Search This Blog

Tuesday, May 5, 2015

Gempa bumi 7.5 magnitud gegar Papua

SELASA, 5 MEI 2015 @ 10:14 AM



SYDNEY: Gempa bumi besar berukuran 7.5 magnitud menggegar selatan Papua New Guinea dan menyebabkan amaran tsunami dikeluarkan, kata Agensi Penyelidikan Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Gempa itu berlaku pada kedudukan kira-kira 150 kilometer selatan negara itu.

Amaran tsunami dikeluarkan dalam linungan kira-kira 300 kilometer dari pusat gempa. - Reuters

Dua mayat askar Mexico ditemui akibat helikopter ditembak jatuh

SELASA, 5 MEI 2015 @ 8:06 AM

TENTERA meronda kawasan sekitar tapak di mana sebuah helikopter tentera telah ditembak jatuh dua hari lepas, di, Mexico.- Foto AFP

 MEXICO CITY: Pihak berkuasa Mexico menemui dua mayat askar yang hilang selepas kartel dadah menembak jatuh sebuah helikopter tentera dengan pelancar roket, kata pegawai hari ini. Ketua Polis Persekutuan, Enrique Galindo berkata, pihak berkuasa percaya ketua kartel dadah, Jalisco New Generation berada dalam konvoi penyerang apabila helikopter Cougar itu ditembak jatuh di barat negara itu, Jumaat lalu. Terdahulu, pihak berkuasa melaporkan bahawa kejadian berlaku di antara bandar Casimiro Castillo dan Villa Purificacion menyebabkan tiga askar terkorban dan berpuluh lagi cedera dan tiga lagi hilang. Operasi mencari dan menyelamatkan dikerah di wilayah Jalisco. "Kami percaya ketua kumpulan penjenayah itu berada dalam kejadian di Casimiro Castillo dan sebab itu berlaku serangan berkenaan," kata Galindo. Kartel berkenaan diketuai Nemesio Oseguera, "El Mencho," tetapi Galindo berkata, tiada ketua kumpulan ditahan ketika operasi berkenaan dan berakhir dengan penahanan 19 orang. - AFP

Suspek lepas tembakan di pameran karikatur Nabi dalam senarai FBI

SELASA, 5 MEI 2015 @ 2:38 PM

AHLI penyiasat FBI sedang melakukan siasatan di luar Curtis Culwell Center di Garland, Texas hari ini. - Foto AFP

WASHINGTON: Elton Simpson, salah seorang lelaki yang melepaskan tembakan di luar sebuah tempat pameran kartun Nabi Muhammad di Texas semalam berada dalam senarai siasatan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) sejak 2006. Memetik kenyataan pegawai FBI, Simpson berada dalam senarai FBI kerana pembabitannya dalam perjuangan jihad dan pernah ditangkap pada tahun 2010, sehari sebelum dia merancang untuk ke Afrika Selatan. "Tetapi setelah direkod percakapan selama 1,500 jam, dia gagal didakwa dan hanya menerima satu tuduhan kecil membohongi ejen persekutuan. "Maklumat yang diperoleh menunjukkan Simpson selalu bercakap mengenai perjuangan jihad, keganasan dan rancangannya untuk ke Afrika Selatan dan bergabung dengan pemberontak di Somalia," katanya. Semalam polis Texas menembak mati dua lelaki yang cuba memasuki dan melepaskan tembakan di luar sebuah tempat pameran kartun Nabi Muhammad yang dianjurkan oleh satu kumpulan anti-Islam. Identiti kedua lelaki itu telah dikenal pasti sebagai Elton Simpson dan Nadir Soofi. Dalam kejadian itu, mereka melepaskan tembakan kepada pegawai keselamatan tidak bersenjata berpangkalan di luar kawasan pameran. Serangan itu dipercayai atas tindakan balas terhadap kumpulan anti-Islam itu mengadakan pameran kartun Nabi Muhammad. Sementara itu Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Jeh Johnson, dalam satu kenyataan menyatakan pihak berkuasa sedang menyiasat motif mereka dan juga mengenai pameran itu. "Masih tiada maklumat lengkap mengenai motif sebenar mereka. "Tapi serangan semalam menjadi satu peringatan kepada semua. Tidak kira di mana anda berada, jangan lakukan sesuatu yang boleh mengundang kepada keganasan," katanya. - AP

