Search This Blog

Monday, May 11, 2015

Kanak-Kanak Maut Terkena Dahan Jatuh


Diterbitkan: Ahad, 10 Mei 2015 7:36 PM

ALOR GAJAH: Seorang kanak-kanak maut akibat terkena dahan pokok ru yang patah akibat dipanah petir di hadapan sebuah chalet di Pengkalan Balak di sini pagi Ahad.
Ketika kejadian 8.20 pagi itu, Muhammad Shahir Putra Mohd Shahril Nizri, 5, dan kakaknya Nursharina Alfishah, 7, berada di hadapan chalet yang disewa keluarganya.
Dahan pokok yang terpelanting itu mengenai bahagian belakang kepalanya menyebabkan dia rebah.
Ibu mangsa Nadiah Jamaludin, 28, berkata anak-anaknya sedang menunggu beliau dan suaminya untuk turun ke pantai.
"Saya dan suami (Mohd Shahril Nizri Mohd Shoif, 30) ketika itu sedang bersiap-siap di dalam chalet apabila saya terdengar bunyi petir kuat yang disusuli dengan bunyi dahan pokok patah.
"Saya bergegas keluar bilik dan terkejut apabila melihat Shahir rebah di dalam longkang depan chalet dengan kepalanya berlumuran darah. Saya memanggil suami saya yang kemudian memberi bantuan pernafasan kepada Shahir," kata Nadiah di Hospital Alor Gajah.
Beliau yang merupakan kakitangan sebuah hospital swasta berkata, beliau dan suaminya kemudian membawa anak mereka ke Hospital Kem Terendak.
"Saya dapati anak saya mula kaku dalam pangkuan saya ketika dalam perjalanan ke hospital," katanya.
Keluarga tersebut dari Klang, Selangor serta enam keluarga lain tiba di Pengkalan Balak petang Sabtu untuk bercuti dan bercadang mendaftar keluar pada tengah hari Ahad.
Mayat kanak-kanak itu telah dibawa balik untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 4, Klang.

Bayi Kembar Baru Lahir Ditemui Mati Dalam Almari


Diterbitkan: Isnin, 11 Mei 2015 1:59 PM

GEORGE TOWN: Mayat bayi kembar perempuan dengan uri ditemui dalam sebuah almari terbiar di tingkat tujuh sebuah pangsapuri di Gat Lebuh Macallum di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatahrash Wahid berkata kedua-dua bayi yang masih bertali pusat dan hanya dibalut dalam satu kain tuala itu ditemui pekerja pembersihan pada pukul 10.30 pagi.

"Tiada kesan darah atau kecederaan luar dikesan pada mayat bayi pramatang berusia lingkungan tujuh hingga lapan bulan itu dan mereka dipercayai baharu dilahirkan dan diletakkan di situ dalam tempoh kurang dari 24 jam.
"Polis percaya ibu kepada bayi berkenaan merupakan warga asing dan tinggal di blok yang sama dengan tempat mayat bayi itu ditinggalkan," katanya pada sidang akhbar di sini Isnin.
Beliau berkata almari tidak berpintu itu dibuang di tepi lif blok berkenaan dan dibiar kosong sejak seminggu lepas.
Faridalatahrash berkata sehubungan itu, polis menahan tiga lelaki rakyat asing berusia antara 20-an dan 30-an yang tinggal di flat itu untuk membantu siasatan.

Beliau meminta pihak pengurusan klinik atau hospital yang mempunyai maklumat mengenai wanita yang baharu bersalin dan berkelakuan mencurigakan supaya menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Kawasan kejadian tidak mempunyai kamera litar tertutup dan mayat bayi kembar itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat, katanya.
-- BERNAMA

Rempuh Pam Minyak, Seorang Maut, Tiga Parah


Diterbitkan: Isnin, 11 Mei 2015 12:35 PM

SANDAKAN: Seorang lelaki maut manakala tiga lagi cedera parah selepas kereta Proton Iswara yang mereka naiki terbabas dan melanggar besi penghadang pam minyak Shell di Jalan Prayer di sini, Ahad malam.
Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Zabidi Md Zain berkata Heddriawan Awang, 27, yang memandu kereta berkenaan mati di tempat kejadian.
Siasatan awal mendapati, dalam kejadian pada 9.45 malam itu, kereta dinaiki mangsa bergesel dengan sebuah kenderaan lain sebelum terbabas dan melanggar besi penghadang pam stesen minyak berkenaan, katanya di sini, Isnin.
Katanya, tiga yang cedera parah terdiri daripada dua penumpang lelaki dan seorang penumpang wanita berusia lingkungan 20-an yang menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent Sandakan. Keadaan mereka dilaporkan stabil.
Beliau berkata kenderaan lain yang terlibat dengan kemalangan itu tidak dapat dikenal pasti nombor pendaftaran dan jenisnya serta tidak berhenti di tempat kejadian selepas nahas berlaku.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan, katanya.

Cubaan Sembunyi Dadah Dalam Mesin Basuh Gagal


Diterbitkan: Ahad, 10 Mei 2015 5:54 PM
Gambar hiasan.

PETALING JAYA: Cubaan untuk menyembunyikan dadah dalam mesin basuh gagal selepas polis membuat serbuan di sebuah unit apartmen dan merampas 21.6 kilogram (kg) ganja.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Azmi Abu Kassim berkata, pasukan khas menahan seorang lelaki warga Nigeria berumur 30 tahun dekat sebuah lif di Blok E Mentari Court Apartment 15 minit sebelum menyerbu sebuah unit pada kira-kira pukul 9.45 malam.
"Polis membuat pemeriksaan terhadap pelajar universiti itu dan menjumpai kunci rumahnya, tiga telefon bimbit dan sekeping pasport Nigeria," katanya.
Penahanan lelaki itu membawa kepada penemuan dadah yang disembunyikan di dalam mesin basuh di rumahnya.
"Kita merampas sebuah beg plastik yang mengandungi 20.5kg ganja dan 81 paket mengandungi dadah jenis yang sama dengan berat kira-kira 1.1kg," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah yang membawa hukuman mati jika disabitkan bersalah.

