Search This Blog

Friday, April 24, 2015

Pesawat Delta Digoncang 'King Kong'


Diterbitkan: Jumaat, 24 April 2015 10:34 AM

PENUMPANG sebuah penerbangan yang  dalam perjalanan dari Paris ke Newark, New Jersey mendakwa pesawat mereka telah  digoncang oleh 'King Kong' di udara selepas berlaku gegaran teruk.
Berikutan itu, dua daripada penumpang Delta Flight 271 itu terpaksa dikejarkan ke hospital selepas pesawat mendarat kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Logan, Boston.
Keadaan pesawat ketika berdepan cuaca buruk itu turut membuatkan penumpang fobia untuk menyambung perjalanan dan masing-masing meminta untuk berehat.
Mereka turut mendakwa keadaan pesawat seperti telah digoncang oleh 'King Kong' ketika berdepan dengan cuaca buruk itu.
Berikutan itu, terdapat di antara mereka yang mengalami kecederaan ringan dan mendapat rawatan di lapangan terbang.

Mahkamah Tinggi Kekal Penjara Lima Tahun Dua Anggota Polis


Diterbitkan: Jumaat, 24 April 2015 5:19 PM

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Jumaat mengekalkan hukuman penjara lima tahun terhadap dua anggota polis berhubung kesalahan rasuah, lapan tahun lepas. Hakim Datuk Mohd Azman Husin membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Cif Inspektor Khairol Azhar Mohamed Mostar, 44, dan Lans Koperal Mohd Khaidir Sainon, 42, untuk mengetepikan sabitan itu.

"Setelah meneliti rekod rayuan dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah berpendapat bahawa sabitan terhadap kedua-dua tertuduh adalah selamat. Oleh itu,rayuan kedua-dua tertuduh terhadap sabitan ditolak," katanya.

Mahkamah juga membenarkan permohonan peguam Datuk Hanif Hashim untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Pada 20 November 2012, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan denda RM75,000 terhadap Khairol Azhar manakala Mohd Khaidir dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM25,000 selepas mereka didapati bersalah terhadap pertuduhan itu.

Mereka membayar denda tersebut.

Khairol Azhar, yang bertugas di Unit Risikan/Operasi/Tahanan Bahagian Siasatan Jenayah Narkortik Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini didakwa secara rasuah cuba memperoleh suapan wang tunai RM15,000 daripada Yap Wei Leong, sebagai dorongan untuk tidak menangkap Yap, yang memiliki syabu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Flat Mutiara Magna, Metro Prima Kepong, di sini pada 8 malam, 8 Ogos 2007.

Sementara Mohd Khaidir, yang bertugas di unit sama, didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya wang tunai sebanyak RM5,000 daripada Lim Yok Chuu yang bekerja sendiri, sebagai dorongan untuk tidak menangkap Yap.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di No. 17, Jalan Angsana SD 2/2A, Bandar Sri Damansara, Kepong di sini pada 8.30 malam, 9 Ogos 2007.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afifah Yusof.

Kes Tetak: Pok Yeh Dan Abi Diburu


Diterbitkan: Jumaat, 24 April 2015 5:28 PM

KUANTAN: Tiga suspek termasuk seorang anggota tentera sedang diburu kerana dipercayai terlibat dalam kes menetak empat sekeluarga di Felda Panching Timur di sini Ahad lepas.

Anggota tentera itu dikenali sebagai Mohd Afizan Zakaria, 30-an, rakan-rakanya Mat Zailani Mat Jusoh, 37, atau Pok Yeh serta Shahrul Kadri Kamaridun, 29, atau Abi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Abdul Aziz Salleh berkata kesemua suspek yang berusia lingkungan 20 hingga 50-an berasal dari Kampung Baru Seri Pandan disini.

Beliau berkata kejadian berpunca akibat perselisihan faham yang menyebabkan para mangsa serta seorang penyerang mereka cedera.

Kejadian berlaku apabila lima lelaki bersenjatakan parang menyerang rumah mangsa.

Seorang penyerang yang berumur 56 tahun telah ditahan.

Abdul Aziz berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung ketiga-tiga suspek diminta menghubungi 013-9203510 atau balai berhampiran.

Rakyat Malaysia Ditahan Di Bangkok Guna Kad Kredit Palsu


Diterbitkan: Jumaat, 24 April 2015 10:22 AM
- Gambar hiasan

BANGKOK: Seorang rakyat Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Muang pada Rabu ketika dia mahu berlepas pulang selepas membeli-belah dengan menggunakan kad kredit palsu.

Suspek yang dikenali sebagai Chia Bing Han, 24, ditahan kerana dikatakan menggunakan 11 kad kredit palsu untuk membeli barangan mewah di sebuah pusat beli-belah di sini.

