Search This Blog

Wednesday, April 22, 2015

Penyamun muda masuk perangkap





KOTA KINABALU – Usia mereka baru setahun jagung, namun 13 remaja terdiri daripada lapan lelaki dan lima perempuan sudah pandai bertindak seperti kumpulan gangster apabila terlibat dalam beberapa kes samun melibatkan kedai serbaneka 24 jam di daerah ini.
Tidak cukup dengan samun menggunakan pisau, kumpulan yang terdiri daripada remaja berusia 15 hingga 19 tahun ini juga berani mencabar kewibawaan polis apabila enggan menye­rah diri walaupun dikejar beberapa kenderaan polis selama 45 minit.
Bagaimanapun, kelicikan kumpulan ini berakhir apabila mereka dan dua lagi suspek lelaki berusia 22 dan 28 tahun dicekup dalam tiga operasi bera­singan di sekitar daerah ini pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M. Chandra berkata, siasatan awal mendapati kesemua 15 suspek ini dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya empat kes samun membabitkan kedai serbaneka 24 jam di daerah ini.
Katanya, kegiatan kumpulan remaja berkenaan terbongkar selepas polis menahan tujuh individu terdiri daripada tiga lelaki dan empat perempuan yang melakukan samun bersenjata pisau di sebuah kedai serbaneka 24 jam di Jalan Padang di sini kira-kira pukul 5.50 pagi, Ahad lalu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0422&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz3Y3CpmuPO 
Hakcipta terpelihara 

Janda perompak dijel 6 tahun


ANGGOTA polis mengiringi Sumiyyah (kiri) yang dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu semalam setelah mengaku salah merompak sebuah butik pengantin Julai tahun lalu.


KOTA BHARU – Seorang janda anak dua dipenjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam atas kesalahan merompak sebuah butik pengantin menggunakan pistol dan pedang di Pengkalan Chepa tahun lalu.
Hakim Mohd. Yusoff Yunus menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, Sumiy­yah Razali, 23, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Dia yang mengganggur bersama seorang lagi yang masih bebas telah merompak pengusaha butik pengantin, Nor Asuwah Ibrahim, 48, bersenjatakan pedang dan pistol membabitkan kerugian bernilai RM20,000.
Dalam rompakan itu, tertuduh melarikan gelang emas berlian, gelang emas tulisan jawi nama Asuwah, komputer riba, beg tangan yang dijual, beberapa helai jubah, beg tangan jenama Coach mengan­dungi resit dan wang RM150 serta beg tangan jenama Celline mengandungi kad pengenalan, MyKid, surat, buku cek serta cermin mata Bonia.
Tertuduh didakwa me­lakukan kesalahan tersebut di sebuah butik pengantin di SS/44, No. 3151-B, Kampung Landak, Jalan Padang Tembak, Pengkalan Chepa dekat sini pada pukul 10.05 malam, 21 Julai tahun lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Ke­seksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0422&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz3Y3CeEMaH 
Hakcipta terpelihara 

Bahana cinta laman WeChat



DUA anggota polis membawa suspek (tengah) yang dipercayai merogol gadis berusia 12 tahun ke Balai Polis Pusat Miri di Miri, Sarawak semalam.


MIRI – Tindakan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun berjumpa kenalan yang baru dikenalinya menerusi aplikasi sosial WeChat membawa padah apabila dia dirogol lelaki berkenaan di sebuah rumah di Tudan di sini kelmarin.
Murid tahun enam itu dipercayai baru seminggu mengenali suspek berusia 26 tahun tersebut sebelum keluar berdua-duaan menaiki Perodua Alza milik bapa lelaki terbabit untuk bersiar-siar.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Gan Tian Kee berkata, mengikut aduan mangsa, dia telah dibawa oleh suspek ke rumah milik keluarganya sebelum melakukan hubungan seks pada malam kejadian.
Katanya, semasa melakukan perbuatan terkutuk itu, ahli keluarga suspek yang bekerja dengan syarikat minyak dan gas di sini tiada di rumah.
“Hasil siasatan mendapati, mangsa mendakwa mengenali suspek melalui WeChat sebelum kedua-dua mereka mengatur pertemuan untuk kali pertama,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0422&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz3Y3CQOX9v 
Hakcipta terpelihara 

Sindiket dadah Masai tumpas


Khalid mengucap syabas kepada JSJN Johor menerusi akaun twitternya semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan ditahan bersama sejumlah bahan letupan buatan sendiri, sepucuk pistol, peluru dan dadah di sebuah pangsapuri di Plentong, Masai di Johor semalam.
Suspek berusia 48 tahun itu ditahan pada pukul 9 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hasil risikan dan maklumat daripada orang awam.
Satu sumber berkata, pangsapuri itu dijadikan tempat menyimpan bekalan dadah jenis syabu sebelum bahan terlarang tersebut diedarkan di pasaran tempatan oleh sindiket dadah di daerah tersebut.
“Ketika serbuan, suspek berada di rumah seorang diri. Pemeriksaan di rumah itu turut merampas pistol dan sejumlah bahan letupan dipercayai bagi tujuan melindungi kegiatan sindiket itu,” kata sumber itu ketika dihubungi di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0422&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz3Y3CF2jaw 
Hakcipta terpelihara 

Sanggup lari berkain pelekat



SEBAHAGIAN daripada pekerja warga asing yang ditahan Imigresen Terengganu dalam serbuan di Kemaman semalam.


