Search This Blog

Friday, May 1, 2015

100 penunjuk perasaan ditahan

100 penunjuk perasaan ditahan
Ratusan penunjuk perasaan berhimpun bagi membantah kematian Gray

NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Sekurang-kurangnya 100 penunjuk perasaan ditahan, kelmarin di New York City kerana mengadakan protes bagi membantah kematian seorang pemuda berkulit hitam yang meninggal dunia akibat kecederaan tulang belakang selepas ditahan polis di Baltimore.

Kesemua mereka diberkas ketika berhimpun di Union Square sebagai tanda sokongan kepada penunjuk perasaan di Baltimore.

Difahamkan, orang ramai mula membanjiri jalan di Baltimore, Maryland sejak beberapa minggu lalu bagi mengutuk tindakan kekerasan pihak berkuasa ke atas Freddie Gray, 25 yang telah menyebabkan mangsa maut.

Menurut polis, jumlah mereka yang ditahan di New York City dijangka meningkat dan kebanyakan daripada mereka didakwa berkelakuan tidak senonoh. - Press TV

Ibu mengandung ditumbuk kerana kereta tolak bayi

Ibu mengandung ditumbuk kerana kereta tolak bayi

BARKING - LONDON. Seorang ibu mengandung mengalami lebam di seluruh muka dan bahagian badan apabila ditumbuk berkali-kali sebelum dihalau keluar dari sebuah bas bersama dua orang anaknya yang masih kecil.

Memetik laporan portal Metro.co.uk, wanita tersebut diserang oleh seorang penumpang lain yang dianggarkan berusia 30-an.

Kekejaman tersebut berlaku kerana kereta tolak milik anak wanita itu memakan ruang yang terlalu luas dalam bas tersebut.

Dia kemudiannya dibawa ke hospital di mana doktor mengesahkan terdapat kecederaan yang dialami oleh wanita terbabit.

Bagaimanapun kandungannya dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, Sarjan Detektif Beverly William mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

“Ia adalah satu jenayah kejam yang berlaku ke atas seorang wanita hamil yang tidak bersenjata. Wanita tersebut hanya menaiki bas dengan anaknya yang berusia sembilan bulan dan lima tahun.

“Kanak-kanak berusia lima tahun itu kini mengalami trauma selepas melihat ibunya dipukul dan dibelasah dengan begitu kejam,” katanya.

Sehubungan itu, seorang lelaki berusia 28 tahun ditahan oleh pihak berkuasa bagi membantu siasatan.

Lelaki tersebut turut didakwa atas kesalahan menyerang anggota polis dan mengganggu siasatan.

Pencuri dibogel sebelum kena sebat dikhalayak

Pencuri dibogel sebelum kena sebat dikhalayak
Rakaman menunjukkan lelaki berkenaan dibelasah dua wanita.

HUANCAYO - PERU. Hanya kerana mencuri cermin sisi sebuah kenderaan, seorang lelaki dibogelkan dikhalayak ramai, dipukul serta disebat dengan menggunakan tali pinggang oleh dua wanita, lapor portal Metro.co.uk, hari ini.

Alexis Rodriquez, 24, ditangkap cuba mencuri cermin sisi sebuah kereta di bandar Huancayo, Peru.

Kejadian tersebut dirakam oleh seseorang individu yang kemudiannya memuat naik video tersebut ke laman sosial.

Video berdurasi 38 saat itu menjadi viral dan mendapat perhatian ramai pihak dalam masa yang singkat.

Seorang pengguna media, Hernando Calvo, 21, menyifatkan kejadian tersebut sebagai satu perkara yang memalukan.

“Ia sangat teruk. Kita hidup di kurun ke-21, tetapi mereka masih berkelakuan seperti masyarakat di zaman pertengahan,” katanya seperti yang dipetik menerusi portal tersebut.

Sementara itu, pihak berkuasa dilaporkan tiba di tempat kejadian dan segera memberkas; sekaligus menyelamatkan lelaki tersebut dari terus dimalukan.

“Rodriguez ditahan polis atas dakwaan mencuri manakala dua wanita tersebut kini sedang disiasat oleh pihak berkuasa,” katanya.

