Search This Blog

Wednesday, May 6, 2015

STING rampas dadah RM29 juta

RABU, 6 MEI 2015 @ 12:41 PM

KUALA LUMPUR: Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) Bukit Aman berjaya menumpaskan satu sindiket dadah dengan rampasan membabitkan 1.4 juta biji Pil Eramin 5 bernilai RM29 juta, 30 April lalu. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Sharif, berkata pasukan itu turut menahan enam individu termasuk tiga warga asing yang dipercayai terbabit dalam penjualan pil terbabit. Katanya, kejayaan penahanan individu berkenaan berserta rampasan yang dibuat adalah hasil kerjasama strategik membabitkan anggota STING dan polis Taiwan. "JSJN Bukit Aman bersama STING dengan kerjasama Biro Siasatan Jenayah dari agensi polis Taiwan telah melancarkan dua serbuan berasingan di sekitar Jalan Bukit Bintang dan Jalan Sultan Ismail pada 30 April lalu. "Dalam operasi antara jam 10.50 malam hingga 11.10 malam itu, kita telah berjaya memberkas enam suspek terdiri daripada tiga warga tempatan dan tiga warga asing," katanya Beliau berkata demikian pada sidang media JSJN Bukit Aman, di sini, hari ini. Dalam pada itu, Mohd Mokhtar turut memaklumkan nilai rampasan keseluruhan pelbagai jenis dadah dijalankan pihaknya bermula Januari hingga April tahun ini adalah berjumlah RM50.04 juta.

MOHD Mokhtar menunjukan rampasan pelbagai jenis dadah ketika mengadakan sidang media hari ini. - Foto BERNAMA 

Janda dibunuh, guru agama ditahan

RABU, 6 MEI 2015 @ 8:34 PM

KUALA LUMPUR: Seorang janda beranak empat dilapor mati dibunuh teman lelakinya di hadapan Sekolah Rendah Agama Kuala Kubu Baharu pagi tadi. Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt R Supramaniam, berkata mangsa yang dikenali sebagai Nur Salina Nazir, 34, dilapor menjalankan perniagaan dalam talian. "Mayatnya ditemui dalam kereta miliknya dalam keadaan terlentang di bahagian tempat duduk pemandu serta mempunyai empat kesan tikaman di dada, rusuk kanan dan kiri serta lengan kiri," katanya dalam satu kenyataan. Beliau berkata, susulan kejadian pukul 9 pagi itu, seorang guru agama di sekolah itu diberkas di rumahnya di Taman Bukit Bujang, Kuala Kubu Baharu dan suspek mengaku telah membunuh mangsa. "Soal siasat mendapati suspek yang berusia 29 tahun membunuh mangsa kerana mangsa sering mendesaknya untuk berkahwin dengannya," katanya. Beliau berkata, suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau serta masih bujang. "Pihak polis masih belum menemui pisau yang dipercayai digunakan untuk membunuh mangsa," katanya. - BERNAMA

ABANG mangsa Nor Salizam Nazir, 40 menunjukkan wajah arwah adiknya, Nur Salina Nazir selepas yang dijumpai dibunuh di Kuala Kubu Bharu. - Foto Ghazali Kori

Jepun naikkan paras amaran gunung berapi Hakone

RABU, 6 MEI 2015 @ 3:48 PM

TOKYO: Jabatan Meteorologi Jepun menaikkan paras amaran berikutan aktiviti siesmik di resort popular di Gunung Hakone, sekali gus menyekat laluan ke denai pendakian. Peningkatan tahap amaran itu yang disertai sekatan ke kawasan lohong pelepasan lahar gunung berapi dibuat selepas pihak berkuasa mendapati gegaran yang lebih kerap di kawasan pelancongan itu, kira-kira 80 kilometer dari Tokyo. "Kami meningkatkan amaran ke tahap dua selepas mengesan gegaran semakin kuat dan daripada kedudukan yang lebih dalam," kata seorang pegawai jabatan itu. Semalam, tiga gempa kecil berlaku di kawasan itu pada ukuran 2.0 hingga 2.6 magnitud, katanya. Berikutan peningkatan tahap amaran itu, majlis perbandaran Hakone mengarahkan penduduk di kawasan Owakudani dipindahkan, lokasi popular dalam kalangan pendaki yang biasanya berjalan di tengah-tengah pancutan stim daripada cerun gunung. Pihak perbandaran juga menutup operasi kereta kabel dan jalan di sekitar kawasan resort itu. Peningkatan aktiviti siesmik seperti gegaran dan pancutan stim panas sudah dikesan di kawasan Gunung Hakone sejak beberapa hari lalu. Bagaimanapun, penyelidik belum menemui tanda peningkatan magma yang mungkin memerlukan pemindahan segera penduduk di sekitar Gunung Hakone, kata jabatan itu. - AFP

 JABATAN Meteorologi Jepun menaikkan paras amaran berikutan aktiviti siesmik di resort popular di Gunung Hakone. - Foto AFP

IS dakwa bertanggungjawab serangan di Texas

SELASA, 5 MEI 2015 @ 4:30 PM

PEMANDANGAN dari udara menunjukkan kawasan sekitar sebuah kereta yang digunakan malam tadi oleh dua lelaki bersenjata, yang telah dibunuh oleh pihak polis, kerana ia disiasat oleh polis tempatan dan FBI di Garland, Texas. - Foto REUTERS

 BEIRUT: Kumpulan Negara Islam (IS) hari ini mengakui bertanggungjawab dalam serangan bersenjata terhadap majlis anti-Islam yang mempamerkan karikatur menghina Nabi Muhammad, semalam. "Dua askar kalifah menjalankan serangan di pusat pameran di Garland, Texas, dan pameran ini menonjolkan gambar negatif mengenai Nabi Muhammad SAW," kata IS dalam laman Twitter hari ini. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/53004

