Search This Blog

Thursday, May 7, 2015

Data Telefon Teknologi Tinggi Bongkar Kubur Mangsa Perdagangan


Diterbitkan: Khamis, 7 Mei 2015 11:57 AM
Pasukan penyelamat Thailand membawa keluar mayat mangsa pemerdagangan yang ditanam dalam kubur besar.

PETALING JAYA: Kubur besar yang menempatkan pelarian masyarakat Rohingya yang ditemui di Songkhla baru-baru ini terbongkar menerusi satu kerjasama yang belum pernah dilakukan sebelum ini dengn menggunakan teknologi tinggi secara efektif, kata sebuah badan anti pemerdagangan orang.
Kumpulan antarabangsa itu, Yayasan Freeland berkata, kerjasama rapat antara polis dan badan bukan kerajaan (NGO) menerusi penggunakan teknologi telefon forensik membolehkan para penyiasat mengesan dan menangkap anggota sindiket pemerdagangan orang yang dikatakan bertanggungjawab terhadap penculikan dan pengebumian itu.
Januari lalu, yayasan tersebut membantu polis Thailand secara teknikal dengan cara menganalisis telefon-telefon yang dirampas daripada suspek.
"Apa yang menarik mengenai kes ini ialah ia bermula dengan polis tempatan dan bukannya polis persekutuan.
"Dan semua kes ini ditangani dengan segera untuk bantuan teknikal dan kerjasama yang membawa kepada progres yang lebih cepat," kata pengarah Freeland, Steven Galster dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, penemuan kubur besar ini menunjukkan prestasi Thailand dari segi memperjuangkan sindiket transaksi walaupun ia sebelum ini menafikan masyarakat Rohingya dipemerdagangkan ke dalam negara. 
Freeland membantu polis dalam menganalisis jumlah nombor daripada telefon bimbit milik suspek.
Dengan menggunakan data telefon, polis boleh menjana “i-2 telephone link chart” yang memboleh penyiasay untuk mengecilkan siasatan mereka.
Data itu akhirnya merakamkan warga Myanmar, Soe Naing Anwar  secara dekat (zoom in) dan kaitan dengan pihaknya di Thailand/
Pada Selasa, polis mengumumkan penahanan Anwar dan dua lagi ahli politik di Thailand, bahagian selatan. 
Kumpulan penyiasat sebelum ini difahamkan bahawa modus operandi suspek termasuk menghantar bot bersaiz besar ke Myanmar setiap bulan.
Ini dapat membantu membawa antara 300 dan 400 Rohingya di Rakhine pergi ke beberapa negara lain dengan jaminan kerjas di Thailand.
Sebaik sahaja bot itu penuh, ia akan menuju ke pelabuhan Ranong di Thailand, di mana trak yang dikendalikan oleh suspek akan menampung Rohingya dan membawa mereka ke Songkhla.
Bagaimanapun Anwuar telah ditangkap polis dan ia telah membawa kepada penemuan kem tersebut yang hanya terletak kira-kira 300 meter dari sempadan Thailand dengan Malaysia serta terdapat kira-kira 30 lubang kubur kaum Rohingya yang dipercayai telah dibunuh.

Penumpang Mabuk Buat Kecoh, Pesawat Terpaksa Mendarat Cemas


Diterbitkan: Khamis, 7 Mei 2015 9:12 AM

SEBUAH penerbangan Thomas Cook terpaksa membuat pendaratan cemas berikutan pergaduhan yang berlaku antara penumpang mabuk dengan penumpang lain dalam pesawat pada pagi Rabu.
Portal Mail Online melaporkan pesawat dalam penerbangan dari Glasgow, United Kingdom ke Dalaman, Turki itu dilencongkan ke Lapangan Terbang Gatwick di London.
Difahamkan, kekecohan yang berlaku antara penumpang itu memaksa kru kabin menghubungi pihak polis berhubung insiden tersebut.
Polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun sebaik sahaja pesawat itu mendarat di Lapangan Terbang Gatwick.
Lelaki berkenaan ditahan kerana disyaki mabuk dalam pesawat.
Seorang penumpang berkata, terdapat pasangan dipercayai minum sehingga mabuk sebelum menaiki pesawat.
"Berlaku kekecohan dalam pesawat sehingga memaksa ia dilencongkan Gatwick dan pihak polis terpaksa mengatasi kejadian yang berlaku," katanya.
Seorang jurucakap polis Sussex berkata: "Pihak polis menahan seorang lelaki dalam pesawat Thomas Cook yang tiba pada pukul 11.45 pagi Rabu (6.45 petang Rabu waktu Malaysia) selepas dilencongkan dalam penerbangan dari Glasgow ke Turki. Penumpang berusia 34 tahun itu disyaki mabuk dalam pesawat.
"Tiada kecederaan atau kerosakan yang dilaporkan. Lelaki itu ditahan untuk siasatan lanjut.
"Dua wanita bersama lelaki itu tidak ditahan," katanya.
Seorang jurucakap Thomas Cook Airlines berkata: "Kami mempunyai polisi sifar toleransi terhadap sebarang tingkah laku yang boleh menjejaskan keselamatan dan kebajikan kru dan pelanggan kami.
"Kami mahu berterima kasih kerana semua penumpang yang sabar di atas kelewatan penerbangan ke Turki," katanya. - MAIL ONLINE

