Search This Blog

Wednesday, May 20, 2015

Badan terbelah dua digilis tren komuter

Kuala Lumpur: Seorang wartawan sebuah akhbar berbahasa Tamil maut dalam keadaan mengerikan apabila badannya terbelah dua akibat digilis tren komuter.
Dalam kejadian jam 9 pagi semalam, mayat mangsa, K Anamalay, 67, ditemui orang ramai di landasan berhampiran Stesen Komuter Batu Kentonmen, Jalan Ipoh, di sini.
Kematian mangsa menimbulkan tanda tanya berikutan mangsa yang juga wartawan akhbar Tamil Malar dalam perjalanan ke tempat kerja dengan berpakaian kemas.
Difahamkan sebelum kejadian itu, mangsa sempat bersarapan bersama rakannya di sebuah restoran di Jalan Ipoh sebelum masing-masing menuju ke tempat kerja.
Seorang kenalan mangsa yang enggan dikenali berkata, mangsa tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik atau mengadu berdepan dengan masalah.
“Mendiang tinggal seorang diri di sebuah rumah di Jalan Ipoh.
“Kami benar-benar terkejut dengan kejadian itu apatah lagi dikhabarkan dia maut dalam keadaan demikian,” katanya.
Sementara itu, sumber Kereta api Tanah Melayu Berhad (KTMB) berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 9.15 pagi sebelum menghantar pasukan KTMB ke lokasi untuk siasatan.
“Berdasarkan soal siasat terhadap pemandu tren, mangsa didakwa tiba-tiba terjun ke landasan dari platform dua.
“Bagaimanapun, siasatan lanjut sudah diserahkan kepada pihak polis bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2015 @ 6:41 AM


MANGSA yang berpakaian kemas maut dilanggar komuter.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/52120#sthash.yPhMTDVb.dpuf

Taruh nyawa selamatkan isteri

Kuala Lumpur: Pensyarah jabatan al-Quran dan al-Hadis, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Fauzi Deraman, menerima lapan jahitan di kepala selepas ditetak dua lelaki yang cuba menyamun isterinya di hadapan rumahnya di Jinjang, kira-kira 11 pagi tadi.
Dalam kejadian berkenaan, Fauzi yang juga penceramah bebas ditetak kumpulan terbabit selepas berusaha menyelamatkan isterinya yang diserang kumpulan itu.
Menurut sumber, dua penjenayah itu dilapor menaiki motosikal jenis Yamaha 125Z sebelum menyerbu masuk ke rumah mangsa.
"Biarpun mangsa cuba untuk menutup pintu rumahnya namun dia gagal sebelum seorang daripada suspek cuba merampas gelang tangan milik isterinya.
"Fauzi yang cuba menyelamatkan isterinya itu bergelut dengan seorang penjenayah sebelum rakan suspek menetak kepalanya menggunakan parang.
"Dua suspek kemudian melarikan diri bersama gelang tangan itu sebelum Fauzi dibawa jirannya ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2015 @ 4:45 PM


FAUZI cedera ditetak ketika bergelut dengan penjenayah. FOTO Shahrul Redzuan Zulkifli
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/52316#sthash.tAO1xQKr.dpuf

‘Syukurlah ibu ditahan’

Alor Setar: “Saya bersyukur rumah kami diserbu polis dan menahan ibu yang menagih dadah sejak saya kecil dan tidak pernah mengambil tahu soal makanan atau pakaian kami.
“Paling saya tidak suka apabila ibu membawa rakannya dan menggunakan ruang atas rumah kami sebagai tempat melepaskan gian.” Itu kata-kata syahdu remaja perempuan berusia 13 tahun yang juga anak sulung daripada enam beradik selepas polis dan staf Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyerbu rumah usang dihuni keluarganya, di Kampung Batu Enam, Kuala Kedah, di sini, jam 8.45 malam tadi.
Kehadiran anggota polis dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu benar-benar menjadi rahmat kepada kepada remaja berkenaan dan lima adiknya yang masih kecil.
Ini kerana, enam beradik berusia tiga hingga 13 tahun itu hidup melarat sejak sekian lama akibat diabaikan ibu mereka yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah jenis syabu.
Ketika diserbu, ibu mereka yang berusia 38 tahun itu berada di rumah, namun bapa mereka berusia 42 yang bekerja sebagai buruh belum pulang daripada bekerja.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2015 @ 7:33 AM


TIGA daripada enam anak yang tidak dipedulikan ibu mereka.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/52132#sthash.Lni3HzEc.dpuf

