Search This Blog

Tuesday, May 19, 2015

Murid dipanah petir meninggal dunia


MUHAMAD AIMY AHMAD  |  19 Mei 2015 1:36 PM

BATU PAHAT 19 Mei - Murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan Seri Permatang Rengas yang kritikal akibat disambar petir tengah hari semalam meninggal dunia di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini hari ini.
Bapa mangsa, Hairi Mahat, 42, memaklumkan, anaknya Siti Nur Aina, 9, menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 8 pagi.
“Dia mengalami kecederaan parah di kepala tetapi kami masih menunggu laporan penuh pihak hospital dan jenazah akan dikebumikan di kampung kami di Pagoh,” katanya ketika ditemui di HSNI di sini.
Dalam kejadian pukul 12.45 tengah hari semalam, dua orang bapa yang menunggu anak masing-masing di pekarangan sekolah tersebut maut akibat disambar petir. - UTUSAN ONLINE
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/murid-dipanah-petir-meninggal-dunia-1.93554#sthash.nzF2yXug.dpuf

Pengarah Syarikat Disamun Hampir Setengah Juta


Diterbitkan: Isnin, 18 Mei 2015 11:10 PM
Gambar hiasan.

SHAH ALAM: Seorang pengarah sebuah syarikat kerugian hampir setengah juta ringgit selepas disamun sekumpulan lelaki dipercayai warga Amerika Latin di hadapan sebuah gudang di Seksyen 15 di sini petang Isnin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam Supt Ruslan Abdullah berkata kejadian kira-kira 3.20 petang itu berlaku ketika mangsa yang berusia 42 tahun sedang memandu Ford Ranger memasuki kawasan Seksyen 15.
"Secara tiba-tiba tiga lelaki dipercayai warga Amerika Latin yang berada dalam sebuah kereta BMW memberi isyarat kepada mangsa bahawa tayar belakang kenderaan mangsa pancit," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata berikutan itu mangsa memberhentikan kenderaannya bagi memeriksa tayar kenderaan berkenaan.
"Ketika mangsa memberhentikan kenderaannya, seorang daripada suspek telah membuka pintu kenderaan mangsa sebelum melarikan beg milik mangsa yang diletakkan di tempat duduk bahagian belakang pemandu," katanya.
Ruslan berkata sebelum kejadian, mangsa dilaporkan telah mengeluarkan wang tunai berjumlah RM449,000 dari sebuah bank di Subang Jaya.
Katanya selain wang tunai, suspek turut melarikan sebuah telefon bimbit, sebuah komputer riba dan beberapa dokumen penting dari kenderaan mangsa.
"Susulan kes ini, kita telah membuka kertas siasatan bagi mengenal pasti identiti sekali gus mengesan kumpulan suspek tersebut.

"Siasatan lanjut juga dibuat bagi menyiasat sama ada suspek telah mengekori mangsa ketika mangsa mengeluarkan wang tunai di Subang Jaya," katanya.

Petugas Media Maut Dilanggar Komuter - Polis


Diterbitkan: Selasa, 19 Mei 2015 9:29 PM

KUALA LUMPUR: Seorang wartawan Tamil Malar maut selepas dirempuh sebuah komuter dari arah Batu Caves di stesen komuter Batu Kentomen, di sini, Selasa.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.35 pagi, mangsa, K. Anamalay, 67, mati di tempat kejadian dan hasil pemeriksaan mendapati keadaan tubuh mangsa terputus dua di atas rel.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP R. Munusamy berkata berdasarkan maklumat saksi, mangsa dipercayai lompat secara mengejut ke atas rel, kurang 15 meter sebelum komuter berkenaan tiba di platform bagi mengambil penumpang.
"Pemandu komuter dikatakan telah bunyikan hon yang panjang, tetapi lelaki itu tidak berganjak. Selepas komuter diberhentikan, didapati lelaki berkenaan telah mati terputus dua," katanya dalam kenyataan di sini.
Munusamy berkata mangsa ketika ditemui berpakaian lengkap.
"Si mati adalah seorang wartawan Tamil Malar berpejabat di Jalan Ipoh KL dan tinggal menyewa bilik seorang diri di rumah berhampiran stesen komuter tersebut, manakala keluarganya berada di Sungai Petani," katanya.
Munusamy berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Selayang untuk bedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

