Search This Blog

Friday, May 15, 2015

Sorok celah tong gas elak dicekup

Sorok celah tong gas elak dicekup
Taktik suspek menyorok celah tong gas gagal.

JERANTUT - “Mana tahu kalau ada peluang, (saya) terlepas kalau saya sorok (menyorok) sebab saya tahu salah...” kata lelaki berusia 30 tahun sebagai alasan  terhadap tindakannya menyorok di celah tong gas di dapur semasa serbuan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di sini, awal pagi semalam.

Dia diserbu di rumah keluarganya di Kampung Pelok, di sini selepas dipercayai terlibat aktiviti penagihan dadah setelah dikenal pasti menerusi intipan oleh pihak AADK sejak lima bulan lalu.

Dalam serbuan sekitar jam 2.30 pagi itu, suspek dikatakan bertindak menyorok sedemikian sebaik ibunya membuka pintu rumah setelah di ketuk anggota AADK.

Sebaik pintu dibuka ibunya, penggeledahan dilakukan seramai 10 kakitangan AADK untuk mencari suspek dan menemui suspek bersembunyi di dapur rumahnya berselindung dicelah tong gas. Penggeledahan di dalam rumah suspek turut dilakukan namun tidak menemui sebarang dadah mahupun peralatan menghisap dadah.

Suspek yang dipercayai menagih dadah syabu itu bekerja sendiri dengan mengusahakan kebun keluarganya di kampung terbabit.

Dalam pada itu, Ops Sayang telah diadakan di seluruh daerah ini. Seramai 80 anggota AADK dari seluruh daerah terlibat.

Pengarah AADK Negeri, Abdul Ghani Abdul Rahman berkata, Ops Sayang  turut melibatkan 10 orang dari Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan lima anggota polis dari Unit Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Jerantut.

“Operasi ini fokus kawasan dikategorikan sebagai kawasan kelabu di sekitar Jerantut di mana empat zon telah dipecahkan untuk melancarkan operasi”.
“Empat zon tersebut ialah Zon A meliputi kawasan Felda Padang Piol dan Felda Sungai Retang, Zon B meliputi Felda Sungai Tekam Utara, Sungai Tekam, dan Felda Kota Gelanggi 1, 2, 3 dan 4. Bagi Zon C pula meliputi kampung tradisional seperti Bukit Nikmat, Pulau Tawar, Ulu Cheka, Damak dan Batu Balai. Manakala Zon D melibatkan sekitar Bandar Jerantut”, katanya.

Katanya lagi, Ops terbabit menyasarkan seramai 105 suspek telibat dengan pelbagai kes dadah, termasuk mereka melanggar syarat perhatian AADK.

Ghani berkata, beliau sangat berpuas hati dengan Ops yang dilakukan pada malam semalam kerana hampir separuh dari suspek yang telah dikenal pasti berjaya ditahan selain bersyukur kerana tiada sebarang perkara tidak diingini berlaku.

Polis tahan suri rumah, rampas 49 paket syabu

dadah

ALOR SETAR - Polis menahan seorang suri rumah serta merampas 49 paket dadah jenis syabu bernilai RM2,520 dalam serbuan di Bukit Tinggi, Jitra Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Rahim Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata, suri rumah berumur 36 tahun itu cuba melarikan diri ketika serbuan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, kira-kira 10.30 pagi.

“Hasil pemeriksaan, menemui satu beg kecil mengandungi 49 paket dadah disyaki syabu dengan anggaran berat lebih 16 gram.

“Suspek yang mempunyai empat anak, telah menjalankan kegiatan mengedar dadah selama tiga bulan,” katanya.

Suspek direman tiga hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama

Penumpang cemas bas kemalangan

Penumpang cemas bas kemalangan
Keadaan kereta Proton Persona yang terbabit dalam kemalangan itu.

TAMPIN – Lebih 10 penumpang bas henti-henti yang dalam perjalanan dari Gemas ke Tampin cemas apabila bas yang dinaiki terbabit dalam kemalangan di kilometer 14, Jalan Tampin-Gemas, berhampiran persimpangan masuk Hutan Percha, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.10 petang itu, kesemua penumpang bas berkenaan bagaimanapun tidak mengalami kecederaan serius dan meneruskan perjalanan dengan menaiki bas henti-henti syarikat lain yang melalui laluan berkenaan kira-kira 20 minit selepas kejadian.

Menurut jurucakap polis, berdasarkan siasatan awal, kemalangan berkenaan berlaku susulan sebuah kereta jenis Proton Persona dari arah Hutan Percha keluar ke persimpangan di sebelah kanan.

“Dalam masa sama datang sebuah bas henti-henti dari arah Gemas dan berlaku pertembungan sehingga menyebabkan bahagian hadapan sebelah kanan bas rosak,” katanya.

Sementara itu, pemandu kereta Proton Persona berusia 32 tahun yang bekerja sebagai jurujual produk barangan kesihatan berkata, dia baru pertama kali melalui laluan berkenaan untuk bertemu pelanggan di Gemencheh.

“Saya lihat pemandu bas memperlahankan kenderaan dan isyarat ke kiri jalan juga diberikan. Bagaimanapun, bas berkenaan tidak masuk ke simpang dan berlaku perlanggaran,” katanya.

