Search This Blog

Tuesday, April 14, 2015

Web Google Malaysia diserang

Kuala Lumpur: Laman Web Google Malaysia mengalami gangguan selama beberapa jam, hari ini selepas paparan berwarna hitam tertera perkataan ‘Google Malaysia HackeD’ dilihat pengguna yang cuba layari www.google.com.my.
Insiden itu dikesan bermula pagi tadi dan pulih kembali kira-kira 1.30 petang.
Ia dipercayai dilakukan oleh pihak yang menggelarkan diri mereka sebagai TiGER-M@TE.
Pihak yang dipercayai mendalangi penggodaman itu turut meletakkan satu hashtag #Bangladeshi HackeR.
Namun, jurucakap Google Malaysia, Zeffri Yusof ketika dihubungi menyatakan, laman web itu sebenarnya tidak digodam sebaliknya pihak tidak bertanggungjawab melakukan serangan ke atas sistem nama domain (DNS).
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2015 @ 3:14 PM


PAPARAN di laman Web Google Malaysia. FOTO ihsan pembaca
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/43758#sthash.ss9ciB27.dpuf

Kedai tayar terbakar

Melaka: Sebuah kedai tayar hampir musnah dalam kebakaran di Taman Perindustrian Krubong, Krubong, di sini, petang semalam.
Kejadian kira-kira 2.20 petang itu disedari beberapa pekerja selepas melihat asap tebal di dalam premis berkenaan.
Beberapa pekerja cuba membantu memadamkan api, namun gagal lalu menghubungi pasukan bomba dan penyelamat.
Komander Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Penolong Kanan Penguasa Bomba Wan Azlan Aan Abdul Jalil berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.29 petang dan tiga jentera dan sebuah water tanker dikejarkan ke lokasi.
"Bomba berjaya berjaya mengawal api daripada merebak ke seluruh bangunan berkenaan kurang dari 10 minit. Setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan hanya sebahagian daripada kedai ini terbakar.
"Kejadian tidak membabitkan kecederaan dan bomba masih menyiasat punca sebenar kejadian. Anggaran kerugian juga belum ditafsirkan," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2015 @ 6:27 PM


KEADAAN kedai tayar yang terbakar petang tadi. FOTO Arifin Salleh
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/43770#sthash.tuLlRmVY.dpuf

12 murid dikesan HFMD


Oleh Isma Ismail
Johor Bahru: Seramai 12 murid sekolah rendah di Pasir Gudang dikesan mengalami gejala penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) hasil saringan di sekolah itu hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata, mereka itu adalah daripada 252 murid yang disaring di sekolah terbabit.
Menurutnya, 143 orang murid disaring ketika sesi pagi persekolahan dan sembilan daripadanya dikesan dengan gejala itu.
Katanya, tiga lagi dikesan gejala itu ketika saringan dibuat kepada 109 murid sesi petang.
"Murid yang ada simptom itu dirujuk ke klinik kesihatan dan sampel klinikal (swab ulser) juga susah diambil," katanya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/43771#sthash.pMIjQhkQ.dpuf

Azman Abu Hassan kemalangan

Petaling Jaya: Komposer Azman Abu Hassan, 53, patah tulang rusuk dan cedera di dagu selepas terbabit dalam kemalangan berhampiran pusat beli belah 1Utama di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, Azman dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Melawati, Hulu Klang selepas keluar makan bersama dua rakannya.
Abangnya yang juga komposer terkenal, Datuk Adnan Abu Hassan ketika ditemui berkata, dia dihubungi ibunya, Siti Hajar awal pagi tadi memaklumkan kejadian itu.
Adnan berkata, sebelum kejadian Azman terbabit dalam rakaman lagu di studio miliknya di Desa Melawati sebelum keluar makan malam bersama rakannya yang juga penyanyi Johana Johari dan suaminya di Damansara.
"Selepas menghantar mereka, dia pulang semula dan ketika berada di kawasan itu, sebuah lori di depannya berhenti secara mengejut.
"Dalam masa sama, kenderaan lain dari belakang tidak sempat berhenti dan melanggar keretanya sehingga bahagian belakang keretanya remuk teruk,” katanya.
Menurut Adnan, rempuhan itu menyebabkan Azman pengsan sebelum dia dibawa orang ramai ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini.
Dia yang kini dirawat di PPUM sudah sedarkan diri namun tidak dapat mengingati sepenuhnya kejadian itu.
Turut melawat Azman di hospital berkenaan ialah rakan baiknya seperti komposer Johan Nawawi dan pemuzik Zul Mahat.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2015 @ 8:23 PM


AZMAN dirawat di PPUM. FOTO Ridzuan Abdul Rahman
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/43780#sthash.NIxW84Zu.dpuf

Sang bedal tewas

Serian: Tiga buaya sepanjang antara 3.8 hingga 5.2 meter termasuk seekor yang pernah membaham penduduk berjaya ditangkap Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dan polis di Sungai Sadong, di sini, semalam.
Tangkapan pertama pada 2.51 petang Sabtu lalu, membabitkan buaya sepanjang 3.8 meter (m) dengan berat kira-kira 420 kilogram (kg) di sungai berkenaan.
Jurucakap polis berkata, buaya kedua ditangkap pada 7.55 pagi semalam dengan kepanjangannya 4.3m serta berat kira-kira 500kg.
"Manakala ketiga sepanjang 5.2 meter dan berat kira-kira 600kg ditangkap pada 1.55 petang hari sama. Reptilia ini ditangkap menggunakan kaedah 'cari dan bunuh'.
"Seekor daripada buaya yang ditangkap iaitu sepanjang 5.2m mempunyai kesan tetakan di kepala, dipercayai membaham seorang penduduk Yusman Yusup, 32, pada 5.40 petang, 26 Mac lalu.
"Buaya itu ditetak mangsa ketika cuba melepaskan diri daripada gigitan. Perkara itu disahkan salah rakan mangsa yang kebetulan berada di lokasi pada hari kejadian," katanya.
"Dalam kejadian itu, mangsa dibaham buaya sebelum menetak reptilia itu menggunakan parang. Tindakan mangsa berjaya sebelum reptilia itu melepaskan gigitan.
"Mangsa kemudian dirujuk ke hospital namun disebabkan kecederaan dialami, doktor terpaksa memotong kedua-dua kaki hingga paras betis.
"Bagaimanapun, riwayat mangsa tidak berpanjangan apabila menghembus nafas di Unit Rawatan Rapi, Hospital Umum Sarawak pada 10.15 pagi, Sabtu lalu," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2015 @ 11:01 PM


