Search This Blog

Wednesday, May 13, 2015

Warga Jerman ganggu kru MAS, dipenjara sebulan

SEPANG: Seorang lelaki warga Jerman dijatuhi hukuman penjara sebulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan gangguan ketika berada di dalam pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH179 di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.
Tertuduh, Dietmar Ross, 54, membuat pengakuan itu selepas memahami pertuduhan dibacakan jurubahasa di dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Aizatul Akmar Maharani.
Mengikut pertuduhan, ahli perniagaan itu didakwa dengan cuai membahayakan anggota kru penerbangan udara, Phuah Soh Kin, 48, dengan meninggikan suara dan tidak mengikut peraturan dalam pesawat serta mengeluarkan kata-kata kesat terhadapnya dalam kejadian pada jam 11.45 malam 9 Mei lalu ketika dalam pesawat MH179 penerbangan dari Kuala Lumpur ke Colombo, Sri Lanka.
Dietmar didakwa mengikut Peraturan 70(1) Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 1969, yang boleh dihukum di bawah Peraturan 188(7) peraturan yang sama. Peraturan itu memperuntukkan hukuman penjara dua tahun dan denda sehingga RM50,000.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Uma Devi Balasubramaniam, manakala tertuduh diwakili peguam Zaflee Pakwanteh.
Hakim menetapkan hukuman penjara bermula dari tarikh tertuduh ditahan.
WARGA Jerman, Dietmar Ross di jatuhi hukuman penjara sebulan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan gangguan ketika berada di dalam pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH179 di Mahkamah Sesyen Sepang. - Foto Mohd Fadli Hamzah

SPRM beku akaun RM4j Menteri Muda Sarawak



Oleh Mohd Amirul Faiz Ahmad

WARTAWAN hadir seawal jam 8.00 pagi dihadapan Pejabat SPRM cawangan Sarawak,menunggu kehadiran seorang Menteri Muda yang dipanggil oleh SPRM untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan. - Foto Nadim Bokhari
KUCHING: Seorang Menteri Muda dalam Kabinet Sarawak berdepan tindakan pembekuan akaun bernilai RM4 juta berkuatkuasa serta merta selepas didapati terbabit dalam rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Pengarah Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohamad Jamidan Abdullah, berkata pihaknya mengambil tindakan berkenaan selepas beliau dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan kuasa dalam kontrak pembinaan bangunan 16 tingkat Baitulmakmur II, di sini, bernilai RM250 juta.

23 maut nahas bas di Kashmir


SRINAGAR, India: Seramai 23 orang maut apabila sebuah bas yang terlebih penumpang terhumban ke dalam gaung di wilayah ditadbir Kashmir hari ini, kata polis.
Nahas berlaku apabila pemandu hilang kawalan dekat perkampungan di kawasan pergunungan Marotthi, kira-kira 250 kilometer selatan bandar Srinagar.
"Kami sudah mengeluarkan 23 mayat setakat ini dan menyelamatkan kira-kira 30 lagi penumpang yang cedera termasuk sebahagiannya parah," kata ketua polis tempatan, Danish Rana.
"Bas berkenaan dikatakan terlebih penumpang," kata Rana sambil memaklumkan bahawa angka korban mungkin meningkat.
Sehubungan itu, sebahagian penumpang yang cedera terpaksa diterbangkan dengan helikopter ke hospital.

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, India mencatat antara kemalangan jalan raya paling tragik di dunia apabila lebih 200,000 kematian dicatat setiap tahun. - AFP

Gempa terkini: Kedutaan di Kathmandu kenal pasti rakyat Malaysia



PENDUDUK tempatan mencari barang-barang dari rumah mereka yang runtuh berikutan gempa bumi 25 April lalu, di Dhunche, Rashuwa, Nepal - Foto EPA
KUALA LUMPUR: Kedutaan Malaysia di Kathmandu sedang mengambil langkah-langkah perlu untuk mengenal pasti sama ada rakyat Malaysia terlibat dalam gempa bumi terkini yang melanda Nepal, semalam.
Kementerian Luar dalam kenyataan berkata gempa bumi 7.3 pada skala Richter itu menggegarkan Nepal pada kira-kira jam 12.35 tengah hari waktu tempatan (3.05 petang waktu Malaysia).
"Kementerian akan terus memantau keadaan. Kami ingin menegaskan bahawa adalah penting bagi semua rakyat Malaysia yang berhasrat untuk melawat negara itu supaya menghubungi Kedutaan Malaysia di Kathmandu.
"Ini akan membantu Kedutaan menyediakan bantuan konsular yang diperlukan kepada rakyat Malaysia di luar negara," kata kenyataan itu.
Gempa bumi hari ini berlaku dua minggu selepas gempa bumi kuat berukuran 7.8 magnitud melanda Nepal pada 25 April. - BERNAMA

