Search This Blog

Monday, April 27, 2015

Semakin ramai remaja ambil pil kuda


Harganya murah, mudah diperoleh punca salah guna berleluasa

Ibrahim Abd. Ghani (kiri) memberi nasihat kepada sebahagian penagih
Ibrahim Abd. Ghani (kiri) memberi nasihat kepada sebahagian penagih dadah yang ditahan dalam Op Nyambar di sekitar Pasir Mas, Kelantan, semalam.
PASIR MAS 26 April - Ancaman pil kuda terutama terhadap remaja di negeri ini semakin membimbangkan apabila dadah jenis methamphetamine amat mudah diperoleh de­ngan harga serendah RM10 sebiji.
Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri, Ibrahim Abd. Ghani berkata, maklumat itu diperoleh pihaknya selepas menyoal penagih yang ditangkap ketika operasi diadakan.
Menurutnya, kebanyakan pena­gih memberitahu mereka tidak berdepan dengan masalah untuk mendapatkan bahan itu bagi mele­paskan gian.
“Bukan itu sahaja, harganya cukup murah menyebabkan ramai yang terlibat dengan penyalahgunaan bahan terlarang itu,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar Op Nyambar di pejabat AADK daerah Pasir Mas, di sini hari ini.
Sebelum ini, harga sebiji pil ialah RM35 bagaimanapun bahan terlarang dikatakan turun secara mendadak disebabkan semakin mudah diperoleh dan wujud persaingan antara pengedar dadah.
Kebanyakan pil kuda dibawa ma­suk dari Thailand.
Mengulas mengenai Op Nyam­bar, Ibrahim memberitahu, 73 pe­nagih dadah termasuk enam remaja berjaya ditahan dalam operasi yang bermula semalam dan berakhir kira-kira pukul 6.30 pagi ini.
Katanya, berdasarkan ujian sa­ringan air kencing, kesemua suspek berusia antara 17 tahun hingga 43 tahun itu positif dadah.
“Majoriti 90 peratus daripadanya terlibat dengan penagihan dadah jenis methamphetamine atau pil kuda manakala selebihnya terlibat dengan dadah jenis heroin, morfin dan ganja.
“Kesemua yang ditahan kini disiasat mengikut Akta Rawatan Pemulihan Dadah 1983,” ujarnya.
Tambahnya, operasi selama 24 jam itu melibatkan 120 anggota yang dibahagikan kepada empat zon me­libatkan 11 lokasi yang dikenal pasti antaranya Kedondong, Limbat, Aur Cina dan Gelang Gajah.
“Op Nyambar di Pasir Mas merupakan yang pertama untuk tahun ini dan akan diperluaskan ke seluruh negeri,” katanya.
“Pelaksanaan Op Nyambar ini bertujuan membanteras pengedaran dan penyalahgunaan dadah yang didapati semakin berleluasa di negeri ini,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/semakin-ramai-remaja-ambil-pil-kuda-1.84997#sthash.Y6iwXR4C.dpuf

Penyamun banglo dicekup


Penjenayah (berbaju putih) yang diberkas selepas merompak banglo
Penjenayah (berbaju putih) yang diberkas selepas merompak banglo ahli politik di Taman Cheng Baru, Melaka, semalam.
MELAKA 26 April – Malang bagi seorang daripada tiga penjenayah apabila dia berjaya dicekup pihak polis setelah gagal melarikan diri bersama dua lagi rakannya dalam satu kejadian di Taman Cheng Baru di sini hari ini.
Dalam kejadian ki­ra-kira pukul 11.30 pagi itu, mereka yang dipercayai warga asing menceroboh masuk sebuah banglo milik seorang ahli politik yang didiami tujuh sekeluarga di taman tersebut.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, kesemua suspek berkenaan cuba melarikan diri setelah perbuatan mereka disedari orang awam yang segera memaklumkan perkara itu kepada pihak polis.
Menurutnya, sejurus menerima laporan mengenai kejadian, sepasukan polis daripada Unit Ronda Bermotosikal (URB) dan Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Melaka Tengah bergegas ke lokasi.
“Ketiga-tiga lelaki yang menyedari perbuatan mereka dikesan pihak berkuasa kemudian bertindak melarikan diri namun seorang daripada mereka berjaya ditangkap di halaman belakang banglo tersebut.
“Pemeriksaan terhadap suspek berumur 30-an yang ditangkap itu menjumpai sebilah parang, wang tunai dan barang kemas dipercayai sebahagian daripada hasil rompakan di rumah tersebut selain telefon bimbit,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Jelas Shaikh Abdul Adzis, kesemua suspek berumur antara 20 hingga 30 tahun itu dikatakan memasuki rumah mangsa menggunakan laluan di bahagian dapur.
Katanya, seorang pen­jenayah turut memiliki senjata tajam berupa parang sepanjang 450 sentime­ter.
“Tindakan penjena­yah itu menyebabkan mangsa rugi kira-kira RM20,000 termasuk hilang wang tunai, barang kemas dan telefon bimbit,” ujarnya.
Beliau berkata, seorang mangsa cedera selepas bergelut dengan penjenayah yang menggunakan parang sementara enam yang lain terselamat.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan ketika rompak dan polis kini menggiatkan usaha memburu dua lagi suspek yang melarikan diri menggunakan motosikal.
Sementara itu, pemilik banglo berkenaan yang juga bekas Ketua Bahagian MIC Bukit Katil, Datuk K. Basil, 54, memberitahu, beliau tiada di rumah semasa kejadian kerana menghadiri mesyuarat di pusat bandar dan dikejutkan dengan panggilan telefon daripada anak perempuannya memaklumkan rumah mereka dirompak.
“Sewaktu kejadian itu, isteri, dua anak saya serta ibu bapa mertua dan seorang pembantu rumah berada di rumah berkenaan namun saya bersyukur kerana kesemua mereka selamat malah tindakan pantas polis berjaya menangkap seorang daripada tiga perompak itu,” ujarnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/penyamun-banglo-dicekup-1.85012#sthash.W8rcUrGq.dpuf

