Search This Blog

Saturday, May 9, 2015

Gerakan Bawa Kes Hudud Ke Mahkamah Persekutuan


Diterbitkan: Jumaat, 8 Mei 2015 9:11 PM
Barisan peguam Gerakan keluar dari mahkamah selepas memfailkan permohonan mencabar kesahihan Enakmen Kanun Jenayah Syariah di Kota Baru, Jumaat.

PUTRAJAYA: Gerakan memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk mencabar kesahihan Enakmen Kanun Jenayah Syariah 11 1993 (Pindaan 2015) atau lebih dikenali sebagai hudud di bawah Perlembagaan.
Timbalan Ketua Pemuda dan ketua pasukan perundangan Gerakan, Andy Yong Kim Seng, berkata notis usul dikemukakan di pusat sehenti Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan kira-kira 11 pagi.
Dalam notis usul itu, Gerakan meminta Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada parti itu untuk membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan bagi membincangkan dan memutuskan persoalan undang-undang sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan mempunyai bidang kuasa menggubal Kanun Jenayah Syariah 11 (Pindaan).
"Kami mahu Mahkamah Persekutuan memutuskan sama ada Kelantan mempunyai bidang kuasa untuk meluluskan Kanun Jenayah Syariah 11 (Pindaan)," kata beliau ketika dihubungi Bernama di sini.
Sementara itu, dalam mesej Whatsapp kepada Bernama, Yong berkata Gerakan memfailkan notis usul itu mengikut Perkara 4(3) dan 4(4) Perlembagaan Persekutuan memohon Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan Enakmen Hudud itu adalah tidak sah dan batal kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, terutamanya kebebebasan fundamental yang termaktub dalam Fasal 11 Perlembagaan Persekutuan.
"Kami juga percaya bahawa DUN Kelantan telah bertindak melampaui bidang kuasanya dengan menceroboh bidang kuasa Parlimen Malaysia dengan menggubal undang-undang jenayah dan perkara yang menjadi sebahagian daripada Senarai Perundangan Persekutuan seperti termaktub oleh Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan," kata Kim Seng.
Menurutnya Gerakan sedang menimbang untuk memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bahru yang menolak saman pemula parti untuk mencabar Kanun Jenayah Syariah Kelantan.
Hakim Datuk Azman Abdullah, ketika menolak permohonan itu semalam, berkata saman pemula itu bersifat pramatang kerana difailkan sebelum Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan pindaan itu.
Hakim juga memutuskan walaupun jika proses tindakan itu bermula pada 18 Mac, pemohon perlu mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan mengikut Perkara 4 (3) dan (4) dan Perkara 128 Perlembagaan Persekutuan.
Tiga anggota parti iaitu Tuan Mat Tuan Wil, Soh Hoon Lee dan Chung Mon Sie memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi pada 18 Mac tahun ini, iaitu hari sama enakmen itu dibentangkan di DUN berkenaan.
Dalam saman pemula itu, mereka menamakan Kerajaan Kelantan sebagai defendan.
Bagaimanapun, pada 25 Mac lepas, pemohon memfailkan permohonan baharu mengikut Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk Mahkamah Tinggi merujuk permohonan mencabar hudud ke Mahkamah Persekutuan.
DUN Kelantan pada 19 Mac lepas meluluskan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) setelah memperoleh undi sebulat suara daripada 44 anggota Dewan yang menghadiri persidangan.-- Bernama

Penganggur Dipenjara Empat Tahun Pecah Masuk Rumah Eksekutif IT


Diterbitkan: Rabu, 6 Mei 2015 10:10 PM

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah memecah masuk rumah seorang eksekutif teknologi maklumat dan melarikan barangan bernilai RM30,000.

Hakim Azman Mustapha mengarahkan Mohd Tarmimi Azrul Mohamad Fauzi, 33, menjalani hukuman bermula dari tarikh dia ditangkap pada 30 April lalu.

Dia didakwa melakukan pecah masuk ke atas sebuah unit penthouse milik NurSyahida Jusoh dan mencuri barang-barang kemas, beberapa utas jam tangan, wang tunai AS$3,700, tablet kanak-kanak dan sebuah beg galas yang semuanya bernilai RM30,000.

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan di Southern Bistari Condo Off Jalan Putra di sini pada pukul 12.15 pagi 21 April lepas di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebat untuk kesalahan berulang.

Menurut fakta kes, pada masa kejadian Nur Syahida sedang tidur di bilik tidurnya apabila terdengar pintu bilik tidur dibuka oleh seseorang.

Apabila bangun beliau nampak tertuduh dan apabila menyedari sudah dilihat, Mohd Tarmizi Azrul melarikan diri.

Nur Syahida kemudiannya menghubungi suaminya yang kemudiannya pulang bersama seorang pengawal keselamatan.

Pasukan polis yang menyiasat telah menemui kesan cap cari suspek di almari pakaian bilik tidur utama dan telah menangkap Mohd Tarmizi Azrul di Batu Caves, Selangor.

Pemeriksaan di rumahnya menemui beberapa barangan yang dilapor hilang. Dalam rayuan, Mohd Tarmizi Azrul, yang tidak diwakili peguam, meminta hukuman diringankan kerana dia terpaksa menyara tiga anak dan bapa mertuanya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, S. Malini Anne meminta hukuman yangberat memandangkan jenayahnya merupakan kesalahan serius dengan mengambil kira trauma yang dialami oleh mangsa apabila melihat pencuri berada di dalam kediamannya.

Curi Dompet Di Surau, Bekas Guru Dipenjara Dua Bulan


Diterbitkan: Khamis, 7 Mei 2015 5:23 PM

KUALA LUMPUR: Seorang bekas guru swasta dijatuhi hukuman penjara dua bulan Mahkamah Majistret kerana mencuri dompet seorang wanita yang sedang menunaikan solat di sebuah surau.
Majistret Zilfinaz Abbas menjatuhkan hukuman itu terhadap Haminah Mat Hussin, 28, selepas dia mengaku bersalah mencuri dompet Wan Nor Hapsah Daud, 32, yang mengandungi wang tunai RM300 dan dokumen peribadi di surau aras 4 Terminal Bersepadu Selatan-Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS), Cheras di sini, pada 4.50 petang, 4 Mei lepas.
Mahkamah memerintahkan wanita itu menjalani hukuman bermula dari tarikh dia ditangkap, 4 Mei lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda.
Menurut fakta kes, mangsa menyedari beg dompetnya dicuri selepas dia menunaikan solat Asar di surau itu dan tertuduh berjaya ditangkap selepas siasatan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dia membuang dompet itu ke dalam tong sampah.
Ketika rayuan, Haminah yang tidak diwakili peguam memohon hukuman denda dengan alasan beliau melakukan kesalahan itu atas desakan hidup kerana baru  berhenti kerja dan perlu membayar sewa rumah dan kereta.
Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bistaman memohon mahkamah mengenakan hukuman dalam bentuk pengajaran agar tertuduh tidak mengulangi kesalahan sama.-- Bernama

Nahas Helikopter Di Pakistan: Datin Habibah Sempat Hubungi Keluarga


Diterbitkan: Sabtu, 9 Mei 2015 7:35 AM
Datin Habibah Mahmud (kanan) bersama Datuk Dr Hasrul Sani Mujtabar.