Gempa Nepal: Mayat Dipercayai Rakyat Malaysia Hilang Ditemui


Diterbitkan: Khamis, 7 Mei 2015 8:27 AM
Raj Anthony yang dipercayai hilang dikatakan melancong sendirian ke Nepal dan dijadualkan berada di kawasan Himalaya pada 21 hingga 28 April.

KUALA LUMPUR: Mayat dipercayai seorang warga Malaysia yang merupakan DJ Raj Anthony, yang hilang akibat gempa bumi di Nepal ditemui.
Pihak berkuasa menemui mayat bersama pasport milik Anthony di Lembah Langtang, salah sebuah perkampungan di kawasan pergunungan kira-kira 130 kilometer utara Kathmandu, yang diterjejas teruk akibat gempa itu.
Difahamkan, ahli keluarga Anothony dimaklumkan mengenai perkara itu pada lewat petang Selasa dan abangnya dijadualkan tiba di Kathmandu pada Khamis bagi pengecaman mayat.
"Saya mahu mengesahkan bahawa terdapat satu mayat dari Langtang yang diterbangkan ke Kathmandu. Mayat itu dipercayai merupakan warga Malaysia, Raj Anthony," kata seorang pegawai polis Nepal, sambil menambah bahawa mayat itu dipercayai merupakan DJ berusia 38 tahun itu, akan dibawa ke Hospital Universiti Perguruan Tribhuvan di Maharajgunj, Nepal.
Pihak berkuasa turut menemui seorang lagi pelancong wanita warga Jerman berusia 51 tahun di Langtang.
Pegawai kedutaan Malaysia di Kathmandu, Fadli Adilah berkata, pihaknya akan membantu keluarga berkenaan untuk membuat sebarang pengurusan yang diperlukan untuk membawa mayat pulang ke tanah air.
Anthony terputus hubungan selama empat hari sebelum gempa bumi berukuran 7.8 magnitud itu menggegarkan Nepal pada 25 April lalu.
Dia ketika itu sedang bercuti selama enam bulan bersama rakan-rakannya dan telah berkunjung ke India sebelum memutuskan untuk pergi ke Nepal.
Kenyataannya yang terakhir di Facebook menunjukkan dia mahu mendaki gunung di Nepal dari 21 hingga 28 April.

Pasangan gay menang kes ibu tumpang


LONDON – Seorang bayi perempuan yang lahir menggunakan ibu tumpang akan dipisahkan daripada ibu kandungnya dan tinggal bersama ayahnya serta kekasih gaynya, demikian menurut keputusan Mahkamah Tinggi Britain.
Penghakiman itu dibuat bagi menyelesaikan pertikaian berhubung perjanjian hak penjagaan apabila bayi itu dilahirkan.
Lelaki yang mendermakan spermanya berkata, wanita tersebut telah bersetuju menjadi ibu tumpang untuk dia dan pasangan gaynya.
Namun, siibu pula berkata, pasangan gay itu bersetuju bahawa dia sepatutnya menjadi penjaga utama bayi ber­kenaan.
Dalam keputusannya, Ha­kim Alison Russel berkata, siibu telah memperdayakan pasangan gay tersebut apabila membuat persetujuan tidak formal berhubung hak penjagaan bayi itu yang kini berusia 15 bulan.
Beliau menyatakan bahawa wanita berkenaan berniat untuk memelihara bayi itu sejak dari mula lagi dan bukan menukar fikirannya semasa hamil.
Kes Mahkamah Tinggi itu didengar di London dan Birmingham awal tahun ini tetapi keputusannya baru disiarkan.
Ibu tumpang sah di sisi undang-undang Britain tetapi menjadi satu kesalahan untuk mengiklan perkhidmatan tersebut di negara berkenaan. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0507&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3ZQYlFlBX 
Hakcipta terpelihara 

Ustaz sanggup bunuh janda



DI dalam kereta Proton Wira inilah Salina dijumpai mati dibunuh.


