Search This Blog

Saturday, May 2, 2015

32 lubang tanam mayat warga Rohingya ditemui


32 lubang tanam mayat warga Rohingya ditemui
Gambar hiasan.
SONGKHLA - THAILAND. Pihak berkuasa Thailand menemui‎ sekurang-kurangnya 32 lubang di bukit Khao Hua Chang berhampiran sempadan‎ Thailand-Malaysia yang dipercayai digunakan untuk menanam mayat warga Rohingya‎ dan‎ individu lain yang meninggal ketika menunggu peluang menyeberang masuk secara haram‎ ke Malaysia.

Ketua Polis Thailand, Jeneral Somyod Pumpanmuang berkata, pihak polis dan tentera Thailand telah ke Kg Taluk, di Mukim Padang Besar, Sadao, Songkhla dan‎ menemui kem warga asing dan lubang di bukit itu.

Polis juga menemui mayat warga Rohingya yang dipercayai meninggal dua hari lepas dan seorang lagi yang demam teruk yang kemudiannya dibawa ke Hospital Padang Besar.

Beliau berkata warga asing dalam kem itu adalah daripada kumpulan yang sama dengan yang ditahan di daerah Huasai, Wilayah Nakhornsri Thammarat baru-baru ini.

Beliau berkata, walaupun 32 lubang yang ditemui tetapi bukan bermakna‎ ia mengandungi 32 mayat.

"Hari ini pihak berkuasa baru menggali lima lubang dan empat mayat ditemui. Lubang akan digali lagi esok (hari ini) untuk doktor sama-sama menyiasat punca kematian,"‎ katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Bahagian Ke-8 Leftenan Jeneral Decha Butnampech, berkata, pihaknya akan menyiasat sama ada kes itu mempunyai kaitan dengan proses pemerdagangan manusia dan pihak yang terlibat. - Bernama

Super Al Aliff

Kuala Lumpur: Seorang anggota polis dianggap hero apabila sanggup menggadai nyawa menyelamatkan seorang pemandu yang terperangkap di dalam kenderaan sedang marak terbakar.
Dalam kejadian jam 5.45 pagi semalam, anggota polis terbabit, Lans Koperal Al Aliff Al Zam, 28, yang bertugas di Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields bertindak berani memecahkan cermin tingkap pemandu sebelum menarik keluar mangsa dalam kereta berkenaan di Kilometer 5.5, Lebuhraya Sprint, di sini.
Al Aliff yang ditemui berkata, dia sempat mendengar bunyi dentuman kuat sebelum terlihat sebuah kereta mengalami kemalangan dan terbakar di kawasan perumahan Medang Tanduk Bangsar, di sini.
Menurutnya, ketika itu terdapat seorang lelaki terperangkap di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna model Perodua Alza.
“Saya cemas dan tidak tergamak membiarkan mangsa terperangkap di dalam kenderaan itu. Berbekalkan lampu suluh, saya segera berlari ke arah pintu pemandu kenderaan itu sebelum mengetuk cermin pintu itu hingga pecah.
“Saya kemudian membuka pintu kenderaan itu sebelum mendapati mangsa dalam keadaan pengsan dan tersepit,” katanya.
Menurutnya, dia kemudian segera mencabut tali pinggang keledar dipakai mangsa sebelum mengheret mangsa keluar dari kenderaan.
“Ketika itulah berlaku letupan kecil pada kenderaan yang terbakar itu. Bagaimanapun, kami terselamat. Saya dan rakan setugas kemudian segera menghubungi ambulans untuk membawa mangsa ke hospital,” katanya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, Al Aliff calar dan luka kecil di kedua-dua belah tangan hingga siku ketika cuba menyelamatkan mangsa.
Zainuddin berkata, Al Aliff dan mangsa hanya cedera ringan dan dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
“Keberanian anggota polis terbabit amat dipuji. Dia langsung tidak memikirkan risiko nyawanya semata-mata untuk menyelamatkan mangsa,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Abu Obaidat Mohamad berkata, pihaknya tiba di lokasi kejadian bagi mengawal kebakaran pada jam 5.52 pagi.
Katanya, mangsa yang juga pemandu kereta itu diselamatkan anggota polis terbabit daripada terbakar hidup-hidup.
“Semasa jentera bomba tiba, kereta itu sedang marak terbakar dan ia musnah sepenuhnya. Api dikawal beberapa minit kemudian,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2015 @ 7:05 AM