MUAR: Allahyarham Datin Habibah Mahmud, isteri kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan Datuk Dr Hasrul Sani Mujtabar, sempat menelefon anggota keluarganya di sini, Jumaat.
Panggilan telefon itu dibuat sebelum Habibah dan Dr Hasrul Sani menyertai rombongan diplomat asing dan isteri masing-masing mengikuti program rasmi kerajaan Pakistan ke Lembah Naltar.
Bagaimanapun, Habibah dan Duta-duta Besar Norway, Belanda dan Filipina serta isteri Duta Besar Indonesia terbunuh apabila helikopter yang dinaiki mereka terhempas di kawasan Lembah Naltar awal pagi Jumaat.
Seorang anggota keluarga Habibah yang enggan dikenali berkata dalam perbualan telefon itu, Allahyarham meminta mereka membantu menjaga anak-anaknya.
"Kali terakhir arwah menelefon kami ialah kira-kira jam 11 pagi tadi dan meminta menjaga anak-anaknya," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Dalam nahas itu, Dr Hasrul Sani cedera dan kini dirawat di Hospital Gilgit.  
Allahyarham Habibah merupakan anak kedua daripada sembilan beradik. Anggota keluarganya berkata kali terakhir mereka bertemu Allahyarham Habibah ialah kira-kira 50 hari lepas semasa bapanya Mahmud Abdul Aziz, 80-an, meninggal dunia akibat sakit tua di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini.
"Ketika itu, mereka memaklumkan akan pulang ke Malaysia selepas suaminya menamatkan perkhidmatan (di Pakistan)," katanya.
Beliau berkata, Allahyarham Habibah mengikut suaminya bertugas di Pakistan sejak hampir tiga tahun lepas setelah berpindah dari Algeria.
Allahyarham Habibah adalah bekas pelajar Kolej Tunku Kursiah, Seremban dan melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya sebelum bekerja sebagai guru.
"Habibah mengambil cuti tanpa gaji daripada perkhidmatannya bagi menemani suaminya.
"Apa pun kami kini menunggu perkembangan lanjut daripada Wisma Putra," katanya.
Beliau berkata, kesemua anak Allahyarham iaitu Haziani Sofia, 27, Haziani Farhana, 26 dan Haziq Fazli, 19, kini berada di Nilai, Negeri Sembilan manakala adik beradik arwah berkumpul di rumah ibu mentua di Batu Pahat, Johor.

Wanita 'Makan' Duit Pencen Ibu Bapa Yang Sudah 50 Tahun Meninggal Dunia Ditahan


Diterbitkan: Jumaat, 8 Mei 2015 3:31 PM

TOKYO: Wanita Jepun berusia 86 tahun ditahan selepas dikesan mengambil wang pencen ibu bapanya selama kira-kira 50 tahun selepas mereka meninggal dunia, menurut polis di daerah Ena, pada Jumaat.
Mitsue Suzuki dipercayai mengumpul lebih 50 juta yen (AS$420,000) sejak lima dekad apabila ibu bapanya meninggal dunia pada 1960-an.
Ia adalah kes terbaharu di Jepun di mana dikesan wang milik penama yang sudah meninggal dunia masih ditunaikan.
Malahan, ada juga kes di mana penuntut tinggal bersama mayat yang kebiasaannya ahli keluarga mereka dengan alasan untuk mendapatkan bayaran itu.
Kes membabitkan Suzuki dikesan apabila pegawai agensi persaraan negara itu menghubungi pihak berkuasa tempatan di Gifu untuk bertanyakan mengenai keadaan kesihatan pasangan yang sepatutnya sudah berusia 110 tahun bagi ibunya, manakala bapanya berusia 112 tahun.
Bagaimanapun, pegawai berkenaan memaklumkan bahawa kedua-duanya sudah lama meninggal dunia dan sijil kematian juga sudah dikeluarkan pada 1960-an, di mana ibu Suzuki meninggal dunia pada 1965, manakala bapanya pula tiga tahun kemudian.
Pegawai polis Gifu pula memaklumkan AFP, Suzuki ditahan pada Khamis kerana didakwa menerima 2.6 juta yen antara April 2013 dan Disember 2014.
Pasukan penyiasat kini sedang berusaha untuk mengesahkan tempoh masa sebenar Suzuki mula mengambil wang milik ibu bapanya secara tidak sah.
Bagaimanapun, Suzuki tetap menafikan dia melakukan sebarang kesalahan semasa ditahan dan keterangannya diambil.
Pada 2010, polis menahan sekeluarga di sini kerana didakwa mengumpul 18 juta yen wang pencen untuk tempoh 30 tahun selepas kematian Sogen Kato.
Keluarga Kato tidak melaporkan kematiannya dan menyimpan mayatnya yang dijadikan mumia di kediaman mereka dengan alasan Kato mahu menjadi Buddha.
Susulan kejadian itu, Kementerian Kesihatan menjalankan siasatan menyeluruh dengan memfokuskan kepada kehilangan warga tua yang masih menerima wang pencen.
Sejak siasatan itu dijalankan, pihak kerajaan menggantung pembayaran untuk 1,700 pesara yang hilang.

Kerana Televisyen, Wanita Saman Syarikat Penerbangan AS$5 Juta


Diterbitkan: Sabtu, 9 Mei 2015 10:09 AM

SEORANG wanita memfailkan saman terhadap syarikat penerbangan United Airlines kerana mendakwa siaran televisyen yang dilanggan dalam pesawat itu tidak berfungsi degan baik.
Cary David dari Orange County, New Jersey memfailkan saman sebanyak AS$5 juta apabila mendapati satu isyarat keluar di skrin televisyen berkenaan ketika tempoh langganan berbaki 10 minit.
Wanita yang melanggan siaran televisyen penerbangan berkenaan selama empat jam perjalanan mendakwa syarikat penerbangan tersebut gagal menyediakan perkhidmatan seperti yang dijanjikan.
Cary dilapor hanya membayar sebanyak AS$7.99 untuk siaran televisyen tersebut ketika dalam perjalan dari Puerto Rico pada 21 Februari lalu.
Jika memenangi kes berkenaan, wanita terbabit dikatakan akan memulangkan wang itu kepada pelanggan syarikat penerbangan tersebut yang menghadapi kesulitan sama sebelum ini.

