MELAKA 17 Mei - Seorang lelaki bertindak di luar kawalan apabila mengurung dan mengugut isteri, ibu serta tiga anaknya menggunakan parang selama tujuh jam dalam satu kejadian amuk di Taman Duyong Indah di sini malam tadi.
Bagaimanapun, penderitaan dialami lima sekeluarga yang menempuh detik-detik cemas drama penahanan itu berakhir setelah suspek berjaya ditumpaskan polis kira-kira pukul 2.15 pagi.
Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan daripada orang ramai pada pukul 7.15 malam.
Menurutnya, sepasukan polis kemudian bergegas ke tempat kejadian dan cuba berunding serta memujuk suspek beberapa kali termasuk memanggil ahli keluarganya yang lain namun tidak berjaya.
“Usaha memujuk suspek menemui jalan buntu apabila dia berdegil dan tidak mahu menyerah diri serta melepaskan ahli keluarganya malah dalam tempoh berkenaan, suspek dilihat kerap memukul kesemua mangsa.
“Kira-kira pukul 2 pagi, suspek mula bertindak agresif dan polis terpaksa menyerbu masuk ke rumah berkenaan lalu menyelamatkan semua mangsa serta menangkap suspek,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Yang hadir sama, Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Mohd. Shahrizan Che Mat Din dan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah.
Jelas Ghee Lye, pihaknya lega kerana kesemua mangsa tidak mengalami kecederaan serius kecuali isteri suspek berumur 40-an lebam di bahagian muka akibat dipukul.
“Kesemua mangsa termasuk tiga kanak-kanak berumur antara tiga hingga sembilan tahun itu dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan,” ujarnya.
Ghee Lye berkata, berdasarkan keterangan beberapa saksi, suspek dipercayai bertindak sedemikian kerana terlalu marahkan ibu serta isterinya yang dikatakan telah menyihirnya.
Bagaimanapun, beliau berkata, polis akan menjalankan siasatan terperinci mengenai punca kejadian termasuk memeriksa tahap kesihatan mental dan kemungkinan dia berada di bawah pengaruh dadah atau sebagainya semasa kejadian.
Sementara itu, seorang jiran suspek, Suzila Jaafar, 48, mendakwa, lelaki tersebut tidak bekerja dan merupakan seorang yang panas baran malah sering bergaduh serta memukul isterinya.
“Mereka selalu bergaduh dan kadang-kadang hingga lewat malam namun ia menjadi serius sejak tiga hari lalu. Dia ada memukul isteri serta anak-anaknya hingga menjerit-jerit,” jelasnya.
Katanya, pada petang sebelum kejadian, suspek turut bertindak agresif dengan menarik isterinya keluar dari rumah dengan wajah yang lebam akibat dipukul.
“Pada masa sama, ibu suspek yang berada di rumah itu meminta tolong kepada saya untuk menelefon polis kerana bimbang dengan keselamatan mereka sekeluarga. Saya meminta suami, Mohd. Hussin Jaapar, 46, menghubungi polis,” tambahnya.