OKU Rentung Dalam Kebakaran


Diterbitkan: Selasa, 19 Mei 2015 12:13 AM

PASIR PUTEH: Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) ditemui rentung dalam kebakaran membabitkan dua buah rumah di Kampung Lepah, Selising di sini, petang Isnin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh Penolong Penguasa Bomba Wan Baijuri Wan Hassan berkata dalam kebakaran pada 5.30 petang itu, mayat Zulkifli Abdullah, 38, dijumpai dalam bilik tidurnya.
"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis di sini untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini.
Wan Baijuri berkata dua jentera bersama 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh dan Ketereh berjaya memadamkan api pada 5.58 petang.
Ketika ditemui pemberita, bapa mangsa Abdullah Ahmad, 63, berkata bapa mertuanya Mail Mat Akid yang berusia 110 tahun, turut berada dalam rumah berkenaan dan berjaya diselamatkan oleh jiran sebaik menyedari kebakaran itu.
"Api dipercayai berpunca dari bilik tidur anak saya (mangsa) kerana saya mendengar beberapa kali teriakan api api daripada anak saya," katanya.
Abdullah berkata ketika kejadian, beliau sedang mengundurkan kereta di hadapan rumah untuk ke warung kopi dan tidak sempat untuk menyelamatkan mangsa kerana api merebak terlalu cepat.
Beliau berkata mereka turut mengalami kerugian harta benda dianggarkan lebih RM100,000 dan wang tunai RM10,000 milik bapa mertuanya yang disimpan di dalam kain di rumah tersebut.

Pegawai IT Ditahan Curi Kasut Di Masjid


Diterbitkan: Selasa, 19 Mei 2015 9:19 AM
Kasut pelbagai saiz dan jenama yang dirampas daripada suspek.

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai teknologi maklumat berusia 38 tahun yang menjalankan aktiviti mencuri kasut di Masjid Wilayah akhirnya berjaya dicekup oleh pengawal keselamatan sebelum diserahkan kepada polis.

Polis kemudian menemui barang rampasan di dalam but sebuah kereta Mercedes-Benz yang dipandu oleh suspek.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R. Munusamy berkata, mereka menemui 13 pasang kasut pelbagai saiz pada Sabtu lepas.

Salah seorang mangsa telah membuat laporan mengenai kecurian yang berlakui di masjid itu.

"Apabila ditanya, suspek berkata kasut itu adalah miliknya tetapi kami tahu bahawa ia tidak sepadan dengan saiz kakinya.

"Seorang lelaki yang berada di tempat kejadian telah datang dan menunjukkan kasutnya yang dicuri dari masjid," katanya kepada pemberita, Isnin.

Munusamy berkata kasut-kasut tersebut dipercayai dicuri dalam masa sehari di Masjid Wilayah dan siasatan mendapati kereta itu adalah milik rakan serumah suspek.

Polis berkata, lelaki itu mungkin mempunyai tabiat mencuri.

Dalam satu kes kecurian tidak berkaitan, tiga lelaki berumur antara 21 dan 25 tahun telah ditahan di sekatan jalan raya kira-kira pukul 4 pagi di Jalan Taman Kok Doh di sini Jumaat lepas.

Ketiga-tiga mereka menaiki kereta jenis Volkswagen Golf 1.4 yang dilaporkan dicuri di Taman Tun Dr Ismail di sini 21 November lepas.

Munusamy berkata, nombor casis kereta tidak sepadan dengan kenderaan yang dicuri.

Usaha Cari Kepala Bayi Dikerat 15 Diteruskan - Polis


Diterbitkan: Selasa, 19 Mei 2015 8:38 PM
Cebisan anggota tubuh manusia dipercayai seorang bayi dikerat 15 bahagian ditemui dalam loji kumbahan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai oleh sekumpulan pekerja pembersihan loji kumbahan tersebut di sini pada Isnin. - fotoBERNAMA

JOHOR BARU: Usaha untuk mencari kepala dan perut bayi yang dikerat 15 bahagian di sini Sabtu lepas masih diteruskan, kata Ketua Polis Daerah Johor Baharu Utara, Asisten Komisioner Mohd Khamsani Abdul Rahman.
Beliau berkata setakat ini hanya bahagian kaki dan tangan bayi berkenaan yang ditemui.
"Kita telah memeriksa tandas yang tersumbat di flat berkenaan, tetapi tidak menjumpai apa-apa selain daripada batang kayu," katanya dalam sidang media di sini Selasa.
Mayat bayi berkenaan yang belum dikenal pasti jantinanya ditemui oleh beberapa pekerja pembersih loji kumbahan di Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai di sini.
Menurut Mohd Khamsani, bayi itu dipercayai meninggal dunia dalam kandungan ibunya sebelum dikerat dan dipamkan ke dalam lubang tandas.
"Laporan bedah siasat mendapati anggota badan yang dikerat berukuran antara tiga hingga empat inci dan telah berada dalam loji kumbahan itu selama empat hari," katanya.
Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar tampil bagi membantu menjejaki pihak yang melakukan perbuatan kejam tersebut.
Dalam perkembangan lain, pihak polis berjaya menyelesaikan kes samun dan rogol melibatkan seorang wanita di sini selepas tertangkapnya seorang suspek di Taman Malim Jaya, Melaka tengah malam Selasa.
Mohd Khamsani berkata suspek yang berusia 33 tahun itu mempunyai lapan rekod jenayah lampau berkait kesalahan samun, pemerasan serta dadah dan kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.
"Suspek yang bersenjatakan parang menyamun rumah mangsa di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai di sini kira-kira 10.45 pagi Isnin.
"Ketika itu mangsa yang tinggal berseorangan kerana suaminya pergi bekerja dan anaknya bersekolah turut dirogol. Suspek juga melarikan dua telefon bimbit dan kad ATM mangsa," kata beliau.