Empat Sekeluarga Tinggal Sehelai Sepinggang


Diterbitkan: Sabtu, 9 Mei 2015 1:06 PM

GEORGE TOWN: Seorang ibu tunggal dan tiga anaknya tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Telok Tempoyak, Batu Maung dekat sini awal pagi Sabtu.
Sapiah Wan Chek, 46, berkata lima motosikal jirannya yang diparkir di bawah rumah pusaka peninggalan ibu bapanya turut musnah dalam kejadian 1.40 pagi itu.
Beliau berkata kebakaran dipercayai berpunca daripada api ubat nyamuk yang kemudian menyambar fius elektrik dalam bilik tidur anak perempuannya.
"Anak saya terjaga dari tidur bila terasa bahang api dan dia cepat-cepat turun ke bawah. Masa itu saya belum tidur lagi," katanya kepada pemberita.
Beliau yang bekerja di kilang kopi di Bayan Lepas berkata sebaik mereka sekeluarga keluar dari rumah, api telah menjulang tinggi sehingga turut menyambar pokok mempelam dan bumbung perhentian bas yang terletak di tepi rumah mereka.
Sapiah berkata kebakaran turut memusnahkan barangan persekolahan anaknya.
"Anak saya di Tingkatan 3 ada ujian PT3 bulan Jun ini, seorang lagi akan hadapi peperiksaan percubaan SPM pada hujung bulan Ogos. Habis terbakar rak buku dan meja belajar mereka," katanya.
Sementara itu Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru, Mohd Rohizat Yusof berkata rumah papan itu musnah 90 peratus dan yang tinggal hanya sedikit struktur pada bahagian batu bata.
Pihaknya sempat mengalih kereta Perodua Kancil mangsa yang terbakar kira-kira 30 peratus, katanya.

Keluarga Datin Habibah Mohon Tidak Diganggu


Diterbitkan: Sabtu, 9 Mei 2015 2:07 PM
Asap kebakaran di lokasi nahas helikopter yang mengorbankan Datin Habibah di Naltar, Gilgit, Pakistan

BATU PAHAT: Keluarga kepada isteri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, Datin Habibah Mahmud memohon semua pihak terutama pihak media supaya memberi ruang privasi kepada mereka dan memahami situasi kesedihan yang mereka sedang hadapi.
Adik ipar Allahyarham yang enggan dikenali berkata buat masa ini mereka sekeluarga terutama ibu Allahyarham masih terkejut dengan kejadian yang berlaku.
"Ibu mentua saya sedang bersedih kerana kehilangan dua anggota keluarga iaitu suaminya dan Habibah dalam tempoh yang singkat. Harap semua pihak faham dengan keadaan kami," katanya kepada pemberita di rumah keluarga Habibah di Pekan Semerah di sini, Sabtu.
Bapa Habibah, Mahmud Abdul Aziz, 80-an meninggal dunia pada Mac lepas.
Habibah maut selepas helikopter tentera Pakistan yang membawa rombongan duta-duta asing terhempas di kawasan Lembah Naltar, Pakistan pada Jumaat.
Nahas dilapor turut mengorbankan duta besar Norway, Belanda dan Filipina termasuk isteri Duta Besar Indonesia.
Sementara Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, Datuk Dr Hasrul Sani Mujtabar dilapor cedera dan dirawat di Hospital Gilgit.
Adik ipar Habibah berkata kebanyakan anggota keluarga Allahyarham mula berkumpul di rumah keluarga Allahyarham.
Beliau berkata mereka masih menunggu sebarang perkembangan terkini mengenai  Allahyarham.
Sementara itu di Nilai, Negeri Sembilan, seorang lagi anggota keluarga Allahyarham berkata jenazah Allahyarham dijangka tiba di Malaysia sama ada esok atau lusa.

Lori Simen Masuk Gaung, Dua Pemandu Maut


Diterbitkan: Sabtu, 9 Mei 2015 4:04 PM

BINTULU: Sebuah lori membawa muatan simen terhumban ke gaung sedalam lapan meter ekoran kemalangan yang mengorbankan dua lelaki melibatkan sebuah kereta Perodua Kenari dan sebuah lori simen berdekatan Simpang Sangan di Tatau, dekat sini pada Sabtu.
Pemandu lori Seli Mat, 42, meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta Ho Soon Hock, 37, meninggal dunia dalam perjalanan ke Pusat Kesihatan Tatau.
Dalam kejadian yang dipercayai berlaku lebih kurang 8.30 pagi itu, Seli, yang dalam perjalanan ke arah Sibu, dikatakan cuba memotong sebuah kenderaan lain namun gagal dan bergeser dengan kereta yang dinaiki Ho bersama isteri dan anak perempuannya yang dalam perjalanan ke arah Bintulu.
Isteri Ho, Sia Chieng Yiun, 32, dan anak mereka Tracy Ho Xi Qin, 7, tidak cedera.
Menurut penolong pengarah operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak Farhan Sufyan Borhan, pihak Balai Bomba dan Penyelamat Tatau dimaklumkan mengenai kejadian pada 8.45 pagi.
Enam anggota bomba termasuk tiga anggota bantuan dihantar untuk mengeluarkan mangsa dari kenderaan masing-masing. Kereta dipandu Ho remuk di bahagian kanan.

Gempa bumi sederhana landa Papua New Guinea

Gempa bumi

KUALA LUMPUR -  Gempa bumi sederhana, berukuran 5.6 pada skala Richter melanda wilayah New Britain, Papua New Guinea, pukul 3.52 petang hari ini, kata Jabatan Meteorologi Malaysia.
  
Pusat gempa itu terletak 87km barat daya Kimbe, Papua New Guinea dan 3,659km tenggara Semporna, Sabah katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tiada ancaman tsunami dilaporkan, katanya.
  
Sementara itu, gempa bumi bermagnitud 5.8 melanda Sumatera Utara, Indonesia pada jam 11.12  pagi tadi menyebabkan gegaran sehingga dapat dirasakan di beberapa kawasan di Selangor.
  
Jabatan itu berkata pusat gempa itu berada di 22km timur laut Nias, Indonesia dan 441km barat daya Sabak Bernam, Selangor.
  
Perkembangan gempa bumi itu sedang dipantau oleh jabatan berkenaan, kata kenyataan itu lagi. - Bernama

Penduduk terjejas gempa dahagakan bantuan

Penduduk terjejas gempa dahagakan bantuan
Ramai lagi penduduk Nepal masih mengharapkan bantuan dari pihak kerajaan.

KATHMANDU - NEPAL. Penduduk di kampung terpencil di Nepal masih belum menerima sebarang bantuan sejak gempa bumi menggegarkan negara itu, bulan lalu, berikutan tindak balas perlahan.

Penduduk Rajesh Katuwal memberitahu, walaupun selepas dua minggu bencana berlaku, mereka masih tidak menerima bantuan kerajaan.