Gempa Nepal: Angka mati mungkin lebih 10,000 orang

gempa bumi Nepal
Kemusnahan yang berlaku akibat gempa bumi di Kathamamdu, Nepal. - Foto EPA

KATHMANDU - Jumlah kematian dalam kejadian gempa bumi kuat yang menggegarkan Nepal pada 25 April lepas, boleh melebihi 10,000 orang, menurut Tentera Nepal.

"Unjuran kami ialah jumlah mangsa yang terkorban boleh melebihi 10,000 orang," kata Panglima Tentera Darat Nepal Jeneral Gaurav Sumsher Rana dalam taklimat media kepada sekumpulan wartawan kanan di Kathmandu pada Jumaat.

Setakat ini, angka kematian mencecah 6,204 orang dan 13,932 lagi dilaporkan cedera.

"Bagaimanapun, angka ini sudah tentu meningkat kerana pasukan penyelamat terus menemui lebih banyak mayat mangsa," kata Rana.

Sebanyak 161,386 rumah mengalami kerosakan termasuk 24,182 yang musnah sama sekali.  

Panglima Tentera Darat Nepal itu melahirkan rasa puas hati dengan operasi menyelamat dan bantuan tersebut.

"Kami telah melakukan yang terbaik semasa tragedi dahsyat ini walaupun mempunyai sumber yang terhad," katanya.

Beliau turut memuji masyarakat antarabangsa kerana menghulurkan bantuan kepada kerajaan Nepal dalam operasi menyelamat dan bantuan itu. – Bernama

Pendaki rebut makanan, helikopter

Kathmandu: Pendaki yang terkandas akibat runtuhan salji di Nepal - kebanyakannya warga Israel - terpaksa bertarung mendapatkan makanan dan ruang dalam helikopter penyelamat selepas penduduk tempatan enggan memberikan perlindungan ekoran kejadian gempa bumi Sabtu lalu yang mengorbankan lebih 5000 orang.
Lebih 250 dikhuatiri hilang selepas runtuhan salji melanda kampung Langtang di utara ibu negara Kathmandu kelmarin. Bagaimanapun, tiada kematian atau kecederaan serius disahkan.
Ratusan pendaki terkandas selepas laluan dan jalan pulang tersekat menyebabkan mereka kelaparan dan kesejukkan. Gempa bumi berukuran 7.8 magnitud itu turut memusnahkan beberapa rumah peranginan.
Pendaki Lily Milkovich berkata: “Bongkah ais yang besar tiba-tiba menghempap khemah ketika kami duduk di dalamnya.
“Beberapa rakan tertimbus dibawah salji dan kami membantu mereka keluar sebaik merasa keadaan cukup selamat”.
Menurutnya, berlaku kekecohan ketika mahu menaiki helikopter, namun ketegangan itu segera diredakan selepas pasukan penyelamat memberitahu akan membuat penerbangan berulang kali bagi membawa mereka keluar dengan selamat.
Seorang penyelamat menyifatkan situasi di Langtang sebagai ‘tegang’ berikutan pergaduhan untuk makanan antara pendaki dan penduduk kampung.
“Penduduk kampung menganggap kami mengambil terlalu banyak makanan,” kata Amit Rubin yang berpangkalan di lapangan terbang Kathmandu bersama pasukan mencari dan menyelamat Magnus Antarabangsa.
Sementara itu, Gabenor Daerah Uddhav Bhattarai yang mengarahkan operasi menyelamat memberitahu 100 orang sudah diterbangkan keluar awal pagi semalam, manakala 125 lagi dalam perjalanan. - Reuters
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2015 @ 10:27 AM


SEORANG budak yang cedera dibawa ke hospital menaiki helikopter.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/47417#sthash.QJnFaLmD.dpuf

Remaja perempuan separuh bogel cuba terjun bangunan sekolah



GADIS remaja dipujuk anggota bomba supaya turun dari beranda bangunan sekolah tingkat tiga di Kangar, Perlis semalam.