AL Aliff menunjukkan luka di tangannya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/47797#sthash.iFJPdCWX.dpuf

Didenda tekan tubi kerana rosakkan bangku


Bandung: Datuk Bandar Bandung, Ridwan Kamil semalam mendenda dua lelaki dengan tekan tubi sebanyak 60 kali sebagai hukuman kerana merosakkan bangku di bandar itu.
Fadillah Simeray, 23, dan Kusnadi, 45, didenda membuat tekan tubi selepas mereka bertemu Ridwan untuk meminta maaf kerana merosakkan harta awam berkenaan.
“Saya datang ke sini selepas dipanggil Datuk Bandar dan saya terima segala hukumannya,” kata Fadillah.
Fadillah berkata, dia bergambar di sebuah bangku di Jalan Asia-Afrika yang dinaik taraf sempena Sidang Kemuncak Asia-Afrika.
Katanya, dia membuat pelbagai gaya di atas bangku berkenaan dan memuat naik gambar itu di laman Twitternya.
Bagaimanapun, Fadillah menerima kecaman hebat di Twitter selepas beberapa pengguna mendakwa aksi itu menyebabkan bangku berkenaan rosak.
Kusnadi pula berkata, salah sebuah bangku di jalan berkenaan rosak selepas dia berdiri di atasnya untuk merakamkan gambar.
“Saya tidak sedar perbuatan saya boleh merosakkan bangku itu. Saya harap permohonan maaf saya diterima,” ujarnya.
Selain didenda membuat tekan tubi kedua-dia mereka juga dikenakan hukuman mengutip sampah di sebatang jalan. - Agensi
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/47829#sthash.5oWSZurc.dpuf

Gempa besar di Papua


Sydney: Gempa bumi berukuran 7.1 magnitud melanda Papua New Guinea semalam, 110 kilometer di selatan barat daya kota Kokopo, lapor Kajian Geologi Amerika Syarikat.
Kejadian itu berlaku sehari selepas gempa berukuran 6.7 melanda rantau itu.
Gempa terbaru itu melanda pada jam 8.06 pagi (waktu tempatan), 689 kilometer ke timur laut Port Moresby pada kedalaman 53 kilometer.
Bagaimanapun tiada amaran tsunami dikeluarkan, kata Pusat Amaran Tsunami Pasifik.
Kelmarin, gempa bumi berukuran 6.7 magnitud turut melanda wilayah sama pada kedudukan 131 kilometer di barat daya Kokopo, tetapi tiada kerosakan serius dilaporkan.
Timbalan Pengarah Pusat Amaran Bersama Tsunami Daniel Jaksa berkata: “Ini gempa bumi kedua sejak dua hari lalu. Sebelum ini ia berlaku kira-kira 10 kilometer dari pusat gempa bumi.
“Ia kawasan yang tidak berpenghuni di luar New Britain dan berukuran 7.1, iaitu 30 kali lebih kecil daripada gempa bumi di Nepal,” katanya.
New Britain, adalah pulau terbesar di Kepulauan Bismarck dengan kira-kira 500,000 penduduk.
Pulau itu terletak di sepanjang 4,000 kilometer Australia Pasifik yang membentuk ‘Lingkaran Api’ - tempat bagi aktiviti seismik disebabkan geseran antara plat tektonik. - AFP
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/47827#sthash.6gjmhEe0.dpuf

