Search This Blog

Friday, April 17, 2015

Video Aksi Bogel: Dua Ahli Perniagaan Rugi Hampir RM50,000


Diterbitkan: Khamis, 16 April 2015 2:15 PM
Wilson Lau (kiri) menunjukkan gambar 'wanita' yang memperdaya mangsa untuk berbogel sebelum memeras ugut untuk menyebarkan rakaman aksi itu. Turut serta Pengerusi Cawangan Kampung Semarang Gerakan (Bahagian Bukit Bintang), Philip See. Foto RAJA FAISAL HISHAN / THE STAR

KUALA LUMPUR: Akibat termakan pujuk rayu seorang wanita jelita berpenampilan seksi, dua ahli perniagaan tempatan menerima padah apabila kerugian hampir RM50,000 selepas menjadi mangsa rakaman video aksi bogel.
Sindiket merakam aksi bogel yang menggunakan wanita muda dari Filipina itu sebagai umpan menyasarkan ahli perniagaan dan orang kenamaan di laman sosial Facebook menggunakan nama 'Ashley Mhay Celeste'.
Pengerusi Biro Perkhidmatan dan Aduan Awam Gerakan, Wilson Lau berkata, sindiket itu dikesan selepas beberapa mangsa membuat laporan mengenainya.
Menurutnya, modus operandi sindiket itu menggunakan Facebook yang memaparkan wanita cantik dan seksi dengan menghantar permohonan untuk menjadi kenalan kepada mangsa.
“Selepas diterima sebagai kenalan, wanita itu kemudiannya menggunakan kata-kata manis bagi memperdaya mangsa untuk bersembang di laman video Skype dan menanggalkan pakaian mereka bagi memujuk mangsa untuk turut berbogel.
“Aksi bogel mangsa dirakam tanpa disedari sebelum ia dimuat naik di YouTube secara ‘private’ dan hanya boleh ditonton mangsa.
“Sindiket itu akan memeras ugut mangsa untuk memberikan sejumlah wang sekiranya tidak mahu video bogel itu tersebar kepada umum,” katanya pada sidang media di Menara PGRM di sini, Khamis.
Mengenai mangsa, Lau berkata, kedua-dua lelaki yang sudah berkeluarga itu mendakwa telah ditipu oleh ‘wanita cantik dari Filipina’ itu.
“Mangsa pertama berusia 39 tahun apabila diminta sebanyak AS$10,000 tetapi lelaki berkenaan hanya sempat memberikan RM3,000 dengan alasan wang adalah milik syarikat selain disimpan isteri.
“Seorang lagi mangsa pula berusia 43 tahun yang diugut supaya memberikan AS$50,000 dan berdasarkan maklumat diterima, lelaki itu berikan wang sebanyak dua kali, yang pertama sebanyak RM5,000 dan kedua RM40,000,” katanya.
Menurut Lau, beliau percaya sindiket yang didalangi warga tempatan dan asing itu akan terus mencari mangsa menerusi Facebook.
“Orang ramai dinasihatkan supaya jangan mudah percaya dengan kenalan yang tidak dikenali di laman sosial, terutama mereka yang cuba memujuk rayu dengan menggunakan gambar-gambar seksi dan ghairah.
“Kita akan membuat laporan kepada SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) dan Facebook bagi memantau perkara ini, termasuk akaun yang meragukan,” katanya.

Kes Bunuh: Polis Buru Tiga Warga Asing


Diterbitkan: Khamis, 16 April 2015 5:23 PM
Dhir Bahadur Malla antara suspek yang diburu polis kerana kes bunuh.

SHAH ALAM: Tiga lelaki warga asing diburu polis kerana dipercayai terlibat dalam tiga kes pembunuhan yang berlaku berasingan di sekitar Selangor, Februari lalu.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah, lelaki terlibat masing-masing dua warga Myanmar, manakala seorang lagi berasal dari Nepal.
"Suspek dikenali sebagai Dhir Bahadur Malla, warganegara Nepal yang berusia 25 tahun dan disyaki terlibat dalam kes pembunuhan rakan serumahnya yang berlaku di sebuah kilang di Jalan Rawang Perdana 2, Rawang.
"Salah seorang lelaki Myanmar yang dikehendaki adalah Kaa Yen Maa yang berusia 30 tahun dan disyaki terlibat dalam pembunuhan suri rumah rakan senegaranya, Aishah Mohd Harun di kediaman mangsa di Seri Kembangan, Serdang.
"Suspek ketiga pula adalah warga Myanmar Htet Pyae Aung yang berusia 21 tahun yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan seorang pekerja kilang plastik di Taman Sri Muda, di sini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, Khamis.
Adnan turut menjelaskan, setakat ini, punca kejadian tidak diketahui dan pihaknya masih menjejaki kesemua suspek untuk membantu siasatan.
Dalam pada itu, Adnan berharap orang ramai dapat membantu pihak polis dengan membuat laporan jika ternampak individu yang dikehendaki atau mempunyai maklumat mengenai kes-kes berkenaan.
"Kami berharap orang ramai akan segera ke balai polis berdekatan sekiranya mereka ternampak suspek-suspek yang dikehendaki," tambahnya lagi.

