Search This Blog

Sunday, May 3, 2015

Gempa bumi Nepal: 7,040 disahkan terkorban

Gempa Bumi
Orang ramai membantu mangsa yang berjaya dikeluarkan daripada runtuhan sisa bangunan di Kathmandu selepas Nepal digegarkan gempa bumi berukuran 7.9 magnitud, semalam. - Foto EPA

KATHMANDU - NEPAL. Angka kematian dalam bencana gempa bumi yang melanda Nepal pada 25 April terus meningkat apabila pasukan penyelamat menemui lebih banyak mayat dari celah-celah runtuhan rumah pada Ahad.
  
Sehingga kini, 7,040 mayat mangsa ditemui dari celah-celah runtuhan dengan 6,650 daripadanya telah diserahkan kepada anggota keluarga untuk upacara keagamaan, kata pegawai di Pusat Operasi Darurat Negara (NEOC), yang ditubuhkan di bawah Kementerian Dalam Negeri untuk menyelaraskan operasi menyelamat dan bantuan.
  
Lebih banyak mayat mangsa ditemui dari celah-celah runtuhan pada Sabtu serta Ahad dan angka kematian mungkin meningkat memandangkan operasi menyelamat dijalankan untuk beberapa hari lagi, kata Laxmi Prasad Dhakal, jurucakap Kementerian Dalam Negeri.
  
Setakat ini bilangan mangsa yang cedera ialah 14,398 orang, menurut NEOC.
  
Dalam kejadian gempa bumi itu, sebanyak 315,557 rumah telah rosak dan daripada jumlah itu, 151,760 rumah musnah sama sekali.

Sementara itu, Dhakal berkata kerajaan telah mengeluarkan NPR 1.35 bilion (AS$1.35 juta) untuk diagihkan sebagai bantuan segera kepada keluarga mereka yang terkorban dan mangsa gempa bumi.
  
"Bantuan itu akan diberi kepada keluarga mereka yang terkorban dan penduduk lain yang terjejas sebagai bantuan segera untuk mengadakan upacara agama dan pembaikan kecil di rumah," kata Dhakal.
  
Kerajaan sebelum ini mengumumkan pakej bantuan kepada keluarga mereka yang terbunuh dan mangsa sebagai tindakan segera.
  
Kerajaan telahpun mengagihkan 6,312 kuintal beras, 345 kuintal garam dan 310 kuintal gula kepada mangsa gempa bumi, menurut para pegawai Kementerian Dalam Negeri.
  
Pada masa sama, kerajaan telahpun mengedarkan barangan sedia untuk dimakan seperti 900,132 kartun mi, 10,638 kuintal emping beras, 27,739 kotak biskut dan 6,298 kotak air botol di 30 kawasan yang terjejas teruk di Nepal.
  
Kerajaan menganggarkan angka kematian akan melepasi 10,000 orang. - Bernama

Harapan temui mangsa hidup tipis

Harapan temui mangsa hidup tipis
Mangsa gempa Nepal mengerumuni bantuan yang dijatuhkan dari helikopter di Kharibot, semalam.

KATHMANDU  - NEPAL. Kerajaan Nepal menolak kemungkinan untuk menemui lebih ramai mangsa yang masih hidup di bawah sisa runtuhan bangunan selepas gempa bumi melanda negara itu, minggu lalu.

Pada masa sama, pihak berkuasa mengumumkan angka kematian akibat gempa berukuran 7.8 pada skala Richter itu meningkat kepada 6,621 orang.

Difahamkan, usaha menyelamat dan mencari mangsa kini ditumpukan ke kawasan yang masih belum menerima bantuan kemanusiaan.

“Bencana ini sudah seminggu berlaku. Jadi, sekarang saya fikir tiada kemungkinan untuk menemui mangsa yang masih hidup.

"Apa pun, kami telah berusaha bersungguh-sungguh dalam usaha mencari dan menyelamat mangsa," kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Laxmi Dhakal, semalam.

Dhakal menambah, angka mangsa yang cedera dalam tragedi itu pula meningkat kepada 14,023 orang.

