Search This Blog

Sunday, May 24, 2015

Ops Warta: 4,616 pesalah trafik serah diri

Ops Warta: 4, 184 pesalah trafik serah diri

KUALA LUMPUR - Seramai 4,616 pesalah trafik yang mempunyai waran tangkap menyerah diri setakat hari ini, sejak Ops Warta dilancarkan Selasa lepas.  

Menurut laporan Cawangan Trafik Bukit Aman, daripada jumlah itu, Selangor merekodkan jumlah tertinggi dengan 1,185 orang diikuti 883 orang di Johor.
  
Bagi tempoh yang sama, seramai 1,009 lagi pesalah ditangkap kerana gagal menyelesaikan waran tangkap mereka dan daripada jumlah itu, seramai 288 orang akan didakwa manakala 721 lagi diikat jamin.
  
Ops Warta dilancar bagi mengesan pesalah trafik yang memiliki waran tangkap.
  
Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia memaklumkan bahawa mereka akan bertegas dalam melaksanakan operasi mengesan individu yang belum menyelesaikan waran tangkap dan saman trafik. - Bernama

Nak mesin rumput, termesin mortar

Mesin rumput terlanggar mortar
Keadaan mortar yang ditemui pekerja am itu hari ini.

TITI SERONG - Seorang pekerja am hanya mampu bertawakal kepada ALLAH setelah mesin pemotong rumput yang digunakan untuk menebas rumput di tepi parit utama Kampung Parit Tiga, Tebuk Haji Musa di sini terkena sebiji mortar lama yang masih aktif pagi tadi.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, pekerja terbabit, Mohd Khairul Abd Rahman, 25, hanya mampu melarikan diri sejauh mungkin setelah menyedari ketulan besi yang terkena mata pisau mesin pemotong rumputnya, rupa-rupanya bom lama jenis mortar.

Menurutnya, sewaktu menjalankan kerja memotong rumput di sekitar parit utama kampungnya, mata pisau mesin yang digunakan berdesing sejurus terkena ketulan besi yang terdapat di salah satu kawasan semak samun.

"Saya segera menghentikan mesin pemotong rumput yang digunakan dan memeriksa ketulan 'besi' dengan tujuan untuk mengalihkannya.

"Sebaik diperiksa, saya tergamam mendapati ketulan besi itu merupakan sebutir bom mortar dipercayai digunakan pada zaman dahulu dan bergegas melarikan diri sekuat hati pulang ke rumah.

"Saya segera menceritakan penemuan itu kepada seorang sepupu dan memintanya memaklumkan perkara itu kepada polis," katanya sewaktu ditemui media di lokasi kejadian di sini hari ini.

GRO bawah umur kena cekup

GRO
Gambar hiasan

LUMUT - Sebanyak 25 wanita pelayan pelanggan (GRO) warga Vietnam dan lima pekerja lelaki warga Myanmar dan China ditahan dalam serbuan Ops Noda di sebuah pusat hiburan di Seri Manjung di sini malam tadi.
  
Turut ditahan 19 pelanggan termasuk lima remaja lelaki tempatan bawah umur serta tiga lelaki warga China dan dua lelaki warga Myanmar yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.
  
Operasi jam 11 malam itu disertai lapan anggota dari pasukan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak diketuai Pegawai Operasi, Inspektor Nor Shaharah Marzuki serta dibantu tiga anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung.

Nor Shaharah berkata, kesemua mereka yang berumur lingkungan 16 hingga 36 tahun itu dibawa ke IPD Manjung untuk pemeriksaan lanjut.
 
“Ujian air kencing mendapati sembilan orang GRO dan empat pelanggan lelaki tempatan positif dadah jenis amphetamine dan ketamine," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
  
Beliau berkata, pengurus dan seorang lelaki tempatan yang bekerja sebagai penjaga kaunter di pusat hiburan tersebut turut ditahan selepas siasatan mendapati premis berkenaan tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah. - Bernama

Polis temui kubur besar pelarian di Padang Besar

Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi

KAJANG - Kementerian Dalam Negeri hari ini mengesahkan penemuan kubur-kubur besar berdekatan dengan 17 khemah yang dipercayai digunakan untuk menempatkan pelarian di Padang Besar, Perlis.
  
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Pasukan Gerakan Am (PGA) dan unit Komando VAT 69 menemui 14 khemah besar dan tiga khemah kecil yang terletak di sempadan Malaysia dan Thailand.
  
Zahid berkata beliau dimaklumkan tentang penemuan itu oleh unit VAT 69 dan PGA pada minggu lepas.
  
Terkejut dengan penemuan itu, beliau berkata khemah-khemah tersebut dipercayai telah beroperasi sekurang-kurangnya lima tahun dan ia ditinggalkan ketika pihak berkuasa tiba di tempat kejadian.
  
"Hari ini, ketua polis negara dan timbalannya berada di sempadan Malaysia dan Thailand untuk melakukan pengecaman dan pengesahan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Keluarga Kementerian Dalam Negeri di Maktab Penjara Malaysia, di sini hari ini.
  