Haram goyang dribel

Jakarta: Suruhanjaya Penyiaran Indonesia (KPI) mengharamkan tarian goyang dribel yang dipopularkan oleh kumpulan dangdut, Duo Serigala daripada ditayangkan di televisyen kerana terlalu seksi.
Duo Serigala yang dianggotai Pamela Safitri dan Ovi Sovianti mempopularkan tarian itu yang lebih banyak menggoyangkan bahagian dada.
Pengarah KPI, Agatha Lily berkata, tarian itu mengeksploitasikan bahagian yang tidak layak dan tidak sesuai disiarkan di televisyen.
“Tarian ini nampak buruk di mata masyarakat dan ia juga seperti merendahkan maruah kaum wanita,” katanya.
Ujarnya, banyak perkara lain yang lebih kreatif boleh ditonjolkan oleh artis dan bukan hanya menggoyangkan bahagian dada sahaja.
“Garis panduan penyiaran melarang eksploitasi bahagian dada, paha dan punggung.
“Goyang dribel ini tidak memberi sebarang manfaat,” tegasnya.
Menurutnya, KPI membenarkan Duo Serigala muncul di televisyen tetapi mereka tidak dibenarkan membuat tarian itu.
“Kami tetap memberi ruang untuk mereka tetapi tidak boleh mengeksploitasi bahagian tubuh.
“Saya berharap mereka mencari potensi diri mereka yang lebih positif,” jelasnya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2015 @ 11:05 AM


ANGGOTA Duo Serigala, Ovi dan Pamela (kiri).
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/52242#sthash.tFUuHJyX.dpuf

Tukul kepala tak patuh lampu isyarat

Qindao (China): Seorang sukarelawan yang membantu mengawal lalu lintas di bandar di wilayah Shandong menyerang seorang wanita dengan tukul besi kerana mangsa tidak mematuhi lampu isyarat ketika waktu puncak.
Kedua-duanya sebelum itu bergaduh selepas pembantu trafik berkenaan menegur wanita itu yang cuba melintas di persimpangan yang sibuk ketika lampu merah.
Sukarelawan berkenaan kemudian mengeluarkan tukul besi dan mengetuk kepala mangsa.
Dia melakukannya berulang kali sehingga mangsa rebah.
Sukarelawan itu tidak melarikan diri dari tempat kejadian, sebaliknya menjerit berulang kali kepada orang ramai: “Saya tidak akan membenarkan sesiapa melanggar lampu merah.”
Menurut akhbar Shanghai Daily, mangsa dibawa ke hospital dan kecederaan yang dialaminya tidak membahayakan nyawanya.
Sukarelawan berkenaan pula ditahan polis untuk disoal siasat.
Tidak mematuhi peraturan lalu lintas menjadi masalah besar di China.
Beberapa bandar raya termasuk Changsha, Shijiazhuang dan Shanghai berusaha menangani masalah itu dengan memalukan pesalah di khalayak ramai.
Beberapa pihak berkuasa tempatan juga mengupah kumpulan sukarelawan bagi membantu polis melaksanakan peraturan jalan raya.
Bagaimanapun, kejadian di Qingdao, semalam dianggap melampau. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2015 @ 12:30 PM


GAMBAR kiri menunjukkan pembantu trafik (bertopi merah) ditahan polis sementara gambar kanan, keadaan wanita yang diserang dengan tukul besi.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/52050#sthash.KdGjFOly.dpuf

Kusangka jamban...


Agensi
Beijing: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun terpaksa dikejarkan ke hospital selepas direnjat akibat membuang air kecil di pencawang elektrik di wilayah Shaanxi.
Ayah kanak-kanak itu dikenali sebagai Fang berkata mangsa, Hao Hao yang datang melawatnya di Xi’an tiba-tiba rasa mahu membuang air ketika menunggu bas dan memilih struktur berkenaan kerana disangka tandas awam.
Malangnya ‘jamban’ itu sebenarnya pencawang elektrik 10,000 volt yang ditutup kain, tidak ubah seperti langsir tingkap.
“Dua minit selepas dia meninggalkan saya untuk ke tandas saya terdengar bunyi menggeresek sebelum melihat asap dari arahnya.
“Saya terus lari ke situ namun Hao Hao sudah terbaring dan sebahagian badannya terbakar. Saya terus mengoyakkan bajunya dan menghentikan teksi untuk membawanya ke hospital,” katanya ketika ditemui.
Pemandu teksi bernama He berkata, dia melanggar empat lampu merah ketika dalam perjalanan ke hospital semata-mata mahu memastikan Hao Hao dapat diselamatkan.
Kanak-kanak malang itu masih dalam keadaan kritikal selain mengalami lecuran teruk di seluruh badannya.
Otot dan saraf tangan kirinya juga rosak teruk menyebabkan anggota badannya itu terpaksa dipotong.
“Kami cuma orang kampung. Mungkin pada anak saya, perbuatan kencing di tepi jalan tidak sopan. Namun dia hanya budak, manalah dia tahu tempat itu sebenarnya pencawang elektrik?” kata Fang.
Polis masih menyiasat kejadian.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/52247#sthash.QHoTW6HC.dpuf