Gempa bumi 7.5 magnitud gegar Papua

SELASA, 5 MEI 2015 @ 10:14 AM

SYDNEY: Gempa bumi besar berukuran 7.5 magnitud menggegar selatan Papua New Guinea dan menyebabkan amaran tsunami dikeluarkan, kata Agensi Penyelidikan Geologi Amerika Syarikat (USGS). Gempa itu berlaku pada kedudukan kira-kira 150 kilometer selatan negara itu. Amaran tsunami dikeluarkan dalam linungan kira-kira 300 kilometer dari pusat gempa. - Reuters

13 tahun dah ada ‘rekod’

Bukit Beruntung: Usianya baru mencecah 13 tahun, namun sekumpulan tiga remaja sekolah sudah berani melakukan jenayah curi dan pecah kedai.
Kumpulan penjenayah muda itu bagaimanapun diberkas selepas didapati memecah masuk sebuah gerai makan di Jalan Bukit Beruntung - Rasa dekat Taman Seroja di sini, Rabu lalu.
Malah, hasil siasatan polis turut mendapati dua daripada mereka memiliki rekod jenayah lampau iaitu mencuri komponen motosikal sebelum ini.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan R Supramaniam berkata, ketiga-tiga remaja terbabit ditahan polis, namun salah seorang daripada mereka dibebaskan sementara dua lagi masih ditahan untuk membantu siasatan.
“Dua yang masih ditahan itu terbabit dalam kes mencuri motosikal dan komponen motosikal.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 (a)(1) kerana terbabit dalam kes curi komponen motosikal,” katanya di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2015 @ 10:42 AM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/48613#sthash.xlHl5o7U.dpuf

1,043 tunggu hukum mati

Kota Bharu: “Kira-kira 1,043 orang daripada 51,000 banduan yang dipenjarakan, menunggu untuk menjalani proses hukuman gantung,” kata Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia Datuk Seri Zulkifli Omar.
Beliau berkata, semua mereka ditempatkan di beberapa penjara dan menunggu tempoh sesuai untuk menjalani hukuman terbabit mengikut keputusan dibuat mahkamah.
Katanya, kebanyakan pesalah dihukum kerana kes pengedaran dadah, membunuh dan kesalahan senjata api.
“Mereka ada yang menunggu proses rayuan di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi sebelum memohon pengampunan Yang di-Pertuan Agong
“Kesalahan mereka adalah mengikut Seksyen 38B, Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 302, Kanun Keseksaan dan Akta Senjata Api 1960,” katanya dalam sidang media di Dewan Tan Sri Murad Ahmad, Penjara Pengkalan Chepa di sini, semalam.
Terdahulu beliau menyampaikan bantuan kepada kakitangan Jabatan Penjara Malaysia di Kelantan yang terjejas akibat banjir hujung, tahun lalu.
Seramai 71 kakitangan menerima bantuan berbentuk mesin basuh, televisyen dan peti sejuk sumbangan Persatuan Orang Kota Bharu (POKB).
Turut hadir, Presiden POKB Datuk Sheikh Ahmad Dasuki Mohamad.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, sebanyak 46 peratus daripada jumlah keseluruhan bantuan dihukum kerana penyalahgunaan dadah.
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2015 @ 10:40 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/48611#sthash.3Hupof1K.dpuf

Trauma duduk dalam rumah

RIHANA Balami, 17, berjalan keluar dari pekarangan rumahnya yang runtuh selepas mencari buku sekolahnya.
Kathmandu: Sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan, di sini, pasukan misi bantuan perubatan Kelab Ekspedisi Global dibahagikan kepada dua pasukan kecil bagi melaksanakan tugas merawat mangsa gempa di kawasan pedalaman di Wilayah Bidur dan Gorkha.
Kedua-dua wilayah berkenaan antara kawasan terjejas teruk akibat gempa bumi 10 hari lalu.
Saya yang berkesempatan ke lokasi gempa bumi selama 12 hari bersama pasukan perubatan akan cuba menyelami kesukaran dihadapi mangsa selain kegigihan pegawai perubatan yang sanggup mengambil cuti demi menjadi sukarelawan.
Sekalipun hanya berjumlah 10 orang dan dibahagikan kepada dua pasukan, mereka akan cuba merawat seramai mana mangsa bersama ubat-ubatan yang dibawa.
Saya juga berkesempatan meninjau lokasi di sekitar bandar ini yang terjejas teruk dalam gempa bumi minggu lalu dan mendapati kerja membersihkan runtuhan untuk mencari mayat masih dilakukan.
Usaha mencari mereka yang masih hidup mungkin mustahil dan tumpuan kini hanya membersihkan runtuhan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2015 @ 10:34 AM



- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/48605#sthash.AMWdDD0O.dpuf

Lima beranak terjunam dalam gaung


Penampang: Seorang wanita yang hamil tiga bulan bersama empat anaknya terselamat walaupun kereta yang mereka naiki hilang kawalan lalu terjunam dalam gaung hampir 10 meter di Jalan Papar Lama berhampiran Kampung Lok Kawi Baru dekat sini, semalam.
Kejadian kira-kira jam 8 pagi itu berlaku ketika pemandu Perodua Kancil Dianah Kahar, 38, bersama empat anaknya, Mohd Farid Mazlan, 8; Mahira Afiqah, 7; Mohd Danish, 4; dan anak bongsu Myra Nur Habisyah, 2, dalam perjalanan dari arah Papar menuju Penampang.
Dalam kejadian itu, Dianah cedera di bahu dan pinggang sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) oleh anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil manakala empat anaknya hanya cedera ringan dan dirawat di hospital sama sebagai pesakit luar.
Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Azmir Abdul Razak berkata, siasatan awal mendapati kereta dinaiki lima sekeluarga itu dalam perjalanan dari arah Papar menuju Penampang sebelum hilang kawalan lalu terjunam dalam gaung di tempat kejadian.
“Akibat kejadian itu, pemandunya yang cedera di bahu dan pinggang bersama empat anaknya dihantar ke HQE dengan ambulans JPAM Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Katanya, ketika kejadian jalan licin kerana hujan renyai-renyai menyebabkan kereta dipandu Dianah hilang kawalan sebelum terbabas dan terjunam dalam gaung.
“Bagaimanapun, kejadian tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa dan pemandu bersama keluarganya terselamat dan hanya cedera,” katanya.
Sementara itu, Pegawai JPAM Kota Kinabalu Hazle Shah Abdul Hamid berkata, sebaik menerima laporan, lapan anggota JPAM Kota Kinabalu bergegas ke lokasi kejadian untuk memberikan bantuan dan sebaik tiba, semua mangsa yang berada dalam Perodua Kancil berjaya dikeluarkan orang awam.
“Semua mangsa kemudian dibawa ke HQE dengan ambulans JPAM untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/48583#sthash.i8rveKNY.dpuf

Bot karam lebih muatan

Kinabatangan: Membawa lebih muatan selain arus deras dipercayai punca bot dinaiki lima sekeluarga dengan membawa benih kelapa sawit karam menyebabkan seorang daripada mereka dikhuatiri lemas dalam kejadian di Sungai Kinabatangan berhampiran Kampung Buang Sayang di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 12.10 tengah hari itu, mangsa Mohd Taufik Yusuf, 19, penuntut sebuah universiti di Kuala Lumpur dipercayai hanyut dibawa arus deras manakala bapa, datuk serta dua bapa saudaranya berjaya menyelamatkan diri.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superintendan A Sahak Rahmat berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama bapa, datuk dan dua bapa saudaranya cuba menyeberangi sungai menggunakan bot dengan membawa benih kelapa sawit.
“Bagaimanapun, bot dinaiki tiba-tiba karam menyebabkan semua mangsa hanyut dibawa arus deras.
“Namun, empat mangsa berjaya berenang ke tebing manakala Mohd Taufik gagal ditemui,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2015 @ 10:06 AM



Anggota bomba dan penyelamat menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/48576#sthash.4ihyLIwQ.dpuf

Tangisan syahdu

Baling: “Pada mulanya, kami menyangka suara anak kucing tetapi berasa tidak sedap hati lalu menghampiri kawasan itu sebelum melihat seorang bayi lelaki sedang menangis lalu kami menyelamatkannya.”
Begitu kata Ketua Ronda Skim Rondaan Sukarela (SRS), Mohd Najib Abdul Hamid, 54, apabila menemui bayi lelaki cukup sifat dan masih bertali pusat dipercayai baru dilahirkan sebelum dibuang berdekatan pokok pisang di belakang sebuah rumah di Kampung Charok Kapas, Kuala Pegang, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi, Mohd Najib bersama tiga rakan lain sedang melakukan rondaan di kawasan itu untuk menjaga keselamatan sebelum mereka dikejutkan dengan suara tangisan kuat.
Mohd Najib berkata, sebelum itu, mereka ternampak sebuah motosikal memasuki kawasan kampung lalu mengekorinya untuk memantau sebelum tiba-tiba terdengar suara tangisan yang disangkakan anak kucing.
Menurutnya, mereka juga berasa sesuatu yang pelik lalu mendekati kawasan itu dan terkejut melihat ada bayi dalam keadaan bogel dipercayai baru dilahirkan hanya diletakkan di atas tanah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2015 @ 10:21 AM