Cuba rogol isteri rakan baik sendiri

kes rogol

KUALA TERENGGANU - 'Kawan makan kawan' itulah istilah tepat ditujukan kepada seorang lelaki yang tergamak ambil kesempatan dengan cuba merogol isteri rakan baiknya semasa lelaki itu tiada di rumah, dalam kejadian di Paka, Dungun, Selasa lalu.

Dalam kejadian lebih kurang jam 1 pagi itu, mangsa, 19, hanya tinggal berdua bersama anak lelakinya yang baru berusia tujuh bulan apabila suaminya yang bekerja sebagai buruh dikatakan tiada di rumah kerana terpaksa menjalankan kerja luar.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, sebelum kejadian, mangsa yang dikatakan sedang tidur itu dikejutkan dengan bunyi ketukan pintu rumahnya beberapa kali.

“Sebaik membuka pintu itu, mangsa terkejut melihat suspek yang dikenali itu berdiri di hadapan pintu lalu suspek bertindak menolak mangsa sehingga terjatuh sebelum meluru masuk ke dalam rumah.

“Setelah itu, suspek terus mengunci pintu rumah sebelum mencabul mangsa dan dipercayai cuba untuk merogolnya,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Wan Abd Aziz berkata, terkejut dengan perbuatan itu, mangsa melawan, namun suspek yang juga rakan baik kepada suaminya itu bertindak mencekik lehernya sambil mengacukan sebilah pisau ke arah mukanya.

“Suspek turut ugut akan bunuh mangsa sekiranya memaklumkan kejadian ini kepada suaminya itu sambil cuba hendak mencederakan mangsa dengan pisau di tangannya.

“Bagaimanapun, mangsa nekad melawan selamatkan diri serta maruahnya dan menyebabkan suspek melarikan diri,” katanya.

Jelas Wan Abd Aziz, pada keesokan harinya, sebaik sahaja suaminya pulang, mangsa terus ceritakan kejadian itu menyebabkan suaminya bengang sebelum mengambil keputusan mengajak mangsa mencari suspek.

“Namun, setibanya mereka di lokasi yang sememangnya menjadi tempat suspek melepak, suspek terus mengambil sebatang kayu lalu bertindak memukul suami mangsa, namun dia sempat menyelamatkan diri.

“Tidak puas hati dengan tindakan suspek, suami mangsa terus membuat laporan di Balai Polis Paka untuk tindakan susulan,” katanya.

Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

Cedera ditetak parang

Cedera ditetak parang
Kejadian berlaku di rumah mangsa di Taman Air Manis, Sabak Bernam. Gambar kecil: Khairul Fikry

SABAK BERNAM – “Parang di tangan lelaki itu diacu tepat ke muka saya, mujur dia (suspek) tak libas,” cerita salah seorang daripada dua mangsa tetak di Taman Air Manis, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa, Khairul Fikry Sunarno, 23, cedera di bahagian tangan kiri, manakala seorang lagi mangsa iaitu isteri suspek cedera di kepala selepas ditetak lelaki berkenaan menggunakan parang.

Khairul Fikry berkata, dia bertindak mempertahankan dirinya selepas suspek mengacu parang ke arah mukanya, dan hanya sempat melaungkan takbir beberapa kali.

“Nyawa saya bagai telur di hujung tanduk, dia macam dirasuk. Dia (suspek) kemudian alihkan parang dan melibas tangan kiri hingga saya meraung kesakitan,” katanya kepada Sinar Harian.

Khairul yang menerima sembilan jahitan di tangannya berkata, isteri suspek turut alami mimpi ngeri apabila suspek bertindak kejam menetak bahagian kepala mangsa menggunakan parang hingga mendatangkan kecederaan.

“Mulanya berlaku perselisihan faham antara dia dan isterinya, saya yang berada di rumah itu cuma ingin leraikan pergaduhan. Tak sangka, saya juga diheret dalam kemelut ini,” katanya.

Khairul Fikry bertandang ke rumah mangsa selepas mengetuai rombongan pihak lelaki merisik anak perempuan mangsa kira-kira jam 6 petang hari yang sama.

“Rakan saya merancang  berkahwin dengan anak mangsa. Kami berbincang seperti biasa, sebelum mangsa mengadu hubungan dia dan suami bermasalah.

“Kata mangsa (sebelum kedatangan rombongan meminang), dia  beberapa kali diugut,” katanya.

Katanya, setelah perbincangan dengan pihak lelaki, mereka ambil keputusan buat laporan polis, dan  rombongan itu pulang ke rumah di Kampung Banting.

Dalam pada itu, sumber memaklumkan, kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa bersama anak perempuannya serta teman lelaki pulang ke rumah mereka di Taman Air Manis, Sabak Bernam.

“Dalam rumah, berlaku pertengkaran antara mangsa dan suami. Suami mangsa kemudiannya menetak kepala isterinya itu di bahagian kepala dan menetak lelaki terbabit di bahagian tangan kiri dengan parangg,” katanya.

Akibat tetakan itu, mangsa dan lelaki itu mengalami luka dua sentimeter masing-masing di bahagian kepala dan tangan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden, Nor Azmi Isa mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan sedang mengerakkan usaha memburu suspek bagi membantu siasatan.

Katanya, kedua-dua mangsa menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam sebagai pesakit luar dan memaklumkan kejadian itu disiasat mengikut Seksyen 324.

Sub-kontraktor didakwa bunuh adik lelaki

Mahkamah

SHAH ALAM - Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh adik kandungnya di hadapan rumah mangsa di Kampung Jawa di sini awal bulan ini.