Pentas Runtuh, Lapan Penyanyi Koir Cedera


Diterbitkan: Isnin, 11 Mei 2015 10:24 AM

SERAMAI lapan daripada 80 penyanyi sebuah kumpulan koir cedera apabila pentas tempat mereka berlatih runtuh pada Sabtu.
Ketika kejadian di Guizhou, China itu, keseluruhan penyanyi kumpulan tersebut sedang berlatih di atas pentas setinggi dua meter sebelum ia runtuh.
Pentas itu dilaporkan runtuh apabila lima hingga enam penyanyi terakhir mengambil tempat mereka di pentas berkenaan.
Ketika runtuhan berlaku , orang ramai sedang merekodkan latihan tersebut yang memasuki fasa akhir sebelum persembahan diadakan.
Akibat kejadian berkenaan seramai lapan penyanyi cedera manakala dua daripadanya dilaporkan berada dalam keadaan serius.
Bagaimanapun konduktor koir berkenaan selamat kerana berada di pentas asing.

Helikopter Terhempas: Empat Anggota Tentera Terbunuh


Diterbitkan: Isnin, 11 Mei 2015 3:01 PM

BOGOTA: Empat anggota tentera Colombia terbunuh manakala dua lagi cedera selepas helikopter yang dinaiki  terhempas di pertengahan wilayah Uribe pada Isnin.
Helikopter jenis Black Hawk UH-60L buatan Amerika Syarikat itu dilapor sedang membawa bekalan semasa kejadian berlaku pada pukul 2 petang, lapor tentera dalam satu kenyataan.
Helikopter tersebut dipercayai terhempas selepas mengalami kerosakan teknikal.
"Kami mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan-rakan mangsa yang terkorban semasa menjalankan tugas," lapor dalam satu kenyataan yang ditandatangani ketua tentera.
Juruterbang helikopter tersebut antara empat yang terkorban semasa nahas, manakala dua lagi yang  tercedera dalam keadaan stabil. 

Mangsa Gempa Nepal Perlukan Bantuan


Diterbitkan: Isnin, 11 Mei 2015 4:28 PM

CYBERJAYA: Khemah, selimut tebal, makanan kering sedia dimakan, barangan perubatan dan bantuan kewangan adalah antara bentuk sumbangan keutamaan yang diperlukan untuk mangsa gempa bumi di Nepal.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata  sumbangan itu bersesuaian dengan keadaan semasa memandangkan kebanyakan mangsa kehilangan rumah dan berdepan masalah kekurangan bahan bakar sejak gempa bumi melanda Nepal pada 24 April lepas.
Beliau berkata barangan berkaitan boleh dihantar ke pusat pengumpulan barangan bantuan kemanusiaan Malaysia ke Nepal di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di Pulau Meranti dekat sini.
Ia juga boleh dihantar ke pusat pengumpulan bantuan di ruang legar Menara Mara di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur atau kedai serbaneka KK Mart di seluruh negara, katanya kepada pemberita selepas melancarkan pusat pengumpulan barangan bantuan itu di Markas SMART dekat sini, Isnin.
"Bantuan kewangan boleh disalurkan melalui akaun Bank Muamalat bernombor 16010000318713 atas nama Setiausaha Majlis Keselamatan Negara," katanya.
Terdahulu, Shahidan menerima bantuan berupa barangan keperluan asas seberat 35 tan sumbangan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Malaysia-Nepal Business Council, MERCY Malaysia, Yayasan Patriot Negara Malaysia, Yayasan MyNADI, Pertubuhan Hindudharma Maamandram Malaysia, Julie's Biscuit dan rangkaian kedai serbaneka KK Mart.
Shahidan berkata barangan yang dikumpul akan dihantar sekurang-kurangnya dua kali sehari oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) menggunakan penerbangan Malaysia Airlines (MAS) dan Malindo tanpa dikenakan sebarang bayaran.
Tragedi gempa bumi itu, yang disifatkan paling buruk pernah melanda Nepal dalam tempoh 81 tahun, dilaporkan mencatat lebih 5,000 kematian dengan kecederaan melebihi 8,000 orang.