BUAYA yang ditangkap SFC dan polis.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/43791#sthash.IvOM24zy.dpuf

Dua maut bertembung treler

Sabak Bernam: Dua maut dalam kemalangan membabitkan kereta dan treler di Kilometer 33 Jalan Klang-Teluk Intan di sini, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, mangsa Jamal Sunan, 59, dan Mohammed Nadzir Jumadi, 55, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk hadapan kereta.
Menurutnya, kereta yang dipandu Jamal dipercayai gagal memotong kenderaan dihadapannya sebelum berlanggar dengan treler dari arah bertentangan.
"Pemandu treler berkenaan cuba mengelak tetapi melanggar bahagian hadapan kereta mangsa.
"Bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa," katanya sambil menyatakan pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sabak Bernam untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2015 @ 10:00 PM


ANGGOTA Bomba bertungkus lumus mengeluarkan mangsa tersepit ditempat duduk depan. FOTO ihsan bomba
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/43785#sthash.T7a2kvZe.dpuf

Dikelar, dijerut

Oleh Fardy Bungga
Rawang: Dua lelaki termasuk seorang sami ditemui mati dibunuh di dalam kereta sebelum cuba dijatuhkan ke gaung dalam kejadian di kilometer 10 Jalan Bristol menghala ke Kuang, kira-kira 1.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, kejadian hanya disedari orang awam pada 8.50 pagi yang memaklumkan kepada polis untuk bantuan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa berusia 23 tahun mengalami kesan kelar di leher manakala seorang lagi mangsa dipercayai dijerut dengan tali pinggang keledar.
"Siasatan awal, kedua mangsa didapati dibunuh oleh suspek yang juga kenalannya dan mereka dipercayai sedang dalam perjalanan menuju ke Kuang untuk upacara keagamaan," katanya ketika ditemui, hari ini.
Menurutnya, berdasarkan kepada maklumat itu, polis berjaya menahan dua daripada suspek di kawasan Rawang kira-kira 9.30 pagi tadi manakala identiti dua lagi yang masih bebas sudah dikenal pasti.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2015 @ 2:44 PM


MAYAT mangsa ditemui dalam kereta yang cuba dijatuhkan ke dalam gaung. FOTO Fardy Bungga
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/43756#sthash.W5iHZ65K.dpuf

Lelaki keluar lokap bakar diri

PESURUHJAYA Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman. - Foto Edmund Samunting 
SELASA, 14 APRIL 2015 @ 10:31 AM

Pengurus ladang maut, majikan parah disamun pekerja

KINABATANGAN: Seorang pengurus ladang kelapa sawit maut, manakala majikannya parah akibat ditembak dalam insiden samun di Ladang Tongsang, Batu 4, dekat Sukai di sini, lewat petang semalam. Kejadian pada kira-kira jam 6 petang itu dipercayai didalangi oleh dua buruh ladang terbabit yang melarikan wang gaji untuk pekerja dianggarkan berjumlah RM18,000. Dalam kejadian itu, Yuen Wing Wah, 50, ditemui mati dalam pejabat di ladang berkenaan, manakala pemilik ladang, Danny Wong, 30, yang berlumuran darah sempat keluar dan meminta pertolongan untuk dihantar ke hospital. Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, berkata kejadian itu disedari seorang mandur ladang berkenaan yang terdengar dua das tembakan. "Berdasarkan maklumat mandur ladang, hari ini adalah pembayaran gaji pekerja ladang Tongsang, selain pekerja tiga ladang lain menerima gaji masing-masing kemudian yang mana pemiliknya menyediakan RM18,000 untuk tujuan itu bagi setiap ladang. Pemeriksaan mendapati semua wang gaji itu telah tiada dalam pejabat dipercayai diambil oleh kedua-dua suspek. "Seorang saksi telah melihat kedua-dua suspek di kawasan berhampiran pejabat sebelum tembakan berlaku," katanya di sini, hari ini. Jalaluddin berkata, pemeriksaan di rumah suspek menemui sebutir peluru hidup jenis .38 dan satu peluru hidup jenis colt 45. "Polis kini menjalankan gerakan memburu kedua-dua suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya

Polis Letupkan Grenad Di Stesen Minyak


Diterbitkan: Selasa, 14 April 2015 7:14 AM
Bungkusan berisi grenad ditemui di Stesen Minyak Shell di Jalan Kulim, Bukit Mertajam pada Isnin. - fotoBERNAMA