Zahid berkata kubur-kubur itu dikenal pasti sebagai kubur kepada pelarian dalam aktiviti pemerdagangan manusia.
  
"Mungkin, satu kubur memuatkan tiga, empat atau hanya satu mayat. PGA dan VAT 69 masih menjalankan siasatan dan memeriksa kawasan itu. Dengan kerjasama Thailand, kami akan menjumpai lebih banyak mayat," katanya.
  
Zahid berkata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan timbalannya, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim, akan mengumumkan perincian perkara itu dalam masa terdekat. - Bernama

Pelajar tingkatan 3 antara pasangan ditahan Jaim

khalwat

MELAKA - Seorang pelajar perempuan tingkatan 3 antara empat pasangan ditahan dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) di sini, awal hari ini.

Pengarah Jaim, Ismail Hamid berkata, pelajar sebuah sekolah menengah di Masjid Tanah, Alor Gajah dekat sini ditahan bersama teman lelakinya berusia 22 tahun dalam sebuah bilik di hotel bajet di Jalan Tun Ali pada pukul 2.50 pagi.

"Kedua-dua mereka ditahan untuk siasatan lanjut dan Jaim akan memaklumkan perkara ini kepada ibu bapa dan pihak sekolah pelajar perempuan terbabit," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, dalam operasi tiga jam melibatkan 10 anggota penguat kuasa Jaim bermula 12 tengah malam tadi, jabatan itu menahan tiga lagi pasangan berumur 22 hingga 34 tahun di hotel berasingan di Kampung Lapan dan Malim di sini.

"Pasangan tersebut termasuk seorang wanita warga Indonesia berusia 28 tahun dan pasangannya lelaki Bangladesh berusia 34 tahun yang masing-masing telah berkeluarga," katanya.

Ismail berkata kesemuanya ditahan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 iaitu bersekediaman/berkurung/bersunyian tanpa nikah yang memperuntukkan hukuman denda RM3,000 atau penjara 24 bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata dalam operasi sama, dua pasangan lelaki dan wanita berusia 20an ditahan mengikut Seksyen 71 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 iaitu melakukan perbuatan tidak sopan di khalayak ramai ketika operasi dijalankan di Dataran 1Malaysia, Klebang di sini. - Bernama

Gelombang haba ragut nyawa 335 orang di India

Gelombang haba ragut nyawa 335 orang di India
Seorang lelaki melindungi diri daripada panas terik di Delhi. - Foto Times of India

NEW DELHI - India kini berdepan fenomena gelombang haba yang buruk di kebanyakan bandar dengan 335 orang dilaporkan mati sejak tiga hari lalu dengan suhu paling panas dicatat di negeri Andra Pradesh dan Telangana.
  
Menurut Jabatan Meteorologi India (IMD) daerah Khammam di Andra Pradesh merekodkan suhu paling panas iaitu 48 darjah celsius, lebih tinggi daripada 47.2 darjah celsius yang dicatat di kawasan yang sama pada 1947.
  
Di negeri Andra Pradesh, 75 kematian dicatat sementara 60 dilapor mati di Telangana.
  
Menurut para pegawai di kedua-dua negeri, majoriti yang mati akibat keadaan itu ialah buruh.
  
Orang ramai diingatkan supaya sentiasa berada di dalam rumah dengan IMD meramalkan cuaca akan lebih buruk dalam tempoh beberapa hari lagi.  
  
Gelombang haba dijangka melanda beberapa negeri yang lain awal esok di Madhya Pradesh, Vidarbha, Bihar dan Jharkhand, kata jabatan itu.
 
Stesen-stesen dan pusat peranginan atas bukit yang menjadi destinasi popular di kalangan rakyat India pada cuti musim panas juga mengalami suhu lebih 40 darjah.
  
Cuti musim panas di India bermula minggu lepas dan berakhir pertengahan Julai.
  
Agensi-agensi pelancongan di New Delhi melaporkan bilik-bilik penginapan di stesen-stesen bukit hampir habis ditempah untuk tempoh beberapa minggu akan datang.
  
Akhbar tempatan Times of India pula melaporkan dengan suhu sekitar 45 darjah, kebanyakan kawasan di Rajasthan dan Jaipur menghadapi masalah kekurangan bekalan air yang serius.  
  
Dalam perkembangan berkaitan di sini semalam, suhu mencecah 46.2 darjah celsius dan pada hari ini pada pukul 2 petang (waktu tempatan) mencatat suhu maksimum 45.2 celsius yang dicatatkna IMD.
  
Keadaan menjadi lebih buruk dan sukar kepada penduduk Delhi berikutan masalah bekalan elektrik yang sering terputus.
  
