Search This Blog

Thursday, May 14, 2015

Lelaki, wanita diculik kumpulan bersenjata di restoran di Sandakan


SANDAKAN: Dua warga tempatan, seorang lelaki dan seorang wanita, diculik sekumpulan lelaki bersenjata di Restoran Ocean King, dekat sini, jam 7.50 malam ini.
Thien Nyuk Fun, wanita berusia 50 tahun dan pelancong dari Sarawak berumur 39 tahun, dilarikan sekumpulan empat lelaki dipercayai bersenjatakan pistol dan M16 dengan dua lagi suspek menunggu di bot.
Ketika kejadian, wanita yang juga adik ipar kepada pemilik restoran berkenaan berada di kaunter, manakala lelaki terbabit berada di meja makan bersama isteri dan seorang rakan.
Difahamkan, kumpulan bersenjata terbabit muncul secara tiba-tiba dari arah laut dan hanya mengambil masa kira-kira seminit untuk melarikan kedua-dua mangsa dengan sebuah bot laju.

Mereka kemudian dilihat melarikan diri ke arah perairan antarabangsa, dipercayai menghala ke negara jiran.
Pengurus restoran, Chung Yun Thiam, 60, berkata ketika kejadian ada kira-kira 80 pelanggan sedang menikmati makan malam sebelum tiba-tiba muncul empat lelaki bersenjata terbabit.
Katanya, semua lelaki terbabit memakai pakaian celoreng tetapi tidak bertopeng dengan seorang daripadanya membawa raifal M16 dan peluru disangkut pada badannya.
"Menyedari kehadiran empat lelaki bersenjata itu, semua pelanggan lari untuk menyelamatkan diri, namun mangsa wanita dan lelaki berkenaan tidak sempat lari," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, menerusi aplikasi WhatsApp berkata, pihaknya masih mendapatkan fakta berhubung kes berkenaan.
Tinjauan BH di tempat kejadian mendapati pasukan keselamatan mengawal ketat kawasan terbabit.

Angka korban kilang selipar terbakar di Manila naik 45 orang

MANILA: Angka kematian akibat kebakaran sebuah kilang selipar di pinggir Manila melonjak kepada sekurang-kurangnya 45 orang dengan 26 masih hilang.
Datuk Bandar Valenzuela di utara Manila, Rex Gatchalian berkata mayat mangsa sudah dikeluarkan dari kilang selipar berkenaan, Kentex Manufacturing Corp. - AP
ANGGOTA keselamatan mengusung mayat mangsa kebakaran kilang selipar di Valenzuela, Manila. - Foto EPA

Lima termasuk rakyat asing maut dalam serangan di Kabul

KABUL: Kumpulan militan dilaporkan membunuh lima orang termasuk warga asing dalam serangan yang berlarutan lebih tujuh jam ke atas sebuah rumah tetamu di Kabul, lewat malam tadi.
"Lima terbunuh dan lima lagi cedera termasuk beberapa warga asing dan rakyat tempatan Afghanistan dalam serangan ke atas rumah tetamu Park Palace," kata Ketua Polis Kabul, Abdul Rahman Rahimi.
Beliau berkata, pasukan keselamatan yang bertindak berjaya menyelamatkan 54 yang lain.
Tiada kumpulan yang tampil mengaku bertanggungjawab dalam serangan terbaharu itu, namun ia dipercayai dilakukan kumpulan Taliban berdasarkan beberapa kejadian sebelum ini membabitkan serangan ke atas warga asing.
Kedutaan Amerika Syarikat di Kabul sebelum itu mengesahkan bahawa seorang rakyat Amerika terbunuh, manakala Duta India dalam Twitternya berkata terdapat beberapa rakyat India cedera atau kehilangan nyawa dalam serangan itu. - AFP
ANGGOTA polis ketika mengawal kawasan serangan terhadapa warga asing di rumah tetamu di Kabul. - Foto REUTERS

Kumpulan Taliban akui serang rumah tetamu di Kabul



PEGAWAI keselamatan Afghanistan berkawal di pintu masuk sebuah rumah tetamu Park Palace di Kabul. - Foto EPA
KABUL: Kumpulan Taliban, hari ini berkata mereka adalah pihak yang bertanggungjawab ke atas serangan ke atas sebuah rumah tetamu di Kabul ketika majlis konsert di Kabul yang menyebabkan lima orang terkorban, termasuk dua rakyat India dan Amerika Syarikat.
"Ia satu misi bunuh diri dijalankan oleh salah seorang Mujahideen kami dari Logar. Serangan ini dirancang baik dengan sasaran ke atas orang penting dan rakyat AS yang menghadiri majlis berkenaan," menurut kumpulan militan berkenaan dalam kenyataan.
Kedutaan Amerika Syarikat di Kabul sebelum itu mengesahkan bahawa seorang rakyat Amerika terbunuh, manakala Duta India dalam Twitternya berkata terdapat beberapa rakyat India cedera atau kehilangan nyawa dalam serangan itu. - AFP

