Search This Blog

Friday, May 22, 2015

Penyamun terkejut diacu pistol

Penyamun terkejut diacu pistol
Choon Kim menunjukkan jarinya luka terkena parang suspek.

SEREMBAN – Cubaan samun dua penjenayah terhadap rumah mantan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Hon Choon Kim di Taman Dawn di sini, tidak berjaya apabila suspek terkejut diacukan pistol oleh mangsa.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, suspek berusia lingkungan 20-an  mengacukan parang ke arah pembantu rumah mangsa, seorang warga Indonesia berusia 28 tahun yang ketika itu sedang menyapu sampah di halaman rumah.

Choon Kim, 67, berkata, ketika kejadian dia berada di dalam bilik sedang bersiap sedia untuk ke hospital ,namun dikejutkan dengan jeritan pembantu rumahnya.

“Isteri saya beritahu berkemungkinan ada sesuatu kejadian tidak diingini berlaku dan meminta saya untuk melihat.

“Saya kemudian mengambil pistol yang disimpan dan keluar, tapi terkejut bila nampak seorang lelaki meletakkan parang di leher pembantu rumah kami,” katanya.

Menurutnya, dia mengacukan pistol kepada suspek, menyebabkan suspek terkejut dan cuba menyerangnya dengan parang.

Kata Choon Kim, dia sempat mengelak namun libasan parang tersebut terkena pada jari hantu tangan kanannya.

“Suspek kemudian terus melarikan diri dengan seorang lagi rakannya dipercayai menunggu di luar. Mujurlah pembantu rumah dan ahli keluarga saya selamat dan saya hanya mengalami cedera ringan terkena parang suspek,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun mengesahkan menerima laporan dan siasatan masih dijalankan.

Rumah guru dipecah masuk

Rumah guru dipecah masuk
Mangsa (duduk) sedang menyusun pakaian yang berselerak dalam sebuah bilik sambil diperhatikan jirannya.

MARANG - Seorang suri rumah juga merupakan isteri kepada seorang guru mendakwa mengalami kerugian lebih kurang RM3,000 selepas rumah mereka di Taman Rashidah/Medan Rhu, di sini, dipecah masuk pencuri, pagi kelmarin.

Kejadian hanya disedari apabila ibu lima anak itu yang pulang dari pasar, tiba di rumah lebih kurang jam 8.30 pagi bersama anak bongsu berusia 4 tahun, dan melihat kelibat seseorang berada di dalam rumah.

“Saya terkejut dan terus membunyikan hon untuk menarik perhatian jiran. Bunyi hon itu juga menyebabkan dua lelaki keluar dari rumah dan terus melarikan diri,” katanya yang enggan mendedahkan identitinya.

Menurutnya, selepas mendapati dua lelaki terbabit sudah beredar, dia kemudian memberanikan diri keluar dari kenderaan dan mendapati cermin pintu gelongsor pecah, manakala keadaan dalam rumah pula berselerak.

“Pencuri hanya sempat melarikan dua telefon bimbit milik anak saya. Mungkin mereka terkejut kerana saya pulang ke rumah ketika mereka sedang menggeledah ruang tamu dan setiap bilik.

“Mereka (pencuri) juga meletakkan beberapa barang seperti ‘tablet’, tabung duit, jam tangan (anak) dan khemah dalam sebuah beg sandang, namun tidak sempat melarikan beg itu, sebaliknya ditinggalkan di atas tangga dalam rumah,” katanya.

Menurutnya, pencuri terbabit turut meninggalkan sebilah senjata tajam dipercayai digunakan untuk membuka pintu gelongsor termasuk sarung tangan, malah terdapat kesan darah di lantai rumah dipercayai darah pencuri terbabit.

Katanya lagi, pencuri terbabit berkemungkinan tercedera akibat terkena serpihan kaca ketika memecah atau melarikan diri melalui pintu gelongsor yang telah dipecahkan untuk memasuki rumah.