Bagaimanapun, sedikit kelegaan berikutan ramalan IMD akan berlakunya ribut debu dan ribut petir di beberapa kawasan di bandar raya ini esok. - Bernama

Mangsa Rompakan Terselamat Kerana 'Miskin'


Diterbitkan: Ahad, 24 Mei 2015 12:19 PM
De Boeck dibawa perompak ke ATM untuk mengeluarkan wang menggunakan kad kreditnya tetapi tidak berhasil.

HANYA kerana dianggap miskin selepas gagal mendapatkan sebarang habuan, seorang pelajar terselamat dalam kejadian rompakan bersenjata yang berlaku bukan di satu lokasi malahan berlarutan hingga ke empat ATM dan sebuah kedai runcit.
Mangsa, Levi de Boeck, 23, diacukan pistol dan dirampas telefon bimbit serta dompetnya oleh perompak yang memakai jaket berhud sebelum dibawa ATM untuk mengeluarkan wang tunai sebanyak £200 (RM1,115) tetapi tidak berjaya.
De Boeck kemudiannya dibawa ke tiga lagi ATM di Antwerp, Belgium dengan tujuan sama, di mana secara kebetulan aksi perompak tersebut dirakam di salah satu mesin ATM menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
De Boeck lega apabila dilepaskan perompak walaupun terpaksa ke beberapa lokasi untuk mengeluarkan wang.
Cubaan mengeluarkan wang tidak berjaya di kesemua ATM disebabkan mangsa tidak mempunyai simpanan mencukupi di dalam akaun bank.
Bagi memastikan dia tetap memperoleh sesuatu daripada mangsa, perompak itu membeli rokok di sebuah kedai runcit menggunakan kad kredit mangsa.
"Saya minta maaf tetapi awak lebih miskin daripada saya," kata perompak tersebut kepada De Boeck selepas memeluknya.
Perompak tersebut turut memulangkan kembali dompet serta telefon bimbit milik De Boeck dan melarikan diri serta merta.
Pihak polis kini sedang memburu perompak tersebut yang dipercayai kerap melakukan rompakan, cuma sebelum ini dia berjanggut. 

Mayat wanita ditemui separuh bogel


Polis menjumpai mayat seorang wanita warga Indonesia dalam keadaan separuh bogel dengan kesan lebam di muka dan kepala dipercayai dibunuh di sebuah hotel bajet di Jalan Pasar, di sini, awal pagi semalam.
Mayat mangsa, Efrinda Yuni Lubis, 38, ditemui pada jam 2.45 pagi oleh pekerja hotel berkenaan sebelum memaklumkannya kepada polis.
Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, anggota Jabatan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang bergegas ke lokasi kejadian bagi melakukan siasatan sebelum menemui mayat wanita terbabit terbaring di atas katil.
“Polis menemui mayat wanita yang berasal dari Batam, Indonesia itu dalam keadaan separuh bogel dengan terdapat kesan pergelutan di dalam bilik berkenaan apabila melihat dinding papan pecah.
“Pemeriksaan pada mayat mendapati terdapat kesan lebam di bahagian muka dan belakang kepala selain calar di leher serta terdapat gigitan di tapak tangan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau berkata, terdapat beberapa barangan peribadi mangsa seperti telefon bimbit dan wang tunai hilang disyaki disamun suspek.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/53061#sthash.n6nZwEVJ.dpuf

Bahang api


Oleh Abd Rahman Adam 

abdulrahman@hmetro.com.my

Kuching: “Nasib baik saya terjaga daripada tidur apabila terasa bahang api dan terhidu bau asap,” kata Siti Rafidah Simi, 33, selepas rumah didiaminya di tingkat dua kuarters tentera, Kem Penrissen, Jalan Batu 8, di sini, terbakar, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi, api dipercayai bermula daripada suis peti sejuk sebelum merebak ke seluruh rumah.
Menceritakan detik cemas itu, Siti Rafidah berkata, sebaik bangun dan membuat pemeriksaan, dia terkejut mendapati api sudah merebak ke bahagian lain termasuk siling rumah.
“Meskipun panik, saya bergegas mengejutkan dua anak berusia empat dan tujuh tahun yang sedang tidur di bilik sebelum keluar menyelamatkan diri.
“Saya turut menjerit meminta bantuan jiran sebelum berusaha memadam kebakaran, namun gagal,” katanya ditemui di tempat kejadian.
Katanya, ketika kejadian, suaminya tiada di rumah kerana keluar awal untuk pergi ke pekan membeli barang keperluan.
Siti Rafidah berkata, insiden itu mengakibatkan mereka tinggal sehelai sepinggang apabila gagal menyelamatkan barang berharga termasuk dokumen penting.
“Keadaan terlalu kelam-kabut sehingga menyebabkan saya tidak tahu untuk berbuat apa-apa, apatah lagi suami tiada di rumah.
“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana kami tiga beranak sempat menyelamatkan diri,” katanya.
Ketua Bomba dan Penyelamat Batu Lintang Faizal Sahari berkata, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang dan Tabuan Jaya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan jam 7.32 pagi.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/53072#sthash.h1eYHZNV.dpuf

Bayi dalam bungkusan kain batik


Sitiawan: Seorang wanita terkejut selepas menemui bayi masih bernyawa dalam bungkusan kain batik di tepi jalan Taman Teratai, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi wanita berusia 25 tahun itu menemui bayi yang dipercayai dilahirkan tidak cukup bulan itu ketika dia dalam perjalanan pulang dari rumah rakannya.