PENDUDUK menunjukkan lokasi bayi berkenaan ditemui.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/48593#sthash.mgB9BhRK.dpuf

Gempur acara hina Islam

Texas: Dua lelaki bersenjata ditembak mati polis selepas menyerang acara pertandingan melukis kartun Nabi Muhammad (SAW) yang menawarkan hadiah utama AS$10,000 (RM36,000) di Garland dan turut dihadiri ahli politik Belanda Geert Wilders yang terkenal anti-Islam.
Acara dianjurkan kumpulan Inisiatif Pertahanan Kebebasan Amerika (AFDI) yang juga terkenal lantang mengkritik Islam.
Menurut polis, dua lelaki memandu ke lokasi itu dan menembak pengawal keselamatan yang cedera ringan di buku lali.
“Polis membalas tembakan dan dua lelaki terbabit maut,” kata kenyataan dikeluarkan bandar Garland.
Kejadian hanya berlaku beberapa minit.
Seorang suspek dikenal pasti sebagai Elton Simpson dari Arizona yang memang disiasat untuk kes berkaitan dengan keganasan. Rakannya yang belum dikenal pasti dipercayai jirannya. Negara Islam (IS) di Twitter mendakwa dua individu itu penyokong perjuangannya.
Pejuang IS Abu Hussain Al-Britani mendakwa: “Dua saudara kita baru melepaskan tembakan di pameran Nabi Muhammad di Texas.
“Mereka menyangka Texas selamat daripada Askar Negara Islam.”
Kejadian itu berlaku hanya beberapa minit sebelum acara berkenaan tamat dan Wilders turut sempat membuat ucapan.
“Saya terkejut. Saya berucap setengah jam mengenai kartun dipamerkan, Islam dan kebebasan bersuara serta baru meninggalkan premis berkenaan,” katanya.
Kali terakhir imej mempersendakan Nabi Muhammad (SAW) pada Januari lalu dalam akhbar satira Perancis Charlie Hebdo melihat 17 orang mati dibunuh - termasuk 12 di pejabat majalah itu - selepas serangan oleh dua lelaki bersenjata.
Jurucakap polis Joe Harn berkata kira-kira 200 orang menghadiri acara itu yang sebelum ini mendapat kecaman anti-Islam walaupun penganjurnya mendakwa mempunyai hak kebebasan bersuara.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2015 @ 7:55 AM


POLIS mengawal tempat kejadian.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/48519#sthash.DXL13dyo.dpuf

Telinga hampir putus, jari patah

Kota Bharu: Malang berganda buat dua peragut apabila bukan hanya gagal melarikan beg tangan yang diragut, malah turut dipukul orang ramai hingga cedera termasuk seorang daripadanya hampir putus telinga kiri dan patah satu jari kiri, kelmarin.
Kejadian berlaku di Perumahan Tanjung Chat, Pengkalan Chepa, di sini, jam 7 petang, ketika kedua-dua lelaki lingkungan 30-an itu cuba meragut beg tangan wanita lingkungan 50-an di hadapan rumah mangsa.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa berkata, ketika itu, mangsa membuka pagar untuk masuk ke rumahnya sebelum dihampiri dua lelaki menaiki motosikal Yamaha LC yang memakai topi keledar.
Katanya, seorang daripada lelaki itu merentap beg tangan di bahu mangsa dan melarikan diri menggunakan motosikal.
“Saudara dan anak mangsa yang melihat kejadian cuba membantu sebelum 10 minit kemudian orang ramai memaklumkan kepada mangsa mereka menangkap kedua-dua suspek 200 meter dari rumahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2015 @ 10:45 AM



KEADAAN peragut yang parah di telinga dan muka.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/48617#sthash.6EFUypic.dpuf