M Nageswaran, 39, dari Jalan Kota Raja, Klang, didakwa membunuh Gunalan, 37, di No 16C, Lot 1592, Batu 3 1/2, Kampung Jawa, kira-kira 5.30 petang, 5 Mei lepas.

Tertuduh yang bekerja sebagai sub-kontraktor servis pendingin hawa didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Nageswaran mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang ditangkap pada 9 Mei lepas.

Majistret Ellyana Razali menetapkan 15 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Di Mahkamah Sesyen di sini, Nageswaran menghadapi satu lagi pertuduhan cuba membunuh isteri Gunalan, V Malliga, 39, dengan menikamnya menggunakan sebilah parang, antara 5.30 petang hingga 5.45 petang, di tempat dan tarikh sama.

Tertuduh yang mengaku tidak bersalah didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Hakim Rozina Ayob tidak membenarkan Nageswaran diikat jamin dan menetapkan tarikh sama iaitu 15 Jun untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan bagi kedua-dua kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rustam Sanip dan Salwa Asmary Abdul Rahim sementara tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama

Lagi dron cuba ceroboh White House

Lagi dron cuba ceroboh White House
Gambar hiasan

WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Pejabat dan penempatan rasmi Presiden Amerika Syarikat (AS), White House sekali lagi diceroboh oleh dron kawalan jauh, semalam.

Menurut ABC News, seorang lelaki yang mengawal dron tersebut telah ditahan oleh agen risikan rahsia AS untuk disoal siasat.

Pihak berkuasa AS bagaimanapun gagal memastikan sama ada lelaki berkenaan menggunakan dron tersebut untuk menceroboh atau hanya mengambil gambar.

Difahamkan, Presiden AS, Barack Obama berada di Camp David semasa kejadian.

Kejadian semalam merupakan yang kedua selepas sebuah dron jatuh terhempas di pekarangan White House pada Januari tahun ini.

Helikopter tentera AS terhempas, mayat ditemui

Helikopter tentera AS terhempas, mayat ditemui
UH-1Y Venom

KATHMANDU - NEPAL. Tiga mayat ditemui di lokasi helikopter Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) yang terhempas selepas hilang pada Selasa lepas.

Menurut AP, helikopter tersebut dilaporkan hilang ketika proses bantuan kemanusiaan di Himalaya selepas gempa bumi pada 25 April lepas.

[ARTIKEL BERKAITAN: Helikopter tentera udara AS hilang di Nepal]

Helikopter UH-1Y Venom tersebut membawa enam anggota Marin AS dan dua askar Nepal bersama dua atendan penerbangan AS dan seorang kapten warga Nepal semasa hilang di daerah Dolkka, dua hari lepas.

Pati warga Thailand ditahan cuba curi hasil hutan

gari

ALOR SETAR - Cubaan empat pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Thailand yang mahu menceroboh masuk ke negara ini untuk mencuri hasil hutan, gagal apabila mereka ditahan anggota tentera yang melakukan rondaan di sempadan Malaysia-Thailand, awal pagi semalam.

Pengarah Jabatan Imigresen Kedah, Mohamad Yusri Hashim berkata, tentera dari Kem Sahara berdekatan Kota Putra menahan Pati terbabit di kawasan Durian Burung, Padang Terap, selepas mendapati terdapat pencerobohan oleh warga asing pada kira-kira 7 pagi.

Beliau berkata, pada mulanya terdapat lima Pati yang cuba menceroboh, namun hanya empat berjaya ditahan manakala seorang lagi berjaya melarikan diri ke sempadan.

Hasil pemeriksaan mendapati kesemua yang ditahan tidak memiliki dokumen perjalanan dan kes disiasat di bawah Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63, menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.

"Pati diserah kepada pihak kami untuk siasatan lanjut," katanya.

Dalam perkembangan lain, Imigresen negeri telah menahan dua Pati warga Kemboja pada 2.30 petang semalam ketika cuba memasuki Malaysia secara haram buat kali ketiga melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Bukit Kayu Hitam.

Mohamad Yusri berkata, pegawai imigresen yang sedang menjalankan pemeriksaan mendapati kedua-dua Pati yang berumur 33 dan 36 tahun itu turut cuba memberi rasuah kepada pegawai bertugas.

"Kita syaki mereka bukan masuk ke Malaysia sebagai pelancong tetapi atas urusan lain. Mereka telah ditahan dan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ditahan di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009," katanya. - Bernama

Empat jam padam kebakaran

Empat jam padam kebakaran
Kebakaran kilang pembancuh cat berjaya dipadamkan sepenuhnya jam 12.20 tengah hari, semalam.

MUAR - Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat daerah ini mengambil masa empat jam untuk memadamkan kebakaran kilang membancuh cat perabot di Batu 7 ½ Bakri, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu telah memusnahkan keseluruhan bahagian kilang memproses cat perabot yang di dalamnya terdapat pelbagai jenis mesin serta dua jentera angkut susun dan sebahagian stor menyimpan cat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Marzuki Ismail berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan jam 8 pagi, seramai 30 anggota termasuk enam dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan 2 dari Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Johar Tumin itu tamat jam 12.20 tengah hari selepas berjaya memadamkan keseluruhan kebakaran.