Sehubungan itu, mangsa memaklumkan kejadian itu kepada JKKK Taman Rashidah/Medan Rhu sebelum membuat laporan di Balai Polis Marang.

Pengerusi JKKK Taman Rashidah/Medan Rhu, Abd Rahman Ariffin, 55, semalam, mengesahkan menerima laporan kejadian.

“Kita harap polis mengadakan rondaan dengan lebih kerap kerana kes kecurian kerap berlaku dan perkembangan negatif itu perlu ditangani segera dengan kerjasama semua termasuk penduduk,” katanya.

VIP bergelar Datuk maut dalam kebakaran

rumah terbakar

SHAH ALAM – Seorang VIP bergelar Datuk dilaporkan maut di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur selepas kediamannya terbakar, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah berkata, mangsa, Datuk Dr Muhamad Ali Mahfuz Ali, 88, ditemui di bahagian tepi ruang tamu oleh anggota polis pencegahan jenayah (RCJ) yang kebetulan lalu di lokasi kejadian.

Menurut sumber, apabila sampai di tempat kejadian, anggota RCJ telah memotong kunci mangga pada gril pintu hadapan dan selepas pintu dibuka dapati berlaku kebakaran pada bahagian tepi ruang tamu di mana mangsa turut terbakar bersama.

Isteri mangsa yang berada di tepi pintu utama rumah telah berjaya dibawa keluar.

Sementara itu, mayat mangsa telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk urusan bedah siasat.

Kanak-kanak dilanggar sebelum diheret

Kanak-kanak dilanggar sebelum diheret
(Kiri) Saat Lucie Wilding dilanggar oleh penunggang basikal. (Kanan) Lucie Wilding.

BLACKPOOL - BRITAIN. Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun dilanggar dan diheret beberapa meter oleh seorang penunggang basikal yang kemudiannya melarikan diri, kelmarin.

Dailymail melaporkan, Lucie Wilding sedang mengikut ibunya untuk menaiki kereta ketika dilanggar.

Ibunya, Lauren Howarth, 26, berkata, seorang penunggang basikal berbaju oren terang melanggar anaknya sehingga melambung dan kemudiannya tersangkut antara pengayuh basikal terbabit.

Penunggang basikal tersebut kemudian mengheret mangsa beberapa meter, dan melarikan diri.

Seorang saksi, Howarth berjaya merakam wajah penunggang basikal terbabit dan memuatnaik foto tersebut ke laman sosial Facebook.

"Orang perlu sedar bahawa penunggang basikal juga berpotensi untuk menjadi ancaman," kata Howarth.

Pegawai polis Lancashire, Joanna Mills berkata, penunggang basikal sering melanggar arahan dan berbasikal di laluan pejalan kaki dan menunggang pada kelajuan laju.

"Saya simpati dengan Wilding, dia bernasib baik kerana hanya cedera ringan," kata Mills.

Difahamkan, menunggang basikal di laluan pejalan kaki merupakan satu kesalahan di Britain dan pesalah boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM2,822.04.

Dua termasuk bayi maut kemalangan

kemalangan

TAWAU - Dua termasuk seorang bayi maut selepas kereta pacuan empat roda yang dinaiki mereka bersama enam lagi penumpang, bertembung dengan Perodua Alza di KM47 Jalan Kunak-Semporna dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Peter Umbuas berkata, dalam‎ kejadian pada kira-kira 4.30 petang itu, Witri Baktiar, 17, meninggal dunia di tempat kejadian manakala bayi perempuan, Fatiha Aziah berusia lapan bulan, disahkan meninggal dunia di Hospital Kunak.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku selepas Perodua Alza yang datang dari arah Semporna menuju ke Kunak memasuki lorong kanan lalu melanggar bahagian tepi kanan pacuan empat roda berkenaan, yang datang dari arah bertentangan.

"Selepas pelanggaran itu, kenderaan pacuan empat roda berkenaan terbabas sebelum terbalik menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak keluar dari kenderaan,"  katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari.