BUKIT MERTAJAM: Polis meletupkan satu bungkusan hitam dipercayai mengandungi grenad yang ditemui dalam tandas lelaki di sebuah stesen minyak di Jalan Kulim di sini, tengah malam Isnin.
Bom itu diletupkan Unit Pemusnah Bom Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan bantuan pasukan bomba dan penyelamat pada pukul 12.05 tengah malam, kira-kira 10 meter di luar tandas stesen minyak itu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor berkata, bom tangan itu diletupkan selepas pemeriksaan bomba mendapati kesan pemewapan gas yang terhasil daripada bahan api hanya lima peratus.
"Polis mengambil kira keadaan persekitaran stesen minyak itu sebelum meletupkan bom berkenaan," katanya di tempat kejadian di sini.
Bungkusan hitam dipercayai berisi grenad itu ditemui oleh orang awam yang menggunakan tandas berkenaan kira-kira pukul 4.30 petang Isnin.
Berikutan penemuan itu, polis menutup kawasan berkenaan dan memindahkan beberapa penduduk berhampiran stesen minyak itu sejak pukul 7 petang bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
Beberapa jentera bomba dan pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) turut berada di kawasan berkenaan.
Rusli berkata, operasi stesen minyak berkenaan ditutup sebaik sahaja bahan letupan itu ditemukan.
Beliau berkata, polis akan meneliti CCTV yang terdapat di stesen minyak berkenaan bagi mengesan pihak yang meletakkan bom tangan tersebut di tandas itu.
"Motif kejadian tidak diketahui dan polis akan memanggil pemilik dan pekerja stesen minyak berkenaan bagi menjalankan siasatan.
"Pemilik stesen minyak itu juga dikatakan tidak menerima sebarang ugutan," katanya.
Rusli berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Azmi Tamat yang turut berada di tempat kejadian berkata, pihaknya telah menjalankan beberapa pemeriksaan dan ujian sebelum keputusan untuk membenarkan bom itu diletupkan.
"Kami takut jika meletup , apinya akan merebak ke stesen minyak tetapi Alhamdulillah semua terkawal," katanya.

Dua Lelaki Mati Disyaki Dikelar, Dicekik Rakan


Diterbitkan: Selasa, 14 April 2015 5:57 PM

KUALA LUMPUR: Dua lelaki berusia 20-an ditemui mati,  dipercayai dikelar dan dicekik rakannya akibat perselisihan faham, dalam sebuah kereta di KM10 Jalan Bristol, Rawang di sini awal pagi Selasa.

Kejadian itu berlaku kira-kira 1 pagi tadi dan mayat kedua-dua lelaki itu ditemui orang awam kira-kira 8 pagi, yang kemudian memaklumkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Ali Ahmad berkata berdasarkan siasatan  kedua-dua lelaki itu dipercayai mengambil empat rakan mereka di Taman Pelangi, Rawang untuk ke Kuang bagi menyambut Tahun Baru Tamil.

"Siasatan awal mendapati, ketika di lokasi kejadian salah seorang suspek telah mengeluarkan kata-kata yang mengguris perasaan pemandu kereta itu yang merupakan seorang sami sambilan hingga mengakibatkan mangsa bertindak mengeluarkan sebilah pisau pemotong kertas lalu mengacu ke arah suspek yang duduk di arah belakang.

"Tindakan mengejut mangsa tersebut dipercayai menyebabkan perselisihan dan menyebabkan suspek mencapai pisau berkenaan dan mengelar leher pemandu kenderaan tersebut," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, di sini.

Katanya tindakan itu dipersoalkan seorang lagi mangsa yang duduk di sebelah pemandu dan menggertak untuk melaporkan perkara itu kepada pihak polis.

"Suspek yang dipercayai takut dengan tindakan mangsa itu kemudian bertindak menjerut leher mangsa kedua tersebut sehingga mati dengan menggunakan tali pinggang keledar," katanya.

Ali berkata keempat-empat suspek tersebut kemudian dipercayai mengalihkan kedudukan mangsa pertama ke bahagian tempat duduk penumpang belakang dan cuba menolak kenderaan itu ke dalam gaung tetapi gagal, menyebabkan kereta itu tersangkut di tepi gaung.

Menurutnya, dua suspek telah ditahan di sekitar Rawang sejam selepas pihaknya mendapat laporan berhubung insiden itu iaitu kira-kira 9 pagi tadi manakala dua lagi suspek telah dikenal pasti.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Video Pelajar Perempuan Bertumbuk Jadi Viral


Diterbitkan: Selasa, 14 April 2015 6:51 PM
Kelihatan seorang remaja perempuan menyerang dan menumbuk gadis lain dalam insiden di Kota Kinabalu, Sabah pada Selasa.

KOTA KINABALU: Rakaman video menunjukkan sekumpulan pelajar perempuan sekolah menengah bertumbuk menjadi viral di media sosial pada Selasa.

Klip video berdurasi selama 49 saat itu menimbulkan kemarahan di kalangan netizen yang kebanyakkannya menyifatkan ia sebagai perlakuan yang tidak wajar dan memalukan.

Pada awal rakaman klip video berkenaan kelihatan seorang remaja perempuan yang memakai kemeja-T Persatuan Bulan Sabit Merah menampar dan menumbuk seorang gadis lain yang memakai kemeja-T St John Ambulans yang dilihat tidak melawan.

Tindakan remaja berkenaan mengundang serangan balas gadis lain yang akhirnya menyebabkan pergaduhan besar sebelum ia dileraikan oleh sekumpulan pelajar lelaki.

Video yang dimuat naik di laman Facebook Penampang Buletin itu ditonton lebih 52,000 pelayar Internet serta turut dikongsi oleh 2,520 pemilik akaun Facebook.

Kes itu kini disiasat oleh pihak polis.

Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Jame Alip berkata pihaknya menyerahkan perkara itu kepada polis sebelum tindakan yang sewajarnya diambil.

Pelawak Kasanova: Tauke Report Polis, Saman Penulis Blog


Diterbitkan: Selasa, 14 April 2015 1:07 PM
Tauke sempat merakamkan gambar ketika membuat laporan di Balai Polis Gombak pada Isnin.

PETALING JAYA: Pelawak Tauke (Jambu) bertekad untuk menyaman tiga penulis blog yang masih menyebarkan fitnah dengan menuduh dia adalah individu yang dikaitkan sebagai pelawak kasanova atau kaki perempuan.

Tauke atau nama sebenarnya Zamatul Amri Zakaria, 39, berkata, tuduhan tersebut amat keterlaluan sehingga menjejaskan pekerjaannya sebagai penyampai radio di ERA FM.

"Saya terlalu marah sehingga saya membuat laporan polis ke atas tiga penulis blog yang menulis cerita yang tidak benar tentang saya sedangkan saya sudah jelaskan bahawa saya bukan individu yang dimaksudkan itu.

"Setakat ini polis sedang buat siasatan dan petang nanti (Selasa) saya akan berbincang dengan pihak Astro tentang tindakan daripada sudut perundangan yang boleh diambil terhadap mereka," ujarnya kepada mstar Online, di sini, Selasa.