11 polis cuai

Kabul: Sebelas polis Afghanistan semalam dipenjara setahun kerana gagal melindungi seorang guru agama wanita yang mati dibunuh orang ramai selepas difitnah membakar al-Quran.
Hakim Safiullah Mojaddidi menjatuhkan keputusan dalam perbicaraan yang dilakukan secara segera rentetan empat lelaki dihukum mati dan lapan lagi dipenjara 16 tahun pada 6 Mei lalu atas pembunuhan kejam guru agama, Farkhunda, 27, dalam prosiding yang disiarkan secara langsung rangkaian televisyen tempatan.
“Akibat kecuaian dalam melaksanakan tanggungjawab, saya perintahkan kamu dipenjara setahun. Keputusan ini bukan muktamad kerana kamu mempunyai hak untuk membuat rayuan,” katanya.
Farkhunda dibelasah orang ramai sebelum mayatnya dibakar di tebing Sungai Kabul. Seramai 49 orang ditahan susulan kejadian itu termasuk 19 anggota polis apabila ada antara mereka dirakamkan hanya memandang ketika mangsa diserang.
Rakaman itu kemudian tersebar meluas di Internet.
Tragedi itu dipercayai berlaku selepas seorang penjual tangkal yang ditegur Farkhunda kerana mengamalkan syirik memfitnah mangsa dengan mendakwa dia membakar senaskhah quran.
Pembunuhan Farkhunda mencetuskan bantahan di seluruh Afghanistan selain menarik perhatian dunia kepada layanan terhadap wanita di negara itu.
Semua perbicaraan kes ini mendapat pujian kerana diselesaikan dengan cepat, namun tidak kurang juga mempertikaikan sejauh mana keadilan prosiding.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2015 @ 11:12 AM


AHLI keluarga Farkhunda menghadiri prosiding semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/52249#sthash.few7j8Uh.dpuf

Ajal dilenyek tembok runtuh

Lanzhou (China): Dua terbunuh manakala tujuh lagi mengalami kecederaan teruk selepas dinding berukuran 20 meter panjang runtuh di wilayah Gansu, semalam.
Satu daripada mangsa yang tertimbus dengan bata mati di tempat kejadian dan seorang lagi meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.
Tujuh lagi mangsa yang terperangkap di bawah dinding berjaya diselamatkan dan sedang menerima rawatan.
Struktur yang runtuh itu adalah dinding bahagian luar kompleks penduduk di bandar di daerah Xigu.
Sehingga kini polis masih menyiasat punca kejadian berkenaan.
Runtuhan itu disyaki berpunca daripada angin kuat yang menolak struktur besi lalu menyebabkannya goyah dan runtuh.
Rakaman CCTV menunjukkan insiden itu berlaku apabila dinding bata tiba-tiba runtuh ke atas sembilan pejalan kaki termasuk dua kanak-kanak yang sedang berjalan di sebelahnya.
Selain itu, rakaman berkenaan turut menunjukkan penduduk tempatan berusaha menyelamatkan mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan itu. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2015 @ 11:10 AM


ORANG ramai dan anggota penyelamat mencari mangsa di dalam runtuhan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/52246#sthash.deT519Op.dpuf

Wanita mengaku cuba perkosa jiran lelaki


Washington: Seorang wanita mengaku bersalah di sebuah mahkamah di sini kelmarin atas tuduhan cuba merogol seorang lelaki yang juga jirannya dua tahun lalu.
Chantae Gilman, 28, didakwa atas tuduhan menyerang dan cubaan merogol lelaki itu selepas menceroboh kediaman mangsa pada Jun 2013.
Menurut laporan mangsa, dia sedang tidur di katilnya sebelum terkejut apabila mendapati wanita seberat hampir 100 kilogram itu sedang menindihnya.
Mangsa yang ketakutan meminta Chantae keluar tetapi wanita itu enggan dan cuba merogolnya.
Ibu kepada dua anak itu kemudiannya memegang tangan mangsa dan mengarahkan lelaki berkenaan supaya diam.
Bagaimanapun, mangsa yang dirahsiakan identitinya berjaya melepaskan diri dan menghalau wanita itu keluar dari rumahnya.
Mangsa kemudiannya membuat laporan polis kerana bimbang dengan keselamatannya.
Chantae ditahan dan didakwa di mahkamah selepas polis menemui DNA wanita itu pada badan lelaki berkenaan.
Hukuman terhadap wanita itu akan diputuskan mahkamah pada 19 Jun ini. - Agensi
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/52232#sthash.GfHGSDkT.dpuf