Difahamkan, lebih 100 orang terkorban di negara jiran India dan China.

Beribu-ribu mangsa yang terselamat di Nepal kini mendirikan khemah di kawasan terbuka kerana bimbang dengan gempa susulan. - AFP

Kejam tak terhingga

Songkhla: Pihak berkuasa Thailand menjumpai 32 kubur di satu kawasan hutan di sini semalam yang dipercayai mengandungi mayat imigran Rohingya dan Bangladesh yang menjadi mangsa sindiket penyeludupan manusia.
Kubur itu dijumpai di satu kem di wilayah Sadao yang bersempadan dengan Malaysia.
Kawasan itu sering dijadikan kem rahsia oleh sindiket penyeludupan manusia dan imigran biasanya ditahan bagi menuntut wang tebusan daripada keluarga mangsa.
Seorang anggota penyelamat, Sathit Thamsuwan berkata, seorang lelaki Bangladesh yang kurus kering ditemui di kem berkenaan dan dihantar ke sebuah hospital di Padang Besar di Malaysia.
“Kami menjumpai sebanyak 32 kubur dan empat mayat sudah dikeluarkan serta dihantar ke hospital untuk bedah siasat.
“Semua mayat dijumpai dalam keadaan reput,” katanya.
Media semalam melaporkan, kem dan lelaki Bangladesh itu ditemui oleh penduduk kampung yang masuk ke hutan untuk mencari cendawan.
Beberapa mayat juga dilapor ditemui terbiar mereput di atas tanah.
Ketua Polis Thailand, Somyot Poompanmoung pula menggambarkan lokasi itu seperti penjara kerana imigran dikurung di dalam sel yang diperbuat daripada buluh.
“Terdapat 32 tempat yang kelihatan seperti kubur dan kami masih tidak mengetahui kubur itu mengandungi satu atau lebih mayat,” katanya.
Ujarnya, penyeludup dipercayai meninggalkan lelaki Bangladesh yang sakit itu selepas mereka membawa imigran Rohingya menyeberangi sempadan Malaysia dua hari lalu.
Bagaimanapun, punca kematian semua mangsa itu masih belum dapat dipastikan.
Lelaki Bangladesh itu dilaporkan terselamat dan berada dalam keadaan stabil.
Seorang pegawai polis di Sadao memberitahu pihak berkuasa menunggu pasukan forensik untuk menggali kubur berkenaan.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2015 @ 8:12 AM


BEBERAPA anggota polis berkawal di kem rahsia yang dibina sindiket penyeludupan manusia.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/47832#sthash.FOn36SZF.dpuf

Enam polis dituduh bunuh Gray

Baltimore: Enam anggota polis didakwa atas pelbagai tuduhan termasuk bunuh dan mencederakan remaja kulit hitam, Freddie Gray.
Pendakwa Negeri Marilyn Mosby berkata, keputusan itu - yang disambut sorakan penduduk di bandar yang melihat ketegangan sejak seminggu lalu - dibuat selepas mendapati penahanan Gray tidak sah dan tidak wajar dilakukan.
Tengkuk Gray juga didapati patah selepas dia digari, dirantaikan dan ditolak masuk kepala dulu ke dalam ruang sempit di belakang van polis tanpa menghiraukan rayuannya untuk mendapat bantuan perubatan.
Katanya, tiada sebab untuk polis menahan atau mengejar Gray, malah membuat tuduhan palsu bahawa dia membawa pisau yang menyalahi undang-undang sedangkan mangsa cuma membawa pisau lipat yang bukannya satu kesalahan.
Dia juga tidak dipakaikan tali pinggang keledar - perbuatan yang melanggar polisi jabatan polis - selain berhenti untuk mengambil penumpang lain tanpa mengendahkan permintaan Gray untuk dirawat.
Selain itu, katanya, anggota terbabit mempunyai lima peluang untuk membantu mangsa sebelum mereka akhirnya tiba di balai polis. Namun, ketika itu Gray sudah tidak bernyawa.
“Gray mengalami kecederaan leher yang kritikal akibat digari tangan serta dirantai kakinya tanpa badannya dipakaikan tali pinggang keselamatan ketika dibawa menaiki kenderaan polis,” katanya.
Sementara itu, ayah tiri Gray, Richard Shipley berkata, keluarganya berpuas hati dengan keputusan itu.
“Kami amat gembira. Tuduhan dikemukakan memang langkah pertama dalam memastikan keadilan untuk Freddie,” katanya.
Enam polis terbabit menyerah diri dan kini dibebaskan dengan jaminan antara AS$250,000 (RM899,000) hingga AS$350,000 (RM1.3 juta). Ada antara mereka berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun jika sabit kesalahan. - AP
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2015 @ 7:49 AM