15 terperangkap dalam lombong emas di Colombia

BOGOTA: Sekurang-kurangnya 15 orang terperangkap apabila lombong emas tidak berlesen runtuh di barat Colombia, kata pihak berkuasa.
Anggota pasukan penyelamat sedang berusaha untuk mengeluarkan mereka.
"Lombong emas itu runtuh selepas banjir berpunca daripada lubang yang dikorek untuk mengeluarkan emas. Sekurang-kurangnya 15 orang terperangkap," kata wakil agensi kecemasan UNGRD, Luis Pineros.
"Kami dalam proses mencari dan menyelamat," katanya. Seramai 50 anggota penyelamat dan perubatan berada di tempat kejadian.
Insiden berlaku di kawasan penduduk asli di daerah Riosucio.
Komander Jabatan Polis Caldas, Luis Duarte berkata, sebahagian pelombong terperangkap pada kedalaman kira-kira 17 meter dan selebihnya pada 10 meter.
Sehubungan itu, Agensi Perlombongan Negara (ANM) berkata, anggota bomba melaporkan gas di dalam terowong lombong mungkin menyebabkan runtuhan.
Perniagaan meningkat sejak beberapa dekad lalu di kalangan pelombong haram apabila harga emas meningkat daripada AS$400 kepada hampir AS$1,200 seaun.
Berdasarkan perangkaan kerajaan, Colombia adalah pengeluar emas utama dengan hasil lebih 55,000 kilogram pada 2013. - AFP
PEKERJA lombong mengangkat bag pasir untuk menghalang runtuhan ketika proses mencari dan menyelamat mangsa yang terperangkap. - Foto REUTERS

Dua Penagih Rompak Rumah Doktor Ditahan


Diterbitkan: Khamis, 14 Mei 2015 2:52 PM

KANGAR: Dua penagih tidak sempat membelanjakan hasil rompakan mereka ke atas rumah seorang doktor di sini pada Rabu apabila diberkas beberapa jam selepas itu.
Ketua Polis Perlis, Datuk Zull Aznam Haron berkata mereka yang berumur 26 dan 28 tahun memecah masuk rumah tersebut di Jalan Raja Syed Alwi antara pukul 3 hingga 4 pagi.
"Mereka memanjat balkoni rumah itu dan mengumpil pintu bilik dan melarikan 10 utas jam tangan dan barang-barang kemas bernilai kira-kira RM160,000," katanya.
Beliau berkata doktor berumur 50-an itu yang mengusahakan sebuah klinik  hanya menyedari kejadian tersebut apabila bangun tidur dan membuat aduan.
Kedua-dua pencuri itu dikesan kemudiannya.

Polis Thailand Buru Dalang Utama Sindiket Pemerdagangan Manusia


Diterbitkan: Khamis, 14 Mei 2015 9:15 AM
Pendatang-pendatang tanpa izin dari Bangladesh dan Rohingya tiba di pusat tahanan sementara di Langkawi pada Rabu.

BANGKOK: Dalang sindiket penyeludupan manusia yang telah membawa beribu-ribu pendatang haram dari Bangladesh dan Myanmar ke rantau ini dipercayai bersembunyi di Malaysia.

Pegawai Kanan Polis Wilayah Thailand, yang dikenali Ko Tong berkata, pihaknya kini melancarkan pemburuan terhadap Pajjuban Aungkachotephan bersama waran tangkap yang dikeluarkan pada Sabtu.

Ketua Polis Thailand, Jeneral Somyot Poompanmoung berkata, Pajjuban telah melarikan diri ke sebuah "negara jiran" manakala media tempatan melaporkan suspek dipercayai berada di Langkawi, yang menjadi lokasi penemnuan 1,158 orang pendatang tanpa izin beberapa hari yang lalu.

Jelas Somyot, aset milik Pajjuban kira-kira bernilai 10 juta baht turut disita oleh Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLO).

Lembaga eksekutif AMLO itu juga memutuskan untuk merampas aset yang dimiliki oleh beberapa orang lain yang disyaki menjalankan penyeludupan Rohingya, dengan jumlah 189 jenis aset bernilai 75 juta baht.

Pemeriksaan ke atas 19 buah kubur yang tidak bertanda di pulau persendirian milik Pajjuban di Rat Yai luar wilayah Satun turut dijalankan.