Letusan lahar gunung berapi Hawaii catat ketinggian terbaharu

RABU, 6 MEI 2015 @ 11:40 AM

GAMBAR daripada Pihak Pemantau Kajian Geologi Gunung Berapi Hawaii menunjukkan Gunung Berapi Kilauea meletus menyebabkan limpahan lahar dan letupan kecil serta kepulan asap tebal. Batuan kecil turut berselerak di sekeliling gunung berkenaan. - Foto AFP

HAWAII: Letusan terbaharu dari Gunung Berapi Kilauea menyebabkan limpahan lahar yang boleh disaksikan dari pusat pelawat di sini, hari ini. Petugas Agensi Penyelidikan Geologi Amerika Syarikat (USGS), Janet Babb berkata, kejadian berkenaan tidak perlu dibimbangkan. Pemandangan dari Muzium Jaggar di Taman Negara Gunung Berapi Hawaii itu terletak kira-kira 1.6 kilometer dari kawah dan pelawat tidak terdedah kepada bahaya. Gas yang berkepul dalam kawah gunung itu mencetuskan letusan dramatik yang mengandungi lahar dan serpihan batuan setinggi 86 meter di bahagian puncak. "Apabila batuan masuk ke dalam tasik lahar, ia menyebabkan tindak balas. Ia seperti ketika anda hendak membuka sebotol champagne dengan memukul bahagian atas dengan penukul," kata Babb. Sementara itu, pelawat teruja untuk menyaksikan saat lahar yang berbuih dan sekali gus menjadikan kegiatan berkenaan umpama satu majlis. "Jika anda boleh pergi ke sana, pergilah. Anda boleh lihat tasik lahar yang berbuih dengan menggunakan teleskop. Memang menarik," kata pelawat. Kilauea adalah satu gunung berapi yang paling aktif di dunia dan terletak di pulau Hawaii. - Agensi

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/53203

Jerman tahan 4 individu rancang serang Islam, pelarian

RABU, 6 MEI 2015 @ 5:26 PM

POLIS Jerman menahan empat suspek yang disyaki menubuhkan kumpulan ekstremis berhaluan kanan dikenali 'Old School Society'. - Foto fail AFP

BERLIN: Polis Jerman menahan empat suspek yang disyaki menubuhkan kumpulan ekstremis berhaluan kanan dikenali 'Old School Society' yang menyasar membuat serangan bom terhadap masjid, kumpulan Salafi Islam dan rumah perlindungan pencari suaka. "Siasatan mendapati matlamat kumpulan ini adalah membuat serangan di Jerman menerusi kumpulan kecil terhadap kumpulan Salafi terkenal, masjid dan tempat perlindungan bagi pencari suaka," kata penyiasat Jerman dalam satu kenyataan. "Hingga kini, daripada empat yang ditahan, kita merampas bahan letupan yang berkemungkinan digunakan dalam serangan oleh kumpulan itu," kata pegawai itu sambil menambah setakat ini belum dapat dipastikan sama ada kumpulan itu sudah menetapkan sasaran atau tarikh tertentu untuk serangan. Semua yang ditahan adalah warga Jerman, Andreas H, 56, yang juga 'presiden' kumpulan iu; naib presiden berusia 39 tahun, Markus W; Denise Vanessa G (22) dan Olaf O (47). Pada 2011, Jerman dikejutkan dengan pendedahan mengenai kumpulan haluan kanan, National Socialist Underground (NSU) yang dikatakan terbabit dalam pembunuhan sembilan pendatang dan seorang anggota polis serta pengeboman dan rompakan bank. Sebelum itu, pihak berkuasa gagal mengesan kewujudan NSU. Dua anggota NSU membunuh diri selepas rompakan sebuah bank dan suspek ketiga, Beate Zschaepe kini sedang dibicarakan. - Reuters

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/53265

Juruterbang Germanwings 'berlatih' menjunam ketika penerbangan pergi

RABU, 6 MEI 2015 @ 6:32 PM

GAMBAR fail diambil pada 22 Mac 2015, di Lapangan Terbang Dusseldorf, Jerman Barat, menunjukkan keadaan dalam kokpit pesawat A320 Airbus Germanwings dengan pendaftaran pesawat D-AIPX, selepas penerbangan terakhir pesawat tersebut sebelum terhempas di pergunungan Alps Perancis. - Foto AFP

LE BOURGET, Perancis: Pembantu juruterbang pesawat Germanwings yang dikatakan sengaja menjunamkan pesawat ke pergunungan Alps Perancis selepas 'berlatih' membuat gerakan menjunam sebegitu ketika dalam penerbangan pergi ke Barcelona, kata penyiasat penerbangan awam Perancis. Jurucakap Jabatan Siasatan Penerbangan (BEA) berkata, pembantu juruterbang itu, Andreas Lubitz, 27, sudah berlatih gerakan menjunam sebegitu dalam penerbangan dari Duesseldorf ke Barcelona 'tanpa kesan yang disedari' sebelum benar-benar menjunamkan pesawat sehingga terhempas dalam penerbangan pulang dari Barcelona menyebabkan semua 150 orang dalam pesawat itu terbunuh. Pesawat malang A320 Penerbangan 4U 9525 terhempas di Alps Perancis pada 24 Mac lalu.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/53280

Dua maut pelantar minyak runtuh di Mexico

RABU, 6 MEI 2015 @ 7:59 AM



GAMBAR fail. Sekurang-kurangnya dua pekerja maut dan 10 lagi mengalami kecederaan apabila pelantar minyak runtuh di perairan dekat timur pantai Mexico menyebabkan 101 orang dipindahkan.- Foto AP
MEXICO CITY: Sekurang-kurangnya dua pekerja maut dan 10 lagi mengalami kecederaan apabila pelantar minyak runtuh di perairan dekat timur pantai Mexico menyebabkan 101 orang dipindahkan.

Typhoon Offshore, anak syarikat Kumpulan Salinas berkata, kemalangan berlaku apabila salah satu tiang pelantar minyak itu "runtuh."

Syarikat milik kerajaan, Pemex berkata, tiga daripada pekerjanya dan 98 Typhoon pekerja dipindahkan ketika kejadian berkenaan di kawasan Campeche Sound dekat Teluk Mexico.