Kes disiasat di bawah Seksyen 392/391/379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda dan sebat jika disabit kesalahan.

Pelaku Seks Di Balkoni Dikenal Pasti - Polis


Diterbitkan: Selasa, 19 Mei 2015 8:49 PM

KUALA LUMPUR: Pihak polis telah mengenal pasti identiti suspek lelaki dalam rakaman video yang menunjukkan pasangan dipercayai sedang melakukan hubungan seks di balkoni sebuah apartmen di Bangsar South pada Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Muhammad Azlee Abdullah berkata menerusi maklumat dan kerjasama orang awam, suspek lelaki itu dipercayai warga asing berusia sekitar 30-an yang menyewa servis apartmen berkenaan bersama pasangannya.
Beliau berkata suspek dipercayai masih berada di negara ini.
Polis juga sedang menyiasat perakam video tersebut, katanya.

Rakaman video berdurasi 30 minit itu dipercayai dirakam seorang penyewa di apartmen lain yang terletak berhampiran balkoni tersebut dan ia menjadi viral di media sosial.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 377D, 297 dan 294 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Kanak-Kanak Lemas Main Longkang


Diterbitkan: Selasa, 19 Mei 2015 10:01 PM
Anggota Bomba dan Penyelamat menunjukkan lokasi seorang budak lelaki 11 tahun ditemui mati selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang di flat Sri Lanang Jalan Harmonium Taman Desa Tebrau pada Selasa. - fotoBERNAMA

JOHOR BARU: Keseronokan lima kanak-kanak mandi di dalam longkang bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka dihanyutkan arus deras di Taman Desa Tebrau di sini petang Selasa.
Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan, ACP Sulaiman Salleh berkata mayat  Mohd Danish Hakim Mohd Yazid, 11, ditemui pihak bomba kira-kira pukul 6.30 petang setelah sejam usaha mencari dan menyelamat dilakukan.
"Mangsa bersama empat rakannya sebelum itu mandi dan bermain hujan di sebuah longkang di Jalan Harmonium, Taman Desa Tebrau.
"Menyedari air semakin naik dan deras, mereka telah naik ke tebing. Namun mangsa turun semula ke dalam longkang untuk menguji kedalaman dan kederasan air, sebelum dia dihanyutkan arus," katanya.
Sulaiman berkata sewaktu kejadian hujan turun dengan lebat dan air longkang sedalam 1.2 meter.
"Mayat mangsa ditemui kira-kira empat kilometer dari tempat kejadian dan telah dibawa ke Hospital Sultan Ismail untuk dibedah siasat," katanya.

Lebih 50 Maut Akibat Tanah Runtuh Di Bogota


Diterbitkan: Selasa, 19 Mei 2015 1:10 PM

BOGOTA: Lebih 50 terkorban, manakala puluhan yang lain cedera berikutan kejadian tanah runtuh yang menyebabkan kemusnahan sebuah penempatan di barat laut pergunungan Colombia, pada Isnin lapor pihak berkuasa negara itu.
"Berlaku pergerakan tanah yang jatuh ke gaung La Liboriana, menyebabkan empangan air pecah dan mengorbankan puluhan mangsa serta memusnahkan harta benda dan pelbagai barangan sepanjang laluan itu," kata Komander Polis Serantau Jabatan Antioquia di Salgar, Jose Angel Mendoza dalam satu temu bual.
Unit Bantuan Bencana Kebangsaan memberitahu, seramai 52 orang maut, manakala 32 lagi cedera dan sedang mendapatkan rawatan.
Pasukan penyelamat termasuk anjing pengesan akan menjalankan usaha menyelamat untuk mencari mangsa yang masih hilang.
Selain itu, terdapat beberapa gambar yang diambil anggota tentera udara serta rakaman video oleh saluran televisyen tempatan menunjukkan rumah dan jalanraya diliputi lumpur serta bangunan runtuh di bandar sekitar kawasan pergunungan berhampiran Andes Colombia.
Turut kelihatan beberapa penduduk sedang menggali dan mengalihkan serpihan runtuhan bangunan untuk mencari mangsa yang terselamat.
"Kami tidak tahu jumlah sebenar yang hilang," kata Presiden Colombia, Juan Manuel Santos, yang melawat kawasan tanah runtuh untuk melihat sendiri tahap kemusnahan serta menemui pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan perkembangan terkini di lokasi kejadian.
Santos mengisytiharkan bencana tersebut sebagai darurat, dan  segera menghulurkan bantuan kepada mangsa.
"Kebanyakan penduduk mengalami kerugian besar apabila kediaman mereka musnah. Semua pihak juga diminta supaya mengambil langkah berjaga-jaga kerana kemungkinan besar kejadian tanah runtuh berulang," kata seorang penduduk kepada media tempatan, Maria Gutierrez. 