Gabenor Satun, Dejrat Simsiri yang turut berada di pulau ketika pemeriksaan dilakukan berkata, mayat-mayat di dalam kubur adalah rakyat Thailand selepas identiti mereka telah disahkan oleh saudara-mara.

Penduduk tempatan di Satun berkata Rat Yai terkenal kerana ia merupakan kawasan larangan.

"Jika mana-mana bot menghampiri pulau itu, bot laju lain akan datang dan menyuruh mereka untuk pergi dari kawasan itu," kata seorang penduduk tempatan yang tidak mahu dikenali.

Spekulasi mengenai pulau ini timbul apabila dipercayai lokasi ini menjadi penempatan sementara pendatang-pendatang sebelum dibawa masuk ke Langkawi dan seluruh Malaysia.

Polis juga telah menyerbu 15 lokasi di Satun dan merampas beberapa aset milik Pajjuban, termasuk dua buah kereta dan sepucuk pistol.

Mereka juga menemui tiga buah kenderaan Mercedes, sebuah hotel 28 bilik dan dua buah bot.

Pihak AMLO kini sedang menyiasat sama ada pembelian harta benda Pajjuban itu sah atau tidak.

Komander kanan polis, General Mejar Paween Phongsirin, berkata polis telah mendapatkan satu lagi waran tangkap bagi seorang suspek utama, menjadikan jumlah keseluruhan 51 orang termasuk Pajjuban.

Katanya, polis memberi tumpuan bagi melindungi beberapa saksi dan mangsa Rohingya yang secara sukarela maklumat yang membawa kepada penerbitan waran.

Lebih daripada 8,000 pendatang dilaporkan hanyut di luar pantai Thailand, Malaysia dan Indonesia, sekaligus menimbulkan krisis kemanusiaan yang serius bagi semua kerajaan di rantau ini.

Dua Beradik Curi Motosikal Dicekup


Diterbitkan: Khamis, 14 Mei 2015 3:02 PM

KUANTAN: Dua beradik yang dipercayai terlibat dengan satu kes mencuri motosikal pada 8 Mei lepas ditahan selepas polis menyerbu rumah mereka di Kampung Batu 8, Jalan Gambang, di sini petang Rabu.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Abdul Aziz Salleh berkata, kedua-dua suspek yang berumur 35 dan 30 tahun itu ditahan pada 6 petang oleh sepasukan anggota polis dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Jaya Gading.
"Ketika disoal siasat si abang mengaku mencuri sebuah motosikal model Yamaha Nouvo S pada 8 Mei lepas dan bercadang meminta adiknya memulangkan semula motosikal itu kepada mangsa yang tinggal di Taman Tas, di sini," katanya di sini, Khamis.
Bagaimanapun hasil pemeriksaan terhadap motosikal yang ditemui di rumah mangsa mendapati, suspek telah mengubah nombor plat kenderaan itu kepada nombor pendaftaran palsu.
Katanya siasatan lanjut juga mendapati suspek yang berusia 35 tahun itu merupakan orang yang dikehendaki bagi membantu kes curi kenderaan mengikut Seksyen 379 (a) Kanun Keseksaan.
Menurutnya, kedua-dua suspek yang positif dadah dibawa ke Balai Polis Kuantan untuk siasatan lanjut.

Empat Pengedar Dadah Ditahan Ketika Sibuk 'Berniaga'


Diterbitkan: Khamis, 14 Mei 2015 3:05 PM

GEORGE TOWN: Empat lelaki disyaki pengedar dadah ditahan ketika cuba menjalankan urus niaga dadah di tempat parkir kenderaan sebuah pusat beli-belah di Bandar Perai Jaya dekat sini, 12 Mei lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang Supt Guan Beng Kang berkata hasil risikan dan maklumat awam, sepasukan anggotanya bersama JSJN Bukit Aman menahan dua daripada suspek di dalam kereta Hyundai Sonata pada 5.45 petang.
Beliau berkata susulan penahanan suspek, polis menemui 18 paket lut sinar berisi dadah ketamin seberat satu kilogram setiap satu dianggar bernilai RM750,000 disorok dalam but kereta berkenaan.
"Dua lagi lelaki ditahan dalam kereta masing-masing dalam tempoh 10 minit tidak jauh dari suspek pertama ditahan dan kesemua mereka didapati datang secara berasingan," katanya dalam sidang akhbar di sini.
Beliau berkata but kereta itu telah diubah suai dan polis nyaris terpedaya kerana tempat simpanan dadah berkenaan dilindungi sistem pembesar suara.
"Terdapat satu 'remote control' dekat dengan pembesar suara, apabila kita tekan barulah bahagian yang mengandungi dadah itu terbuka," katanya.
Beliau berkata kumpulan itu dipercayai telah beroperasi selama enam bulan dan sering menjadikan ruangan parkir bawah tanah itu sebagai tempat kegiatan mereka.
Guan berkata polis turut menyita tiga kereta lain yang dinaiki suspek iaitu Nissan Teana, Honda Civic dan Perodua Myvi selain barang kemas bernilai RM15,800 dan wang tunai berjumlah RM10,311.
Beliau berkata suspek berusia antara 24 dan 45 tahun itu ditahan reman sehingga 18 Mei ini untuk siasatan lanjut dan polis masih menyiasat sama ada terdapat rakan jenayah lain yang terlibat.
"Hasil ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah namun hasil semakan hanya seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes dadah," katanya.