Difahamkan, wanita berkenaan memberhentikan kenderaannya di tepi jalan selepas melihat bungkusan mencurigakan itu sebelum terkejut mendapati terdapat bayi yang tidur di dalam bungkusan itu.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan itu dipercayai baru dilahirkan tidak sampai beberapa jam ketika ditemui.

“Ketika ditemui, bayi itu dalam keadaan tidak stabil sebelum dibawa ke hospital.

“Hasil pemeriksaan mendapati bayi berkenaan mempunyai masalah pernafasan serta jangkitan kuman dan ditahan di unit rawatan rapi neonatal (NICU) di Hospital Seri Manjung (HSM),”katanya.

Menurutnya, polis melakukan siasatan bagi mengenal pasti individu terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Tiga panggilan minta wang


Kota Kinabalu: Polis mengesahkan menerima tiga panggilan daripada kumpulan penculik yang melarikan dua rakyat tempatan dalam kejadian di Restoran Ocean Kings, Sandakan, pada 14 Mei lalu, yang meminta keluarga mangsa menyediakan kos perubatan dan makanan selain wang tebusan bagi tujuan pembebasan mereka.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abd Rahman berkata, berdasarkan pertemuan dengan ahli keluarga kedua-dua mangsa baru-baru ini, kumpulan penculik terbabit menghubungi mereka menerusi telefon meminta sejumlah wang termasuk kos perubatan seorang mangsa yang didakwa menderita penyakit kencing manis.
Menurutnya, berdasarkan dakwaan kumpulan penculik itu, mangsa yang juga pemilik restoran Ocean King, Thien Nyuk Fun, 50, dikatakan diserang penyakit berkenaan dan memerlukan ubat dengan segera.
“Setakat ini, keluarga mangsa sudah menerima tiga panggilan meminta sejumlah wang untuk tebusan, kos perubatan seorang mangsa yang dikatakan menghidap kencing manis serta perbelanjaan bagi menampung kos makanan mereka,” katanya dalam sidang media sempena penutupan Program Latihan Asas Polis Bantuan Siri 1/2015 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah Kepayan, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Jalaluddin bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah wang yang diminta oleh kumpulan penculik berkenaan atas sebab-sebab tertentu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/53082#sthash.DnXCckx6.dpuf

Sah penculik mati!

Kota Kinabalu: “Memang sah seorang lelaki yang ditembak mati oleh polis Filipina tempoh hari adalah adik-beradik kepada Muktadil Bersaudara yang terbabit dengan kes penculikan untuk tebusan (KFR) dan saya mengesahkan dua rakyat kita tidak berada di situ ketika itu,” kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abd Rahman di sini semalam, ketika mengulas berhubung insiden di Wilayah Jolo, Selatan Filipina, Rabu lalu.
Menurutnya, ketika kejadian berbalas tembakan berkenaan yang mengorbankan Mindas Manda @ Muktadil terbabit, dua mangsa culik dalam kejadian di restoran Ocean King, Sandakan pada 14 Mei lalu, Thien Nyuk Fun, 50, dan Bernard Then Ted Fen, 39, tidak berada di lokasi itu dan dilaporkan berada dalam tahanan kumpulan KFR mereka di tempat berlainan.
Dalam kejadian Rabu lalu, di Wilayah Jolo, Kepulauan Sulu di Selatan Filipina itu, Mindas yang juga dipercayai ketua kepada kumpulan jenayah rentas sempadan Muktadil Bersaudara, terbunuh selepas enggan menyerah diri apabila dikepung di sebuah pasar di situ dalam insiden berbalas tembak dengan pihak berkuasa negara terbabit.
“Kejadian itu betul, dengan sumber berita kematiannya dikeluarkan kerajaan Filipina sendiri melalui media sosial dan kita mengesahkan si mati ini adalah seorang daripada adik-beradik kepada Muktadil Bersaudara yang terbabit secara langsung dengan kumpulan KFR.
“Ketika kejadian berbalas tembakan itu berlaku, kedua-dua rakyat kita tidak berada di situ kerana sedang berada dalam tahanan mereka (kumpulan KFR) di lokasi berlainan,” katanya.
Mindas juga merupakan adik beradik kepada dua suspek dikenali sebagai Badong, 40-an dan Nickson, 30-an, yang kini diburu polis tempatan selepas dipercayai terbabit dengan beberapa kes jenayah sempadan rentas di perairan negara ini termasuk disyaki menjadi dalang dalam kejadian culik rakyat tempatan di sebuah restoran makanan laut di Sandakan pada 14 Mei lalu.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Jalaluddin turut menyokong gesaan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang meminta kerajaan Filipina untuk lebih bertegas terhadap insiden jenayah sempadan rentas membabitkan perairan dua negara ini.
“Bagi saya kejadian seperti ini berlaku setengah abad lamanya dan sudah sampai masanya mereka (Filipina) mengambil tindakan tegas serta lebih bertanggungjawab.
“Sampai bila kita mahu menghadapi situasi yang sama? Mereka menceroboh kedaulatan negara kita dan sepatutnya pihak berkuasa Filipina menunjukkan komitmen tinggi terhadap isu ini termasuk menyertai operasi rondaan bersama kita atau pihak Kawasan Keselamatan Pantai Timur (ESSCOM) bagi menyekat penjenayah yang datang dari negara mereka,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, gesaan terbabit bukanlah bermaksud ingin mempertikaikan keupayaan antara kedua-dua pihak keselamatan termasuk ESSCOM sendiri lebih-lebih lagi dengan kemunculan kes terbaru membabitkan dua rakyat negara ini diculik di Sandakan pada 14 Mei lalu, namun mahu tindakan lebih agresif daripada Filipina kerana ia membabitkan penjenayah yang berasal dari negara mereka.
“Memanglah kita berusaha sebelum ini, bahkan Komander ESSCOM Datuk Rashid Harun sendiri sudah fokus kawasan Sandakan, tetapi disebabkan ada dalang yang membawa mereka (kumpulan penculik) sehingga berlakunya insiden seumpama itu.
“Perlu diingat Sabah mempunyai perairan yang luas dengan 1,700 kilometer dan tidak bolehlah kita mahu tempatkan bot-bot bagi setiap kilometer seperti Singapura lakukan sebelum ini dan jika kita perketatkan juga, bagaimana pula dengan aspek ekonomi serta industri perikanan.
“Janganlah sewenang-wenangnya mempertikaikan keberkesanan penguatkuasaan ini kerana kita sudah berusaha,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2015 @ 5:28 AM