Budak Lelaki Enam Tahun Mangsa Culik Olok-Olok


Diterbitkan: Selasa, 19 Mei 2015 8:00 AM
Christopher Raymundo Márquez Mora

SEKUMPULAN remaja yang kononnya mahu berseronok sambil 'bermain' culik-menculik dengan tidak semena-mena telah menyeksa, membunuh dan menanam seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun.

Sekumpulan remaja antara 11 hingga 15 tahun, termasuk dua perempuan berusia 13 tahun itu menculik Christopher Raymundo Márquez Mora sebelum menyeksa kanak-kanak tersebut.

Kedua-dua tangan Christopher diikat kemudian dilontar batu, serta ditikam dari belakang dan kumpulan remaja tersebut menanam kanak-kanak lelaki itu di dalam lubang yang cangkat.
Christopher dilaporkan hilang sejak Khamis dan akhirnya mayat kanak-kanak tersebut ditemui pada Sabtu.
Menurut Pendakwa raya Chihuahua, negeri di sempadan Mexico,  kumpulan remaja tersebut bertindak demikian kerana menganggap itu seperti satu permainan culik-menculik.
Laporan yang diterima menjelaskan, Christopher telah diajak bermain serta mengumpul kayu api di tepi sungai.
Mereka ke kawasan sungai bersama-sama dan kumpulan remaja itu memberitahu Christopher mereka akan melakukan adegan penculikan untuk berseronok.
Tangan serta kaki kanak-kanak itu kemudiannya diikat dan mereka mula memukul Christopher menggunakan kayu berduri dan  mencekiknya.
Salah seorang daripada mereka mula menggali lubang dan rakannya yang lain menarik mayat Christopher ke dalam lubang tersebut.
Tidak berpuas hati dengan kedudukan badan Christopher yang tidak dapat ditanam dalam lubang itu, salah seorang daripada remaja itu menikam Christopher dari belakang dan melontarkan batu ke arahnya.
Setelah yakin kanak-kanak itu tidak bernyawa, kumpulan remaja tersebut menanam sebahagian lagi badan Christopher dan meletakkan rumpai serta bangkai haiwan supaya ia tidak menarik perhatian orang ramai.
Pendakwa raya, Sergio Almaraz berkata, tindakan tersebut merupakan idea daripada salah seorang remaja berusia 15 tahun.
"Ia merupakan idea daripada salah seorang remaja yang berusia 15 tahun yang mencadangkan kepada kumpulannya untuk membunuh kanak-kanak lelaki itu," kata Almaraz.
Almaraz juga meluahkan kebimbangan mengenai pembunuhan yang menunjukkan masalah sosial dan tiada nilai murni di kalangan remaja ketika ini.
Satu kenyataan telah dikeluarkan oleh pendakwa negeri yang menyatakan kumpulan remaja tersebut mengaku bertanggungjawab terhadap pembunuhan Christopher.
Dua remaja berusia 15 tahun itu menghadapi tuduhan jenayah manakala yang lain telah diserahkan kepada pihak berkuasa.

Lokasi Mahasiswa Terjatuh Ke Dalam Kawah Gunung Merapi Dikesan


Diterbitkan: Isnin, 18 Mei 2015 12:54 PM
Pasukan Basarnas sedang berusaha untuk memasuki kawah yang aktif bagi mengeluarkan Ari Yunanto yang terjatuh Sabtu lalu.

JAKARTA: Pasukan Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) pada Isnin mengesan kedudukan pelajar yang dilaporkan terjatuh ke dalam kawah Gunung Merapi pada Sabtu lepas.
Menurut laporan-laporan berita televisyen tempatan, alat pengesan yang digunakan Basarnas mengesan objek yang dipercayai tubuh Ari Yunanto, 21, pada kedalaman lebih 100 meter.
Bagaimanapun pasukan penyelamat masih belum dapat memasuki kawah gunung itu berikutan asap dan gas beracun yang sedang aktif.
Pasukan Basarnas itu menjangkakan kerja membawa naik Ari mungkin dapat dilakukan sebelum lewat petang jika berlaku hujan.
Mahasiswa Universitas Atmajaya Yogyakarta itu dilaporkan terjatuh ke dalam kawah Gunung Merapi yang kedalaman jurangnya antara 100 hingga 200 meter ketika asyik bergambar di puncak gunung itu.
Gunung Merapi dengan ketinggian puncak 2,968 meter dari permukaan laut itu terletak di bahagian tengah Pulau Jawa dan ia merupakan satu daripada gunung api teraktif di Indonesia.
Ari mendaki gunung itu bersama lima rakannya bersempena cuti hujung minggu dan ketika berada di puncak gunung dia dilaporkan tergelincir ke dalam kawah manakala lima rakannya yang terselamat terus turun semula untuk membuat laporan di pondok keselamatan di kaki gunung itu.
Mahasiswa itu dikatakan bergambar di 'Puncak Tusuk Gigi' iaitu di atas bongkah batu separuh tergantung di bibir kawah Gunung Merapi sebelum tergelincir.-- Bernama

Pelajar jatuh dalam kawah gunung berapi

Pelajar jatuh dalam kawah gunung berapi
Gambar dari laman Instagram Bagus Deni.