HULU SELANGOR – Usaha seorang bapa untuk mencari anak perempuannya yang tidak pulang ke rumah sejak malam kelmarin berakhir dengan kejadian menyayat hati apabila dia menjumpai wanita itu mati dibunuh di depan sebuah sekolah agama di Kuala Kubu Bharu dekat sini semalam.
Mangsa yang merupakan seorang janda anak empat, Nur Salina Nazir, 34, ditemui bapanya, Nazir Ramli, 67, kira-kira pukul 9 pagi semalam dalam kea­daan terlentang tidak bernyawa di dalam kereta Proton Wira miliknya dengan kesan tujuh tikaman pada anggota badan.
Menurut abang mangsa, Nor Salizam Nazir, 40, adik bongsunya itu yang membuka perniagaan online dikatakan keluar dengan kekasihnya berusia 26 tahun pada malam kelmarin untuk menghantar barang tempahan kepada pelanggan tetapi dia tidak balik ke rumah selepas itu.
Katanya, selepas gagal menghubungi Salina menerusi telefon bimbit, bapanya bertindak mencari mangsa dengan berjumpa kekasihnya itu yang bekerja sebagai guru agama di sebuah sekolah di Kuala Kubu Bharu.
“Ayah akhirnya jumpa Salina dalam keadaan tidak bernyawa di dalam keretanya sebelum dia pergi membuat laporan polis,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Sungai Buloh semalam.
Menurut anak saudara mangsa, Ainaa Syafiqah Shamsudin, 24, Salina dijangka melangsungkan perkahwinan dengan lelaki bergelar ustaz itu pada 6 Jun depan selepas dua tahun bercerai dengan bekas suaminya.
“Keluarga kami baru sekali bertemu suspek iaitu pada bulan lalu untuk membincangkan hal perkahwinan mereka berdua.
“Persiapan untuk perkahwinan itu sudah hampir siap apabila baju pengantin dan pelamin sudah ditempah.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0507&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz3ZQYb4zD7 
Hakcipta terpelihara 

Nor Atikah hembus nafas akhir


bangunan asrama yang diduduki pelajar Malaysia yang terbakar di Moscow, Rusia pada 21 April lepas.


KUALA LUMPUR – Seorang pelajar Malaysia di kampus Universiti Kajian Perubatan Kebangsaan Rusia (RNRMU) yang terlibat dalam insiden kebakaran asrama pada 22 April lalu di Moscow, Rusia meninggal dunia kelmarin akibat kom­plikasi pernafasan.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan semalam berkata, pelajar tersebut, Nor Atikah Alias, 25, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Hospital Sklifosovskogo kira-kira pukul 2.30 petang selepas mengalami kecederaan lecur pada muka, tangan dan kaki.
“Kedutaan Besar Malaysia di Moscow sedang membantu keluarga Allahyarhamah yang kini berada di Moscow dalam urusan untuk membawa pulang jenazah ke Malaysia.
“Jenazah akan dibawa pulang ke Malaysia secepat mungkin,” kata kenyataan itu.
Kosmo! baru-baru ini melaporkan seramai 21 orang pelajar Malaysia di RNRMU terlibat dalam satu insiden kebakaran membabitkan asrama yang di­diami pelajar terbabit.
Kesemua pelajar tersebut telah dihantar ke hospital dan mendapat rawatan sebagai pesakit luar, manakala tujuh daripadanya masih menerima rawatan lanjut.
Sementara itu, Timbalan Ke­tua Perwakilan Kedutaan Malaysia di Moscow, Francisco Munis berkata, seorang rakyat Malaysia masih lagi menerima rawatan di unit rawatan rapi di hospital itu.
Katanya, beberapa pelajar lain telah dipindahkan ke wad biasa dengan majoriti daripada pelajar Malaysia telah keluar dari hospital.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0507&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz3ZQYV1uYz 
Hakcipta terpelihara 

Salman Khan dihukum penjara lima tahun


AP - GAMBAR fail 17 Januari 2013 menunjukkan Salman Khan menghadiri satu acara di Mumbai.