Menurut beliau, dua lagi penumpang pacuan empat roda berkenaan cedera parah dan kini dirawat di Hospital Kunak.

Bagaimanapun, katanya kedua-dua pemandu dan tiga lagi penumpang kereta pacuan empat roda itu hanya cedera ringan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

Bunuh, perkosa pelajar enggan beri RM2.74

Yogyakarta: Seorang pengemis mengaku membunuh dan merogol seorang pelajar wanita kerana mangsa enggan meminjamkan wang yang berjumlah Rp10,000 (RM2.74).
Tertuduh, Reza Muhammad Zam, 20, berkata, dia juga berang selepas mangsa, Eka Maya Sari, 27, hanya memberikan dua gelas kopi kepadanya.
Katanya, dia datang ke gerai makanan milik Eka pada 2 Mei lalu kerana mahu meminjam wang berjumlah Rp10,000 (RM2.74) untuk membeli makanan.
“Eka memberitahu, dia hanya ada wang untuk berniaga dan hanya menghidangkan saya dua gelas kopi.
“Saya terdesak dan mahu meminjam wang untuk makan serta belanja pulang ke kampung.
“Saya tidak mempunyai rakan atau saudara untuk meminjam wang,” katanya ketika ditemui wartawan di ibu pejabat polis di sini, semalam.
Kerana berang, dia memukul tengkuk Eka sehingga wanita itu pengsan sebelum mengheret mangsa ke dalam rumahnya.
Reza yang berasal dari Aceh kemudiannya mengambil wang berjumlah Rp575,000 (RM158) dan dua telefon bimbit milik mangsa.
Menurutnya, dia cuba merogol Eka tetapi wanita itu tersedar menyebabkan dia memukul lagi wanita itu sehingga mati.
Polis berkata, Reza ditangkap kelmarin di rumah ibunya di Kebumen, Jawa Tengah. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2015 @ 7:05 AM


EKA
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/52622#sthash.Lbsr0l2L.dpuf

Amukan cemburu

Pennsylvania: Akibat cemburu, seorang wanita mengamuk dan mencederakan kemaluan kekasihnya yang berusia 82 tahun dengan menggunakan gergaji besi.
Bonnie Treaster, 46, kini ditahan dan didakwa atas kesalahan menyerang lelaki warga emas yang tidak didedahkan identitinya itu.
Lelaki berkenaan yang dirawat di sebuah hospital di sini pada mulanya memberitahu polis dia mengalami kecederaan pada alat sulitnya selepas bergelut dengan pencuri yang memasuki rumahnya.
Bagaimanapun, selepas disoal siasat untuk kali kedua, lelaki itu akhirnya mengaku dia diserang kekasihnya sendiri.
Lelaki itu memberitahu, Bonnie yang berang akibat cemburu menumbuknya dan memukulnya dengan pelbagai objek.
Bonnie turut menyumbat mulut lelaki berkenaan dengan sebuah model pesawat.
Wanita itu juga mengejar lelaki berkenaan sehingga ke dalam garaj kereta sebelum memukulnya dengan pengapit logam sehingga terjatuh.
Bonnie kemudiannya duduk di atas badan lelaki itu sebelum mencapai gergaji besi.
Ujar mangsa, Bonnie membuka seluarnya dan cuba memotong kemaluannya menggunakan gergaji besi sehingga berdarah.
Namun, dia berjaya melepaskan diri dan berlari keluar rumah untuk meminta pertolongan.
Bonnie yang melihat lelaki itu berlumuran darah kemudiannya memujuk kekasihnya pulang ke rumah sebelum memutuskan untuk membawanya ke hospital.
Lelaki itu memberitahu polis yang dia dan Bonnie sengaja mereka cerita mengenai penjenayah berkenaan ketika dalam perjalanan ke hospital.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2015 @ 7:10 AM


BONNIE
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/52629#sthash.R1RsV41O.dpuf