JAKARTA - INDONESIA. Seorang pelajar dilaporkan terjatuh ke dalam sebuah kawah gunung berapi, Merapi, kelmarin.
 
Menurut News Detik, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) masih cuba mengesan Eri Yunanto, pelajar dari Universiti Atma Jaya, Yogyakarta tersebut.
 
Sebelum itu, saksi dan juga seorang pendaki, Bagus Deni sempat mengambil foto terakhir Eri sebelum beliau menyaksikan sendiri pelajar tersebut jatuh ke dalam kawah.
 
Foto tersebut, yang dimuatnaik sekitar jam 10 malam pada Sabtu terus mendapat perhatian pelayar laman foto popular, Instagram.
 
Melalui laman foto tersebut, beberapa foto Eri sedang mendaki gunung juga berjaya dilihat oleh pelayar.
 
Difahamkan, Eri merupakan pelajar semester 6 jurusan Teknik Industri di universiti itu.

Pesawat mendarat kecemasan, seorang terbunuh

Pesawat mendarat kecemasan, seorang terbunuh
Model pesawat Osprey yang dilaporkan terhempas.

HONOLULU - AMERIKA SYARIKAT. Seorang askar terbunuh manakala 21 yang lain cedera selepas sebuah pesawat tentera Amerika Syarikat (AS) jenis Osprey membuat pendaratan kecemasan, semalam.
 
Menurut laporan AP, pesawat MV-22 Osprey yang mampu mendarat dan berlepas seperti helikopter itu mengeluarkan asap hitam tebal sejurus mendarat.
 
Seramai 22 askar berada dalam pesawat tersebut, jurucakap Kapten Brian Block memberitahu.
 
Menurut saksi, Kimberly Hynd beliau ternampak pesawat tersebut mendarat dan kemudian terbakar.
 
Punca kejadian masih disiasat.

Pengodam mengaku kawal enjin kapal terbang

Pengodam mengaku kawal enjin kapal terbang
Gambar hiasan

NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Seorang konsultan sekuriti siber memberitahu Biro Siasatan Persekutuan (FBI) bahawa beliau menggodam sistem enjin dan kawalan sebuah kapalterbang dalam sebuah penerbangan.

Menurut laporan BBC, Chris Roberts ditahan FBI April lepas sejurus mendarat dari sebuah penerbangan selepas agen agensi tersebut mengesan  perbincangannya di Twitter mengenai aktiviti godam tersebut.

FBI kemudian mengeluarkan waran dan mendakwa Roberts atas kemungkinan melakukan jenayah siber.

Dalam beberapa temuramah, Roberts memberitahu pegawai penyiasat bahawa beliau menggodam sistem kapal terbang antara 15 hingga 20 kali dalam pada 2011 hingga 2014.

Beliau juga berjaya menulis balik kod penerbangan dan memberikan arahan 'CLB' atau 'climb' yakni menaikkan ketinggian pesawat.

Beliau juga mendakwa beliau tahu mengenai kelemahan tiga jenis pesawat Boeing dan satu model pesawat Airbus.

Selepas kejadian 15 April lalu, FBI merampas laptop, iPad dan beberapa peranti lain, selain menemui kotak elektronik yang telah diubah suai di bawah tempat duduk Roberts di dalam penerbangan United Airlines.

FBI masih menyiasat kes berkenaan.

Singa ditembak selepas gigit kakitangan zoo

Singa
Gambar hiasan

SHANDONG - CHINA. Nasib malang seekor singa apabila terpaksa ditembak mati selepas terlepas dari sangkar dan menggigit kakitangan zoo, semalam.
 
Dalam kejadian pagi Ahad, kakitangan zoo tersebut, seorang lelaki berumur 65 tahun maut di hospital selepas cedera parah digigit di belakang dan bahu.
 
Menurut laporan media tempatan, pengunjung zoo dan kakitangan zoo yang lain terpaksa dikeluarkan selepas singa tersebut terlepas dari sangkar hampir sejam.
 
Pihak berkuasa tempatan dan pegawai khas kemudia mengepung singa berkenaan dan menembak mati haiwan tersebut 'demi keselamatan pengunjung'.
 
Kematian haiwan berkenaan mengundang kecaman kumpulan aktivis hak haiwan liar.
 
"Apa yang manusia suka tentang singa hanya kebuasannya, tapi singa tersebut hilang kebebasan, kebuluran dan hidup dalam keadaan tak menuntut dan akhirnya mati ditembak.
 