Dia ditahan setelah pegawai sebuah bank memaklumkan kepada pihak berkuasa dia menggunakan kad kredit palsu bagi membeli telefon pintar di sebuah pusat beli-belah kira-kira 4 petang Rabu.

Menurut Polis Imigresen Thailand, kad kredit itu adalah atas nama Mr Chia Bing Han dan pihak berkuasa mendapati dia akan pulang ke Kuala Lumpur dengan  Malindo Air yang dijadual pada 7.10 malam dari Lapangan Terbang Don Muang Airport.

Dia ditahan pada pukul 6 petang di kaunter imigresen apabila dia mengemukakan pasportnya untuk 'check-in', kata Kol Pol Nattee Mahuemueang, Komander Imigresen Don Muang.

Pihak polis turut menemui iPad, tiga iPhone dan tali pinggang kulit bernilai lebih 200,000 baht daripada suspek.

Suspek mengaku dia diupah seorang lelaki di Malaysia untuk membawa kad kredit palsu ke Thailand bagi membeli barangan mewah untuk dibawa balik ke Malaysia.

Katanya dia dijanjikan wang sebanyak 10 peratus daripada jumlah kad kredit yang dibelanjakan.

Dia mengaku itulah pertama kali dia melakukan kesalahan tersebut.

Bernama diberitahu pihak kedutaan Malaysia bahawa sekurang-kurangnya 10 rakyat Malaysia ditahan atas kesalahan sama setakat tahun ini.

Empat Suspek Kes Samun Ditahan


Diterbitkan: Jumaat, 24 April 2015 5:37 PM

KLANG: Empat suspek kes samun ditahan manakala seorang lagi berjaya melarikan diri dalam kejadian di Taman Seri Sentosa di sini pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Kamarul Zaman Mamat berkata, dalam kejadian pada 6.30 pagi itu, pasukan peronda dari unit cegah jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan yang sedang melakukan rondaan di kawasan perumahan berkenaan terserempak dengan sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Estima dalam keadaan mencurigakan.   

"Selepas membuat semakan terhadap nombor pendaftaran kenderaan itu, didapati ia telah dilaporkan hilang pada awal pagi tadi di Selayang.   

"Apabila polis cuba untuk menahan kenderaan itu di Jalan Datuk Abdul Hamid 12, pemandunya cuba melarikan diri dan melanggar tiga buah kenderaan, malah seorang daripada anggota kami turut cedera," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Berikutan itu, beliau berkata, polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan dan dipercayai telah mencederakan dua daripada lima suspek yang berada dalam kenderaan berkenaan.

Menurut beliau, susulan daripada tembakan itu juga, kenderaan suspek mengalami kerosakan dan berhenti di Jalan Datuk Dagang 7, kira-kira 500 meter daripada lokasi pertama.   

"Selepas dikepung, empat suspek yang berumur lingkungan 21 hingga 26 tahun telah berjaya ditahan manakala seorang telah melarikan diri," katanya.   

Kamarul Zaman berkata gerakan mencari suspek yang melarikan diri sedang giat dijalankan dan beliau menasihati mana-mana klinik atau pusat rawatan tradisional yang didatangi individu cuba mendapatkan rawatan akibat kecederaan tembakan dibadan supaya segera melaporkan kepada polis.

Menurutnya, kumpulan berkenaan dipercayai bergiat aktif dalam aktiviti samun sejak tiga bulan lepas, tetapi mula bertindak ganas sejak akhir-akhir ini.   

"Kami percaya kumpulan yang sama telah menetak kedua-dua tangan seorang lelaki di Bandar Parkland dekat sini hanya kerana bertanyakan 'apa kamu buat di sini' pada malam Khamis.

"Selain itu, kumpulan ini juga telah melanggar seorang individu setelah mereka melarikan kereta mewah jenis Toyota Vellfire milik mangsa di Kampung Jawa di sini, lewat malam semalam," katanya.

