culik budak

Kota Bharu: Lelaki berusia 22 tahun ditangkap orang ramai di hadapan Masjid Muhammadi di sini, 10.20 pagi tadi berhubung kes culik kanak-kanak berusia 7 tahun, Jumaat lalu
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, ketika ditahan lelaki gelandangan itu sedang mengemis di lokasi kejadian.
Katanya, orang ramai yang melihat kelibat suspek kemudian menahan dan menyerahkan lelaki itu kepada polis.
Harian Metro hari ini melaporkan Aiman Kamarolzaman, 7, diculik lelaki tidak dikenali di Masjid Muhammadi Jalan Sultanah Zainab, Jumaat lalu.
Dalam kejadian 9 malam itu mangsa diculik ketika ayahnya, Kamarolzaman Mohammad, 50, sedang bersolat isyak.
Aiman bagaimanapun diselamatkan orang awam, 5.30 petang kelmarin selepas ditemui merayau meminta sedekah di pusat beli-belah, di sini.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2015 @ 4:05 PM


LELAKI ditahan orang ramai di hadapan Masjid Muhammadi berhubung kes culik seorang kanak-kanak berusia 7 tahun. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/53341#sthash.TxRPXUuj.dpuf

Nahas LPT2 ragut nyawa kelima

Kuala Terengganu: Mangsa kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2), Hulu Terengganu, Hafshah Wangai, 56, yang parah di kepala meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, 2.30 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Hussin Deraman berkata, selain parah di kepala, mangsa turut patah tulang rusuk serta anggota dalaman.
Menurutnya, kini mangsa yang maut dalam kemalangan itu menjadi lima orang termasuk empat rentung dalam kereta.
Selain Hafshah, turut maut dalam kejadian itu ialah Ahmad Razi Harun, 53; Dayang Suhana, 23; Umar Rayyan, 6, dan Nur Damia Irdiha Rosailan, setahun.
Isteri Ahmad Razi yang juga adik Hafshah, Sharifah, 49, cedera ringan.
Berita berkaitan
Pemandu lori direman empat hari: http://hmtro.com/1F4QdcV
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2015 @ 5:45 PM


LORI 10 tan yang merempuh kereta. FOTO Rosli Ilham
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/53349#sthash.EhseZLK2.dpuf

Pertempuran sengit dengan sindiket dadah Mexcio

Morelia, Mexico: Keluarga 42 penjenayah yang terbunuh dalam kejadian berbalas tembakan dengan keselamatan Mexico di sebuah ladang di sini, menganggap ia pembunuhan beramai-ramai.
“Ini bukan pertempuran, ini pembnuhan beramai-ramai,” kata Victor Hugo Reynoso yang abangnya, Luis Alberto, antara mangsa dalam kejadian Jumaat lalu.
Pihak berkuasa menyatakan seorang anggota polis turut terbunuh dalam pertempuran lebih tiga jam itu.
Ia menyatakan latihan intensif, peralatan serta penggunaan helikopter mengurangkan angka kematian polis.
Pihak berkuasa Mexico menyatakan penjenayah itu adalah anggota kartel dadah Jalisco New Generation yang sudah membunuh 28 anggota polis serta tentera sejak Mac lalu,
Keluarga mangsa yang berkumpul di rumah mayat menyatakan ramai yang terbunuh itu adalah petani yang datang ke Michoacan untuk mencari kerja.
Bagaimanapun, mereka mengakui tidak tahu jenis pekerjaan itu. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2015 @ 7:14 PM

ANGGOTA polis Mexico memeriksa mayat penjenayah yang terbunuh.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/53360#sthash.bEsIKiQb.dpuf