KEMAMAN – Aksi berani seorang lelaki Bangladesh berlari berkaki ayam dengan hanya memakai kain pelekat sejauh 300 meter sehingga menyeberangi Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) tidak ke mana.
Lelaki berumur 20 tahun itu berjaya ditangkap penguat kuasa Jabatan Imigresen Terengganu dalam satu serbuan di sebuah rumah kongsi berhampiran tapak projek pembinaan kawasan Rehat dan Rawat Paka di Kilometer 337 LPT di sini kelmarin.
Ketika serbuan kira-kira pukul 11 malam itu, lelaki tersebut dilihat cuba melarikan diri ke kawasan lapang sebelum bertindak menyeberangi LPT dalam keadaan gelap.
Ketua Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen negeri, Ahmad Salihin Salleh berkata, lelaki tersebut antara 32 orang warga asing dalam operasi selama enam jam di beberapa kawasan di daerah ini bermula pukul 10 malam.
“Mereka yang ditahan berusia antara 20-an hingga 40-an termasuk seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia berusia dua tahun,” katanya di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0422&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz3Y3C1sgKx 
Hakcipta terpelihara 

Guru maut dipanah pelajar



Beberapa penduduk melihat jambangan bunga dan lilin yang diletakkan di kaki lima sekolah Institut Joan Fuster di Barcelona semalam.


BARCELONA – Seorang remaja lelaki yang memanah dan membunuh gurunya serta mencederakan beberapa mangsa lain dalam serangan di sebuah sekolah di sini didapati mempunyai senarai ‘sasaran’, lapor media Sepanyol.
Budak lelaki berumur 13 tahun itu telah menyenaraikan 25 nama guru dan pelajar yang mahu dibunuh sebelum mendedahkan komplot tersebut kepada beberapa rakan sekelasnya minggu lalu tetapi mereka menganggap dia hanya bergurau.
Pelajar itu dilaporkan pergi ke sekolahnya, Institut Joan Fuster kelmarin dengan bersenjatakan sebilah pisau dan selaras busur silang sejurus selepas pukul 9 pagi kelmarin (waktu tempatan).
Dia membunuh seorang guru lelaki dan mencederakan dua pelajar serta dua guru lain.
Media Sepanyol melaporkan, serangan bermula di bilik darjahnya, manakala sasaran utama serangan merupakan seorang guru wanita dan anak perempuannya yang juga pelajar sekolah berkenaan.
Menurut seorang saksi, penyerang memanah dan mencederakan muka guru wanita itu sebelum menikam anak perempuannya yang berumur 13 tahun.
Seorang guru ganti lelaki yang cuba membantu wanita berkenaan dan anaknya selepas mendengar jeritan mereka telah dipanah dan dibunuh oleh penyerang, lapor akhbar El Pais.
Penyerang yang hanya dikenali sebagai M.P.C juga pernah memberitahu bahawa serangan di sekolah berkenaan mudah dilakukan jika dia mempunyai ‘senjata yang bagus’.
Pisau dan busur silang yang digunakan dalam serangan itu dipercayai milik bapa penyerang. Lelaki itu dilaporkan memiliki koleksi senjata di kediaman mereka.
Dalam perkembangan sama, luka guru wanita itu dilaporkan tidak serius, manakala anak perempuannya dirawat di hospital kerana cedera ringan.
Menurut El Pais, seorang pelajar lelaki lain berusia 14 tahun ditikam di dada tetapi kini berada dalam keadaan stabil di sebuah hospital tempatan.
Polis bandar raya ini memberitahu, budak lelaki itu telah ditangkap tetapi enggan mengesahkan senjata yang digunakannya.
Di bawah undang-undang Sepa­nyol, penyerang tidak boleh ditangkap, dibicarakan atau dipenjara kerana dia masih juvana. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0422&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3Y3ATIUMy 
Hakcipta terpelihara 