Arah bakar mayat

Kathmandu: Angka kematian akibat gempa bumi di Nepal semakin meningkat kepada 6,200 setakat semalam apabila ratusan mayat masih ditemui enam hari selepas gempa bumi berukuran 7.8 magnitud melanda negara terbabit, memaksa pegawai kerajaan mengarahkan pembakaran serta-merta.
“Rumah mayat terlalu padat, kami diberi arahan untuk membakar mayat serta-merta,” kata pegawai paramilitari India, Raman Lal yang bekerja di bawah penyelarasan tentera Nepal.
Bantuan mula bergerak secara perlahan ke bandar serta kampung terpencil yang terletak di pergunungan dan kaki bukit, tetapi bau busuk dari mayat yang terperangkap menyukarkan penduduk kembali ke rumah masing-masing.
Mereka terpaksa tidur di tempat terbuka sejak gempa bumi melanda Sabtu lalu. Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), 600,000 rumah musnah dan rosak.
Menteri Kewangan Ram Sharan Mahat berkata, Nepal memerlukan sekurang-kurangnya AS$2 bilion (RM7 bilion) untuk membina semula penempatan, hospital, pejabat kerajaan dan bangunan bersejarah selain merayu bantuan daripada penderma antarabangsa.
“Ini hanya anggaran awal, banyak masa diperlukan untuk menilai tahap kerosakan dan mengira kos pembinaan semula,” katanya.
Menurut PBB, 8 juta orang terjejas dengan sekurang-kurangnya dua juta khemah, air, makanan dan ubat diperlukan dalam tempoh tiga bulan akan datang.
Menteri Penerangan Minendra Rijal berkata, kerajaan akan memberi bantuan AS$1,000 (RM4,000) kepada keluarga yang terkorban, selain AS$400 (RM1,400) bagi pembakaran mayat atau pengebumian. Dalam pada itu, Perdana Menteri Sushil Koirala menjangka angka kematian akibat gempa boleh mencecah 10,000.
Sehingga kini kerajaan belum dapat menilai kerosakan di kawasan pedalaman, selain peluang menemui mangsa yang terselamat kian pudar.
Sementara itu, penduduk Nepal menuduh kerajaan terlalu lambat menghantar bantuan sekali gus menimbulkan kemarahan penduduk di beberapa kawasan apabila masih banyak lokasi belum menerima bantuan, terutama yang lebih terpencil.
Kerajaan Nepal merayu masyarakat dunia menghantar lebih banyak helikopter untuk operasi menyelamat dengan China dijangka antara yang mendahului menghulurkan bantuan itu.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2015 @ 8:09 AM


PENDUDUK Kathmandu membaca akhbar apabila kehidupan semakin kembali normal.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/47826#sthash.HjM9x2n4.dpuf

Campak lepas cabul


Agensi
Delhi: Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun mati dicampak dari bas oleh konduktornya selepas dicabul sekumpulan lelaki di atas kenderaan itu.
Ibunya yang turut diserang dan diganggu juga mengalami kecederaan dalam kejadian di Punjab itu.
“Mereka tidak henti-henti mengganggu kami dan tiada sesiapapun menghentikan bas itu.
“Akhirnya kami dicampak keluar,” kata si ibu yang dirawat di hospital.
Menurut polis, dua beranak itu menaiki bas berkenaan lewat kelmarin sebelum konduktor dan dua penumpang lain termasuk seorang tukang cuci mula mengganggu serta meraba mereka.
Remaja terbabit maut serta-merta akibat kecederaan parah di kepala.
Jurucakap polis daerah Moga, H S Pannu berkata: “Mereka kemudian ditolak sebelum akhirnya dicampak keluar dari bas yang masih bergerak laju itu.”
Sehubungan itu, pemandu serta konduktor dan dua lagi pekerja syarikat itu sudah ditahan dan didakwa atas pelbagai tuduhan termasuk membunuh, mencabul dan melakukan kesalahan terhadap golongan kasta rendah.
Syarikat bas itu dimiliki sebahagiannya oleh keluarga Ketua Menteri Punjab Parkash Singh Badal yang turut menyatakan kekesalannya atas kejadian berkenaan.
Kejadian itu yang terbaru dalam beberapa siri serangan ganas terhadap wanita di India. Pada 2012 seorang pelajar fisioterapi mati selepas dirogol beramai-ramai secara kejam dan dicampak dari bas mencetus kemarahan rakyat negara itu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/47823#sthash.7cxZUk7D.dpuf

Hujan halang operasi mencari



PASUKAN penyelamat Nepal dan Amerika Syarikat melakukan kerja-kerja pencarian di sisa runtuhan bangunan di Kathmandu semalam.