Gaduh sampai ke hotel

Melaka: “Petang tadi (kelmarin), kami bergaduh, jadi dia menghantar SMS mengatakan mahu berjumpa sebelum saya dibawa ke hotel,” kata seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang ditahan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) selepas disyaki berkhalwat dalam Operasi Cegah Maksiat di sekitar daerah Melaka Tengah, semalam.
Pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah di Masjid Tanah itu antara 12 individu yang ditahan JAIM dalam operasi di tujuh lokasi membabitkan pesisir Pantai Dataran 1Malaysia, Klebang, premis judi dan lima hotel bajet sekitar Bachang serta Jalan Tun Ali bermula 12 tengah malam hingga 3 pagi, semalam.
Remaja itu mendakwa dia sedang berhibur bersama keluarga angkatnya di sebuah pusat karaoke dihubungi teman lelaki berusia 22 tahun yang dikenali sejak April lalu jam 10.30 malam.
“Dia (teman lelaki) menghantar SMS merayu untuk berjumpa kerana mahu meminta maaf selepas bergaduh dan dia jemput saya di pusat karaoke sebelum dibawa ke hotel.
“Ketika dalam bilik hotel, teman lelaki cuba memujuk saya yang sedang marah, namun kami langsung tidak melakukan perkara yang dilarang agama,” katanya.
Tindakan pasangan itu mengambil masa lama membuka pintu menimbulkan curiga pegawai dan anggota penguat kuasa JAIM.
Pengarah JAIM Ismail Hamad berkata, pihaknya akan menghubungi keluarga remaja itu sebelum mengambil tindakan yang perlu berikutan dia masih di bawah umur.
“Hasil maklumat diperoleh remaja bermalam di rumah keluarga angkatnya pada setiap hujung minggu.
“Kami akan memanggil keluarga remaja berkenaan ke pejabat JAIM bagi membantu siasatan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2015 @ 9:51 AM


GADIS bawah umur bersama pasangannya yang ditahan disoal siasat pegawai JAIM.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/53234#sthash.iXWYypu8.dpuf

'Ayah tahu, mati saya kena pukul’


Melaka: “Jangan beritahu ayah saya kerana kalau dia tahu, mati saya kena pukul,” itu rayu seorang wanita berusia 22 tahun kepada pegawai Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) selepas dicekup bersama pasangannya dalam bilik sebuah hotel bajet di Bachang di sini, kira-kira jam 1.30 pagi semalam.
Wanita itu antara 12 individu yang ditahan JAIM dalam Operasi Cegah Maksiat dari jam 12 tengah malam hingga 3 pagi di Pantai Dataran 1Malaysia, Klebang di sini, sebuah pusat judi serta lima hotel di sekitar Bachang dan Jalan Tun Ali.
Wanita yang belajar di sebuah institut kemahiran di Masjid Tanah itu memberi alasan menemani pasangannya yang sebaya untuk berehat akibat kepenatan selepas selesai melakukan ulang kaji.
“Selepas mengulang kaji pelajaran, seorang rakan lelaki saya mengambil keputusan menempah bilik hotel dan kami merancang menggunakan kemudahan itu secara bergilir-gilir untuk berehat.
“Walaupun bersama rakan lelaki dalam bilik, kami hanya berehat dan tidak melakukan sebarang perkara tidak senonoh. Saya merayu jangan maklumkan hal ini kepada ibu atau ayah saya,” katanya.
Dalam operasi itu, tiga pasangan ditangkap bersekedudukan termasuk pelajar berusia 15 tahun serta pasangan warga asing yang masing-masing sudah bersuami dan beristeri.
Dalam serbuan di sebuah hotel di Bachang, lelaki Bangladesh berusia 32 tahun dan pasangannya, wanita Indonesia berusia 28 tahun yang masing-masing sudah berkahwin ditahan selepas disyaki berkhalwat.
Hasil siasatan awal mendapati pasangan itu mendakwa sunyi berikutan berjauhan daripada isteri dan suami masing-masing yang berada di negara asal.
Pengarah JAIM Ismail Hamad berkata, semua individu yang ditahan berusia antara 15 hingga 32 tahun yang disiasat mengikut Seksyen 53, Enakmen Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman yang boleh didenda RM3,000 atau penjara 24 bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/53230#sthash.HWYGHVMU.dpuf