Tahan suspek culik cucu taikun tekstil

Hong Kong: Polis menahan seorang daripada enam suspek yang melarikan diri dengan wang tebusan HK$28 juta (RM100 juta) selepas menculik cucu seorang taikun tekstil minggu lalu.
Ketua Polis Hong Kong Komisioner Stephen Lo berkata, pihak berkuasa melakukan operasi besar-besaran memburu enam suspek selepas mangsa, Queenie Rosita Law, 29, dibebaskan sebaik wang tebusan berkenaan dibayar keluarganya.
Lo berkata, tangkapan berkenaan dibuat ketika operasi yang dilancarkan pagi semalam.
“Kami menangkap seorang daripada suspek yang mempunyai kaitan dalam kes penculikan di Lo Wu (pos pemeriksaan bersempadan dengan tanah besar China) pagi tadi,” katanya.
Menurut Stephen, usaha mencari lima lagi suspek diluaskan hingga ke tanah besar.
“Buat masa ini, kami berusaha mencari lima suspek lain dan bekerjasama dengan pihak berkuasa di China,” katanya. - AFP
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/48517#sthash.wd4WULO4.dpuf

Bongkah konkrit tutup pintu kereta api

Hamburg (Jerman): Pihak polis sedang memburu beberapa individu yang menutup pintu sebuah kereta api dengan menggunakan bongkah konkrit.
Tindakan itu menyebabkan syarikat kereta api berkenaan mengalami kerugian beribu-ribu pound.
Jurucakap polis berkata, suspek dipercayai menggunakan beberapa bongkah konkrit dan simen untuk menutup pintu kereta api berkenaan.
Suspek dipercayai menceroboh depoh simpanan kereta api pada waktu malam dan masuk ke dalam kereta api ini.
Perkara terbabit hanya dilaporkan oleh penumpang selepas kereta api berkenaan melepasi 12 stesen di bandar ini baru-baru ini.
Syarikat kereta api itu terpaksa menanggung kerugian yang tinggi kerana tindakan berkenaan menyebabkan kerosakan pada pintu gerabak.
“Kami kini meneliti rakaman kamera keselamatan di depoh simpanan untuk mengesan individu yang bertanggungjawab,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2015 @ 7:57 AM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/48521#sthash.E0X9y4T1.dpuf

Shanna dibenar diikat jamin

Kuala Lumpur: Mahkamah Majistret di sini, sebentar tadi, membenarkan bekas pelakon dan model sambilan, Shanna Avril yang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan perbuatan lucah di tempat awam di Jalan Petaling, diikat jamin RM7,000 selepas lapan hari wanita itu ditahan di penjara.
Majistret, Siti Radziah Kamarudin membenarkan Shanna atau nama sebenarnya Persana Avril Sollunda, 33, diikat jamin oleh adik lelakinya yang hadir dalam kes sebutan itu.
Tertuduh yang berasal dari Sabah itu memakai jaket hitam dan skirt putih.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Petaling, 2.07 petang, 23 April lalu.
Mahkamah turut meletakkan syarat tambahan supaya Shanna melapor diri di balai polis berhampiran dua minggu sekali, menyerahkan pasport serta dia dilarang meninggalkan Semenanjung sehingga kes selesai.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2015 @ 11:56 AM


SHANNA ketika berlalu keluar mahkamah. FOTO Mior Azlan Mior Kamarulbaid
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/48625#sthash.3UKVIOIg.dpuf

Jiran dengar bunyi letupan

Jiran dengar bunyi letupan
Zainol Fadzi (dua, kiri) menyerahkan bantuan Tabung Bencana Daerah kepada Mohd Ridwan.

TELUK INTAN - Seorang buruh kontrak hilang tempat berteduh apabila rumah peninggalan arwah ibu dan ayahnya hangus dalam kebakaran di Kampung Parit 15A, di sini, lewat petang kelmarin.

Ketika kejadian, mangsa Mohd Ridwan Ishak, 44, berada di rumah kakaknya di Langkap sebelum dimaklumkan jiran mengenai kebakaran itu.

Jiran, Sharifah Razmah Awang, 48, berkata, ketika kejadian, dia berada di halaman rumahnya dan tiba-tiba terdengar bunyi satu letupan dari arah rumah Mohd Ridwan.

Menurutnya, selepas beberapa ketika, dia melihat asap hitam keluar dari rumah Mohd Ridwan dan segera menghubungi bomba bagi meminta bantuan.

“Terkejut dengan apa yang terjadi, saya menghubungi bomba,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.

Hadir sama melawat Adun Sungai Manik,  Datuk Zainol Fadzi Paharuddin menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran.

