Search This Blog

Saturday, April 18, 2015

Helikopter Terhempas: Polis Siasat Status Kewangan Juruterbang


Diterbitkan: Sabtu, 18 April 2015 1:29 AM

KUALA LUMPUR: Siasatan polis berhubung kes helikopter terhempas di Semenyih pada 4 April lepas, turut menjurus kepada kedudukan kewangan juruterbangnya Kapten Clifford William Fournier.


Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata terdapat kemungkinan masalah kewangan yang dihadapi juruterbang berkenaan menjadi punca nahas sehingga mengorbankan kesemua penumpangnya.

"Kita akan melihat beberapa aspek terutama sekali aktiviti dia, hobi atau sama ada dia mempunyai sebarang masalah termasuk kewangan...perkara ini boleh menjejaskan prestasi dan fokus dalam kerjayanya," kata Noor Rashid.

Beliau ditemui pemberita selepas menyaksikan upacara sembahyang khas oleh anggota dan pegawai polis beragama Hindu, bersempena Peringatan Hari Polis ke-208, di Kuil Sri Kandaswamy, Brickfields, Jumaat.

Noor Rashid berkata siasatan terhadap nahas helikopter itu terbahagi kepada dua iaitu polis akan melihat dari aspek sama ada wujudnya unsur kecuaian, sabotaj atau unsur lain.

Selain itu, polis juga akan melihat dari segi teknikal bagaimana helikopter itu terhempas sehingga mengakibatkan enam terkorban, katanya.

"Pemeriksaan forensik memerlukan masa...kita juga telah mengesan saksi termasuk mengambil keterangan daripada keluarga mangsa.

"Kesemua mayat telah dituntut dan kita memerlukan laporan teknikal daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan perlu dianalisa semula," katanya.

Noor Rashid berkata polis akan memanggil semula saksi bagi memberi keterangan baharu selepas menerima laporan teknikal tersebut.

Dalam kejadian tersebut, helikopter AS365N2 Dauphin (9M-IGB) yang membawa enam orang terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.55 petang.

Selain Fournier, turut terkorban ialah Anggota Parlimen Rompin Tan Sri Jamaluddin Jarjis; Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Azlin Alias; ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang, pegawai peribadi Jamaluddin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva.

Sindiket 'Macau Scam' Tumpas


Diterbitkan: Sabtu, 18 April 2015 8:26 AM
Law bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur ACP Izany Abd Ghani (dua, kiri) serta pegawai menunjukkan sebahagian peralatan yang dirampas dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan 'Macau Scam' selepas sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) malam Jumaat. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Kegiatan sindiket 'Macau Scam' yang beroperasi di sini sejak dua bulan lalu melakukan penipuan melibatkan kerugian hampir RM20 juta.
Polis berjaya menumpaskan kegiatan sindiket antarabangsa itu dengan tertangkapnya 52 warga China dalam satu serbuan di enam kodominium mewah di ibu negara antara pukul 6 pagi pada Khamis dan 5 pagi Jumaat.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Law Hong Soon berkata ia adalah operasi terbesar di dalam negara pada tahun ini.

Suspek berusia antara 18 dan 52 tahun yang ditahan terdiri daripada 26 wanita.

Beliau berkata kesemua suspek dipercayai anggota sindiket dan dalangnya masih lagi bebas.

"Namun kami sudah mengenal pasti dalang sindiket itu dan akan meminta pihak berkuasa China untuk membantu kami dalam siasatan ini," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Law berkata sindiket tersebut membelanjakan kira-kira RM100,000 sebulan untuk bayaran sewa enam kondominium terbabit dan memiliki tukang masak dan pembantu rumah untuk memastikan anggota sindiket tidak perlu meninggalkan unit kediaman itu.

Katanya, sindiket tersebut mempunyai beberapa cara untuk menipu mangsa mereka.

"Cara pertama mereka memberitahu mangsa bahawa telah memenangi hadiah cabutan bertuah bernilai jutaan ringgit dari sebuah syarikat antarabangsa.

“Kemudian sindiket tersebut akan memberi mangsa beberapa nombor telefon untuk dihubungi bagi menuntut hadiah mereka," katanya.
Sindiket tersebut kemudiannya akan meminta bayaran untuk menampung caj cukai dan perlindungan insurans yang perlu dibuat menerusi pindahan bank.

Menurut Law, satu lagi cara yang digunakan ahli sindiket adalah menyamar sebagai pengawai penguatkuasa dan memberitahu mangsa bahawa mereka disiasat kerana terlibat dalam kegiatan haram.

Anggota sindiket akan meminta wang daripada mangsa sekiranya mahu mengelak akaun bank mereka dibekukan semasa tempoh siasatan.
Kata Law, antara cara lain yang turut digunakan adalah menyamar sebagai pegawai bank dengan mendakwa mereka boleh membantu mangsa daripada disenaraihitamkan kerana bayaran pinjaman tertunggak.

Beliau berkata sindiket tersebut juga menipu mangsa dengan membuat panggilan mengenai penculikan palsu atau mendakwa seorang ahli keluarga mangsa ditahan kerana melakukan jenayah dan meminta wang tebusan atau rasuah untuk tujuan pembebasan.

Semasa serbuan itu, polis merampas sembilan komputer, 55 telefon bimbit, 67 komputer riba dan wang tunai dalam ringgit dan yuan.

Turut dirampas 10 beg dengan senarai ribuan nombor telefon yang dipercayai milik mangsa dan sasaran baharu sindiket tersebut.

Kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun jika sabit kesalahan dan hukuman sebat.
Suspek juga boleh didakwa dibawah Akta Imigresen 1956 kerana menyalahgunakan pas lawatan.

Pengawal keselamatan maut, 5 cedera pondok pengawal perumahan dibakar

SABTU, 18 APRIL 2015 @ 9:00 AM

KLANG: Seorang pengawal keselamatan maut manakala lima lagi cedera selepas tiga pondok pengawal di sebuah taman perumahan di sini, dibakar sekumpulan lelaki, awal pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 pagi itu, tiga pondok pengawal di Jalan Rodat 1 dan Jalan Rodat 14, Bandar Bukit Raja, diserang dan dibakar kumpulan lelaki yang tidak dikenali itu. Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul, berkata dua daripada tiga pondok pengawal yang diserang itu musnah manakala sebuah lagi tidak terbakar. "Kami menerima panggilan kecemasan pada jam 1.58 pagi dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang, dengan kekuatan enam anggota, dikerahkan ke lokasi," katanya. Beliau berkata, seorang pengawal keselamatan yang dianggarkan berusia 30an disahkan mati terbakar dalam kejadian berkenaan manakala lima lagi rakan sekerja mangsa yang mengalami kecederaan sudah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini untuk mendapatkan rawatan.