Lelaki Mengamuk Lepaskan Tembakan


Diterbitkan: Khamis, 14 Mei 2015 3:23 PM

KOTA BAHARU: Polis menahan seorang lelaki berusia 40 tahun kerana melepaskan tembakan ke arah orang ramai di sebuah kedai makan di Rantau Panjang pada Rabu malam.
Dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam itu, suspek yang memandu kereta dipercayai telah melanggar sebuah kereta yang dipakir di kawasan terbabit dan menyebabkan pelanggan kedai berkenaan marah.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata orang ramai kemudiannya membaling batu ke arah kereta suspek menyebabkan cermin keretanya pecah lalu suspek keluar dari kenderaannya dan melepaskan beberapa das tembakan menggunakan senjata tiruan ke arah kira-kira 20 pelanggan di kedai berkenaan.
Selepas itu, suspek melarikan diri, katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah-Terima Tugas Jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, Khamis.
Beliau berkata suspek ditahan pada 7 pagi tadi di rumah neneknya di Kampung Bunut Susu, Pasir Mas.
"Suspek menggunakan senjata tiruan dan menggunakan peluru galas bebola, kita juga berjaya rampas kelongsong peluru yang digunakan suspek.
"Suspek mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kesalahan dadah dan ketika ditahan suspek positif dadah jenis methamphetamine," kata Mazlan.
Mazlan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Dalam perkembangan lain, Mazlan berkata lima anggota kumpulan yang aktif menjalankan kegiatan samun berkumpulan di beberapa daerah di negeri ini ditahan di Cheras, Selangor pada 7 dan 8 Mei lepas.
Pada majlis itu, ACP Ahmad Taufek Abdullah yang sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Ketua Staf Siasatan I Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) dilantik sebagai KJSJ Kelantan yang baharu menggantikan ACP Lai Yong Heng yang bersara.

PDRM Nafi Ko Tong Sembunyi Di Langkawi


Diterbitkan: Khamis, 14 Mei 2015 4:29 PM

ALOR SETAR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan bahawa warga Thailand yang dikatakan perancang utama sindiket pemerdagangan manusia di negara itu sedang bersembunyi di Langkawi.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Supt Harith Kam Abdullah berkata ini kerana usaha menjejaki lelaki itu yang dikenali sebagai Pajjuban Aungkachotephan atau 'Ko Tong' menemui jalan buntu.
"Sehingga sekarang usaha mengesan suspek gagal. Daripada maklumat masyarakat tempatan, suspek daripada Wilayah Satun tidak berada di Langkawi," katanya kepada Bernama.
Menurut laporan media asing, suspek yang merupakan bekas pegawai kanan kerajaan tempatan merupakan perancang utama sindiket yang membawa masuk ribuan pendatang daripada Bangladesh dan Myanmar ke Thailand serta Malaysia.
Pada Rabu, Ketua Polis Thailand, Jen Somyot Poompanmoung berkata suspek  telah melarikan diri ke 'negara jiran' dengan media Thailand melaporkan Pajjuban sedang bersembunyi di Langkawi.
Mereka melaporkan Pajjuban menggunakan sebuah pulau miliknya di Rat Yai, Satun untuk menempatkan pendatang Bangladesh dan Myanmar sebelum membawa mereka masuk ke Langkawi.