Difahamkan, kerajaan memaklumkan bahawa pasukan khas akan dihantar ke 500 kampung yang terlibat gempa untuk meningkatkan peruntukan bantuan.

Sementara itu, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), rayuan bantuan kilat untuk pembiayaan krisis Nepal hanya menerima enam peratus daripada nilai AS$423 juta (RM1.6 bilion) yang diminta.
Sejumlah AS493 juta (RM334 juta) lagi diperuntukkan untuk pembiayaan jangka panjang bagi pembangunan dan pembinaan semula negara berkenaan. - dpa

Saudi umum gencatan senjata di Yaman mulai Selasa depan





"KEADAAN sebuah bangunan yang rosak selepas pertempuran dengan pemberontak Huthi di Aden. - Foto Reuters



SANAA: Arab Saudi mengumumkan gencatan senjata atas dasar kemanusiaan di Yaman mulai Selasa depan, walaupun ketika ini sedang mempertingkatkan serangan udara terhadap pemberontak Huthi.

"Kami putuskan gencatan senjata akan berkuatkuasa 12 Mei ini jam 11 malam selama lima hari dan mungkin dilanjutkan bergantung kepada keadaan," kata Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir selepas mesyuarat menteri negara Teluk di Paris.

Begitupun, pesawat pejuang tentera bersekutu diterajui Saudi terus membedil kubu Huthi, pemberontak mazhab Syiah di utara Yaman sejak kelmarin.


Sementara itu, PBB mengingatkan tentera bersekutu bahawa sekatan laluan untuk penghantaran makanan dan bahan api menjejaskan usaha penyaluran bantuan sekali gus mengancam nyawa ribuan kanak-kanak Yaman.

"Gencatan senjata ini akan ditamatkan jika Huthi dan sekutunya tidak berpegang kepada persetujuan yang dicapai. ..inilah masanya Huthi membuktikan mereka mengambil berat hal ehwal masyarakat dan warga Yaman keseluruhannya," kata Juber pada sidang media bersama dengan Setiausaha Negara AS, John Kerry.



 JOHN Kerry (kiri) dan Adel al-Jubeir bercakap pada pada sidang media bersama di Paris. - Foto Reuters
Kerry berkata, gencatan senjata itu berkuatkuasa selagi Huthi setuju tiada lagi kegiatan pengeboman, tembakan, pergerakan tentera atau pengubahan kedudukan tentera serta senjata berat.

Beliau menegaskan bahawa gencatan senjata itu adalah pembaharuan iltizam pihak bersekutu yang mana jika ia dapat dipertahankan, akan membuka ruang untuk dilanjutkan.

Sejak kempen serangan bermula, pasukan bersekutu diterajui Saudi sudah menyerang lokasi utama pemberontak seperti pusat kawalan, kompleks komunikasi, kilang pengeluaran periuk api dan beberapa kemudahan lain di wilayah Saada yang bersempadan Arab Saudi.

Saksi di Saada berkata pesawat tentera bersekutu turut menggugurkan nota yang menggesa penduduk meninggalkan kawasan itu sebelum mula menggempur kawasan itu malam tadi.

Serangan udara tentera bersekutu diterajui Saudi terhadap Yaman sebagai tanda sokongan terhadap Presiden Abedrabbo Mansour Hadi yang kini tinggal dalam buangan. Sementara Huthi yang dikatakan dibiayai Iran, menyokong bekas presiden, Ali Abdullah Saleh.

Selepas enam minggu pertempuran di Yaman, lebih 1,400 terbunuh dan 6,000 cedera, kebanyakannya orang awam. - AFP"

Helikopter tentera Pakistan terhempas atas sekolah

"GILGIT: Enam terkorban termasuk isteri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Pakistan apabila sebuah helikopter tentera Pakistan terhempas di atas sebuah sekolah dekat di wilayah ini yang terletak di bahagian utara negara itu petang ini.

Bangunan sekolah turut terbakar akibat impak nahas itu, kata pegawai tentera yang bimbang jumlah korban mungkin meningkat.

Helikopter itu adalah satu daripada tiga yang membawa delegasi menyertai projek meninjau kawasan sekitar di wilayah Gilgit Baltistan di Pakistan selama tiga hari yang mana rombongan itu dijadual bertemu Perdana Menteri Nawaz Sharif.

Mengikut senarai penumpang yang diperoleh AFP, duta Indonesia, Lebanon, Malaysia, Belanda, Romania, Norway, Afrika Selatan, Filipina dan Poland dijadual terbang menaiki helikopter itu.


Mereka yang cedera diterbangkan ke hospital tentera di Gilgit, ibu kota pentadbiran wilayah itu, 50 kilometer ke barat daya, tambah seorang lagi pegawai polis kanan tempatan. - AFP"

Isteri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia antara 6 terkorban nahas helikopter di Pakistan





"TENTERA Pakistan membantu menurunkan mangsa nahas helikopter di sebuah hospital tentera di Gilgit hari ini. Nahas berlaku ketika helikopter terbabit dalam perjalanan ke tapak pelancaran sebuah projek di pergunungan Gilgit. Isteri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan adalah antara enam yang terkorban dalam nahas itu. Helikopter malang itu adalah antara tiga yang digunakan untuk membawa kumpulan duta dalam lawatan kerja tiga hari di wilayah itu yang mana mereka dijadualkan bertemu Perdana Menteri, Nawaz Sharif. - Foto AFP



 ISLAMABAD: Isteri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan antara enam yang terkorban apabila helikopter tentera Pakistan terhempas di kawasan pergunungan Gilgit.

Mengikut jurucakap tentera Pakistan, nahas berlaku ketika helikopter terbabit dalam perjalanan ke tapak pelancaran sebuah projek.

Nahas itu katanya turut mengorbankan Duta Norway, Duta Filipina dan isteri Duta Indonesia.


Helikopter terbabit membawa 11 orang rakyat asing dan enam rakyat Pakistan.

Katanya, hanya enam orang terkorban iaitu empat orang rakyat asing dan dua juruterbang. - REUTERS"

Taliban mengaku bertanggungjawab tembak jatuh helikopter

 "GILGIT: Pihak Taliban mengaku bertanggungjawab menembak jatuh helikopter tentera yang mengorbankan enam orang termasuk duta Norway dan Filipina.

Malah mereka berkata, Perdana Menteri, Nawaz Sharif adalah sasaran sebenar.

"Helikopter itu ditembak oleh peluru berpandu anti pesawat yang mengorbankan juruterbang dan ramai duta asing," kata kenyataan dalam bahasa Urdu yang die-mel oleh jurucakap mereka, Muhammad Khorasani.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan untuk mengesahkan dakwaan berkenaan tetapi wilayah Gilgit-Baltistan di utara Pakistan, tempat helikopter itu terhempas tidak dikenal pasti sebagai kubu kuat pertubuhan militan.