Potong mayat anak

Detroit: Seorang wanita yang didapati bersalah mencekik hingga mati anaknya sebelum memotong mayat mangsa memberitahu mahkamah, semalam: “Saya bukan ibu yang terbaik.”
Menurut laporan akhbar tempatan, Donna Scrivo, 61, dituduh membunuh anaknya, Ramsay, 32, dan memotong mayatnya dengan gergaji pada Januari 2013.
Pendakwa raya berkata, Donna kemudian memasukkan anggota tubuh mangsa di dalam lima beg plastik sebelum membuangnya di merata tempat di St Clair County, kawasan pedalaman di timur laut Detroit.
Dia dirakam oleh kamera ketika membeli gergaji yang kemudian digunakan untuk memotong mayat Ramsay.
Wanita itu yang juga jururawat berdaftar sebelum ini menafikan terbabit dalam pembunuhan itu, sebaliknya mendakwa ia dilakukan seorang lelaki bertopeng.
Ketika membela diri, Donna memberitahu mahkamah di Macomb County, lelaki itu membunuh anaknya dan mencincang mayat mangsa sementara dia digari di bilik tidurnya dengan mulutnya disumbat dengan kain selama lima hari.
Juri bagaimanapun enggan mempercayai ceritanya dan mendapati wanita berkenaan bersalah atas tuduhan membunuh dengan niat. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2015 @ 7:08 AM

RAMSAY
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/52627#sthash.BlwoskYp.dpuf

Tertinggal abu mayat bapa dalam teksi


Dundee (Scotland): Seorang lelaki yang tertinggal abu mayat bapanya di dalam sebuah teksi meminta orang ramai yang menjumpainya memulangkannya.
James Rice, 23, mengambil abu mayat itu daripada ibu saudaranya yang baru pulang dari London tiga minggu lalu untuk ditanam di sini.
Dia tertinggal abu berkenaan dalam teksi selepas minum seharian bersama keluarganya di sebuah pub.
“Apabila menyedarinya, saya rasa amat kecewa. Saya betul-betul terlupa sebaik keluar daripada teksi.
“Saya hanya menyedarinya apabila bangun keesokan pagi. Saya kini terdesak untuk mendapatkannya kembali. Abu itu berada dalam empat bekas,” katanya.
Menurut James, keluarganya berhasrat menanam abu mayat bapanya, Brian Rice, dalam kubur neneknya.
“Saya langsung tidak teringat mengenai abu itu. Saya amat berterima kasih jika ada orang yang menyerahkannya semula kepada saya,” katanya. - Agensi
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/52610#sthash.tS6KtD0R.dpuf

4 tahun kurung isteri


Vermont (Amerika Syarikat): Seorang lelaki yang dituduh mengurung isterinya lebih empat tahun dalam kamar tidur mereka berdepan dengan hukuman penjara seumur hidup jika didapati bersalah.
Michael Jokinen dihadapkan ke mahkamah semalam dan mengaku tidak bersalah atas tuduhan menculik dan mencederakan mangsa. Dia ditahan tanpa ikat jamin.
Menurut dokumen mahkamah, polis pergi ke kediaman Jokinen di Rutland Disember lalu selepas menerima laporan mengenai seorang wanita membuang barang dari tingkat dua rumah itu.
Mangsa dan keluarganya memberitahu, dia didera secara mental dan fizikal sepanjang empat tahun lalu kerana dituduh curang.
Polis yang menyerbu rumah itu mendapati pintu bilik bermangga dan tingkapnya ditutup dengan papan lapis.
“Dia hanya akan membuka bilik itu dan membenarkan isterinya keluar apabila tidak bekerja,” kata penyiasat. - AP
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/52445#sthash.nccMofZS.dpuf