Tauke membuat laporan polis di Balai Polis Gombak, dekat sini, kira-kira pukul 10 malam Isnin terhadap tiga penulis blog yang menfitnah dirinya sebagai individu terkait dengan gosip 'pelawak kasanova'.

Terdahulu, Tauke sudah memberi penjelasan kepada media bahawa dia bukan pelawak yang dikatakan mempermainkan beberapa gadis dengan menghantar mesej-mesej berbaur lucah.

Tauke

Sementara itu, Tauke berkata, perkara tersebut bukan sahaja menjejaskan imejnya sebagai pelawak, malah memberi kesan buruk terhadap program SATE kendaliannya di ERA FM.

Program tersebut keudara pada setiap Isnin hingga Jumaat pukul 4 petang hingga 8 malam.

"Selama ini saya berdiam sahaja jika mereka tulis cerita buruk tentang saya, tetapi kali ini terlalu melampau kerana ia turut menjejaskan stesen radio dan progam yang saya kendalikan di Era FM.

"Saya buat demikian untuk membersihkan nama saya semula dan memberitahu bahawa saya tiada kaitan dengan kontroversi tersebut," ujarnya.

Dalam pada itu, Tauke berkata, dia berharap tindakan yang dilakukan itu dapat memberi pengajaran terhadap penulis blog yang lain agar tidak mengaut keuntungan dengan sewenang-wenangnya.

"Saya tidak marah kalau sesuatu cerita saya itu ditembual oleh wartawan atau daripada pihak media yang diiktiraf dan kenyataan itu daripada mulut saya sendiri.Malangnya terdapat blog-blog yang gemar menulis sesuka hati tanpa mengambil kenyataan saya.

"Mereka mahu mengaut keuntungan cara mudah sehingga sanggup menutup periuk nasi orang lain," tegasnya.

Dua lelaki ditemui mati dikelar dalam kereta

SELASA, 14 APRIL 2015 @ 2:13 PM



RAWANG: Dua lelaki ditemui mati di dalam kereta selepas dipercayai dikelar dan dijerut empat rakannya dalam kejadian di Kilometer 10, Jalan Bristol menghala ke Kuang, di sini, pagi tadi. Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, mangsa ditemui orang awam di dalam kereta Produa Kembara berhampiran gaung di tepi jalan terbabit. Mereka dikatakan dalam perjalanan ke Kuang untuk menyambut upacara keagamaan sebelum berlaku pertengkaran antara mereka. Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad, berkata mangsa pertama yang juga pemandu kenderaan dikatakan bertengkar dengan empat suspek sebelum seorang daripada mereka mengambil pisau pemotong kertas dan mengelar leher mangsa. "Mangsa kedua yang sedar kejadian itu turut dijerut menggunakan tali pinggang keledar selepas cuba menghubungi polis. "Susulan kejadian itu kita berjaya menahan dua suspek di Taman Pelangi di sini, kira-kira jam 9.30 pagi tadi," katanya pada sidang media sebentar tadi. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Penjaga gol JDT II mengaku tidak bersalah aibkan polis

SELASA, 14 APRIL 2015 @ 1:04 PM

Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar ctfa@bh.com.my
ANGGOTA polis mengiringi penjaga gol Johor Darul Takzim (JDTII), Mohd Anis Faron Ahmad,33, (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahmakah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan mengaibkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, 3 April lalu. - Foto Mikail Ong 



GEORGETOWN: Penjaga gol Johor Darul Takzim (JDT) II, Mohd Anis Faron Ahmad, 33, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan mengaibkan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Bandaraya Pulau Pinang di sini, 3 April lalu. Mohd Anis membuat pengakuan itu dan minta dibicarakan selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret, L Umma Devi. Mengikut pertuduhan, Mohd Anis didakwa dengan maksud hendak mengaibkan pasukan PDRM menyebut perkataan 'FRU Babi' dan 'Polis anjing' dengan maksud supaya perkataan itu didengari oleh anggota PDRM yang bertugas. Mohd Anis dituduh melakukan kesalahan itu pada jam 10.50 malam pada 3 April lalu. Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azura Zulkiflee dan tertuduh diwakili Andy Ooi. Dalam kejadian 3 April lalu, Mohd Anis ditahan polis selepas tamat perlawanan membabitkan pasukan JDT II dengan tuan rumah di Stadium Bandaraya di sini. Penahanan itu dipercayai berpunca daripada tindakan tidak profesional pemain berkenaan yang mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pasukan keselamatan yang bertugas.

Kes bapa dera anak dibicarakan 25 Jun

SELASA, 14 APRIL 2015 @ 12:59 PM



BUTTERWORTH: Mahkamah Majistret di sini menetapkan 25 Jun depan untuk perbicaraan kes seorang bapa yang didakwa atas pertuduhan mendera anak perempuannya berusia tujuh tahun di Sungai Dua, Januari lepas. Majistret Muhammad Firdaus Abdul Wahab menetapkan tarikh perbicaraan ketika kes itu disebut di hadapannya hari ini. Pada 21 Januari lepas, Mohd Shaikful Adli Mohd Afendi, 34, didakwa menganiaya dan mendedahkan kanak-kanak di bawah jagaannya itu kepada kecederaan fizikal dan emosi di sebuah rumah di Sungai Dua, Seberang Perai Utara pada 7.23 malam, 15 Januari lepas. Dia yang bekerja sebagai atendan pam minyak didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Mohd Shaikful Adli diwakili peguam Saiful Ambar Abdullah Ambar manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Fairuz Rahman. Media sebelum ini melaporkan kanak-kanak berkenaan yang juga murid Tahun Satu ditemui dalam keadaan lemah dan kelaparan di sebuah rumah di Sungai Dua yang tidak mempunyai bekalan air dan elektrik. - BERNAMA