Empat Lelaki Curi Kereta Mewah RM2.8 Juta


Diterbitkan: Rabu, 20 Mei 2015 5:46 PM
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Empat lelaki pada Rabu dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mencuri pelbagai jenis kereta mewah bernilai RM2.8 juta, di sebuah bengkel, April lalu.
Semua tertuduh, penjual aksesori kereta, Chan Yung Ting, 24; jurujual pemasaran alat ganti telefon, Lee Kek Keong, 40; peniaga alatan perabot, Leong Beng Hoe, 37 dan pekerja bengkel kereta, Adrian Tan Chin Teong, 37, mengaku tidak bersalah.
Mereka bersama tiga lagi individu yang masih bebas didakwa mencuri pelbagai jenis kereta mewah jenama Porsche Panamera, Toyota Vellfire, Bently Continental GT, Range Rover Evoque dan Audi A5 di bengkel kereta Syarikat IMS Motorsport (KL) Sdn Bhd.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di No.21 Jalan Empat Off Jalan Chan Sow Lin, Cheras, di sini pada pukul 9.10 pagi, 19 April lalu.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Keempat-empat tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan pecah bengkel kereta dan curi waktu siang hari pada tarikh, waktu dan lokasi yang sama.
Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mencuri kesemua kereta itu termasuk sebuah CPU komputer, alat 'auto land diagnostic', sebuah notebook, vas diagnosis tester, dan 24 anak kunci pelbagai jenis kenderaan milik pelanggan bengkel itu mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya N. Joy Jothi tidak menawarkan sebarang wang jaminan namun jika mahkamah membenarkannya, beliau memohon ditetapkan jaminan yang tinggi dengan mengambil kira jumlah kerugian yang dialami mangsa.
Ketika rayuan, peguam Liow Boon Lee yang mewakili tiga tertuduh iaitu Chan, Lee dan Leong memohon mahkamah mempertimbangkan jaminan dengan alasan tidak ada sebarang keganasan yang berlaku dalam kes tersebut selain ketiga-tiga tertuduh juga merupakan penanggung utama keluarga.
Peguam Nasirudin Nordin yang mewakili tertuduh keempat iaitu Adrian juga memohon mahkamah membenarkan jaminan dan bersedia untuk menerima sebarang syarat tambahan jika diperintahkan.
Majistret Erry Shahriman Nor Aripin membenarkan keempat-empat tertuduh diikat jamin RM20,000 setiap seorang dengan seorang penjamin warganegara Malaysia bagi pertuduhan pertama dan RM10,000 masing-masing dengan seorang  penjamin warganegara Malaysia bagi pertuduhan kedua.
Erry Shahriman turut menetapkan syarat tambahan iaitu pasport kesemua tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap sebulan sekali.
Mahkamah menetapkan 18 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Bayi Lelaki Ditemukan Dibuang Di Belakang Rumah


Diterbitkan: Rabu, 20 Mei 2015 5:29 PM
Gambar hiasan

KUANTAN: Seorang bayi lelaki ditemukan dibuang di belakang sebuah rumah di Taman Datuk Rashid, dekat sini malam tadi, menurut polis.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Abdul Aziz Salleh berkata bayi seberat lebih dua kilogram itu ditemukan dalam keadaan sihat dengan dibalut sehelai kain kira-kira pukul 12.10 tengah malam oleh orang awam.

Susulan penemuan bayi itu seorang wanita berusia 20-an dipercayai ibu bayi malang itu telah ditahan polis untuk siasatan, katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Beliau berkata hasil soal siasat, wanita itu mengakui menjalin hubungan terlarang dengan teman lelakinya yang tinggal di Chengal Lempong, Beserah, dekat sini.

Katanya, bayi dan wanita itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk pemeriksaan kesihatan.
Abdul Aziz berkata kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Apartment Sembilan Tingkat Di China Runtuh Dalam Beberapa Saat


Diterbitkan: Rabu, 20 Mei 2015 8:44 PM
-foto AFP

SEBUAH apartment sembilan tingkat di barat daya China yang didiami 35 keluarga runtuh dalam  masa beberapa saat.

Runtuhan berlaku pada pukul 11.30 pagi waktu tempatan di wilayah Guizhou.

Operasi menyelamat telah dijalankan tetapi setakat ini bilangan mangsa masih belum diketahui.

Sekurang-kurangnya lima daripada 114 penduduk hilang dan pihak berkuasa masih menyiasat tentang di mana 21 penduduk yang lain berada.