Remaja perempuan maut, tiga parah

Kunak: Seorang remaja perempuan maut manakala tiga lagi parah termasuk bayi perempuan lapan bulan selepas pacuan empat roda dinaiki mereka bertembung dengan kereta di Kilometer 13 Jalan Kunak - Semporna, dekat sini, petang tadi.
Dalam kejadian 5 petang itu, mangsa berusia 17 tahun meninggal dunia di tempat kejadian manakala tiga yang parah termasuk bayi berkenaan dibawa ke Hospital Kunak untuk dirawat
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kunak, Jaafar Salleh berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada 5.01 petang, sebuah jentera bersama lima anggota bomba ke tempat kejadian.
"Sebaik tiba, seorang mangsa tersepit di dalam pacuan empat roda sebelum dikeluarkan namun disahkan meninggal dunia, manakala tiga yang parah termasuk bayi perempuan berusia lapan bulan dibawa ke Hospital Kunak.
"Lima lagi penumpang pacuan empat roda hanya cedera," katanya ketika dihubungi, malam tadi.
Menurutnya, pemandu kereta yang parah dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut.
"Operasi tamat 5.50 petang dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2015 @ 9:29 PM


Anggota bomba membantu mangsa kemalangan. FOTO ihsan bomba

Seoul sahkan penghidap kedua MERS

Seoul: Pegawai kesihatan Korea Selatan, semalam mengesahkan penghidap kedua Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS) iaitu wanita yang menjaga suaminya yang dijangkiti penyakit itu selepas pulang dari Bahrain.
Wanita itu dalam keadaan stabil. Seorang lelaki berusia 76 tahun yang berkongsi bilik hospital dengan pesakit pertama juga mengalami demam panas, kelmarin, kata kementerian kesihatan dalam satu kenyataan, semalam.
“Pesakit pertama semakin sihat dan kami kini hanya memantau pesakit kedua kerana dia baru disahkan menghidap penyakit itu. Bagaimanapun, dia dalam keadaan stabil,” kata pegawai di Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea.
Kementerian itu percaya penyakit itu akan merebak lebih meluas kerana mereka yang terdedah kepada pesakit pertama sudah diasingkan.
Pesakit asal juga dalam keadaan stabil.
Menurut pakar, tempoh inkubasi penyakit berkenaan antara dua hingga 14 hari dengan kadar kematian antara 30 hingga 40 peratus.
Profesor madya di bahagian penyakit berjangkit Hospital Severance berkata: “Kadar kematian 40 peratus dianggap tinggi.
“Pesakit yang dijangkiti memerlukan bantuan pernafasan.” - Reuters
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2015 @ 6:50 AM


PELAWAT dari luar negara menjalani pemeriksaan suhu badan sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/52618#sthash.Glt8EaXz.dpuf

14 kru dipercayai masih hidup



KAPAL tunda KD Nilam milik Jabatan Laut menarik kapal korek Ocean Line 208 yang terbalik akibat dipukul ombak ke kawasan cetek di perairan Tanjung Punggai, Kota Tinggi semalam.


KOTA TINGGI – Kesemua 13 kru warga China dan seorang warga tempatan, Raja Mohammad Firdaus Raja Ikram yang dilaporkan hilang selepas sebuah kapal korek, Ocean Line 208 terbalik kelmarin di Tanjung Punggai di sini dipercayai masih hidup.
Pengarah Operasi Daerah Maritim 7, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Tanjung Sedili, Komander Maritim Mustafa Kamal Abas berkata, kesemua mangsa tersebut dipercayai masih berada di dalam kapal yang terbalik itu.
Bagaimanapun, menurutnya, peluang untuk mereka terus hidup dalam tempoh tiga hari selepas kapal korek tersebut terbalik adalah rendah kerana ia bergantung kepada daya tahan tubuh masing-masing.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0522&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz3aoj5hMiA 
Hakcipta terpelihara 

Putih mata RM500,000 lesap


MELAKA – Hajat seorang wanita berusia 53 tahun untuk menikmati ganjaran mudah sebanyak RM16 juta memakan diri apabila dia kini hidup dalam ketakutan selepas berhutang ratusan ribu ringgit daripada ah long.
Mangsa yang merupakan pe­ngurus sebuah syarikat pengangkutan di Cheng dekat sini dipercayai terpedaya selepas menerima satu panggilan telefon kononnya seorang kenalan dari United Kingdom ada meninggalkan sebuah beg berisi duit untuknya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Melaka, Supe­rintendan Ee Khong Koy memberitahu, mangsa kemudian dihubungi seorang lelaki dikenali sebagai Richard yang mendakwa dirinya diplomat dari United Kingdom pada Mei tahun lalu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0522&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz3aoiaf9fe 
Hakcipta terpelihara 

LHDN senarai hitam individu, syarikat



MOHD. SHUKOR (kiri) bersalaman dengan Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian antara LHDN dan UUM di Cyberjaya semalam.