KATHMANDU – Sekumpulan pasukan penyelamat masih bekerja dalam hujan lebat untuk mencari mangsa di bawah runtuhan akibat gempa bumi di sini, namun pihak berkuasa berkata, peluang untuk mencari mangsa yang terselamat dilihat semakin tipis.
“Mungkin tiada lagi yang terselamat. Hujan menambahkan lagi masalah. Alam semula jadi seolah-olah menentang kami,” kata Ketua Pusat Pengurusan Bencana, Kementerian Perumahan Nepal, Rameshwor Dandal.
Kemarahan sekumpulan mangsa gempa bumi terhadap kerja-kerja menyelamat yang dianggap secara perlahan tercetus kelmarin apabila berlaku satu bantahan di luar parlimen.
Di kawasan pedalaman, penduduk kampung menghalang trak yang membawa bekalan dengan menuntut kerajaan supaya mempercepatkan pengagihan bantuan di kawasan yang dilanda banjir.
Sehingga tengah hari semalam, jumlah kematian yang dilaporkan meningkat kepada 5,582 orang, manakala hampir 11,200 cedera.
Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, 600,000 buah rumah telah musnah dan rosak.
Menurut PBB, hampir lapan juta orang terjejas akibat bencana itu dan sekurang-kurangnya dua juta orang memerlukan khemah, minuman, makanan dan ubat-ubatan untuk tempoh tiga bulan yang akan datang.
Dalam perkembangan berkaitan, pasukan penyelamat Nepal dan Perancis berjaya mengeluarkan seorang mangsa, Rishi Khanal, 28, dari runtuhan bangunan apartmen di sini selepas dia terperangkap di dalam sebuah bilik yang dipenuhi mayat selama 80 jam.
Bagaimanapun, sekumpulan doktor terpaksa memotong kakinya kerana rosak akibat pendarahan dalaman yang berterusan.
Dalam pada itu, Nepal merayu bantuan lebih banyak helikopter daripada kerajaan asing bagi tujuan menyelamat dan menghantar bantuan. Buat masa ini terdapat kira-kira 20 helikopter tentera Nepal, swasta dan tentera India terlibat dalam operasi menyelamat.
“China dijangka akan menghantar bantuan helikopter mereka,” kata Menteri Dalam Negeri, Laxmi Prasad Dhakal. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0501&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3Yw88VR1X 
Hakcipta terpelihara 

Daerah Sindhupalchowk paling teruk musnah



SEORANG wanita duduk di atas runtuhan rumahnya di daerah Sindhupalchowk, Nepal kelmarin. - REUTERS


MELAMCHI, Nepal – Daerah Sindhupalchowk di timur laut Kathmandu merupakan daerah paling teruk terjejas akibat gempa bumi baru-baru ini apabila hampir 90 peratus rumah di kawasan itu ranap.
“Satu daripada kumpulan kami kembali dari Chautara di daerah Sindhupalchowk melaporkan 90 peratus rumah telah musnah di situ,” ujar Ketua Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Asia, Jagan Chapagain.
“Bangunan hospital runtuh dan penduduk terpaksa melakukan sendiri usaha mencari keluarga mereka yang mungkin terselamat,” tambahnya.
Wartawan agensi berita AFP yang berada di bahagian lain di Sindhupalchowk turut melihat kemusnahan yang lebih teruk di daerah itu.
“Hampir semua rumah di kampung saya musnah dan 20 orang mati.
“Kami juga kehilangan haiwan ternakan seperti lembu dan kambing,” ujar salah seorang penduduk, Kumar Ghorasainee yang kehilangan rumah di Melamchi.
Guru Bahasa Inggeris berusia 33 tahun itu memberitahu, bangunan sekolah turut musnah menyebabkan kanak-kanak tiada tempat untuk belajar.
“Tiada siapa yang membantu kami. Kereta dan lori bantuan hanya berlalu pergi. Bagaimana kami mahu menguruskan kehidupan sekarang?” ujarnya. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0502&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3Yw7uORnc 
Hakcipta terpelihara 

Bau mayat selubungi Nepal


WANITA Nepal yang memakai penutup hidung beratur untuk mendapat bekalan makanan daripada pasukan tentera di sebuah kem di Kathmandu semalam.- AFP