Tiga Suspek Miliki Barang Peribadi Mangsa Kes Bunuh Ditahan


Diterbitkan: Khamis, 16 April 2015 3:42 PM
Adnan Abdullah

SHAH ALAM: Penahanan tiga lelaki yang membawa kepada penemuan barangan peribadi milik dua mangsa kes bunuh di Kilometer 10, Jalan Bristol arah Kuang, Selasa lalu memberi harapan untuk pihak polis melengkapkan siasatan kes berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, tiga suspek berusia antara 18 hingga 23 tahun itu ditahan di tempat berasingan iaitu di Rawang, Selayang dan Setapak.
"Cincin dan rantai emas yang dipercayai milik mangsa dirampas daripada suspek yang ditahan itu.
"Selain itu, pakaian suspek turut dirampas ketika kejadian itu dan semua barangan itu dihantar untuk pengesahan DNA," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, Rabu.
Dalam pada itu, Adnan menjelaskan, semua suspek kini ditahan  reman, manakala gerakan juga dilakukan untuk mengesan suspek lain bagi membantu siasatan kes itu.
Dalam kejadian baru-baru ini, kedua-dua mayat lelaki tersebut ditemui dalam sebuah kereta Perodua Kembara berhampiran gaung di tepi Jalan Bristol.
Mangsa dipercayai dikelar dan dijerut selepas berlaku pertengkaran antara mereka semasa dalam perjalanan untuk menyertai upacara keagamaan.

Polis P.Pinang Bongkar Makmal Proses Dadah, Hasil Rampasan Cecah RM2.66 Juta


Diterbitkan: Khamis, 16 April 2015 5:05 PM
Abdul Rahim Hanafi

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang membongkar sebuah makmal memproses dadah dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM2.66 juta dalam serbuan di sebuah rumah di Bukit Mertajam dan Simpang Ampat, Rabu malam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, dalam serbuan pada pukul 11 malam itu, polis turut menahan sepasang suami isteri dan rakan lelaki mereka yang kesemuanya berumur antara 47 dan 50 tahun.
Beliau berkata, pasangan suami isteri itu bekerja sebagai peniaga manakala rakan mereka bekerja di sebuah syarikat swasta di Bukit Mertajam.
"Sebuah bilik di rumah pasangan suami isteri terbabit dijadikan makmal memproses heroin, pil kuda dan syabu. Polis turut menemui serbuk pil kuda  seberat 3,760 gram, syabu (1,500gram), heroin (1,000gram) dan ketamin (41gram).
"Polis turut merampas pelbagai bahan kimia dan peralatan untuk memproses dadah serta sepucuk pistol angin berserta kelopak," katanya dalam sidang akhbar di sini, Khamis.
Abdul Rahim berkata, susulan serbuan itu, polis menyerbu sebuah rumah di kawasan Simpang Ampat, Nibong Tebal dekat sini pada pukul 3 pagi dan merampas syabu seberat 21 gram dan 40 biji pil ecstacy.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu beroperasi sejak enam bulan lepas dan mereka menghasilkan dadah sebelum diedar untuk pasaran negeri-negeri di utara tanah air.
"Turut disita empat kenderaan dan wang tunai RM2,620. Jumlah keseluruhan  nilai sitaan ialah RM150,000 manakala nilai dadah yang dirampas dalam dua buah rumah itu ialah RM2.66 juta," katanya.
Beliau berkata, seorang daripada yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan semua mereka kini direman sehingga sehingga 21 April bagi membantu siasatan.
Dalam perkembangan lain, Abdul Rahim berkata seorang daripada 26 lelaki yang diburu polis kerana disyaki anggota geng kongsi gelap telah menyerah diri manakala keluarga empat lagi lelaki terbabit menghubungi polis untuk memberikan kerjasama.
Pada 10 April lepas, polis Pulau Pinang mengedarkan gambar 26 lelaki terdiri daripada anggota geng 04, 08 dan 36 berumur antara 22 hingga 36 tahun yang disyaki terlibat dengan pelbagai kes jenayah termasuk mempunyai rekod jenayah.-- Bernama

Polis Tahan Lima Lelaki Vietnam Bantu Siasatan Kes Rompakan


Diterbitkan: Khamis, 16 April 2015 9:44 PM
Pihak media menemuramah Rusli untuk mengetahui perkembangan beberapa kes di sekitar daerah Seberang Perai Tengah.

BUKIT MERTAJAM: Lima lelaki Vietnam ditahan di sebuah rumah di Taman Perwira, di sini bagi membantu siasatan berhubung beberapa kes rompakan pejabat dan kilang serta pecah rumah di sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT).

Ketua Polis Daerah SPT ACP Rusli Mohd Noor berkata lima lelaki berumur 19 hingga 28 tahun itu ditahan pada Selasa susulan kejadian sebuah pejabat kilang di kawasan Perindustrian Bukit Minyak, dirompak pada hari yang sama menyebabkan kerugian kira-kira RM10,000.