Wanita Tunjuk Payu Dara Selepas Berbalah Isu Bayar Nasi Ayam


Diterbitkan: Jumaat, 24 April 2015 5:40 PM

KUALA LUMPUR: Seorang wanita tidak dikenali bertindak menanggalkan pakaiannya untuk mengelak daripada membayar makanan yang dimakannya berjumlah RM18 di Jalan Petaling pada Khamis.
Difahamkan, dalam kejadian itu, wanita terbabit telah ke sebuah restoran nasi ayam bersama seorang lelaki sekitar jam 3 petang, pada Khamis.
Seorang pemilik gerai berdekatan yang hanya mahu dikenali sebagai Wong berkata, wanita itu menghabiskan dua pinggan nasi ayam sebelum bertindak meninggalkan restoran tersebut tanpa membuat sebarang bayaran.
"Wanita itu menafikan mengenai makanan yang dimakannya selepas pengendali restoran cuba untuk menghentikannya.
"Bagaimanapun, rakaman video cctv menunjukkan bahawa dia telah makan disitu sebelum wanita berkenaan bertindak menanggalkan pakaiannya untuk mengelak daripada membayar," kata Wong, yang juga seorang pemilik kedai barang kemas bersebelahan restoran nasi ayam.
Satu rakaman video yang menunjukkan wanita tersebut menanggalkan pakaiannya dimuatnaik ke laman sosial, Youtube beberapa jam selepas insiden berlaku namun kemudiannya dipadam.
Saksi yang berada di tempat kejadian berkata, lelaki yang bersama wanita tersebut, dipercayai seorang 'mat saleh' bergelut dan berbalah dengan pengendali restoran apabila wanita tersebut tidak dibenarkan keluar.
Mereka berdua kemudiannya dilaporkan melarikan diri apabila anggota polis tiba di tempat kejadian.

Warga Emas Didakwa Rangsang 11 Kanak-Kanak


Diterbitkan: Jumaat, 24 April 2015 5:59 PM
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada Jumaat  atas 11 pertuduhan merangsang 11 kanak-kanak lelaki untuk melakukan kelucahan melampau dengannya sejak dua tahun lepas.

Noor Din Chaw Fooi, 67, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan itu dibacakan secara berasingan dalam bahasa Kantonis di hadapan Hakim Zulqarnain Hassan.  

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu terhadap kanak-kanak yang berusia antara 8 hingga 14 tahun di rumah sewanya di Kondominium Genting Court Setapak Indah Jaya, Wangsa Maju di sini, dari 2013 hingga Mac 2015. 

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyah Ahmad tidak menawarkan ikat jamin kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius dan dia mungkin akan mengganggu semua mangsanya jika dibenarkan jaminan.

Zulqarnain membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan menetapkan 8 Mei depan untuk sebutan semula.  

Sementara itu, Noor Din yang juga bekas pekerja sebuah kilang mengaku bersalah bagi pertuduhan memiliki 32 keping cakera VCD lucah, sebuah album yang memuatkan gambar bogel kanak-kanak itu dan tiga telefon bimbit yang turut mempunyai gambar bogel mereka.

Dia didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah menetapkan 8 Mei depan untuk menjatuhkan hukuman.

Lapan Orang Cedera Letupan Bom Di Narathiwat Dan Pattani


Diterbitkan: Jumaat, 24 April 2015 9:11 PM

PATTANI/NARATHIWAT: Lapan orang cedera dalam letupanbom di Narathiwat dan Pattani pada Jumaat.

Dalam kejadian di Narathiwat, seorang bapa dan tiga anaknya, yang berumur empat, enam dan lapan tahun cedera ringan apabila bom meletup ketika mereka dalam perjalanan dari rumah ke padang sukan, menunggang motosikal.

Ketua Polis Daerah Takbai Kolonel Jiradej Prasawang berkata kejadian berlaku pada 8.15 pagi apabila bom buatan sendiri yang dipasang dalam tong gas memasak seberat 20 kg yang ditanam di tepi jalan meletup setelah diaktifkan dengan walkie talkie.

Sebutir lagi bom yang ditemui 60 meter dari tempat kejadian pertama seberat 10 kg dapat dimusnahkan skuad pemusnah bom, kata beliau.

Sementara itu di daerah Mayo, Pattani sebutir bom buatan sendiri meletup ditepi jalan Mayo-Tung yang daeng menyebabkan empat pegawai keselamatan yang terdiri daripada dua anggota rela dan dua anggota tentera cedera ringan dalam satu insiden awal pagi.

Ketua Polis Daerah Mayo Kolonel Jiraseth Dao-ngentrakul berkata tiga meter dari tempat kejadian tersebut pihak keselamatan menjumpai sebutir lagi bom yang dipasang dalam tong gas seberat 20 kg dan ia berjaya dimusnahkan.

Pihak keselamatan juga menemui dua lagi bom seberat 50 kg di bawah jambatan, iaitu 100 meter dari tempat kejadian letupan bom tersebut dan turut berjaya memusnahkannya, kata beliau.

Kanak-kanak dipukul dengan rotan dibekal ibu

Rotan

JOHOR BAHRU - Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dilapor lebam pada kaki, punggung dan tangan akibat dirotan pengasuhnya dengan rotan yang dibekalkan ibunya.
  
Kejadian berlaku di sebuah rumah Taman Sri Yacob di sini semalam.
  
Ibu kanak-kanak itu, Lau Hui Choon, 32, berkata dia menerima panggilan daripada pengasuh tersebut pada pukul 8 malam memberitahu anaknya asyik menangis.
  