Nahas berkenaan menyebabkan dua pekerja maut dan 10 mengalami kecederaan.

Bagaimanapun, pengeluaran petroleum di pelantar itu tidak terjejas.

Pelantar minyak dijadualkan mengendalikan kerja penyelenggaraan tetapi ia tiba-tiba senget.

Dalam kejadian di kawasan yang sama bulan lalu, pelantar minyak milik Pemex terbakar sehingga menyebabkan empat pekerja terkorban dan tiga lagi hilang. - AFP

Bebas Dari Penjara, Wanita Didakwa Tanggal Baju Ditahan Di Wad Psikiatri


Diterbitkan: Rabu, 6 Mei 2015 10:16 AM

KUALA LUMPUR: Wanita berusia 32 tahun yang didakwa menanggalkan pakaian di Jalan Petaling di sini baru-baru ini dibebaskan dari Penjara Kajang selepas diikat jamin dan dibawa oleh saudaranya ke hospital Sungai Buloh untuk penilaian psikiatri.

Persana Avril Sollunda sebelum ini pernah dimasukkan ke wad di sebuah hospital psikiatri di Kota Kinabalu.

Pada Selasa, doktor sekali lagi menasihatkan keluarganya agar dia dimasukkan ke wad psikiatri. Dia ditahan sekitar pukul 5.30 petang.

Terdahulu pada Selasa, Majistret Siti Radziah Kamaruddin membenarkan Sollunda dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM7,000.

Dia juga dikenakan dua syarat iaitu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berhampiran sekali setiap dua minggu.

Siti Radziah juga mengarahkan wanita dari Sabah itu supaya tidak meninggalkan Semenanjung.

Adik Sollunda, Michael telah membayar wang ikat jamin tersebut.

Tertuduh, yang memakai kot hitam labuh, skirt pendek dan kasut but dikerumuni ramai wartawan. Dia kelihatan keliru dan tidak sihat.

"Tidak, tidak, tidak. Jangan buat begitu, jangan buat begitu," katanya selepas jurugambar mengambil gambarnya.

Ditanya bagaimana keadaanya selepas ditahan selama seminggu, dia berkata: "Ia merupakan masa yang sangat sibuk."

Sollunda memberikan jawapan 'membunuh' tidak bijaksana ketika bercakap dengan wartawan.

"Ia akan mewujudkan perang di antara negara lain...ratu England berada di sini untuk mengadakan perbincangan dengan Permaisuri Agung," katanya.

Sollunda, pekerja spa dan model separuh masa, dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada 28 April kerana menanggalkan pakaian di khalayak ramai selepas gagal menjelaskan bil di sebuah kedai nasi ayam.

Dia tidak dibenarkan diikat jamin tanpa kehadiran penjamin.

Sollunda didakwa melakukan perbuatan lucah di khalayak ramai selepas video seorang wanita yang menanggalkan baju dan coli menjadi viral di media sosial.

Pertuduhan dibacakan pada Selasa tetapi Sollunda mengekalkan pengakuan tidak bersalah.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya N. Joy Jothi menggesa mahkamah mengenakan ikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin atas alasan dia mungkin meninggalkan Semenanjung.

Walau bagaimanapun, peguamnya Muhammad Nor Izzat Nordin merayu jumlah ikat jamin dikurangkan kepada RM1,000 kerana ia merupakan kesalahan kecil.

Mahkamah menetapkan 29 Mei ini untuk sebutan semula.

Zamani, Pasangan Didenda RM5,500 Ambil Dadah


Diterbitkan: Rabu, 6 Mei 2015 5:35 PM
Imej terbaru Zamani ketika dibawa ke mahkamah pada Rabu. FOTO: Bernama

AMPANG: Mahkamah Majistret di sini pada Rabu menjatuhi hukuman denda masing-masing sebanyak RM5,500 terhadap penyanyi Zamani Ibrahim (Slam), 43, dan pembantu peribadinya Nur Juliana Abdul Rani, 32, selepas kedua-dua mereka mengaku salah atas tuduhan memiliki dan mengambil dadah.

Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman menjatuhi hukuman itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Nur Juliana Abdul Rani adalah Pembantu Peribadi kepada Zamani.

Kedua-dua tertuduh turut dikenakan hukuman penjara selama 18 bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan pindaan, penyanyi itu didakwa bersama-sama memiliki heroin dan morfin dengan berat bersih 0.6 gram di Jalan Enggang Timor Satu, Taman Keramat pada 12.30 tengah malam, 21 Januari lalu.

Kedua-dua pasangan berkenaan sebelum ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut semasa dihadapkan ke mahkamah pada 29 Januari lalu.

Lebih 10,000 Pelekat Cukai Jalan Diseludup Keluar Dari JPJ - SPRM


Diterbitkan: Rabu, 6 Mei 2015 9:44 PM

SEREMBAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan mengesan terdapat lebih 10,000 keping pelekat cukai jalan diseludup keluar daripada simpanan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di antara November tahun lepas hingga Mac tahun ini.

SPRM negeri turut mengesan sejumlah 1,500 geran kenderaan telah dikeluarkan tanpa kebenaran yang sah oleh kakitangan JPJ daripada simpanan JPJ yang mungkin digunakan bagi tujuan memalsukan pelbagai jenis kenderaan.

Siasatan mendapati pihak sindiket menjual sekeping pelekat cukai jalan asli antara RM450 hingga RM800, manakala sekeping geran kereta pula boleh mencecah sehingga RM1,200.

Susulan itu, SPRM negeri telah menahan empat individu termasuk dua kakitangan JPJ berhubung kegiatan kenderaan klon dalam 'Ops Photostat' yang dijalankan baru-baru ini.

Keempat-empatnya termasuk seorang wanita yang berusia lingkungan 20 dan 30-an itu diberkas secara berasingan di sekitar daerah ini minggu lalu.

Kedua-dua orang awam berkenaan ditangkap kerana berperanan menjadi orang tengah bagi sindiket ini manakala dua orang kakitangan JPJ pula ditahan kerana disyaki menerima imbuhan berupa wang tunai bagi menyalurkan setiap maklumat pendaftaran kenderaan kepada orang tengah dan mengeluarkan pelekat cukai jalan dan geran kereta yang masih kosong daripada simpanan JPJ.