CYBERJAYA – Sebanyak 100,178 individu dan syarikat telah disenarai hitam sekali gus dikenakan perintah sekatan perjalanan ke luar negara oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana gagal menjelaskan bayaran cukai pendapatan.
Ketua Eksekutif LHDN, Tan Sri Dr. Mohd. Shukor Mahfar berkata, jumlah cukai pendapatan yang gagal dibayar itu melibatkan RM2.5 bilion hingga 31 April lalu.
“Pembatalan sekatan hanya boleh dibuat sekiranya pembayar cukai terbabit menjelaskan kesemua amaun cukai yang tertunggak,” katanya selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian antara LHDN dan Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0522&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz3aoiHHIF2 
Hakcipta terpelihara 

Mengaku curi wang mangsa MH370



NUR SHILA (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas dijatuhi hukuman penjara semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang bekas pegawai bank HSBC dipenjara enam tahun oleh Mahkamah Se­syen di sini semalam atas 12 pertuduhan mencuri wang dari akaun empat pelanggannya yang merupakan mangsa tragedi pesawat Penerbangan Malaysia MH370, memalsukan dokumen dan menipu penye­lianya antara Mei hingga Julai tahun lalu.
Hakim Norsharidah Awang membuat keputusan itu sehari selepas mahkamah sama menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan tiga sebatan ke atas suami tertuduh, Basheer Ahmad Maula Sahul Hameed (gambar kecil), 34, kelmarin kerana mencuri wang salah seorang daripada empat pelanggan itu tahun lalu.
Tertuduh, Nur Shila Kanan, 34, yang mengaku bersalah pada 28 April lalu kelihatan sebak sebaik hukuman dijatuhkan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0522&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz3aohtGugv 
Hakcipta terpelihara 

400,000 liter minyak tumpah



BEBERAPA pekerja membersihkan lapisan minyak akibat tumpahan minyak di sebuah perairan di Santa Barbara, Los Angeles baru-baru ini.


LOS ANGELES – Gabenor California mengisytiharkan darurat ketika pekerja bertungkus-lumus menghentikan tumpahan dan membersihkan beberapa pantai popular selepas beribu-ribu liter minyak mentah mencemari air laut akibat saluran paip minyak pecah.
Sehari selepas tumpahan berlaku dekat Santa Barbara, barat daya Los Angeles, pasukan Pengawal Pantai Amerika Syarikat berkata, lapisan minyak mentah sejauh 14 kilometer jelas kelihatan di perairan Lautan Pasifik.
Kemalangan itu menyebabkan Gabenor Edmund Brown mengisytiharkan darurat di Santa Barbara kelmarin bagi mempercepatkan penghantaran beberapa pasukan khas untuk membersihkan tumpahan berbahaya itu.
“Kami akan melakukan apa sahaja yang perlu untuk melindungi perairan California,” kata Brown sejurus sebelum perisytiharan darurat.
Sejumlah pekerja menggunakan pencakar, trak dan pelapik untuk membersihkan lapisan minyak yang melitupi pasir Pantai Refugio di mana sebuah kem riadah telah dikosongkan.
Tumpahan itu dianggarkan mencecah 400,000 liter dengan sekitar 8,000 liter minyak mentah berkemungkinan bocor ke dalam laut, menurut pihak berkuasa setakat tengah hari kelmarin.
Kemalangan pada Selasa lepas itu dipercayai berpunca daripada saluran paip bawah laut milik Plains All American Pipeline yang pecah.
Saluran paip berdiameter 60.9 sentimeter itu dibina untuk menghantar minyak mentah dari sebuah fasiliti simpanan ke beberapa loji penapisan minyak di selatan California.
Saluran paip itu boleh mengangkut lebih 19,000 liter minyak mentah pada setiap sejam. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0522&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3aof0eEeU 
Hakcipta terpelihara 