Lagi Kem Rohingya, Mayat Ditemui Di Sempadan Thailand-Malaysia


Diterbitkan: Rabu, 13 Mei 2015 11:38 PM
Pihak berkuasa Thailand menggali dan mengeluarkan 26 mayat mangsa pemerdagangan manusia dipercayai berketurunan Rohingya yang ditemui di Bukit Khao Rup Chang, di daerah Sadao, pada 2 Mei lalu. - fotoBERNAMA

SONGKHLA: Pihak berkuasa Thailand menemui sebuah lagi kem tahanan pelarian Rohingya di sempadan Thailand-Malaysia yang dikatakan terbesar setakat ini.
Kem dipercayai dibina setahun lepas itu, ditemui di atas Bukit Khao Kaew yang bersempadan dengan Malaysia pada Selasa, menurut wartawan Bernama yang berada di kawasan berkenaan.
Ia terletak hanya tiga kilometer daripada kem pertama yang mana 26 mayat pelarian Rohingya ditemui baru-baru ini, sehingga menyebabkan pihak berkuasa Thailand mengambil tindakan tegas ke atas aktiviti pemerdagangan manusia melibatkan pelarian Rohingya dan Bangladesh.
Kem itu dibina dengan lebih lengkap dan kukuh serta boleh memuatkan lebih 1,000 orang.
Ia dilengkapi 21 bilik tidur, lapan tandas, dua menara pemerhati, empat dapur memasak dan sebuah balai besar yang sedang dibina.

Turut dijumpai barang-barang keperluan seperti makanan dan pakaian, dipercayai ditinggalkan oleh penghuninya yang baru dipindahkan menyeberangi sempadan ke Malaysia.
Selain kem di bukit tersebut, terdapat tiga kem kecil ditemui tidak jauh dengan kem tersebut dan dibina dalam wilayah Malaysia di negeri Perlis yang bersempadan dengan Thailand.
Pihak berkuasa juga menemui tiga lagi mayat di atas Bukit Khao Keaw, Sadao, Songkhla, iaitu mayat seorang wanita dan dua lelaki.

Penemuan tiga mayat itu menjadikan secara keseluruhannya 36 mayat dijumpai di wilayah Songkhla, setakat ini.

Menteri Pertahanan Korea Utara Dihukum Tembak Kerana Tertidur


Diterbitkan: Rabu, 13 Mei 2015 5:41 PM
Hyon Yong-Chol ditembak menggunakan senjata anti-pesawat.

TIMBALAN Pengarah Agensi Perisikan Kebangsaan Korea Selatan, Han Ki Beom mendedahkan kepada satu jawatankuasa Parlimen bahawa Menteri Pertahanan Korea Utara, Hyon Yong-Chol ditembak menggunakan senjata anti-pesawat kerana tertidur semasa pertemuan tentera dan menjawab balik kepada kata-kata pemimpin Kim Jong-Un.
Hyon, 66, yang dilantik sebagai ketua tentera Korea Utara pada 2012 dibunuh di hadapan ratusan pegawai di sebuah Akademi Ketenteraan Kang Kon di Pyongyang pada 30 April lalu.
Ini bukan kali pertama senjata anti-pesawat ZPU-4 digunakan untuk pembunuhan di Korea Utara dengan terbaharu imej satelit yang dikeluarkan menunjukkan beberapa individu tidak dikenali dibunuh menggunakan kaedah kejam itu di kem yang sama pada Oktober tahun lalu.
Imej tersebut memaparkan individu yang dihukum hanya berada pada jarak 100 kaki dari senjata tersebut.
Jelas Han, Hyon ditangkap ketika tertidur semasa acara rasmi tentera dan didakwa menjawab balik kepada Kim beberapa kali.
Senjata anti-pesawat yang dipercayai digunakan untuk menembak Hyon.
Ahli Parlimen Shin Kyoung-min yang menghadiri taklimat parlimen semasa berita pelaksanaan hukuman mati itu diumumkan berkata berita tersebut ada kebenarannya.
Pelaksanaan hukuman tersebut pada awalnya dilaporkan agensi berita Korea Selatan, Yonhap walaupun laporan dari Korea Utara adalah mustahli untuk disahkan secara bebas.
Gambar satelit itu didedahkan buat pertama kalinya bahawa rejim Kim menggunakan senjata anti-pesawat untuk melaksanakan hukuman mati terhadap mana-mana individu dihadapan ratusan orang.
Imej tersebut yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Untuk Hak Asasi di Korea Utara danAllSource Analysis dirakamkan pada Oktober tahun lalu.
Pengkritik yang bengang dengan tindakan tersebut berkata badan 'mangsa' akan berkecai disebabkan senjata tersebut yang disifatkan sebagai contoh terbaharu kekejaman yang dilakukan pemerintah untuk menekan rakyatnya.
Hyon kali terakhir berucap di khalayak ramai pada persidangan keselamatan di Moscow pada April tetapi dikatakan tidak menghormati Kim kerana mengantuk dalam sebuah majlis tentera yang dihadirinya.
Hyon (kanan) kali terakhir dilihat menghadiri Persidangan Keselamatan Antarabangsa di Moscow.
Hyon difahamkan ditahan lewat bulan lalu dan menjalani hukuman mati tiga hari kemudian tanpa menjalani prosiding undang-undang.
Beliau dipercayai menjadi jeneral tenteral sejak 2010 dan berkhidmat dalam jawatankuasa untuk urusan pengebumian Kim Jong-il pada Disember 2011 sebelum dilantik sebagai menteri pertahanan.
Di Korea Utara, menteri pertahanan bertanggungjawab menguruskan logistik dan pertukaran antarabangsa.
Sejak mengambil alih kepimpinan bapanya pada 2011, Kim merancang melakukan beberapa siri penyingkiran dalam usaha untuk mengekalkan kuasanya.
Pakar mengenai Korea Utara berkata, tiada tanda-tanda ketidakstabilan di Pyongyang tetapi ia tidak mustahil berlaku jika penyingkiran dilakukan secara berterusan.
Kim mengarahkan hukuman mati terhadap 15 pegawai kanan pada tahun ini sebagai hukuman kerana mencabar pentadbirannya.