KATHMANDU – Angka kematian akibat gempa bumi di sini meningkat kepada lebih 6,200 orang semalam, manakala beberapa gempa susulan menyebabkan mangsa yang terselamat bimbang untuk pulang ke rumah masing-masing.
Beratus-ratus mayat masih ditemui pada hari keenam selepas gempa bumi bermagnitud 7.9 yang memusnahkan negara Himalaya itu sekali gus menjejaskan kehidupan 28 juta penduduknya.
Bau mayat yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan di ibu negara itu juga menyebabkan penduduk sukar untuk pulang ke rumah.
Dalam pada itu, pegawai kerajaan mengarahkan pembakaran mayat dilakukan dengan serta-merta.
“Rumah-rumah mayat telah penuh dan kami diarahkan membakar mayat dengan segera selepas mereka mengeluarkan mangsa yang terkorban dari sisa runtuhan,” kata seorang anggota tentera, Raman Lal.
Sementara itu, bantuan yang disampaikan secara perlahan-lahan telah tiba di bandar-bandar dan kampung-kampung terpencil yang terletak di kawasan pergunungan.
Kebanyakan penduduk tempatan terpaksa tidur di kawasan terbuka sejak bencana alam itu berlaku.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebanyak 600,000 buah rumah telah musnah dan rosak.
Sementara itu, Menteri Kewangan, Ram Sharan Mahat berkata, Nepal memerlukan sekurang-kurangnya AS$2 bilion (RM7.1 bilion) untuk membina semula rumah, hospital, pejabat kerajaan dan bangunan-bangunan bersejarah.

“Ini hanya anggaran awal dan ia akan mengambil masa untuk menilai tahap kerosakan dan mengira kos pembinaan semula,” kata Mahat kepada Reuters.
PBB memberitahu, seramai lapan juta orang terjejas akibat bencana ini, manakala sekurang-kurangnya dua juta orang memerlukan khemah, makanan, minuman dan ubat-ubatan untuk tiga bulan akan datang.
Kementerian Perumahan berkata, angka kematian meningkat kepada 6,204 orang manakala 13,924 lagi tercedera.
Dalam pada itu, Menteri Penerangan, Minendra Rijal berkata, kerajaan menghulurkan bantuan AS$1,000 (RM3,572) kepada ahli keluarga yang terbunuh, manakala AS$400 (RM1,428) untuk upacara pengebumian dan pembakaran mayat. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0502&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3Yw5eWFDp 
Hakcipta terpelihara 

2,000 liter diesel subsidi dirampas


MOHD. KHALIS KASIM (kanan) melihat diesel subsidi yang dirampas
MOHD. KHALIS KASIM (kanan) melihat diesel subsidi yang dirampas dalam serbuan di sebuah stor tanpa lesen di Simpang Pulai-Cameron Highlands, kelmarin.
IPOH 1 Mei – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri berjaya mematahkan cubaan menyeleweng 2,000 liter diesel bersubsidi dalam serbuan di sebuah stor yang menjalankan operasi tanpa lesen di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, dekat sini semalam.
Serbuan di kawasan pedalaman berhampiran perkampungan Orang Asli Sungai Piah itu menemukan bahan bakar tersebut yang disimpan di dalam tong drum dan tong fiber.
Timbalan Pengarahnya, Mohd. Khalis Kasim berkata, pemantauan selama dua minggu dilakukan sebelum pihaknya menyerbu stor yang dijadikan tempat simpanan diesel itu.
Menurutnya, dalam serbuan itu, pihaknya turut menyita sebuah lori yang telah diubah suai di mana kenderaan tersebut mempunyai tangki yang boleh memuatkan kira-kira 3,000 liter diesel pada satu-satu masa.
“Selain itu, kita turut merampas lapan biji tong fiber serta 40 biji tong drum dan
jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM43,805.
“Modus operandi sindiket ini adalah dengan membeli diesel dari stesen minyak dan lori pada harga RM1.20 seliter sebelum dijual kepada pihak industri dengan harga RM1.70 seliter,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Khalis memberitahu, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/2-000-liter-diesel-subsidi-dirampas-1.86809#sthash.nVLk3GHP.dpuf