MUMBAI – Bintang Bollywood, Salman Khan dihukum penjara lima tahun selepas dia didapati bersalah melanggar lima lelaki yang tidur di tepi jalan di Mumbai pada 2002 dengan seorang mangsa meninggal dunia.
Kes tersebut telah berlarutan selama lebih 12 tahun.
Sebuah mahkamah di Mumbai semalam mendapati Salman bersalah kerana membunuh tanpa niat, manakala semua tuduhan terhadapnya telah terbukti, lapor agensi berita Press Trust of India.
Pelakon berusia 49 tahun itu kemudian memfailkan ikat jamin dan dia juga dijangka me­rayu keputusan tersebut. Salman dibenarkan bebas sehingga Jumaat ini sementara menunggu keputusan ikat jaminnya.
Dalam pada itu, ramai selebriti Bollywood dan peminat Salman menggunakan media sosial termasuk Twitter untuk menyatakan sokongan kepadanya.
Seorang daripada mereka turut menyalahkan golongan gelandangan kerana tidur di tempat yang tidak sepatutnya.
“Jalan raya dibina untuk kereta dan bukan untuk orang tidur di atasnya,” kata peminat ber­kenaan, Abhijeet Bhattacharya dalam mesej Twitternya.
Terdahulu, pihak pendakwa raya berkata, Salman mabuk semasa memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) miliknya tetapi di­nafikan aktor berkenaan.
Pada April lalu, pemandunya, Ashok Singh memberitahu mahkamah bahawa dia memandu SUV tersebut apabila kemalangan berlaku.
Singh berkata, dia gagal mengawal SUV berkenaan selepas satu tayarnya meletup.
Namun, Hakim D.W. Deshpande menolak hujah tersebut dan menuduh Salman memandu sambil mabuk dan melakukan perbuatan langgar lari.
Salman yang merupakan antara aktor paling popular di India pernah membintangi lebih 90 filem Hindi sepanjang 27 tahun dia berkecimpung dalam bidang lakonan.
Walaupun mempunyai kes mahkamah, Salman dilaporkan masih mengikat perjanjian bernilai AS$40 juta (RM142 juta) untuk berlakon dalam beberapa buah filem. – AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0507&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3ZQYBwysF 
Hakcipta terpelihara 

Tiga remaja diberkas hisap syabu, gam

Tiga remaja diberkas hisap syabu, gam
Hasnina menunjukkan antara barang yang dirampas.

AMPANG – Tiga remaja yang leka menghisap dadah syabu dan gam ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Ampang, di sebuah taman permainan di Taman Seraya, di sini, kelmarin.

Ketua Pegawainya, Hasnina Ibarhim berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang awam yang memaklumkan aktiviti sekumpulan remaja berusia 15 tahun yang menghisap dadah syabu dan menghidu gam di kawasan tersebut.

“Keadaan ketiga-tiga remaja itu masih khayal ketika ditahan, kita turut menemui ubat penyembur 'ethyl chloride' dan satu tin gam di lokasi kejadian, bahan tersebut dipercayai disalahgunakan oleh remaja terbabit,” katanya.

Menurutnya, keluarga ketiga-tiga remaja itu dipanggil untuk membantu siasatan.

“Kita menerima maklum balas daripada keluarga yang tingkah laku anak mereka turut berubah seperti tidak mendengar nasihat dan mudah marah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Hasnina berkata, pihaknya berharap ibu bapa pelajar terbabit memberi kerjasama dengan membenarkan anak mereka terlibat dengan program intervensi  dan dihantar Klinik Cure & Care 1Malaysia di Karangan, Kedah.

“Pelbagai program disediakan untuk membina semula jati diri remaja terbabit, seperti rawatan pemulihan, kaunseling dan aktiviti lain,” katanya.

Sanggup tetak adik kerana harta

Sanggup tetak adik kerana harta
Mayat Gunalan ditemui berlumuran darah di kawasan parkir rumahnya oleh seorang lagi abangnya.

SHAH ALAM – Akibat perselisihan faham antara adik beradik, seorang pemandu jengkaut maut ditetak manakala isterinya parah dalam kejadian di kediaman mangsa di Kampung Jawa, Seksyen 36, di sini, petang kelmarin.

Difahamkan, mangsa yang maut M Gunalan, 37, dipercayai diserang abang kandungnya menggunakan senjata dipercayai parang selepas tidak berpuas hati tentang pembahagian harta.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, dalam kejadian jam 6 petang itu, mangsa yang hanya berkain pelikat ditemui terbaring berlumuran darah di kawasan parkir rumah oleh seorang lagi abangnya yang kebetulan datang melawat mangsa.

Menurutnya, siasatan mendapati terdapat banyak kesan tetakan pada tubuh mangsa.

"Isteri mangsa V.Maliga, 39, pula cedera ditetak di bahagi- an leher dan telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, untuk rawatan dan kini berada dalam keadaan stabil," katanya.

Menurutnya, polis kini sedang cuba mengesan abang mangsa yang terlibat bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kereta berterbangan, puting beliung landa AS

Kereta berterbangan, puting beliung landa AS
Keadaan semasa di sekitar bandar-bandar yang dilanda puting beliung. - Foto ihsan Weather.com

AMERIKA SYARIKAT – Tiga wilayah di Amerika Syarikat Oklahoma, Kansas dan Nebraska dilanda beberapa puting beliung berasingan yang merosakkan jalan raya, mengganggu jadual penerbangan dan banyak barangan berterbangan di udara pada Rabu waktu tempatan.

Memetik laporan USA Today, angin yang berpusing sekitar bandar Oklahoma memaksa evakuasi dilakukan di Lapangan Terbang Will Rogers.

Melalui Tweet daripada pemerintah bandar Oklahoma pula, banjir kilat melanda kawasan itu buat pertama kali dan pihak berkuasa mengeluarkan arahan larangan memandu memandangkan keadaan terlalu bahaya.