Enam anggota yang dikenal pasti sebagai (dari kiri ikut arah jam) Caesar Goodson Jr, Garrett Miller, Edward Nero, Alicia White, Brian Rice dan William Porter.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/48022#sthash.6wa66gfG.dpuf

‘Mana ada?’

Jakarta: Bekas peguam kumpulan pengedaran dadah Bali Nine, Muhammad Rifan menafikan dia ditahan atau menghadapi soal siasat polis Indonesia berhubung dakwaan rasuah dibuatnya terhadap hakim yang menjatuhkan hukuman mati terhadap anak guamnya.
Isnin lalu, Muhammad mencetuskan kontroversi apabila menuduh barisan hakim yang membuat keputusan berkenaan meminta rasuah 1 bilion rupiah (RM276,000) untuk mengurangkan hukuman anak guamnya Andrew Chan dan Myuran Sukumaran kepada tempoh penjara kurang dari 20 tahun.
Dia mendakwa ‘persetujuan’ itu terbatal selepas pihak berkuasa dan perundangan kanan di Jakarta mengarahkan hakim - membabitkan dua panel dengan masing-masing tiga orang - menjatuhkan hukuman mati.
Beberapa laporan media mendakwa Muhammad ditahan dan berdepan tuduhan membuat kenyataan palsu tanpa bukti sah. Bagaimanapun, berita itu dinafikan Muhammad sendiri yang menegaskan dia masih di rumahnya di Bali.
“Saya tidak ditahan dan belum dipanggil sesiapa berhubung kenyataan itu. Malah pihak yang melaporkan berita itu juga sudah memohon maaf kerana menyiarkannya” katanya.
Muhammad menjadi peguam pertama Myuran dan Chan mewakili mereka ketika dijatuhkan hukuman mati di Mahkamah Daerah Denpasar pada 2006.
Dakwaan rasuahnya itu dinyatakan dalam surat yang dihantar peguam baru Myuran serta Chan kepada Suruhanjaya Kehakiman Indonesia, Februari lalu, bagi mendesak siasatan dilakukan.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2015 @ 7:52 AM


MUHAMMAD
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/48025#sthash.rBd5oCDn.dpuf

Tiada harapan

kathmandu: Kerajaan Nepal semalam menolak sebarang kemungkinan untuk menemui lebih banyak mangsa masih hidup di bawah runtuhan akibat gempa bumi yang membunuh lebih 6,700 nyawa di negara itu, seminggu selepas dilanda gempa paling buruk dalam tempoh lebih 80 tahun.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Laxmi Prasad Dhakal berkata: “Sudah seminggu sejak bencana berlaku. Kami mempergiat usaha dalam operasi menyelamat dan bantuan, tetapi saya fikir tidak mungkin masih ada yang masih hidup di bawah runtuhan itu,”
Katanya, kini usaha lebih menumpukan kaedah menghantar bekalan kepada mangsa terselamat di kawasan terpencil yang masih belum menerima sebarang bantuan.
Laxmi berkata, jumlah kematian kini meningkat kepada 6,621, dan mangsa yang mengalami kecederaan 14,023.
Walaupun pelbagai pasukan penyelamat dari lebih 20 negara terbabit dalam usaha menyelamat dengan menggunakan anjing pengesan dan peralatan mengesan haba, tiada mangsa masih hidup berjaya dikeluarkan sejak Khamis lalu.
Lebih 100 orang dilaporkan terbunuh di India dan China akibat bencana berkenaan.
Kerosakan dan kematian sebenar akibat bencana masih belum dapat disahkan secara rasmi termasuk 1,000 penduduk Kesatuan Eropah (EU) - dipercayai mendaki di sekitar Himalaya - yang masih belum dapat dikenal pasti nasib mereka.
Sementara itu, penduduk yang terjejas turut menceritakan pengalaman mereka.
“Hampir setiap rumah di kampung saya musnah dan 20 terbunuh. Kami kehilangan semua haiwan ternakan,” kata Kumar Ghorasainee.
Seorang guru bahasa Inggeris berusia 33 tahun berkata, sekolah di kampungnya runtuh.
“Tiada sesiapa datang untuk selamatkan kami. Lori bantuan dan kereta hanya berlalu pergi, jadi bagaimana kami mahu mengendalikan situasi ini?” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mei 2015 @ 7:54 AM