ANGGOTA Bomba sedang memadamkan kebakaran tiga buah pondok pengawal yang diserang dan dibakar sekumpulan lelaki sebuah taman perumahan di Bandar Bukit Raja awal pagi tadi. - Foto Ihsan Bomba 

Anggota RELA maut terkena tembakan ketika berburu

SABTU, 18 APRIL 2015 @ 12:27 PM

BESUT: Seorang anggota RELA terbunuh akibat terkena tembakan di bahagian dada dan tangannya ketika sedang berburu bersama dua rakannya di Hutan Kacong, Lata Tembakah, Hulu Besut di sini, 12.05 tengah malam tadi. Mangsa dikenali sebagai Shamsuddin Derahim, 56, dari Kampung Cawangan, Hulu Besut di sini, maut di tempat kejadian manakala seorang lagi rakannya yang berumur 47 tahun, cedera ringan dipercayai terkena serpihan peluru. Ketua Polis Daerah Besut, Supt Khaled Che Lah, ketika mengesahkan kejadian, berkata pihaknya menerima aduan di Balai Polis Pasir Akar mengenai kejadian daripada seorang rakan mangsa yang menyertai pemburuan itu. "Susulan kejadian itu, dua rakan mangsa termasuk yang cedera, ditahan untuk siasatan lanjut dan sepucuk senapang patah dirampas daripada mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Katanya, polis sedang menjalankan siasatan untuk mengetahui bagaimana mangsa dan seorang lagi rakannya terkena tembakan itu. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Daerah Besut untuk bedah siasat hari ini. Isteri mangsa, Raja Minah Raja Sulaiman, 50, ketika ditemui di Bilik Mayat, Hospital Daerah Besut, berkata suaminya keluar berburu bersama dua rakan sekampungnya pada jam 3 petang semalam. - BERNAMA

Lelaki maut nahas kereta, treler

SABTU, 18 APRIL 2015 @ 12:58 PM

Oleh Noor Hidayah Tanzizi MANJUNG: Seorang lelaki berusia 25 tahun maut selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler di Batu 6, Segari, Pantai Remis, di sini. Dalam kejadian kira-kira jam 7.45 pagi tadi itu, mangsa yang memandu Proton Saga, tersepit dan maut di tempat kejadian. Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis, Abd Latif Ahmad Nawawi, berkata pihaknya menerima panggilan kira- kira jam 8 pagi dan sebaik tiba mendapati mangsa tersepit di dalam kereta dipandunya. Katanya, pihaknya terpaksa memotong kereta berkenaan bagi mengeluarkan mangsa sebelum menyerahkan kepada anggota polis untuk tindakan selanjutnya. "Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Manjung untuk bedah siasat," katanya. 

11 cedera letupan paip gas di California

SABTU, 18 APRIL 2015 @ 11:38 AM

FRESNO, California: Satu saluran paip besar gas di California meletup dan terbakar, menyebabkan sekurang-kurangnya 11 orang cedera, termasuk tiga kritikal, dan laluan kedua-dua hala satu lebuh raya utama ditutup. Pada masa ini, masih tidak jelas apa yang mengakibatkan letupan di lapangan sasar Fresno County Sheriff itu yang memaksa Highway 99 ditutup. Namun, pihak berkuasa menyatakan sekumpulan pekerja, termasuk banduan penjara, sedang menggunakan jentera berat di kawasan itu dan dipercayai secara tidak sengaja memecahkan saluran paip gas asli milik Pacific Gas & Electric Co. Jurucakap Community Regional Medical Center, berkata empat mangsa dirawat di unit melecur dan trauma. Mary Lisa Russell berkata, tiga daripada mereka kritikal manakala seorang dalam keadaan serius. Empat lagi mangsa dikejarkan ke St Agnes Hospital dan tiga yang lain ke Madera Community Hospital manakala empat yang lain dirawat di lokasi kejadian. - AP

Dua anggota tentera hidap meningeoncephalitis

ATM

PORT DICKSON -  Tentera Darat mengesahkan ‎kejadian dua kes anggotanya mengalami gejala meningeoncephalitis di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), Port Dickson.

Dalam kenyataan hari ini, Tentera Darat turut memaklumkan kesemua anggota terlibat telah menerima rawatan dan tindakan serta langkah pencegahan juga telah dilaksanakan di pusat latihan tersebut.

“Di samping pemantauan dari pihak Kementerian Kesihatan, Bahagian Perkhidmatan Kesihatan (BPK) Angkatan Tentera Malaysia turut bersama membantu dalam memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan dilaksanakan sepenuhnya.

“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kebimbangan dan menjejaskan ketenteraman terutamanya kepada keluarga anggota terlibat dan masyarakat umum keseluruhannya,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan semalam memaklumkan, kementeriannya menerima dua kes tersebut.

“Kedua-dua kes membabitkan perajurit muda yang kini sedang menjalani latihan di Pusasda sejak sebulan lalu.

“Mereka adalah rakan sebilik dan gejala awal dilaporkan oleh kedua-dua adalah demam dan kekejangan otot pada kaki. Mereka kemudiannya menerima rawatan awal di Rumah Sakit Angkatan Tentera, Port Dickson sebelum dirujuk ke Hospital Port Dickson dan kemudiannya kes kedua di rujuk ke Unit Rawatan Rapi, Hospital Kuala Lumpur dan keadaan mereka kini dalam keadaan stabil,” kata Dr Noor Hisham.

Katanya, Kementerian Kesihatan sedang berusaha untuk mengenalpasti punca sebenar di sebalik gejala jangkitan yang dilaporkan oleh kedua-dua kes tersebut

Sayu dengar anak minta tolong

Gadis kurang upaya maut dalam kebakaran
Keadaan rumah didiami mangsa ketika kebakaran.

KOTA  BHARU - [DIKEMASKINI] 'Mak, tolong! Mak, tolong!'...hanya laungan itu mampu didengari ketika api marak menjulang bersama asap tebal yang memerangkap seorang gadis lembam, Nor Fatini Buniamin, 25.

Nor Fatini kehilangan nyawa dalam kebakaran yang berlaku di Kampung Bechah Hangus, Ketereh, dekat sini, pada kira-kira jam 4.30 pagi semalam.

Mengimbas peristiwa tragis itu dalam nada teresak-esak, ibu mangsa, Fauziah Mahmud, 58, berkata, dia masih terbayang riak wajah anaknya meminta tolong dari dalam kelambu di bilik tidurnya.

"Maafkan saya kerana tak dapat cerita peristiwa ini dengan banyak. Saya masih trauma dan masih teringat lagi arwah meronta-ronta memanggil saya minta tolong.

"Saya berusaha untuk keluarkan Nor Fatini dari bilik di mana dia tidur berseorangan, tetapi api terlalu marak dan asap tebal dari dapur. Saya tak mampu mendekatinya. Kami hanya mampu menangis lihat dia ketika kelam kabut menyelamatkan diri," katanya kepada Sinar Harian, semalam.