Pengarah SPRM negeri Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Beliau berkata siasatan masih dijalankan dan menggesa semua pemilik kereta klon di negeri ini supaya tampil menyerahkan kenderaan mereka secara sukarela kepada pejabat SPRM negeri bagi mengelak dikenakan hukuman.

Sehingga kini, sebanyak 16 buah kenderaan disyaki kenderaan skrap telah disita dan 11 orang termasuk sembilan lelaki dan dua wanita telah ditangkap sejak 'Ops Photostat' dijalankan bulan lepas.

Tertekan Diajak Kahwin, Guru Agama Tikam Teman Wanita Sehingga Mati


Diterbitkan: Rabu, 6 Mei 2015 7:18 PM

PETALING JAYA: Tertekan tindakan teman wanita yang menggesa untuk berkahwin, seorang guru agama menikam teman wanita berusia 34 tahun sehingga mati di hadapan sekolah tempatnya mengajar.

Bagaimanapun lelaki itu berjaya ditahan di rumahnya di Jalan Songket 4, Taman bukit Bujang, selepas beberapa jam kejadian selepas mayat Nur Salina Nazir ditemui di dalam kereta Proton Wira berwarna kelabu miliknya pada pukul 9 pagi Rabu.

Nur Salina yang mempunyai empat orang anak ditemui mati dengan tujuh tikaman di badannnya berada di bahagian pemandu dalam kereta tersebut.

Keretanya berada di parkir Sekolah Rendah Agama Kuala kubu Baru dengan keadaan pintu di bahagian penumpang terbuka.

Mangsa ditemui oleh orang awam yang melalui kawasan itu dan terus melaporkan kepada pihak berkuasa.

Dilaporkan sebelum ini, kedua-dua mereka bertengkar selepas mangsa meminta lelaki itu mengahwininya.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Sup R. Supramaniam mengesahkan menerima insiden ini dan berkata kes diklafikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Mangsa ditikam empat kali di dada, dua di paha dan satu di lengan kiri.

"Barang-barang peribadi mangsa juga hilang. Kami sedang mencari senjata yang digunakan.

"Suspek juga turut mengaku menikam mangsa." katanya.

Nur Salina meninggalkan empat orang anak termasuk tiga perempuan dan seorang lelaki berusia 7 hingga 14 tahun.

Polis Tahan Penjenayah Dikehendaki Di Kuantan


Diterbitkan: Rabu, 6 Mei 2015 9:16 PM

KUANTAN: Seorang lelaki yang dikehendaki ditahan dalam pemeriksaan berhampiran bangunan Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian Pahang pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Abdul Aziz Salleh berkata lelaki berusia 34 tahun itu dikehendaki bersabit kesalahan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya1952.   

Beliau berkata suspek ditahan kira-kira pukul 3 pagi oleh anggota pasukan khas Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang.

Dalam kes berasingan, polis menahan dua lelaki dipercayai penagih dadah di Kampung Pandan 2 di sini pukul 3 petang Selasa.

Abdul Aziz berkata suspek yang berusia 20 dan 36 tahun itu disyaki terlibat dalam aktiviti penagihan dan telah dihantar ke lokap IPD Kuantan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Penagihan Dadah.

Mayat Wanita Ditemui Dalam Belukar Di Cyberjaya


Diterbitkan: Rabu, 6 Mei 2015 9:40 PM
Anggota Polis Forensik mengangkat mayat seorang wanita tempatan yang ditemui dalam belukar di bawah jambatan susur keluar Putrajaya ke Pulau Meranti di sini, lewat petang Rabu.

CYBERJAYA: Mayat seorang wanita ditemui dalam belukar di bawah jambatan susur keluar dari Putrajaya ke Pulau Meranti dekat sini.

Mayat ditemui orang awam kira-kira 4.30 petang tadi yang kemudian menghubungi pihak polis.

Turut ditemui berhampiran mayat ialah tas tangan milik mangsa dan sekeping nota. 

Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Abdul Aziz Ali berkata kes itu sedang disiasat.

Kastam Singapura Rampas 700 Beg Wanita Dan Dompet Tiruan


Diterbitkan: Rabu, 6 Mei 2015 5:28 PM
Gambar hiasan

SINGAPURA: Kastam Singapura merampas 700 unit beg wanita dan dompet berjenama tiruan yang diimport dari China di kawasan  perindustrian ringan di Tanjong Pagar Distripark di sini pada Selasa.

Kastam Singapura, dalam kenyataan pada Rabu,  berkata barangan tiruan yangmenggunakan tiga jenama popular itu dirampas ketika pemeriksaan terhadap konsaimen barangan di kawasan itu.

Pihak berkuasa itu berkata barangan tiruan itu dirampas mengikut Seksyen 93A(1)(a) Akta Cap Dagangan dan pemilik hak cipta jenama berkenaan boleh mengambil tindakan terhadap pengimport barangan tiruan tersebut.

Menurutnya Singapura tidak akan membiarkan aktiviti dagangan haram di negara itu dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pengimport barangan tiruan.

Selain itu, katanya, pihak berkuasa Singapura akan memastikan penguatkuasaan harta intelek yang kukuh diteruskan.

Seorang Terbunuh, 30 Cedera Ribut Petir Melanda Utara Jerman


Diterbitkan: Rabu, 6 Mei 2015 9:08 PM
Kerosakn harta benda akibat ribut yang melanda di Buetzow pada Selasa.

BERLIN: Seorang lelaki terbunuh dan lebih 30 orang cedera apabila puting beliung dan ribut petir melanda di bahagian Utara Jerman pada Selasa.

Kejadian tersebut menyebabkan kerosakan tempat tinggal penduduk, malah kawasan paling teruk berlaku di bandar Buetzow yang menyebabkan seorang penduduk cedera parah serta berpuluh yang lain akibat terkena serpihan batu-bata.