Laporan tempatan menunjukkan bahawa runtuhan tersebut berlaku akibat tanah runtuh.

Penduduk lain di kawasan itu kini telah dipindahkan.

Menurut laporan tempatan, tanah runtuh di atas bukit di sebelah bangunan itu berkemungkinan menyebabkan apartment tersebut runtuh berikutan hujan lebat selama seminggu di rantau ini.


Seorang penduduk dari blok bersebelahan apartmen yang tidak mahu dinamakan, berkata: "Seluruh struktur bangunan telah runtuh."

"Saya berada di bilik mandi dan saya mendengar bunyi yang kuat. Saya fikir ia adalah gempa bumi."

Seorang ejen hartanah tempatan, yang hanya mahu dikenali sebagai Zhang berkata: "Runtuhan itu mungkin telah disebabkan oleh tanah runtuh."

"Berlaku hujan lebat baru-baru ini dan banyak tempat yang dinaiki air.'

Masih belum jelas sama ada terdapat sebarang kecederaan.

Lelaki Simpan Lebih 1,000 Telur Curi Dalam Peti Sejuk


Diterbitkan: Rabu, 20 Mei 2015 7:42 AM

AKTIVITI mencuri yang dilakukan seorang lelaki terbongkar apabila dikesan menyimpan lebih 1,000 telur yang dicuri dari tempat kerja, di dalam peti sejuknya.
Portal Mirror melaporkan pengawal keselamatan itu yang dikenali sebagai Gu ditahan kerana 'menyeludup' keluar dua beg dari kilang makanan di tempat dia bekerja di Pinghua City, China.
Polis kemudiannya menemui lebih 1,000 telur di dalam peti sejuknya dengan kesemuanya disusun mengikut tarikh guna.
Mereka turut menemui daging, sabun, kota tisu dan botol pencuci.
Gu akhirnya mengaku mencuri sambil menjelaskan bahawa dia "amat menyukai telur".
Dia berkata: "Saya tidak terkira berapa banyak saya telah curi. Mungkin beratus kali."
Seorang jurucakap bagi kilang itu berkata: "Kami amat terkejut seperti mereka yang lain kerana ia dilakukan oleh pengawal keselamatan.
"Kami fikirkan dia seorang pekerja yang rajin dan lebih gemar bertugas pada waktu malam kerana dia tidak mempunyai keluarga.
"Sekarang kami tahu dia berbuat demikian supaya dia boleh mencuri tanpa dikesan sesiapa." - MIRROR

Pramugara Dipenjara 5 Tahun Seludup Pasport Palsu Pada Seluar Dalam


Diterbitkan: Rabu, 20 Mei 2015 7:59 AM
Seluar dalam yang mempunyai poket simpanan khas untuk menyembunyikan pasport palsu dan dokumen pengenalan diri lain.

SEORANG pramugara dipenjara lima tahun selepas didapati bersalah menyeludup pasport palsu yang disembunyikan pada seluar dalamnya.
Portal Mirror melaporkan Shaukat Ali Cheema, 59, ditahan menyeludup 26 pasport, 37 muka surat biodata pasport dan 13 lesen memandu pada seluar dalamnya.
Pegawai berkuasa sempadan menahan pramugara bagi sebuah syarikat penerbangan di Pakistan sewaktu dia melalui pemeriksaan kastam di Lapangan Terbang Birmingham, United Kingdom pada 22 Mac lalu.
Memetik laporan Birmingham Mail, kesemua dokumen itu disimpan di dalam poket simpanan khas yang dijahit pada seluar dalamnya.
Chema berhadapan dengan tujuh pertuduhan kerana memiliki dokumen pengenalan diri yang palsu dengan tujuan tidak baik.
Pramugara itu telah berkhidmat dengan syarikat penerbangan tersebut selama 40 tahun, mengaku bersalah dan disabitkan hukuman di Mahkamah Birmingham Crown. - MIRROR

Mata Tertusuk Paku


Diterbitkan: Rabu, 20 Mei 2015 11:23 AM

SEORANG lelaki yang tidak dikenali dianggap sebagai individu bertuah di muka bumi ini apabila terselamat daripada kejadian paling ngeri dalam hidupnya.
Lelaki berusia 27 tahun itu yang merupakan seorang pekebun landskap mengalami kemalangan apabila sebatang paku berukuran tiga inci tertusuk ke dalam matanya semasa menggunakan mesin pemotong rumput.
Pakar bedah Neuro Hospital Massachusetts Boston, Dr. Wael Asaad berkata, mata paku tersebut berada sangat hampir dengan otak lelaki ITU.
"Kami bimbang sekiranya menarik keluar paku itu, pendarahan teruk akan berlaku sehingga boleh mengakibatkan kematian," katanya.
Bagaimanapun, segalanya berjalan lancar apabila lelaki tersebut berjaya mengharungi pembedahan selama berjam-jam, malah turut dibenarkan pulang ke rumah selepas itu.
Enam minggu kemudian, lelaki itu kembali ke hospital dan tanpa diduga, keajaiban berlaku apabila penglihatannya semakin beransur pulih.
Dr. Assad memberitahu, bahawa kes yang berlaku pada dua tahun lalu itu diselitkan ke dalam edisi terbaharu 'Jurnal Perubatan New England' sebagai salah satu kajian kes.