Secara keseluruhan, kira-kira 70 pegawai dihukum mati sejak Kim mengambil alih tampuk pemerintahan bapanya pada 2011.

Gempa: Pejabat Perdana Menteri Tidak Selamat


Diterbitkan: Khamis, 14 Mei 2015 4:35 PM

KATHMANDU: Pejabat Presiden dan Perdana Menteri Nepal  telah diisytiharkan tidak selamat untuk digunakan berikutan gempa bumi kuat pada 25 April lepas dan gegaran susulan pada 12 Mei lepas.
Sepasukan jurutera dari Kementerian Pembangunan Bandar dan Perumahan memeriksa istana presiden, pejabat perdana menteri dan mendapati kedua-duanya tidak selamat untuk digunakan, kata Ketua Setiausaha Kerajaan Nepal Lila Mani Poudyal.
Presiden Dr Ram Baran Yadav telah berpindah ke rumah yang disewa memandangkan kedua-dua kediaman rasmi dan pejabat beliau telah diisytiharkan tidak selamat, menurut Penasihat Akhbar kepada Presiden Rajendra Dahal.
Sebelum berpindah, Presiden telah membina sebuah pejabat sementara dalam khemah di kawasan lapang istana presiden dan tinggal di situ selama 10 hari hari.
Perdana Menteri Sushil Koirala juga menubuhkan sebuah pejabat sementara dalam khemah di kawasan terbuka di premis sekretariat pusat kerajaan, kata pegawai di pejabat Perdana Menteri, Komal Bhattarai.

Remaja Perempuan 13 Tahun Korban Terbaharu Denggi


Diterbitkan: Khamis, 14 Mei 2015 6:12 PM

ALOR SETAR: Satu lagi kematian akibat demam denggi dilaporkan membabitkan remaja perempuan berumur 13 tahun di Kuala Muda pada 2 Mei lepas, kata Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail.

Beliau berkata remaja itu, yang meninggal dunia kira-kira 7 malam, mendapatkan rawatan di Bahagian Kecemasan, Hospital Sultan Abdul Halim pada 27 April lepas sebelum dimasukkan ke wad.

"Namun, pada 1 Mei mangsa dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan meninggal dunia pada 2 Mei," katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.

Norhizan berkata ini menjadikan jumlah korban demam denggi di negeri ini sehingga 9 Mei lepas ialah dua orang, dengan kematian pertama pada 1 April lepas.

Dalam pada itu, Kedah mencatatkan peningkatan 28.6 peratus kes demam denggi iaitu sebanyak 328 kes bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini berbanding 255 kes pada tempoh sama tahun lepas.

Daerah Kubang Pasu mencatatkan 27 kes, Kota Setar (63), Padang Terap (10), Baling (27), Kulim (79), Bandar Baharu (6), Pendang (5), Yan (17), Langkawi (1), Kuala Muda (87) dan Sik sebanyak 6 kes.

Norhizan berkata pihaknya melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan dengan melakukan pemeriksaan pembiakan aedes di 135,532 premis.

Hasil pemeriksaan mendapati 2,358 premis mempunyai pembiakan jentik-jentik dan pihaknya mengeluarkan 963 kompaun berjumlah RM451,200.

Jabatan Kesihatan negeri juga melakukan semburan untuk membunuh nyamuk aedes di 178,430 premis dan 81,277 premis pula diletakkan ubat pembunuh jentik-jentik.

Pasangan Seks Balkoni Lakukan Kelucahan Melampau - Peguam



Diterbitkan: Khamis, 14 Mei 2015 5:46 PM

PETALING JAYA: Pasangan yang melakukan hubungan seks di balkoni sebuah kondominium berkemungkinan akan didakwa kerana melakukan perbuatan kelucahan melampau, kata seorang peguam jenayah.