Sementara itu, adik mangsa, Zulina Ishak, 41, berkata, dia bersyukur abangnya tidak berada di rumah pusaka tinggalan arwah ibu dan bapanya ketika kejadian.

Jelasnya, dia dimaklumkan, abangnya ketika itu berada di rumah kakak mereka di Langkap.

"Abang mempunyai masalah pembelajaran sejak kecil lagi mendapat bantuan  Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan malah bekerja di sekitar Langkap.

“Abang memang tinggal seorang diri di rumah ini tetapi kadang kala dia duduk di rumah kakak di Langkap,” katanya.

Sementara itu, Adun Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, pihaknya bersimpati dengan kejadian yang berlaku ke atas Mohd Ridwan,

Beliau turut menyerahkan bantuan berupa wang ringgit dari Tabung Bencana Daerah untuk meringankan beban mangsa.

Mak nyah pukul pelancong sampai berdarah

Mak nyah pukul pelancong sampai berdarah
Wichai Sripalang akan didenda atas kesalahannya itu. - Foto CEN

PATTAYA - THAILAND. Seorang mak nyah didakwa memukul seorang pelancong dari Ireland selepas menolak pelawaannya untuk melakukan hubungan seksual.

Menurut laporan yang dipetik Metro.uk, kejadian tersebut berlaku ketika Michael Merry, 55, sedang berjalan di sekitar kawasan pelancongan di Pattaya.

Michael disapa oleh mak nyah tersebut dan kemudian memujuknya untuk berseronok bersamanya.

Namun apabila Michael menolak permintaannya itu, mak nyah tersebut terus memeluk dan mencabulnya.

Tindakan mak nyah itu menyebabkan Michael bertindak menolak mak nyah itu sehingga terjatuh ke tanah.

Menurut jurucakap polis, kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Michael, mak nyah tersebut mengambil kasut tumit tingginya dan terus memukul Michael di kepala.

Serangan itu menyebabkan Michael mengalami pendarahan di kepala.

Mak nyah yang dikenali sebagai Wichai Sripalang, 24 masih berada di tempat kejadian ketika polis tiba dan akan didenda atas kesalahannya itu.

Kereta terbakar di lebuh raya

Kereta terbakar di lebuh raya
Api marak membakar kereta mangsa sebelum ketibaan pasukan bomba dan penyelamat.

LEDANG - Tindakan pantas pasukan Bomba dan Penyelamat Tangkak memadam kebakaran di bahagian enjin sebuah kereta jenis Subaru di sini, berjaya mengelakkan kenderaan itu daripada hangus, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 pagi di Kilometer 166 Lebuh Raya Utara Selatan (arah selatan) itu, pemandu kereta, seorang lelaki berusia 24 tahun terselamat tanpa sebarang kecederaan selepas berjaya menyelamatkan diri dengan keluar daripada kenderaan miliknya.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak, Tulus Suhanan berkata, seramai lima anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 6.19 pagi.

Menurutnya, apabila tiba di tempat kejadian, kenderaan tersebut sudah terbakar 30 peratus di bahagian enjin, sementara pemandunya sudah berada di bahu jalan dalam keadaan selamat.

“Kita ambil masa kurang 10 minit untuk padam api marak, sekali gus mengelakkan kebakaran merebak ke bahagian lain.

“Operasi tamat pada jam 7.10 pagi selepas pemeriksaan keseluruhan mendapati api telah padam sepenuhnya,” katanya.

Katanya, mangsa memberitahu kebakaran terjadi selepas dia terlanggar kereta Proton Waja yang berhenti di laluan kiri lebuh raya berkenaan selepas terbabit dalam kemalangan dengan kenderaan lain.

“Mangsa menyatakan dia tidak nampak Proton Waja itu berikutan keadaan agak gelap ketika kejadian.

"Akibat pelanggaran berkenaan, kereta Subaru terbabit hilang kawalan dan terbabas ke laluan kanan sebelum melanggar pembahagi lebuh raya.

“Susulan itu bahagian enjin kenderaan mangsa mengeluarkan api dan mangsa bertindak berlari ke bahu lebuh raya untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Katanya lagi, beliau difahamkan pemandu dan penumpang Proton Waja hanya cedera ringan dan dihantar ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan.

Tambahnya, insiden tersebut turut menyebabkan laluan di lebuh raya berkenaan terhalang sejauh 500 meter.