Didakwa curi kereta mewah bernilai RM2.8 juta

Mahkamah

KUALA LUMPUR - Empat lelaki hari ini dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mencuri pelbagai jenis kereta mewah bernilai RM2.8 juta, di sebuah bengkel, April lalu.
  
Semua tertuduh, penjual aksesori kereta, Chan Yung Ting, 24; jurujual pemasaran alat ganti telefon, Lee Kek Keong, 40;  peniaga alatan perabot, Leong Beng Hoe, 37 dan pekerja bengkel kereta, Adrian Tan Chin Teong, 37, mengaku tidak bersalah.
  
Mereka bersama tiga lagi individu yang masih bebas didakwa mencuri pelbagai jenis kereta mewah jenama Porsche Panamera, Toyota Vellfire, Bently Continental GT, Range Rover Evoque dan Audi A5 di bengkel kereta Syarikat IMS Motorsport (KL) Sdn Bhd.
  
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di No.21 Jalan Empat Off Jalan Chan Sow Lin, Cheras, di sini pada pukul 9.10 pagi, 19 April lalu.
  
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
  
Keempat-empat tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan pecah bengkel kereta dan curi waktu siang hari pada tarikh, waktu dan lokasi yang sama.
  
Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mencuri kesemua kereta itu termasuk sebuah CPU komputer, alat 'auto land diagnostic', sebuah notebook, vas diagnosis tester, dan 24 anak kunci pelbagai jenis kenderaan milik pelanggan bengkel itu mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
  
Timbalan Pendakwa Raya N. Joy Jothi tidak menawarkan sebarang wang jaminan namun jika mahkamah membenarkannya, beliau memohon ditetapkan jaminan yang tinggi dengan mengambil kira jumlah kerugian yang dialami mangsa.
  
Ketika rayuan, peguam Liow Boon Lee yang mewakili tiga tertuduh iaitu Chan, Lee dan Leong memohon mahkamah mempertimbangkan jaminan dengan alasan tidak ada sebarang keganasan yang berlaku dalam kes tersebut selain ketiga-tiga tertuduh juga merupakan penanggung utama keluarga.
  
Peguam Nasirudin Nordin yang mewakili tertuduh keempat iaitu Adrian juga memohon mahkamah membenarkan jaminan dan bersedia untuk menerima sebarang syarat tambahan jika diperintahkan.
  
Majistret Erry Shahriman Nor Aripin membenarkan keempat-empat tertuduh diikat jamin RM20,000 setiap seorang dengan seorang penjamin warganegara Malaysia bagi pertuduhan pertama dan RM10,000 masing-masing dengan seorang  penjamin warganegara Malaysia bagi pertuduhan kedua.
  
Erry Shahriman turut menetapkan syarat tambahan iaitu pasport kesemua tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap sebulan sekali.
  
Mahkamah menetapkan 18 Jun depan untuk sebutan semula kes. -Bernama

Bekas pengarah Tanjung Offshore ditahan

SPRM

KUALA LUMPUR -  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan seorang bekas pengarah kanan Tanjung Offshore Bhd ditahan bagi membantu siasatan mengenai pembelian syarikat Gas Generators (Malaysia) Sdn Bhd.

"SPRM akan mendapatkan perintah reman esok," kata jurucakap SPRM kepada Bernama ketika dihubungi di sini. - Bernama

25,000 keluarga hilang tempat tinggal

25,000 keluarga hilang tempat tinggal
Ribuan keluarga kini terpaksa melarikan diri akibat keganasan meningkat di bandar Ramadi.

BAGHDAD - IRAQ. Kira-kira 25,000 penduduk terpaksa melarikan diri selepas kumpulan militan IS meningkatkan serangan mereka di wilayah Anbar.

Kelmarin, jurucakap pejabat PBB memaklumkan kebanyakan daripada mereka kini menuju ke ibu negara selepas keganasan semakin meningkat di bandar Ramadi.