Peguam Sreekant Pillai berkata, sebarang dakwaan akan dibuat di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan.

Di bawah Seksyen 377D, adalah menjadi satu kesalahan jika seorang itu melakukan, membantu atau menyebab dilakukan, atau mencuba melakukan, satu perbuatan kelucahan melampau (gross indency) dengan orang lain.

Perbuatan ini boleh dilakukan sama ada di tempat awam atau di tempat yang tersembunyi (in public or in private).

Jika sabit kesalahan, perbuatan sedemikian boleh dihukum penjara tidak melebihi dua tahun.

"Aksi mereka direkodkan dan menjadi viral di laman sosial," katanya kepada The Star Online.

Laporan dan video pasangan yang tidak dikenali melakukan hubungan seks di siang hari di balkoni sebuah unit kondominium di Bangsar South dikongsi di rangkaian media sosial sejak Selasa lalu.

Aksi selama 30 minit mereka itu dirakamkan oleh penyewa dari unit lain kawasan kejiranan berkenaan.

Polis mengesahkan bahawa perkara itu disiasat dan mereka sedang mengumpul bukti untuk tindakan lanjut.

Kes Pegawai Polis Wanita Bebaskan 'Kasanova' Ditangguh


Diterbitkan: Khamis, 14 Mei 2015 6:33 PM
L Chandkumary

GEORGE TOWN: Perbicaraan kes seorang pegawai kanan polis wanita yang diperintah membela diri atas pertuduhan sengaja melepaskan seorang tahanan dikenali 'Kasanova' ditangguh pada 21 Mei ini.

Majistret B. Sri Pracha Nanthini menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hafiz Hashim untuk menangguhkan perbicaraan itu selepas memaklumkan rakannya, Siti Fatimah Talib, yang mengendalikan kes itu, telah bersalin lebih awal.

Kes tersebut sepatutnya dijadual untuk sambung bicara pada Khamis.

Muhammad Hafiz memberitahu mahkamah bahawa Ketua Unit Pendakwaan Negeri Pulau Pinang belum memutuskan siapa Timbalan Pendakwa Raya yang akan mengambil alih kes tersebut.

Justeru, beliau memohon tarikh sebutan baharu.

Pada prosiding hari ini tertuduh ASP L. Chandkumary, 58, hadir di mahkamah.

Pada 21 Oktober 2013, Chandkumary, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan berhubung kes itu.

Bagi pertuduhan pertama, wanita itu didakwa sengaja melepaskan tahanan K. Prabaharan, 47, yang menghadapi pertuduhan kes penipuan pada 1.50 tengah hari di Kompleks Mahkamah George Town pada 9 Okt 2013.

Pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa membuat laporan palsu di Balai Polis Timur Laut pada pukul 8.05 malam hari yang sama berhubung insiden itu.

Bagi pertuduhan pertama, Chandkumary didakwa mengikut Seksyen 225A (1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tiga tahun, denda atau kedua-duanya manakala pertuduhan kedua mengikut Seksyen 182 kanun sama memperuntukkan penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

23 GRO Warga Asing Ditahan Di Permatang Pauh


Diterbitkan: Khamis, 14 Mei 2015 6:45 PM

BUKIT MERTAJAM: Sebanyak 23 wanita pelayan pelanggan (GRO) rakyat asing ditahan dalam Ops Noda di sebuah pusat hiburan di Permatang Pauh, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Rusli Mohd Noor berkata dalam operasi pada 11.15 malam itu, polis turut menahan dua lelaki tempatan berusia 30-an yang dipercayai penjaga premis berkenaan.

"Mereka yang ditahan dalam operasi oleh Polis Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) itu terdiri daripada 17 wanita Vietnam, empat dari Thailand dan dua wanita China," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata 23 wanita asing berusia antara 18 dan 34 tahun itu ditahan atas pelbagai kesalahan antaranya menyalahguna pas lawatan sosial dan tiada dokumen perjalanan diri.

Berdasarkan siasatan, premis hiburan yang beroperasi sejak tahun lepas itu pernah diserbu beberapa kali sebelum ini atas kesalahan sama.

Pendengaran Kes Muflis Adun Lenggeng 30 Jun


Diterbitkan: Khamis, 14 Mei 2015 8:08 PM
Ishak Ismail

SEREMBAN: Mahkamah Tinggi Seremban pada Khamis menetapkan 30 Jun depan sebagai tarikh pendengaran bagi mengetepikan perintah muflis terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Lenggeng, Datuk Ishak Ismail.