TENTERA Filipina menunjukkan rampasan termasuk bahan letupan dalam serangan ke atas kumpulan Abu Sayyaf di Pulau Basilan, selatan Filipina.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/53091#sthash.Ev9OqB7n.dpuf

Nak memancing, jumpa bom

Machang: Seorang pemancing tidak menyangka objek lebar yang ditemui terbenam dalam parit ketika mengail ikan di Kampung Ladang Luas, Labok, di sini adalah bom yang masih aktif.
Mohd Sali Mahmud, 60, dari Kampung Kubang Belut, Labok menemui bom itu pada 10 pagi ketika memancing bersama anaknya berusia 13 tahun dan segera melaporkan kepada polis.
Pemangku Ketua Polis Daerah Machang Deputi Superintendan Loo Lian Lay berkata, sepasukan pegawai dan anggota unit pemusnah bom ke tempat kejadian dan mengesahkan ia bom jenis Airdrop Shell.
"Selepas dinaikkan ke tebing, bom itu didapati masih aktif dan ia sepanjang 0.912 meter dengan ukur lilit 0.609 meter dan seberat 112.5 kilogram.
"Pada 5.45 petang bom berkenaan berjaya diletupkan tanpa sebarang kemalangan," katanya ketika dihubungi, di sini.
Loo turut memuji tindakan Mohd Sali yang tidak cuba menaikkan bom itu, sebaliknya terus membuat laporan kepada polis.
Katanya, orang ramai wajar mencontohi tindakan itu sekiranya menemui objek mencurigakan demi keselamatan mereka.
Tamat14
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2015 @ 12:23 AM


Bom yang ditemui sebelum dimusnahkan. FOTO ihsan PDRM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/52970#sthash.OnkuThTX.dpuf

60 rumah terbakar

Kota Kinabalu: Seorang remaja lelaki cedera di lengan kiri akibat terkena zink ketika cuba memadamkan api dalam kebakaran yang memusnahkan 60 rumah di Kampung Gusung Likas, di sini, malam tadi.
Kebakaran yang berlaku pada 8.06 malam itu menyebabkan hampir 200 penduduk hilang tempat tinggal.
Seorang penduduk, Hassan Ali, 33, berkata, ketika kejadian, sekumpulan penduduk saling membantu membantu memadam kebakaran daripada merebak.
"Ketika sibuk memadam api, seorang remaja berusia dalam lingkungan 19 tahun berlari sambil menahan kesakitan selepas lengan kiri luka teruk akibat terkena zink.
"Remaja lelaki itu kemudian dihantar ke hospital berhampiran oleh penduduk kampung untuk dirawat, " katanya.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah Mohd Affendi K Ramin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.02 malam sebelum menghantar enam jentera dengan kekuatan seramai 30 anggota bomba ke tempat kejadian.
"Kebakaran dapat dikawal pada 10.10 malam dan hasil pemeriksaan sebanyak 60 rumah musnah dalam kejadian itu.
“Operasi memadamkan kebakaran turut dibantu Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kota Kinabalu dan penduduk kampung," katanya.
Menurutnya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2015 @ 12:40 AM