Guru Tadika Dapat Kebenaran Merayu Berhubung Arahan Terhadap KPN


Diterbitkan: Rabu, 22 April 2015 8:02 PM

M Indira Ghandi

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini memberi kebenaran kepada guru tadika untuk meneruskan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan Ketua Polis Negara (KPN) tidak boleh dipaksa untuk menangkap bekas suaminya, seorang mualaf dan mengembalikan semula anak perempuan bongsunya yang kini dijaga bekas suaminya.
Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin yang mengetuai panel lima hakim membenarkan permohonan M. Indira Ghandhi bagi kebenaran untuk merayu dengan satu persoalan undang-undang yang akan dihujahkan pada pendengaran rayuan itu.
Persoalan undang-undang itu sama ada perintah mandamus boleh dikuatkuasakan terhadap KPN untuk mengarahkan beliau melaksanakan waran tangkap dan perintah mendapatkan kembali anak wanita itu apabila beliau (KPN) telah menunjukkan keengganan untuk arahan pelaksanaan kedua-dua perintah itu.
Empat hakim lain yang menganggotai panel itu ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Ahmad Maarop dan Datuk Zaharah Ibrahim.
Pada 17 Disember tahun lepas, dalam keputusan majoriti 2-1, Mahkamah Rayuan mengetepikan perintah mandamus yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Ipoh untuk memaksa KPN Tan Sri Khalid Abu Bakar menangkap Mohd Ridhuan Abdullah dan mengembalikan semula anak perempuannya, Prasana Diksa, 7, kepada Indira Ghandi.
Khalid berpendirian bahawa pihak polis dalam keadaan serba salah kerana terdapat dua perintah hak penjagaan iaitu daripada Mahkamah Tinggi dan satu lagi daripada Mahkamah Tinggi Syariah, melaksanakan satu perintah bererti tidak menghormati satu lagi perintah.
Sementara itu, Mohd Ridhuan yang sebelum ini dikenali sebagai K. Pathmanathan, pada Rabu gagal mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuannya.
Mahkamah Rayuan pada 10 September tahun lepas memutuskan ia (Mahkamah Rayuan) tidak boleh mendengar rayuan Mohd Ridhuan kerana beliau belum membebaskan dirinya daripada sabitan menghina mahkamah berikutan kegagalan mengembalikan Prasana Diksa kepada bekas isterinya yang beragama Hindu.
Mohd Ridhuan mengemukakan kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh yang memutuskan dia menghina mahkamah dan terhadap satu perintah yang memaksa polis mengesannya untuk mengembalikan Prasana Diksa kepada ibu kanak-kanak itu.
Panel Mahkamah Persekutuan yang sama diketuai Zulkefli memutuskan Mohd Ridhuan tidak memenuhi syarat-syarat di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan memerintahkan Mohd Ridhuan membayar kos guaman RM10,000 kepada Indira Gandhi.
Pada 2009, Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh memberi hak jagaan tiga anak pasangan itu, Tevin Darsiny, 17, Karan Dinish, 16, dan Prasana Diksa, 6, kepada Mohd Ridhuan selepas dia memeluk agama Islam.
Bagaimanapun, pada 2010, Mahkamah Tinggi Ipoh memberi hak jagaan penuh ketiga-tiga anak pasangan itu kepada Indira Gandhi dan memerintahkan Mohd Ridhuan mengembalikan Prasana Diksa kepada ibunya.
Pada 30 Mei tahun lepas, Mahkamah Tinggi Ipoh mensabitkan Mohd Ridhuan kerana menghina mahkamah dan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya selepas dia gagal menyerahkan Prasana Diksa kepada Indira Gandhi.
Indira Gandhi turut memperoleh perintah mendapatkan kembali anaknya daripada Mahkamah Tinggi bagi memaksa polis mengesan Mohd Ridhuan.
Di luar mahkamah, Indira Gandhi berkata beliau berharap Khalid akan mematuhi perintah mendapatkan kembali anaknya yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi bagi membolehkan beliau bertemu anaknya yang menyambut ulang tahun ketujuh pada 8 April lepas.
"Saya hanya berpeluang menghantar teks pesanan kepada anak perempuan saya untuk mengucapkan selamat hari jadi melalui telefon bimbit suami saya tetapi tidak ada jawapan," katanya.
Beliau berkata, telefon suaminya masih berfungsi dan beliau percaya Mohd Ridhuan masih berada di dalam negara dengan Prasana Diksa yang didakwa diambil daripada jagaannya ketika dia berusia 11 bulan. -- Bernama 

Beruang Sesat Di Sungai Besar


Diterbitkan: Rabu, 22 April 2015 8:29 PM
Seekor beruang matahari diberikan pelali oleh pegawai Perhilitan.

PETALING JAYA: Penduduk Kampung Simpang 3 Logi, Sungai Besar di Sabark Bernam, Selangor dikejutkan dengan kunjungan 'tetamu luar biasa' iaitu seekor beruang matahari.
Beruang betina seberat 70 kilogram itu sesat dari tempat tinggalnya di hutan berhampiran sehingga menyebabkan ia berkeliaran di sekitar kampung itu selama seminggu.
Ia ditemui oleh penduduk kampung di beberapa lokasi malah ada yang melihatnya dengan memberi gambarannya dalam keadaan murung sambil berdiri bersendirian di sawah padi. 
"Kita menerima laporan daripada orang awam yang memaklumkan mengenai beruang itu pada 16 April lalu," kata Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Abd Rahim Othman. 
Beruang matahari dilihat berada di kawasan sawah padi.
Beliau menjelaskan bahawa beruang berkenaan tidak bertindak agresif dan lebih banyak menjauhkan diri daripada orang ramai.
"Hidupan liar tidak akan bertindak agresif melainkan ia diganggu. Jika ia melihat seseorang, ia akan lari," katanya kepada The Star Online.
Pada Selasa, pegawai Perhilitan negeri berjaya mendapatkan beruang tersebut yang berada di sawah padi dan membawanya ke hutan.
"Pada asalnya kami cuba untuk memasang perangkap tetapi selepas usaha itu sia-sia selepas beberapa hari, kita menggunakan pelali," katanya, sambil menambah beruang itu dalam keadaan baik dan dihantar ke Taman Negara Terengganu pada Rabu. 