Ishak, 64, diisytihar muflis oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah pada 18 Mac lalu setelah dia gagal membayar pinjaman kepada seorang ahli perniagaan, Datuk Misran Sukadi.

Peguamnya, C.S. Murtti ketika ditemui pemberita berkata Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nur Shafawati Arifin, menetapkan tarikh itu 3.30 petang. 
Katanya, kes itu akan didengar oleh Hakim Mahkamah Tinggi sebelum keputusan mengenainya dibuat.
"Proses yang berlaku hari ini adalah adalah hari pertama pengurusan kes," katanya.

Sementara itu, Ishak menafikan dirinya muflis kerana bantahan terhadap pengisytiharan itu telah dibuat di mahkamah.

"Hujah saya setakat ini saya tidak dapat apa-apa notis. Macam mana saya boleh dihukum dengan tiada notis?

"Kalau dia (Misran) kata dia tak boleh jumpa saya di kampung saya di Pantai, setiap hari Jumaat, bermula pukul 3 petang sampai 12 malam, saya ada di warung khidmat ADUN Lenggeng saya bertemu orang ramai.

"Pasal apa saya tak dicari?," katanya sambil menegaskan beliau masih meneruskan khidmatnya sebagai wakil rakyat sehingga tarikh pendengaran kes.

Ishak berkata masalah bermula selepas kontraktor yang membuat pinjaman sebanyak RM2 juta daripada Misran pada tahun 2007 gagal membuat pembayaran.Namun sebagai penjamin, beban itu jatuh pada beliau walaupun sudah membayar RM1.2 juta secara berperingkat-peringkat sejak itu.

"Saya juga boleh persoalkan kerana pinjaman ini mesti ada lesen. Macam mana pinjam RM2 juta, ganti RM4 juta?"

"Saya akan rujuk dengan Bank Negara berkenaan hal ini," katanya.

Polis Gagalkan Rancangan Bunuh Pasangan Diraja Britain


Diterbitkan: Khamis, 14 Mei 2015 1:46 PM

POLIS berjaya menggagalkan satu rancangan untuk membunuh pasangan diraja, Putera Charles dan Camilla selepas menyerbu satu lokasi di Ireland.
Pihak berkuasa Republik Ireland merampas beberapa bom dan senjata api beberapa kilometer dari lokasi yang dijangka akan dilawati pasangan diraja terbabit pada 19 Mei ini.
Seramai enam suspek berjaya ditangkap dalam satu operasi besar-besaran, termasuk di dua lagi di kawasan Glenfarne di Leitrim.
Charles difahamkan akan memberi penghormatan kepada bapa saudaranya, Raja Mountbatten yang terkorban pada 1979 di kawasan tersebut, yang mengambil masa kurang satu jam perjalanan daripada Mullaghmore.
Kedua-dua lelaki berusia 20-an yang ditahan ditemui memiliki bahan letupan yang sudah diubahsuai serta sepucuk pistol.
Menurut Mirror Online, bom telah diubah suai serta sepucuk pistol yang ditemui di beberapa lokasi seperti di Louth, Wexford dan Dublin menerusi serbuan besar-besaran yang dilakukan di 20 lokasi berbeza seluruh negara.
Enam suspek yang ditahan berusia lingkungan antara 21 hingga 62 tahun dan mereka direman di beberapa stesen Garda (balai polis) di seluruh negara.
Difahamkan, kesemua enam suspek tersebut mempunyai kaitan dengan Tentera Sebenar Republik Ireland (Real IRA) serta Kesinambungan Tentera Republik Ireland (Continuity IRA).
Menurut satu sumber yang memaklumkan kepada sebuah portal media tempatan, Irish Mirror mengenai kesemua sasaran yang berpontensi telah dipantau sejak beberapa minggu lepas.
"Pihak polis telah melakukan pemantauan terhadap mereka sejak beberapa minggu lalu.
"Faktor keselamatan ditingkatkan ke tahap yang lebih tinggi sejurus pengumuman mengenai lawatan kerajaan Britain," lapor sumber tersebut.
Tambahnya lagi, sumber tersebut turut memberitahu bahawa dua bom yang diubahsuai serta sepucuk pistol turut dijumpai di Wexford. Polis mengesahkan bahawa kedua-dua suspek tersebut telah berjaya ditangkap.
"Kedua-dua suspek yang berusia 20-an telah ditangkap di lokasi kejadian dan kini ditahan mengikut Seksyen 30 Akta Kesalahan terhadap Akta Negeri di Balai Polis Manorhamilton," lapor seorang jurucakap polis mengenai kejadian Leitrim.