Zoo tersebut, Taian Tiger Mountain Park sebelum ini dituduh membiarkan sangkar reput dan berkarat.
 
Tahun lepas, kumpulan aktivis haiwan di China, Zoo Watch mendedahkan bagaimana harimau dan singa didera di zoo dan digunakan dalam pertunjukan haram.

Atlet ekstrem maut terhempas

Atlet ekstrem maut terhempas
- Gambar Hiasan

CALIFORNIA - AMERIKA SYARIKAT. Seorang atlet sukan ekstrem maut ketika terbang menggunakan baju terbang 'wing suit' di Yosemite National Park, kelmarin.
 
Menurut BBC, Dean Potter dan rakannya, Graham Hunt maut selepas terhempas di sebuah tebing.
 
Kedua-dua mangsa dilaporkan tidak sempat mengeluarkan payung terjun selepas gagal dalam  percubaan untuk melalui sebuah laluan sempit di celah tebing berkenaan.
 
Mayat kedua-dua mangsa dibawa keluar menggunakan helikopter pagi semalam.
 
Sebelum itu, Potter dan Hunt terjun dari ketinggian 3,000 dan mula terbang melalui kawasan El Capitan dan Half Dome yang dipenui dengan batuan granit.
 
Difahamkan, Yosemite National Park melarang sukan tersebut dipraktikkan dan Potter dilaporkan sudah melanggar peraturan tersebut berkali-kali.

Remaja mabuk rosakkan kereta Audi ayah

Remaja mabuk rosakkan kereta Audi ayah
Kereta Audi R8 milik ayahnya yang rosak teruk.

BIRMINGHAM - ENGLAND. Seorang remaja berkemungkinan dipenjarakan selepas memandu tanpa lesen, di bawah pengaruh alkohol dan tanpa kebenaran ayahnya dalam sebuah kejadian 1 Mei lepas.
 
Menurut Dailymail, Mahkamah Majistret Birmingham juga melarang Harry Bishop, 19 dari memandu untuk sementara.
 
Pegawai pendakwaraya, Shahzad Imam memberitahu, Bishop mengambil kunci kereta Audi R8 milik ayahnya tanpa kebenaran pada hari kejadian.
 
Bishop kemudian dilaporkan merempuh pagar hadapan rumah milik keluarga Perry pada jam 4.30 pagi hari sama.
 
Perry, seorang pesara memberitahu, beliau mendengar bunyi dentuman kuat dan melihat kereta Audi putih tersebut remuk secara melintang di hadapan rumahnya.
 
Pihak polis kemudian mengukur tahap alkohol Bishop dan terbukti ia melebihi dari tahap yang dibenarkan.
 
Bishop mengaku bersalah memandu tanpa lesen, di bawah pengaruh alkohol dan tanpa kebenaran penjaganya.
 
Beliau yang dibebaskan dengan jaminan akan menyambung perbicaraan pada 26 Jun nanti.

Nepal mohon lebih banyak bantuan dunia

600 maut di Nepal
Pasukan keselamatan dan orang ramai mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam sisa runtuhan menara Dharahara di Kathmandu. - Foto AFP

KATHMANDU – NEPAL. Nepal yang teruk dilanda gempa bumi kuat pada 25 April dan gegaran susulan, telah memuji masyarakat antarabangsa termasuk Malaysia kerana tindakan pantas dalam merayu bantuan dan sumbangan bagi menyokong usaha pemulihan dan pembinaan semula negaranya.

Usaha mencari dan menyelamat akibat gempa bumi itu telah berakhir dan usaha pemulihan dan pembinaan semula bermula dengan kerajaan memohon sokongan dan kerjasama antarabangsa memandangkan sumber daripada Nepal sahaja tidak mencukupi untuk menghadapi cabaran yang begitu besar, kata Perdana Menteri Nepal Sushil Koirala dalam sidang akhbar di sini pada Ahad.

"Kerajaan telah menganggarkan ia akan melibatkan kos US$4 bilion (RM14.28 bilion) untuk bantuan segera serta pemulihan termasuk membina semula bangunan dan infrastruktur yang rosak. Kami memohon sekurang-kurangnya US$2 bilion daripada masyarakat antarabangsa," katanya.

Kerajaan Nepal telah menubuhkan Dana Pemulihan dan Pembinaan Semula Kebangsaan dengan peruntukan sebanyak US$200 juta (RM714.16 juta) sebagai dana permulaan dan merayu kepada masyarakat antarabangsa serta sektor swasta untuk menyumbang kepada dana berkenaan bagi pembinaan semula negara berkenaan.

Koirala turut memuji tindakan pantas masyarakat antarabangsa termasuk Malaysia dalam misi mencari dan menyelamat selepas gempa bumi 25 April lepas dan berkata "Nepal bernasib baik kerana mempunyai hubungan baik yang meluas,  maklum balas yang menggalakkan dan sokongan kuat daripada masyarakat antarabangsa, ketika negara dilanda krisis.