Sementara itu, kenyataan pejabat Sharif berkata, pesawat perdana menteri dalam penerbangan ke wilayah Gilgit pada masa kejadian berkenaan tetapi berpatah balik ke Islamabad selepas berita nahas helikopter itu disiarkan. - AFP"

Masalah teknikal punca helikopter Pakistan terhempas

 "



ASAP memenuhi ruang udara selepas sebuah helikopter tentera melanggar bangunan sekolah lalu terbakar di Lembah Naltar, sebuah kawasan pergunungan di utara Pakistan semalam. - Foto EPA
GILGIT, Pakistan: Nahas helikopter di wilayah ini yang mengorbankan tujuh orang termasuk isteri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia semalam, disebabkan masalah teknikal ketika mendarat, bukannya dibedil Taliban Pakistan.

"Pihak berkuasa sedang menyiasat punca nahas ini dan pemeriksaan awal mendapati ia disebabkan masalah teknikal," kata Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu bagi menangkis dakwaan Taliban, ia melancarkan roket darat ke udara untuk membunuh Perdana Menteri Nawaz Sharif yang turut terbang ke kawasan itu ketika kejadian.



Bagaimanapun, ramai saksi kejadian termasuk Setiausaha Luar Pakistan Aizaz Ahmad Chaudhry, turut menafikan dakwaan Taliban.

Helikopter malang yang terbabit nahas adalah satu daripada tiga yang digunakan membawa sekumpulan duta yang dalam lawatan tiga hari ke projek kerusi ski di sebuah resort luncur ski di wilayah Gilgit-Baltistan.

Helikopter itu dikatakan terhempas ke atas sebuah sekolah yang ditutup ketika kejadian.

Antara korban nahas itu termasuk Duta Norway, Leif H. Larsen; Duta Filipina, Domingo D. Lucenario Jr; isteri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, isteri Duta Indonesia, dua juruterbang dan seorang krew penerbangan.

Dalam pada itu, kenyataan daripada Pejabat Perdana Menteri menyebut, Nawaz juga sedang dalam perjalanan ke wilayah itu tetapi berpatah balik ke Islamabad sebaik mengetahui mengenai nahas itu.

Ia adalah antara nahas udara terburuk Pakistan sejak 2012 apabila sebuah Boeing 737 terhempas di Islamabad dan mengorbankan 130 orang.

Pada 1988, sebuah pesawat terhempas dan mengorbankan Presiden Zia-ul-Haq dan Duta AS ketika itu, Arnold Raphel. - AFP"

Hilang nyawa dalam tidur

Permaisuri : Seorang kanak-kanak berusia setahun disedari meninggal dunia oleh bapanya sebaik terjaga dari tidur, pagi kelmarin.



Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamed berkata, kejadian disedari bapa mangsa Mad Daud Abdul Rahman, 50, kira-kira jam 5.10 pagi ketika pengadu bangun dari tidur.



Katanya, bapa mangsa mendapati anaknya Muhammad Fadhlin berada dalam kain selimut ketika tidur di ruang tamu rumah dan selepas dibuka selimut itu mendapati anaknya tidak bernyawa.



“Mayat kanak-kanak terbabit dibawa ke Hospital Setiu untuk bedah siasat.



“Menurut bapa mangsa, anaknya itu sebelum ini ada menghidap penyakit asma dan mangsa yang juga anak bongsu daripada 12 beradik pernah mendapat rawatan di klinik berdekatan,” katanya.



Beliau berkata, bapa mangsa yang bekerja sebagai pekebun tinggal di Kampung Bintang, dekat sini, membuat laporan berhubung kejadian itu pada jam 7.38 pagi di Balai Polis Permaisuri dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.



Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2015 @ 10:33 AM





- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/49476#sthash.sFnU5hOp.dpuf

‘Yazid sedang rekrut ahli baru...’

Kuala Lumpur: Bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Yazid Sufaat didakwa mempunyai hubungan terus dengan kepemimpinan tertinggi Kumpulan Al Qaeda selain pernah bertempur di Afghanistan.



Perkara itu dimaklumkan Asisten Superintendan (ASP) Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Mohd Raby Abu Bakar, 55, ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.



Mohd Raby memberi keterangan di dalam kes membabitkan Yazid, rakannya Muhammad Hilmi Hasim yang didakwa terbabit dalam aktiviti menggalakkan keganasan di Syria.



Menurutnya, kumpulan Tandzim Al Qaeda yang diketuai Yazid mula dikesan pada penghujung November 2011 iaitu selepas dia dibebaskan daripada tahanan ISA.



“Laporan yang saya terima melalui pintasan komunikasi dan pemberi maklumat jelas menunjukkan bahawa Yazid sedang merekrut ahli baru.



“Ahli kumpulan Tandzim Al Qaeda yang penting adalah Muhammad Hilmi, Halimah Hussein, Mohd Razif Mohd Ariff dan Muhamad Razin Sharhan Mustafa (yang kini ditahan di Lubnan) dan Mohd Noor Fikrie Abd Kahar (ditembak mati di Selatan Filipina).



“Terdapat beberapa ahli bagaimanapun saya tidak boleh mendedahkannya,” katanya.



Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar, Mohd Raby memberitahu mahkamah bahawa nama kumpulan Tandzim Al Qaeda ini dimaklumkan sendiri Yazid melalui Facebook miliknya.



“Ikut pemahaman saya iaitu selepas merujuk pakar bahasa Arab, Tandzim bermaksud cabang atau sel yang mempunyai hubungan terus dengan Al Qaeda.



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.



Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2015 @ 9:53 AM



YAZID

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/49445#sthash.DWVvN4gX.dpuf

'Tiada rayuan dibenarkan'

Shah Alam: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) menarik balik pertimbangan untuk membuat membuat rayuan hukuman penjara bekas pelajar tajaan MARA, Nur Fitri Ameer Nordin, 23, yang dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Southwark Crown, London di atas kesalahan memiliki imej dan video pornografi kanak-kanak.



Menterinya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam kenyataan media bekata, beliau tidak menyokong dan menolak sebarang aktiviti berkaitan pornografi dilakukan pelajar itu.



"KKLW dan MARA tidak akan merayu terhadap hukuman yang dikenakan.



"Namun terpulang kepada ahli keluarga pelajar itu untuk merayu bagi pihak pelajar berkenaan," kata Shafie.



Shafie juga menegaskan tiada rayuan dibenarkan bagi pelajar ini meneruskan pengajian di bawah tajaan MARA.



"Pihak saya dan MARA memandang serius kesalahan tersebut dan semua pelajar tajaan MARA perlu patuh kepada undang - undang ditetapkan, di mana sahaja mereka berada,"katanya.



Pada 4 Mei Shafie dilaporkan sebagai berkata, KKLW akan membuat pertimbangan untuk membuat rayuan hukuman pelajar itu atas 13 kesalahan memiliki lebih daripada 30,000 imej dan video lucah kanak- kanak.