Denda Dan Penjara Jika Tidak Solat Jumaat Di Kedah


Diterbitkan: Isnin, 11 Mei 2015 3:19 PM

ALOR SETAR: Bermula 1 Jun ini, umat Islam yang tidak menunaikan solat Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 13 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014, kata Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK).
Ketua Pegawai Penguat Kuasa JAIK Syeikh Ahmad Fisol Omar berkata mereka yang didapati bersalah boleh disaman tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
"Kita tidak mengeluarkan saman secara membuta. Kita akan bertindak mengikut aduan yang dilaporkan orang awam terutama sekali yang tinggal dalam kariah sendiri.
"Sekiranya pesalah gagal memberi kerjasama, kita juga akan memohon waran tangkap dari Hakim Mahkamah Syariah," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini.
Syeikh Ahmad berkata pihaknya menerima banyak aduan mengenai kehadiran lelaki Islam di tempat-tempat awam di negeri ini ketika waktu solat Jumaat, dan berharap undang-undang itu dapat membendung perbuatan meninggalkan solat Jumaat.
Perkara tentang Seksyen 13 berkenaan kegagalan menunaikan solat Jumaat itu termaktub dalam Rang Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2014, yang diluluskan sidang Dewan Undangan Negeri tahun lepas.
Penguatkuasaan sepatutnya bermula pada 1 Feb lepas tetapi Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah JAIK akan hanya mula menguatkuasakan secara sepenuhnya 1 Jun ini.
Syeikh Ahmad berkata JAIK mengadakan jelajah di 12 daerah di negeri ini untuk memberi penerangan kepada pihak yang boleh membantu dalam menguatkuasakan undang-undang itu.
"Poster dan pekeliling tentang undang-undang itu turut diedarkan kepada 568 masjid di seluruh Kedah," katanya.
Beliau berkata orang awam boleh mendapatkan borang aduan ketidakhadiran solat Jumaat itu di pejabat-pejabat agama daerah dan maklumat pelapor akan dirahsiakan.

100 Pendaki Terkandas Di Tibet


Diterbitkan: Isnin, 11 Mei 2015 6:20 PM

TIBET: Lebih 100 pendaki warga Nepal terkandas di Tibet berikutan gempa bumi yang melanda Nepal, lapor pihak berkuasa tempatan.
Seramai 470 pendaki asing dari 32 negara berlainan membatalkan pendakian demi keselamatan di wilayah Autonomi Tibet di barat daya China selepas kejadian gempa bumi melanda Nepal bulan lalu.
Gempa bumi tersebut mengorbankan seramai 7,885 manakala 17,803 yang lain cedera.
Menurut Naib Pengarah Biro Sukan Serantau, Nyima Cering memberitahu bahawa selain daripada pendaki gunung tersebut, seramai 346 orang telah dipindahkan setakat ini termasuk 207 warga Nepal. Selebihnya akan dihantar pulang secara berkumpulan menggunakan penerbangan Udara China.
Jeneral Konsul Nepal wilayah Tibet ibu negeri Lhasa, Hari Prasad Bashyal berkata perjanjian China adalah bukti hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
Dalam pada itu, China membatalkan kesemua aktiviti pendakian sepanjang musim bunga di pergunungan Everest, yang turut dikenali sebagai gunung Qomolangma di Tibet berikutan kejadian gempa bumi.

Kebocoran maklumat oleh penjawat awam tidak serius

Joseph Entulu Belaun
Joseph Entulu Belaun

PUTRAJAYA - Tindakan membocorkan maklumat sulit atau rahsia kerajaan oleh penjawat awam diakui berlaku namun tidak serius.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun berkata, walaupun isu tersebut tidak serius tetapi ia perlu dibendung kerana tindakan membocorkan maklumat sulit kerajaan boleh mengancam keselamatan negara lebih-lebih lagi jika ia tersebar kepada pihak luar menerusi media sosial.

Entulu memberi amaran mana-mana penjawat awam yang didapati melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu akan berdepan dengan tindakan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

"Kebocoran ini tidak serius tetapi saya kena tegur kerana kalau tidak nanti orang akan kata OSA ini cuma 'action' (buat-buat) sahaja.

"Tetapi kalau boleh kerajaan tak mahu gunakan OSA ini sebab bila guna nanti macam-macam fitnah akan timbul, ada yang kata kerajaan tidak demokratik...jadi lebih baik tegur sebelum ia jadi satu isu besar," katanya ketika merasmikan Persidangan Suruhanjaya-Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Malaysia ke-18 di sini, hari ini.

Dalam pada itu Entulu menarik perhatian apabila berkata penelitian terhadap peraturan-peraturan, prosedur dan proses kerja sedia ada berhubung pengambilan calon penjawat awam perlu dikaji semula.

Katanya kajian semula itu penting untuk menangkis tanggapan negatif masyarakat bahawa individu yang memohon pekerjaan perlu mempunyai 'orang dalam' atau menggunakan 'cable' untuk memasuki perkhidmatan awam.

Tambahnya peperiksaan dalam talian atau 'online examination' yang dikendalikan oleh SPA telah memberi impak yang begitu signifikan kepada perkhidmatan awam selain dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM2.5 juta setahun.

Malah, beberapa negara luar termasuk Jepun, Indonesia, Vietnam, Namibia dan Brunei turut berminat untuk mempelajari kaedah dilaksanakan SPA.

Sementara itu, kenyataan SPA menyebut bagi tempoh 1 Januari hingga 30 April lalu, lebih 1.2 juta permohonan daripada pelbagai kaum di seluruh negara diterima untuk memasuki perkhidmatan awam.

Daripada jumlah itu 975,952 adalah Melayu; Bumiputra Sabah (95,124); Bumiputra Sarawak (67,686); India (39,169); Cina (18,333) dan lain-lain 23,905. - Bernama

'Hidu bau hangit, anak nampak api'

'Hidu bau hangit, anak nampak api'
Pegawai Operasi, Zamri Sidek meninjau keadaan sekeliling rumah mangsa, Fatimah yang paling teruk musnah dalam kebakaran semalam.

TRIANG – Tiga rumah teres di Taman Triang Maju, di sini hampir rentung dalam kebakaran petang semalam.

Api yang dipercayai dari rumah tengah menyebabkan hampir keseluruhan perabot dan harta benda musnah sekali gus merebak ke dua buah rumah bersebelahan.

Mangsa, Fatimah Ismail, 46 berkata, semasa kejadian, dia dalam perjalanan ke Bandar Bera untuk menjemput anaknya yang terlibat dalam pertandingan bola jaring sempena Fiesta Bera, dan hanya adiknya, Fazilah, 43 serta dua anaknya berada di rumah.