"Saya menghargai masyarakat antarabangsa khususnya, India, China, negara-negara SAARC serta Amerika Syarikat, Jepun, United Kingdom, Australia, Israel, Pertubuhan Bangsa Bersatu, anggota Kesatuan Eropah, Republik Korea, Kanada, Malaysia, Turki, Singapura dan lain-lain atas tindakan pantas dan ikhlas terhadap rayuan Nepal," katanya.

Gempa bumi itu telah mengakibatkan kerosakan yang besar dan pembinaan semula memerlukan masa yang lebih lama dan dana yang banyak, kata Koirala sambil menambah kerajaan Nepal yakin, ia akan dapat membina semula negara itu tidak lama lagi dengan kerjasama rapat masyarakat antarabangsa.

"Ia menjadi begitu sukar berikutan bencana begitu besar yang tidak pernah kami terfikir. Kerugian kami sangat besar," katanya.

Koirala berkata beliau mendapat sokongan daripada negara jiran, rakan pembangunan, rakan-rakan dan pihak yang mengambil berat dalam masyarakat antarabangsa dan yakin akan menerima lebih banyak sokongan daripada masyarakat antarabangsa, ketika Nepal memulakan fasa pemulihan dan pembinaan semula.

"Bersama-sama kita boleh membina semula Nepal," kata beliau.

Gempa bumi kuat berukuran 7.9 pada skala Richter melanda Nepal pada 25 April lepas dan mengorbankan sekurang-kurangnya 8,500 orang. – Bernama

Bayi dikerat-kerat sebelum buang


Ismail menunjukkan gambar cebisan anggota badan bayi yang dijumpai dalam loji kumbahan Projek Perumahan Rakyat di Kempas Permai, Johor Bahru kelmarin.


JOHOR BAHRU – Berhati syaitan. Itulah yang boleh digambarkan daripada penemuan 15 cebisan anggota badan seorang bayi yang dikerat-kerat sebelum dibuang dan ditemui tersangkut pada perangkap sampah loji kumbahan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai di sini kelmarin.
Anggota badan bayi itu ditemui pada pukul 10.30 pagi oleh empat pekerja kontraktor yang melakukan pembersihan pada perangkap sampah di loji yang mengumpul sisa kumbahan daripada 1,288 unit PPR tersebut.
Penemuan itu menggemparkan 6,000 penghuni di empat blok itu dan sehingga semalam mereka masih tertanya-tanya angkara siapakah kejadian menimpa bayi malang itu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd. Khamsani Abdul Rahman berkata, seorang pekerja terkejut apabila ternampak beberapa objek mencurigakan tersangkut pada besi perangkap sampah di loji kumbahan yang beroperasi sejak perte­ngahan tahun 2009.
“Pekerja itu dan rakan-rakannya kemudian mengumpul semua ce­bisan manusia itu, antaranya kaki dan tangan.
“Namun selepas dua jam, empat pekerja itu gagal menemui bahagian kepala bayi menyebabkan mereka kemudian melaporkan perkara itu kepada polis,” kata beliau di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara di sini semalam.

Menurut beliau, polis yang me­nerima maklumat pada pukul 1.30 petang terus ke lokasi dan mengesahkan cebisan 15 anggota badan itu dipercayai milik seorang bayi.
Difahamkan polis tidak menolak kemungkinan anggota badan bayi yang mungkin baru dilahirkan sengaja dikerat-kerat sebelum dibuang ke dalam mangkuk tandas dan dipam.
“Tindakan itu menyebabkan anggota badan bayi itu terlekat pada perangkap sampah loji kumbahan,” kata beliau.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0519&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz3aXFKYI1p 
Hakcipta terpelihara 

Lelaki mengamuk tahi dadah



Tiga kanak-kanak berusia 3 hingga 9 tahun semakin pulih daripada trauma selepas menjadi tawanan bapa sendiri di Hospital Melaka pada Sabtu lalu.


MELAKA – Suspek kes amuk yang mengurung serta mengugut ibu, isteri dan tiga anaknya menggunakan parang di sebuah rumah di Taman Duyong Indah di sini pada malam Sabtu lalu didapati positif dadah jenis syabu.
Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, keputusan itu diperoleh hasil ujian air kencing dan siasatan yang dilakukan oleh polis terhadap suspek yang berumur 30-an berkenaan.
“Siasatan juga mendapati suspek itu tiada rekod jenayah dan tidak pernah menerima sebarang rawatan psikiatri,” kata beliau ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang semalam.
Menurut beliau, selepas ditangkap, suspek telah direman selama tujuh hari sehingga 23 Mei ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Ke­seksaan iaitu cubaan membunuh.
Mengulas lanjut, kata beliau, ibu suspek berumur 63 tahun yang dirawat di Hospital Me­laka kelmarin telah dibenarkan pulang namun isteri suspek yang berumur 40-an masih menjalani rawatan lanjut.
“Tiga anak-anak termasuk anak tiri suspek masih trauma tetapi mereka sudah stabil,” kata beliau.
Dalam perkembangan lain, Ghee Lye berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk menangkap dan mendakwa seorang individu yang disyaki menyalurkan maklumat pergerakan polis kepada suspek yang sedang mengamuk dalam kejadian itu.
Tindakan individu terbabit semasa kejadian itu menyukarkan usaha polis memujuk suspek dan secara tidak langsung membahayakan nyawa lima sekeluarga yang ditawan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0519&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz3aXEzS4nj 
Hakcipta terpelihara 