Seorang wanita Nepal meminta sedekah di Kathmandu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/48027#sthash.iSbCyETT.dpuf

Pegawai polis dikhuatiri lemas



BUMPER hadapan kereta Proton Waja yang ditemui pasukan penyelamat di Jalan Meranti 7, Taman Prima, Puchong semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang pegawai polis dikhuatiri lemas selepas kenderaan jenis Proton Waja milik pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terbabas ke dalam lombong di Jalan Me­ranti 7, Taman Prima, Puchong kira-kira pukul 9.55 malam kelmarin.
Menurut sumber, maklumat awal kejadian itu menyatakan, sebuah kereta dipandu laju sebelum dilihat terjunam ke dalam lombong terbiar ber­kenaan.
“Kata saksi, dia nampak sebuah kereta dipandu laju dari arah Putra Perdana menghala ke lombong yang berada di hadapan dan terus menjunam ke dalam lombong tersebut,” katanya ketika dihubungi semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0503&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz3Z1vm7Ik8 
Hakcipta terpelihara 

Ajal serentak tiga beranak



AHLI keluarga mangsa tidak dapat menahan kesedihan semasa jenazah tiga beranak itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Gombak semalam.


KUALA LUMPUR – Perjalanan pulang tiga beranak selepas menghadiri majlis perkahwinan berakhir dengan tragedi apabila ketiga-tiga mereka terkorban dalam satu kemalangan ngeri di Kilometer 6.2, Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (DUKE) di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 1.05 pagi itu, kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Pajero Sport dipandu ahli perniagaan, Fairuz Nizam Husain, 35, bergesel dengan sebuah kereta Perodua Myvi sebelum dirempuh sebuah lagi kereta jenis sama yang dipercayai dipandu laju.
Perlanggaran menyebabkan kenderaan SUV itu berpusing beberapa kali sebelum mangsa bersama isteri, Nova Safitri Azhari, 27, dan bayi perempuan berusia tujuh bulan, Nur Firuza Annisa Fairuz Nizam tercampak keluar kira-kira lima meter daripada kenderaan itu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0503&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz3Z1vUmpM2 
Hakcipta terpelihara 

60 ekor kambing mati disyaki termakan racun



Sebahagian kambing milik Abdul Razak yang mati selepas dipercayai termakan racun di kebun sawit Felda Gugusan Raja Alias Satu, Jempol kelmarin.


JEMPOL – Seorang penternak kambing menanggung kerugian lebih RM24,000 apabila 60 ekor haiwan itu mati disyaki termakan racun tikus.
Abdul Razak Musa, 59, mendakwa, kejadian di Felda Gugusan Raja Alias Satu di sini itu berlaku secara berperingkat-peringkat sejak 25 April lalu.
“Pada awalnya, tiga ekor kambing ternakan saya mati di dalam kandang (kawasan kebun sawit), jadi saya tidak menganggap ia perkara serius, namun apabila hampir setiap hari ada ternakan mati saya mula bimbang,” katanya ketika ditemui di Felda Gugusan Raja Alias Satu di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0503&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz3Z1vHCrfK 
Hakcipta terpelihara 