Dua Lelaki Pakistan Dipenjara Enam Tahun Culik Rakan Senegara


Diterbitkan: Rabu, 22 April 2015 8:52 PM
Dua warga Pakistan Sarfraz Zahid (dua, kanan) dan Akhbar Ali (tengah) dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Tinggi, Rabu selepas mengaku bersalah kerana menculik rakan senegara mereka yang juga Orang Kelainan Upaya, tiga tahun lepas.

SHAH ALAM: Dua lelaki warga Pakistan bernasib baik apabila terlepas daripada hukuman mati, sebaliknya hanya dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini kerana menculik rakan senegara yang juga Orang Kurang Upaya (OKU), tiga tahun lepas.
Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa memerintahkan Sarfraz Zahid, 32, dan Akbar Ali, 35, menjalani hukuman bermula dari tarikh kedua-duanya ditangkap pada 20 Januari 2012, selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan.
Kedua-dua tertuduh yang merupakan pengarah sebuah syarikat import dan eksport didakwa bersama-sama dua lagi yang masih bebas menahan Zain Ul Karim, berusia 23 tahun, (ketika kejadian) dengan niat menyebabkan mangsa dikurung secara rahsia dan salah.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di G12, Tingkat 1, Seri Bangi, Jalan 8/35, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, Kajang dekat sini, 8.30 malam pada 10 Januari 2012.
Sebelum ini, kedua-dua tertuduh menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 3 Akta Culik 1961 iaitu menahan Zain untuk wang tebusan berjumlah 5 kror (RM1.5 juta) yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.
Ketika menjatuhkan hukuman, Mohd Yazid berkata kes culik melibatkan warga asing semakin meningkat di negara ini dan tuduhan yang dihadapi kedua-dua tertuduh amat serius.
Beliau berkata fakta kes menunjukkan kedua-dua tertuduh sudah mempunyai perancangan untuk menculik mangsa sehingga mereka sanggup menyewa dua buah rumah dengan harga ratusan ringgit.
"Mangsa yang merupakan OKU iaitu lemah kaki dan tangan telah dikurung dalam bilik gelap dan hanya diberi air mineral serta nasi bungkus. Tamak merupakan faktor utama kejadian ini dan oleh itu mahkamah tidak boleh bertolak ansur.
"Warga asing datang ke Malaysia bebas berniaga tetapi kedua-dua tertuduh datang sini melakukan jenayah dan ini tidak boleh dimaafkan. Kedua-dua tertuduh inilah sebenarnya penyumbang kepada peningkatan indeks jenayah di Malaysia dan tindakan mereka ini beri kesan negatif kepada negara ini," katanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Zuraida Wan Nawan sementara kedua-dua tertuduh diwakili peguam Surjan Singh Sidhu.-- Bernama

3 maut dalam letupan bom kereta di Mogadishu

RABU, 22 APRIL 2015 @ 9:05 AM

 MOGADISHU: Tiga terbunuh dan enam cedera dalam satu letupan bom kereta di luar sebuah restoran di Mogadishu, Somalia. Jurucakap polis, Ahmed Warhere, berkata bom kereta itu diletakkan di luar sebuah restoran popular di tengah bandar Mogadishu yang dipercayai mensasarkan pelanggan restoran. "Ketika kejadian terdapat sekumpulan pelanggan di dalam restoran. Motif sebenar masih tidak dapat dipastikan," katanya. - AFP

 KEADAAN kereta yang diletupkan di luar sebuah restoran di Mogadishu, Somalia. - Foto AP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/49030