Wanita tulis surat ucap selamat tinggal

Wanita tulis surat ucap selamat tinggal
Reaksi Lindsay June Sandiford selepas perbicaraan beliau di Bali pada 28 November, 2012.
BALI - INDONESIA. Seorang warganegara Britain mula menulis surat kepada ahli keluarga terdekat sebagai persediaan untuk hukuman mati atas tuduhan menyeludup dadah.

Berdasarkan laporan Yahoo News, Lindsay June Sandiford, 58, percaya beliau akan dihukum mati pada bila-bila masa.

"Saya mungkin akan dikeluarkan dari penjara esok (untuk dijatuhi hukuman).

"Saya mula menulis surat selamat tinggal kepada ahli keluarga saya," lapor akhbar Britain, The Mail.

Sandiford juga merancang untuk menyanyikan lagu "Magic Moments" ketika berhadapan skuad penembak nanti.

"Saya tidak akan memakai penutup mata, bukan kerana saya berani, tapi kerana saya tidak mahu bersembunyi.

“Saya mahu mereka memandang saya ketika mereka menjalankan hukuman itu," luah Sandiford.

Sandiford dijatuhkan hukuman mati pada 2013 selepas didapati bersalah menyeludup dadah. Polis menemui kokain yang dianggarkan bernilai AS$2.4 juta (RM8,625,120) di dalam bagasi miliknya.

Dia dilaporkan mengaku menyeludup dadah tersebut dengan alasan dipaksa sebuah sindiket dadah yang mengugut untuk membunuh anaknya.

Minggu lepas, seramai tujuh orang warganegara asing dihukum mati atas kesalahan sama di Indonesia.

Difahamkan baru-baru ini, keluarga Sandiford mula mengumpul dana untuk mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi Indonesia.

Jika rayuan tersebut gagal, Sandiford masih mempunyai pilihan untuk memohon belas ihsan Presiden Indonesia, Joko Widodo.

Wanita Britain menghitung hari

Wanita Britain menghitung hari
Lindsay Sandiford

LONDON - BRITAIN. Seorang wanita Britain yang kini sedang menunggu hukuman mati di Indonesia sempat mengarang surat untuk mengucapkan selamat tinggal kepada keluarganya.

Lindsay Sandiford, 58, yakin dia akan menerima nasib sama seperti tujuh pengedar dadah yang dijatuhi hukuman mati pada minggu lalu.

"Hukuman tersebut pasti akan dilaksanakan pada bila-bila masa. Saya enggan memakai penutup mata kerana mahu mereka (skuad menembak) melihat saya ketika hukuman itu dilaksanakan.

"Perkara paling menyedihkan adalah kerana tidak dapat bertemu dengan cucu perempuan saya yang kini berusia dua tahun," menurut sebahagian luahan hati Sandiford yang dipaparkan dalam akhbar tempatan, kelmarin.   

Menurut AFP, pada 2013, wanita tersebut dijatuhi hukuman mati di Bali selepas dia didapati bersalah menyeludup kokain bernilai AS$2.4 juta (RM9 juta).

Sandiford mengaku bersalah atas pertuduhan terbabit dan memberitahu bahawa dia terpaksa melakukan perbuatan menyalahi undang-undang itu kerana sindiket dadah mengugut untuk membunuh anak lelakinya.

Difahamkan, keluarga wanita itu turut melancarkan kempen mengumpulkan dana untuk mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi Indonesia.
Sandiford masih boleh mengemukakan rayuan pengampunan daripada Presiden Joko Widodo.

Tiga pengedar ditahan di dua tanah rancangan

KOTA TINGGI 4 Mei – Satu lagi sindiket pengedaran dadah di sekitar kawasan Felda Air Tawar, dekat sini lumpuh dengan pe­nangkapan seorang pengedar dadah bersama beberapa jenis bahan terlarang itu Sabtu lalu.
Rahmat Othman
Rahmat Othman
Dalam serbuan pada pukul 12 tengah hari itu, suspek berusia 44 tahun ditahan di bilik tidurnya ketika sedang leka menghisap dadah dan pemeriksaan lanjut mene­mukan sebuah beg kain kecil me­ngandungi peket lut sinar.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Rahmat Othman berkata, antara kandungan beg tersebut ialah 96 gram heroin, 11 gram sya­bu, 70 pil yaba dan 20 pil erimin 5 yang dianggarkan untuk kegunaan kira-kira 100 orang penagih.