Lima maut, berpuluh cedera kereta api tergelincir di Philadelphia

RABU, 13 MEI 2015 @ 12:32 PM

PHILADELPHIA: Perkhidmatan kereta api Amtrak yang membawa lebih 200 penumpang tergelincir di utara Philadelphia hari ini, mengorbankan sekurang-kurangnya lima orang dan lebih 50 lagi cedera dan kritikal.
Pihak berkuasa berkata, setakat ini mereka belum dapat pastikan punca kereta api berkenaan tergelincir sehingga beberapa gerabak terbalik berhampiran Sungai Delaware, di bandar pelabuhan Port Richmond.
Datuk Bandar Philadelphia, Michael Nutter mengesahkan kejadian itu dalam sidang media dan berkata setakat ini sekurang-kurangnya lima maut.
Bomba berkata, lebih 50 lagi dibawa ke hospital dengan enam daripadanya dilaporkan kritikal.
"Ia satu bencana. Saya belum pernah menyaksikan kejadian seperti ini sepanjang hidup saya," kata Nutter.
Amtrak berkata, terdapat 238 penumpang dan lima kru di dalam kereta api No. 188 yang tergelincir ketika dalam perjalanan dari Washington D.C ke New York.
Perkhidmatan Amtrak untuk seluruh keridor timur laut Amerika antara New York dan Philadelphia sudahpun digantung sementara.
Stesen penyiaran CNN memetik Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) sebagai berkata, tiada petanda bahawa ia akibat perbuatan pengganas.
Malah, laporan itu menyebut keadaan cuaca baik ketika nahas berlaku. - REUTERS


SEBUAH kereta api penumpang tergelincir menyebabkan ramai penumpang tercedera di Amtrak, Utara Philadelphia. - Foto REUTERS

Pemberontak bunuh 8 askar Mali

BAMAKO: Lapan askar Mali terbunuh semalam di bahagian utara negara itu dalam satu serang hendap oleh salah satu kumpulan pemberontak barat Afrika, Tuareg, demikian menurut sumber pekerja kemanusiaan dan pasukan keselamatan.
"Dalam satu serang hendap ke atas askar Mali oleh Pergerakan Penyelarasan Azawad (CMA) di kawasan antara Timbuktu dan Goundam, pagi Isnin, lapan askar terbunuh manakala beberapa lagi cedera," kata sumber berkenaan. - AFP
GAMBAR fail pada 27 Julai 2013 menunjukkan kumpulan pemberontak barat Afrika, Tuareg di Kidal, Mali. - Foto AP

Fenomena El Nino capai kemuncak tahun ini



ORANG ramai yang sedang makan di luar pada hari musim gugur yang cerah di Sydney. - Foto AFP
SYDNEY: Biro Ramalan Cuaca Australia hari ini memberi amaran fenomena El Nino, yang boleh mencetuskan suhu melampau membawa maut, akan mencapai kemuncaknya tahun ini selepas bermula di Pasifik.
El Nino dikaitkan dengan kemarau di Australia dan berlaku apabila pertukaran angin yang berlegar di perairan Pasifik mula lemah dan suhu permukaan laut meningkat.
I adalah kemunculan pertama sistem cuaca itu dalam masa lima tahun.
"Ini adalah kesan sempurna El Nino, ia bukan yang lemah. Memang selalu ada sedikit keraguan apabila menyentuh mengenai ramalan kepadatan, tetapi secara keseluruhan kami menjangkakan keadaan akan menjadi keadaan," kata pengurus pemantau dan ramalan suhu di Biro Ramalan Cuaca, David Jones, dalam taklimat akhbar.
El Nino dijangka bermula pada 2014 dan pegawai berkata ia 'hampir terlepas' tetapi kini melanda Pasifik buat kali pertama sejak Mac 2010.
"Permulaan El Nino di Australia pada 2015 agak awal berbanding sebelum ini. Selalunya El Nino berlaku antara Jun dan November.
"Keadaan El Nino yang berpanjangan bermakna sesetengah kawasan lebih terdedah kepada suhu lebih panas dan kering," kata jurucakap Neil Plummer ketika mengumumkan keadaan itu.
Di Australia, El Nino dikaitkan dengan hujan di bawah paras purata dan suhu lebih panas di kebanyakan kawasan di negara itu dan risiko tinggi kebakaran hutan, terutama di bahagian negara itu yang sudah mengalami kemarau.
Ia juga dijangka menyebabkan keadaan lebih kering di Papua New Guinea, Indonesia dan sebahagian Asia Tenggara, dan hujan lebat di timur Pasifik dan negara Amerika Selatan, meningkatkan kemungkinan banjir dan tanah runtuh.
Fenomena itu mencetuskan kekecohan kepada petani dan pasaran pertanian antarabangsa. - AFP

Seorang kru cedera helikopter terhempas di Kosovo

PRISTINA: Seorang kru cedera apabila helikopter misi Kesatuan Eropah (EU) terhempas di Lapangan Terbang Kosovo ketika menjalani latihan penerbangan, kata kenyataan lapangan terbang berkenaan.
Jurucakap misi NATO di Kosovo berkata, beberapa orang mengalami kecederaan dalam nahas berkenaan manakala punca nahas belum dapat dipastikan.
Lapangan terbang itu berkata, kawasan berkenaan dibuka semula kepada pesawat lewat semalam.
EU mengendalikan misi membabitkan 1,600 orang di Kosovo, termasuk pegawai polis, pendakwa raya dan hakim bagi memperbaiki keadaan di wilayah bekas Serbia itu yang mengumumkan kemerdekaan dari Belgrade pada 2008. - Reuters
SEBUAH helikopter misi Kesatuan Eropah (EU) terhempas di Lapangan Terbang Kosovo. - Foto REUTERS