Beliau berkata, beliau lalu pergi ke rumah pengasuh itu dan mendapati anaknya menangis kerana sakit dirotan di kaki, punggung dan tangan.
  
"Saya yang terkejut membawa anak saya pulang ke rumah dan membuat laporan polis," katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun selang beberapa jam kemudian Lau menarik balik laporan itu.
  
Beliau berkata, dia memang memberikan pengasuh tersebut rotan untuk menakut-nakutkan anaknya sekiranya anaknya nakal.
  
"Tetapi saya tidak menyangka dia (pengasuh) betul-betul menggunakan rotan itu untuk merotan anak saya," katanya.
  
Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Nor Hashim Mohamad mengesahkan laporan yang dibuat kepada pihaknya telah ditarik balik.
  
“Namun kes masih disiasat di bawah Seksyen 3 (1) Akta Kanak-Kanak,” katanya. - Bernama

Godam sistem komputer universiti untuk ubah markah

Godam sistem komputer universiti untuk ubah markah
Imran Udin dipenjara 4 bulan.

BIRMINGHAM - BRITAIN. Seorang pelajar Universiti Birminghams dipenjara empat bulan selepas didapati bersalah menggodam sistem komputer universiti berkenaan dan mengubah keputusan peperiksaannya.

Imran Udin, 25, menggunakan sebuah peranti khas untuk mencuri kata laluan kakitangan universiti berkenaan dan mengubah markah peperiksaannya kerana bimbang akan hanya memperoleh ijazah kelas kedua rendah.

Beliau dipenjara di Mahkamah Birmingham Crown di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer.
Pendakwaraya, Madhu Rai berkata, pelajar tersebut meletakkan peranti pada papan kekunci komputer dengan tujuan untuk mencuri kata laluan kakitangan universiti berkenaan.

“Kegiatannya itu terbongkar selepas dua kakitangan universiti yang menjalankan rutin penyelenggaraan komputer menemui peranti berkenaan di belakang papan kekunci komputer di bilik kuliah Fakulti Sains Bio.

“Pihak universiti kemudiannya memeriksa semua komputer dan kemudiannya menjumpai tiga lagi peranti serupa yang dipasang di belakang papan kekunci.
“Salah satu peranti tersebut diletakkan pada komputer kakitangan yang bertanggungjawab untuk mengisi gred peperiksaan,” katanya.

Siasatan lanjut mendapati Imran telah menggodam sistem komputer dan menukar markah untuk lima kertas kerja kursus kepada peratusan yang lebih tinggi.

Salah satu markah kertas yang ditukarnya ialah dari 57 peratus kepada 73.6 peratus.

Polis kemudiannya menggeledah rumah pelajar berkenaan dan mendapati Imram pernah membuat carian tentang peranti berkenaan di laman internet.
Sementara itu, peguam bela Imran, Balbir Singh berkata, pelajar itu terpaksa melakukan perkara itu kerana tertekan dengan keluarganya yang mahukannya memperoleh keputusan yang cemerlang ditambah pula dia satu-satunya anak yang berjaya menyambung pelajaran ke universiti.

"Dia berada di tahun akhir dan kini digantung pengajian dan tidak mungkin mana-mana universiti akan mengambilnya selepas ini", katanya dipetik Mirror.uk.

Remaja perempuan maut kena renjatan elektrik

Abd Ghani Zainun
Abd Ghani Zainun

 1 / 1 
KUBU GAJAH - Seorang remaja perempuan maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika bercakap menggunakan telefon bimbit di rumahnya di Kampung Padang Bola, Kubu Gajah, di sini, kelmarin.

Difahamkan, ketika kejadian kira-kira jam 4 petang itu, Fatin Nabila Syakira Mohd Kamis, 17, yang tinggal bersama keluarganya dikatakan sedang bercakap menggunakan telefon ketika hujan lebat dan kilat.

Menurut sumber, keluarga mangsa terkejut selepas terdengar jeritan mangsa dan seorang ahli keluarganya bergegas masuk ke dalam biliknya.

Katanya, mangsa ditemui  dalam bilik tersebut dan terdapat pendarahan di telinga kanannya.

“Melihat keadaan mangsa, keluarganya segera meminta bantuan jiran membawanya ke Hospital Selama untuk rawatan sebelum mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya.

Sumber itu berkata, jenazah Fatin Nabila Syakira disembahyangkan di Surau Al-Mardziah dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kubu Gajah, kelmarin.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Selama, Asisten Superintendan Abd Ghani Zainun ketika dihubungi berkata, laporan bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat terkena renjatan voltan elektrik yang tinggi.

“Setakat ini, kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan berhubungan kejadian ini masih dijalankan,” katanya.