Sindiket tumpas, dadah RM227,000 dirampas


KUALA LUMPUR 21 Mei - Polis melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah berikutan penangkapan tujuh lelaki dan seorang wanita dengan pelbagai jenis dadah yang bernilai RM227,000 dalam dua serbuan berasingan di sekitar Brickfields dan Sentul minggu lalu. 
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md. Isa berkata, kesemua individu tersebut ditahan hasil risikan dan tindakan pantas Jabatan Siasatan Narkotik Kuala Lumpur sejak awal tahun ini. - UTUSAN ONLINE

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/sindiket-tumpas-dadah-rm227-000-dirampas-1.94254#sthash.mFeVwksM.dpuf

Pengedar guna sistem tukar dadah dengan barang curi


WAN MOHD. ZAHARI WAN BUSU (tengah) menunjukkan dadah dan barangan

WAN MOHD. ZAHARI WAN BUSU (tengah) menunjukkan dadah dan barangan yang dirampas daripada suspek di IPD Raub, Pahang, semalam. UTUSAN/ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
RAUB 21 Mei – Seorang lelaki bukan sahaja menjadi perosak masyarakat menerusi aktiviti pengedaran dadah, malah turut menjadi punca kepada kegiatan pecah rumah di daerah ini.
Selain menjual dadah secara tunai, lelaki berusia 50-an itu turut menggunakan sistem tukar barang dalam aktiviti haram menukar bekalan dadah dengan hasil barangan daripada kegiatan pecah rumah.
Namun, kegiatan lelaki itu berakhir setelah ditahan dalam serbuan polis kelmarin.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, serbuan kira-kira pukul 2.30 pagi itu dibuat hasil risikan dan intipan anggotanya serta maklumat awam.
“Semasa serbuan dilakukan, lelaki berkenaan cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan. Pemeriksaan di dalam rumah suspek menjumpai 248.09 gram heroin, Eramin 5 (18.16 gram), syabu dalam peket (1.01 gram) dan syabu dalam straw (0.96 gram ) serta alat penimbang digital.
“Kita juga menemui pelbagai barangan disyaki curi seperti 28 telefon bimbit, dua unit komputer riba, tiga kamera dan dua kad pe­ngenalan individu lain serta sebuah beg mengandungi wang tunai berjumlah RM6,440,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, Asisten Superintenden Yusof Kames @ Safiee dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Asisten Superintenden Mohd. Hafiz Jehangir Shah.
Menurut Wan Mohd. Zahari, hasil soal siasat terhadap lelaki itu kemudian membawa kepada penahanan dua lagi suspek dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah dan memiliki dadah mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Beliau memberitahu, kejayaan penahanan tiga suspek berkenaan menyelesaikan enam kes pecah rumah di daerah ini sejak dua tahun lalu.
Katanya, siasatan awal mendapati kesemua suspek positif dadah dan suspek utama mempunyai 13 rekod jenayah sejak tahun 1980-an.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/pengedar-guna-sistem-tukar-dadah-dengan-barang-curi-1.94350#sthash.IWXLPGWF.dpuf