"Tiada apa yang lebih penting daripada membantu penduduk untuk melarikan diri dari bandar terbabit. Mereka kini berada dalam kesusahan dan kita perlu melakukan segala yang termampu untuk membantu mereka," kata penyelaras kemanusiaan PBB, Lise Grande.

Grande turut menggesa masyarakat antarabangsa supaya menyalurkan bantuan kepada agensi utama termasuk Program Makanan Sedunia (WFP), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNCHR).

"Ribuan penduduk terpaksa tidur di kawasan lapang kerana mereka tiada tempat untuk berlindung. Bantuan orang ramai sekurang-kurangnya dapat meringankan penderitaan mereka," jelasnya lagi.
Ahad lalu, jurucakap gabenor wilayah Anbar mengumumkan bahawa Ramadi kini berada di bawah cengkaman IS sepenuhnya. - Press TV

Pemuda leka bergambar lemas dibawa ombak


Bandung: Kerana terlalu asyik bergambar di tepi pantai seorang pemuda mati lemas selepas dilanda ombak besar di pantai Karang Paranje, dekat sini.
Jurucakap polis, Pudjo Hartono berkata, kejadian pada jam 4.30 petang (waktu tempatan itu) menyebabkan Devi Mihfaudin, 20, mati akibat lemas.
“Ketika mangsa sedang asyik bergambar di tepi pantai tiba-tiba datang ombak besar dari belakangnya dan terus mengheret lelaki itu ke laut,” katanya.
Ujarnya, ahli keluarga mangsa dan pengunjung lain cuba menyelamatkan lelaki itu tetapi gagal.
“Mayat mangsa ditemui sejam selepas kejadian oleh pasukan penyelamat yang dibantu penduduk setempat.
“Mangsa ditemui tidak bernyawa tidak jauh dari lokasinya hilang,” jelasnya.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke hospital untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian. - Agensi
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/52042#sthash.HQWbK4ZI.dpuf

Jokowi arah tenggelam 30 kapal nelayan asing


Jakarta: Indonesia akan menenggelamkan 30 kapal nelayan yang ditangkap menangkap ikan secara haram di perairan negara itu dalam masa terdekat.
“Kita akan menenggelamkan 30 kapal tidak lama lagi,” kata Presiden Joko Widodo (Jokowi) di depan sekumpulan penyanyi dan pencipta lagu di Istana Presiden, semalam.
Jokowi yang popularitinya menurun kepada paras paling rendah baru-baru ini kesan daripada pengurusan buruknya, menyalahkan pegawai bawahannya dalam melaksanakan perintah menenggelamkan bot berkenaan.
“Sebelum ini, saya terpaksa mengulangi arahan sebanyak tiga kali sebelum mereka akhirnya bersetuju menenggelamkan kapal itu,” katanya.
Indonesia menenggelamkan lebih 12 kapal nelayan dari Vietnam, Thailand, Malaysia, Papua New Guinea dan Filipina sejak akhir tahun lalu hingga mencetuskan bantahan diplomatik.
Pihak berkuasa negara itu menahan sekurang-kurangnya lapan kapal nelayan China sejak Disember tetapi sehingga ini masih belum menenggelamkannya akibat tekanan daripada Beijing.
Pegawai mendakwa tindakan menenggelamkan kapal China itu tidak boleh dilakukan serta-merta kerana masih menunggu keputusan mahkamah. - Agensi
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/52043#sthash.m9jKspOp.dpuf

Bot bawa pendatang dihalang di laut

Langsa (Indonesia): Kapal tentera laut Indonesia kelmarin memintas dan menghalang sebuah bot yang dipercayai membawa pendatang asing daripada memasuki perairan negara itu.
Tentera laut Indonesia juga meningkatkan kawalan di perairan negara itu selepas beberapa bot yang membawa beratus-ratus pelarian Rohingya dari Myanmar dan Bangladesh diselamatkan di Aceh.
Hampir 3,000 pendatang asing berenang ke pantai atau diselamatkan selepas bot dinaiki mereka hanyut ke perairan Indonesia, Malaysia dan Thailand sejak beberapa minggu lalu.
Ketiga-tiga negara itu dikritik selepas menghalang bot yang penuh dengan pendatang berkenaan masuk ke wilayah mereka dengan beribu-ribu pelarian lagi masih terkandas di lautan.
Jurucakap tentera Indonesia, Fuad Basya berkata, tentera laut negara itu menghalang sebuah bot daripada memasuki wilayah Indonesia melalui Selat Melaka.
“Selepas berhubung melalui radio kapal itu berpatah balik. Kami tidak menggunakan sebarang kekerasan,” katanya.
Ujarnya, beliau percaya bot itu membawa pendatang tetapi tidak diketahui jumlah mereka,
“Bot itu datang dari arah Malaysia menghala ke wilayah Indonesia.
“Bot itu telah dipintas dan dihalang masuk ke wilayah Indonesia,” ujarnya.
Tentera Indonesia sebelum ini menegaskan, mereka hanya akan membantu bot yang berada dalam keadaan kecemasan sahaja. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2015 @ 12:25 PM