“Kejadian disedari pengawal keselamatan kilang jam 7.30 pagi apabila ternampak asap keluar daripada bahagian belakang kilang yang bercantum dengan pejabat.

“Pada mulanya lelaki terbabit masuk ke dalam kilang, cuba untuk padam api menggunakan alat pemadam khas tetapi tidak berjaya apabila api marak tiba-tiba selepas salah satu tong mengandungi cecair thinner (pelarut) meletup,” katanya di pejabatnya di Jalan Salleh, di sini.

Beliau berkata, pasukan bomba tiba di lokasi kejadian jam 8.13 pagi dan ketika itu mendapati api marak diikuti beberapa letupan dipercayai daripada tong paint thinner.

“Salah satu tong cecair thinner tumbang dan melimpah ke lantai sehingga ke stor berhampiran mengakibatkan api merebak ke kawasan berkenaan.

“Tindakan pantas pasukan kita berjaya menghalang api daripada merebak ke bahagian bangunan belakang dan mengelakkan stor terbakar keseluruhannya,” katanya.

Katanya, semasa kejadian tiada pekerja kerana operasi kilang bermula jam 8.30 pagi sehingga 5.30 petang.

Tambahnya, kilang yang beroperasi sejak 2006 itu mempunyai 40 pekerja iaitu 10 warga Nepal, seorang Myanmar dan selebihnya pekerja tempatan.

“Pemadaman api menggunakan air dan buih khas, bagaimanapun punca sebenar kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Mayat ditemui terapung dalam tali air

Mayat ditemui terapung dalam tali air
Mayat mangsa yang tidak berbaju ditemui terapung dalam tali air di Bukit Chawi.

KAMPUNG GAJAH -  Mayat seorang lelaki ditemui terapung di kawasan tali air,  Bukit Chawi, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai penemuan mayat berkenaan kira-kira jam 4.43 petang.

"Mayat terbabit ditemui hanya berseluar dan tidak berbaju.

"Berdasarkan keadaan mayat, mangsa dipercayai meninggal dunia kira-kira sehari sebelum ditemui," katanya.

Menurutnya, mayat dibawa ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat.

"Hasil bedah siasat mendapati mangsa mati akibat lemas dan tiada unsur jenayah dikesan pada tubuh mangsa.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan setakat ini identiti mangsa belum lagi dikenal pasti," katanya.

Lemas jatuh dalam laut

Lemas jatuh dalam laut
Ismail (kanan) meninjau operasi di Balai Polis Kuala Sepetang. Gambar kecil: Seng Huat.

KUALA SEPETANG – Perjalanan pulang dua beranak dari menjala ikan berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka lemas selepas bot dinaiki berlanggar dengan sebuah bot lain berhampiran muara Kuala Sangga, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, mangsa, Beh Seng Huat, 55, bersama anaknya, Beh Chin Kean, 30, terjatuh dari bot dinaiki selepas berlanggar dengan sebuah lagi bot yang dalam perjalanan ke muara Kuala Sangga untuk melihat pukat.

Chin Kean berjaya diselamatkan oleh nelayan yang melihat insiden tersebut, namun suasana gelap menyukarkan mereka untuk mencari Seng Huat.

Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Ismail Che Isa berkata, mayat Seng Huat  hanya ditemui  pada kira-kira jam 8 pagi, 10 meter dari lokasi kejadian menerusi gerakan mencari dan menyelamat yang dilancarkan bersama agensi keselamatan lain.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa yang duduk di bahagian enjin, terjatuh  sebaik berlaku perlanggaran itu.

“Bagaimanapun, kedua-dua bot yang terlibat dalam perlanggaran itu tidak terbalik.

"Kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Sementara itu, Chin Kean berkata, menjadi rutin mereka berdua turun ke laut untuk melihat pukat dan menaikkan ikan.

Katanya, bagaimanapun ketika dalam perjalanan pulang, bot mereka  berlanggar dengan sebuah bot nelayan.

“Saya mula panik bila jatuh dalam laut, ditambah pula dengan cuaca gelap. Saya berjaya diselamatkan nelayan lain, namun ayah tidak ditemui,” katanya.

Lelaki tembak mati empat ahli keluarganya

Lelaki tembak mati empat ahli keluarganya
Lokasi kejadian kes pembunuhan tersebut. - Foto AP

ARIZONA - AMERIKA SYARIKAT. Seorang lelaki menembak mati empat ahli keluarganya termasuk  anak saudaranya yang berusia 17 tahun sebelum menembak diri sendiri.

Jurucakap polis, Sarjan Pete Dugan berkata, Christopher Carrillo, 25, membunuh keluarganya di rumah mereka yang terletak di kawasan kejiranan Tucson.

Antara yang ditembak mati ialah, Raul Carrillo, 58, Karen Saari, 53, Erick Carrillo, 32 dan Isela Rodriguez, 17.

Kesemua mayat ditemui oleh seorang lelaki yang mengunjungi rumah berkenaan.

"Polis masih menyiasat motif pembunuhan dan siasatan awal mendapati tiada tanda-tanda rumah tersebut diceroboh", kata Pete dipetik AP.

Menurut jiran mangsa, Araceli Zatarain, keluarga tersebut telah menghuni kediaman tersebut lebih 20 tahun lalu.

Kilang kasut terbakar, puluhan terkorban

Kilang kasut terbakar, puluhan terkorban
Pasukan polis forensik mengeluarkan mayat mangsa yang terkorban dalam kebakaran kilang kasut di Manila.