Menurut saksi yang menyaksikan kejadian berkata, 'tornado' tersebut memusnahkan bandar yang mempunyai kapasiti seramai 7,800 penduduk di samping turut merosakkan sebuah hospital tempatan.

Tambah lagi, mereka terpaksa menjadikan dewan sukan sebagai tempat berteduh sementara apabila penduduk diarahkan untuk meninggalkan kediaman mereka demi menjaga keselamatan.

Seorang lelaki berusia 26 tahun terbunuh di pelabuhan utara bandar Hamburg selepas serpihan bumbung menghempap ke atas keretanya di kawasan tersebut serta turut mencederakan teman wanitanya yang sedang hamil yang duduk bersebelahan dengannya.

Disebabkan kejadian tersebut, pokok-pokok yang tumbang menutupi jalan raya serta mengakibatkan landasan keretapi tidak dapat beroperasi di beberapa landasan iaitu dari utara Rhine ke Westphalia dan Mecklenburg ke Vorpommern.

Selain itu, perkhidmatan pengangkutan awam turut terganggu disamping menyebabkan lima kapal kontena terlepas dari tambatannya.

Salman Khan Dipenjara Lima Tahun Akibat Langgar Lari


Diterbitkan: Rabu, 6 Mei 2015 5:34 PM

AKTOR Bollywood Salman Khan dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun atas kesalahan langgar lari beberapa gelandangan di Mumbai pada tahun 2002.

Menurut laporan portal BBC, keputusan itu dibacakan oleh hakim mahkamah, DW Deshpande.

"Kamu memandu kereta di bawah pengaruh alkohol," kata hakim tersebut.

Berita di beberapa saluran televisyen India turut melaporkan aktor tersebut menitiskan air mata selepas keputusan mahkamah dibacakan.

Sementara itu, beberapa rakan artisnya turut meluahkan rasa sedih selain memberikan sokongan dan menunjukkan simpati.

Aktres Hema Malini turut berdoa dan berharap agar hukumannya dapat diringankan.

Aktor yang pernah popular menerusi filem Dabangg, Ready, Bodyguard, Ek Tha Tiger, Maine Pyar Kiya dan Hum Aap Ke Hain Kaun, dituduh memandu kenderaan Toyota Land Cruiser dalam keadaan mabuk pada tahun berkenaan.

Akibat kejadian itu, seorang daripada gelandangan tersebut mati manakala empat orang lagi mengalami cedera ringan.

Amukan mak nyah

Pattaya: Seorang pelancong Ireland dirawat kerana cedera selepas dipukul dengan kasut tumit tinggi oleh seorang mak nyah di sini, semalam.
Kejadian berlaku selepas Michael Merry didekati mak nyah terbabit pada jam tiga pagi ketika berjalan di bandar peranginan itu yang memang terkenal kerana kehidupan malam dan kadar jenayah yang luar biasa tinggi.
Beberapa minit sebelum mak nyah itu menyerangnya, Merry, 55, dikatakan menolak pekerja seks itu hingga jatuh kerana tidak suka diganggu.
Mak nyah berkenaan, Wichai Sripalang kemudian bangun, menanggalkan kasutnya dan menyerang lelaki itu dengan memukulnya berulang kali di kepala.
Jurucakap polis tempatan Piyapong Ensan berkata: “Mak nyah itu mendekati mangsa dan menawarkan khidmat seks. Merry menolak tawaran itu tetapi Wichai merangkul lehernya dan menciumnya. Ia membuat lelaki itu menolaknya, menyebabkan Wichai jatuh.
“Apabila bangun, mak nyah itu menanggalkan kasutnya dan memukul mangsa di kepala.”
Merry dirawat di tempat kejadian sementara Wichai ditangkap atas tuduhan menyerang.
Dalam kejadian minggu lalu, seorang mak nyah ditangkap kerana menyerang seorang wanita, juga dengan kasut.
Polis berkata, pergaduhan meletus antara mereka selepas mak nyah itu menawarkan khidmat seks kepada suami mangsa.
Dalam satu lagi kejadian bulan lalu, seorang lelaki Poland cedera parah selepas diserang seorang bouncer dengan buku lima di luar sebuah bar. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2015 @ 8:11 AM


MERRY yang luka di kepala.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/48810#sthash.C4DUKyEe.dpuf

Pelancong dipaksa habiskan duit di China

Pelancong dipaksa habiskan duit di China
Gambar Hiasan

YUNAN - CHINA. Hanya kerana tidak berbelanja sehingga 3,000 yuan (RM1744), sekumpulan pelancong terpinga-pinga apabila dimarahi pemandu pelancong yang mengiringi lawatan mereka di China.

Selain memarahi pelancong-pelancong tersebut, pemandu pelancong itu juga dikatakan mengugut untuk membatalkan destinasi pelancongan seterusnya dan tiket penerbangan balik kumpulan itu.

Sebuah video yang dimuat naik menerusi portal BBC.news hari ini menunjukkan pemandu pelancong itu yang berbahasa Cina memarahi kumpulan tersebut dengan menggunakan sebuah mikrofon.

“Di mana terletaknya akal dan moral kamu? Jika kamu semua tidak habiskan sehingga 3,000 yuan dan 4,000 yuan (RM 2326), kami akan membatalkan perjalanan Xishuangbanna, syarikat pelancongan kami juga tidak akan bertanggungjawab atas tiket penerbangan kamu semua untuk kembali ke Shenyang," katanya.

Video tersebut menjadi viral dan mendapat kritikan pelbagai pihak.

Sementara itu, pihak berkuasa di Wilayah barat Yunan berkata, pemandu pelancong itu telah melanggar undang-undang pelancongan kebangsaan.

“Sejak tahun 2013 lagi, kesemua syarikat pelancongan di China telah dilarang keras untuk memaksa pelancong berbelanja.

“Kami telah ambil tindakan untuk gantung lesen wanita terbabit sebagai pemandu pelancong. Kami juga menggantung syarikat pelancongan tersebut dan turut mengenakan denda sebanyak 20,000 yuan ke atas syarikat terbabit,” katanya.