Penarikan pertimbangan oleh Shafie dipercayai adalah susulan kenyataan Perdana Menteri menerusi blog NajibRazak.com semalam yang tidak bersetuju dengan cadangan sesetengah pihak bahawa kerajaan akan merayu kepada pihak berkuasa British bagi mengurangkan hukuman.



Pada 4 Mei,Shafie dilaporkan sebagai berkata KKLW akan membuat pertimbangan untuk membuat rayuan hukuman pelajar itu.



Nur Fitri yang juga pelajar Imperal College London dijatuhkan hukuman penjara sembilan bulan bermula dari tarikh dia ditahan iaitu pada November tahun lalu.



Ketika ditahan di tempat tinggalnya di Queensborough Terrace, polis British merampas 600 video dan gambar dikategorikan sebagai penderaan seksual melampau terhadap kanak-kanak.



Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2015 @ 2:18 PM





- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/49536#sthash.5s2hxgvO.dpuf

Pembunuh hanya 800m dari lokasi

Tumpat : Seorang warga Bangladesh berusia 20-an yang melarikan diri selepas memukul rakannya hingga maut diberkas polis pada jam 1.30 pagi, semalam.



Lelaki berkenaan diberkas kira-kira 800 meter dari lokasi dia memukul rakannya Nurul Hakim Nazir Ahmad, 31, etnik Rohingya yang memiliki kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) di rumah sewa mereka di Jalan Puteri Sa’adong, Wakaf Bharu, di sini.



Terdahulu dalam kejadian 6 petang, suspek dikenali sebagai Hassan bertengkar dengan Nurul Hakim hingga mengakibatkan mangsa cedera dipercayai dihentak menggunakan tukul di bahagian kepala.



Ketua Polis Daerah Superintendan Zaharuddin Rasip berkata, suspek ditahan dalam keadaan berlumpur dan basah serta tidak memakai kasut.



“Pasukan polis menahannya berdasarkan gambaran diberikan orang ramai ketika kali terakhir melihatnya.



“Suspek direman selama seminggu bermula hari ini (semalam) dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.



Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2015 @ 10:00 AM



MANGSA yang parah diberikan bantuan awal di lokasi kejadian di rumah sewanya.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/49453#sthash.4sE51fCI.dpuf

Nasib baik tak meletup

 Oleh Mohamad Hanafis Haris



am@hmetro.com.my



Batu Pahat: Seorang penduduk Kampung Parit Kuda di sini, yang menemui sebutir bom lama di kawasan semak berhampiran sebuah ladang kelapa sawit di kampung itu 1 Mei lalu hanya melaporkan penemuan itu kepada polis, kelmarin.



Lebih ‘mengerikan’, dia menyimpan bom lama itu di kawasan berhampiran rumahnya selama seminggu.



Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada penduduk itu pada 9 pagi.



"Selepas menerima laporan, pasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor melakukan pemeriksaan dan mendapati bom berkenaan adalah jenis bom mortar 81mm yang masih aktif.



"Bom berjaya diletupkan pada 12.40 tengah hari. Kerja meletupkan bom tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa dan kerosakan harta benda," katanya.



Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2015 @ 12:12 AM



Bom ditemui yang disimpan berhampiran rumah selama seminggu. FOTO ihsan pembaca

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/49597#sthash.abcn0RR6.dpuf

Nafi beli 2 plot tanah 1MDB RM772j

 Oleh Mahaizura Abd Malik



mahaizura@hmetro.com.my





Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Haji (TH) menyangkal laporan blog mendakwa pihaknya membeli dua plot tanah di pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX) milik 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berjumlah RM772 juta.



Sebaliknya, Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Johan Abdullah mengesahkan, pihaknya hanya membeli sebidang tanah bernilai RM188.5 juta dengan nilai RM2,773 sekaki persegi di TRX bagi membangunkan sebuah pangsapuri.



“TH hanya beli satu plot tanah di TRX pada kadar harga diskaun berlandaskan nilai pasaran semasa dan ia dinilai oleh sebuah badan penilai bebas profesional.



“Bagaimanapun kita nafikan pembelian satu lot lagi untuk Signature Tower (Fasa 2) sepertima mana yang dilaporkan dalam blog tertentu.



“Kebocoran maklumat melalui kertas cadangan tidak boleh dijadikan sebagai bukti keputusan muktamad pelaburan itu diluluskan,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.



Menurut Johan, beliau turut membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi semalam dan siasatan dalaman akan dijalankan bagi menyiasat penyebaran maklumat berkaitan TH yang diklasifikasikan sebagai sulit dan menyalahi Akta Tabung Haji 1995 serta polisi dalaman TH.



Mengulas lanjut berkaitan pelaburan pangsapuri 40 tingkat yang akan dibina di atas sebidang tanah berkeluasan 0.63 hektar, Johan berkata keputusan itu selaras dengan strategi pelaburan hartanah TH yang menumpukan kepada sektor domestik.



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.



Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2015 @ 10:22 AM





- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/49468#sthash.qjudKRFg.dpuf

Kakitangan penjara lemas

Oleh Helmy Abd Rahman



helmy_rahman@hmetro.com.my





Hulu Terengganu: Seorang wadar penjara dari Johor Bahru ditemui lemas selepas bot gentian kaca dinaikinya terbalik dalam kejadian di Air Terjun Lasir, Tasik Kenyir di sini, kira-kira jam 2 petang tadi.



Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa Azhar Kimin, 31, berasal dari Felda Lok Heng Barat, Kota Tinggi, menaiki bot berkenaan bersendirian.



Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Hussin Deraman berkata, mayat mangsa ditemui orang awam sebelum ketibaan anggota penyelamat kira-kira 3.30 petang.



"Mayat mangsa kemudian dibawa anggota penyelamat ke Pengkalan Gawi di Tasik Kenyir sebelum dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat.



"Mangsa yang bekerja sebagai wadar penjara di Johor Bahru, baru tiba di Tasik Kenyir bersama beberapa rakan pagi tadi," katanya.



Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2015 @ 8:21 PM



FOTO ihsan bomba

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/49593#sthash.bROKPNGo.dpuf

Tiba-tiba meletup

Oleh Omar Osman



am@hmetro.com.my





Sungai Petani: Sebuah kereta jenis Peugeot musnah 100 peratus selepas meletup secara tiba-tiba dipercayai masalah pendawaian menyebabkan sebahagian bumbung rumah di Taman Petani Jaya, di sini, rosak.



Dalam kejadian 8 pagi tadi, kereta itu yang diletakkan di hadapan rumah teres dua tingkat terbabit meletup sebelum terbakar.



Pegawai Perhubungan Awam (PRO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penguasa Bomba Nurhafizah Muhammad Lukman berkata, pemilik rumah yang menyedari kejadian itu kemudian bertindak menghubungi pihak bomba.