MOHD Shaikful Adli (kanan) ditemani peguamnya hadir untuk sebutan kes atas kesalahan telah menganiaya dan mendedahkan anaknya kepada kecederaan fizikal dan emosi dituduh dibawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 di Mahkamah Butterworth di sini. - Foto Danial Saad

Budak 3 tahun tembak mati adik di Cleveland

ISNIN, 13 APRIL 2015 @ 10:35 AM
POLIS menyiasat tempat kejadian selepas kejadian menembak melibatkan dua kanak-kanak. - Foto AP
 CLEVELAND: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang bermain sepucuk pistol yang ditemuinya di rumah, tertembak adik lelaki berusia setahun di kepala, menyebabkan dia terbunuh, menurut polis Cleveland. Ketua Polis Cleveland, Calvin Williams, memberitahu pemberita di luar rumah mangsa bahawa pihaknya sedang menyiasat bagaimana pistol berkenaan berada di situ. Portal berita Cleveland.com melaporkan seorang kanak-kanak berusia setahun dikejarkan ke hospital dan diisytiharkan meninggal dunia. Butiran kejadian itu tidak diumumkan tetapi Williams berkata sekurang-kurangnya seorang dewasa berada di rumah ketika kejadian. Cleveland.com melaporkan ibu kanak-kanak berkenaan didengar menjerit di belakang rumah selepas mendapati anak lelakinya itu mati. Jiran menyatakan beliau tinggal bersama sekurang-kurangnya tiga anak kecil. - AP

Laman web lapangan terbang Australia digodam IS

ISNIN, 13 APRIL 2015 @ 11:28 AM

 SYDNEY: Laman web satu lapangan terbang Australia ditutup sementara hari ini selepas diambil alih oleh penggodam pro-IS yang menyiarkan mesej menyokong kumpulan militan itu. Polis menyatakan penggodam menyasarkan hos laman web yang digunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Hobart di Tasmania, bukannya kemudahan itu secara langsung. "Satu mesej yang diletakkan di laman web itu mengandungi kenyataan menyokong ISIS," menurut polis Tasmania dalam satu kenyataan, menggunakan kependekan lain untuk kumpulan militan itu. Pihak berkuasa menyatakan mesej serupa diletakkan di beberapa laman web di seluruh dunia sejak akhir tahun lalu. - AFP

Pesawat berpatah balik selepas pekerja terperangkap dalam ruang kargo

SELASA, 14 APRIL 2015 @ 8:17 AM


 IMEJ daripada rakaman video memaparkan pekerja Menzies Aviation mengiring rakan sekerja yang dikeluarkan dari ruang kargo pesawat Alaska Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Seattle-Tacoma di Seattle. - Foto AP


 SEATTLE: Satu penerbangan Alaska Airlines ke Los Angeles terpaksa berpatah balik ke Seattle selepas seorang pekerja dilaporkan tertidur dan terperangkap dalam ruang kargo pesawat. Penerbangan 448 baru saja berlepas pada tengah hari apabila juruterbang terdengar ketukan dari bahagian bawah lantai pesawat. Dalam satu kenyataan media, syarikat penerbangan itu menyatakan juruterbang pesawat berkenaan terus berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Seattle-Tacoma dan mengisytiharkan kecemasan untuk mendarat. Selepas pesawat itu mendarat, pekerja terbabit ditemui di ruang hadapan bahagian kargo yang mana tekanan udara dan suhu dikawal. Menurut syarikat itu, seorang pekerja Menzies Aviation memberitahu dia tertidur dalam pesawat berkenaan ketika bertugas. Pekerja terbabit berada dalam keadaan baik tetapi dihantar ke hospital sebagai langkah berjaga-jaga. Alaska Airlines menyatakan ia masih menyiasat kejadian itu. - AP

Majlis Keselamatan PBB timbang sekatan ke atas pemberontak Yaman


SELASA, 14 APRIL 2015 @ 9:30 AM

 PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU: Majlis Keselamatan PBB akan mengundi satu draf resolusi yang akan mengenakan sekatan senjata ke atas pemimpin pemberontak Houthi Yaman dan penyokong utama mereka, bekas Presiden Ali Abdullah Saleh dan anak lelaki beliau. Resolusi yang dikemukakan Jordan dan negara teluk itu bermatlamat menamatkan kempen ketenteraan puak Houthi ke atas penyokong Presiden Abed Rabbo Mansour Hadi dan cubaan puak pemberontak itu untuk menawan negara Arab yang strategik itu. Russia sebelum ini mencadangkan sekatan senjata ke atas semua pihak dalam konflik itu, bukan hanya puak Houthi dan penyokong mereka. Diplomat berkata, tidak dapat dipastikan sama ada Moscow akan berkecuali atau menggunakan kuasa veto dalam undian resolusi itu. - Agensi

Tersuluh jasad adik

SEORANG anggota polis menunjukan lokasi kejadian yang meragut dua nyawa, kemalrin.
Mersing: “Walaupun dia sudah tiada, saya bersyukur jasadnya dijumpai,” kata Mat Yusoff, 49, selepas jenazah adiknya, Mat Sofian Che Haron, 23, ditemui semalam, selepas hilang bersama seorang lagi rakan ketika memancing di Pantai Tanjung Resang, Endau dekat sini, kelmarin.
Yussof menemui jenazah adiknya itu kira-kira jam 1 pagi semalam tidak jauh dari tempat dia dikatakan hilang di atas Batu Che Mahmood akibat air pasang ketika kejadian 12.30 tengah hari itu.
Menurut Yussof, selepas operasi mencari dan menyelamat yang dilakukan pihak berkuasa ditangguh kira-kira jam 7 malam kelmarin, dia dan beberapa ahli keluarga meneruskan pencarian di tepi pantai.
“Selepas beberapa jam mencari di tepi pantai, lampu suluh kami menyuluh objek yang terapung di kawasan Sofian lemas.
“Saya berlari ke arah objek itu dan yakin ia jenazah adik yang terlungkup dalam air cetek sebelum membawanya naik ke darat serta memaklumkan kepada pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Mersing, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2015 @ 10:22 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/43426#sthash.qEz5T8rN.dpuf