Tahan kapten kapal karam


Agensi
Sicily (Itali): Pihak berkuasa Itali semalam menangkap kapten bot warga Tunisia dan anak kapal dari Syria yang terbabit tragedi bot karam di pesisir pantai Libya yang menyebabkan 800 pendatang terbunuh.
Mereka ditahan di atas bot penyelamat yang menyelamatkan 27 mangsa daripada bangkai kapal berkenaan.
Menurut pendakwa, kedua-duanya dituduh menyokong aktiviti penyeludupan manusia selain kapten terbabit turut didakwa menyebabkan kapal karam selain bersikap semberono sehingga menyebabkan pembunuhan beramai-ramai.
Pendakwa berkata kejadian berlaku akibat dua faktor. Kapten Mohammad Ali Malek, 27, secara tidak sengaja merempuh sebuah kapal kargo Portugis yang datang membantunya.
Pada masa sama, pendatang terbabit bergerak-gerak di dalam bot yang terlebih had muatan itu. Disebabkan itu, kapal yang sudah tidak seimbang akibat pelanggaran dengan kapal Portugis berkenaan terus karam.
Mangsa terselamat dibawa ke pusat penahanan migran di Catania dan masih dalam keadaan terkejut selain keletihan, kata Flavio Di Giacomo dari Pertubuhan Antarabangsa Migrasi (IOM).
Sementara itu, pejabat pendakwa Catania Giovanni Salvi menegaskan anak kapal Portugis terbabit tidak disiasat kerana tidak bersalah langsung sebaliknya berusaha keras membantu mangsa.
Kesatuan Eropah (EU) mencadangkan supaya kawasan operasi mencari dan menyelamat di perairan Mediterranean diperluaskan dalam pada 800 mayat pendatang yang cuba memasuki Eropah itu dibawa ke darat.
Jurucakap Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian (UNHCR) di Itali Sami Carlotta berkata: “Kita boleh katakan 800 terkorban.”
Kejadian itu mengejutkan Eropah apabila keputusan menarik balik operasi tentera laut pada tahun lalu dilihat mempertingkatkan risiko dihadapi pendatang ke negara itu sedangkan jumlah mereka tidak berkurangan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/45421#sthash.NTz4pNF5.dpuf

Helikopter menteri tersilap mendarat


Lampung (Indonesia): Sebuah helikopter yang membawa Menteri Pertanian Indonesia, Amran Sulaiman tersilap mendarat ketika menghadiri satu majlis sini semalam.
Beliau perlu menghadiri majlis anjuran pengusaha tanaman padi di wilayah Abung Semulih.
Pada majlis itu beliau akan mengagihkan 98 traktor dan 1,700 lembu kepada penduduk di situ.
Bagaimanapun, Amran mendarat di majlis Hari Kartini yang dihadiri sekumpulan suri rumah yang berpakaian tradisional di sini.
“Saya disambut sekumpulan suri rumah yang memakai baju kebaya,” katanya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/45431#sthash.4ClS0kgX.dpuf

Mahu letak jawatan

Seoul: Perdana Menteri Korea Selatan Lee Wan Koo menawarkan untuk meletak jawatan berikutan skandal rasuah yang menyelubunginya hanya dua bulan selepas memegang jawatan kedua terpenting di negara itu, lapor seorang pegawai semalam.
Lee Wan Koo dikaitkan dengan rasuah yang terbongkar selepas ahli perniagaan Sung Wan-jong membunuh diri awal bulan ini dan meninggalkan memo senarai nama tokoh berprofil tinggi dan rapat dengan Presiden Park Geun-hye didakwa disogok, termasuk Lee.
Sebelum kematiannya, Sung memberitahu sebuah akhbar harian dia ada menyerahkan 30 juta won (RM100,000) kepada Lee pada 2013.
Biarpun menafikan dakwaan itu, dia digesa meletak jawatan sebaik media Korea Selatan menunjukkan bukti hubungannya dengan Sung.
Pejabatnya mengesahkan Lee menghantar surat peletakan jawatan kelmarin kepada Park yang kini berada di Peru.
Park kesal dengan peletakan jawatan itu selain dan mengatakan dia turut ‘merasai kemelut dihadapi Lee’ ‘ dalam kenyataan yang disiarkan di laman sesawang kediaman presiden, Rumah Biru. Dia turut menggesa siasatan menyeluruh dijalankan.
Jurucakap presiden Chun Hye-ran bagaimanapun berkata Park belum menyatakan menerima peletakan jawatan itu atau sebaliknya.
Skandal terbaru itu muncul ketika Park berdepan kritikan terhadap cara kerajaan menangani tragedi feri Sewol yang mengorbankan lebih 300 orang tahun lalu.
Keganasan meletus Sabtu lalu dalam perhimpunan diketuai saudara-mara mangsa dan penyokong mereka sekaligus mengakibatkan puluhan orang cedera.
Park turut menghadapi kritikan kegagalannya berkomunikasi dengan orang awam selain dianggap kurang telus dalam melantik kakitangan.
Beberapa perdana menteri dan ahli Kabinet sebelum ini terpaksa menarik diri daripada proses penamaan calon selepas dakwaan mengenai etika dan tingkah lalu mereka ditimbulkan.
Tuduhan pembabitan Lee dalam skandal rasuah muncul selepas dia mengumumkan rancangan kerajaan untuk memerangi rasuah pada Mac lalu.
Menurut media negara itu, Sung yang disiasat selepas pengumuman itu dibuat mengadu dikhianati Lee dan menjadi mangsa.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2015 @ 7:33 AM


LEE
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/45423#sthash.XRenSo34.dpuf