KANGAR – Kira-kira 1,000 pelajar sebuah sekolah menengah di sini gempar apabila seorang remaja perempuan separuh bogel cuba terjun daripada tingkat tiga sekolah tersebut semalam.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd. Nordin berkata, sebelum kejadian pukul 8.58 pagi itu, remaja berusia 17 tahun yang dipercayai kurang waras itu melarikan diri semasa mendapat rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini.
“Abang remaja itu membawa adiknya untuk menjalani rawatan secara tradisional di Kangar, namun dia bertindak melarikan diri menyebabkan abangnya terpaksa menghantar adiknya itu ke HTF.
“Remaja itu sekali lagi melarikan diri dari HTF sebelum menuju ke sekolah menengah terbabit dan duduk di tembok beranda tingkat paling atas bangunan tiga tingkat itu,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Remaja perempuan itu bertindak menanggalkan baju dan colinya menyebabkan dia dalam keadaan separuh bogel.
Anggota bomba yang memujuknya turun kemudian memberinya baju untuk dipakai bagi menutup tubuhnya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0501&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz3YqZ23hUQ 
Hakcipta terpelihara 

81 kenderaan mewah dirampas



Abdul Latif (tengah) memeriksa kenderaan mewah yang disita JKDM pada sidang akhbar di Kompleks Kastam Kedah semalam.


ALOR SETAR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah berjaya merampas sebanyak 81 kenderaan mewah seludup bernilai RM2.7 juta dengan cukai dianggarkan sebanyak RM4.9 juta di seluruh negara termasuk di negeri ini, Lembah Klang, Perak dan Kelantan sejak 1 Januari lalu hingga April ini.

Pengarahnya, Abdul Latif Abdul Kadir memberitahu, rampasan itu dilakukan Bahagian Penguatkuasaan JKDM negeri dari stesen Alor Setar, Bukit Kayu Hitam, Sungai Petani, Durian Burung dan Langkawi.
“Kita turut menahan 15 orang disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan tersebut termasuk seorang penjawat awam berusia lingkungan 50-an.
“Penjawat awam itu ditahan pada Mac lalu dan disyaki terlibat dalam lapan kes penyeludupan kenderaan mewah,” katanya pada sidang akhbar di pejabat JKDM Kedah di sini semalam.
Beliau berkata, hasil siasatan pihaknya percaya semua suspek bergerak bersendirian dalam kegiatan menyeludup kereta mewah dari negara jiran sebelum menjualnya di pasaran negara ini dengan harga murah berbanding kenderaan yang diimport secara sah.
“Sebagai contoh, Toyota Estima boleh dijual pada harga RM40,000 berbanding harga lebih RM100,000,” ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0501&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz3YqYUlBoh 
Hakcipta terpelihara 

Model separuh bogel masih dipenjara



Persana AVRIL masih berada di Penjara Wanita Kajang setelah tidak dibenarkan ikat jamin semalam.


KUALA LUMPUR – Model separuh bogel, Persana Avril Sollunda terpaksa meringkuk lima hari lagi di Penjara Wanita Kajang selepas peguam yang dilantik kakitangan sebuah gereja tidak dapat menjaminnya semalam.
Hasrat kakitangan gereja yang terletak di ibu kota tersebut untuk menjamin Persana Avril, 32, atau nama pentasnya, Shana Avril, tidak kesampaian apabila peguam itu hanya memohon untuk menjaminnya pada pagi semalam.
Menurut sumber, peguam berkenaan sepatutnya memohon kepada mahkamah lebih awal sebelum menjamin model itu memandangkan terdapat prosedur yang perlu dilakukan dan ia melibatkan beberapa pihak.
Peguam yang hadir ke Mahkamah Majistret pada pukul 8.45 pagi itu dimaklumkan pihak mahkamah bahawa wanita tersebut boleh dijamin pada 5 Mei depan.
Bagaimanapun, kakitangan gereja yang me­lantik peguam itu tidak hadir bersamanya.
Kosmo! semalam me­laporkan, Persana Avril dijangka dijamin oleh kakitangan sebuah gereja yang terletak di ibu kota bagi menolong wanita tersebut daripada terus ditahan di penjara.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0501&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz3YqXdAZhg 
Hakcipta terpelihara 

7 lelaki didakwa bunuh pengawal



MUHAMMAD RIDZHUAN rentung dijilat api yang sedang marak membakar sebuah pondok pengawal di 11-Avenue, Bandar Bukit Raja dalam satu kejadian serangan gengster pada 18 April lalu.