Gempa kuat 6.8 magnitud landa timur laut Jepun


TOKYO: Gempa kuat 6.8 magnitud melanda pantai timur laut Jepun awal pagi ini namun tiada amaran tsunami dikeluarkan pihak berkuasa setakat ini.
Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS), berkata gempa melanda jam 6.12 pagi waktu tempatan di timur perairan Pulau Honshu di Laut Pasifik di kedalaman 38.9 kilometer.
Agensi Meteorologi Jepun berkata, tiada amaran tsunami dikeluarkan susulan gempa itu yang melanda di 33km timur laut di bandar terdekat Ofunato.
Gempa pagi ini bagaimanapun tidak merosakkan sebarang reaktor nuklear di wilayah berkenaan termasuk di loji kuasa Fukushima, demikian lapor badan penyiaran rasmi Jepun, NHK.
Semua loji reaktor ditutup selepas bencana Fukushima.
Perkhidmatan kereta api di wilayah terbabit termasuk kereta api laju "Shinkansen" digantung sementara perkhidmatannya susulan gempa kuat itu. - AFP

Wartawan Al Jazeera tuntut RM361.95 juta



MOHAMMED Fahmy (dua dari kiri) bercakap pada sidang akhbar di Kaherah.- Foto EPA
KAHERAH: Seorang wartawan televisyen stesen Al Jazeera yang dibicarakan di sini, memfailkan satu tuntutan saman di sebuah mahkamah Kanada dan menuduh majikannya cuai selain menuntut pampasan bernilai AS$100 juta (RM361.95 juta), kata peguamnya kelmarin.
Mohamed Fahmy, yang menghabiskan 400 hari dalam sebuah penjara di sini atas tuduhan membantu sebuah organisasi pengganas, mendakwa tindakan Al Jazeera menyebabkannya disumbat dalam penjara. Majikannya itu bagaimanapun tidak mengulas.
Fahmy dan seorang lagi wartawan Al Jazeera, Baher Mohamed, pada mulanya dijatuhi hukuman penjara tujuh hingga 10 tahun atas tuduhan yang termasuk menyebarkan penipuan untuk membantu "sebuah organisasi pengganas", merujuk kepada Ikhwanul Muslimin.
Seorang wartawan dari Australia, Peter Greste, yang dijatuhi hukuman bersama mereka, dibebaskan dan dihantar pulang awal tahun ini. Ketiga-tiga mereka menafikan semua tuduhan.
Januari lalu, sebuah mahkamah mengarahkan perbicaraan semula, memetik kepincangan prosedur.
Fahmy mendapat kerakyatan Kanada dan melepaskan kerakyatan Mesir.
Dalam satu sidang media di sini, peguam Fahmy, Joanna Gialason, berkata tuntutan itu meminta mahkamah mengisytiharkan Al Jazeera cuai dalam layanannya ke atas Fahmy.
Ia mengatakan rangkaian itu seharusnya membayar AS$100 juta sebagai pampasan dan kerosakan atas peranannya dalam sabitan ke atas Fahmy dan hukuman penjara yang dijalaninya.
Rekod hak asasi manusia Presiden Abdel Fattah al-Sisi's dikecam sejak beliau yang ketika itu ketua tentera menggulingkan presiden Islam, Mohamed Mursi pada tahun 2013 selepas bantahan besar-besaran ke atas pimpinannya.
Sisi berkata beliau berharap wartawan Al Jazeera itu dihantar pulang dan tidak dibicarakan. - Reuters

Gencatan senjata kemanusiaan di Yaman bermula



GENCATAN senjata dikuatkuasakan di Yaman bermula malam tadi. - Foto EPA
RIYADH: Gencatan senjata dikuatkuasakan di Yaman bermula malam tadi selepas serangan udara intensif 24 jam oleh tentera bersekutu diketuai Arab Saudi ke atas pemberontak di Yaman dengan memberi amaran serangan dilancarkan jika gencatan dicabuli.
"Tepat jam 11 malam," kata jurucakap tentera gabungan, Brigadier Jeneral Ahmed al-Assiri apabila ditanya bila gencatan senjata bermula mengikut dijadual jam 11 malam waktu tempatan.
"Komitmen kami adalah menghormati gencatan ini," katanya.
Namun, beliau berkata, tentera pakatan masih menjalankan operasi perisikan dan pemantauan keadaan semasa di Yaman.
"Kami bersedia untuk bertindak jika gencatan ini dicabuli, kalau ia tidak dihormati, kami akan meneruskan (serangan)," katanya.
Gencatan senjata selama lima hari itu diadakan bagi membolehkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Yaman meskipun kumpulan pekerja bantuan meminta tempoh itu dipanjangkan lagi. - AFP