Pautan ‘bank’ lucah


Hong Kong: Syarikat perbankan HSBC memohon maaf selepas pautan laman sesawangnya secara tidak sengaja diarahkan ke laman web lucah, menurut laporan yang dikeluarkan semalam.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kelmarin, bank berkenaan sudah membuat permohonan maaf dan memaklumkan pautan laman sesawang luar sudah dikeluarkan daripada laman projek komuniti.
“HSBC ingin memohon maaf kepada orang ramai atas kesulitan yang timbul,” katanya dalam kenyataan itu.
Rakaman video yang dikeluarkan dalam laman Facebook milik akhbar Apple Daily menunjukkan www.hsbc.com.hk berpaut dengan laman yang mengeluarkan gambar wanita berpakaian tidak senonoh. - AFP
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/45424#sthash.9wVyIpcf.dpuf

Bunuh tiap kali lahir

Salt Lake City (Amerika Syarikat): Seorang ibu yang ketagih methamphetamine dipenjara seumur hidup serta diselar tidak berhati perut kerana membunuh enam bayi setiap kali dilahirkan dan menyembunyikan mayat mereka apabila tidak dapat menjaga ramai anak.
Megan Huntsman, 40, dikenakan hukuman berat walaupun wanita itu menerima tawaran daripada pendakwaan untuk mengaku salah, selepas Hakim Darold McDade berasa meluat dengan tindakannya yang kejam itu.
Megan mengaku bahawa dia terlalu ketagih dadah untuk menjaga anak-anaknya itu sepanjang tempoh sedekad bayi terbabit dilahirkan.
Dia menyembunyikan setiap kehamilan sebelum melahirkan di rumah dan mencekik mati anak dilahirkan hanya beberapa minit kemudian. Megan membunuh enam bayi dengan cara itu manakala mayat bayi ketujuh ditemui disahkan mati secara semula jadi ketika dilahirkan.
Polis menemui semua mayat berkenaan dibalut dengan kain, dimasukkan ke dalam beg plastik dan dibungkuskan dalam kotak.
Walaupun dia berpindah dari situ, Megan membiarkan mayat itu di dalam garaj kerana takut tertangkap ketika memindahkan mayat.
Sehingga kini, masih tidak jelas bagaimana Megan boleh menyembunyikan kehamilan kelahiran anak di rumahnya dan pembunuhan mereka daripada keluarga serta rakan. - AP

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/45420#sthash.sgGJIZ7w.dpuf

Lapan pelombong maut

Lapan pelombong maut
Pasukan penyelamat berusaha 22 pelombong yang terperangkap dalam kejadian sama di wilayah Yunnan, April tahun lalu. Foto: AFP

BEIJING - CHINA. Sekurang-kurangnya lapan pelombong terbunuh, manakala 13 lagi masih terperangkap di lombong arang batu bawah tanah yang dilanda banjir dekat utara China.

Menurut laporan agensi berita Xinhua, kesemua mayat dikeluarkan sekitar jam 7 malam (waktu tempatan) selepas anggota penyelamat masuk ke dalam lombong Jiangjiawan di Datong, melalui sebuah lubang.

Lebih 600 penyelamat dikerahkan bertugas sepanjang masa di tempat kejadian, mengepam lebih 1,500 padu air keluar dari dalam lubang bawah tanah untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap.

"Ia akan mengambil masa dua hari untuk mengeluarkan semua air. Setakat ini, empat pam digunakan dan paras air telah menurun sebanyak 70 sentimeter," menurut agensi itu memetik penyelamat sebagai berkata.

Ketika kemalangan berlaku pada pukul 6.50 petang, Ahad lalu, 223 daripada 247 pelombong berjaya menyelamatkan diri.

Melalui siasatan awal yang dijalankan mendapati, banjir tersebut disebabkan oleh air terkumpul di kawasan lombong sebelum ini.

Susulan kejadian itu, Datong Coal Mine Group mengarahkan semua lombong kecil di bawah pengurusannya menghentikan sementara operasi untuk pemeriksaan keselamatan. - dpa

Kantoi rompak guna pistol mainan

Kantoi rompak guna pistol mainan


ITANHAEM - BRAZIL. Dua orang lelaki ditahan polis kerena cuba merompak seorang wanita menggunakan pistol mainan, Ahad lalu.
 
Menurut Alfa Beta Juega, dua perompak berkenaan berjaya merompak seorang lelaki lain sebelum ditahan.
 
Polis kemudian menyedari logo permainan video Playstation pada pistol berkenaan.
 
Menurut polis, suspek membalut pita pelekat hitam pada pistol berkenaan untuk menyembunyikan logo dan memotong beberapa bahagian untuk menyerupai rupa pistol sebenar.

Ribut landa tenggara Australia, tiga maut

Ribut landa tenggara Australia, tiga maut
Kesan kerosakan ke atas rumah milik Arkinstall di Stroud, New South Wales. - Foto AP

SYDNEY - AUSTRALIA. Tiga dilaporkan maut manakala lebih 12 penduduk kehilangan tempat tinggal selepas ribut melanda tenggara Australia.

Menurut ABC News, ribut tersebut membawa hujan lebat dan angin kencang berkelajuan 60 batu perjam (96 kilometer per jam).