KLANG – Tujuh lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan membunuh seorang pengawal keselamatan di sebuah pondok pengawal di Bandar Bukit Raja di sini dua minggu lalu.
Kesemua tertuduh, M. Yugaraj, 23, B. Saravanan, 33, N. Mageswaran, 25, N. Yogeswaran, 22, U. Kunalan, 22, C. Reshiwaran, 22, dan E. Sasikumar, 26, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Mariam Maran Abdullah.

SEBAHAGIAN daripada tujuh lelaki yang didakwa membunuh Muhammad Ridzhuan dibawa ke Mahkamah Majistret Klang semalam.


Namun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh yang bekerja sebagai penarik kereta, pengawal keselamatan, penghantar surat khabar dan juruteknik tersebut.
Mengikut pertuduhan, ketujuh-tujuh lelaki itu didakwa menyebabkan kematian Muhammad Ridzhuan Che Bai, 26, dengan menetak mangsa menggunakan sebilah parang sehingga menyebabkan kematian di pondok pengawal 11-Ave­nue, Persiaran Sungai Keramat, Jalan Rodat 1/KU5, Bandar Bukit Raja pada pukul 2 pagi 18 April lepas.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 149 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rizal Azani Zainal Adzam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0501&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz3YqX1DibR 
Hakcipta terpelihara 

Mangsa gempa bumi merusuh


BEBERAPA mangsa gempa bumi dihalang polis semasa mereka cuba menyekat lalu lintas di sebatang jalan di Kathmandu semalam.


KATHMANDU – Polis pencegah rusuhan Nepal dikerahkan untuk mengekang kemarahan sekumpulan mangsa gempa bumi semalam ketika pasukan penyelamat bergelut dengan masa untuk mencari mangsa yang masih hidup di bawah runtuhan bangunan di Kathmandu.
Kekurangan bekalan asas dan gegaran susulan meningkatkan lagi perasaan takut dalam kalangan penduduk.
Terdesak untuk melarikan diri, beribu-ribu orang mula berhimpun dari sebelum subuh di luar stesen bas utama di Kathmandu selepas kerajaan menjanjikan perkhidmatan bas khas.
Namun, apabila bas-bas itu gagal tiba, orang ramai mula berang dan bertempur dengan polis pencegah rusuhan yang dihantar untuk mengawal ketenteraman dekat bangunan Parlimen.
“Kami menunggu sebelum subuh. Mereka memberitahu kami bahawa sebanyak 250 buah bas akan datang tetapi kami tidak melihat satu pun,” kata seorang pelajar berusia 25 tahun, Kishor Kavre.
Selain mereka, penduduk di kawasan pedalaman yang terjejas gempa bumi turut terdesak. Mereka merayu supaya dipindahkan menggunakan helikopter yang tiba di untuk menghantar bantuan asas.
Sehingga semalam, seramai 5,057 orang dilaporkan maut di Nepal akibat gempa bumi pada Sabtu lepas dengan 100 lagi mangsa terkorban di India dan China.
Sekitar 8,000 orang turut cedera, manakala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan seramai 8 juta orang terjejas dalam bencana itu yang disifatkan terburuk dalam tempoh lapan dekad.
Antara yang maut termasuk 18 pendaki yang berada di Base Camp, Gunung Everest Mereka terbunuh dalam tragedi salji runtuh yang dicetuskan gempa berkenaan.
Mangsa yang terkorban termasuk dua warga Amerika Syarikat dan masing-masing seorang pendaki Australia serta China.
Walaupun gempa susulan mula reda, beratus-ratus ribu orang masih tidur di tempat terbuka ekoran kediaman mereka runtuh atau berada dalam keadaan tidak selamat untuk didiami.
Pada masa yang sama, satu-satunya lapangan terbang antarabangsa di Nepal yang terletak di pinggir Kathmandu beroperasi 24 jam bagi menerima sebilangan pesawat tentera yang membawa masuk bantuan.
Antaranya, termasuk pesawat C-17 milik Tentera Udara Diraja Britain yang membawa sebanyak 1,100 khemah dan lebih 1,700 lampu solar bersama pasukan jurutera Gurkha.
Gempa bumi itu turut menjejaskan ekonomi Nepal yang baru pulih daripada perang saudara selama sedekad dan tamat pada 2006.
Beberapa pakar menganggarkan kos pembinaan semula Nepal mencecah AS$5 bilion RM17.79 bilion). – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0430&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3YqWOs1Wz 
Hakcipta terpelihara 