17 hari dalam ‘neraka’


Muhaamad Hafis Nawawi dan Nabihah Kamal

am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Saya tidak akan maafkan mereka sampai mati. Mana tidaknya, saya diperlakukan lebih teruk daripada binatang.
“Sepanjang dikurung (17 hari), saya dirogol sebanyak tiga kali dalam keadaan mata tertutup dan tangan diikat,” kata seorang wanita mahu dikenali sebagai Intan, 20.
Intan dilaporkan ‘diculik’ di kawasan rumahnya di Taman Salak Selatan, di sini, kira-kira jam 8 malam 12 Mac lalu oleh sekumpulan tiga lelaki warga Bangladesh berusia lewat 20-an.
Dia yang berjaya dibebaskan dengan bantuan abang dan bapa saudaranya serta pihak berkuasa pada 29 Mac lalu kemudiannya tampil membuat laporan di Balai Polis Sri Petaling, di sini, keesokan harinya (30 Mac).
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
Menceritakan semula kejadian itu, sumber memberitahu Harian Metro, mangsa yang baru pulang dari rumah rakannya di Cheras mendakwa melihat dua lelaki tidak dikenalinya berada di tangga kawasan perumahannya.
“Mangsa yang tidak curiga dengan kehadiran mereka menggunakan tangga berkenaan untuk naik ke rumahnya di tingkat dua pangsapuri itu.
“Dua suspek kemudian menghampiri mangsa sebelum menekup mulutnya menggunakan sehelai kain menyebabkannya pengsan,” katanya.
Sumber itu berkata, kumpulan terbabit kemudian membawa mangsa ke sebuah rumah di lokasi yang tidak diketahui dengan menaiki sebuah kereta.
“Ketika sedar, mangsa mendakwa dikurung di sebuah bilik selain melihat seorang lagi lelaki juga warga Bangladesh bersama dua suspek yang menculiknya itu,” katanya.
Menurutnya, sepanjang dikurung selama 17 hari, mangsa dilapor dirogol seorang daripada suspek sekurang-kurangnya sebanyak tiga kali.
“Setiap kali dirogol, mangsa mendakwa tangannya diikat manakala matanya ditutup dengan kain. Mangsa hanya mampu merayu dikasihani, namun rayuannya itu tidak diendahkan kumpulan terbabit,” katanya.
Katanya, selepas dikurung dan diperlakukan seperti hamba seks hampir 17 hari, mangsa akhirnya berjaya menggunakan telefon bimbit milik seorang daripada suspek sebelum menghubungi abangnya.
“Disebabkan itu, kumpulan terbabit terpaksa melakukan rundingan dengan keluarga mangsa. Hasil rundingan itu, kumpulan terbabit akur untuk bertemu dengan abang dan bapa saudara mangsa di kawasan tapak projek di Jalan Kiara 9, Segambut Dalam kira-kira jam 8 pagi 29 Mac lalu,” katanya.
Sumber itu berkata, abang dan bapa saudara mangsa dilapor sudah bekerjasama dengan pihak polis dan hasilnya semua suspek berjaya diberkas selain mangsa diselamatkan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/43451#sthash.lv463OMk.dpuf

Pistol hilang polis kena ragut


Sibu: Misi sekumpulan anggota polis menyertai operasi bersepadu tertangguh seketika apabila seorang daripada mereka kehilangan sepucuk pistol berserta 10 peluru selepas beg sandangnya diragut lelaki tidak dikenali berhampiran sebuah hotel di Jalan Tan Sri di sini, kelmarin.
Kejadian berlaku jam 12.30 tengah malam ketika anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Temudok, Sri Aman itu mahu ke hotel penginapan sebaik keluar makan bersama rakannya sebelum didatangi seorang lelaki berbaju hitam lalu merentap beg sandang miliknya.
Sumber berkata, sebelum kejadian, anggota terbabit bersama 11 anggota lain dalam perjalanan menyertai operasi di Kapit sebelum singgah di bandar itu untuk bermalam.
Menurutnya, kumpulan berkenaan bertolak dari Sri Aman pada jam 11.30 pagi selepas menempuh perjalanan lima jam dan sepatutnya bergerak ke Kapit menaiki bot ekspres pada keesokan hari.
“Pada malam kejadian, anggota terbabit keluar bersama rakan sebelum bergerak pulang ke hotel. Sebaik tiba di hotel, rakannya naik ke bilik terlebih dulu manakala anggota berkenaan berbual dengan isteri menerusi telefon.
“Sebaik selesai berbual, anggota itu berjalan menuju ke bilik penginapan dan ketika menaiki tangga hotel, seorang lelaki tidak dikenali tiba-tiba merentap beg sandang miliknya sebelum melarikan diri menaiki Proton Wira biru muda,” katanya.
Katanya, selain pistol dan peluru, beg milik anggota berkenaan mengandungi waran, kad pengenalan, kad mesin juruwang automatik (ATM) dan lesen memandu.
“Anggota terbabit tidak dapat mengecam nombor pendaftaran kenderaan dinaiki suspek, sebaliknya hanya sempat melihat lelaki itu memakai baju hitam, berambut pendek dan badan agak kecil.
“Berikutan itu, polis yang menerima maklumat bergegas ke lokasi untuk siasatan. Polis akan meneliti rakaman litar tertutup (CCTV) dipasang di premis berdekatan untuk mengenal pasti suspek,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Mohd Kamal Kordi mengesahkan menerima laporan kes itu yang masih dalam siasatan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/43448#sthash.PdzAlVuM.dpuf