Baru dua minggu balik kampung

Fauziah memberitahu, dia dan suaminya, Buniamin Othman, 60, merupakan pesara kerajaan dan mereka baru dua minggu pulang ke kampung serta menumpang di rumah ibu saudara sementara menunggu rumah mereka di Taman Bechah Limbat siap.

Sementara itu, seorang lagi anak Fauziah, Faidah, 22, yang merupakan pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Pengkalan Chepa, di sini, berkata, dia bergegas pulang sebaik sahaja dihubungi sepupunya pada jam 5 pagi, memaklumkan kejadian.

"Dia kakak saya...sudah pasti kami baik. Makan bersama-sama dan saya sering suap dia ketika makan," katanya ketika menemani Fauziah menerima kunjungan kaum keluarga dan rakan terdekat untuk bertanya khabar, semalam.


Nenek terselamat

Dalam pada itu, nenek mangsa, Saadiah Dolah, 83, bernasib baik kerana tidur di rumah bersebelahan ketika kejadian, namun tidak mampu menahan tangisan apabila teringatkan arwah cucunya.

"Sebelah siang makcik tinggal di rumah yang terbakar ini, sebelah malam, makcik tinggal di rumah anak (bersebelahan rumah) kerana mudah nak guna tandas.

"Makcik baik dengan arwah. Barang hilang tak apa...tapi ini cucu...dia ada dalam rumah dan terkorban dalam kebakaran itu," katanya sambil menangis.

Manakala ibu saudara mangsa yang tinggal di rumah bersebelahan, Rozita Abdullah, 40, berkata, sebahagian rumahnya turut hangus kerana api merebak dengan cepat.

Katanya, dia kelam-kabut ketika dikejutkan oelh suaminya, Zamzuri Mahmud, 46, dan hanya mampu tergamam melihat kejadian.

"Ketika itu saya dan suami hanya teringat empat anak saya dan ibu mentua (Saadiah) dan bertungkus-lumus menyelamatkan mereka. Nasib baik saya sempat capai kunci kereta dan alih kereta di hadapan rumah. Tapi kereta kakak ipar saya (Fauziah) tak sempat diselamatkan.


Bomba padam api tujuh minit

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Mohd Rafain Mat Zain memaklumkan, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada kira-kira jam 5.02 pagi dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 20 minit kemudian.

Menurutnya, seramai tujuh anggota bomba dari Balai Ketereh dan sembilan dari Balai Tunjong bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan operasi memadam kebakaran.

"Ketika sampai di lokasi kejadian, rumah terbabit sudah hangus 100 peratus, manakala rumah bersebelahannya terbakar 50 peratus. Kami ambil masa tujuh minit untuk memadamkan api.

"Hasil siasatan awal, mangsa dikatakan sudah keluar dari rumah itu, namun masuk semula untuk ambil barang ketika api marak.

Dia ditemui maut di tempat tidurnya dan jenazah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. Punca kejadian masih disiasat" kata Mohd Rafain.

Pencuri putih mata

Pencuri putih mata
Status mengenai kes ragut warga emas yang menjadi viral di media sosial.

KOTA TINGGI - Seorang warga emas berdepan detik cemas apabila seorang lelaki bertindak memecahkan cermin keretanya dalam cubaan meragut di Jalan Niaga 3 belakang Plaza Kota Tinggi, petang kelmarin.
 
Bagaimanapun ia tidak berhasil selepas mangsa bertindak menjerit meminta tolong.
 
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, ketika kejadian mangsa berusia 71 tahun beralamat di Felda Air Tawar 3 berseorangan dalam kereta jenis Proton Persona menunggu suaminya membeli barang.
 
Menurutnya, mangsa secara tiba-tiba didatangi seorang lelaki yang bertindak memecahkan cermin sebelah kiri kereta terbabit dengan menggunakan topi keledar.
 
“Apabila mangsa menjerit meminta tolong, suspek melarikan diri dengan menaiki motosikal tanpa mengambil beg tangan mangsa. 
 
“Sebelum kejadian kira-kira jam 1 petang itu, mangsa bersama suami ada membuat pengeluaran wang tunai dari Tabung Haji dan Maybank. Selepas itu suami mangsa meletakkan kenderaan di tempat kejadian untuk membeli susu kambing di plaza tersebut.
 
“Kejadian berlaku selepas lima minit suami mangsa meletakkan kenderaan dengan keadaan enjin kereta hidup,” katanya.  
 
Rahmat berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
 
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai berhati-hati dalam apa jua keadaan dan mengelakkan pengeluaran wang tunai yang banyak selain meminta nasihat bank jika keadaan memerlukan.
 
Berikutan kejadian terbabit yang menjadi viral di laman sosial, beliau menasihati pengguna Facebook dan media baharu tidak menyebar berita palsu serta mendapatkan pengesahan polis dahulu.

Maut cuba elak lori

Maut cuba elak lori
Keadaan kenderaan mangsa yang remuk terlanggar pili air selepas terbabas akibat mengelak lori. Gambar kecil: Eyu@Eyu Teck Hoch

BATU PAHAT - Seorang lelaki maut setelah kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terbabas ketika cuba mengelak sebuah lori yang cuba memotong, di Kilometer 7, Jalan Yong Peng-Muar, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, pacuan empat roda terbabit yang dari Batu Pahat menuju ke Yong Peng cuba mengelak lori yang memasuki laluannya sebelum terbabas dan melanggar pili air di tepi jalan.

Menurutnya, ketika kejadian lori tersebut dipercayai cuba memotong sebuah treler di hadapannya.

“Pemandu pacuan empat roda terbabit yang cedera parah di badan maut di lokasi kejadian, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mangsa, Eyu@Eyu Teck Hoch, 43, yang ketika itu memandu seorang diri dikatakan dalam perjalanan pulang setelah selesai kerja,” katanya semalam.

Menurut Din lagi, semasa kejadian cuaca dalam keadaan baik dan jalan tidak licin, namun jalan terbabit agak gelap kerana tiada lampu jalan di sekitar lokasi.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail untuk dokumentasi sebelum dituntut waris mangsa.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika memandu, terutama ketika cuba memotong, hanya memotong apabila keadaan benar-benar selamat,” katanya.