MANILA - FILIPINA. Sekurang-kurangnya 72 orang terbunuh dalam satu kebakaran besar di sebuah kilang kasut di ibu negara Filipina, menurut pihak berkuasa, semalam.

Menurut laporan, kebakaran bermula tengah hari kelmarin, itu tercetus daripada percikan api dari kerja kimpalan bahan kimia mudah terbakar berhampiran kilang tersebut.

Pegawai bomba memaklumkan kebanyakan mangsa meninggal dunia akibat sesak nafas akibat terhidu asap tebal dan angka kematian dijangka meningkat.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Leonardo Espina berkata, pihaknya sedang menyiasat punca sebenar kejadian tersebut.
"Sudah tentu ada pihak bertanggungjawab yang akan didakwa dalam kes tersebut. Siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya dalam sebuah sidang akhbar dalam laopran Press TV.

Remaja dirogol ‘spiderman’

Rogol
Sekadar gambar hiasan

KUALA TERENGGANU - Seorang remaja wanita tidak menyangka keputusannya berehat di rumah bersendirian pada waktu tengah hari turut tidak selamat apabila dirogol seorang lelaki bertopeng ala-ala ‘spiderman’, di kediamannya di Kampung Bukit Guntung, Marang, Rabu lalu.
Dalam kejadian lebih kurang jam 12 tengah hari itu, mangsa berusia 17 tahun dikatakan sedang lena tidur di dalam bilik sebelum dikejutkan dengan kehadiran lembaga bertopeng tersebut.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, suspek bukan sahaja bertopeng, malah turut memakai sarung tangan itu terus bertindak menekup mulut sebaik menyedari mangsa tersedar daripada tidurnya.

“Suspek menekup mulut mangsa bagi mengelak dia menjerit, bagaimanapun dengan kudrat yang ada, mangsa cuba melawan untuk menyelamatkan dirinya.
“Namun, ketika itu juga suspek bertindak keluarkan pisau lipat lalu diacukan ke arah mangsa sebagai ugutan sekiranya mangsa masih berdegil mahu melawan sebelum merogolnya,” katanya di pejabatnya, semalam.
Wan Abd Aziz berkata, selepas melakukan perbuatan terkutuk itu, suspek terus melarikan diri meninggalkan mangsa bersendirian menerusi pintu utama rumah.
Jelasnya, mangsa yang ditinggalkan itu terus cuba hubungi ibunya yang ketika itu di tempat kerja, namun gagal sebelum mengambil keputusan menghubungi rakan baiknya dan seterusnya membuat laporan polis.
“Siasatan awal mendapati tiada tanda kediaman mangsa dipecah masuk suspek, namun siasatan akan diteruskan bagi mengenal pasti identiti serta bagaimana cara suspek menceroboh masuk rumah mangsa.
“Mangsa dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan n susulan,” katanya.
Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sehingga 20 tahun dan sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Wanita terselamat jadi makanan beruang

Wanita terselamat jadi makanan beruang
Keadaan Natalya ketika ditemui penyelamat . - Foto The Siberian Times

MOSCOW - RUSIA. Seorang wanita parah dan kini sedang dirawat di hospital selepas diserang oleh seekor beruang di sini baru-baru ini.

Ketika kejadian, Natalya Pasternak, 55 bersama seorang rakannya mencari kayu di sebuah hutan berhampiran Tynda di wilayah Amur.

Menurut laporan The Siberian Times, selepas menyerang mangsa, beruang tersebut menimbus wanita itu dengan tanah kerana menyangkakan wanita tersebut telah mati sebelum kembali semula untuk menjamahnya.

Namun tindakan pantas anggota penyelamat selepas menerima laporan dari rakannya yang melarikan diri berjaya menyelamatkan nyawa wanita itu daripada menjadi makanan haiwan liar itu.

Beruang itu berjaya ditembak mati selepas turut cuba menyerang anggota penyelamat.

Penyelamat berjaya mengesan mangsa selepas menyedari tangan mangsa yang berlumuran darah disebalik timbunan daun kering.

Ketika ditemui, wanita itu berada dalam keadaan sedar dan mengalami kecederaan teruk di kepala dan kakinya.

Sebelum ini, terdapat beberapa serangan membabitkan beruang di kawasan wilayah berkenaan dengan sekurang-kurangnya tiga terbunuh dalam kejadian berasingan.

Drama tebusan berakhir

Gambar hiasan
Gambar hiasan

KABUL - AFGHANISTAN. Sekurang-kurangnya 14 termasuk sembilan warga asing terbunuh selepas sekumpulan lelaki bersenjata menyerang sebuah rumah tamu di kejiranan Shar-e-Naw di ibu negara Afghanistan, kelmarin.

Menurut laporan Al-Jazeera, media tempatan melaporkan drama tebusan itu berakhir selepas Unit Tindakan Khas merampas semula bangunan tersebut dan menyelamatkan kira-kira 54 tebusan.

Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Kabul, Abdul Rahman Rahimi mengesahkan berlaku insiden berbalas tembakan hingga menyebabkan beberapa tebusan turut cedera.

"Pejuang Taliban mengaku bertanggungjawab mendalangi serangan selama tujuh jam di bangunan berhampiran pejabat PBB dan kediaman kedutaan asing tersebut," katanya lagi.