Jakarta pertahan hukuman mati tujuh warga asing



KAKITANGAN rumah mayat hospital mengangkat keranda yang membawa mayat banduan Brazil, Rodrigo Gularte yang ditembak mati semalam.


CILACAP – Pemerintah Indonesia semalam mempertahankan pelaksanaan hukuman mati terhadap tujuh banduan asing termasuk dua warga Australia sebagai perlu dalam usaha Jakarta memerangi penyeludupan dadah.
Australia memanggil pulang dutanya kerana membantah hukuman mati yang dilaksanakan sejurus selepas tengah malam semalam.
Presiden Indonesia, Joko Widodo yang lebih dikenali sebagai Jokowi bagaimanapun berkata, beliau cuma melaksanakan undang-undang negara terhadap penyeludup dadah.
Tujuh banduan itu yang terdiri daripada dua warga Austra­lia, seorang rakyat Brazil dan empat warga Afrika ditembak skuad penembak bersama seorang warga tempatan.
Perkembangan itu berlaku selepas waris dan beberapa pemimpin asing berulang kali merayu kepada Jokowi supaya nyawa mereka diselamatkan.
Brazil amat kesal dengan pelaksanaan hukuman mati terhadap rakyatnya yang didakwa menghidap sakit mental dan menimbang langkah seterusnya.
Semua banduan itu dilaporkan enggan memakai penutup mata dan menyanyikan lagu keagamaan semasa berdepan skuad penembak di sebuah kawasan rimba di penjara Pulau Nusakambangan, Cilacap, menurut seorang paderi yang bersama mereka.
Waris kumpulan banduan itu dilihat menangis selepas hukuman dilaksanakan dan terpaksa ditenangkan oleh rakan dan penyokong masing-masing.
Dalam pada itu, seorang warga Filipina yang dijadualkan ditembak mendapat peluang kedua apabila wanita yang didakwa menipunya supaya membawa dadah ke Indonesia, tampil menyerah diri.
Peluang kedua untuk banduan berkenaan, Mary Jane Veloso di­sambut dengan gembira di Filipia dan disifatkan sebagai keajaiban Tuhan. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0430&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3YqVykKIG 
Hakcipta terpelihara 

Guru merusuh di Brazil, 213 cedera



ANGGOTA polis kelihatan menembak peluru getah dan gas pemedih mata bagi menyuraikan guru yang mengadakan tunjuk perasaan di negeri Parana, Brazil kelmarin.


RIO DE JANEIRO – Pasukan polis antirusuhan Brazil terpaksa melepaskan tembakan bom asap dan peluru getah bagi menyuraikan hampir 20,000 guru yang mengadakan tunjuk perasaan kelmarin.
Guru-guru melancarkan tunjuk perasaan sebagai membantah tindakan kerajaan menggubal undang-undang baharu bagi memotong lebih banyak gaji mereka untuk dimasukkan dalam skim persaraan.
Sejumlah 213 orang cedera dan 13 lagi ditangkap dalam keganasan yang berlaku di bandar Curitiba di selatan Brazil itu, kata pegawai polis.
Penganjur tunjuk perasaan berkenaan berkata, perhimpunan di luar Dewan Negeri Parana itu disertai oleh kira-kira 20,000 orang.
Pertempuran meletus apabila guru-guru berkenaan cuba melanggar sekatan polis di luar bangunan Dewan Negeri.
“Penunjuk perasaan menutup hidung dan mulut mereka dengan sapu tangan bagi mengelak daripada asap. Sebilangan mereka membaling batu dan kayu ke arah pihak berkuasa,” kata polis.
Menurut polis lagi, sebanyak 20 anggota mereka cedera dalam kejadian kelmarin menjadikan keseluruhan 60 orang cedera dalam rusuhan itu.
Akhbar O Globo melaporkan, seorang jurukamera televisyen terpaksa menerima rawatan kecemasan selepas seekor anjing pit bull polis menyerangnya dalam kejadian itu, manakala seorang wartawan cedera akibat terkena tembakan peluru getah. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0501&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3Yq0bpZNL 
Hakcipta terpelihara 