Mukhriz ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapa

Datuk Mukhriz Mahathir
Datuk Mukhriz Mahathir

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak perlu diberi tekanan dan paksaan untuk menyatakan pendiriannya berhubung isu sokongan Umno Kedah kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Wee Ka Siong berkata, situasi Mukhriz ketika ini diibaratkan seperti 'ditelan mati emak, diluah mati bapa', menjadikan beliau amat sukar untuk menyatakan pendiriannya.
"Bila kritikan datang daripada bapanya sendiri (Tun Dr Mahathir Mohamad), suatu yang bukan mudah untuk diuruskan, ibaratkan kalau kita dalam keadaan terdesak, antara parti dengan bapa, pucuk pimpinan dengan ayahanda.
"Saya tidak rasa dengan memaksanya akan menjadikan keadaan lebih baik, malahan sebaliknya, saya yakin dia mempunyai kebijaksanaan dalam membuat keputusan," kata Weea kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Zon Utara hari ini.
Wee yang juga Timbalan Presiden MCA berkata, apa yang berlaku pada Umno Kedah ketika ini bukan krisis kepimpinan, memandangkan Mukhriz sebagai pemimpin BN negeri sudah semestinya akan akur dengan kepimpinan pusat.
"Kepimpinan yang amat berhormat PM memang telah diberi sokongan kuat oleh semua pihak, dan saya juga lihat sokongan demi sokongan yang datang, jadi saya tidak lihat ia sebagai satu krisis kepimpinan," katanya.
Bagaimanapun katanya, ramai yang hendak tahu apa pendirian menteri besar.   

Wee yang melihat Mukhriz sebagai mempunyai kebijaksanaan untuk melakukan yang terbaik, yakin apa jua keputusan beliau buat adalah demi melindungi parti yang dicintainya iaitu Umno dan BN.
Baru-baru ini, Adun Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin meminta Mukhriz yang juga Pengerusi Umno Kedah meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar sekiranya gagal menyokong kepimpinan perdana menteri.
Mukhriz sebelum ini berkata, beliau akan mengeluarkan kenyataan rasmi tentang pendirian UMNO Kedah terhadap kepimpinan Najib pada 24 April di Kuala Lumpur selepas bermesyuarat dengan kesemua pemimpin UMNO negeri itu. - Bernama

Tak sempat nak borong ayam

Tak sempat nak borong ayam
Kenderaan dipandu dipercayai terbabas lalu melanggar sebuah lori muatan papan lapis yang sedang berhenti di R&R Tol Bentong.
BENTONG - Hasrat seorang peniaga nasi ayam untuk memborong ayam di Pasar Borong Selayang, Selangor tidak kesampaian apabila dia maut, manakala dua rakannya cedera parah dalam kejadian kemalangan di Kilometer 62.2 Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak, di sini awal pagi semalam.

Ketiga-tiga mangsa yang menaiki pacuan empat roda Mitsubishi Triton dikatakan dalam perjalanan dari Felda Mempaga menuju ke pasar borong berkenaan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, kejadian dikatakan berlaku sekitar jam 3,55 pagi semalam.

Menurutnya, berdasarkan siasatan, kenderaan yang dinaiki dipercayai terbabas lalu melanggar bahagian belakang sebuah lori Hino membawa muatan papan lapis yang diletakkan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tol Bentong.

“Sebaik tiba di sebuah selekoh, pemandu dipercayai mengantuk lalu terbabas dan melanggar bahagian belakang sebelah kiri lori yang sedang berhenti.

"Kejadian terbabit mengakibatkan penumpang hadapan, Mohd Hafizi Mat Saad (25) meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu, Helmeraza Mohd Arifa (37) cedera di bahagian kepala dan penumpang bahagian belakang, Zulkifli Sallehudin (27) cedera di bahagian kepala dan badan.

“Kedua-dua mangsa yang cedera parah di di bawa ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, pemandu lori pula bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kedua kenderaan terlibat telah dibawa ke Cawangan Trafik Bentong untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Warga emas Singapura hilang di Pulau Tioman

pdrm

KUANTAN - Pihak berkuasa masih meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang pelancong warga emas Singapura yang dilaporkan hilang selepas turun di Jeti Berjaya Beach Resort, Pulau Tioman, Isnin lepas.
 
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Supritendan Johari Jahaya berkata, sehingga kini mangsa, Tan Kim Cheng, 83, yang mengikuti kapal pelayaran dan singgah ke pulau peranginan itu, masih belum masih belum ditemui.
  
"Kehilangan mangsa itu disedari anak kapal selepas mangsa tidak pulang ke kapal pada masa yang ditetapkan," katanya ketika dihubungi hari ini.
"Laporan kehilangan mangsa dibuat oleh anak kapal di Balai Polis Pulau Tioman sebelum gerakan mencari menemukan beg galas milik mangsa berwarna biru gelap yang tertera tulisan China Express," katanya.
Beliau berkata pada masa sama, polis turut menemui barangan lain seperti bateri kamera, satu unit kamera berserta sarung jenama Lumix, teropong jenama Optisan Gemini, satu mangga berserta kunci, satu set kunci, satu pen Princess Cruises serta sebotol air mineral di tempat kejadian.
Johari berkata, siasatan awal mendapati seorang pelancong lain ada memberitahu kepada anak kapal bahawa ternampak mangsa berjalan seorang diri menghala ke Kampung Paya kira-kira pukul 2 petang pada hari kejadian.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rompin, Shamsul Affendy Sulaiman berkata setakat ini juga pihaknya tidak dapat memastikan sama ada mangsa lemas atau sebaliknya namun gerakan SAR masih diteruskan.
Pasukan SAR terdiri pada lapan angoota dari Balai Bomba dan Penyelamat Rompin, 10 anggota polis, empat anggota Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim) dan tujuh anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM). - Bernama

Geng curi lembu dicekup polis

pdrm

JERANTUT - Polis Jerantut menumpaskan 'Kumpulan Kenot' yang dipercayai aktif mencuri kenderaan di sekitar negeri ini, pada 10 April lepas dengan penahanan 10 anggota kumpulan itu termasuk dalangnya.
  
Ketua Polis Jerantut, Supritendan Azid Ismail berkata, kumpulan itu mencuri kenderaan bagi tujuan mencuri lembu dan pecah rumah.
"Selain penahanan 10 orang suspek termasuk seorang wanita, polis turut merampas tujuh buah kereta, dua buah motosikal dan sebuh kenderaan pacuan empat roda," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut di sini, hari ini.
Anggota kumpulan itu akan menggunakan kenderaan curi itu untuk mencuri lembu di kawasan ladang dan kemudian mereka akan membakar kenderaan yang dicuri bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa, katanya lagi.
Azid berkata, kesemua suspek yang berusia antara 20-an hingga 30-an itu kini direman di lokap IPD Jerantut selama seminggu dan disoal siasat mengikut Seksyen 457 dan 379A Kanun Keseksaan.
Siasatan polis juga mendapati kesemua suspek positif dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau, kata beliau.
"Dengan penahanan kesemua suspek berkenaan pihak polis yakin dapat menyelesaikan beberapa kes kecurian kenderaan yang dilaporkan berlaku di sekitar negeri ini," katanya. - Bernama

Lelaki disimbah asid oleh isteri meninggal dunia

PDRM

GEORGETOWN - Lelaki yang cedera parah selepas disimbah asid oleh isterinya di sebuah unit pangsapuri di Gat Lebuh Macallum di sini pada 17 Februari lepas meninggal dunia hari ini, menurut polis.