SEORANG kanak-kanak Rohingya tiba dengan bot baru-baru ini dirakam gambarnya untuk tujuan pengenalan di pusat perlindungan sementara di Kuala Langsa, Aceh, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/52045#sthash.xpHR0jBR.dpuf

Ko Tong serah diri

Bangkok: Seorang bekas pegawai kerajaan di Satun, selatan Thailand yang didakwa dalang utama sindiket penyeludupan manusia di wilayah itu menyerah diri kepada pihak berkuasa semalam, kata polis.
Pajjuban Aungkachotephan atau lebih dikenali sebagai Ko Tong dikehendaki pihak berkuasa kerana disyaki terbabit dalam sindiket penyeludupan manusia.
“Suspek menyerah diri kepada polis di Bangkok,” kata jurucakap polis Thailand, Prawut Thavornsiri.
“Polis membawa suspek ke selatan untuk soal siasat dan siasatan lanjut,” tambahnya.
Thailand melancarkan operasi bagi melumpuhkan sindiket penyeludupan manusia selepas penemuan sejumlah kubur pelarian Rohingya dari Myanmar dan Bangladesh di kawasan hutan di selatan negara itu.
Beribu-ribu pelarian ditinggalkan di hutan terpencil oleh sindiket berkenaan dan sebahagian lagi dibiarkan hanyut di dalam bot di Laut Andaman.
Pegawai Thailand termasuk polis dan tentera dituduh sengaja tidak mengambil tindakan dan ada yang bersubahat dengan sindiket berkenaan.
Pajjuban ialah bekas pegawai berpengaruh di Satun, wilayah yang terkenal dengan aktiviti penyeludupan termasuk manusia.
Media tempatan sebelum ini melaporkan Pajjuban menafikan semua dakwaan berkenaan dan menegaskan dia hanya akan memberi keterangan di mahkamah.
Seorang pegawai polis, Puthichart Ekachant memberitahu sebanyak 65 waran tangkap dikeluarkan terhadap individu yang dipercayai terbabit dengan sindiket berkenaan.
“Sehingga kini seramai 31 suspek berjaya ditahan atau menyerah diri termasuk Pajjuban,” jelasnya.
Sekiranya didapati bersalah, Pajjuban berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda sebanyak sejuta baht (RM107,115).
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2015 @ 12:27 PM


KETUA Polis Somyot Pumpunmuang (duduk, dua dari kiri) memperkenalkan Ko Tong (duduk, tengah) kepada wartawan di Bangkok, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/52047#sthash.4kWYFSma.dpuf

Tukul kepala tak patuh lampu isyarat

Qindao (China): Seorang sukarelawan yang membantu mengawal lalu lintas di bandar di wilayah Shandong menyerang seorang wanita dengan tukul besi kerana mangsa tidak mematuhi lampu isyarat ketika waktu puncak.
Kedua-duanya sebelum itu bergaduh selepas pembantu trafik berkenaan menegur wanita itu yang cuba melintas di persimpangan yang sibuk ketika lampu merah.
Sukarelawan berkenaan kemudian mengeluarkan tukul besi dan mengetuk kepala mangsa.
Dia melakukannya berulang kali sehingga mangsa rebah.
Sukarelawan itu tidak melarikan diri dari tempat kejadian, sebaliknya menjerit berulang kali kepada orang ramai: “Saya tidak akan membenarkan sesiapa melanggar lampu merah.”
Menurut akhbar Shanghai Daily, mangsa dibawa ke hospital dan kecederaan yang dialaminya tidak membahayakan nyawanya.
Sukarelawan berkenaan pula ditahan polis untuk disoal siasat.
Tidak mematuhi peraturan lalu lintas menjadi masalah besar di China.
Beberapa bandar raya termasuk Changsha, Shijiazhuang dan Shanghai berusaha menangani masalah itu dengan memalukan pesalah di khalayak ramai.
Beberapa pihak berkuasa tempatan juga mengupah kumpulan sukarelawan bagi membantu polis melaksanakan peraturan jalan raya.
Bagaimanapun, kejadian di Qingdao, semalam dianggap melampau. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2015 @ 12:30 PM


GAMBAR kiri menunjukkan pembantu trafik (bertopi merah) ditahan polis sementara gambar kanan, keadaan wanita yang diserang dengan tukul besi
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/52050#sthash.lDaUWKf2.dpuf