Bayi 8 bulan maut disyaki didera


ALOR SETAR – Seorang bayi lelaki berusia lapan bulan maut disyaki didera oleh keluarga angkatnya di rumah mereka di Taman Rasa Sayang, Jitra di sini semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Nashir Ya berkata, bayi itu dipercayai dihantar ke Jabatan Kecemasan Hospital Jitra oleh keluarga angkatnya dalam kea­daan tidak sedarkan diri kerana sawan kira-kira pukul 12.10 pagi semalam.
“Bagaimanapun, pegawai perubatan yang merawatnya mengesyaki sesuatu selepas melihat beberapa kesan lebam di kepala, badan dan kaki mangsa.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0503&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz3Z1v20Tdt 
Hakcipta terpelihara 

Nepal tumpu agih makanan


SEORANG lelaki mengutip semula beras dari kawasan rumahnya yang runtuh akibat dilanda gempa bumi di Bhaktapur, Nepal semalam. - REUTERS


KATHMANDU – Kerajaan Nepal mula mengalih tumpuan daripada operasi mencari dan menyelamat kepada menyalurkan bekalan makanan serta barangan keperluan selepas seminggu gempa bumi melanda negara itu.
Para pegawai berkata, pada masa ini proses mengagihkan barangan keperluan tidak begitu berkesan kerana keutamaan diberikan kepada operasi menyelamat mangsa-mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan akibat gempa pada 25 April lalu.
“Sukar untuk mengendalikan dua perkara dalam satu masa. Oleh itu, fokus kini akan diberikan kepada kerja-kerja menyalurkan bantuan,” kata Ketua Angkatan Tentera Nepal, Jeneral Gaurav Shumsher Rana.
Sementara itu, Kementerian Kewangan memberitahu bahawa Nepal masih belum menerima bantuan dalam bentuk wang daripada penderma antarabangsa.
Nepal pada masa ini telah mengeluarkan dana sendiri sebanyak AS$15 juta (RM53.9 juta).
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Laxmi Dhakal pula mengesahkan jumlah kematian sehingga kelmarin meningkat kepada 6,624 orang, manakala lebih 14,000 orang cedera.
“Keutamaan sekarang adalah terhadap penghantaran makanan dan barangan keperluan terutama di daerah yang terjejas teruk seperti Dolakha dan Sindhupalchowk,” kata Dhakal.
“Bagaimanapun kita tetap akan membantu jika ada laporan mengenai mangsa yang masih hidup di bawah runtuhan. Adalah suatu yang luar biasa jika ada yang terselamat selepas seminggu gempa melanda,” katanya lagi.
Gempa bumi dengan kekuatan 7.8 magnitud pada 25 April lalu merupakan yang terbesar melanda Nepal selepas kali terakhir berlaku lebih 80 tahun lalu. – Dpa


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0503&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3Z1udr7zU 
Hakcipta terpelihara 

Tiga lagi mayat reput ditemui di sempadan Thailand



ANGGOTA forensik memeriksa tengkorak yang dikeluarkan dari kubur besar sebuah kem hutan yang terletak berdekatan sempadan Malaysia di daerah Sadao, wilayah Songkhla, Thailand semalam. - AFP


PADANG BESAR, Thailand – Sekurang-kurangnya tiga mayat reput dipercayai milik pendatang dari Myanmar atau Bangladesh ditemui selepas pihak berkuasa menggali kubur besar di sempadan Thailand-Malaysia semalam.
Usaha itu dilakukan bagi mengesan kemungkinan wujud penganiayaan dalam kes penyeludupan manusia di kem pendatang tersebut, menurut pemberita AFP yang berada di tempat kejadian.
Pada masa ini, pasukan forensik Thailand berusaha menggali semula rangka manusia yang masih baharu dari kubur cetek yang hanya mempunyai kedalaman beberapa meter selain ditutup dengan buluh di kem hutan yang ditinggalkan di daerah Sadao dalam wilayah Songkhla itu.
Jumaat lalu, pihak berkuasa menemui sekurang-kurangnya lapan mayat lain dan polis sedang menyiasat lebih 20 lagi kubur di kawasan berkenaan yang hanya terletak beberapa ratus meter dari sempadan Malaysia.
Sementara itu, dua orang pendatang berumur antara 25 dan 35 tahun yang ditemui di kawasan itu memberitahu doktor bahawa mereka telah berada selama beberapa bulan di kem tersebut walaupun dalam ke­adaan sakit dan hanya mempunyai sedikit makanan.
“Kedua-dua mereka kekura­ngan nutrisi, mempunyai kudis dan kutu,” ujar doktor di Hospital Padang Besar, Kwanwilai Chotpitchayanku.
Punca kematian pendatang asing tersebut masih belum dikenal pasti, namun Ketua Polis Thailand telah menyifatkan kawasan itu sebagai ‘penjara maya’ apabila dikosongkan hanya beberapa hari sebelum diketahui umum. Pendatang yang sakit dan hampir mati pula ditinggalkan di kem tersebut. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0503&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3Z1uPvoeL 
Hakcipta terpelihara 