Sejak akhir bulan lalu, Taliban memperhebat serangan mereka dengan menyasarkan kerajaan dan warga asing di negara itu.

Trauma minum, mandi air mayat



Mayat seorang lelaki terapung ditemui di dalam tangki simpanan air di sebuah kondominium di Bukit Damansara Selasa lalu.


KUALA LUMPUR – Misteri bau busuk air yang digunakan peng­huni sebuah kondominium di Bukit Damansara di sini sejak Khamis ming­gu lalu akhirnya terjawab selepas pihak berkuasa menjumpai mayat seorang lelaki terapung di dalam tangki simpanan air di salah satu blok perumahan itu pada Selasa lepas.
Mayat lelaki itu ditemui oleh pekerja penyelenggara kondominium berkenaan pada pukul 9.25 malam selepas mereka menerima aduan penghuni berhubung air yang keluar dari paip rumah berbau pelik dan busuk.
Seorang penghuni yang hanya ingin dikenali sebagai Abbas, 23, memberitahu dia terkejut apabila air rumah yang didiaminya selama setahun itu mengeluarkan bau busuk seakan-akan bau air limbah sejak Ahad lepas.
Katanya, bau dan rasa air itu sedikit meloyakan, namun dia dan rakan serumahnya tidak peduli kerana beranggapan mungkin paip rumah mereka berkarat.
“Sudah lima hari kami minum dan mandi dengan air tersebut. Hanya kelmarin (Rabu) kami tahu bau pelik dan busuk itu akibat ada mayat dalam tangki berkenaan selepas mendapat notis gangguan air.
“Saya difahamkan pihak pe­ngurusan telah membersihkan tangki itu,” kata pelajar Universiti Help itu ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Difahamkan, blok kondo­minium itu didiami hampir 1,000 penghuni.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0515&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz3a9bu5atV 
Hakcipta terpelihara 

Sirip penstabil punca nahas


BEGINILAH keadaan padang tempat pendaratan helikopter yang dinaiki enam penumpang termasuk Jamaluddin di Sekolah Rendah Ladang Kota Bahagia, Muadzam Shah, Pahang. – Gambar hiasan


PUTRAJAYA – Laporan siasatan awal nahas helikopter Dauphin AS365N3 yang mengorbankan Ahli Parlimen Rompin, Allahyarham Tan Sri Dr. Jamaluddin Jarjis dan lima yang lain mendapati besi penstabil pesawat itu mengalami kerosakan ketika mendarat di padang Sekolah Rendah Ladang Kota Bahagia, Muadzam Shah, Pahang.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, siasatan mendapati helikopter itu senget sehingga 13 darjah selepas roda kirinya terbenam ke dalam tanah sedalam 0.5 meter kerana mendarat di atas tanah lembap di padang sekolah berkenaan pada 4 April lalu.
Katanya, helikopter itu berlepas dari Lapangan Terbang Kuantan pada pukul 11.41 pagi sebelum mendarat di Pekan, Pahang pada pukul 12.31 tengah hari pada hari yang sama.
“Lima penumpang menaiki helikopter itu yang berlepas dari Pekan pada pukul 3.40 petang menuju ke Muadzam Shah.
“Setengah jam kemudian, ia berlepas menuju ke arah barat iaitu ke Bandar Tun Razak, Rompin sebelum mendarat di padang sekolah berkenaan,” katanya pada sidang akhbar berhubung siasatan awal nahas itu di sini semalam.
Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Pengarah Operasi DCA, Datuk Yahya Abdul Rahman.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0515&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz3a9bg1TG5 
Hakcipta terpelihara 

Jon-un didakwa bunuh menterinya dengan senjata penangkis pesawat



REUTERS - JONG UN-UN (tengah) tersenyum semasa melawat sebuah kolam ternakan ikan di Pyongyang pada 11 Mei lalu.


SEOUL – Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un mengarahkan menteri pertahanannya ditembak menggunakan meriam antipesawat kerana ing­kar dan tertidur semasa satu perhimpunan tentera, kata agensi perisikan Korea Selatan.
Jika disahkan, kejadian itu merupakan satu lagi bukti kekejaman Jon-un dalam berurusan dengan pegawai-pegawai paling kanan yang disyaki membelot selepas beliau membunuh bapa saudara dan mentornya, Jang Song-thaek pada 2013.
Insiden itu turut membayangkan pergelutan kuasa dalam kalangan kepimpinan tertinggi Korea Utara susulan keputusan Jong-un membatalkan lawatannya ke Moscow pada minggu lalu untuk menangani ‘isu dalaman.’
Pada akhir bulan lalu, Agensi Perisikan Negara Korea Selatan (NIS) melaporkan bahawa Jong-un mengarahkan 15 pegawai kanannya dibunuh sepanjang tahun ini termasuk dua timbalan menteri kerana mempersoalkan arahannya.
Dalam satu taklimat kepada jawatankuasa Parlimen semalam, Timbalan Pengarah NIS, Han Ki-beom berkata, beratus-ratus orang menyaksikan pelaksanaan hukuman mati terhadap Menteri Pertahanan Hyon Yong-chol yang dipercayai dilakukan dengan senjata penangkis pesawat sekitar 30 April lalu di sebuah akademi tentera di Pyongyang. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0514&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3a9bLdvBN 
Hakcipta terpelihara 

Gencatan senjata di Yemen bertahan


REUTERS - ASAP tebal naik ke udara selepas serangan udara pakatan Arab Saudi mengenai kedudukan pemberontak Houthi di Sanaa, Yemen kelmarin.