Cubaan seludup rokok dari negara jiran dipatahkan


KOTA KINABALU 1 Mei – Agensi Pe­nguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kota Kinabalu menahan sebuah bot dan merampas sejumlah rokok dianggarkan bernilai RM50,000 yang dipercayai cuba diseludup ke negara ini melalui perairan Kudat.
Ketua Penguatkuasa Maritim Kota Kinabalu Kapten Zin Azman Md. Yunus berkata, bot berkenaan ditahan pada 7.05 malam tadi di kawasan perairan Tanjung Dalit dalam operasi khas pasukan pe­nguatkuasa maritim berkenaan.
“Bot suspek melarikan diri ke perairan cetek dan terkandas di batu selepas 20 minit cuba melarikan diri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas bot itu, mendapati terdapat beberapa kotak besar mengandungi rokok dipercayai jenis rokok putih yang dibawa dari negara jiran.
Katanya, beberapa bungkusan rokok juga didapati dibuang ke laut dan tiga suspek di atas bot berkenaan berjaya melarikan diri dengan menyusup masuk ke dalam hutan di kawasan pantai.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.
Sementara itu, Zin Azman berkata, beberapa operasi yang dijalankan di kawasan itu sebelum ini gagal, setelah kehadiran APMM dihidu tonto yang berada di sekitar Pulau Udar Besar dan Pulau Udar Kecil. – BERNAMA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/cubaan-seludup-rokok-dari-negara-jiran-dipatahkan-1.86710#sthash.w8QuNsm0.dpuf

Sindiket raih RM6,000 sehari


Gunakan pelbagai alasan untuk kutip derma

Selepas menyanyikan beberapa rangkap lagu, dua wanita warga Filipina
Selepas menyanyikan beberapa rangkap lagu, dua wanita warga Filipina ini akan mengutip derma yang dikatakan bertujuan untuk membantu kanak-kanak di seluruh Asia ketika dirakam aksi mereka di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
KUALA LUMPUR 1 Mei - Kerja senang. Sindiket yang menjalankan kegiatan mengutip derma atas alasan membangunkan masjid atau pusat tahfiz di sekitar ibu negara bukan sahaja tidak memerlukan kos operasi tinggi malah mampu meraih pulangan lumayan dalam masa singkat.
Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM), Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, sikap rakyat Malaysia yang pemurah menjadi salah satu faktor penggalak mengapa aktiviti ini sukar dibendung.
Katanya, dalam masa sama, kanak-kanak seolah-olah dilatih untuk menjadi pengemis profesional yang bekerja untuk sindiket dengan anggaran nilai perolehan setiap orang RM200-RM300 sehari.
“Jika ada 20 orang kanak-kanak meminta sedekah, mereka mampu mencapai kira-kira RM6,000 sehari menjadikan jumlah kutipan bulanan mencecah hampir RM20,000. Itu bukan sedikit.
“Mereka akan dihantar ke tempat-tempat awam seawal pukul 9 pagi dan dibiarkan berkeliaran di tengah bandar sehingga lewat malam, kemudian akan ada van menjemput mereka dan dibawa ke hotel dan diberi makan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah beliau, selain sindiket mengutip derma, masalah peminta sedekah dilihat semakin serius malah boleh dikelaskan kepada beberapa kategori lain.
“Ada sesetengah daripada peminta sedekah ini yang memang datang daripada golongan miskin atau tidak mampu, ada juga orang kurang upaya (OKU) mengharapkan simpati masyarakat untuk membantu kehidupan mereka tetapi ada pula yang menjadikan mengemis sebagai hobi.
“Keadaan ini sudah lama berlaku tetapi negara kita masih belum menemui jalan penyelesaiannya. Selain mencemarkan imej Malaysia, kita tidak mahu ia dijadikan punca pendapatan atau pekerjaan mereka,” jelasnya.
Katanya, bagi golongan OKU yang meminta sedekah di premis-premis makanan, pihaknya mahu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menjalankan pemantauan ketat bagi mengenalpasti sama ada mereka te­lah diberi elaun sara hidup atau tidak.
“Kerajaan perlu ambil berat hal ini, jangan dibiarkan golongan tersebut menjadi semakin melarat. Jika layak, bantu mereka tetapi jika tidak layak, mungkin ada cara lain,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/sindiket-raih-rm6-000-sehari-1.86904#sthash.Np0QOOyj.dpuf