Low Yew Thean, 47, disahkan mati pukul 3 pagi ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, hasil bedah siasat mendapati kematian mangsa disebabkan 'melecur akibat bahan kimia'.
"Lelaki itu mengalami kesan melecur teruk 36 peratus di sebahagian muka, mata dan tubuhnya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 6.40 pagi itu, lelaki berkenaan disimbah asid ketika sedang tidur dan dijumpai menjerit kesakitan di atas katilnya oleh pengawal keselamatan pangsapuri itu.
Pasangan yang berkahwin selama lima tahun dan tidak mempunyai anak itu dikatakan sering bertengkar sebelum kejadian.
Wanita rakyat Thailand berusia 29 tahun itu turut mengunci rumah mereka sebelum melarikan diri dengan kereta Grand Livina milik suaminya.
Sementara itu, Mior Faridalathrash berkata, kematian lelaki Myanmar yang mayatnya ditemukan dalam kotak kayu di atas bumbung sebuah rumah kedai di Lebuh Victoria di sini semalam, adalah akibat dibunuh.
"Hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan di kepala dan kesan tikaman di rusuk," katanya.
Beliau berkata polis mengklasifikasi kejadian itu sebagai kes bunuh dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.
Mayat lelaki tanpa dokumen pengenalan diri itu dijumpai disumbat dalam kotak berukuran 0.6 x 0.6 meter selepas penyewa yang tinggal di tingkat satu mengadu terhidu bau busuk di rumah kedai dua tingkat itu. - Bernama

Tiga maut, empat cedera kemalangan di Sungai Buloh

kemalangan

KUALA LUMPUR - Tiga maut manakala empat lagi cedera apabila kereta yang mereka dinaiki bertembung di Jalan Kampung Merbau Sempak di Sungai Buloh, dekat sini, malam tadi.‎
  
Kejadian pukul 9.50 malam itu melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dinaiki empat penumpang dewasa dan lima kanak-kanak manakala kereta Proton Waja dinaiki dua penumpang dewasa dan dua kanak-kanak
  
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh, Mohamed Sabri A Shamsideen berkata, dua mangsa maut adalah daripada kereta Perodua Myvi manakala seorang lagi‎ daripada kereta Proton Waja.
  
Beliau berkata, ketiga-tiga mangsa berusia antara 27 dan 69 tahun itu, meninggal dunia di tempat kejadian dan mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sungai Buloh.
  
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke hospital berkenaan untuk bedah siasat. - Bernama

Amah Indonesia dipancung

Amah Indonesia dipancung
Ibu Karni menunjukkan gambar anaknya yang dihukum mati.
RIYADH - ARAB SAUDI. Seorang lagi rakyat Indonesia dihukum mati di Arab Saudi, sekali gus menjadikannya pekerja tempatan kedua menerima hukuman dari kerajaan Saudi, kelmarin.

Hukuman pancung terhadap Karni Medi Tarsim, 36, dijalankan sekitar pukul 10 pagi (waktu tempatan) atas kesalahan membunuh anak lelaki majikannya berusia 4 tahun pada 2012.

Kementerian Luar Indonesia memaklumkan, pihaknya tidak dimaklumkan terlebih dahulu tentang pelaksanaan hukuman walaupun seorang pegawai Indonesia ada melawat Karni di penjara di Madinah sehari sebelum hukuman dijalankan.
Susulan itu, Jakarta menyampaikan nota diplomatik kepada duta Arab Saudi untuk membantah kegagalan kerajaan Saudi memberitahu mereka tentang pelaksanaan hukuman.

Difahamkan, hukuman Karni dijalankan dua hari selepas Siti Zaenab, 47, di hukum Selasa lalu. - Channel News Asia.

Dua ditahan bantu siasatan kes jumpa mayat

Kes jenayah

BUTTERWORTH - Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang lelaki rakyat India dalam longkang besar di Jalan Bagan Dalam di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, dua lelaki berusia 25 tahun itu, ditahan di kawasan Bagan Dalam pada 4 dan 5.30 pagi tadi.
"Siasatan awal polis mendapati kejadian itu berpunca daripada kes samun," katanya ketika dihubungi di sini.
Abdul Rahman berkata, lelaki rakyat India itu dikatakan berjalan bersama rakannya, juga warga India sebelum disamun dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal.
"Rakan mangsa menyerahkan wang tunai RM5 kepada dua lelaki terbabit manakala mangsa melarikan diri dan dikejar suspek. Mangsa dipercayai terjatuh daripada jejantas ke dalam longkang besar itu ketika melarikan diri," katanya.
Mayat lelaki dikenali sebagai K Ajay, 30, itu ditemui oleh orang awam yang melalui kawasan itu pada 10.40 pagi.
Terdapat beberapa kesan kecederaan pada mayat itu. - Bernama

Enjin kereta terbakar tiba-tiba

Enjin kereta terbakar tiba-tiba
Anggota bomba sedang menjalankan kerja-kerja pemadaman.
SEREMBAN - Bahagian hadapan enjin sebuah kereta BMW, terbakar 100 peratus di tepi Jalan Seremban 2 - Seremban, dekat sini, semalam.

Difahamkan, pemilik kenderaan berusia 32 tahun yang sendirian dalam perjalanan dari arah Seremban 2 ke Seremban itu tiba-tiba menyedari kepulan asap di bahagian enjin keretanya sebelum memberhentikan kenderaan di tepi jalan dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 11.56 pagi.

Ketua Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat Seremban II, Hirwan Zainal berkata, bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 11.57 pagi.

“Sebuah jentera dan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba kira-kira dua minit kemudian.

 “Setiba di sana, api marak di bahagian hadapan enjin kereta berkenaan dan bomba terus menjalankan kerja-kerja pemadaman.

 “Turut hangus terbakar semua komponen di bahagian enjin kereta berkenaan walaupun pada mulanya pihak bomba menghadapi kesukaran bagi membuka bonet kereta di hadapan.

“Kebakaran itu tidak melibatkan bahagian lain,” katanya semalam.

Bomba mengambil masa kira-kira dua minit untuk mengawal kebakaran dan api dapat padam sepenuhnya tiga minit kemudiannya.

 “Kejadian tidak melibatkan mangsa. Punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Peniaga nasi ayam maut kemalangan di Bentong

kemalangan

KUANTAN - Seorang peniaga nasi ayam maut manakala dua rakannya parah selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka melanggar belakang sebuah lori dengan muatan papan lapis yang berhenti di KM 62.2 Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak, dekat Bentong, awal pagi tadi.
 
Mangsa yang terbunuh merupakan penumpang hadapan, Mohd Hafizi  Mat Saad, 25, berasal dari Felda Mempaga, Karak sementara mangsa  yang parah ialah pemandu kenderaan Helmeraza Mohd Arifa, 37, dan Zulkifli Sallehudin, 27, yang duduk di bahagian belakang. 
    