Beberapa buah rumah dilaporkan hanyutkan arus deras banjir yang melanda kawasan Dungog, New South Wales.

Warga emas berkerusi roda jatuh ke landasan

Warga emas berkerusi roda jatuh ke landasan
Sedutan rakaman video litar tertutup CCTV

WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Seorang warga emas yang berkerusi roda berjaya diselamatkan orang awam selepas terjatuh ke landasan tren bawah tanah D.C. Metro, semalam.

Menurut ABC News, warga emas berusia 54 tahun tersebut cedera di bibir.

Berdasarkan video rakaman video litar tertutup CCTV, warga emas tersebut pengsan ketika kejadian.

Kakitangan D.C. Metro kemudian membawa mangsa ke hospital berhampiran.

Mengamuk apabila pengemis berikan wang

Mengamuk apabila pengemis berikan wang
Sedutan video eksperimen sosial yang dimuatnaik oleh Yousef


 1 / 1 
BEBERAPA orang awam dilihat naik marah selepas seorang pengemis bertindak memberikan wang kepada mereka.

Dalam sebuah video eksperimen sosial yang dihasilkan oleh Yousef Saleh Erakat, beliau menyamar sebagai seorang pengemis yang bertindak memberikan wang kepada orang yang membantu beliau.

Berdasarkan rakaman lima minit 18 saat berkenaan, hanya dua orang awam bertindak menerima wang dari Yousef selepas mereka sendiri memberikan wang kepada pelakon berkenaan.

Di akhir video, seorang lelaki dilihat mencemuh dan menghina Yousef yang ingin membantu membayar duit parkir lelaki tersebut.

Tujuan eksperimen sosial berkenaan dikatakan untuk merasai perasaan dibantu oleh mereka yang selalunya dianggap sebagai kelas bawahan.

"Tidak kira betapa kaya anda dalam hidup ini jika kekayaan anda menyebabkan anda hidung tinggi," kata Yousef melalui respon di laman Youtube.

"Akhirnya, orang yang paling miskin mampu menjadi yang paling kaya berdasarkan kebaikan hati mereka," akhiri Yousef.

Ibu cuai, bayi maut ditinggalkan terlalu lama

Ibu cuai, bayi maut ditinggalkan terlalu lama
Brittany Cherokee Dawn Bell. (Gambar kecil) Alice

OKLAHOMA - AMERIKA SYARIKAT. Seorang ibu didakwa atas tuduhan cuai selepas bayinya ditemui tidak bernyawa dengan kesan gigitan lipas di kaki dan kepala, 8 Januari 2015.

Brittany Cherokee Dawn Bell, 27 yang muncul di mahkamah pada Isnin juga hampir ditahan polis pada 31 Disember tahun lalu kerana meninggalkan bayinya terlalu lama.

Pegawai penyiasat, Jim Warring memberitahu, Bell meninggalkan Alice yang berumur 3 bulan di atas lantai.

"Pada waktu itu, Alice mungkin sesak nafas kerana permukaan lantai." kata Warring.

"Disebabkan terlalu lama ditinggalkan, lipas mula memakan kedua-dua kaki dan kepala bayi tersebut." tambahnya.

Perbicaraan seterusnya pada 8 Mei nanti.

Kenderaan klon 
masih banyak


JPJ rampas 153 buah bernilai RM13 juta di Terengganu

ISMAIL AHMAD (dua dari kanan) dan Azam Baki (dua dari kiri) menunjukkan
ISMAIL AHMAD (dua dari kanan) dan Azam Baki (dua dari kiri) menunjukkan gambar kereta mewah yang dirampas daripada sindiket di Terengganu dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam. Utusan/RUSHDI SALLEH
KUALA LUMPUR 21 April - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) percaya masih banyak kenderaan klon berada di atas jalan raya di negara ini dan sedang mengesan pemiliknya.
Maklumat itu diperoleh hasil kejayaan agensi tersebut dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merampas sebanyak 153 ken­deraan klon antaranya Mazda, BMW, Mercedes, Toyota dan dua buah motosikal kuasa tinggi yang dianggarkan bernilai lebih RM13 juta di Terengganu baru-baru ini.
Setakat ini pihaknya menahan tiga individu disyaki terlibat sebagai orang tengah membawa masuk kenderaan tersebut dari negara jiran melibatkan kes di Terengganu manakala tujuh lagi diberkas di Se­remban, Negeri Sembilan dan Johor Bahru, Johor pada Jumaat lalu.
SPRM dan JPJ juga sedang bekerjasama untuk menyiasat sekiranya terdapat penglibatan anggota atau pegawai JPJ dalam membekalkan dokumen kepada sindiket yang membawa masuk kenderaan klon tersebut.
Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Azam Baki berkata, kesemua kenderaan itu telah diseludup dan diklonkan dengan menggunakan nombor pendaftaran yang sama dengan kenderaan asal di negara ini dan yang membezakan hanyalah nombor casis dan nombor enjin.
“Kesemua kenderaan disita itu memiliki cukai jalan dan nombor pendaftaran palsu disyaki telah diklon.
“Selain itu, kenderaan klon itu turut menggunakan nombor pendaftaran, warna dan jenis sama dengan sebuah kenderaan lain yang disahkan pemilik sebenar di negara ini di samping dijual dengan harga RM20,000 hingga RM50,000 murah berbanding pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar khas SPRM bersama Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), Jalan Duta di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai modus operandi yang digunakan sindiket, Azam memberitahu, mereka dilihat menggunakan pelbagai cara untuk mengelak kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.
“Antaranya menggunakan model pemasaran atas talian, khususnya Facebook untuk menarik pelanggan masing-masing di mana pembelian adalah secara tunai,” ujarnya.
Dalam pada itu, tambah Azam, siasatan masih dijalankan pihaknya bersama JPJ bagi mengenal pasti individu lain yang turut terlibat dalam sindiket yang dipercayai beroperasi sejak setahun lalu.
“Kita masih lagi menjalankan siasatan untuk mengenal pasti jika wujud pembabitan orang dalam JPJ dalam isu ini selain JPJ juga memberi jaminan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai yang melakukan kegiatan itu. JPJ bersedia bekerjasama dengan SPRM untuk mengambil tindakan ke atas mereka,” tegasnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/kenderaan-klon-8232-masih-banyak-1.83533#sthash.MyA9IFTa.dpuf