Sementara laporan The Weather Channel menunjukkan setakat ini, 20 puting beliung telah melanda tiga wilayah itu.

Akibat kejadian itu, banyak rumah dilaporkan rosak teruk, kereta diterbangkan, evakusi di lapangan terbang dalam terowong dan beberapa orang awam cedera.

Adik terkulai bermandi darah

Shah Alam: Konflik keluarga dipercayai menjadi punca seorang lelaki sanggup menetak adik lelakinya sehingga mati selain mengakibatkan adik iparnya parah dalam kejadian di sebuah rumah Jalan Kampung Jawa, Seksyen 36, di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa yang juga seorang pemandu jentera berusia 37 tahun maut serta-merta selepas parah ditetak di belakang kepala, tangan, peha dan belakang telinga kanan.
Sumber berkata, isteri mangsa yang bekerja sebagai ejen insurans berusia 39 tahun pula parah selepas ditetak suspek di leher dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk rawatan kecemasan.
Menurutnya, kejadian itu hanya disedari seorang lagi abang mangsa yang datang ke rumah itu sebelum melihat adiknya yang berkain pelikat dan tidak berbaju dalam keadaan tertiarap berlumuran darah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2015 @ 10:59 AM


MANGSA tertiarap di garaj setelah ditetak suspek.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/49186#sthash.JUhjpKtG.dpuf

‘Arwah minta tunggu’

Pasir Mas: Kematian Rosshida Abdullah, 30, yang secara tiba-tiba turut mengejutkan ahli keluarga terutama ibunya yang sejak Isnin lalu menanti kepulangan anak bongsunya itu.
Menurut Salamiah Hamid, 61, Rosshida sendiri memaklumkan kepadanya supaya menanti kepulangan dia di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, pada Isnin.
“Arwah minta saya tunggu pada jam 10 malam kerana pesawatnya akan tiba pada jam itu dari Kuala Lumpur.
“Saya ke lapangan terbang dengan menaiki kereta sewa dari rumah, tetapi dia tidak juga kelihatan. Saya tunggu sampai jam 1 pagi sebelum nekad pulang selepas panggilan telefon tidak berjawab,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Repek, semalam.
Mayat Rosshida ditemui orang awam dalam belukar di bawah jambatan susur keluar Putrajaya ke Pulau Meranti, Cyberjaya, semalam.
Turut ditemui bersama mayat itu ialah sekeping nota serta beg tangan berwarna putih.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2015 @ 10:51 AM


GAMBAR kenangan Rosshida (dua dari kiri) bersama keluarga.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/49183#sthash.iVQZjXLS.dpuf

Curiga terjawab

Sibu: Misteri panggilan telefon tidak dijawab terungkai apabila seorang lelaki warga emas ditemui dalam keadaan nyawa-nyawa ikan serta berlumuran darah selepas kepalanya dihentak botol kicap oleh penjenayah yang menyamun di sebuah rumah kedai di Jalan Tekam, di sini, malam kelmarin.
Bagaimanapun, dalam kejadian jam 11.30 malam, usaha menyelamatkan mangsa Moh Keen Yen, 64, gagal apabila disahkan meninggal dunia dua jam kemudian di Hospital Sibu akibat parah di kepala.
Sumber berkata, pada hari kejadian seorang penyewa pelik apabila mendapati mangsa tidak muncul seperti hari kebiasaan ketika menunggunya di bawah premis terbabit untuk menjemput pulang ke rumah.
Menurutnya, penyewa berusia lingkungan 30-an itu menghubungi mangsa untuk memaklumkan dia menunggu di bawah rumah kedai, namun panggilan tidak dijawab.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2015 @ 11:14 AM


ANGGOTA bomba memberi bantuan kecemasan kepada mangsa yang parah di kepala.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/49200#sthash.vMRzA9t5.dpuf

Maut terkena renjatan elektrik


Oleh Norasikin Daineh
Tawau: Seorang wanita maut selepas terkena renjatan elektrik di Kampung Kurnia Jaya Batu 4, dekat sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa Aina Nurdin, 24, dipercayai maut akibat terkena renjatan eletrik sebelum terjatuh ke dalam kolam.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Mohd Affendy K Ramin berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 7.25 pagi berhubung kejadian terbabit.
"Seramai lima anggota bersama sebuah jentera dikejar ke lokasi kejadian pada 7.45 pagi.
"Mayat mangsa ditemui di dalam kolam sebelum dikeluarkan oleh pasukan bomba dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/49034#sthash.zNeTRpMA.dpuf