"Hasil pemeriksaan di rumah sewa mereka, kami menemui pelbagai barang yang dipercayai hasil pecah rumah dan rompak kilang serta pejabat.

"Antara barang yang dirampas ialah tujuh telefon bimbit pelbagai jenama,tiga komputer riba, pelbagai barang elektrik, sarung tangan dan kain penutup mulut serta peralatan yang diguna untuk pecah rumah," katanya pada Khamis.

Beliau berkata siasatan awal mendapati lima lelaki yang menetap di negara ini sejak empat tahun lepas tidak bekerja dan terlibat dalam lebih 10 kes merompak kilang dan menebuk peti besi di sekitar kawasan perindustrian di SPT sejak setahun lepas.

Ujian air kencing mendapati empat daripada lima lelaki terbabit positif dadah dan kesemua mereka kini direman 14 hari bagi membantu siasatan, katanya.

Khidmat Seks Secara Membida Kalungan Bunga


Diterbitkan: Khamis, 16 April 2015 10:30 PM
Gambar fail.

KUALA LUMPUR: Dengan hanya membeli kalungan bunga, pelanggan yang mengunjungi beberapa pusat hiburan di ibu kota boleh membida untuk mendapatkan khidmat seks yang ditawarkan pelayan pelanggan (GRO).

Pusat hiburan terbabit akan menyediakan kalungan bunga dengan nilai harga antara RM50 hingga RM500 untuk pelanggan premis terbabit dan pelanggan akan membuat bidaan terhadap GRO dengan pembida tertinggi akan mendapat khidmat seks.

Selain itu, para pelanggan juga akan mendapat tarian khas daripada gadis yang 'dibida'. Itu merupakan satu "kelainan" yang dibuat oleh pusat hiburan terbabit "bagi merancakkan kegiatan pelacuran".

Supritendan Pencegahan Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Supt Razali Abu Samah ketika mendedahkan perkara itu berkata, pihaknya mengesan modus operandi terbaru itu hasil pemantauan dan risikan berikutan maklumat orang awam.

"Pelanggan akan membida gadis kalung bunga dengan harga yang tinggi...Jika pelanggan membeli lebih bunga yang dijual, mereka akan mendapat khidmat seks daripada penjual bunga terbabit.

Pelanggan boleh melakukan aktiviti itu sama ada menyewa hotel atau di rumah pelanggan," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata cara ini bertujuan mengaburi pihak berkuasa dengan beroperasi tanpa bergantung kepada sesuatu premis serta menjalankan kegiatan tidak bermoral itu di lokasi lebih strategik seperti di hotel bajet atau kediaman mereka.

Sementara itu, Razali berkata pihaknya telah mengeluarkan 60 saman dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini terhadap rumah urut di ibu negara atas pelbagai kesalahan berbanding 13 saman dalam tempoh sama tahun lepas. 

"Kelicikan pengendali beberapa rumah urut yang menjalankan aktiviti pelacuran secara haram kini menggunakan strategi antaranya beroperasi di luar premis dan dalam talian bagi mengaburi pihak berkuasa," katanya.

Dalam perkembangan lain, Razali berkata pihaknya turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam mengesan perkhidmatan pelacuran yang beroperasi secara dalam talian.

Katanya hampir 50 laman web di negara ini kini dalam perhatian pihak berkuasa yang dipercayai menawarkan perkhidmatan pelacuran secara bersembunyi dengan mengenakan bayaran khas untuk mendapatkan pelanggan, selain membuat temu janji di lokasi tertentu.

"Hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk bantuan maklumat daripada orang awam, pencapaian yang memberangsangkan ini menunjukkan kejayaan pihak berkuasa dalam memintas kelicikan dan menumpaskan aktiviti haram mereka," katanya.