Kena tumbuk kerana asyik berselfie

Kena tumbuk kerana asyik berselfie
- Gambar hiasan

CALIFORNIA - AMERIKA SYARIKAT. Seorang lelaki dilaporkan menumbuk isterinya selepas berang wanita berkenaan asyik berkongsi selfie di laman sosial, Rabu lepas.

Menurut laporan New York Daily, Julio Benitez juga dilaporkan dibawah pengaruh dadah ketika menumbuk dan mencekik isterinya di rumah mereka di Fresno.

Isteri suspek dilaporkan cedera di bahagian mata, tangan, kaki dan leher. Dia juga dilaporkan diugut bunuh oleh Benitez.

Menurut laporan media tempatan, mangsa dilaporkan melarikan diri bersama dua orang anak berumur lima dan tujuh tahun dan melaporkan kejadian tersebut kepada polis.

Suspek kemudian bertindak melarikan diri bersama-sama seorang lagi anak mereka yang berumur dua tahun.

Polis yang melancarkan operasi memburu kemudiannya berjaya menahan suspek.

Benitez didakwa atas tuduhan mendera dan mengugut.

Ditahan ludah, sembur pencuci dalam makanan rakan

Ditahan ludah, sembur pencuci dalam makanan rakan
Perilaku Hayley yang berjaya dirakam

SOUTH CAROLINA - AMERIKA SYARIKAT. Seorang pelajar universiti ditahan selepas video rakamannya meludah dan menyembur pencuci tingkap ke dalam makanan rakan serumahnya terbongkar.

Hayley King, 22, ditahan polis selepas rakan serumahnya berjaya merakamkan perilakunya itu melalui kamera yang disembunyikan di dalam dapur rumah mereka.

Pelajar Universiti South Carolina ditahan dan didakwa atas tuduhan menyalahi undang-undang, berniat jahat menggunakan racun di dalam makanan dan jika disabit kesalahan akan berdepan hukuman penjara 20 tahun.

Memetik laporan yang dipetik Metro.uk, Hayley mengaku salah di atas perbuatannya itu dan dibebaskan dengan ikat jamin.

Remaja didakwa tikam teman wanita

tikam
Gambar hiasan

DENVER - AMERIKA SYARIKAT. Seorang remaja berumur 14 tahun didakwa atas tuduhan menikam teman wanitanya, semalam.

Menurut Reuter, suspek tersebut menikam teman wanitanya yang juga berumur 14 tahun di kawasan sekolah dalam kejadian minggu lalu.

Mangsa kemudiannya diberikan dihantar ke hospital dan kini dilaporkan stabil.

Suspek juga menghadapi tuduhan juvana ugutan, serangan dan penggunaan senjata, kata pegawai pendakwa raya dalam satu kenyataan.

Model ‘palsu’ tawar khidmat seks ditahan

Model ‘palsu’ tawar khidmat seks ditahan
Seorang lelaki ditahan polis selepas didapati menyamar sebagai seorang model dan menawarkan khidmat seks terhadap lebih 350 wanita menerusi atas talian.

NICE - ITALY. Seorang lelaki merupakan warga emas ditahan polis selepas didapati menyamar sebagai seorang model dan menawarkan khidmat seks terhadap lebih 350 wanita menerusi atas talian.

Menurut pihak berkuasa, warga emas yang menggunakan nama samara ‘Anthony LaRoche’ menawarkan khidmat seks liar ke atas wanita-wanita yang dihubungi.

“Dia menggunakan khidmat teks dan kemudahan e-mel untuk menghubungi wanita-wanita terbabit.

“Setelah menabur pelbagai janji kepada wanita-wanita yang diperdaya, dia mengumpan wanita-wanita ini ke apartmennya sebelum menutup mata perempuan itu dengan menggunakan kain,” kata satu sumber oleh pihak berkuasa.

Penipuannya didedahkan oleh seorang wanita yang mengaku mengadakan hubungan kelamin dengan lelaki tersebut.

Menurut wanita itu, selepas mengadakan hubungan kelamin, dia menekan fius lampu untuk melihat lelaki itu dan terkejut sebaik sahaja ternampak seorang lelaki tua di hadapannya.

“Dia seorang lelaki tua yang berumur kira-kira 65 tahun. Saya betul-betul terkejut dan tidak sangka dengan penipuannya,” katanya.

Polis kemudian menyerbu apartmen lelaki tersebut sebelum menahannya.

Gempa: 60 mayat ditemui di lembah Nepal

Gempa: 60 mayat ditemui di lembah Nepal
Keadaan Lembah Langtang yang musnah akibat gempa bumi.

KATHMANDU - NEPAL. Penyelamat menemui 60 mayat termasuk 8 pelancong asing yang dipercayai tertimbus di kawasan lembah berhampiran Himalaya akibat bencana gempa bumi yang melanda Nepal baru-baru ini.

Mayat ditemui di kawasan pelancongan terkenal Lembah Langtang dan penduduk setempat percaya lebih 200 orang terbunuh akibat tanah runtuh dan lumpur yang terjadi akibat gempa bumi.

Menurut Pegawai Tinggi Daerah Rasuwa, Gautam Rimal, keseluruhan kampung yang mempunyai 60 buah rumah di kawasan tersebut tertimbus dan adalah sukar untuk menemui mangsa yang masih hidup.

Lembah Lantang terletak 60 kilometer Utara Kathmandu dan mengambil masa 2 hari untuk mendaki dari pekan terdekat kerana tanah runtuh yang menghubungkan jalan utama tertimbus akibat gempa bumi.

Gempa bumi 25 April lalu telah meragut lebih 7500 orang dan mencederakan puluhan ribuan yang lain dan turut memusnahkan bangunan dan tapak arkeologi di Kathmandu.

Sementara itu, pihak berkuasa berkata, hampir 1 pertiga penduduk Kathamandu meninggalkan bandar itu.

Seorang penduduk yang ditemui, Surya Singh, saya tinggal di bandar untuk membantu menbersihkan kawasan kejiranan tetapi ingin pulang ke kampung untuk melihat kerosakan di kampung walaupun banyak jalan terpaksa ditutup kerana tanah runtuh.