Kedai nombor ekor rugi RM50,000 disamun


Oleh Isma Ismail
Johor Bahru: Sebuah kedai nombor ekor di Taman Puteri Wangsa, di sini, kerugian RM50,000 selepas disamun empat lelaki, 2.45 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, seorang suspek menggunakan tukul dan dua lagi dilihat memegang objek menyerupai pistol.
Menurutnya, tiga suspek itu menyerbu masuk ke premis berkenaan dan mengarahkan seorang daripada lima pekerjanya membuka peti besi sebelum mengambil wang tunai berjumlah RM50,000.
"Siasatan mendapati selain tiga suspek yang masuk ke dalam premis, terdapat seorang lagi lelaki menunggu di luar kedai terbabit.
"Kesemua suspek berkenaan dipercayai menggunakan motosikal dan kereta," katanya.
Menurutnya, semua pekerja premis itu tidak dicederakan.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/49037#sthash.EDqehq5n.dpuf

Selisih faham sampai berbunuhan

Oleh Siti Rohana Idris

am@hmetro.com.my

Tumpat: Akibat perselisihan faham, seorang lelaki Rohingya, 30-an maut dipercayai dipukul dengan senjata tajam oleh rakan senegaranya, 6.30 petang tadi.

Dia yang ditemui berlumuran darah dalam sebuah premis di Jalan Puteri Sa'adong, Wakaf Bharu, di sini, meninggal dunia pada 7.45 malam ketika dirawat di Klinik Kesihatan Wakaf Bharu.

Pemilik premis, Nik Mohd Ali Nik Mustapha, 40, berkata, dia menerima panggilan daripada rakan memaklumkan terdengar bunyi bising di premis dua tingkat itu.

"Saya bergegas ke tempat kejadian dan menemui mangsa yang dikenali sebagai Hakim sudah berlumuran darah dan dalam keadaan nazak," katanya.

Menurutnya, Hakim menyewa di situ bersama seorang lagi rakan senegaranya yang dilihat penduduk berlari keluar dari premis itu selepas kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat Asisten Komisioner Zaharudin Rasip mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan usaha memburu suspek giat dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2015 @ 11:30 PM

Keadaan lelaki Rohingya yang ditemui dalam keadaan nazak sebelum meninggal dunia ketika dirawat di klinik. FOTO Siti Rohana Idris.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/49041#sthash.7lqpgWqY.dpuf

Pizza penyelamat tebusan


Florida (Amerika Syaikat): Seorang wanita terdesak meminta bantuan menerusi mesej rahsia menggunakan aplikasi memesan pizza selepas ditahan sebagai tebusan bersama anaknya oleh teman lelakinya, di sini.

Polis Daerah Highlands memberitahu stesen televisyen WFLA-TV di sini bahawa kedai Pizza Hut di Avon Park menerima pesanan online itu petang Isnin lalu daripada Cheryl Treadway, 25.

Pekerja di restoran itu melihat permintaan khas Treadway supaya menghubungi polis pada bahagian komen sebelum berbuat demikian.

Treadway yang membuka pintu rumah apabila polis tiba memberitahu mereka bahawa teman lelakinya, Ethan Nickerson, 26, yang berada di dalam rumah itu menahannya dan tiga anak serta bersenjatakan pisau.

Polis membawa Treadway dan anaknya keluar daripada rumah itu sebelum menahan Nickerson.

Dua lagi anak yang berada di dalam rumah itu selamat dan tidak cedera.

Menurut polis, Nickerson menahan Treadway di dalam rumay hari itu sehingga dia meyakinkannya untuk memesan pizza menggunakan aplikasi pada telefon pintarnya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2015 @ 1:51 AM

MESEJ meminta pekerja restoran menghubungi polis bersama pesanan pizza. FOTO Reuters
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/49049#sthash.5yvBPiOu.dpuf

Dua lelaki maut dirempuh lori

Oleh Mohd Rizal Abdullah
Bintulu: Dua lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Hilux yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori baja di Jalan Bintulu-Miri Lama, di sini, pagi tadi.

Ketika kemalangan kira-kira 5.47 pagi itu, sebuah rumah kosong berhampiran lokasi kejadian rosak hampir 20 peratus akibat dirempuh lori baja terbabit.

Berikutan itu, sebuah jentera bersama lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Samalaju dikejarkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasimenyelamat.

Difahamkan, kedua-dua mangsa yang maut tersepit dalam kenderaan yang remuk teruk akibat impak kuat perlanggaran dengan lori baja berkenaan sebelum diheret merempuh rumah di lokasi nahas.