Pintu pesawat terbuka, pesawat menjunam

Skywest
CONNECTICUT - AMERIKA SYARIKAT. Sebuah pesawat terpaksa menjunam hampir 28,000 kaki selepas pintu utama pesawat terbuka dan menyebabkan kehilangan tekanan udara dalam kabin, semalam.

Menurut Dailystar, penerbangan Skywest 5622 tersebut yang membawa 75 penumpang mendarat dengan selamat di New York pada jam 11.30 pagi waktu tempatan.

Sebelum itu, pesawat berkenaan berlepas dari lapangan terbang Bradley pada jam 9.30 pagi waktu tempatan.

Berdasarkan laporan ABC News dan NBC, pintu utama pesawat berkenaan mengalami masalah teknikal.

Menurut jurucakap SkyWest, pesawat terpaksa dijunamkan untuk menstabilkan tekanan udara pesawat.

Saksi, Vanessa Bergmann berkata, tiga orang penumpang pengsan disebabkan insiden berkenaan.

"Mereka beritahu kami supaya bernafas dan bernafas, kemudian pesawat menjunam.

"Ia sangat menakutkan," jelas Bergmann.

Gunung berapi meletus di selatan Chile

KHAMIS, 23 APRIL 2015 @ 9:15 AM



SANTIAGO: Gunung berapi Calbuco di selatan Chile meletus buat kali pertama sejak lebih lima dekad hari ini menyebabkan kepulan debu dan asap tebal kelihatan beberapa kilometer ke udara. Pejabat Kecemasan Onemi Chile mengeluarkan amaran merah berikutan letusan gunung berapi itu pada kira-kira jam 6 petang (waktu tempatan) dan berlaku kira-kira 1,000 kilometer di selatan Santiago, dekat bandar pelancongan, Puerto Varas. Pihak berkuasa berkata, kira-kira 1,500 orang dikeluarkan dari kawasan berkenaan dan kerja pemindahan pada jarak kira-kira 20 kilometer sudah dimulakan. "Dalam keadaan begini apabila paras letupan yang tinggi, risiko utama ialah ia boleh runtuh, berlaku kesan letupan akibat graviti kerana ia berat dan boleh menyebabkan penghasilan batuan," kata pakar gunung berapi, Gabriel Orozco. Penghasilan batuan yang membawa bersama gas yang panas dan serpihan batu boleh memusnahkan hampir apa saja dan bergerak dengan kelajuan di antara 200 dan 300 kilometer sejam. Sementara itu, LATAM Airlines berkata, syarikat itu membatalkan semua penerbangan pergi dan balik dari bandar Puerto Montt, berikutan debu tebal yang berupaya merosakkan pesawat dan menjadikan penerbangan berbahaya. Sementara itu, seorang penduduk, Trevor Moffat, yang menetap di Ensenada, kira-kira 10 kilometer dari gunung berapi itu berkata, ahli keluarganya meninggalkan kediaman mereka apabila gunung berkenaan meletup. Gunung berapi Calbuco setinggi 2,003 meter meletus kali terakhir pada 1961. - AFP

PEMANDANGAN Gunung Berapi Calbuco yang meletus di selatan Chile, hari ini. - Foto EPA

Gempa bumi sederhana gegar New Zealand

KHAMIS, 23 APRIL 2015 @ 10:14 AM




WELLINGTON: Gempa bumi sederhana 4.7 magnitud menggegar ibu negara New Zealand, Wellington hari ini dan menyebabkan bangunan pejabat bergoyang tetapi tidak mengakibatkan kerosakan, lapor Agensi Penyelidikan Geologi Amerika Syarikat (USGS). USGS berkata, pusat gempa ialah di South Island dan pada kedalaman 22 kilometer. Perkhidmatan pemantauan rasmi GeoNet New Zealand pada awalnya meletakkan bacaan gempa bumi berkenaan pada 5.2 magnitud. Wellington dipisahkan dari pusat gempa oleh Selat Cook dan gegaran dirasai di ibu negara berkenaan sebanyak dua kali dengan jarak beberapa saat sehingga menyebabkan bahagian tingkat bangunan bergoyang. Sebelum ini, gempa bumi berukuran 6.5 magnitud pernah melanda negara itu pada Julai dan Ogos 2013 menyebabkan bekalan elektrik terputus dan pekerja pejabat di Wellington cemas menyelamatkan diri. Wellington pernah dilanda gempa bumi di Christchurch pada Februari 2011, menyebabkan 185 terkorban. - AFP