Menurutnya, dia dihubungi jiran memaklumkan perkara itu dan berpatah balik ke rumah.

“Besar sungguh dugaan yang saya hadapi. Tapi syukur, semuanya selamat termasuk dokumen-dokumen penting kecuali perabot dan barang elektrik,” katanya kepada Sinar Harian.

Fatimah berkata, buat masa ini, dia perlu melengkapkan dokumen untuk memohon tuntutan insuran rumah, dan menumpang di rumah adiknya buat sementara waktu.

Anak Nampak Api

Fazilah memberitahu, sebelum kejadian, dia cuba menidurkan dua orang anaknya tetapi terbau hangit yang datang dari bilik belakang.

Katanya, pada awalnya dia tidak mengesyaki apa-apa sehingga salah seorang anaknya menjerit-jerit kerana melihat api.

“Memang saya ada bau hangit tapi saya tidak syak apa-apa. Lepas itu, anak pula menjerit beritahu ada nampak api.

“Jadi, saya segera bawa anak-anak keluar rumah. Mujur pada masa itu, kami belum tidur, kalau tidak kami sudah rentung,” kata Fazilah.

Adik Heret Abang Keluar

Sementara itu, mangsa Nur Azalin Nadia Razlan, 12 berkata, semasa kejadian dia baharu hendak masuk bilik tetapi dikejutkan dengan ketukan pintu yang bertalu-talu dari jiran yang juga mangsa kebakaran.

Katanya, apabila diberitahu ada api, dia segera mengejutkan abangnya yang sedang tidur di bilik belakang.

“Saya cuba kejut abang tetapi abang tidak mahu bangun. Jadi saya heret dia keluar dari bilik sehingga dia sedar,” katanya.

Bagaimanapun, abangnya, Mohd Fadzli, 21 bertindak berani memasang air paip dan dibiarkan mengalir kerana tidak mahu bahang panas menjadi penyebab api merebak.

Terima Bantuan

Musibah menimpa tiga keluarga ini mendapat perhatian daripada Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Wanita Umno Bahagian, Sabariah Saidan yang turut datang menziarahi mangsa.

Selain menyampaikan bantuan kewangan bagi meringankan beban mangsa, bantuan untuk membaiki kerosakan rumah terbabit akan turut dihulurkan.

Ismail Sabri berkata, pihaknya akan tunggu laporan bomba sama ada rumah-rumah itu layak diduduki atau tidak. Sekiranya masih selamat didiami, bantuan akan diberikan untuk baiki apa yang perlu sebelum mereka menerima bayaran insuran.

“Ini kerana tuntutan insuran selalunya mengambil masa yang lama sekurang-kurangnya lima atau enam bulan. Dan dalam tempoh itu, mereka (mangsa) mungkin tiada tempat tinggal kalau rumah lewat dibaiki,” katanya.

Dalam kejadian itu, pasukan bomba yang diketuai Pegawai Bomba Kanan 11, Mohd Zamri Sidek berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh 30 minit, dan setakat ini, punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Seorang maut, 3 parah kemalangan di stesen minyak

kemalangan

SANDAKAN - Seorang lelaki maut manakala tiga lagi cedera parah selepas kereta Proton Iswara yang mereka naiki terbabas dan melanggar besi penghadang pam minyak Shell di Jalan Prayer di sini, malam tadi.
  
Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Zabidi Md Zain berkata Heddriawan Awang, 27, yang memandu kereta berkenaan mati di tempat kejadian.
  
Siasatan awal mendapati, dalam kejadian pada 9.45 malam itu, kereta dinaiki mangsa bergesel dengan sebuah kenderaan lain sebelum terbabas dan melanggar besi penghadang pam stesen minyak berkenaan, katanya di sini hari ini.
  
Katanya, tiga yang cedera parah terdiri daripada dua penumpang lelaki dan seorang penumpang wanita berusia lingkungan 20-an yang menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent Sandakan. Keadaan mereka dilaporkan stabil.
 
Beliau berkata kenderaan lain yang terlibat dengan kemalangan itu tidak dapat dikenal pasti nombor pendaftaran dan jenisnya serta tidak berhenti di tempat kejadian selepas nahas berlaku.
  
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan, katanya. - Bernama

Operasi cari mangsa ditangguh

Operasi cari mangsa ditangguh
Pasukan penyelamat membawa keluar mayat yang dijumpai di bawah sisa runtuhan di Langtang. Foto: AFP

KATHMANDU - NEPAL. Usaha pencarian mangsa gempa termasuk pendaki yang hilang di Nepal dihentikan seketika akibat cuaca buruk.

Menurut laporan Reuters, pencarian di Lembah Langtang turut dihentikan kerana berlaku runtuhan salji dan tanah runtuh yang boleh mengancam nyawa pasukan penyelamat.

Gempa berukuran 7.8 pada skala Richter yang menggegar Nepal sejak dua minggu lalu telah mengorbankan 7,913 orang dan mencederakan 17,800 penduduk.

"Runtuhan salji berlaku secara kerap di kawasan itu. Jadi, ia menyukarkan misi mencari mangsa gempa di sekitar Langtang.

"Pasukan penyelamat kini bealih ke kawasan yang lebih selamat," kata pegawai daerah, Gautam Rimal semalam.

Menurut Rimal, sejumlah 20 mayat berjaya ditemui kelmarin menjadikan angka kematian di Langtang bertambah kepada 120 orang.

Katanya lagi, pencarian di Langtang akan disambung semula sebaik sahaja cuaca bertambah baik.