Pati Di Sarawak Sembunyi, Lari Elak Ditahan - Imigresen


Diterbitkan: Jumaat, 17 April 2015 7:00 AM

PETALING JAYA: Pendedahan mengenai kehadiran lebih 80,000 pendatang asing tanpa izin (Pati) di Sarawak baru-baru ini mendorong warga negara jiran itu bertindak bersembunyi atau melarikan diri bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.
Timbalan Pengarah Imigresen Sarawak, Hamfatullah Syawal Hamdan berkata, beliau percaya pendedahan itu akan menyebabkan Pati bimbang kedudukan mereka di negeri ini secara haram akan terancam.
“Kita tahu Sarawak adalah sebuah negeri yang luas tetapi kita percaya mereka (Pati) mungkin akan cuba bersembunyi di kawasan hutan atau ceruk-ceruk kampung bagi mengelak dikesan atau melarikan diri dari negeri ini melalui laluan-laluan tikus.
“Bagaimanapun, kita akan terus mempergiatkan operasi di semua lokasi yang disyaki menjadi tempat tumpuan dalam usaha untuk membanteras Pati di negeri ini” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.
Selasa lalu, Hamfatullah Syawal mendedahkan bahawa berdasarkan sumber risikan agensi penguatkuasa mengesan kehadiran kira-kira 80,000 Pati di Sarawak.
Sehubungan itu katanya, operasi bagi membanteras Pati di negeri itu akan diperhebatkan secara besar-besaran melalui operasi bersepadu dan berkala.
Tambahnya, Imigresen Sarawak menjalankan sebanyak 106 operasi membanteras Pati sejak Januari sehingga 10 April lalu.
“Seramai 1,813 warga asing yang kita periksa, dan daripada jumlah itu, 578 Pati yang ditangkap kerana melanggar pelbagai kesalahan di bawah Akta dan Peraturan Imigresen.
“Daripada 578 Pati yang ditangkap, 70 peratusnya dari Indonesia, 29 peratus (Filipina), 0.5 peratus (Pakistan), 0.3 peratus (Thailand) dan 0.2 peratus (China),” kata Hamfatullah Syawal. 
Hamfatullah Syawal berkata, pada masa sama tumpuan diteruskan di semua bahagian di Sarawak terutama di kawasan perladangan dan pembinaan. 
“Kebanyakan operasi yang kita buat adalah di ladang-ladang dan kawasan pembinaan,” katanya. 
Mengenai operasi bersepadu, katanya, pada masa ini sebanyak sembilan agensi yang terlibat iaitu Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Rela, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Selain itu, ia turut melibatkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Tanah dan Survei, pihak berkuasa tempatan (PBT).
Hamfatullah Syawal berkata, terdapat perancangan untuk melibatkan tiga lagi agensi penguatkuasa bagi mempergiatkan operasi membanteras Pati secara besar-besaran.
“Ia nanti akan melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Unit Keselamatan Negeri,” katanya.
Selasa lalu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, operasi bersepadu secara besar-besaran terus dipergiatkan di Sarawak bagi menangani kebanjiran Pati di negeri itu di samping menjadikan isu berkenaan yang berlaku di Sabah dan Cameron Highlands, baru-baru ini sebagai pengajaran.

Penduduk Sarawak Diberi Amaran Tidak Subahat, Lindungi Pati


Diterbitkan: Jumaat, 17 April 2015 2:30 PM

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen Sarawak memberi amaran kepada penduduk tempatan supaya tidak melindungi pendatang asing tanpa izin (Pati) yang jumlahnya kini mencecah lebih 80,000 di negeri itu.
Timbalan Pengarah Imigresen Sarawak, Hamfatullah Syawal Hamdan berkata, pihaknya menerima maklumat daripada sumber risikan bahawa terdapat penduduk tempatan yang menyediakan penempatan kepada Pati.
“Kita dapat tahu mereka sewakan penempatan kepada Pati. Ini adalah satu kesalahan kerana melindungi Pati di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen.
“Operasi bersepadu dan berkala akan dipergiatkan bagi membanteras Pati di negeri ini. Jika kita dapat kesan penduduk tempatan melindungi Pati, kita akan ambil tindakan tegas,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.
Selasa lalu, Hamfatullah Syawal mendedahkan bahawa berdasarkan sumber risikan agensi penguatkuasa mengesan kehadiran kira-kira 80,000 Pati di Sarawak.
Beliau berkata, jika disabitkan kesalahan, hukuman denda akan dikenakan tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Mengenai pendedahan 80,000 Pati di Sarawak, Hamfatullah Syawal tidak menolak kemungkinan golongan itu akan cuba bersembunyi di ceruk-ceruk kampung selain hutan atau melarikan diri melalui jalan-jalan tikus.
Sehubungan itu, beliau meminta supaya penduduk kampung memberikan maklumat sekiranya mendapati terdapat Pati yang berada di kawasan mereka.
“Penduduk tempatan boleh menyalurkan maklumat mengenai Pati di bilik gerakan kita di talian 082-486504, 082-239140 dan 082-486576 atau fax ke 082-486510.
“Kita minta penduduk tempatan supaya memberikan kerjasama dalam usaha menangani kebanjiran Pati,” katanya sambil menambah lebih 50 aduan yang diterima orang ramai mengenai Pati di negeri itu sejak Januari lalu.
Sejak Januari sehingga 10 April lalu, Jabatan Imigresen Sarawak telah melakukan sebanyak 106 operasi membanteras Pati dan sebanyak 578 Pati yang ditangkap kerana melanggar pelbagai kesalahan di bawah Akta dan Peraturan Imigresen. 

Mayat Dua Sahabat Ditemui


Diterbitkan: Jumaat, 17 April 2015 2:53 PM

MUAR: Mayat dua sahabat karib yang lemas selepas terjatuh dari jeti Kampung Jorak, Bukit Pasir, di sini dua hari lalu, ditemui masing-masing malam tadi dan awal Jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar Marzuki Ismail berkata mangsa pertama yang dijumpai oleh orang awam pada pukul 10.11 malam ialah Elis Norfairusnizam Sidek, 15, kira-kira 150 meter dari jeti tempat kejadian.
"Mangsa kedua pula Muhammad Afiq Asyraf Mohamad Najib, juga 15 tahun, ditemui pada pukul 3.49 pagi ini oleh orang awam pada jarak lebih kurang 50 meter dari jeti tersebut," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.
Rabu lalu, dua sahabat itu dipercayai terjatuh dari jeti ketika bermain pada kira-kira pukul 6.30 petang.
Seorang daripada mereka dipercayai tergelincir dan difahamkan rakannya cuba membantu tetapi turut tenggelam dan dihanyutkan arus deras.
Marzuki berkata mayat kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk bedah siasat.
Katanya operasi mencari dan menyelamat itu melibatkan lebih 70 anggota termasuk unit menyelam.
Sementara itu, bapa Muhammad Afiq Asyraf, Mohamad Najib Attan, 48, menerusi laman sosial Facebook miliknya turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu, berdoa dan memberi kata-kata semangat kepada mereka sekeluarga.