JPJ, SPRM rampas lagi kenderaan klon


Oleh Ikram Ismail

ikram.ismail@mediaprima.com.my
Shah Alam: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita dua lagi kereta yangdipercayai kenderaan diklon, diseludup masuk ke Malaysia dari negara jiran, hari ini.
Menurut kenyataan media Pengarah Perisikan SPRM, Datuk Azam Baki, JPJ sudah menyita Lexus di Padang Jawa, Selangor dalam satu operasi, pagi ini.
“Honda Odyssey pula milik seorang guru disita SPRM selepas pemilik kereta terbabit ditahan oleh Polis Diraja Malaysia ketika membuat laporan polis semalam.
"Sehingga ini, 171 kenderaan sudah disita oleh SPRM dan JPJ di Terengganu, Johor dan Negeri Sembilan,"kata Azam.
Azam berkata, SPRM Terengganu akan memanggil 153 daripada 169 pemilik kenderaan diklon yang disita di Terengganu itu untuk diambil keterangan.
"Pihak kami percaya bahawa selain di Terengganu, Johor dan Negeri Sembilan, kenderaan klon juga terdapat di beberapa negeri lain.
"Operasi berterusan akan dijalankan oleh SPRM dan JPJ untuk mengesan kenderaan diklon," katanya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/45890#sthash.mGtyJ58O.dpuf

Tiga tokan dadah antara 180 dicekup STING

Langkawi: Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman menahan seramai 180 individu atas pelbagai kesalahan dadah dalam Ops Sarang di dua lokasi berasingan, di sini, yang berakhir tengah hari ini.
Serbuan bermula jam 5.30 pagi kelmarin di Kampung Tanjung Lembung dan Taman Nilam itu membabitkan 150 anggota STING serta dibantu anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi, Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Timbalan Komander II STING Senior Asisten Komisioner Polis Roslan Abd Wahid berkata, daripada jumlah itu seramai tiga pengedar dadah warga tempatan turut direman selama tujuh hari mulai semalam.
Katanya, dalam operasi bersepadu itu, polis turut merampas dadah jenis heroin dianggarkan seberat 150 gram heroin, 6.68 gram syabu dan 12 kilogram daun ketum.
"Seramai 180 individu yang ditahan berusia antara 13 hingga 55 tahun dan dua daripadanya adalah wanita. Daripada jumlah itu, seramai 125 didapati positif dadah selepas ujian saeingan awal air kencing," katanya pada sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini, sebentar tadi.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2015 @ 5:11 PM


SEBAHAGIAN 180 individu yang ditahan STING Bukit Aman dalam Ops Sarang di Langkawi. FOTO Hamzah Osman
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/45885#sthash.BDFWn4wn.dpuf

Jika masih belum ajal

Oleh Mohamad Hanafis Abdul Haris 
am@hmetro.com.my

Batu Pahat: Lelaki dipercayai warga Pakistan nyaris maut selepas kereta yang dipandunya merempuh bas ekspres di Jalan Batu Pahat-Kluang berdekatan Parit Raja, di sini, petang tadi.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Hitam berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan, pada 3.42 petang.
Menurutnya, kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu bas, Toyota Altis dan Proton Iswara.
"Pemandu Toyota mengalami cedera manakala penumpangnya parah akibat tersepit dan terperangkap dalam kereta. Bagaimanapun, berjaya dikeluarkan dalam tempoh beberapa minit oleh anggota. Pemandu bas dan penumpang pula terselamat manakala pemandu Iswara cedera," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2015 @ 8:53 PM


FOTO ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/45894#sthash.s9vPy9Vl.dpuf

Kurung, bunuh ibu

Skien (Norway): Seorang wanita dituduh mengurung ibunya dalam sangkar anjing sebelum mencampakkannya ke dalam sungai berhampiran kediaman mereka.
Pasukan penyelam polis yang menjalankan gerakan mencari semalam, menemui kandang anjing itu, bersama-sama dengan rangka Karl Gronnestad di Sungai Skien.
Karl, 59, hilang tiga tahun lalu tanpa kesan.
Pembunuhannya itu terbongkar ekoran pergaduhan besar antara anaknya dengan teman lelakinya Ahad lalu.
Kedua-duanya ditangkap pada malam sama dan lelaki berkenaan mengaku meletakkan mayat wanita berkenaan dalam kandang anjing dan mencampakkannya ke dalam sungai selepas teman wanitanya yang berusia 31 tahun membunuh mangsa.
Polis bagaimanapun membebaskan lelaki itu kerana tidak mempunyai bukti cukup untuk menahannya.
Peguam wanita terbabit, Brjorn Naerum mendakwa, anak guamnya terkejut dengan pengakuan lelaki itu dan menafikan terbabit dengan kehilangan ibunya walaupun menjadi orang terakhir dilihat bersama-sama mangsa sebelum mangsa hilang.
Dia juga memainkan peranan penting membantu polis dalam usaha mencari ibunya. - Agensi
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/45926#sthash.vRvXMYIt.dpuf

Hisap shisha sebarkan tibi



SEORANG pelanggan sedang asyik menghembuskan asap shisha yang dihisapnya di sebuah restoran di Kuala Lumpur kelmarin.