Bantah Salib: Polis Soal Siasat Abang KPN Empat Jam



Diterbitkan: Rabu, 22 April 2015 10:08 PM

Abdullah beredar dari Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya selepas empat jam disoal siasat.

PETALING JAYA: Datuk Abdullah Abu Bakar, abang kepada Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar disoal siasat oleh polis selama kira-kira empat jam pada Rabu.
Ketua Umno Cawangan Taman Lindungan Jaya itu tiba di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya di sini dengan menaiki kereta Toyota Landcruiser hitam pada pukul 4.10 petang dan disoal siasat oleh ketua balai, Asisten Supritendan Mohd Khairul Zaman Wahab.
Beliau beredar pada pukul 8 malam.
"Saya sangat penat. Saya hanya berharap semuanya akan selesai," katanya kepada pemberita.
"Mereka (polis) menyoal siasat saya dari semua apsek dan saya jawab. Mereka tidak beritahu saya tentang mereka siasat di bawah akta apa," kata Abdullah.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas ketika ditanya mengenai butiran perjumpaan selama empat jam itu, termasuk soalan yang ditanya.
Polis Selangor melancarkan siasatan ke atas bantahan terhadap gereja di Taman Medan selepas paderi gereja itu, Victoria Selammal membuat laporan polis di Balai Polis Petaling Jaya pada Selasa.
Menurut laporannya, Victoria menjelaskan bahawa dia didatangi oleh seorang pegawai dari cawangan khas Petaling Jaya sewaktu melakukan upacaya keagamaan berlangsung pada pukul 11 pagi dan diberitahu bahawa beberapa individu yang membuat bantahan mahu bersemuka dengannya.
Dia kemudiannya bertemu dengan Abdullah, bekas Ketua Wanita Umno Petaling Jaya Selatan, Munaliza Hamzah dan seorang lelaki "berpakaian kemeja merah dan bersongkok hitam" selepas upacara keagamaan itu berakhir, dengan jemaah berada di dalam gereja berikutan bantahan diadakan di luar bangunan itu.
"Dia (Victoria) berkata lelaki bersongkok itu mengarahkan pihak gereja supaya menurunkan tanda salib," kata sumber.
"Dengan mengambil kira keadaan dan bimbang tentang keselamatan terhadap gereja dan dirinya, dia tidak mahu memburukkan keadaan dan bersetuju untuk menurunkan tanda salib itu pada pukul 1 petang.
"Selepas penunjuk perasaan bersurai pada kira-kira pukul 2.30 petang, Datuk Abdullah memberitahunya mengenai hasrat untuk membuat laporan tentang gereja kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). Paderi itu tidak berkata apa-apa," kata sumber itu, yang memetik laporan Victoria.
Peranan atau penglibatan Abdullah di dalam bantahan itu tidak diperincikan di dalam laporan tersebut.
Abdullah mencetuskan kontroversi berhubung penglibatannya dalam bantahan itu serta kaitannya dengan KPN.
Menurut Abdullah, beliau bertindak sebagai pengantara antara ketua gereja dengan penunjuk perasaan yang mendesak supaya tanda salib itu diturunkan dan gereja itu berpindah lokasi dari kawasan kejiranan yang majoritinya adalah penduduk Melayu.
Penunjuk perasaan mendakwa kehadiran tanda salib di bangunan gereja itu mencabar Islam dan boleh mempengaruhi kepercayaan segelintir umat Islam.
Bagaimanapun, bantahan itu mendapat kritikan orang ramai. 
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penunjuk perasaan boleh disiasat di bawah Akta Hasutan.