Ketua Polis Daerah Bentong, Supritendan Mohamad Nor Mansor berkata, nahas berlaku pada jam 3.45 pagi dan semua mangsa yang menaiki Mitsubishi Triton dalam perjalanan menghala ke Pasar Borong Selayang untuk membeli ayam untuk perniagaan nasi ayam mereka di Mempaga.
    
"Sampai tempat kejadian semasa melalui selekoh di situ, dipercayai pemandu kenderaan itu mengantuk lalu terbabas melanggar bahagian belakang sebelah kiri lori terbabit yang diletakkan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dekat Tol Bentong," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. 
    
Pemandu lori terbabit, R.Markandan, 37, beralamat di Kampung Baru Cina, Kuala Krau tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya. 
    
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Bentong untuk bedah siasat manakala  mangsa yang parah dirawat di hospital sama.
    
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya. - Bernama 

Penduduk gempar kehadiran roket, 'pengganas'

Penduduk gempar kehadiran roket, 'pengganas'
Kehadiran roket dan patung bertopeng yang menggemparkan penduduk Thames, kelmarin.

THAMES - BRITAIN. Orang ramai di pinggir sungai Thames digemparkan dengan kehadiran sebuah bot bersama patung bertopeng dan roket palsu, kelmarin.

Dipetik Dailymail, satu pasukan tentera pemusnah bom dihantar selepas menerima laporan mengenai kehadiran sebuah roket berukuran empat kaki di atas sebuah bot di sungai berkenaan.

"Anggota terlibat mengatakan roket tersebut adalah sebuah 'perhiasan'," kata jurucakap polis Thames Valley.

Orang ramai yang terkejut dengan kehadiran 'roket' berkenaan meluahkan rasa tidak puas hati.

"(Kejadian tersebut) sangat tidak kelakar. Banyak benda buruk berlaku disebabkan pengganas," kata seorang penduduk tempatan.

"Kami berharap pihak polis akan berbincang dengan pemilik bot dan menyuruhnya membuang perhiasan tersebut," tambahnya.

Hina rupa: Wartawan sukan digantung kerja

Hina rupa: Wartawan sukan digantung kerja
Britt McHenry

VIRGINIA - AMERIKA SYARIKAT. Seorang wartawan sukan dari syarikat media gergasi digantung kerja kerana 'menghina rupa, pekerjaan dan pendidikan' seorang wanita, 6 April lepas.
 
Menurut Dailymail, Britt McHenry, 28 seorang wartawan sukan ESPN mengeluarkan kata-kata kesat kepada seorang pekerja selepas keretanya ditarik.
 
"Saya (bekerja) di dalam media. Saya akan saman tempat ini," kata McHenry dipetik dari rakaman kamera litar tertutup.
 
Rakaman tersebut yang tersebar secara meluas di Internet memaksa ESPN mengambil tindakan.
 
"Britt McHenry telah digantung kerja selama seminggu berkuatkuasa serta merta," menurut jurucakap ESPN.
 
McHenry akhirnya membuat permohonan maaf secara terbuka di laman mikro Twitter, semalam.

Guru tunjuk kemaluan dilarang mengajar

Guru tunjuk kemaluan dilarang mengajar
Gelagat Cudjoe-Calvocoressi yang berjaya dirakamkan.

ASCOT - BRITAIN. Seorang guru dilarang mengajar seumur hidup selepas didapati bersalah menunjukkan kemaluan ketika dalam sebuah tren, Jun lepas.
Menurut Dailymail, gelagat Nuku Vanonyi Cudjoe-Calvocoressi, 41, dirakam seorang wanita di dalam sebuah tren menuju ke Reading.
Wanita berkenaan kemudian memberitahu suaminya dan Cudjoe-Calvocoressi ditangkap beberapa jam kemudian.
Cudjoe-Calvocoressi merupakan seorang guru di sekolah popular, St George yang bertempat di Ascot.

Lelaki 'ditikam' kerana berdengkur dalam pesawat

Lelaki 'ditikam' kerana berdengkur dalam pesawat
Kesan tompokan dakwat pen pada kemeja Mordarski akibat ditusuk oleh wanita yang merupakan penumpang di sebelahnya.

CHICAGO. AMERIKA SYARIKAT- Gara-gara tidak tahan dengan dengkuran penumpang sebelah, seorang wanita bertindak ganas dengan mencucuk jirannya itu dengan sebatang pen ketika dalam penerbangan ke Manchester, semalam.

Memetik laporan portal Metro.co.uk, Lenny Mordarski sedang tidur lena sebelum dikejutkan dengan tusukan pen di tubuhnya.

Mordarski memberitahu kepada pemberitahu ABC 7, wanita tersebut mungkin tidak tahan dengan dengkurannya sehingga menusuk pen ke anggota tubuhnya.

Tindakan wanita tersebut menyebabkan dia kesakitan dan baju kemeja yang dipakainya comot dengan tompokan dakwat pen.

“Bayangkan yang anda sedang tidur dan tiba-tiba anda terasa seperti disengat lebah dan kemudiannya terjaga dalam keadaan kesakitan,” katanya seperti yang dipetik menerusi portal tersebut.

Rakannya, Michael Sutton, yang turut berada di penerbangan yang sama mengakui bahawa dengkuran Mordarski boleh mengganggu beberapa penumpang dalam pesawat tersebut.

“Saya rasa, semasa Mordarski sedang tidur, lengan mereka berdua mungkin bersentuhan secara tidak sengaja dan itulah yang menyebabkan wanita itu hilang kawalan dan mula menikamnya dengan sebatang pen.

“Dia (berdengkur) seperti jeritan kecil kanak-kanak perempuan. Mungkin itu mengganggu wanita tersebut,” katanya.

Sebaik sahaja insiden tercetus, beberapa anak kapal segera bertindak menghalang tindakan wanita itu.

Pesawat tersebut yang berlepas dari Midway, Chicago ke Manchester, New Hampshire terpaksa berpatah semula ke lapangan terbang.

Wanita tersebut yang enggan dinamakan dihalau dari penerbangan tersebut dan dipaksa mengambil penerbangan seterusnya ekoran tindakannya yang agak agresif.

Pelajar hilang ditemui mati


Pelajar hilang ditemui mati
Pihak polis berkawal di Ladang High Craigton, Glasgow, di lokasi mayat ditemui.
SCOTLAND - BRITAIN. Mayat wanita yang ditemui pihak berkuasa disahkan sebagai Karen Buckley yang dilaporkan hilang sejak malam Sabtu lalu.

Mayat tersebut dijumpai di sebuah ladang semalam berdekatan Glasgow, lapor portal Metro.co.uk hari ini.

Buckley, 24, yang merupakan pelajar aliran terapi di sebuah institut pengajian dilaporkan hilang selepas meninggalkan sebuah kelab malam.

