Hasni dan Suhaimi bagaimanapun ditemui selamat kira-kira jam 6 petang kelmarin oleh nelayan lain kira-kira 18 batu nautika dari barat laut Pulau Perhentian, Terengganu.
Hasni berkata, ketika berada di tengah laut itu, mereka hanya mampu berdoa agar dapat diselamatkan segera berikutan bekalan makanan dan air semakin berkurangan.
“Kami terpaksa mencatu makanan dan air bersih kerana hanya membawa bekalan untuk sehari saja.
“Sehingga satu tahap kami hanya ingatkan mati selepas bot kami semakin jauh dihanyutkan arus.
“Mujurlah kami diselamatkan sebuah bot nelayan yang kebetulan melalui kawasan itu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.
Harian Metro, semalam melaporkan, bot pancing dinaiki Hasni dan rakannya, Suhaimi dilaporkan hilang kira-kira 23 batu nautika dari Timur Laut Tok Bali, dekat sini, sebaik keluar awal pagi, Rabu lalu.
Menyedari dua sahabat itu tidak pulang ke jeti Pantai Sabak di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, pada hari sama, pemilik bot yang dikenali sebagai Abd Rahim terus membuat laporan polis.
Mengimbas kejadian itu, Hasni berkata, sebaik selesai menangkap ikan kira-kira jam 1 petang, mereka berhasrat pulang ke Sabak selepas tidak tahan dengan cuaca panas.
“Bagaimanapun, ketika enjin bot cuba dihidupkan, tiba-tiba kipas bot patah.
Suhaimi pula berkata, menyedari bot dinaiki mereka semakin hanyut, mereka terpaksa menurunkan sauh sambil mengharapkan ada pihak yang akan membantu.
“Selang lima jam kemudian, kami ternampak kelibat sebuah bot dan kami terus melambai-lambaikan kain sarung ke arah mereka.
“Mujurlah mereka ternampak dan terus membantu menunda bot kami sehingga tiba di Kuala Sabak, jam 11 malam (kelmarin),” katanya.
Sementara itu, Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim 10 Tok Bali, Kapten Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, bot Penyelamat APMM 7 diarah melakukan gerakan mencari dan menyelamat sebelum tiba di lokasi pencarian, kira-kira jam 5 petang.
“Operasi terpaksa ditangguhkan jam 7.30 malam selepas kedua-dua mangsa gagal ditemui.
“Bagaimanapun, kedua-dua mangsa bersama bot berpendaftaran KNF 7263 berwarna hijau sepanjang 35 kaki itu ditemui selamat oleh sebuah bot nelayan jam 6 petang semalam (kelmarin),” katanya.