Wanita koma lahirkan bayi



BAYI yang dinamakan Angel ini dilahirkan oleh ibunya yang sedang koma. - AGENSI


OMAHA, Nebraska – Sekumpulan doktor di sini mencipta sejarah tersendiri baru-baru ini apabila berjaya membantu kelahiran seorang bayi meskipun ibunya telah tujuh minggu koma selepas mati otak.
Wanita tersebut, Karla Perez, 22, sebelum ini disahkan mengalami intracranial haemorrhage atau mati otak selepas mengadu sakit kepala dan jatuh pengsan di rumahnya di Waterloo pada awal Februari lalu.
Keluarga Perez telah memohon doktor di Hospital Wanita Methodist tersebut supaya berusaha menyelamatkan bayi yang berusia 22 minggu dalam kandungannya.
“Keadaan bayi Perez adalah baik, namun usia kandungan itu terlalu awal untuk dia dilahirkan. Selepas mendapat persetujuan daripada keluarga Perez, kandungannya dijaga sehingga bayi tersebut mencapai usia matang untuk dilahirkan secara pembedahan Caesarean,” ujar salah seorang doktor yang merawat Perez, Dr. Andrew Robertson.
Bayi perempuan Perez yang diberi nama Angel itu lahir dengan berat 1.26 kilogram, manakala mesin sokongan hayat ibunya ditutup dan dia meninggal dunia selepas itu. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0503&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3Z1u6OgII 
Hakcipta terpelihara 

Nur Fitri dipenjara kerana bahan lucah


Nur Fitri merupakan pelajar pintar yang mula mengikuti pengajian di United Kingdom tahun lalu.


KUALA LUMPUR – Pelajar genius matematik Malaysia, Nur Fitri Azmeer Nordin, 23, dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Southwark Crown, London pada Khamis lalu atas kesalahan memiliki lebih daripada 30,000 gambar dan klip video lucah kanak-kanak tahun lepas.
Menurut laporan portal berita United Kingdom (UK), International Business Times, Nur Fitri telah disabitkan dengan 17 kesalahan memiliki, membuat dan menyebarkan gambar-gambar lucah kanak-kanak berkenaan serta mengaku melakukan kesalahan tersebut sehingga tarikh November 2014 di mahkamah yang sama.
Nur Fitri yang ditahan di kediamannya di Queensborough Terrace, Barat London, tiba di UK tahun lalu untuk menyambung pelajaran di Imperial College London.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0503&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz3Z1tefKzs 
Hakcipta terpelihara 