Selasa, USAID telah mengumumkan bantuan RM 38juta untuk bahan-bahan perlindungan kecemasan, bekalan perubatan, air minuman bersih, dan kit kebersihan bagi daerah yang paling kritikal.

Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Stephane Dujarric, memberitahu pemberita bahawa hab logistik yang diwujudkan di lima daerah tambahan untuk menyokong penghantaran bantuan kemanusiaan.

"Pengagihan lebih daripada 2,000 tan makanan juga telah bermula di 15 daerah," katanya dipetik AP

Pertubuhan Kesihatan Sedunia berkata hospital sementara telah ditubuhkan di lima lokasi di Kathmandu dan di lima lokasi di luar ibu negara.

Tren bawah tanah berlanggar, 12 cedera

Tren bawah tanah berlanggar, 12 cedera
Petugas kecemasan mula membaiki kerosakan disebabkan kemalangan pada Isnin lepas. - Foto sumber Twitter

MEXICO CITY - MEXICO. Seramai 12 penumpang dilaporkan cedera selepas dua tren bawah tanah berlanggar, Isnin lepas.

Datuk Bandar Mexico City, Miguel Ángel Mancera melalui laman Twitter beliau memaklumkan, kejadian berlaku di stesen metro Oceania.

"Terdapat penumpang yang cedera tapi tiada sesiapa yang terkorban," kata ketua pegawai Bomba, Raúl Esquivel kepada CNN.

Sistem metro (tren bawah tanah) Mexico City bertanggungjawab menghubungkan 12 laluan utama tren yang menjadi laluan utama penduduk bandar tersebut.

Stesen Oceania merupakan stesen yang paling sibuk dalam rangkaian metro tersebut.

Ibu ditahan lepas biar anak hampir mati kebuluran

Ibu ditahan lepas biar anak hampir mati kebuluran
Seorang ibu ditahan pihak berkuasa selepas didapati mengabaikan penjagaan ke atas anaknya.

TIJUANA – MEXICO. Seorang ibu ditahan pihak berkuasa selepas didapati mengabaikan penjagaan ke atas anaknya, lapor portal Metro.co.uk semalam.

Sewaktu ditemui pihak berkuasa, Guinerve Valentin, 26, membentak dan menjerit mengatakan bahawa dia tidak peduli terhadap keadaan anaknya memandangkan bayi tersebut kelihatan hampir mati.

Difahamkan, wanita itu berhenti menyusu dan memberi makan bayi itu sejak suaminya tidak memberikan wang perbelanjaan kepadanya.

Menurut pekerja perkhidmatan sosial, dia menemui kesan lebam di seluruh tubuh bayi tersebut semasa melakukan pemeriksaan di kediaman keluarga terbabit.

“Saya tidak mahu jaga anak kerana suami tidak lagi memberikan duit bagi menampung perbelanjaan kami sekeluarga. Saya mahukan perceraian dari suami.

“Saya sudah tidak kisah dengan anak. Saya tahu dia memang sudah nak (akan) mati ,” katanya kepada pihak berkuasa.

Menurut satu sumber pihak berkuasa, bayi tersebut bersama dua lagi abangnya yang berusia empat tahun dan lima tahun telah diserahkan ke perkhidmatan sosial.

“Mereka semua akan dijaga di rumah kebajikan. Manakala Valentin pula akan ditahan dan didakwa.

“Bayi perempuan itu bukan dalam keadaan baik, tapi sekarang dia akan dijaga dan diuruskan dengan baik oleh rumah kebajikan,” katanya.

Lelaki bunuh, makan bekas teman wanita

Lelaki bunuh, makan bekas teman wanita
- Gambar Hiasan

LOUISVILLE - AMERIKA SYARIKAT. Seorang lelaki berhadapan hukuman mati selepas didakwa membunuh dan memakan bekas teman wanitanya.

Dalam perbicaraan Selasa lepas, pendakwaan terhadap Joseph Oberhansley bertambah apabila suspek juga dituduh merogol mangsa.

Menurut Reuters, Oberhansley, 34, didakwa atas tuduhan membunuh dan kanibalism pada September lepas.

Difahamkan, pegawai pendakwaraya, Jeremy Mull menambah pendakwaan kerana tuduhan asal tidak cukup kuat untuk mensabitkan hukuman mati terhadap suspek.

Perbicaraan seterusnya pada Ogos 2016.

Restoran baharu diharamkan sebab penduduk gemuk

Restoran baru diharamkan sebab penduduk gemuk
Plymouth dibanjiri dengan restoran-restoran makanan segera. - Foto SWNS

PLYMOUTH - BRITAIN. Kerana kebanyakan penduduk setempat di daerah ini mengalami masalah kegemukan, Majlis Daerah Plymouth menghalang pembukaan restoran makanan segera baharu.

Peniaga, Mohammed Rafic membuat permohonan untuk membuka sebuah restoran menjual fish and Chips, kebab dan ayam goreng di kawasan St Budeaux, Plymouth.

Namun permohonannya itu tidak diluluskan atas alasan penduduk setempat kawasan itu mempunyai masalah berat badan dan pembukaan restoran makanan segera akan memburukkan lagi keadaan.

Menurut ahli majlis, sebanyak 20 peratus peniaga tempatan menjual makanan segera jika membenarkan Rafic berniaga.

Antara penduduk tempatan yang mempunyai masalah berat badan adalah Stephen Beer, 45 dan Michelle Coombe,43 yang menjadi perhatian media selepas mendakwa terlalu gemuk untuk bekerja.

Serang mayat teman lelaki dengan pisau

Serang mayat teman lelaki dengan pisau
Shaynna Sims, yang berasal dari Oklahoma, ditahan dan berdepan tindakan undang-undang sekiranya didapati bersalah menyerang mayat bekas teman lelakinya dengan menggunakan pisau.