Mayat Dua Nelayan Terapung Dekat Pulau Perhentian


Diterbitkan: Jumaat, 17 April 2015 2:47 PM

BESUT: Mayat dua nelayan, yang hilang di lautan sejak Rabu lepas setelah bot dinaiki mereka karam di kawasan Terumbu Tiga dekat Pulau Perhentian, dijumpai terapung oleh sekumpulan nelayan kira-kira 8 pagi ini, menurut polis.
Ketua Polis Daerah Besut Supt Khaled Che Lah mengesahkan mayat Ahmad Anuar Mat Sin, 33, dan bapa saudaranya Ibrahim Kadir, 46, dari Pattani, Thailand dijumpai berhampiran kawasan tempat kejadian bot karam.
Katanya pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat telah mengambil kedua-dua mayat tersebut daripada nelayan berkenaan.
"Kedua-dua mayat itu dibawa ke jeti nelayan Kuala Besut seterusnya diserahkan kepada pihak polis dan telah dibawa ke Hospital Daerah Besut untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi.
Dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi Rabu itu, bot kepunyaan seorang tauke tempatan yang menggaji 25 nelayan Thailand berumur lingkungan 18 hingga 56 tahun telah terlanggar batu besar dan karam dalam cuaca ribut dan ombak besar.
Bagaimanapun, lainnya berjaya diselamatkan oleh sebuah bot nelayan lain.
Sementara itu, tekong bot karam itu, Ismail Kadir, 56, ketika ditemui Bernama berkata kedua-dua mangsa merupakan anak saudara dan adiknya dan mayat mereka akan dibawa pulang ke Pattani untuk dikebumikan setelah bedah siasat selesai.

Wanita OKU Ditemui Rentung


Diterbitkan: Jumaat, 17 April 2015 4:13 PM

KOTA BAHARU: Seorang wanita kurang upaya maut dalam kebakaran di Kampung Bechah Hangus, Kok Lanas, di sini dalam kejadian 4.30 pagi Jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Penolong Penguasa Bomba Mohd Rafain Mat Zain berkata Fatini Buniamin, 25 yang lembam ditemui rentung selepas terperangkap dalam bilik tidur rumah neneknya, Saadiah Dollah, 83.
Mohd Rafain berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran melibatkan dua buah rumah itu pada pukul 5.02 pagi dan tiba di tempat kejadian kira-kira 20 minit kemudian.
"Semasa tiba di lokasi kejadian, rumah yang didiami mangsa sudah hangus keseluruhannya manakala rumah bersebelahannya yang didiami tujuh sekeluarga sudah 50 peratus terbakar.
"Mayat mangsa ditemui dalam bilik tidurnya dan mayatnya telah dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini, Jumaat.
Mohd Rafain berkata tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh dan Balai Bomba dan Penyelamat Tunjong mengambil masa kira-kira tujuh minit untuk memadamkan kebakaran.
Katanya punca kejadian masih dalam siasatan.
Ibu mangsa, Fauziah Mahmud, 58, berkata ketika kejadian mereka sekeluarga sedang tidur dan menyedari kejadian itu setelah mendengar jeritan anaknya itu meminta tolong.
"Apabila mendengar jeritannya, saya cuba untuk menyelamatkannya namun gagal akibat api yang marak dan asap yang terlalu tebal.
Saya sempat melihatnya yang berada dalam selimut di tempat tidur sambil menjerit meminta tolong," katanya.
Fauziah yang baru sahaja pulang tinggal di kampung setelah bersara sebagai penjawat awam di Johor Baharu dua minggu lalu, melihat api mula marak dari arah dapur rumah itu. 

24 jam bertarung nyawa


pdrm

KUALA TERENGGANU - Setelah lebih 24 jam bertarung nyawa akibat dibelasah kerana disyaki mencuri lembu, seorang lelaki akhirnya meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian di Kampung Pengkalan Maras, di sini, Sabtu lalu, mangsa berusia 28 tahun, dipercayai dibelasah oleh sekumpulan penduduk kampung yang mendakwa dia merupakan individu dikehendaki kerana mencuri lembu di kawasan tersebut.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa dipercayai dibelasah sekumpulan penduduk kampung sehingga tidak sedarkan diri.
“Arwah dibelasah teruk dan terpaksa dibawa ke HSNZ untuk menerima rawatan kerana mengalami pendarahan teruk di kepala, patah kedua belah tangan serta luka di pipi dipercayai dipukul menggunakan senjata.