Dalam pada itu, pemandu lori baja berkenaan didapati menghilangkan diri sejurus kejadian dan usaha sedang dijalankan bagi mencari individu terbabit bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2015 @ 11:02 AM

KEADAAN di lokasi kemalangan. FOTO ihsan bomba
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/49190#sthash.h6INn6gP.dpuf

Kakitangan JPJ ditahan


Kereta klon, SPRM laksana Op Photostat

SEREMBAN 6 Mei - Empat individu termasuk dua kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) antara yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri ini berhubung kegiatan kenderaan klon.
Kakitangan JPJ itu masing-masing seorang lelaki dan wanita bertugas di sebuah negeri di selatan tanah air diberkas di daerah ini minggu lalu sementara dua lagi yang ditahan disyaki anggota sindiket kenderaan klon.
Penahanan mereka yang berusia 26 hingga 36 tahun itu dibuat susulan tindakan operasi Op Photostat bulan lalu menjadikan jumlah yang ditahan sehingga kini 11 orang.
Sumber memaklumkan, hasil siasatan awal mendapati lebih 10,000 keping pelekat cukai jalan asli dan 1,500 geran kenderaan dikeluarkan tanpa kebenaran daripada JPJ dalam tempoh lima bulan sejak November 2014.
“Kita mengesyaki kedua-dua dokumen itu diedarkan untuk ke­gunaan kenderaan klon yang diseludup dari negara jiran.
“Dua dokumen penting ini dijual pada harga tertentu atas persetujuan pihak sindiket dan pembeli kereta klon. Bagi pelekat cukai jalan, ia dijual dengan harga RM450 sekeping,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sumber berkenaan turut memaklumkan sindiket itu melakukan kegiatan tersebut sejak tahun lalu.
Difahamkan, dua lelaki yang ditahan bertindak sebagai ‘runner’ manakala kakitangan JPJ pula berperanan menyeludup keluar dokumen berkenaan selain dibayar imbuhan bagi setiap maklumat pendaftaran kenderaan yang di­salurkan kepada sindiket terlibat.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, SPRM menahan tujuh orang termasuk seorang wanita dan menyita 14 buah kenderaan termasuk kereta mewah bernilai RM1.5juta menerusi Op Photostat di daerah ini dan Johor Bahru.
Kenderaan yang dirampas itu disyaki diseludup masuk dari negara jiran dan dijual kepada pembeli dengan menggunakan nombor pendaftaran klon.
Dalam pada itu, Pengarah SPRM negeri, Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan memberitahu, siasatan dijalankan di bawah Akta SPRM 2009.
“Setakat ini, dua pemilik sudah menyerahkan kenderaan mereka secara sukarela kepada SPRM. Jadi saya minta pemilik kenderaan klon lain supaya mengambil langkah sama bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/kakitangan-jpj-ditahan-1.88818#sthash.8pkLzX2w.dpuf

Ketua pengedar dadah 
Geng Buyong dicekup


KOTA BHARU 6 Mei – Ketua sindiket pengedaran dadah, Geng Buyong yang paling dikehendaki di negeri ini berjaya ditangkap di hadapan sebuah bangunan di Kampung Dusun Raja, Jalan Bayam di sini, Rabu lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang, suspek, Nor Tarmizi Md. Salleh, 32, atau lebih dikenali dengan panggilan Buyong ditahan oleh sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan selepas menerima maklumat daripada orang ramai dan risikan.
Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Lazim berkata, suspek yang melarikan diri ke selatan Thailand sejak tiga tahun lalu merupakan individu pertama di negeri ini yang ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA).
Menurutnya, suspek terlibat dalam pelbagai kes jenayah senjata api dan pengedaran dadah di negeri ini.
“Kita sudah menjalankan gerakan memburu Geng Buyong ini sejak 2011 lagi dan suspek juga dipercayai telah melarikan diri ke sempadan Thailand.
“Suspek kini ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 (POCA) dan direman selama 21 hari bermula 30 April untuk siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-45 Pasukan Kor Kadet Polis Diraja Malaysia Peringkat Kontinjen Kelantan Tahun 2015 di sini, hari ini.
Pada April 2012, polis menembak mati dua ahli geng tersebut di sebuah hotel bajet di Jalan Sri Cemerlang, di sini.
Anggota kumpulan itu dipercayai sanggup melakukan apa sahaja termasuk membunuh sekiranya hasrat mereka dihalang.
Polis Kelantan turut menubuhkan sebuah pasukan khas untuk menangani kes tembak yang meningkat secara mendadak dikatakan berpunca daripada perbalahan di antara Geng Buyong dengan kumpulan pengedar dadah yang lain pada tahun tersebut.
Mazlan berkata, Geng Buyong masih lagi wujud namun tidak begitu menonjol kerana pihaknya sentiasa menjalankan operasi untuk membanteras kumpulan berkenaan.
Beliau berkata, setakat ini, geng tersebut telah terlibat dengan beberapa kes rompakan bersenjata, peras ugut dan mendatangkan kecederaan sejak 2012.
“Antaranya termasuklah mence­roboh sebuah rumah dan melepaskan tembakan sehingga mence­derakan seorang penjual kuih, Che Hasmah Che Awang, 54, di Kampung Slow Machang, Pasir Mas pada 30 Januari 2012.
“Selain itu, seorang peniaga ce­dera selepas terkena empat das tembakan di lutut dan betis kanan selepas ditembak oleh individu tidak dikenali dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian pada 23 Mac 2012,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/ketua-pengedar-dadah-8232-geng-buyong-dicekup-1.88730#sthash.yruwVv5d.dpuf