Menurutnya, empat jentera dengan kekuatan 13 anggota bergegas ke lokasi kejadian dan sebaik tiba 8.13 pagi mendapati api sedang marak.



“Bomba berjaya memadamkan api kira-kira 10 minit kemudian dan tiada mangsa yang tercedera,” katanya.



Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2015 @ 3:51 PM



FOTO Omar Osman

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/49577#sthash.3OBbs3fn.dpuf

Pejabat jurugambar polis terbakar

 Oleh Norizzah Baharudin



am@hmetro.com.my





Alor Gajah: Pejabat jurugambar polis di Balai Polis Trafik Alor Gajah musnah dalam kebakaran, di sini, malam tadi.



Kebakaran pada 11 malam itu menyebabkan kerugian RM100,000 membabitkan barangan yang musnah seperti komputer dan kamera.



Kejadian disedari beberapa pegawai dan anggota polis bertugas yang terhidu bau asap sebelum mereka cuba memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api tetapi gagal lalu menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah.



Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah Penolong Penguasa Kanan Bomba R Bajiyen berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada 11.07 malam.



"Seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah serta Tangga Batu ke tempat kejadian dan sebaik tiba didapati api marak dalam bilik pejabat jurugambar Balai Polis Trafik terbabit. Api dapat dipadam sepenuhnya dalam tempoh kurang 15 minit," katanya.



Ketua Polis Melaka Datuk Chuah Ghee Lye turut melawat tempat kejadian.



Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2015 @ 2:45 PM



PEGAWAI forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat menerangkan siasatan awal kebakaran bilik jurugambar Balai Polis Trafik Alor Gajah kepada Chuah. FOTO Norizzah Baharudin

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/49558#sthash.LezHKCcu.dpuf

Cedera terkena batu

 Oleh Shamsul Munir Safini

Bukit Mertajam: Seorang jurugambar bebas portal berita KL Expess terpaksa menerima lapan jahitan di kepala selepas dibaling batu sekumpulan penyokong parti politik ketika merakamkan kekecohan yang berlaku di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Liat, di sini, tadi.



Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, kedua-dua penyokong yang meraih undi mengadakan provokasi dengan bertikam lidah hingga bertindak mengutip batu di atas jalan lalu membalingnya antara satu sama lain.



Menyedari kekecohan itu, Mahathir Mohammad, 40, yang juga seorang blogger mengambil kameranya bagi merakamkan keadaan itu, bagaimanapun terkena serpihan batu yang dibaling hingga mengakibatkan kepalanya mengalami pendarahan.



"Lebih lima tahun saya berkhidmat dalam bidang ini dan ini adalah kali pertama saya mengalami keadaan sedemikian rupa.



"Syukur tidak ada yang serius berlaku dan berterima kasih kepada orang ramai serta polis yang membantu," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.



Mahathir kemudiannya dibawa ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) di sini untuk rawatan selanjutnya dan dibenarkan keluar sejurus selepas itu.



Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2015 @ 5:07 PM



Mahathir menujukkan kepalanya yang cedera dibaling batu oleh penyokong parti. FOTO Shamsul Munir Safini

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/49315#sthash.5BVR3P9N.dpuf

Seksa cirit berdarah

Fardy Bungga dan Nabihah Kamal



am@hmetro.com.my

Serdang: Seorang bayi perempuan berusia enam bulan bukan hanya menderita akibat dipukul pembantu rumah malah turut mengalami cirit-birit berdarah.



Mangsa disyaki didera pembantu rumah warga Filipina berusia 20-an ketika ketiadaan ibu bapa mangsa di rumah mereka di Serdang di sini, malam kelmarin.



Bapa mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Teng, 34, berkata, kejadian berlaku ketika dia dan isteri tiada di rumah kerana menyertai program kebajikan.



Menurutnya, dia meninggalkan dua anak perempuannya berusia enam bulan dan tiga tahun untuk dijaga pembantu rumah terbabit sekitar jam 5 petang.



“Kami pulang ke rumah sekitar jam 11 malam sebelum isteri segera menukar lampin pakai buang pada bayi kami.



“Bagaimanapun, kami terkejut apabila menemui kesan lebam seolah-olah dipukul dan dicubit pada bahagian belakang tubuh bayi kami itu,” katanya.



Malah dia tambah terkejut apabila terdapat kesan lebam hijau pada punggung dan pinggang bayinya itu.



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.



Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2015 @ 10:35 AM



PUNGGUNG dan pinggang bayi dipenuhi lebam dipukul pembantu rumah.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/49478#sthash.mBKxDlw5.dpuf

‘Dijemput’ atas motor

Oleh Shamsul Munir Safini dan Zulfa Mohamad



am@hmetro.com.my

Kepala Batas: Seorang lelaki sempat berhenti di bahu jalan dan memakir kenderaannya sebelum menghembuskan nafas terakhir akibat serangan jantung di atas kenderaan ditunggangnya itu, semalam.



Dalam kejadian di Jalan Ekor Kucing, Tasek Gelugor, di sini, jam 8.05 pagi, mayat mangsa, Ahamad Saaid, 56, ditemui orang ramai dalam keadaan tertunduk dengan bahagian dada berada di atas papan pemuka motosikal Yamaha 135 LC ditunggangnya.



Kejadian itu menarik perhatian orang ramai yang melalui jalan terbabit kerana mendapati mangsa tidak sedarkan diri sebelum seorang lelaki menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan.



Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.



“Kami tidak menolak kemungkinan mangsa yang menyedari dia mengalami serangan jantung berhenti di tepi jalan dan pemeriksaan mendapati tongkatnya juga diturunkan menyebabkan ia tidak terbalik manakala lelaki itu masih berada di atas kenderaan ditunggangnya selepas meninggal dunia.



Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.



Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2015 @ 10:42 AM



MANGSA meninggal dunia atas motosikal yang diparkir di bahu jalan.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/49483#sthash.hrqYIIKT.dpuf

Warga emas dihentak TV, meninggal

 Oleh Khairul Hamizy Ramlee



am@hmetro.com.my



Kuala Terengganu: Warga emas yang parah selepas kepalanya dihentak televisyen plasma dan meja kecil oleh anak lelakinya 3 Mei lalu meninggal dunia 9.40 malam tadi.



Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, mangsa, Tahar Mohammad, 73, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.



Katanya, polis sudah menahan suspek yang berusia 40 tahun pada hari kejadian dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.



Menurutnya, polis akan menjalankan siasatan penuh termasuk meneliti rekod kesihatan suspek yang dikatakan pernah mendapat rawatan sakit mental di Hospital Hulu Terengganu beberapa tahun lalu.



Dalam kejadian 6.30 pagi di Kampung Losong Datuk Amar, di sini, mangsa yang tinggal bersama suspek dikatakan duduk di sofa menonton televisyen di ruang tamu rumahnya sebelum dihampiri suspek yang mengamuk dan mengangkat televisyen berkenaan lalu menghentak kepala bapanya.