“Mangsa yang tidak sedarkan diri ketika di lokasi kejadian, berada dalam keadaan koma ketika menerima rawatan sebelum doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia keesokan harinya (Ahad),” katanya.
Wan Abd Aziz berkata, laporan awal perubatan mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan teruk akibat dipukul.
Rentetan laporan perubatan itu, jelas Wan Abd Aziz, pihaknya melancarkan operasi mencari individu terlibat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, yang membawa hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan.
Sehingga kelmarin, tujuh suspek berusia lingkungan 20 hingga 50-an ditahan bagi membantu siasatan.
“Tetapi kita percaya masih ada suspek yang terlibat dan diharapkan dengan penahanan tujuh suspek ini dapat membantu kita mengenal pasti individu yang masih bebas,” katanya.
Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai tidak mengambil tindakan terburu-buru jika menangkap sesiapa sahaja yang disyaki terlibat dalam apa jua kes jenayah, kerana tindakan itu akan memakan diri sendiri.
“Saya nasihatkan orang ramai jangan sesekali ambil tindakan sendiri, serahkan dulu kepada kami dan biarkan kami jalankan siasatan selanjutnya, sama ada seseorang itu bersalah atau tidak,” katanya.

Berhubung dakwaan penduduk yang kononnya arwah merupakan suspek curi lembu, Wan Abd Aziz berkata, sehingga kini pihaknya masih menyiasat sama ada dakwaan penduduk itu benar atau tersalah orang.

Nekad terjun laut elak dicekup

Nekad terjun laut elak dicekup
Semua penagih yang ditangkap dikumpulkan di satu tempat sebelum dibawa ke balai polis.

DUNGUN - Sekumpulan penagih lari lintang-pukang termasuk beberapa orang bertindak terjun ke dalam laut bagi mengelak dicekup ketika serbuan pihak berkuasa di satu port penagihan dadah di kawasan Jeti Kompleks LKIM, Kuala Dungun, kelmarin.

Serbuan itu dilakukan sempena Ops Sarang Dungun digerakkan Bahagian siasatan Jenayah Narkotik IPD Dungun bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacob berkata, seramai 13 lelaki warga tempatan ditahan ketika operasi itu.
Menurutnya, mereka yang ditahan berusia antara 20 dan 55 tahun dan ketika serbuan, ada yang dalam keadaan separuh sedar akibat khayal.
“Dua pegawai bersama 10 anggota dan tiga kakitangan AADK terlibat dalam operasi berkenaan dan port itu sebenarnya sudah beberapa kali diserbu.

“Sebaik sahaja menyedari kehadiran polis, mereka terkejut dan cuba lari untuk menyelamatkan diri masing-masing," katanya.
Kata beliau, ada beberapa orang yang tidak memikirkan risiko dengan terjun ke dalam laut dan ada sebahagian pula bersembunyi di dalam bot di sekitar kawasan itu bagi mengelak ditangkap.
“Bagaimanapun, hasil kecekapan anggota kami, mereka berjaya diberkas apabila ada anggota yang turut terjun laut dan berenang mengejar suspek, selain mengejar mereka menggunakan bot,” katanya.

Ahmad Zailani berkata, hasil pemeriksaan air kencing mendapati 12 yang ditangkap adalah positif dadah, malah kebanyakan mereka mempunyai rekod kesalahan lampau dan ada yang sering keluar masuk pusat pemulihan.

“Ketika serbuan, kita turut merampas 3.1 gram dadah jenis heroin dan tujuh pil kuda," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12 (2) ADB 1952 dan Seksyen 3(1) Akta Penagihan dadah 1983.

Mereka juga ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Sindiket 'parcel scam' lumpuh

Sindiket 'parcel scam' lumpuh
Antara lelaki warga Nigeria yang ditahan.
KLANG - Sindiket ‘parcel scam’ yang aktif membabitkan penipuan jual beli barangan di sekitar daerah Klang lumpuh dengan tertangkapnya sembilan individu warga asing dalam dua serbuan berasingan di Taman Sentosa, di sini, awal pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, serbuan pertama pada jam 1 pagi di sebuah  pangsapuri berjaya menahan tiga lelaki warga Nigeria dan dua wanita warga Filipina serta Thailand.

Menurutnya, hasil soal siasat, dua lagi lelaki warga Nigeria ditahan di sebuah pangsapuri lain di kawasan yang sama.

“Dalam serbuan tersebut, kita telah merampas beberapa peralatan seperti  komputer riba pelbagai jenama, tablet, telefon bimbit, kad visa, dan beg yang mengandungi pelbagai dokumen,” katanya.

Beliau turut mendedahkan sindiket yang aktif sejak tahun lalu itu akan menghantar bungkusan mengandungi barangan bernilai kepada mangsanya yang terdiri daripada wanita.

Menurutnya, sindiket itu akan menyamar  dan berhubung dengan mangsa melalui laman sosial dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

"Mereka mengarahkan mangsa untuk membuat bayaran melalui akaun bank milik warga tempatan jika ingin membuat tuntutan barangan tersebut.