“Selain dadah yang dianggarkan bernilai RM23,000, polis turut menemui dompet milik suspek mengandungi wang tunai RM203, satu alat timbang digital dan dua buah te­lefon bimbit. Kita percaya suspek bergerak seorang diri.
“Bekalan dadah pula dipercayai diambil dari Ulu Tiram, Johor Bahru, namun polis masih menjalankan siasatan lanjut. Suspek memiliki tiga rekod lampau dadah dan kes di siasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Bahaya 1952,” katanya di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, kata Rahmat, sebuah lagi serbuan yang dijalankan di Felda Linggiu, dekat sini semalam membawa kepada penangkapan dua lagi suspek pengedar dadah ber­usia 41 dan 47 tahun.
Menurut beliau, serbuan pada pukul 8.30 pagi itu turut me­nemukan pelbagai jenis dadah iaitu heroin seberat 89 gram, syabu (32 gram) dan pil erimin 5 (tiga biji) dipercayai diperoleh dari Kelapa Sawit, Kulaijaya.
“Nilai dadah dalam pasaran RM38,000 dan bekalan boleh menampung sehingga 70 orang. Kedua-dua kes berkenaan tiada kaitan antara satu sama lain namun kita percaya kesemua dadah itu adalah untuk pasaran tem­patan,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/tiga-pengedar-ditahan-di-dua-tanah-rancangan-1.87816#sthash.GIdwoyvB.dpuf

Peragut teruk dibelasah telinga hampir putus




KOTA BHARU – Dua peragut bukan sahaja kempunan untuk menikmati hasil ragut malah salah seorang daripadanya hampir putus telinga kiri dibelasah oleh orang ramai yang geram dengan tindakan mereka meragut beg tangan seorang wanita dalam kejadian di Perumahan Tanjung Chat, Pengkalan Chepa dekat sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Rohaimi Md. Isa berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 7 petang itu, kedua-dua suspek telah memberhentikan motosikal jenis Yamaha LC yang ditunggang mereka di tepi jalan sebelum salah seorang daripada mereka turun manakala seorang lagi menunggu di atas motosikal.
“Suspek yang turun dari motosikal kemudian menghampiri seorang wanita berusia 50 tahun yang berada di hadapan rumahnya dan terus merentap beg tangan mangsa.
“Seorang saudara mangsa dan anak mangsa yang melihat kejadian itu cuba memberi bantuan, namun seorang lagi suspek datang membawa kayu dan memukul mereka sebelum ke­dua-dua suspek melarikan diri,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di sini semalam.
Menurutnya, kedua-dua suspek bagaimanapun berjaya ditangkap kira-kira 200 meter dari rumah wanita berkenaan oleh orang awam yang kebetulan berada di situ.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0505&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz3ZD6jtVDY 
Hakcipta terpelihara 

Tak sempat buat hemodialisis

 Oleh FARIK SALLEH
SAWATEE dan Saudah mati tersepit di dalam kereta Perodua Kancil selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 46, Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi semalam.


KOTA TINGGI – Perjalanan tiga orang pe­neroka Felda Air Tawar 1 untuk mendapatkan rawatan hemodialisis di sebuah klinik di Bandar Penawar berakhir de­ngan tragedi apabila kesemua mereka maut dalam kemalangan kira-kira pukul 10.45 pagi semalam.
Kemalangan berlaku di Kilometer 46, Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi berhampiran simpang masuk ke Kampung Teluk Sengat dekat sini.
Mangsa yang terbunuh ialah sepasang suami isteri, Satawee Dermawee, 65, dan Jamaliah Ismail, 59, serta jiran mereka, Saudah Yusof, 69.
Ketiga-tiga warga emas itu maut serta-merta selepas kereta Perodua Kancil yang dinaiki bertembung dengan sebuah kereta Proton Waja yang dipandu seorang anggota polis, Mohd. Adlizan Mohd. Taib, 29, yang datang dari arah bertentangan.
Mangsa, Satawee dan Saudah yang menghidap penyakit buah pinggang dijadualkan menjalani rawatan rutin hemodialilis tiga kali seminggu iaitu setiap hari Isnin, Rabu dan Jumaat di sebuah klinik di Bandar Penawar, kira-kira 25 kilometer dari Felda berkenaan.
Jamaliah yang berada di tempat duduk depan sekadar menemani suaminya memandu ketika kejadian berlaku.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0505&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz3ZD6SjcrF 
Hakcipta terpelihara