Sementara itu, mayat sembilan pendaki warga asing yang terbunuh di Langtang telah dihantar ke Kathmandu.
Kebanyakan warga Eropah berada di Nepal untuk mendaki puncak tertinggi dunia, Everest serta menyusuri wilayah terpencil Langtang di tepi banjaran Himalaya di mana terletaknya pusat gegaran gempa dicatatkan dua minggu lalu. - Reuters

Penjual DVD lucah guna internet dipenjara

Penjara
Grafik Sinar Online

KUALA LUMPUR - Seorang penjual DVD hari ini dijatuhi hukuman penjara 10 hari dan denda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen bagi kesalahan menggunakan aplikasi internet bagi tujuan penjualan DVD lucah dan gay.

Hakim Zulqarnain Hassan menjatuhkan hukuman itu terhadap Kuan Wai Onn, 49, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Beliau juga memerintahkan Kuan dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda. Dia membayar denda itu.

Kuan didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi internet di satu laman web dengan memberikan komunikasi lucah bagi maksud komersial di satu alamat di Jalan Kuang Gunung, Taman Kepong di sini pada 4.45 petang, 28 Jun 2013.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(2)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta yang sama, yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, pada 28 Jun 2013, seorang kakitangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menyamar dan membuat pembelian seperti ditawarkan oleh Kuan melalui satu laman sesawang dengan menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan harga RM20 sekeping.

Pada 3 Julai 2013, kakitangan tersebut menerima sampul daripada Pos Malaysia Berhad melalui perkhidmatan Poslaju National Courier yang mengandungi DVD dan siasatan mendapati terdapat klip-klip video lucah dan adegan homoseksual.

Terdahulu, Kuan yang tidak diwakili peguam merayu kepada mahkamah agar dikenakan hukuman ringan kerana dia hanya mengambil alih pekerjaan itu daripada orang lain sejak tahun 2012 dan tidak mengetahui ia adalah salah di sisi undang-undang.

"Mohon mahkamah mengambil kira bahawa saya juga  menanggung seorang anak yang masih belajar di universiti dan saya juga juga telah diisytihar bankrap," katanya.

Pegawai Pendakwa daripada SKMM, Zairul Nahar Zakaria memaklumkan kepada mahkamah bahawa Kuan mendapat keuntungan bersih RM1,000 sebulan dan hampir setiap hari mendapat tempahan daripada pelanggan.

"Sehubungan dengan itu, pendakwaan memohon hukuman berat yang boleh memberi pengajaran kepadanya dan alasan bahawa dia (Kuan) tidak mengetahui pekerjaannya adalah salah tidak boleh diterima," katanya. - Bernama

Pelajar bunuh, masak anjing peliharaan

Pelajar bunuh, masak anjing peliharaan
Dholjit dan Michael

BANGALORE - INDIA. Tiga pelajar di India ditahan pihak berkuasa setelah didakwa membunuh dan memasak anjing peliharaan mereka.

Lapor portal India Today semalam, tiga pelajar terbabit yang dikenali sebagai Dholjit, Micheal dan Romen ditahan selepas jiran mereka membuat laporan polis.

Menurut laporan tersebut, jirannya terhidu bau pelik datang dari rumah pelajar-pelajar itu sebelum membuat keputusan untuk menyiasat punca bau tersebut.

Dia bagaimanapun terkejut selepas mendapati pelajar-pelajar itu sedang melapah kulit anjing peliharaan mereka sebagai persediaan untuk memasak.

“Pelajar-pelajar itu membeli anjing tersebut pada enam bulan lepas. Mereka memelihara dan membesarkan anjing tersebut sehinggalah Rabu lepas di mana mereka membunuh, melapah serta memasak anjing itu,” katanya seperti yang dipetik menerusi laporan tersebut.

Tindakan pelajar-pelajar terbabit mengundang kecaman serta kritikan masyarakat dan orang ramai.

Ketiga-tiga pelajar yang didakwa berdepan dengan tindakan undang-undang dan boleh dipenjara sehingga dua tahun.

Ribuan penduduk Filipina dipindahkan

Ribuan penduduk Filipina dipindahkan
Penduduk yang terkandas membawa barang keperluan sementara menunggu di terminal bas di ibu negara.

MANILA - FILIPINA. Ribuan penduduk Filipina terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing untuk menyelamatkan diri selepas taufan dijangka membadai kepulauan negara itu, semalam, menurut pegawai bantuan bencana.

Menurut laporan dpa, Taufan Noul membawa angin berterusan pada kelajuan 185 kilometer sejam (km/j) dan bertiup kencang sehingga 220 km/j ketika ia bergerak ke arah pantai timur laut Filipina.

"Ia bergerak di barat laut 20km/j dan akan membawa hujan lebat ke atas lebih 12 wilayah," menurut kenyataan biro cuaca.
Difahamkan, pihak berkuasa telah memindahkan lebih 1,200 orang di bahagian timur laut pulau Luzon, kurang 24 jam sebelum taufan kuat dijangka membadai kawasan itu.

Dibelasah kerana tukar lorong saat akhir

Dibelasah kerana tukar lorong saat akhir
Rakaman video yang tersebar di laman sosial.

CHENGDU - CHINA. Rakaman seorang pemandu wanita yang dibelasah pemandu lelaki yang tersebar sejak 3 Mei lepas dikatakan berpunca dari perbuatan wanita tersebut yang menukar lorong pada saat akhir dan berlumba.

Menurut Star Asia Report, rakaman perbuatan Lu Qin, 28, menukar lorong pada saat akhir tersebar ketika beliau dirawat di hospital kerana patah tulang rusuk akibat dibelasah Zhang Xi.

Difahamkan, Qin juga memandu laju umpama mengajak Xi berlumba sejurus menukar lorong.