TULSA - AMERIKA SYARIKAT . Seorang wanita ditahan dan didakwa atas kesalahan mendatangkan kerosakan ke atas mayat apabila menyerang mayat bekas teman lelakinya dengan menggunakan senjata tajam sebelum majlis pengebumian lelaki tersebut.

Menurut laporan Metro.co.uk, mayat diserang dengan menggunakan pisau yang dibawa  oleh wanita tersebut.

Selepas insiden terbabit dilaporkan, Shaynna Sims, 26, yang berasal dari Oklahoma, ditahan dan berdepan tindakan undang-undang sekiranya disabitkan kesalahan tersebut.

Menurut pengurus rumah mayat, Eastlawn Chapel kejadian disedari sebaik penggera yang diaktifkan berbunyi.

Sejurus selepas itu, Chapel berkata, dia memeriksa satu per satu mayat di situ dan mendapati mayat lelaki itu dikelar dan ditikam bertubi-tubi.

“Serangan itu berlaku ketika mayat tersebut masih berada dalam keranda,” katanya.

Dalam pada itu, polis melaporkan menemui pisau, gunting dan juga pemotong kotak di tempat kejadian.

Pengarah pengebumian, John Wilson memberitahu, insiden tersebut adalah kali pertama dilaporkan dan  dia tidak melihat kejadian yang sama sejak terlibat dengan bidang ini.

“Apa yang sudah berlaku adalah sesuatu yang sangat malang,” katanya.

Cuba selfie, peminat 'makan' siku Mike Tyson

Mike Tyson
Sedutan rakaman peminat disiku Mike Tyson.

SEORANG peminat bekas peninju terkemuka, Mike Tyson disiku beberapa kali selepas beliau dirakam cuba memeluk ahli sukan kontroversi tersebut untuk tujuan selfie.

Melalui sebuah rakaman media sempena pertandingan tinju Floyd Mayweather-Manny Pacquiao minggu lepas, Tyson yang sebelum ini terkenal dengan sifat agresifnya di atas gelanggang menyiku peminat lelaki yang tiba-tiba datang memeluknya.

Menurut The West Australian, benar Mike Tyson sudah berubah selepas berlaku kes jenayah, bangkrap, kokain dan alkohol, namun dia juga seorang bekas peninju.

Video tersebut yang dimuatnaik ke laman YouTube menarik perhatian lebih 50,000 pelayar.

"Lelaki tersebut patut minta kebenaran sebelum peluk bekas peninju," kata Setgaurus.

"Jangan datang memeluk Mike Tyson dengan tiba-tiba," ujar Ramchandan.

Cinta ditolak, lelaki bunuh wanita dan anak

Cinta ditolak, lelaki bunuh wanita dan anak
Kanak-kanak berusia 4 tahun menjadi mangsa bunuh.

SHAANXI - CHINA. Kerana menolak cinta seorang lelaki, seorang wanita dan anaknya ditikam dengan kejam sehingga maut.

Kejadian yang berlaku di jalan Wilayah Shaanxi tersebut disaksikan oleh seorang lagi anaknya yang berusia 12 tahun.

Menurut laporan Huashang Daily, wanita tersebut bersama anaknya sedang menunggu suaminya ketika suspek mengganggu mangsa dan cuba untuk memukul.

Apabila pelawaannya ditolak, lelaki tersebut terus mengambil pisau di dalam vannya dan kemudian terus menikam wanita dan anaknya yang berusia 4 tahun, namun anaknya yang berusia 12 tahun berjaya melarikan diri.

Suaminya yang tiba di tempat kejadian mendapati isteri dan anak perempuannya terbaring dengan berlumuran darah.

Suspek dikatakan sering mengganggu wanita itu berjaya melarikan diri dan masih dalam buruan polis.

Ini bukan kali pertama kejadian mengenai serangan akibat cinta, sebelum ini seorang lelaki mengelar leher seorang gadis yang menolak cintanya.

Sengaja cari pasal

American Freedom Defense Initiative (AFDI) yang diketuai aktivis anti-Islam Pamela Geller menawarkan hadiah wang tunai $10,000 (RM35,992) dalam pertandingan melukis kartun Nabi Muhammad SAW.
Memaparkan imej Nabi Muhammad SAW adalah satu penghinaan kepada umat Islam dan perlakuan berkenaan menyebabkan pelbagai insiden keganasan termasuk insiden di Paris di mana 12 petugas akhbar mingguan Charle Hebdo ditembak mati.
Dua lelaki bersenjata api yang masih belum dikenal pasti ditembak mati oleh polis di luar pameran berkenaan selepas melepaskan tembakan ke arah petugas keselamatan.
Bagaimanapun polis belum dapat mengesahkan jika kejadian berbalas tembakan berkenaan mempunyai kaitan dengan pameran terbabit.
Penyokong AFDI menegaskan pameran berkenaan bertujuan mempertahankan hak kebebasan bersuara di AS, yang dikatakan semakin terhakis berikutan ancaman keganasan terhadap mereka yang melukis karikatur Nabi Muhammad SAW.
Pusat Perundangan Southern Poverty menggambarkan AFDI sebagai sebuah pertubuhan anti-Islam yang aktif.
Kempen iklan yang ditaja AFDI di beberapa bandar raya di AS mendapat kritikan hebat.
“Kebencian Islam terhadap Yahudi. Ia ada dalam Quran, Dua pertiga bantuan AS dihantar ke negara Islam. Hentikan perkauman. Hentikan bantuan ke negara Islam,” antara paparan ikklan yang ditaja AFDI di ibu negara AS tahun lalu dan mendapat kecaman pertubuhan Islam di AS.
Seorang wakil rakyat AS, Mike Honda meminta orang ramai memboikot pengangkutan awam di Washington apabila sebuah iklan yang dibayar AFDI pada 2012 dikatakan menghina umat Islam.
Dia menggambarkan iklan berkenaan sebagai kempen kebencian dan aktivis lain bertindak menconteng iklan berkenaan. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2015 @ 8:21 PM


KENDERAAN dinaiki dua suspek dikawal polis. Pamela Geller (gambar kecil) FOTO EPA
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/48475#sthash.bS5liuWP.dpuf