Dalam pada itu, polis turut menahan seorang suspek berusia 21 tahun yang dipercayai mempunyai hubung kait terhadap kehilangan Buckley pada malam tersebut.

Salah seorang ahli keluarganya berkata, Buckley merupakan anak gadis yang sangat ceria dan suka melancong dan mengembara.

“Karen adalah satu-satunya anak perempuan kami. Dia selalu menceriakan suasana dalam keluarga dan sangat disayangi oleh rakan-rakannya.

“Kehilangannya memberikan kesan yang mendalam kepada kami semua. Kami semua akan merindukannya,” katanya seperti yang dipetik menerusi portal tersebut.

Pengasuh terkejut jaga mangsa culik

Pengasuh terkejut jaga mangsa culik
Seorang kanak-kanak berumur dua tahun berjaya diselamatkan dari diculik nenek dan teman wanita ayahnya.

IOWA - AMERIKA SYARIKAT. Seorang pengasuh terkejut selepas menyedari kanak-kanak yang dijaganya merupakan seorang mangsa culik, Rabu lepas.

Menurut ABC News, John Truong menyedari hal berkenaan selepas membaca nota mengenai kanak-kanak hilang yang tersebar di laman sosial Facebook.

"Saya sedang bersarapan sambil memeriksa Facebook, kemudian saya nampak nota kanak-kanak hilang tersebut," kata Truong kepada stesen televisyen tempatan.

"Kanak-kanak hilang tersebut menyerupai kanak-kanak yang berada di atas katil saya. Oh tuhan, apa yang sedang terjadi?" tambahnya.

Truong memberitahu bahawa kakaknya, Chang memberitahu bahawa kanak-kanak tersebut adalah anak kepada teman lelakinya.

Siasatan awal polis mendapati Chang, 46, dan neneknya, Nguyen, 65, bertanggungjawab ke atas penculikan kanak-kanak tersebut pada Selasa lalu.

Polis masih menyiasat kes berkenaan.

Kanak-kanak 9 tahun diculik, dirogol dan dibunuh

Kanak-kanak 9 tahun diculik, dirogol dan dibunuh
Kiri) Zbigniew Huminski dan Chloe.

CALAIS - PERANCIS. Seorang lelaki mabuk didakwa menculik, merogol dan membunuh seorang kanak-kanak perempuan, semalam.

Menurut Dailymail, Zbigniew Huminski, 38, mengaku mencekik Chloe, 9, hingga mati dalam kejadian petang semalam.

Siasatan awal mendapati Chole diculik di hadapan ibunya di hadapan sebuah sekolah oleh Huminski yang ketika itu dalam perjalanan ke Britain.

Mangsa kemudian dirogol dan dibunuh di sebuah hutan terpencil.

Mayat kanak-kanak malang tersebut ditemui dua jam kemudian di hutan Dubrulle.

Huminski yang ditangkap beberapa jam kemudian didapati berada di bawah pengaruh alkohol yang merbahaya.

Suspek ditahan reman sehingga sebutan kes.

Maut dirempuh ketika pemandu asyik bermain telefon

Maut dirempuh ketika pemandu asyik bermain telefon
Robert Blackwell (kiri) dan Liberty Baker.

OXFORD - ENGLAND. Seorang lelaki dipenjarakan empat tahun semalam selepas didapati bersalah merempuh hingga maut Liberty Baker, 14, dalam sebuah kejadian, Jun tahun lepas.
 
Laporan Dailymail memberitahu, Baker dirempuh Robert Blackwell, 19, ketika sedang berjalan kaki ke sekolah.
 
Siasatan polis mendapati Blackwell bermain telefon bimbit dan dibawah pengaruh ganja ketika kejadian.
 
Ibu Baker, Maureen Baker, 45, kecewa selepas mahkamah hanya memutuskan hukuman penjara empat tahun tersebut kepada pembunuh anaknya.
 
"Kami sangat terkejut dengan hukuman tersebut. Anak kami sudah tiada disebabkan lelaki itu," kata suami Maureen, Paul.
 
"Dia cuma habiskan masa beberapa tahun dalam penjara dan kami perlu hidup selepas kehilangan Liberty hingga akhir hayat," tambahnya.

Sentimen anti-Islam meningkat

Sentimen anti-Islam meningkat
Anggota polis berkawal di luar Masjid Besar Paris ketika Islam mula membanjiri masjid berkenaan untuk solat Jumaat.

PARIS - PERANCIS. Laporan terbaharu mengenai sentimen Islamophobia di Perancis meningkat 500 peratus sejak serangan berdarah di ibu pejabat majalah satira Charlie Hebdo, Januari lalu. Majlis Islam Perancis (CFCM) berkata, sebanyak 222 kes gangguan terhadap
penduduk Islam dicatat pada suku pertama tahun ini, menunjukkan peningkatan drastik berbanding 37 kes yang direkodkan dalam tempoh sama, tahun lalu.

Badan Islam utama Perancis itu turut mendedahkan bahawa kebanyakan serangan berlaku pada bulan Januari.

"Kita berdepan situasi membimbangkan di mana gangguan dialami penduduk Islam meningkat secara mendadak. Ia termasuklah perbuatan anti-Islam di rangkaian sosial.

"Tindakan anti-Islam ini juga menyebabkan serangan ganas ke atas lelaki serta perempuan dan dalam sesetengah kes wanita mengandung juga menjadi mangsa," kata Presiden CFCM, Abdallah Zekri.

Februari lalu, Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Eropah, Nils Muiznieks memberi amaran mengenai peningkatan diskriminasi terhadap penduduk Islam Perancis.

Islamophobia di Perancis memuncak selepas tragedi Charlie Hebdo apabila tiga lelaki bertopeng melepaskan tembakan terhadap pejabat majalah itu yang mengorbankan 12 orang dan menyebabkan tiga lagi cedera parah. - Press TV

Anggota polis berkawal di luar Masjid Besar Paris ketika Islam mula membanjiri masjid     berkenaan untuk solat Jumaat.

Hukuman mati bulan ini

Hukuman mati bulan ini
Serge Atlaoui, salah seorang daripada 10 banduan dihukum mati dibawa keluar selepas perbicaraan mahkamah di Tangerang, Jakarta. - Foto AFP
JAKARTA - INDONESIA. Kerajaan Indonesia akan melaksanakan hukuman mati terhadap 10 banduan berhubung kes pengedaran dadah pada hujung bulan ini, menurut pejabat peguam negara, semalam.

"Jika tiada sebarang masalah, hukuman akan dijalankan bulan ini selepas Persidangan Asia-Afrika yang bermula esok hingga 23 April," kata jurucakap peguam negara, Tony Spontana.

Awal bulan lalu, mahkamah Jakarta menolak rayuan difailkan dua warga Australia Myuran Sukumaran dan Andrew Chan yang kemudiannya membuat semakan kehakiman dalam satu lagi percubaan untuk mengelak daripada skuad tembak.