Rakaman kedua yang dilaporkan diambil dari kamera kereta Xi menyebabkan Qin dihentam teruk oleh warga maya, di mana sesetengah dari mereka berpendapat Qin patut dibelasah.

"Bertindak ganas bukan jawapannya tetapi jika isteri dan anak anda diancam pemandu biadap, mungkin anda akan lakukan perkara yang sama (membelasah)," kata Christopher.

"Dia (Qin) memotong lorong dengan biadab dan juga ajak berlumba. Padan mukanya," kata Gan.

Namun begitu, terdapat juga komen pelayar yang mengatakan tindakan Xi membelasah Qin juga sebagai perbuatan kejam.

"Tak kira perbuatan Xi betul atau salah, seorang lelaki tidak patut memukul seorang perempuan," kata Alan.

"Keadilan jalanan tidak patut diamalkan. Apa yang akan anda buat jika yang dibelasah tersebut adalah isteri, anak perempuan atau ibu anda?" luah Sebastian.

Laporan polis mengatakan Xi yang ditahan reman akan menghadapi tuduhan mendatangkan kecederaan kepada orang awam.

Seorang pegawai polis Chengdu memberitahu, kejadian mungkin dapat dielakkan jika Qin tidak memandu dengan biadap dan mengajak Xi berlumba.

Wanita sesat hanya minum susu badan

Wanita sesat hanya minum susu badan
Susan O'Brien

WELLINGTON - NEW ZEALAND. Seorang wanita yang sesat di dalam hutan dalam satu acara sukan terpaksa minum susu badannya untuk hidup.

Menurut laporan BBC, Susan O'Brien, 29, mengambil jalan yang salah ketika acara rentas hutan dalam perlumbaan Xterra yang bertempat di dalam hutan Rimutaka.

Pihak berkuasa melancarkan operasi mencari dan menyelamat selepas O' Brien gagal memunculkan diri pada pagi Ahad lepas.

O' Brien yang mempunyai dua orang anak berjaya ditemui dan dibawa keluar menggunakan helikopter pada jam 11.30 pagi waktu tempatan, hari ini.

"Saya ingat saya akan mati.

"Saya dalam tempoh menyusukan anak saya jadi saya fikir, ia (meminum susu badan) akan membantu saya terus hidup," jelas O' Brien kepada wartawan.

Beliau yang juga seorang jurulatih kecergasan memberitahu, keadaan sejuk pada waktu malam memaksanya mengorek sebuah lubang dan tidur di dalamnya.

"Saya selimutkan diri saya dengan tanah dan bila saya dengar sesuatu, saya menjerit meminta tolong," akhiri beliau.

39 panggilan adu rasuah


Oleh Muhamaad Razis Ismail

razis@hmetro.com.my
Kota Bharu: Jawatankuasa Integriti Pengurusan Tabung dan Dana Banjir yang ditubuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima 286 panggilan berhubung pelbagai aduan bantuan banjir sehingga kelmarin.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Mustafar Ali yang juga Penyelaras Jawatankuasa Pengurusan Tabung dan Dana Banjir SPRM berkata, daripada jumlah itu 39 panggilan adalah aduan berkaitan rasuah dan penyelewengan dana dan semua aduan disiasat mengikut Akta SPRM 2009.
“Tindakan kita membuat semakan semula terhadap panggilan itu dan membuka kertas siasatan, namun sehingga kini belum ada dihadapkan ke mahkamah,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutupan Jawatankuasa Intergriti Pengurusan Tabung dan Dana Banjir, semalam.
Hadir sama, Pengarah SPRM Kelantan Datuk Abdul Aziz Aban dan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan Azhar Mohamad.
Mengulas lanjut, Mustafar berkata, kira-kira 100 orang yang tidak membuat tuntutan wang ihsan banjir selepas menyedari membuat tuntutan bertindih terhadap bantuan itu.
“Malah ada yang memulangkan kembali wang berkenaan selepas mendengar taklimat daripada SPRM,” katanya.
Menurutnya, secara keseluruhan usaha SPRM dengan kerjasama pihak berkuasa lain berjaya melancarkan proses pengagihan kepada penerima yang layak sekali gus mengelak ketirisan.
“Kita akui masih ada beberapa kelemahan dalam urusan sistem dan prosedur berhubung dengan pengagihan bantuan wang ihsan banjir.
“Sehubungan itu SPRM dengan jabatan dan agensi berkaitan akan menambah baik garis panduan pengurusan dana serta mengadakan pangkalan data mengenai butiran penduduk setempat,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Mustafar mengumumkan penutupan operasi bilik gerakan Jawatankuasa Integriti Pengurusan Tabung dan Dana Banjir mulai semalam.
“Bagaimanapun aduan atau maklumat daripada orang ramai akan terus diterima dan mereka boleh hubungi pejabat SPRM terdekat,” katanya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/50108#sthash.sshiwgjc.dpuf