"Mangsa yang terpedaya kemudian membuat bayaran dengan harapan memperoleh bungkusan tersebut," katanya.

Kamarul Zaman berkata, mangsa menyedari dirinya tertipu setelah pemeriksaan dengan pihak kastam mendapati  barang yang dihantar tidak wujud.

Justeru, beliau menasihatkan orang awam supaya lebih berhati-hati dengan modus operandi membabitkan penghantaran bungkusan.

“Kesemua warga asing  berusia 25 hingga 44 tahun direman 14 hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

MH370 mustahil lalu Maldives

MH370

KUALA LUMPUR - Dakwaan bahawa pesawat MH370 dilihat di Maldives pada hari kehilangannya dianggap sesuatu yang ‘mustahil’ untuk berlaku.

Timbalan Perdana Menteri Australia, Warren Truss berkata, kesimpulan itu dibuat berdasarkan data diperoleh pakar yang menyiasat kehilangan itu.

“Saya dimaklumkan adalah tidak mungkin untuk MH370 berada di kawasan tersebut semasa hari siang seperti yang dilaporkan penduduk kepulauan itu berdasarkan jumlah minyak yang dibawa pesawat itu.

“Ia juga sama sekali tidak konsisten dengan data satelit dan bacaan radar yang diperoleh. Ia tidak dikesan oleh pusat kawalan trafik udara Maldives atau mana-mana negara lain di kawasan itu jadi ia tidak dianggap sebagai satu kemungkinan,” katanya selepas mesyuarat tiga hala bersama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri Pengangkutan China, Yang Chuantang di sini, semalam.

Menurut Truss, pakar terlibat dalam pencarian itu juga yakin MH370 berada di kawasan pencarian yang sedang ditumpu kini iaitu di selatan Lautan Hindi.

Beliau yang berulang kali menyuarakan keyakinan pencarian MH370 dibuat di lokasi betul turut menambah bahawa alatan yang digunakan dalam operasi mencari pesawat itu adalah yang terbaik di dunia.

Beliau berkata, hasrat utama dalam pencarian itu adalah untuk menemui kotak hitam dan bahagian lain pesawat yang penting untuk siasatan supaya penjelasan dapat diberikan mengenai punca nahas itu.

Dalam pada itu, katanya, sejak kehilangan MH370 setahun lalu, sebanyak 26 negara telah membantu dalam usaha pencarian.

Truss berkata, pada masa ini, empat kapal laut sedang mencari MH370 di kawasan seluas 60,000 kilometer persegi yang disifatkan sebagai amat terpencil dengan kedalaman air 6.5 kilometer serta keadaan dasar laut yang mencabar.

Katanya, sejak pencarian dimulakan, sebanyak enam puting beliung terjadi di kawasan itu dan keadaan dijangka semakin buruk apabila musim sejuk bermula, dua bulan lagi.

Namun beliau berkata, pencarian itu secara tidak langsung membolehkan pemetaan dasar laut di selatan Lautan Hindi dibuat, iaitu kawasan yang sebelum ini tidak pernah dipetakan.

Kantoi lepas gian dalam lori

Kantoi lepas gian dalam lori
Mohd Yusoff (tiga, kiri) bersama pegawai dan anggotanya menunjukkan tembakau diawet yang dirampas, ketika sidang akhbar di IPD Jeli, semalam.
JELI - Tindakan dua lelaki melepaskan gian dalam lori membawa padah apabila ditahan polis dalam serbuan di Hentian Damai, Jalan Raya Timur Barat bersempadan dengan Perak, dekat sini, kelmarin.

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli hasil maklumat orang awam.

Dalam serbuan jam 11.30 malam itu, polis merampas sebanyak 302 bungkusan tembakau di dalam lori berkenaan, yang dianggarkan bernilai hampir RM60,000 dipercayai diseludup masuk dari negara jiran.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Mohd Yusoff Jaafar berkata, pemeriksaan awal turut menemui sebiji pil berwarna merah dan satu paket lut sinar mengandungi serbuk kristal dipercayai dadah.

Malah katanya, hasil saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek berusia 28 dan 30 tahun itu positif dadah jenis methamphetamine, termasuk seorang daripadanya mempunyai rekod jenayah lampu.

“Dua suspek terbabit ketika itu berhenti rehat di hentian berkenaan. Bungkusan mampat tembakau dianggarkan seberat 3,850 kilogram itu dipercayai diambil dari negara jiran dan cuba dihantar ke Pulau Pinang.

“Suspek berusia 28 tahun juga pernah ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sedang menjalani hukuman di bawah Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK),” katanya, semalam.

Kata Mohd Yusoff, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 52(1) Kawalan Pergerakan Tembakau Diawet di bawah 692 Akta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara.

“Tembakau yang dirampas akan diserahkan kepada Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara untuk siasatan lanjut.

“Kita akan mohon pada mahkamah supaya kedua-dua suspek dikenakan tahanan reman selama empat hari mulai esok (hari ini) bagi membantu siasatan,” katanya.

Difahamkan, harga semasa daun tembakau diawet dianggarkan antara RM14 hingga RM15 bagi sekilogram.