Guna kereta mewah curi kasut





KUALA LUMPUR – Seorang pekerja teknologi maklumat di sebuah syarikat swasta sanggup meminjam kereta mewah jenis Mercedes-Benz milik rakan serumahnya semata-mata untuk mencuri kasut di Masjid Wilayah, Jalan Duta di sini, Sabtu lalu.
Dalam kejadian pada pukul 11.25 pagi itu, suspek yang berusia 38 tahun itu bagaimanapun berjaya ditahan oleh pengawal keselamatan ketika sedang leka mencuri kasut lelaki di masjid berkenaan.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R. Munusamy berkata, hasil pemeriksaan lanjut di but sebuah kereta mewah jenis Mercedes-Benz dinaiki suspek menemui pelbagai 13 pasang kasut lelaki yang dipercayai dicuri di tempat letak kasut masjid berkenaan.
“Suspek memberi alasan ke­semua kasut yang ditemui itu merupakan miliknya, namun saiz kasut suspek didapati berbeza dengan saiz kasut yang ditemui di dalam kereta itu.
“Siasatan lanjut juga mendapati, kereta itu dipinjam oleh suspek daripada rakan serumahnya kira-kira dua jam sebelum dia ditahan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini semalam.


Menurutnya, polis percaya suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah itu baru sehari melakukan kegiatan tersebut.
“Kami meminta orang ramai yang menjadi mangsa untuk tampil bagi membantu siasatan,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0519&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz3aXEWWAZS 
Hakcipta terpelihara 

Dua bapa maut dipanah petir



INILAH pondok yang menjadi lokasi dua orang lelaki maut manakala seorang murid kritikal selepas dipanah petir di Batu Pahat.


BATU PAHAT – Hasrat dua bapa murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Permatang Rengas di Sri Medan di sini untuk mengambil anak masingmasing tidak kesam­paian apabila mereka maut disambar petir ketika berteduh di sebuah pondok di sekolah itu semalam.
Dalam kejadian kira­kira pukul 12.45 tengah hari itu, keduadua mangsa yang sedang me­nunggu anak mereka di pondok beratap zink sewaktu hujan dikatakan baru beberapa minit tiba sebelum kejadian itu berlaku.
Keduadua mangsa, Norazam Juwari, 42 dan Huda Jonit, 35, yang bekerja sebagai pekebun sawit dan mempunyai talian persaudaraan maut di tempat kejadian akibat cedera parah dan melecur pada anggota badan.
Dalam kejadian itu, seorang murid tahun tiga sekolah tersebut, Siti Nor Aina Hairi, 9, cedera parah selepas turut disambar petir ketika berada di pondok itu.
Siti Nor Aina kini dalam kea­daan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan mengenai kejadian itu.
“Keduadua mangsa mening­gal dunia di tempat kejadian dengan kesan melecur di badan sebelum dihantar ke hospital untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0519&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz3aXDsVBlM 
Hakcipta terpelihara 

Indonesia usir bot Rohingya



SEKUMPULAN imigran Rohingya menunggu makanan mereka di sebuah pusat tahanan di Kuala Langsa, Aceh semalam.


LANGSA – Tentera laut Indonesia menghalang sebuah bot membawa pendatang Rohingnya daripada memasuki perairan negara itu kelmarin dan meningkatkan rondaan di kawasan berkenaan, kata pihak tentera.
Hampir 3,000 imigran Rohingya dan Bangladesh berenang ke pantai atau diselamatkan di perairan Indonesia, Malaysia dan Thailand sejak seminggu lalu de­ngan separuh daripada mereka tiba di wilayah Aceh, barat Indonesia.
Ketiga-tiga negara itu mencetuskan kemarahan ke­rana mengusir beberapa bot pendatang, manakala beribu-ribu imigran dipercayai masih terkandas di laut selepas ope­rasi membasmi kegiatan penyeludupan manusia oleh pihak berkuasa Thailand menjejaskan laluan-laluan yang mereka gunakan sebelum ini.
“Tentera laut Indonesia menghalang bot berkenaan memasuki perairannya selepas bot itu diilihat menyeberangi Selat Melaka dari arah Malaysia,” kata jurucakap angkatan bersenjata Indonesia, Fuad Basya.
“Bot itu dipintas dan menukar haluannya,” tambah jurucakap berkenaan. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0519&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3aXCgUBmc 
Hakcipta terpelihara