Polis didakwa minta rasuah mangsa nahas


Johor Bahru: Seorang pegawai polis trafik mohon dibicarakan bagi tuduhan meminta dan menerima rasuah daripada seorang lelaki yang terbabit dalam kemalangan maut ketika didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.
Inspektor Mohd Shulul Azmil Shuaibon, 32, yang sebelum ini bertugas di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, mengaku faham terhadap dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Cawangan Trafik IPD Johor Bahru Selatan pada jam 5.25 petang, 13 Januari tahun lalu.
Mohd Shulul didakwa meminta suapan wang RM3,500 daripada Azman Mat Zain sebagai dorongan pertolongan yang dicadangkan dengan cara sama ada lelaki itu dikenakan pertuduhan lebih ringan atau tidak mendakwanya di mahkamah bagi kesalahan menyebabkan kematian dalam kemalangan jalan raya pada 5 November 2012.
Azman terbabit dalam kemalangan di Jalan Pantai, Taman Sri Stulang di sini, menyebabkan kematian mangsa yang dilanggarnya.
Bagi pertuduhan itu, Mohd Shulul didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi.
Bagi pertuduhan kedua, Mohd Shulul didakwa menerima wang tunai RM3,000 daripada Azman di tempat sama antara jam 7 petang hingga 7.50 petang pada 15 Januari tahun lalu.
Ia untuk tidak menuduh Azman di mahkamah bagi kesalahan menyebabkan kematian dalam kes kemalangan jalan raya.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.
Pendakwaan dijalankan Penolong Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ridzuan Abd Malik manakala tertuduh di wakili peguam bela Rosli Kamaruddin.
Mohamad Haldar membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes itu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/43630#sthash.ceBuQ7BA.dpuf

Babi hutan masuk bandar


Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

am@hmetro.com.my

Bagan Serai: “Sebaik saya menyuluh dalam longkang dengan lampu picit, seekor babi hutan sebesar tong gas meluru laju keluar dan menerpa ke arah saya, namun saya sempat mengelak,” kata seorang pemilik premis di Jalan Besar, di sini, dikenali sebagai Tan, 50, yang nyaris dirempuh seekor babi hutan yang dianggarkan seberat 40 kilogram, kelmarin.
Menurut Tan, dalam kejadian jam 2.30 petang, dia terdengar bunyi seperti kerbau dari dalam longkang di hadapan premisnya disusuli dengan keadaan air longkang yang berkocak sebelum memberanikan diri untuk memeriksa.
“Saya segera meninjau, namun binatang itu tidak kelihatan dan saya masuk ke dalam premis semula untuk mengambil lampu picit.
“Saya beranikan diri untuk melihat ke dalam longkang itu, namun sebaik lampu picit dinyalakan, babi hutan itu meluru keluar dan menerpa saya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/43633#sthash.QwFWgspl.dpuf

Maut dipukul duda


Oleh Mohd Sah Muda

am@hmetro.com.my
Mersing: Seorang ibu tunggal meninggal dunia dipercayai selepas dipukul teman lelakinya yang juga seorang anggota polis ketika mereka bertengkar di sebuah pondok rehat Hutan Bandar Bukit Cantik di sini, tengah malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, Nik Noorakmal Affandi, 35, dikatakan bertemu teman lelakinya yang berumur 38 tahun itu dan berlaku pertengkaran antara mereka di pondok rehat itu.
Ketua Polis Daerah Mersing Deputi Superintendan M Kumar berkata, pertengkaran itu membawa kepada wanita berkenaan dipercayai dipukul suspek menyebabkan dia jatuh dan tidak sedarkan diri.
Katanya, suspek yang panik melihat keadaan teman wanitanya, menghubungi balai polis berdekatan memaklumkan kejadian sebelum membawa wanita itu ke Hospital Mersing untuk rawatan.
“Malangnya, wanita berkenaan disahkan meninggal dunia.
“Sehubungan itu, suspek ditahan untuk membantu siasatan sementara menunggu laporan bedah siasat,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/43682#sthash.Bwk6nkw6.dpuf

Didakwa sebar ideologi ganas


Oleh Murni Wan Omar

murni@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pihak pendakwaan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, semalam, mereka akan membuktikan bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Yazid Sufaat penaung kepada kumpulan pengganas Tanzim Al-Qaeda Malaysia.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria dalam ucapan pembukaan pada perbicaraan hari pertama kes membabitkan Yazid dan rakannya, Muhammad Hilmi Hasim yang didakwa terbabit dalam aktiviti menggalakkan keganasan di Syria.
Menurut Mohamad Hanafiah, pihak pendakwaan akan membuktikan Yazid dengan pengetahuannya menggalakkan pelakuan keganasan dengan niat memajukan satu ideologi untuk menakutkan orang awam di Syria.
“Kumpulan Tanzim ini diasaskan sendiri oleh Yazid dan dia ada menjalankan beberapa siri usrah di kediamannya dengan matlamat merekrut ahli baru serta menyebarkan ideologi keganasan. Melalui usrah ini Yazid didakwa menggalakkan perlakuan keganasan.
“Selanjutnya, pihak kami akan membuktikan melalui usrah itu, Yazid menggalakkan perlakuan keganasan yang jelas mengugut masyarakat awam di Syria. Manakala bagi Muhammad Hilmi, kami akan membuktikan bahawa dia bersubahat dengan Yazid dan juga salah seorang ahli kumpulan pengganas itu,” katanya.
Terdahulu Hakim Datuk Mohd Azman Husin dimaklumkan Mohamad Hanafiah bahawa pihaknya masih tidak boleh menyerahkan waran tangkap terhadap seorang lagi tertuduh iaitu Halimah Hussein kerana wanita itu gagal dikesan.
Hakim Mohd Azman meneruskan perbicaraan dengan dua orang tertuduh dan menetapkan 27 Mei ini untuk pengurusan bagi kes membabitkan Halimah.
Sementara itu, saksi pendakwaan Deputi Superintendan (DSP) T Thiagarajah, 51, memberitahu mahkamah pada 23 Oktober 2012, dia diarahkan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay (sebelum ini Timbalan Ketua Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi/Anti Keganasan) Bukit Aman) untuk membuat laporan polis berhubung Yazid.
Thiagarajah berkata, dia membuat laporan polis berdasarkan maklumat di terima berhubung Yazid bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.
Laporan polis itu menyatakan siasatan dibuat kerana terdapat sebab untuk mempercayai bahawa Yazid bertindak mengikut apa-apa cara memudaratkan keselamatan Malaysia dengan terbabit di dalam kegiatan pengganasan.
Pada 27 Mei 2014, Yazid, 49, dan Muhammad Hilmi, 33, didakwa menjadi ahli kumpulan pengganas Tanzim Al-Qaeda Malaysia di sebuah rumah beralamat di Taman Bukit Ampang, Lorong Mutiara 2, Lembah Jaya, Ampang, antara 1 Ogos 2012 dan 7 Februari lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan denda jika sabit kesalahan.
Sebelum ini pada 8 Februari 2013, Yazid, Muhammad Hilmi dan suri rumah Halimah Hussein, 52, mengaku tidak bersalah membabitkan diri dalam aktiviti keganasan di Syria di DL 11, Taman Bukit Ampang, Lorong Mutiara 2, Lembah Jaya, Ampang, antara 1 Ogos 2012 hingga 7 Februari tahun lalu.
Ketiga-tiga mereka didakwa mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dan denda.
Prosiding perbicaraan bersambung hari ini.
Hanafiah turut dibantu Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farizul Hassan Bakri manakala tertuduh diwakili peguam Amer Hamzah Arshad.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/43679#sthash.ZcOx1ADb.dpuf