KUALA LUMPUR – Amalan menghisap shisha secara berkongsi berisiko menyebabkan penggunanya dijangkiti penyakit berjangkit termasuk tibi atau batuk kering.
Pengarah Institut Perubatan Respiratori, Datuk Dr. Abdul Razak Muttalif berkata, perkongsian shisha juga berpotensi menyebarkan penyakit lain seperti jangkitan paru-paru dan mulut.
“Shisha kebiasaannya dikongsi beramai-ramai dalam satu kumpulan. Oleh itu, penggunaannya boleh menyebabkan penyakit berjangkit disebabkan kuman pada paru-paru atau mulut.
“Jadi saya tidak faham mengapa ada segelintir masyarakat menganggap penggunaan shisha tidak berbahaya kepada kesihatan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam

Kosmo! pada 18 April lalu melaporkan kes penyakit tibi di negara ini meningkat daripada 24,071 kes dengan 1,597 kematian pada tahun 2013 kepada 24,711 kes melibatkan 1,603 kematian pada tahun lalu.
Abdul Razak berkata, risiko kesihatan disebabkan amalan menghisap shisha adalah sama seperti menghisap rokok iaitu kanser, sakit jantung dan strok.
Menurutnya, pengguna shisha turut menghisap bahan kimia dalam arang yang digunakan dalam peralatan tersebut.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0424&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz3YB9UrYc0 
Hakcipta terpelihara 

Wanita lepaskan tembakan di McDonald’s kerana dapat burger tanpa bakon

Image result for Shaneka Monique TorresWASHINGTON – Seorang wanita Michigan dihukum penjara tiga hingga tujuh tahun kerana melepaskan tembakan di sebuah kaunter pandu lalu restoran McDonald’s selepas hidangan hamburgernya dua kali dihantar tanpa daging bakon, lapor media tempatan kelmarin.
Shaneka Monique Torres didapati bersalah pada Mac lalu kerana membawa senjata api tersembunyi, melepaskan tembakan ke arah bangunan dan menggunakan senjata api secara salah, lapor media WZZM.
Torres, 30, mengunjungi kaunter pandu lalu McDonald’s itu bersama seorang rakannya pada malam 10 Februari 2014 dan memesan hamburger keju bersama bakon.
Seorang pengurus premis itu memohon maaf apabila burger tersebut tiba tanpa bakon dan menawarkannya hidangan percuma, menurut media sama.
Dia kembali semula beberapa jam kemudian dan sekali lagi diberikan burger tanpa bakon. Torres yang berang menjerit ke arah pekerja restoran berkenaan sebelum mengeluarkan sepucuk pistol dari dalam dompetnya dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah bangunan tersebut.
Tiada kecederaan dilaporkan tetapi tembakan itu menyebabkan tingkap kereta Torres pecah.
Wanita itu ditangkap sekitar 1.6 kilometer dari restoran berkenaan kira-kira 30 minit kemudian.
Peguam belanya memberitahu bahawa insiden tembakan itu tidak disengajakan dan bukan kerana Torres diberikan hidangan burger tanpa bakon. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0424&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3YB111KGQ 
Hakcipta terpelihara 