Berikutan kejadian itu, mangsa parah di kepala dan dibawa ke HSNZ untuk dirawat.



Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2015 @ 4:38 PM



PENDUDUK kampung berdoa di hadapan kubur Tahar Mohammad, 73, yang meninggal dunia akibat dihempap televisyen oleh anaknya. FOTO Khairul Hamizy Ramlee

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/49582#sthash.fLrmMhZq.dpuf

Air kencing punca buih putih di India

Varthur (India): Fenomena buih putih di sebuah tasik di bandar ini pada minggu lalu dipercayai berpunca daripada air kencing.
Selama beberapa hari, buih putih memenuhi sungai yang mengalir ke tasik Varthur yang menjadi punca bekalan air di bandar itu.
Buih putih itu terbentuk terlalu banyak sehingga melimpah ke jalan raya.
Pada mulanya pihak berkuasa menyangka buih putih berkenaan terbentuk akibat buangan cecair pencuci ke dalam sungai.
Bagaimanapun, kajian mendapati buih itu berpunca daripada sisa buangan manusia termasuk air kencing yang tidak dirawat.
Pada setiap hari lebih 500 juta liter sisa kumbahan yang tidak dirawat dari kediaman penduduk dan kilang dialirkan ke dalam sungai yang bersambung dengan tasik itu.
Pengerusi jawatankuasa kawalan pencemaran Varthur, Dr Vaman Acharya berkata, pencemaran itu bukan sahaja mengeluarkan bau busuk tetapi meningkatkan risiko penyakit.
Katanya, kajian mendapati semakin ramai penduduk di sekitar tasik itu dikesan menghidap penyakit berkaitan buah pinggang dan kanser.
“Kami memerlukan masa selama setahun untuk membersihkan tasik ini,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2015 @ 8:26 AM


SEORANG penunggang motosikal mengelak buih putih dari sebatang sungai yang melimpah di atas jalan raya di Varthur.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/49399#sthash.2ApAwSnS.dpuf

Mati merajuk sering dicemuh


Agensi
New Delhi: Seorang remaja perempuan maut manakala tiga rakannya cedera dengan seorang dalam keadaan kritikal selepas mengambil tindakan drastik cuba membunuh diri dengan makan buah beracun apabila tidak tahan diganggu dan dibuli pelajar senior serta tenaga pengajar di sebuah pusat sukan air di Alappuzha.
Kejadian berpunca apabila semua mangsa memakan buah beracun kira-kira jam 3 petang (waktu tempatan) kelmarin di asrama dikendalikan pihak berkuasa sukan India (SAI) di Punnamada, sebelum disedari pada jam 7.30 malam.
Remaja yang maut, Aparna Ramabhadran, 16, dikatakan mengadu kepada ibunya Geeta mengenai gangguan oleh pelajar senior dan gurunya.
“Aparna turut memberitahu dia tidak berpuas hati dengan jurulatih dan guru yang lain. Pada pagi kelmarin, dia ada menelefon kami, tetapi tidak menunjukkan sebarang tanda yang meragukan selain memberitahu dia demam,” katanya.
Bagaimanapun, pihak berkuasa SAI menafikan tuduhan yang dibuat oleh ibu bapa dan anggota keluarga pelajar terbabit.
Menurut Sub-Inspektor Balai Polis Alappuzha M K Ramessan, tiga rakan Aparna mengakui menghadiri majlis perkahwinan dan meminum wain di sana.
“Sebaik tiba di asrama, pelajar terbabit ditahan oleh kakitangan SAI kerana minum alkohol dan mereka disiasat mengenai perkara itu. Apabila hal itu diketahui seluruh pelajar asrama, mereka diejek dan ini menyebabkan mereka membuat keputusan untuk mengakhiri nyawa mereka,” katanya.
Sementara itu, Menteri Sukan Negeri Thiruvanchoor Radhakrishnan yang melawat tiga rakan Aparna di hospital berjanji pihaknya akan melakukan siasatan menyeluruh.
Menurut pegawai daerah N Padmakumar, pelajar terbabit makan buah beracun kira-kira 3 petang dan dibawa ke hospital kira-kira 7 malam. Kelewatan membawa mereka ke hospital juga akan disiasat.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/49389#sthash.IbGQmIH0.dpuf

Batal perayaan 1,000 loceng dicuri

Hangzhou: Satu tempat tarikan di China terpaksa membatalkan perayaan loceng anginnya selepas hanya enam hari berikutan ratusan alat itu yang digantung pada pokok sebagai perhiasan dicuri pengunjung.
Xiandu yang merangkumi 160 kilometer persegi kawasan desa termasuk tasik besar dikelilingi pokok dan gunung di wilayah Zhejiang, merancang untuk menarik pelancong dengan mengadakan perayaan loceng angin selama sebulan sepanjang bulan ini.
Malangnya, selepas hanya enam hari pelancong yang datang ke situ mencuri hampir semua daripada 1,000 loceng angin yang digantung pada dahan pokok di kawasan itu hingga menyebabkan festival berkenaan terpaksa dibatalkan.
Malah, media melaporkan ada antara mereka sanggup memanjat pokok untuk mengambil loceng berkenaan malah ada juga yang menggunakan kayu panjang untuk mencapainya dari dahan.
Akibatnya, pelancong yang melawat kawasan itu selepas tiga hari Cuti Buruh pada minggu ini mendakwa iklan yang mempromosi perayaan loceng angin itu hanya penipuan kerana loceng yang tinggal begitu sedikit. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2015 @ 8:21 AM


PELANCONG dilihat menggunakan kayu untuk mencuri loceng angin.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/49393#sthash.fBsg7qpy.dpuf

Bulusan muntah debu

Manila: Gunung berapi Bulusan di wilayah Sorsogon memuntahkan debu kelmarin, letusan kedua dalam tempoh tidak sampai seminggu.
Pengarah Institut Kajian Gunung Berapi dan Seismologi Filipina, Renato Solidum berkata, Bulusan menghamburkan debu setinggi 250 meter pada lewat kelmarin.
Katanya, susulan kejadian itu pihak berkuasa diminta memindahkan penduduk di lingkungan empat kilometer radius dari Bulusan sebagai langkah keselamatan.
“Pesawat juga diminta tidak terbang berhampiran gunung berkenaan kerana bimbang ia tiba-tiba meletus dan membentuk awan debu.
“Letusan berpunca apabila air bawah tanah yang keluar terkena batuan panas bukannya magma yang naik ke atas,” ujarnya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mei 2015 @ 8:22 AM


GAMBAR yang dirakam pada 1 Mei lalu ini menunjukkan gunung berapi Bulusan meletuskan debu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/49395#sthash.Rsd9TNuj.dpuf