Gegaran susulan 
burukkan keadaan


Jumlah korban gempa bumi Nepal 2,400 orang
27 April 2015 1:45 AM
 


Seorang wanita Nepal, tidak dapat menahan kesedihan semasa mengecam mayat ahli keluarganya yang maut dalam gempa bumi di sebuah hospital di Kathmandu, semalam. AFP

KATHMANDU 26 April - Satu gegaran susulan sekuat 6.7 pada skala Richter melanda Kathmandu hari ini, sekali gus memburukkan usaha mencari dan menyelamat ketika angka kematian daripada bencana gempa bumi semalam mencecah lebih 2,400 orang.
Gegaran susulan kuat itu yang boleh dirasai sehingga Delhi, India, mencetuskan runtuhan salji terbaharu yang melanda Kem Satu di Gunung Everest, namun setakat ini tiada laporan kematian atau kecederaan.
Pasukan mencari dan menyelamat di Nepal hari ini terpaksa memindah dan menggali runtuhan bangunan untuk mencari mangsa di Kathmandu selain helikopter digunakan untuk mengeluarkan mangsa-mangsa dari kem induk Gunung Everest.
Gegaran susulan yang berlaku sejak gempa bumi tersebut, memaksa penduduk di Kathmandu tidur dan membuat khemah sementara di kawasan lapang terutama di jalan raya pada waktu malam.
Ketua badan kebajikan Oxfam Australia, Helen Szoke berkata, bekalan elektrik terputus, manakala berlaku kesesakan dalam sistem komunikasi selain hospital penuh dengan pesakit dan tiada ruang untuk menempatkan mayat mang­sa kejadian berkenaan.

Jurucakap polis nasional, Kamal Singh Bam berkata, lebih 6,239 orang turut cedera.
“Kami telah mengerahkan semua sumber untuk operasi mencari dan menyelamat. Helikopter dikerahkan ke kawasan-kawasan terpencil. Kami kini mencari mang­­sa-mangsa di bawah runtuhan bangunan,’’ katanya.
Pegawai berkata, setakat ini, 17 orang maut di Gunung Everest selepas gempa bumi menyebabkan runtuhan salji di sebahagian daripada kem induk gunung itu.
Ketua biro AFP Nepal, Ammu Kannampuilly yang berada di kem induk tersebut berkata, enam helikopter berjaya ke kawasan pergunungan itu selepas cuaca bertambah baik pada pagi ini. – AFP/REUTERS/AGENSI
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/gegaran-susulan-8232-burukkan-keadaan-1.84965#sthash.m1pJ2CjH.dpuf

Dua beradik rakyat Malaysia 
gagal dikesan – Anifah


Anifah Aman
Anifah Aman
KUALA LUMPUR 26 April – Dua rakyat Malaysia yang dipercayai kini terkandas di Nepal masih gagal dikesan selepas berlaku gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 di negara tersebut, semalam.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, kedua-dua rakyat Malaysia itu me­rupakan adik-beradik wanita dan pi­hak­nya ma­­sih be­lum dapat mengenal pasti lokasi terkini mereka.
“Kami tidak pasti apa yang berlaku kepada kedua-dua wanita itu dan tidak mahu membuat sebarang spekulasi berhubung kea­daan mereka.
“Malaysia akan terus cuba menghubungi kedua-dua wanita tersebut dan memastikan mereka berada dalam keadaan selamat,” katanya dalam sidang akhbar sempena Sidang Kemuncak ASEAN kali ke-26, di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan identiti kedua-dua wanita itu dan bagaimana mereka berada di sana.
Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini menggerakkan operasi untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di negara itu.
Berdasarkan laporan media antarabangsa, lebih 1,800 orang terkorban dalam bencana alam yang berlaku di beberapa kawasan di Nepal, antaranya Kathmandu dan Pokhara.
Sementara itu, Anifah mewakili seluruh pemimpin ASEAN berkongsi rasa sedih dan menyam­paikan ucapan takziah kepada semua yang terlibat dalam nahas gempa bumi di Nepal.
“ASEAN berdiri teguh bersama-sama seluruh masyarakat dunia memberikan sokongan kepada keluarga mangsa gempa bumi. Kami juga akan menyalurkan bantuan kemanusiaan bagi meringankan beban yang dihadapi mereka,” ujarnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/dua-beradik-rakyat-malaysia-8232-gagal-dikesan-8211-anifah-1.85043#sthash.QLC4BFqs.dpuf