Kebakaran di Kampung Gusung Likas malam tadi menyebabkan hampir 200 penduduk hilang tempat tinggal. FOTO Edmund Samunting
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/52972#sthash.UItcE0g8.dpuf

Anggota polis maut kemalangan

Saratok: Seorang anggota polis maut manakala rakan setugasnya parah apabila pacuan empat roda Peronda Polis yang dinaiki terbabit dalam kemalangan di Batu 4, Jalan Roban Lama di sini, 10 malam tadi.
Koperal Jumali Awang Sah, 53 meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Koperal Jali Assan, 45 yang memandu kenderaan parah dan dihantar ke Hospital Saratok untuk rawatan lanjut.
Pacuan empat roda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok yang dinaiki kedua-dua anggota polis itu dipercayai hilang kawalan dan terbabas dalam gaung sedalam kira-kira lima meter.
Mayat mangsa dihantar ke rumah mayat Hospital Saratok untuk dibedah siasat.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Saratok Mohamad Darul Azreen Md Desa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan dari IPD Saratok pada 10.03 minit sebelum satu jentera bersama enam anggota ke tempat kejadian.
"Anggota Bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan dan serahkan kepada ambulans untuk tindakan lanjut," katanya.
Kes diserahkan kepada polis untuk siasatan selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2015 @ 1:33 AM


PACUAN empat roda polis yang terbabas dalam gaung di Batu 4, Jalan Roban Lama, malam tadi. FOTO ihsan bomba
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/52974#sthash.ENxfLCdn.dpuf

Seludup iPhone dalam basikal


Agensi
Hong Kong: Cubaan seorang lelaki menyeludup 18 telefon pintar iPhone 6 Plus di dalam ruangan rahsia pada basikalnya gagal selepas dia ditahan pihak berkuasa.
Lelaki itu yang dikenali sebagai, Shen ditahan pada 19 April lalu ketika cuba masuk ke China dari Hong Kong.
Pada mulanya, pegawai yang bertugas tidak mengesyaki apa-apa, tetapi mula curiga selepas Shen yang menunggang basikal kelihatan gelisah ketika pemeriksaan rutin.
Shen juga kelihatan cemas dan teragak-agak ketika menjawab beberapa soalan mudah oleh polis.
Selepas pemeriksaan dijalankan, pihak berkuasa menemui sejumlah telefon pintar yang disembunyikan di satu ruangan di basikalnya.
Semua 18 telefon pintar jenis iPhone 6 Plus itu dianggarkan bernilai 130,000 yuan (RM76,000).
Shen mengaku membeli telefon pintar berkenaan di Hong Kong dan cuba menyeludup masuk telefon itu untuk dijual di China.
Penyeludup biasanya membawa iPhone dan barangan elektronik bernilai tinggi dari Hong Kong untuk diseludup ke tanah besar China.
Mereka membuat sedikit keuntungan dengan menjual semula barangan elektronik berkenaan kerana Hong Kong mempunyai duti import yang rendah berbanding China.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/53051#sthash.PEc4ZgJD.dpuf

42 anggota kartel dadah ditembak

Polis persekutuan Mexico menembak mati 42 lelaki bersenjata yang dipercayai anggota kartel dadah dalam satu pertempuran di barat Mexico kelmarin.
Pertempuran paling berdarah sepanjang satu dekad itu turut menyebabkan seorang anggota keselamatan terkorban.
Pesuruhjaya Keselamatan Negara, Monte Alejandro Rubido berkata, seorang anggota polis maut manakala seorang lagi cedera dalam pertempuran selama tiga jam di sebuah ladang di Guadalajara.
Angka kematian itu adalah yang paling tinggi dicatatkan sejak Presiden Mexico, Enrique Pena Nieto berkuasa pada Disember 2012.
Beliau sebelum ini berikrar untuk menamatkan keganasan kartel dadah yang mengorbankan lebih 100,000 nyawa sejak 2007.
Pegawai kerajaan melaporkan, 42 yang terbunuh berhampiran bandar Tanhuato disyaki anggota kartel dadah yang dikenali sebagai Generasi Baru Jalisco.
Pertempuran tercetus apabila sekumpulan anggota polis yang menyiasat aduan mengenai aktiviti pencerobohan di ladang seluas 112 hektar itu diserang beberapa lelaki bersenjata.
Selepas meminta bantuan tambahan, pasukan keselamatan persekutuan menggempur kumpulan itu dengan bantuan helikopter.
Pihak berkuasa berjaya menangkap tiga suspek dan merampas pelancar bom tangan serta 39 senjata api.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2015 @ 5:12 AM


ANGGOTA polis persekutuan Mexico berdiri berhampiran mayat anggota kartel dadah yang ditembak mati, kelmarin.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/53047#sthash.uIem4CTo.dpuf