Warga emas rugi RM15,000 kena pukau


SABAK BERNAM 23 April - Seorang warga emas kerugian wang simpanan sebanyak RM15,000 selepas ditipu wa­nita warga asing bersama seorang lelaki warga tempatan di Sekinchan di sini, Selasa lalu.
Mangsa, Mukadi Resad, 68, mendakwa, sebelum kejadian, dia baharu mengeluarkan wang dari sebuah bank di sini sebelum didatangi seorang wanita yang merayu kepadanya supaya menjadi penjamin bagi membantu menuntut wang hadiah yang dimenangi melalui pertaruhan nombor ramalan.
“Wanita itu menghampiri dan merayu kepada saya supaya jadi penjamin kerana dia menang nombor ekor. Wanita itu memberitahu kepada saya beliau berasal dari Indonesia dan tak boleh menuntut wang hadiah pertaruhan itu selagi tak ada penjamin orang tempatan.
“Bagaimanapun, saya bagi alasan kena balik cepat sebab nak ambil cucu pulang dari sekolah. Namun selepas itu datang pula seorang lelaki yang memujuk saya supaya bantu wanita itu yang da­lam kesusahan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Limau di sini, hari ini.
Tambah Mukadi, dia kemudiannya secara tidak sedar menuruti ke­dua-dua individu terbabit dan menaiki sebuah kereta sebelum memasuki bank yang sama sejurus selepas itu.
“Semasa berada dalam kereta, wanita itu menceritakan kesusahan yang dialami, termasuk memerlukan wang segera disebabkan kakak iparnya nak bersalin di Teluk Intan. Kemudian mereka meminta saya mengeluarkan wang untuk didahulukan kepada wanita terbabit dengan mengisi borang pengeluaran wang yang terdapat di dalam kereta itu.
“Saya pun isi borang. Mula-mula dia minta RM30,000 tetapi saya tegas untuk keluarkan RM15,000 saja dan mereka pun tak cakap banyak lalu meletakkan kereta selang beberapa bangunan dari bank terbabit.
“Sebaik keluar dari bank, saya masuk semula ke dalam kereta. Mereka kemudiannya mengambil wang terbabit dan memberitahu saya perlu membuat salinan MyKad untuk menjadi penjamin bagi membolehkan wanita itu menebus wangnya di kedai nombor ekor,” jelasnya lagi.
Katanya lagi, lelaki itu kemudiannya menurunkannya di sebu­ah restoran dengan alasan bagi me­mudahkannya mencari mana-mana kedai berhampiran yang me­nyediakan perkhidmatan mesin fotostat.
“Saya tengok sebuah kedai tutup dan saya pergi ke sebuah kedai lain, tapi tak ada pula mesin fotostat di kedai itu. Sebaik keluar dari kedai, saya tengok kereta terbabit sudah tiada,” ujarnya yang tidak menolak kemungkinan dipukau ketika kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu.
Menurutnya, dia telah membu­at laporan di Balai Polis Sungai Besar kira-kira pukul 2 petang pada hari yang sama.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Budiman Mohd. Zohdi ketika mengunjungi Mukadi di ke­diamannya di sini berkata, terdapat sekurang-kurangnya empat kejadian warga emas ditipu dengan modus operandi yang hampir sama dalam tempoh sebulan ini.
“Saya difahamkan, ada seorang mangsa ditipu sehingga RM40,000 menggunakan helah dan taktik yang sama. Saya sendiri akan menghantar surat kepada semua pengurus bank di Sungai Besar berhubung perkara ini,” katanya.
Malah, beliau turut meminta institusi kewangan mengambil langkah tambahan terutamanya kepada warga emas yang mengeluarkan wang melebihi amaun biasa terma­suk meminta pengesahan daripada waris terdekat bagi menge­lakkan kejadian sama berulang.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/warga-emas-rugi-rm15-000-kena-pukau-1.84030#sthash.yPFHPZHe.dpuf

Rumah teres jadi 
pusat judi diserbu


Enam wanita, seorang lelaki ditahan

ISMAIL YATIM (kiri) menunjukkan barangan rampasan daripada sindiket
ISMAIL YATIM (kiri) menunjukkan barangan rampasan daripada sindiket pusat pengiraan perjudian nombor ekor dalam serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat dalam sidang akhbar di Johor Bahru, semalam. BERNAMA
JOHOR BAHRU 23 April - Polis Johor menumpaskan satu sindiket pusat pengiraan perjudian nombor ekor de­ngan nilai pertaruhan mencecah RM5 juta sebulan di sebuah rumah teres dua tingkat di Sri Gading, Batu Pahat Ahad lalu.
Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Ismail Yatim berkata, dalam serbuan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun dan enam wanita berusia dalam lingkungan 35 hingga 52 tahun yang dipercayai menjalankan kegiatan tersebut ditahan.
Menurutnya, hasil siasatan awal polis mendapati, rumah tersebut dipercayai dijadikan sebagai pusat pengumpulan dan pengiraan perjudian nombor ekor itu sejak dua tahun lalu oleh sindiket yang turut aktif di Batu Pahat dan Kluang.
“Dalam serbuan dilakukan hasil maklumat orang awam itu, kita berjaya merampas beberapa barangan berkaitan antaranya 99 keping kertas dipercayai tercatat angka pertaruhan dan lima buah komputer riba pelbagai jenama.
“Selain itu, 12 telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah mesin pen­cetak dan 12 mesin kira-kira turut dirampas dalam serbuan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Tambah Ismail, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 4A (a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.
Sementara itu, dalam kes bera­singan, beliau berkata, satu kumpulan samun didalangi warga asing yang giat beroperasi di negeri ini dan Melaka berjaya ditumpaskan dengan tertangkapnya lapan lelaki warga asing pada Khamis lalu.
Katanya, suspek yang berusia dalam lingkungan 22 hingga 43 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar Senai dan bandar raya ini.
“Dalam serbuan itu, kita me­rampas 13 telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah kamera dan seutas rantai leher. Kesemua suspek kini ditahan reman sehingga 30 April ini,” katanya.
Beliau memberitahu, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/rumah-teres-jadi-8232-pusat-judi-diserbu-1.84100#sthash.dO42hFBU.dpuf