Suspek curi kereta rempuh pagar klinik

Suspek curi kereta rempuh pagar klinik
Kenderaan suspek rosak teruk selepas terbabas dan melanggar pagar Klinik Pergigian Kuala Besut ketika melarikan diri daripada polis.

BESUT - Polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes curi kereta yang dilaporkan berlaku di sekitar daerah ini dengan tertangkapnya seorang lelaki selepas dikejar pihak polis, di sini. pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, seorang suspek berusia 21 tahun ditangkap kira-kira jam 6 pagi semalam selepas kenderaan yang dinaiki suspek terbabas di Kuala Besut.
Menurutnya, sebelum itu, kira-kira jam 5.40 pagi, ketika dua anggota polis kereta peronda sedang menjalankan tugas rondaan di hadapan sebuah hotel dekat Kampung Mat Sara, Jertih, mereka telah terlihat sebuah kereta Perodua Kancil dalam keadaan penggera berbunyi dan pintu terbuka.
“Pada masa sama, anggota terbabit dapati sebuah kereta Perodua Myvi dalam keadaan mencurigakan berada di sebelah kereta Kancil itu. Mereka bertindak menghampiri kenderaan itu namun tiba–tiba suspek yang menaiki Myvi itu melarikan diri.
“Anggota polis dibantu kereta peronda lain mengejar kenderaan dinaiki dua suspek itu yang menghala ke arah Kuala Besut sebelum ke Semerak, Pasir Puteh Kelantan,” katanya.
Khaled berkata, sebaik tiba berdekatan Klinik Pergigian Kuala Besut, kenderaan dinaiki suspek hilang kawalan lalu terbabas sebelum melanggar pintu pagar  hadapan klinik tersebut.
Kereta suspek mengalami kerosakan dan salah seorang suspek berjaya diberkas manakala rakannya melarikan diri.
“Pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan suspek menemui satu botol kecil disyaki mengandungi dadah, satu soket atau suis kereta, pelbagai bentuk kunci, sebilah pisau dan satu unit sepana kecil yang kesemuanya dirampas.
“Saringan air kencing terhadap suspek yang berasal dari Kelantan itu juga didapati positif dadah jenis morfin dan dia ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Siasatan awal juga mendapati, suspek yang ditangkap mengaku terlibat dalam beberapa kes curi kenderaan di daerah ini sebelum ini.
Rakannya yang masih bebas pula sedang diburu.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, dua awak-awak yang hilang selepas bot dinaiki mereka karam di perairan Pulau Perhentian masih belum ditemui.
Usaha mencari dan menyelamat mangsa masih diteruskan dan dengan mendapat bantuan daripada penyelam polis marin.

Maut cuba elak lori

Maut cuba elak lori
Keadaan kenderaan mangsa yang remuk terlanggar pili air selepas terbabas akibat mengelak lori. Gambar kecil: Eyu@Eyu Teck Hoch

BATU PAHAT - Seorang lelaki maut setelah kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terbabas ketika cuba mengelak sebuah lori yang cuba memotong, di Kilometer 7, Jalan Yong Peng-Muar, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, pacuan empat roda terbabit yang dari Batu Pahat menuju ke Yong Peng cuba mengelak lori yang memasuki laluannya sebelum terbabas dan melanggar pili air di tepi jalan.

Menurutnya, ketika kejadian lori tersebut dipercayai cuba memotong sebuah treler di hadapannya.

“Pemandu pacuan empat roda terbabit yang cedera parah di badan maut di lokasi kejadian, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mangsa, Eyu@Eyu Teck Hoch, 43, yang ketika itu memandu seorang diri dikatakan dalam perjalanan pulang setelah selesai kerja,” katanya semalam.

Menurut Din lagi, semasa kejadian cuaca dalam keadaan baik dan jalan tidak licin, namun jalan terbabit agak gelap kerana tiada lampu jalan di sekitar lokasi.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail untuk dokumentasi sebelum dituntut waris mangsa.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika memandu, terutama ketika cuba memotong, hanya memotong apabila keadaan benar-benar selamat,” katanya.

Wanita ganggu sidang akhbar Presiden ECB

Wanita ganggu sidang akhbar Presiden ECB
Seorang penunjuk perasaan wanita dilaporkan menimbulkan kekecohan ketika sidang akhbar presiden European Central Bank (ECB), Mario Draghi, semalam. - Foto AFP

LONDON - BRITAIN. Sidang akhbar Presiden European Central Bank (ECB), Mario Draghi terpaksa ditunda selepas diganggu seorang penunjuk perasaan, semalam.

Menurut Straits Times, penunjuk perasaan berkenaan menjerit "tamatkan pemerintahan diktator ECB!" sambil melontarkan konfeti.

Draghi yang tidak cedera dalam kejadian berkenaan dibawa keluar sejurus kemudian.

Pihak polis kemudian menahan penunjuk perasaan berkenaan dan menyiasat bagaimana kawalan keselamatan berjaya diceroboh.

Kumpulan aktivis feminis, Femen, dilaporkan bertanggungjawab ke atas kejadian berkenaan.