Tetamu ditimpa hujan najis manusia


Philadelphia (Amerika Syarikat): Berpuluh-puluh tetamu yang hadir pada satu parti hari jadi di sini bertempiaran lari selepas mereka tiba-tiba dihujani najis manusia.
Kejadian menjijikkan itu menyebabkan hampir 40 tetamu majlis hari jadi yang diadakan di halaman sebuah rumah itu terkena najis.
Semua makanan, hadiah, khemah dan halaman kediaman itu juga diliputi dengan najis serta bau yang meloyakan.
Seorang tetamu, Kirstie Rogy berkata, dia percaya najis itu dibuang sebuah kapal terbang yang melintasi kawasan berkenaan.
“Selepas selesai memotong kek tiba-tiba kami dihujani dengan cecair dan ketulan berwarna coklat yang turun dari langit.
“Semua tetamu melarikan diri dengan masuk ke dalam rumah dan ada yang berlindung di bawah khemah serta meja.
“Kami menyedari cecair yang turun seperti hujan itu adalah najis manusia selepas ia mengeluarkan bau sangat busuk,” katanya.
Menurutnya, mereka sudah membuat laporan polis dan mengenal pasti lima pesawat yang melalui kawasan itu ketika kejadian.
Peraturan penerbangan mewajibkan pesawat membuang sisa buangan manusia ketika mendarat di lapangan terbang.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan juga menyiasat kejadian itu. - Agensi
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/53048#sthash.QVHjTIPR.dpuf

Anak OKU jadi tempat melepaskan nafsu jiran


BALING 23 Mei – Seorang bapa tidak menyangka anaknya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) dijadikan tempat melepaskan nafsu serakah seorang jiran sehingga mengakibatkan mangsa mengandung empat bulan.
Bapa mangsa yang mahu dikenali sebagai Harun, 53, dari Kampung Charok Kelian, di sini berkata, tidak pernah terlintas dalam fikiran bahawa anak keempat daripada lima beradik berusia 13 tahun itu diperlakukan sedemikian rupa memandangkan mereka berjiran dan tinggal berhampiran.
Dia mendakwa, paling mengejutkan perbuatan terkutuk itu dilakukan oleh seorang warga emas dengan mengumpan anaknya yang lembam itu dengan gula-gula dan wang.
“Saya tidak sangka dia sanggup merogol anak saya sehingga mengandung empat bulan sedangkan dia tahu anak saya itu OKU. Perbuatan terkutuk itu dilakukan ketika saya dan isteri keluar menoreh.
“Saya terpaksa meninggalkan dia bersama adiknya di rumah ketika keluar mencari rezeki. Sepatutnya sebagai jiran dia perlu memberi perlindungan kepadanya, tetapi sebaliknya dia sanggup melakukan kerja terkutuk itu," katanya ketika dihubungi di sini hari hari ini.
Harun berkata, perkara itu hanya disedari selepas anaknya yang mengikuti kelas pendidikan khas itu kelihatan tidak bermaya dan sering mengadu letih kepada isteri sejak kebelakangan ini.
Dia berkata, apabila menyedari perubahan tersebut, isterinya menjalankan pemeriksaan melalui alat pemeriksaan air kencing yang dibeli dari farmasi berdekatan pada Khamis lalu dan mendapati anaknya itu telah mengandung.
“Setelah ditanya berkali-kali dia telah mengaku dia diperkosa oleh jiran seorang warga emas yang tinggal hanya 300 meter daripada rumahnya. Berulang kali dia menyebut nama suspek yang melakukannya di beberapa tempat di dalam kampung.
“Kami kemudiannya membawa dia ke hospital membuat pemeriksaan, sekali lagi doktor telah mengesahkan anak saya itu mengandung," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintenden Wari Kiew ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan polis telah menahan dua suspek lelaki masing-masing berusia 60 dan 28 tahun di kampung yang sama.
“Kedua-dua lelaki berkenaan adalah jiran mangsa dan ditahan kira-kira pukul 6 pagi kelmarin di rumah mereka dan kini ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan," katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/anak-oku-jadi-tempat-melepaskan-nafsu-jiran-1.94943#sthash.TZfP9WQt.dpuf

Dadah: Tujuh diberkas


STING lakukan rampasan bernilai RM4 juta

KUALA LUMPUR 23 Mei - Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) Bukit Aman berjaya me­numpaskan satu lagi sindiket pengedaran dadah dengan tertangkapnya tujuh individu dalam serbuan di sebuah unit kondominium yang dijadikan makmal memproses bahan terlarang itu di Wangsa Maju, di sini semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 5 petang itu, sebanyak 25 kilogram dadah jenis syabu dan 18,000 pil ekstasi yang dianggarkan bernilai RM4 juta dirampas.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam laman Twitternya hari ini mengumumkan kejayaan operasi tersebut.
“Syabas STING @PDRMsia berjaya bongkar makmal proses syabu. Tangkap tujuh orang, rampas 25 kilogram syabu, 18,000 pil eks­tasi di sekitar Lembah Klang. Go PDRM Go,” katanya.
Sementara itu, menurut sumber, unit kondominium berkenaan dijadikan makmal untuk memproses dadah berkenaan sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan khususnya di sekitar Lembah Klang.
“Kita masih melakukan dokumentasi serta masih mengesan saki baki kumpulan terbabit termasuklah mencari punca bekalan dadah itu sebelum diproses di rumah ini,” katanya.
Mingguan Malaysia difahamkan, harga bagi sekilogram dadah adalah RM130,000 manakala sebiji pil ekstasi pula dijual di pasaran gelap dengan harga RM25 hingga RM40.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/dadah-tujuh-diberkas-1.94983#sthash.3UFg3qwV.dpuf