SANAA – Gencatan senjata kemanusiaan lima hari di Yemen secara keseluruhannya bertahan semalam walaupun terdapat laporan beberapa serangan udara dilancarkan oleh pakatan diketuai Arab Saudi dan tindakan berterusan pemberontak Syiah Houthi di timur negara itu.
Satu pakatan ketenteran yang diketuai oleh Arab Saudi berterusan mengebom pemberontak Houthi di Yemen sejak 26 Mac lalu. Sehingga kini, militia Houthi yang disokong Iran menguasai sebahagian besar Yemen termasuk ibu kotanya, Sanaa.
Beberapa saksi di bandar Abyan, barat daya Yemen memberitahu, serangan udara mengenai kedudukan pemberontak Houthi selepas mereka menawan Abyan beberapa jam setelah gencatan senjata bermula pada pukul 11 malam (waktu tempatan).
Penduduk tempatan pula menyatakan, sekurang-kurangnya 35 orang awam terbunuh dalam serangan udara pakatan Arab Saudi di bandar Abs dan Zabeed, barat Yeman menjelang gencatan senjata tersebut kelmarin.
Dalam pada itu, pemerintah Arab Saudi, Raja Salman menggandakan bantuan kepada Yemen, menjadikannya sebanyak AS$540 juta (RM1.9 bilion).
Pada 18 April lalu, Riyadh berjanji akan membiayai keseluruhan bantuan bernilai AS$274 juta (RM986.2 juta) yang diminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk membantu mangsa-mangsa perang di Yemen. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0514&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3a9bEn6YK 
Hakcipta terpelihara 

Bapa bunuh anak untuk rebut hak milik rumah





HERTFORDSHIRE, Britain – Seorang lelaki yang baru tiga minggu mendapat hak penjagaan bertindak memukul sehingga mati anak perempuannya kerana mahu mendapat lebih banyak faedah dan sebuah rumah.
Biz Bonanza Deal. The Only Broadband Deals for SMEs

Carl Wheatley, 31, mengaku membunuh Alexa-Marie Quinn pada Mac tahun lepas selepas pihak berkuasa tempatan memberikannya hak penjagaan daripada sebuah keluarga angkat.
Mahkamah menolak pengakuannya yang menyatakan kematian kanak-kanak berusia empat tahun itu sebagai kurang tanggungjawab selepas mendapati dia melakukan pembunuhan kejam.
Wheatley sebelum ini pernah memberitahu rakan sekerjanya bahawa dia boleh mendapat sebuah rumah dengan dua bilik dan faedah £1,700 (RM9,585) jika mendapat hak penjagaan terhadap kanak-kanak itu.
Pendakwa Raya di Mahkamah Crown St. Albans, Christopher Donnellan QC memberitahu, terdapat 65 kesan lebam di tubuh kanak-kanak itu dan lebam ke-66 menyebabkan kematiannya.
“Selepas tiga minggu mendapat hak penjagaan, lelaki itu memukul dengan teruk sehingga membawa kematian terhadap Quinn,” ujarnya. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0515&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3a9b82Gt5 
Hakcipta terpelihara 

Taliban serang konsert di Kabul



REUTERS - SEORANG anggota polis kelihatan mengawal pintu msuk rumah tetamu yang diserang oleh anggota militan Taliban di Kabul.


KABUL – Sekurang-kurangnya 14 orang dengan kebanyakannya warga asing terbunuh dalam serangan kumpulan Taliban ke atas sebuah rumah tumpangan di Kabul yang menyebabkan berpuluh-puluh orang menghadiri sebuah konsert terperangkap, kata pihak berkuasa semalam.
Penyerang turut bertempur dengan pasukan keselamatan Afghanistan selama beberapa jam.
Empat warga India dan dua rakyat Pakistan dan seorang warga Amerika Syarikat antara yang maut dalam serangan ke atas rumah tumpangan Park Palace menjelang persembahan penyanyi popular Afghanistan, Altaf Hussain.
Kumpulan Taliban mengaku bertanggungjawab melakukan serangan selama tujuh jam itu yang mencetuskan letupan dan tembakan senjata api. Ia berlaku semasa tentera Afghanistan berdepan musim pertempuran pertama memerangi Taliban tanpa bantuan tentera asing yang diketuai AS.
Terdahulu, Ketua Polis Kabul, Abdul Rahman Rahimi berkata, seramai lima orang termasuk warga asing dan penduduk tempatan maut dalam serangan itu, manakala lima lagi cedera.
Namun, bilangan kematian yang disahkan oleh kerajaan asing kemudian menyaksikan angka korban meningkat.
“Seramai 54 orang berjaya diselamatkan,” tambah Rahimi selepas ratusan anggota pasukan keselamatan mengepung Park Palace yang terletak di kejiranan mewah dan popular dalam kalangan pekerja bantuan antarabangsa. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0515&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3a9as4FMY 
Hakcipta terpelihara 

Waris berang kebakaran kilang di Filipina ragut 72 nyawa


ANGGOTA polis forensik berdiri berdekatan mayat-mayat yang dikeluarkan dari kawasan kebakaran di sebuah kilang selipar di Bandar Valenzuela, Manila semalam.