Pemancing maut terjatuh dalam laut

MANGSA dikatakan terjatuh dari bot ketika bersiap untuk pulang ke Jeti Penyabong. FOTO Zul Ikhwan Muhammad
Endau: Seorang pemancing, Kamarul Azmi Tamami, 38, maut selepas terjatuh dari bot dinaikinya di sekitar perairan Pulau Acheh, Rompin, kira-kira 10 pagi tadi.
Mangsa berasal dari Taman Sri Duyung, Melaka dikatakan terjatuh dari bot ketika bersiap untuk pulang ke Jeti Penyabong di sini selepas memancing bersama tujuh rakannya.
Mangsa dan rakan keluar memancing di perairan itu sejak Sabtu lalu dan sepatutnya pulang hari ini.
Rakan yang menyedari mangsa jatuh ke dalam laut terjun menyelamatkannya dan membawa naik ke atas bot serta memberi bantuan pernafasan tetapi mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke jeti.
Mayat dibawa ke Hospital Rompin untuk bedah siasat.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2015 @ 5:16 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/43541#sthash.1UnRvkis.dpuf

Bahan kimia kelas empat bocor

FOTO ihsan bomba
Meru: Stor simpanan bahan kimia jenis Thiourea Dioxide atau dikenali Formamidine Sulfinic Asid kelas empat di sebuah kilang memproses bahan pewarna pakaian mengalami kebocoran di Taman Industri Meru, petang tadi.
Kejadian kira-kira 2 petang itu berlaku apabila bahan kimia dalam bentuk serbuk terkeluar dari 10 tong yang mengalami kebocoran sebelum bertindak balas dengan udara dan air hingga mengakibatkan pembentukan gas.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan pada 2.20 petang dan setibanya anggota bomba di tempat kejadian gas sudah memenuhi kawasan stor simpanan kilang dan mula merebak keluar.
"Anggota bomba mengenalpasti punca kejadian dan mengeluarkan bahan kimia itu seterusnya melakukan kerja pembersihan yang mengambil masa kira-kira 45 minit.
"Seramai 21 anggota dari Balai Bomba Sungai Pinang, Kota Raja dan Shah alam terbabit dalam kerja pembersihan itu," katanya.
Menurutnya, ketika kejadian lima pekerja berada di dalam kilang itu dan mereka sempat menyelamatkan diri.
Katanya, jika terhidu atau terkena kulit, gas berkenaan boleh menyebabkan mangsanya sukar untuk bernafas serta mengalami kegatalan kulit.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2015 @ 5:49 PM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/43543#sthash.s10WZHJP.dpuf

Parah tercampak dari kereta

MANGSA cedera pada kepala, muka dan dada. FOTO Amrullah Abd Karim
Oleh Amrullah Abd Karim
Bukit Tagar: Lelaki parah apabila kereta dinaiki terbabas dan melanggar besi penghadang lebuh raya di Kilometer 423.7 Lebuhraya PLUS arah Ipoh berhampiran susur keluar Plaza Tol Bukit Tagar, kira-kira 9 pagi tadi.
Mangsa, S Nirmal, 33, turut tercampak ke laluan bertentangan arah Kuala Lumpur menyebabkan kecederaan teruk pada kepala, muka dan dada.
Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, dia menyelamatkan mangsa yang ketika itu berada di lorong tengah arah Selatan.
"Ketika kejadian cuaca baik dan tidak banyak kenderaan masa itu. Saya serta beberapa pemandu lori membawa mangsa ke tepi," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Difahamkan mangsa berasal dari Klang dan dalam perjalanan ke Pulau Pinang bersendirian.
Mangsa menerima rawatan kecemasan di tempat kejadian sebelum dikejarkan ke Hospital Slim River, Perak kira-kira sejam kemudian.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2015 @ 11:40 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/43700#sthash.7A08q35u.dpuf

Dua maut lori masuk gaung

BOMBA mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit. FOTO ihsan Bomba
Bintulu: Pemandu dan kelindan lori maut apabila lori dinaiki mereka hilang kawalan dan terbabas dalam gaung sedalam kira-kira dua meter dalam kejadian di KM28 Jalan Persisiran Samalaju, di sini, malam tadi.
Mangsa, Andrew Marupoh Rawing, 21, dan Mathew Jangkang, 25, maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan tersepit dalam lori.
Lori yang membawa muatan baja itu dipercayai dalam perjalanan dari Samalaju ke Bintulu.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada 10.03 malam.
Katanya, 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu dan Samalaju bergegas ke lokasi kejadian.
"Bomba mengambil masa kira-kira tiga jam untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dan membawa mereka naik ke tebing jalan.
"Operasi tamat pada 1 pagi dan mayat diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Hospital Bintulu," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2015 @ 9:49 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/43623#sthash.CmccZqbX.dpuf