Protes baling basikal

London: Seramai 17 orang ditahan selepas merusuh dengan membaling botol, tin dan bom asap di depan rumah Perdana Menteri David Cameron kerana tidak berpuas hati dengan pelantikan semula pemimpin itu.
Penunjuk perasaan yang turut melaungkan kata-kata kesat dan membuat bising bertempur dengan polis, malah ada juga peserta yang membaling basikal.
Lima anggota polis turut cedera dalam perhimpunan haram yang digambarkan sebagai ‘protes anti-langkah penjimatan’ itu.
Kira-kira 200 orang dianggarkan menyertai tunjuk perasaan berkenaan termasuk 25 pemuda berpakaian serba hitam yang turut menutup wajah dengan topeng serta cermin mata gelap.
Cameron - yang memperkenalkan langkah penjimatan drastik untuk mengurangkan defisit negara selain turut menjanjikan lebih banyak kaedah sebegitu - memenangi pilihan raya umum untuk kali kedua, Khamis lalu.
Kejadian berlaku menjelang majlis peringatan 70 tahun kemenangan Perang Dunia Kedua, malah penunjuk perasaan juga menconteng kata lucah pada tugu peringatan memperingati sumbangan penting wanita dalam peperangan itu.
Jurucakap Royal British Legion berkata: “Perbuatan tidak berakal ini memang tidak menghiraukan langsung perwira yang mengorbankan nyawa demi memastikan kita hari ini bebas mengadakan pilihan raya dan mengamalkan gaya hidup yang baik.”
Jurucakap Downing Street turut menyelar perbuatan perusuh.
“Mereka jelas tidak langsung menghormati pengorbanan golongan yang berjuang dan mati untuk negara ini,” katanya.
Bagaimanapun, aktivis dan penulis berhaluan kiri Laurie Penny dalam Twitter berkata: “Pada saya tiada masalah. Keberanian generasi lalu tidak mengikat kita untuk tunduk dan membiarkan diri dipijak hari ini.”
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2015 @ 7:03 AM


Anggota polis bertempur dengan perusuh di Downing Street.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/49974#sthash.OghrRvAl.dpuf

Bot bawa 469 pendatang terkandas di Aceh

Banda Aceh: Pihak berkuasa Indonesia, semalam menyelamatkan seramai 469 pendatang Rohingya dari Myanmar dan warga Bangladesh selepas bot yang dinaiki mereka terkandas di pantai Aceh.
“Kami menerima laporan daripada nelayan terdapat sebuah bot kayu terkandas di kawasan perairan di utara Aceh,” kata ketua agensi mencari dan menyelamat Aceh, Budiawan.
Katanya, pasukan menyelamat berjaya menyelamatkan seramai 469 pendatang dari Myanmar dan Bangladesh.
“Sebilangan daripada penumpang itu terdiri daripada wanita dan kanak-kanak dan semua mereka berjaya diselamatkan,” tambahnya.
Ujarnya, semua pendatang itu ditempatkan di sebuah pusat tahanan sebelum disoal siasat oleh pihak imigresen dan polis.
Seorang pegawai agensi pengurusan bencana Aceh, Darsa berkata, bot yang membawa pendatang itu tiba di Aceh pada awal pagi semalam dan diarahkan berenang ke pantai.
“Seorang pendatang yang boleh berbahasa Melayu memberitahu saya bahawa ejen mereka memberitahu bot itu sudah sampai ke Malaysia dan mengarahkan mereka berenang ke pantai.
“Sebahagian penumpang berenang ke pantai tetapi menyedari mereka ditipu selepas nelayan memberitahu mereka berada di Indonesia,” jelasnya.
Menurutnya, pendatang itu memberitahu, lima bot berlepas dari Myanmar pada minggu lalu menuju ke Malaysia.
“Etnik Rohingya ini mahu melarikan diri dari negara asal mereka kerana mahu melarikan diri daripada konflik perkauman di negara itu,” katanya. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2015 @ 7:17 AM


SEBAHAGIAN wanita dan kanak-kanak dari etnik Rohingya yang diselamatkan selepas bot yang dinaiki mereka terkandas di Aceh.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/49982#sthash.8WlEV4XM.dpuf

Padah cuba seludup nadir bumi


Seoul: Lima termasuk seorang rakyat Korea ditahan kerana menyeludup nadir bumi dari daerah Shandong di timur China ke Korea Selatan, lapor Kastam Qingdao, kelmarin.
Menurut pegawai kastam, lebih 1,500 tan nadir bumi dan logam yang bernilai AS$17.6 juta (RM63 juta) terbabit dalam kes ini.
Pada Ogos tahun lalu, satu tan nadir bumi dan 5 tan ferromolybdenum berjaya dirampas kastam Weihai sebelum sempat dieksport ke Korea Selatan.
Siasatan mendapati, syarikat perdagangan yang berpusat di Yiwu - milik suspek warga Korea yang dikenali sebagai Cho - terbabit dalam kegiatan membeli dan menyeludup nadir berkenaan.
China memenuhi 90 peratus daripada permintaan dunia terhadap nadir bumi yang banyak digunakan untuk tujuan ketenteraan dan teknologi hijau seperti turbin angin serta bateri kereta.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/49979#sthash.mAhv16uy.dpuf

36 terbunuh dalam rusuhan penjara di Iraq


Baghdad: Enam wadar penjara dan 30 banduan terbunuh dalam satu rusuhan yang tercetus di sebuah penjara dekat sini, kelmarin.
Kejadian berlaku di sebuah penjara di bandar Khalis, 50 kilometer dari utara Baghdad itu juga menyebabkan seramai 40 banduan melarikan diri.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Iraq, Saad Maan berkata, rusuhan itu tercetus selepas seorang banduan merampas senjata api dari seorang wadar.
“Seorang banduan merampas senjata api dan membunuh wadar berkenaan.
“Banduan itu dan beberapa rakannya kemudian pergi ke tempat simpanan senjata serta mengambil sejumlah senjata api,” katanya.
Ujarnya, pertempuran yang tercetus di dalam penjara itu menyebabkan enam pengawal penjara terbunuh dan 40 banduan berjaya melarikan diri.
“Sembilan banduan yang melarikan diri itu dipenjara kerana terbabit dengan aktiviti keganasan dan selebihnya atas kesalahan biasa,” jelasnya.
Menurutnya, 30 banduan yang terbunuh itu ditahan atas tuduhan terbabit dengan aktiviti pengganas. - AFP
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/49863#sthash.qIYWuDEF.dpuf