MANILA – Seramai 72 orang disahkan terkorban dalam kebakaran besar di sebuah kilang selipar di ibu kota Filipina, kata pihak berkuasa semalam sekali gus membangkitkan kemarahan waris mangsa dan pekerjanya.
Waris berkata, majikan gagal menyediakan persekitaran kerja yang baik dan tidak mempunyai sistem keselamatan kebakaran.
Berpuluh-puluh mayat dikeluarkan daripada runtuhan kilang dua tingkat itu semalam, sehari selepas kebakaran menyebabkan ramai pekerja terperangkap ekoran kekurangan pintu keselamatan dan ketiadaan latihan kecemasan.
“Banyak mayat hanya tinggal tengkorak dan tulang,” kata ketua polis Filipina, Leonardo Espina dalam satu sidang akhbar yang penuh emosi.
“Walaupun kebakaran itu satu kemalangan, ramai orang mati. Kami sedang menyiasat untuk mengetahui dengan jelas apa yang berlaku. Pastinya, seseorang akan didakwa,” kata Espina.
Kebakaran dipercayai berpunca daripada percikan api peralatan kimpalan yang menyambar bahan kimia mudah terbakar di sebelahnya. Ketika kejadian, mesin kimpalan itu digunakan untuk membaiki sebuah pagar patah.
Bangunan itu merupakan antara deretan kilang di daerah Valenzuela, utara pinggir bandar raya Manila. Kilang itu membuat selipar murah dan sandal untuk pasaran tempatan.
“Selipar dan sandal ini mempunyai nama seperti Havana yang menyerupai jenama global terkenal,” kata beberapa pekerja kilang itu.
Menurut waris dan mang­sa terselamat pula, pekerja kilang itu bekerja dengan bayaran bawah gaji minimum serta dikelilingi bahan kimia berbau busuk.
“Para pekerja tidak tahu tentang sistem keselamatan kebakaran. Kami tidak akan melupakan apa yang berlaku,” kata seorang waris mangsa, Rodrigo Nabor. Dia kehila­ngan dua saudara perempu­annya dalam kebakaran itu.
Menurutnya, pekerja kilang itu dibayar bergantung kepada bilangan selipar yang di­siapkan, manakala gaji mereka serendah 300 peso (RM24) sehari. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0515&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3a9aZtWeX 
Hakcipta terpelihara 

Kerajaan Nepal bergelut hantar bantuan


Penduduk Nepal, Januka Khanal (kanan) dan Rojina Parajuli dari
PENDUDUK Nepal, Januka Khanal (kanan) dan Rojina Parajuli dari Kampung Kavre sugul semasa melawat rumah mereka yang musnah akibat gempa bumi susulan, kelmarin. AFP
KATHMANDU 14 Mei – Kerajaan Nepal dilapor berdepan cabaran untuk menghantar bantuan ke beberapa kawasan terpencil di negara ini yang terjejas teruk dengan gempa bumi susulan yang melanda negara ini kelmarin.
Pekerja dan pasukan penyelamat terpaksa bekerja dari khemah-khemah dan tempat perlindungan sementara untuk mengerakkan operasi menghantar bantuan ke kawasan terbabit, selepas gempa bumi susulan menyebabkan bangunan-bangunan kerajaan di ibu negara ini rosak teruk.
Kerajaan Nepal yang mengakui terjejas teruk akibat gempa bumi pada 25 April lalu kini sedang bergelut untuk menghantar bantuan ke kawasan pergunungan terpencil di timur negara ini yang terjejas teruk dengan gempa susulan itu.
Keadaan itu menjadi bertambah buruk ekoran kompleks kerajaan Singha Durbar di Kathmandu mengalami kerosakan teruk dengan sebahagian daripada bangunan itu menjadi tidak stabil dan tidak dapat digunakan lagi.
Gempa susulan pada Selasa lalu berukuran 7.3 pada skala Richter telah menyebabkan berlaku kejadian tanah runtuh serta mengakibatkan banyak bangunan runtuh dan tidak stabil, selepas gempa bumi kuat pada 25 April lalu mengorbankan lebih 8,000 penduduk dan memusnahkan hampir 500,000 rumah kediaman.
Jurucakap Perdana Menteri, Uttar Kumar Khatri berkata, pasukannya kini beroperasi di luar khemah dan menyifatkn keadaan itu sebagai satu `situasi sukar’.
“Operasi kami buat masa ini tertumpu kepada pengurusan bencana.
Di Kathmandu sahaja menyaksikan 11 kematian dalam gempa susulan, kelmarin dan penduduk yang masih trauma menghabiskan masa sepanjang malam berada di luar bangunan kerana takut untuk pulang ke rumah masing-masing.
Dalam pada itu, satu operasi besar-besaran dilancarkan untuk mencari sebuah helikopter tentera Amerika Syarikat (AS) yang hilang bersama lapan penumpang diteruskan semalam masuk hari ketiga berturut-turut.
Helikopter tentera Nepal dan AS bersama berpuluh-puluh anggota tentera di lapangan meninjau kawasan pergunungan terpencil, lokasi helikopter itu dilaporkan hilang.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Laxmi Prasad Dhakal berkata, jumlah keseluruhan kematian akibat gempa susulan kelmarin meningkat kepada 96 orang dengan lebih 2,500 penduduk cedera. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/kerajaan-nepal-bergelut-hantar-bantuan-1.91862#sthash.zJ1Xt7PQ.dpuf