Spontana memberitahu mereka telah menggunakan segala peluang yang ada dan hukuman mati tetap akan dijalankan meskipun kerajaan Australia menggesa Indonesia menghentikan hukuman.

Lapan lagi pesalah dadah yang turut menghadapi hukuman sama adalah tiga dari Nigeria dan masing-masing seorang dari Perancis, Filipina, Indonesia, Brazil serta Ghana.

Peguam Negara Muhammad Prasetyo memberitahu, kesemua mereka akan dihukum pada masa yang sama. - dpa

Nahas MH17: Australia desak siasatan rapi


MH17
MELBOURNE – Australia akan meminta Ukraine melakukan siasatan jenayah yang rapi untuk mencari dan menghukum mereka yang bertanggungjawab ke atas nahas pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17, Julai lepas, menurut akhbar The Australian.
 
Akhbar itu melaporkan Menteri Luar Australia Julie Bishop yang menghadiri satu persidangan global keselamatan-siber di Netherlands, membincangkan tragedi MH17 bersama rakan sejawatnya dari Netherlands dan Ukraine.
 
Laporan itu berkata Menteri Luar Ukraine, Pavlo Klimkin memberitahu Bishop negaranya melakukan segala yang mungkin untuk mengesahkan punca pesawat itu terhempas dan mendapatkan mayat dua penumpang Belanda yang masih disenaraikan hilang.
 
Akhbar itu berkata Bishop juga telah bertemu Perdana Menteri Belanda Mark Rutte.
 
"Beliau mengatakan tragedi itu masih merupakan isu yang sangat menyentuh emosi di Netherlands," kata Bishop seperti yang dipetik akhbar itu.
 
Menjelang ulang tahun nahas itu pada 17 Julai, tumpuan akan dipertingkatkan ke atas siasatan teknikal dan laluan pendakwaan yang bakal diambil, katanya.
 
Menurut laporan akhbar itu, dua isu yang masih belum selesai ialah laporan teknikal nahas yang dijangka selesai Oktober ini dan siasatan jenayah. - Bernama 

Kedudukan kewangan juruterbang disiasat

heli terbakar
Lokasi nahas

KUALA LUMPUR - Siasatan polis berhubung kes helikopter terhempas di Semenyih pada 4 April lepas, turut menjurus kepada kedudukan kewangan juruterbangnya, Kapten Clifford William Fournier.
 
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, terdapat kemungkinan masalah kewangan yang dihadapi juruterbang berkenaan menjadi punca nahas sehingga mengorbankan kesemua penumpangnya.

"Kita akan melihat beberapa aspek terutama sekali aktiviti dia, hobi atau sama ada dia mempunyai sebarang masalah termasuk kewangan...perkara ini boleh menjejaskan prestasi dan fokus dalam kerjayanya," kata Noor Rashid.‎
  
Beliau ditemui pemberita selepas menyaksikan upacara sembahyang khas oleh anggota dan pegawai polis beragama Hindu, bersempena Peringatan Hari Polis ke-208, di Kuil Sri Kandaswamy, Brickfields, semalam.‎
  
Noor Rashid berkata, siasatan terhadap nahas helikopter itu terbahagi kepada dua iaitu polis akan melihat dari aspek sama ada wujudnya unsur kecuaian, sabotaj atau unsur lain.‎
 
Selain itu, polis juga akan melihat dari segi teknikal bagaimana helikopter itu terhempas sehingga mengakibatkan enam terkorban, katanya.
  
"Pemeriksaan forensik memerlukan masa...kita juga telah mengesan saksi termasuk mengambil keterangan daripada keluarga mangsa. 
 
"Kesemua mayat telah dituntut dan kita memerlukan laporan teknikal daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan perlu dianalisa semula," katanya.
 
Noor Rashid berkata, polis akan memanggil semula saksi bagi memberi keterangan baharu selepas menerima laporan teknikal tersebut.

Dalam kejadian tersebut, helikopter AS365N2 Dauphin (9M-IGB) yang membawa enam orang terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.55 petang.
  
Selain Fournier, turut terkorban ialah Ahli Parlimen Rompin, Tan Sri Jamaluddin Jarjis; Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Azlin Alias; ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang, pegawai peribadi Jamaluddin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva. - Bernama

Hina mahkamah dedah senarai saksi

Amsterdam: Wartawan Lubnan dan rangkaian televisyen Al-Jadeed mula dibicarakan semalam atas tuduhan menghina mahkamah kerana menerbitkan senarai didakwa mengandungi nama saksi bagi siasatan pembunuhan bekas Perdana Menteri Rafik Hariri pada 2005.
Karma Khayat dan stesen televisyen itu dituduh mendedahkan nama saksi berkenaan bagi kejadian yang mengorbankan 21 lain serta membawa Lubnan ke ambang perang saudara.
Tribunal Khas bagi Lubnan diadakan dengan sokongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyiasat pembunuhan Rafik itu selepas ahli politik negara itu mengakui sistem kehakiman mereka sendiri tidak mampu menanganinya.
Tribunal itu setakat ini menamakan lima tertuduh yang semuanya mempunyai kaitan dengan Hizbullah.
Namun, semuanya masih belum ditangkap, menjadikan Karma orang pertama hadir dalam kandang tertuduh di situ sejak bekas Presiden Liberia Charles Taylor didakwa atas tuduhan jenayah perang pada 2012 dalam sesi mahkamah lain yang menggunakan premis sama.
Karma - yang ketika itu memegang jawatan pengarang di Al-Jadeed dan kini naib pengerusinya - berkata, senarai disiarkan disunting supaya individu dimaksudkan tidak boleh dikenal pasti langsung. Tujuannya untuk mengetengahkan masalah kebocoran maklumat dihadapi Tribunal Khas itu.
Malangnya, katanya, senarai penuh nama saksi kemudian diedarkan pihak yang tidak diketahui.
Dia menuduh tribunal itu menggunakan stesen televisyen berprofil tinggi berkenaan yang terkenal dengan kewartawanan agresif untuk menggertak dan menakutkan media Lubnan lain.
Karma berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, selain denda bersama Al-Jadeed sehingga 130,000 Euro (RM508,000).
Dia sebelum ini dipetik berkata:“Ini sekadar senjata tribunal berkenaan terhadap media lain di Lubnan supaya takut menggunakan pendekatan kritikal atau bersuara lebih lantang.”
Karma didakwa oleh pendakwa bebas yang dilantik tribunal. Pendakwa berkata, pendedahan senarai saksi itu meletakkan mereka dalam bahaya seterusnya menggugat kepercayaan mereka yang sebelum ini dijanjikan identiti dirahsiakan jika memberi keterangan. - Reuters
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2015 @ 9:37 AM


KARMA
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/44327#sthash.UglaXBAa.dpuf