Empat kubur besar ditemui

Padang Besar: Kelemahan pengawasan dikenal pasti punca kawasan hutan di sekitar Taman Negeri Perlis di Wang Klian di sini, menjadi lokasi transit kepada aktiviti pemerdagangan manusia membabitkan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dan Bangladesh ke negara ini.
Ia rentetan penemuan empat kubur besar PATI dan rangka manusia dalam operasi khas di Padang Besar dan Wang Kelian di sini, oleh anggota pasukan komando VAT 69 dan Pasukan Gerakan Am (PGA) di kawasan itu, baru-baru ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, tugas pemantauan sebarang salah laku di kawasan hutan itu terletak di bawah tanggungjawab Jabatan Perhutanan Negeri Perlis.
“Di sini adalah Taman Negeri yang di bawah tanggungjawab Jabatan Perhutanan negeri dan persoalannya mengapa tiada penguatkuasaan rapi oleh renjer hutan di kawasan ini untuk memantau sebarang aktiviti jenayah seperti pemerdagangan manusia.
“Kejadian ini (aktiviti penyeludupan manusia) dipercayai berlaku akibat pengabaian renjer hutan membuat pemantauan berterusan di kawasan berhampiran Gunung Perlis hingga menyebabkan puncak gunung dapat dijadikan kem transit bagi aktiviti ini.
“Sepatutnya pemantauan perlu dilakukan lebih kerap dengan meninjau perkembangan yang berlaku di sekitar kawasan ini kerana puncak gunung itu hampir dengan Thailand,” katanya selepas melawat kawasan yang dipercayai dijadikan laluan PATI berhampiran Taman Negeri Perlis di sini, semalam.
Tinjauan Harian Metro di lokasi menuju ke hutan Gunung Perlis mendapati ia terletak di belakang Taman Negeri Perlis di Jalan Kaki Bukit-Wang Kelian, kira-kira satu kilometer dari kaunter pemeriksaan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) di laluan itu.
Lokasi ke kawasan yang menjadi laluan PATI pula terletak dua kilometer dari pintu sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian manakala lokasi hutan itu terletak 50 meter dari jalan besar dan terdapat sebuah menara telekomunikasi di kawasan itu.
Sementara itu, sumber berkata, kubur itu sudah wujud sekurang-kurangnya enam bulan lalu dan memerlukan keseluruhan tiga jam pendakian sama ada untuk turun dan naik ke puncak gunung berkenaan.
Menurutnya, PATI hanya akan dibawa turun jika ada permintaan daripada tekong darat dan kenderaan seperti lori yang digunakan akan berhenti di sebuah denai yang muat untuk dilalui sebuah lori tiga tan bagi aktiviti pemerdagangan manusia di kawasan itu.
Katanya, sehingga kini, kira-kira 130 mayat sudah ditemui di puncak gunung berkenaan.
“Berdasarkan maklumat, PATI yang dibawa masuk ke negara ini akan diletakkan di kawasan kem yang terletak di puncak gunung itu yang turut dijadikan lokasi transit sebelum dibawa turun jika terdapat permintaan daripada mana-mana pihak.
“Lubang besar yang dijadikan kubur berkenaan dipercayai sudah wujud sekurang-kurangnya enam bulan lalu dan berada di puncak gunung iaitu kira-kira dua kilometer dari pintu sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian dan 100 meter dari laluan Jalan Kaki Bukit-Wang Kelian,” katanya.
Di Kajang, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau turut dimaklumkan PGA dan VAT 69 menemui 14 khemah besar dan tiga khemah kecil terletak di sempadan Malaysia dan Thailand.
“Saya dimaklumkan mengenai penemuan kubur itu dan 17 khemah berkenaan pada minggu lalu oleh PGA dan unit Komando VAT 69.
“Khemah-khemah itu dipercayai sudah beroperasi sekurang-kurangnya lima tahun dan ia ditinggalkan ketika pihak berkuasa tiba di tempat kejadian.
“Kubur-kubur itu dikenal pasti sebagai kubur pelarian dalam aktiviti pemerdagangan manusia,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Keluarga 1 KDN di Maktab Penjara Malaysia, semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan timbalannya Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim, semalam sudah berada di sempadan Malaysia dan Thailand untuk melakukan pengecaman dan pengesahan.
Khalid dijangka mengadakan sidang media berhubung penemuan kubur berkenaan hari ini.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2015 @ 10:06 AM

ANGGOTA polis mengawasi kawasan berhampiran Pondok Polis Wang Kelian.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/53247#sthash.L8pkAJfw.dpuf