Buruh binaan disamun RM4,000


KLANG 2 Mei – Hasrat seorang buruh binaan warga asing mengirim wang simpanan kepada keluarga­nya di kampung musnah apabila dia disamun ketika sedang berurusan di premis pengurup wang berlesen di Jalan Tengku Kelana, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, mangsa yang merupakan warga Sri Lanka mengalami kerugian berjumlah RM4,000 apabila wang tunai tersebut dilarikan tiga suspek yang mengacukan parang di lehernya.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ka­marulzaman Mamat berkata, sus­pek turut bertindak menggeledah laci kaunter pengurup wang terbabit dan melarikan wang tunai RM1,700.
“Tiga lelaki memakai topi ke­ledar, berjaket hitam dan bersenjatakan parang tiba-tiba menyerang seorang pelanggan di premis tersebut.
“Mangsa yang bimbang dengan keselamatan nyawanya terus menyerahkan wang tunai berkenaan kepada suspek yang kemudiannya melarikan diri dengan tiga buah motosikal,” katanya ketika dihu­bungi di sini hari ini.
Menurut Kamarulzaman, mang­sa tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Polis kini melancarkan gerakan memburu ketiga-tiga lelaki terbabit dan akan melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari premis pengurup wang itu. Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan,” jelasnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/buruh-binaan-disamun-rm4-000-1.87175#sthash.rqTofqxG.dpuf

Mayat bayi dengan uri ditemukan dekat masjid


SEBERANG PERAI 2 Mei – Mayat seorang bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan ditemukan di hadapan Bangunan TNB Jalan Baru, di sini hari ini.
Difahamkan dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah hari itu, mayat bayi terbabit ditemukan orang awam yang melalui jalan di hadapan Bangunan TNB tersebut sebelum melaporkannya kepada polis.
Ketika ditemukan, mayat bayi terbabit diletakkan di dalam beg plastik berwarna hitam dan ditinggalkan di lokasi yang hanya berjarak kira-kira 100 meter dari Masjid Jamek Jalan Baru.
Mayat bayi terbabit seterusnya dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Rusli Mohd. Noor mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu siasatan lanjut sedang dijalankan.
Katanya, polis juga sedang berusaha mengesan ibu bayi terbabit.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan,” katanya di sini hari ini.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/mayat-bayi-dengan-uri-ditemukan-dekat-masjid-1.87177#sthash.VLpk05EY.dpuf

Bayi lelaki lapan bulan dipercayai didera meninggal dunia


Ahli keluarga bayi lelaki berusia lapan bulan yang meninggal dunia
Ahli keluarga bayi lelaki berusia lapan bulan yang meninggal dunia dipercayai didera menunggu proses bedah siasat di Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, semalam. MINGGUAN/ISMAIL KAMADIN
ALOR SETAR 2 Mei – Seorang bayi lelaki berusia lapan bulan yang dipercayai didera meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Nashir Ya berkata, bayi itu sebelum ini menerima rawatan di Hospital Jitra setelah dikejarkan pada pukul 12.10 tengah malam tadi, sebelum dihantar ke HSB pada pukul 11.55 pagi ini dan disahkan mening­gal dunia pada pukul 4.04 petang.
“Polis menerima aduan daripada pegawai perubatan Hospital Jitra pada pukul 9.57 pagi ini berhubung penerimaan seorang bayi berusia lapan bulan yang me­ngalami sawan.
“Semasa diperiksa terdapat beberapa kesan lebam di bahagian kepala, badan dan kaki manakala di paha kanan ada kesan luka lama. Tulang selangka kiri didapati patah,” katanya ketika dihubu­ngi di sini hari ini.
Mohd. Nashir berkata, sehubu­ngan itu polis menahan sepasang suami isteri berumur dalam 30 hingga 40-an di HSB yang me­ngaku sebagai ibu bapa angkat kepada mangsa untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/bayi-lelaki-lapan-bulan-dipercayai-didera-meninggal-dunia-1.87181#sthash.qtHHLlg7.dpuf

Enam pemandu Myvi diambil keterangan


MASZUREEN HADZMAN  |  03 Mei 2015 1:37 AM


KEADAAN kemalangan maut yang mengorbankan tiga beranak melibatkan kereta Pajero Sport yang dinaiki mereka berlanggar dengan dua buah Perodua Myvi sebelum terbalik di Kilometer 6.2, Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (Duke), Selangor, awal pagi semalam. IHSAN MEDIA SOSIAL