Mata kanan anggota UKK terjejas akibat disimbah asid


24 Mei 2015 12:25 AM


ALOR SETAR 23 Mei – Anggota Pertubuhan Unit Kawalan Keselamatan (UKK) Kota Setar yang menjadi mangsa simbahan asid penjenayah dalam kejadian semalam mungkin mengalami masalah penglihatan pada mata kanannya.
Mangsa, Tang Swee Eng, 58, yang melecur di bahagian kanan muka dan dada kini dirawat di Unit Rawatan Kebakaran Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.
Kapten UKK Kota Setar, Tan Kok Leng berkata, ketika mengunjungi Swee Eng di HSB, mangsa membe­ritahu mata kanannya tidak dapat melihat dengan jelas.
“Dia beritahu dia gagal mengenal pasti huruf-huruf yang ditunjukkan doktor kerana penglihatan mata kanannya sangat kabur akibat terkena percikan asid tersebut.
“Swee Eng bagaimanapun bernasib baik kerana mata kirinya terselamat dalam kejadian itu,” katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Rawatan Kebakaran HSB di sini hari ini.
Media hari ini melaporkan seorang anggota UKK Kota Setar ce­dera pada mata dan muka akibat disimbah asid ketika cuba menangkap tiga penjenayah yang memecah masuk sebuah kedai kosong di Jalan Sungai Korok di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang kelmarin itu, mang­sa telah disimbah sejenis cecair dipercayai asid oleh seorang suspek lelaki yang tiba-tiba keluar dari pintu belakang premis ber­kenaan ketika cuba melarikan diri.
Kata Kok Leng, mangsa yang menyertai UKK sejak empat tahun lalu itu juga memberitahu dia tidak menyesal dengan kejadian menimpanya kerana menganggap tugas membantu orang ramai adalah perbuatan mulia.
“Kita berharap Swee Eng sembuh seperti sedia kala dan kita akan mengumpulkan sumbangan daripada anggota UKK untuk meringankan beban keluarganya,” jelasnya sambil memberitahu Swee Eng juga merupakan seorang pengusaha cincau.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd. Jan memberitahu, polis kini menahan reman dua lelaki berusia 37 dan 55 tahun serta seorang perempuan berusia 38 tahun berhubung kes berkenaan sehingga hingga 26 Mei ini.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/mata-kanan-anggota-ukk-terjejas-akibat-disimbah-asid-1.94987#sthash.jWqzVYHD.dpuf

Mayat wanita dalam kotak di belukar


Anggota Polis Unit Forensik memeriksa kotak yang berisi mayat

ANGGOTA Polis Unit Forensik memeriksa kotak yang berisi mayat seorang wanita yang ditemukan di Puncak Bukit Mutiara,Tanjung Tokong, Pulau Pinang, semalam. mingguan/MOHD. FIRDAUS ISMAIL
PULAU PINANG 23 Mei – Mayat seorang wanita hampir reput yang disumbat dalam kotak ditemukan di kawasan belukar di Puncak Mutiara, Tanjong Tokong, di sini hari ini.
Mayat dipercayai mangsa pembunuhan itu ditemukan kira-kira pukul 1 petang oleh seorang penduduk yang melalui kawasan tersebut untuk mengutip botol.
Setibanya di situ, lelaki berkenaan berasa curiga apabila terhidu bau busuk sebelum membuat pemeriksaan di kawasan sekitar dan terkejut apabila menemukan mayat tersebut.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, pemeriksaan awal polis tidak menemukan sebarang dokumen pengenalan diri pada mayat berkenaan.
Menurutnya, polis percaya mangsa dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di kawasan belukar berkenaan.
“Berdasarkan keadaan mayat yang sudah reput, kemungkinan mangsa telah dibuang lebih 10 hari lalu dan tiada senjata dijumpai,” katanya di sini hari ini.
Mior Faridalathrash memberitahu, mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat dan kertas siasatan akan dibuka selepas keputusan diperoleh termasuk sama ada diklasifikasikan sebagai mati mengejut atau sebaliknya.
“Jika keputusan bedah siasat meragukan dan mempunyai unsur bunuh, kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/mayat-wanita-dalam-kotak-di-belukar-1.95019#sthash.zwosEeHw.dpuf