Op Warta: 640 pemilik 
waran tangkap ditahan


Mohd. Fuad Abd. Latiff

Mohd. Fuad Abd. Latiff
KUALA LUMPUR 21 Mei – Seramai 640 pemilik waran tangkap ditahan dalam tempoh tiga hari Op Warta dilaksanakan di seluruh negara ber­mula Selasa lalu.
Daripada jumlah itu, seramai 200 in­dividu dibawa ke mahkamah untuk tujuan pendakwaan manakala 440 lagi dibebaskan dengan jaminan.
Ketua Trafik Pasukan, Datuk Mohd. Fuad Abd. Latiff berkata, berdasarkan statistik, Selangor menca­tat jumlah tangkapan tertinggi iaitu 173 orang, diikuti Kedah (82), Melaka (79), Pulau Pinang (75), Negeri Sembilan (48) dan Johor (43).
Menurutnya, Perak pula menca­tatkan jumlah tangkapan sebanyak 42 orang sementara Pahang (25), Kelantan (22), Terengganu (16), Sabah (16), Perlis (13), Kuala Lumpur (empat) dan Sarawak (dua).
“Daripada jumlah itu, pesalah trafik di Selangor paling ramai dituduh mahkamah ia­itu se­ramai 74 orang,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Fuad mem­beritahu, dalam tem­poh tiga hari itu juga, seramai 2,547 pemilik waran tangkap aktif juga hadir ke balai polis untuk menyerah diri.
Op Warta dimulakan sejak Selasa lalu selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi peluang selama dua minggu kepada pesalah trafik yang memiliki waran tangkap untuk menyelesaikannya sejak awal bulan ini.
Empat negeri iaitu Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak dan Ne­geri Sembilan dikesan mempunyai rekod waran tangkap tertinggi manakala Labuan pula yang terendah.
Jumlah keseluruhan waran tangkap yang masih belum diselesaikan adalah 1.59 juta.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/op-warta-640-pemilik-8232-waran-tangkap-ditahan-1.94352#sthash.pruqTbpk.dpuf

Polis tembak mati anggota kongsi gelap


PEGAWAI dan anggota polis mengusung mayat seorang lelaki yang

PEGAWAI dan anggota polis mengusung mayat seorang lelaki yang dipercayai anggota kongsi gelap Sio Sam Ong yang ditembak mati di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam. Utusan/Sazali Che Din
BUKIT MERTAJAM 21 Mei – Polis menembak mati seorang anggota kongsi gelap Sio Sam Ong beberapa jam selepas dia membunuh rakannya dalam satu pergaduhan di sebuah pusat hiburan G7 di Taman Sri Rambai, dekat sini awal pagi ini.
Lelaki berusia 40 tahun itu ditembak setelah dia melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis ketika bersembunyi di sebuah depoh minyak kira-kira 500 meter dari pusat hiburan berkenaan pada pukul 5.35 pagi.
Polis enggan memberi identiti suspek sementara mangsa yang maut ialah Cheah Kwong Hoay, 30.
Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, dalam kejadian pukul 2.30 pagi, suspek yang menaiki sebuah kereta telah memasuki pusat hiburan berkenaan.
Beliau berkata, suspek kemudian keluar dari pusat hiburan itu bersama-sama mangsa dan berlaku pergaduhan.
Ujarnya, dalam pergaduhan itu, suspek yang bersenjatakan pistol semi automatik telah melepaskan lima das tembakan dan tiga das mengenai dada kiri serta perut mangsa.
“Selepas itu suspek melarikan diri dan bersembunyi di sebuah depoh minyak berhampiran. Sepasukan anggota polis yang mendapat maklumat telah mengepung depoh berkenaan pada pukul 4 pagi.
“Suspek maut semasa berbalas tembak dengan polis,” katanya di tempat kejadian di sini hari ini.
Abdul Rahim memberitahu, pihaknya tidak menolak kemungkinan suspek bergaduh dengan mangsa kerana dadah.
Menurutnya, siasatan polis mendapati suspek yang baru keluar dari Penjara Taiping dua bulan lalu mempunyai tiga rekod jenayah termasuk bunuh manakala mangsa pula mempunyai tiga rekod kesalahan berkaitan dadah.
Tambahnya, setakat ini, polis menyelesaikan tiga kes tembak di negeri ini termasuk dua kes pada 12 dan 13 Mei lalu masing-masing di Mak Mandin serta di Jalan Kubur di Butterworth.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/polis-tembak-mati-anggota-kongsi-gelap-1.94382#sthash.DjVKRW26.dpuf