RELATED

Tiga sekeluarga, 
termasuk bayi maut
KUALA LUMPUR 2 Mei – Polis sedang menyiasat dakwaan enam pemandu Myvi berlumba sesama mereka sebelum berlaku kemalangan hingga mengorbankan sepasang suami isteri dan bayi mereka di Kilometer 6.2, Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (Duke), di sini awal pagi ini.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintenden S. Markandan berkata, pihaknya telah mengambil keterangan enam pemandu Perodua Myvi terbabit bagi mengetahui punca sebenar kemalangan itu.
Menurutnya, dua daripada me­reka telah diambil keterangan selepas ditahan di tempat kejadian manakala empat lagi menyerah diri di Balai Tun H.S Lee kira-kira pukul 6.30 petang ini.
Katanya, pihaknya juga telah mengambil keterangan seorang saksi yang turut berada di tempat kejadian.
“Siasatan akan dijalankan secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian. Dakwaan berlaku perlumbaan juga sedang disiasat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.05 pagi itu, mangsa, Fairuz Nizam Husain,35, yang memandu kenderaan pacuan empat roda Pajero Sport disahkan maut di tempat kejadian sementara isterinya, Nova Safitri Azhari, 27, dan bayinya yang berusia tujuh bulan, Nur Firuza Annisa yang turut tercampak ke jalan raya dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.
Menurut kenyataan beberapa blog yang menjadi viral di media sosial, kemalangan itu dipercayai berpunca daripada enam pemandu kereta Perodua Myvi yang didakwa ahli Familia Myvi Club (FMC) yang sedang berlumba dan kemudian berlanggar dengan Pajero Sport yang dinaiki tiga beranak berkenaan.
Kenyataan itu menyebabkan ahli FMC dikecam hebat oleh pengguna laman sosial lain.
Turut tersebar dan menjadi viral ialah kenyataan seorang wanita dikenali sebagai Yana yang mendakwa mewakili kelab terbabit dan menafikan ahli FMC terlibat dengan perlumbaan itu.
Sementara itu usaha Mingguan Malaysia mendapatkan kenyataan daripada FMC mengenai dakwaan tersebut gagal.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/enam-pemandu-myvi-diambil-keterangan-1.87210#sthash.c5mcMMb9.dpuf

Span tertinggal dalam perut, wanita saman hospital


Rachel ERCEG menyaman Hospital Memorial Northwestern berikutan
RACHEL ERCEG menyaman Hospital Memorial Northwestern berikutan kelalaian doktor meninggalkan span di dalam perutnya. AGENSI
CHICAGO 1 Mei – Seorang ibu memfailkan saman terhadap sebuah hospital, doktor, dan jururawat atas kecuaian meninggalkan span di dalam perutnya semasa melaksanakan pembedahan Cesarean pada tahun 2013 sehingga menyebabkannya menderita kesakitan.
Portal berita nbcchicago.com melaporkan, Rachel Erceg, 31, dan suaminya, Stephen Bryant mengemukakan saman itu di Mahkamah Circuit Cook County, Selasa lalu terhadap seorang doktor dan dua kakitangan Dewan Bersalin Sakit Puan, di Hospital Memorial Northwestern, Amerika Syarikat.
Menurut dokumen saman itu, Erceg mendakwa dia menjalani proses bersalin secara pembedahan pada 3 Disember 2013 di dewan bersalin itu yang dilakukan kakitangan Jabatan Obstetrik dan Ginekologi.
Semasa pembedahan itu, span Laparotomy (pembedahan terbuka dengan insisi yang lebih besar) tertinggal di dalam perutnya.
Tambah kenyataan dokumen itu lagi, wanita tersebut kemudian dibenarkan keluar daripada hospital tiga hari kemudian, namun terpaksa berjumpa doktor sebanyak lapan kali kerana mengalami sakit perut, demam, dan simptom-simptom lain.
Katanya lagi, dia tidak pernah menjalani sebarang pemeriksaan sinar X-Ray dan pengimbas tomografi berkomputer (CT Scan).
“Span itu dibuang dalam satu pembedahan lain pada 7 Mei tahun lalu iaitu selepas lima bulan kemudian,” ujarnya.
Erceg dan suaminya, menuntut sekurang-kurangnya AS$1.6 juta (RM5.8 juta) ganti rugi.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/span-tertinggal-dalam-perut-wanita-saman-hospital-1.86851#sthash.wB8CUT2g.dpuf