Warga Britain tunggu giliran



GAMBAR fail yang dirakam pada 28 November 2012 ini menunjukkan Sandiford (kanan) berada di lokap mahkamah Denpasar semasa perbicaraan kesnya berlangsung


JAKARTA – Seorang nenek warga Britain yang menanti hukuman mati di sini kerana menyeludup dadah mengutuk cara Indonesia melaksanakan hukuman terhadap dua pesalah warga Australia.
Briton Lindsay Sandiford berkata, dia kini dilanda kebimbangan akan menjadi banduan sete­rusnya berdepan dengan skuad penembak.
Dua warga Australia yang merupakan pengedar dadah itu, Andrew Chan dan Myuran Sukumaran ditembak skuad penembak bersama lima warga lain dan seorang warga Indonesia kelmarin menyebabkan Indonesia dikecam di peringkat antarabangsa.
Sandiford berada di penjara sama dengan dua warga Australia itu di pulau peranginan Bali selepas dijatuhkan hukuman mati pada tahun 2013.
Dia yang ditahan selepas cuba menyeludup dadah jenis kokain di Bali menyifatkan Chan sebagai rakan baiknya.
“Dia memberi kaunseling dan membantu saya semasa melalui saat yang sukar selepas saya dijatuhkan hukuman mati pada 2013,” katanya.
Menurutnya, mereka yang merupakan kumpulan menyeludup dadah, Bali Nine menggunakan masa mereka sebaik mungkin di penjara Ke­robokan Bali dengan memberi kehidupan yang lebih baik kepada orang di sekeliling mereka.
“Mereka memperkenalkan konsep pemulihan kepada penjara itu yang tidak pernah melaksanakan sebelum ini. Mereka memperkenalkan kelas melukis, memasak dan mempelajari komputer,” katanya.
Sandiford mendakwa, dia adalah mangsa keadaan kerana dipaksa mengedar dadah dan ahli keluarganya baru-baru ini melancarkan kempen mengumpul dana untuk membuat rayuan di Mahkamah Agung Indonesia selepas kerajaan Britain enggan menanggung yuran guamannya untuk menentang kes itu. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0501&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3Yq0Ltl81 
Hakcipta terpelihara 

Remaja ditemui masih hidup selepas tertimbus 5 hari



Pemba dianggap sebagai suatu keajaiban kerana masih hidup selepas lima hari terperangkap dalam runtuhan bangunan.


KATHMANDU – Pasukan penyelamat semalam berjaya menemui seorang remaja berusia 15 tahun yang masih hidup dalam sisa runtuhan bangunan, lima hari selepas gempa bumi teruk melanda Nepal dan mengorbankan lebih 5,500 orang.
Ketika ditarik keluar dan mendapati remaja itu masih hidup, ia menjadi detik yang sangat menggembirakan buat mereka yang menyaksikannya.
“Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun berjaya diselamatkan daripada sisa runtuhan sebuah rumah tamu di daerah Gongabu. Kami masih menunggu maklumat lanjut,” kata jurucakap polis, Kamal Singh Bam sambil memberitahu remaja itu bernama Pemba Lama.
Sebaik diselamatkan, remaja yang dipenuhi lumpur berkeladak itu dipasang pendakap leher dan dimasukkan tiub air sebelum diangkat dengan pengusung ke dalam ambulans.
Sementara itu, di Bhaktapur, pasukan penyelamat turut menemui seorang bayi berusia empat bulan yang masih hidup daripada sisa runtuhan rumahnya selepas 22 jam gempa berlaku.