Kejadian gemparkan ‘negara paling gembira’


Aarau (Switzerland): Lima maut dalam kejadian tembakan yang menggemparkan sebuah bandar kecil di Switzerland yang lazimnya terkenal aman.
Antara yang mati dalam kejadian di Wuerenlingen itu termasuk penembak berusia 36 tahun yang turut menembak dirinya sendiri.
Jurucakap polis, Michael Leutpold berkata, kejadian membabitkan konflik peribadi, malah lelaki itu dipercayai mengenali mangsa yang mungkin juga keluarganya.
Media tempatan melaporkan, suspek anggota polis tempatan dan bapa tiga anak.
Leutpold bagaimanapun menegaskan, suspek tiada lesen memiliki pistol selain tidak menggunakan senjata itu ketika kejadian.
Menurutnya, suspek memasuki sebuah rumah di kejiranan berkenaan dan menembak mati tiga orang iaitu sepasang suami isteri masing-masing berusia 58 dan 57 tahun serta seorang lagi lelaki berusia 32 tahun dipercayai adik iparnya.
Suspek kemudian memasuki satu lagi rumah sebelum menembak mati lelaki berusia 46 tahun, seterusnya menembak dirinya sendiri.
Jiran menghubungi polis selepas mendengar tembakan sekitar jam 11 malam kelmarin.
Polis yang tiba tidak lama selepas itu menemui beberapa mayat di dalam dan luar rumah berkenaan.
Kejadian itu menggemparkan penduduk Switzerland malah akhbar Blick dalam laporannya berkata: “Tidak mungkin kejadian seperti ini berlaku. Switzerland negara paling kaya di dunia dan penduduknya rata-rata gembira.”
Ini berdasarkan laporan ahli akademik bulan lalu yang mengisytiharkan penduduk Switzerland sebagai paling gembira di dunia. - AFP
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/49972#sthash.ojO633l3.dpuf

Bapa bunuh anak, isteri

Montreal, Kanada: Seorang lelaki membunuh anak perempuannya sendiri kerana mendakwa tidak tahan melihat gadis berusia 19 tahun itu menderita penyakit pening kepala teruk atau migrain.
Randy Janzen mengaku membunuh isteri, Laurel dan kakaknya, Shelly kerana tidak mahu mangsa menanggung kesedihan dan malu dengan tindakannya itu.
Janzen membuat pengakuan itu dalam laman Facebook pada lewat kelmarin sebelum dia membakar dirinya sendiri.
“Emily mencuba pelbagai rawatan untuk sembuh, tetapi semuanya gagal. Saya mengambil pistol dan menembaknya di kepala supaya anak saya bebas daripada penderitaannya itu,” kata Janzen.
Janzen juga memberitahu dia membunuh Laurel kerana tidak mahu isterinya sedih dengan kehilangan Emily dan menembak Shelly kerana tidak mahu mangsa malu dengan tindakannya itu.
Beberapa jam selepas status itu dimuat naik polis menemui satu mayat di sebuah rumah di pinggir Vancouver.
Janzen dipercayai mengurung diri di sebuah rumah berhampiran sebelum bertindak membakar kediaman berkenaan.
Polis percaya Janzen dan beberapa mangsa berada di rumah itu.
“Kami menyedari perkara itu melalui Facebook.
“Ketika ini kami masih belum dapat memasuki rumah yang terbakar itu untuk mencari mayat semua mangsa,” kata jurucakap polis, Stephanie Ashton.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2015 @ 10:13 AM


JANZEN (kanan) bersama Emily.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/49866#sthash.AWrnQkNu.dpuf

Dulu simpati kini dikecam

Chengdu, China: Seorang pemandu wanita yang mendapat simpati orang ramai selepas rakaman video memaparkan dia dibelasah seorang lelaki tersebar di Internet kini dikecam pula pengguna laman sosial.
Ia gara-gara satu lagi video yang memaparkan wanita itu memandu secara melulu sehingga mencetuskan kemarahan lelaki yang membelasahnya.
Pada minggu lalu, satu video menunjukkan wanita dikenali sebagai Lu diseret keluar dari kereta sebelum dibelasah seorang pemandu lelaki yang dikenali sebagai Zhang.
Serangan itu menyebabkan wanita itu cedera di muka dan dirawat di hospital manakala Zhang ditahan polis.
Pengguna Internet ‘menyerang’ Zhang dan mahu lelaki berkenaan dikenakan tindakan keras.
Bagaimanapun, polis menyiarkan satu lagi video yang dirakam Zhang menunjukkan tindakan Lu menukar laluan keretanya secara bahaya sehingga hampir melanggar kereta lelaki itu.
Zhang memberitahu polis tindakan itu menjadi punca dia mengejar kereta Lu sebelum menahan dan memukul mangsa.
Video terbaru itu menyebabkan pengguna Internet yang sebelum ini menyokong Lu kini beralih arah dengan mengecam wanita berkenaan.
Satu tinjauan pendapat yang dijalankan sebuah laman web juga mendapati lebih 70 peratus pengguna berpendapat Lu ‘layak’ dipukul.
Lu yang ditemubual sebuah akhbar mengakui kesalahannya itu dan meminta maaf.
“Saya mengaku memandu secara melulu dan tidak berniat membahayakan pengguna jalan raya yang lain,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2015 @ 11:17 AM


RAKAMAN video menunjukkan Zhang sedang membelasah Lu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/49889#sthash.M59xpgEP.dpuf