150,051 pemilik waran tangkap diburu


JOHOR BAHRU 6 Mei – Polis Johor akan terus menggiatkan usaha memburu pemilik 150,051 waran tangkap yang belum menjelaskan saman tertunggak sebanyak RM45 juta di seluruh negeri ini.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Ketua Trafik Negeri, Superintenden Baharudin Mat Taib berkata, sebanyak 96,526 waran tangkap dikeluarkan pada tahun 2003 hingga 2013 manakala 53,525 pula pada 2014 sehingga awal tahun ini. Beliau berkata, pihaknya akan menggunakan pelbagai cara untuk menjejak pesalah trafik yang masih ingkar untuk melunaskan tunggakan saman dikenakan kepada mereka atas pelbagai kesalahan.
“Kita akan cari mereka ini dengan pelbagai cara sama ada pergi ke pejabat atau membuat tangkapan melalui sekatan jalan raya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Ujar Baharudin, pesalah trafik tersebut mempunyai tempoh sehingga 15 Mei ini untuk melunaskan saman mereka sebelum dijejaki dan dikenakan tindakan.
Sehubungan itu, katanya, individu yang mempunyai saman trafik tertunggak diminta menjelaskan bayaran dalam tempoh 10 hari sehingga 15 Mei ini.
“Mereka yang sudah dikeluarkan waran hanya boleh menjelaskan bayaran di kaunter trafik negeri. Bagaimanapun, saman-saman lain boleh dibayar menerusi aplikasi MyEG,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/150-051-pemilik-waran-tangkap-diburu-1.88586#sthash.sBENn7ZT.dpuf

Op Warta: 6,000 pesalah trafik diburu di Sarawak


ALEXSON NAGA (duduk, tengah) dan para pegawai polis menyemak senarai
ALEXSON NAGA (duduk, tengah) dan para pegawai polis menyemak senarai pesalah trafik di Mes Pegawai IPK Sarawak di Kuching, Sarawak, semalam. UTUSAN/MOHAMAD GUSTIE NOORAMBIA
KUCHING 6 Mei - kira-kira 6,000 pesalah trafik di negeri ini tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang apabila polis melancarkan Op Warta bagi mengesan pemandu yang enggan membayar saman mulai Isnin ini.
Pegawai Turus Trafik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, Deputi Superintendan Alexson Naga berkata, menerusi operasi tersebut, polis akan memberi tumpuan terhadap 400 pesalah trafik tegar yang memiliki lebih tiga saman.
Justeru, katanya, pesalah trafik terlibat perlu menyemak dan menyelesaikan saman mereka dengan segera.
“Polis tidak akan teragak-agak menangkap mereka kerana kita mempunyai senarai nama penuh dan alamat pesalah trafik yang memiliki waran tangkap.
“Perlu diingatkan bahawa terdapat beberapa cara untuk menyemak saman trafik tertunggak. Jadi, jangan ingat mudah polis akan melepaskan anda,” katanya dalam sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan IPK Sarawak di sini hari ini.
Alexson memberitahu, kesemua 6,000 nama pesalah trafik terlibat sudah dise­rahkan kepada Ketua Trafik Daerah di seluruh negeri ini bagi mengesan mereka.
Beliau berkata, pihaknya turut menghantar notis kepada pesalah terbabit untuk memberi amaran bahawa waran tangkap sudah dikeluarkan.
Dalam pada itu, katanya, polis trafik juga akan melancarkan Op Roda di seluruh negeri dengan memberi fokus terhadap pelajar sekolah menengah yang menunggang motosikal tanpa mengikut peraturan.
Katanya, setiap pelajar perlu memastikan kenderaan mereka dalam keadaan baik dan tidak menyalahi undang-undang iaitu mempunyai lesen memandu yang sah.
“Polis akan bekerjasama dengan semua pengetua dan Pejabat Pendidikan Daerah bagi membantu mengesan pelajar yang tidak mempunyai lesen memandu.
“Jika didapati bersalah, mereka akan dikenakan saman trafik dengan bayaran kompaun maksimum RM300 tanpa pengurangan,” katanya.
Mengenai statistik kemalangan di ne­geri ini, Alexson berkata, terdapat peningkatan 6.6 peratus atau 5,908 kes setakat 5 Mei lalu berbanding 5,542 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/op-warta-6-000-pesalah-trafik-diburu-di-sarawak-1.88794#sthash.h2bo9SaN.dpuf