SEORANG bayi berusia empat bulan ditemui oleh pasukan penyelamat di sebuah kampung di Bhaktapur.


Bayi yang dikenali sebagai Sonit Awal itu kini berada dalam keadaan stabil. Bagaimanapun, nasib kedua ibu bapanya masih belum diketahui.
Susulan daripada bencana dahsyat ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melancarkan rayuan bantuan sebanyak AS$415 juta (RM1.47 bilion) daripada masyarakat antarabangsa, manakala Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama berikrar akan melakukan apa sahaja untuk membantu negara tersebut.
Dalam pada itu, pihak berkuasa Nepal mengumumkan bahawa aktiviti pendakian di Gunung Everest akan disambung semula minggu hadapan meskipun 18 orang terkorban dalam runtuhan salji yang tercetus akibat gempa bumi.
Suasana di Kathmandu pula semakin suram sejak gempa paling teruk bermagnitud 7.8 itu melanda negara berkenaan pada Sabtu lalu.
Pasukan penyelaras agihan bantuan pula memberi amaran, pihaknya mungkin terpaksa mengambil masa yang lama untuk menghantar bekalan ke kawasan yang terjejas teruk memandangkan perjalanan hanya boleh dilakukan dengan berjalan kaki. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0501&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3Ypzy9Yx5 
Hakcipta terpelihara 

Hujan halang operasi mencari



PASUKAN penyelamat Nepal dan Amerika Syarikat melakukan kerja-kerja pencarian di sisa runtuhan bangunan di Kathmandu semalam.


KATHMANDU – Sekumpulan pasukan penyelamat masih bekerja dalam hujan lebat untuk mencari mangsa di bawah runtuhan akibat gempa bumi di sini, namun pihak berkuasa berkata, peluang untuk mencari mangsa yang terselamat dilihat semakin tipis.
“Mungkin tiada lagi yang terselamat. Hujan menambahkan lagi masalah. Alam semula jadi seolah-olah menentang kami,” kata Ketua Pusat Pengurusan Bencana, Kementerian Perumahan Nepal, Rameshwor Dandal.
Kemarahan sekumpulan mangsa gempa bumi terhadap kerja-kerja menyelamat yang dianggap secara perlahan tercetus kelmarin apabila berlaku satu bantahan di luar parlimen.
Di kawasan pedalaman, penduduk kampung menghalang trak yang membawa bekalan dengan menuntut kerajaan supaya mempercepatkan pengagihan bantuan di kawasan yang dilanda banjir.
Sehingga tengah hari semalam, jumlah kematian yang dilaporkan meningkat kepada 5,582 orang, manakala hampir 11,200 cedera.
Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, 600,000 buah rumah telah musnah dan rosak.
Menurut PBB, hampir lapan juta orang terjejas akibat bencana itu dan sekurang-kurangnya dua juta orang memerlukan khemah, minuman, makanan dan ubat-ubatan untuk tempoh tiga bulan yang akan datang.
Dalam perkembangan berkaitan, pasukan penyelamat Nepal dan Perancis berjaya mengeluarkan seorang mangsa, Rishi Khanal, 28, dari runtuhan bangunan apartmen di sini selepas dia terperangkap di dalam sebuah bilik yang dipenuhi mayat selama 80 jam.
Bagaimanapun, sekumpulan doktor terpaksa memotong kakinya kerana rosak akibat pendarahan dalaman yang berterusan.
Dalam pada itu, Nepal merayu bantuan lebih banyak helikopter daripada kerajaan asing bagi tujuan menyelamat dan menghantar bantuan. Buat masa ini terdapat kira-kira 20 helikopter tentera Nepal, swasta dan tentera India terlibat dalam operasi menyelamat.
“China dijangka akan menghantar bantuan helikopter mereka,” kata Menteri Dalam Negeri, Laxmi Prasad Dhakal. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0501&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3YpzQMbN9 
Hakcipta terpelihara