Warga emas mati dibunuh


KLUANG 1 Mei – Seorang warga emas mati dibunuh di sebuah lorong berhampiran bangunan kedai di Jalan Stesen, bandar Kluang di sini hari ini.
Lelaki berketurunan India berusia lewat 60-an itu ditemui oleh orang awam kira-kira pukul 6 pagi ini selepas mayatnya dipercayai ditinggalkan di lokasi berkenaan sejak tengah malam tadi.
Pemangku Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Mohd. Noor Mohamad berkata, orang awam yang melalui lorong tersebut memaklumkan kepada polis tentang penemuan mayat ber­kenaan.
“Sebaik sahaja tiba, polis mendapati mayat warga emas tanpa sebarang pengenalan diri tersebut terbaring di kaki lima sebuah kedai di lorong terbabit dengan kesan kecederaan di bahagian kepala, dipercayai dihentak menggunakan objek tajam.
“Bagaimanapun, motif dan pun­ca sebenar kejadian masih dalam siasatan termasuk sama ada mangsa dibunuh di situ ataupun di lokasi lain sebelum mayatnya diletakkan di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini.
Mohd. Noor berkata, pemeriksaan di tempat kejadian juga tidak menemukan sebarang senjata dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, di sini untuk bedah siasat dan pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian itu tampil menghubungi bilik gerakan di talian 07-7766822.
“Pihak polis juga menggesa orang ramai tidak membuat sebarang andaian tentang kejadian tersebut serta menyebarkannya dalam media sosial kerana perkara itu boleh menjejaskan siasatan polis,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/warga-emas-mati-dibunuh-1.86942#sthash.IL4LE196.dpuf

Dadah Erimin 5 
RM10 juta dirampas


Hasil serbuan polis di Bukit Bintang

SEBAHAGIAN daripada pil dadah Erimin 5 yang pernah dirampas dalam
SEBAHAGIAN daripada pil dadah Erimin 5 yang pernah dirampas dalam serbuan polis. Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR 1 Mei - Sindiket pengedaran dadah antarabangsa terus digempur Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kali ini sejumlah dadah jenis erimin 5 yang berkualiti tinggi dipercayai bernilai lebih RM10 juta dirampas dalam satu serbuan di Bukit Bintang, di sini, malam tadi.
Difahamkan, pil erimin 5 seberat 410 kilogram dan lebih daripada sejuta biji itu dari Taiwan dan dibawa masuk ke negara ini secara haram sebelum dibungkus untuk pasaran dalam negara.
Menurut sumber, sebuah pusat urut yang terletak di Bukit Bintang menjadi lokasi pengumpulan dan pembungkusan erimin 5 ber­kenaan.
Sumber berkata, dalam operasi itu, sepasukan polis termasuk pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) bersama Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) telah menyerbu lokasi ber­kenaan kira-kira pukul 10 malam.
Dalam serbuan itu, pihak mereka telah menangkap seramai lapan orang termasuk seorang warga Taiwan dan seorang warga Indonesia yang berusia 30-an.
“Seorang wanita dan dua lelaki tempatan turut ditahan dalam serbuan berkenaan.
“Dalam serbuan itu juga, polis telah menemui erimin 5 tersebut yang dipercayai berjumlah lebih daripada sejuta pil,” kata sumber kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Ditanya tentang hubung kait lelaki Taiwan itu dengan dadah berkenaan, sumber enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengucapkan tahniah kepada pasukan STING kerana berjaya menumpaskan satu lagi sindiket pengedaran dadah.
“Syabas STING @PDRMsia semalam tangkap lapan orang dan rampas 410 kilogram dadah erimin 5 di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. GO PDRM GO,” katanya di laman twitter miliknya, hari ini.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/dadah-erimin-5-8232-rm10-juta-dirampas-1.86945#sthash.1L4CsRAY.dpuf