Oleh Wahi Aziz
wahiduzzaman@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Perlu jelas di sini saya tidak pernah tuduh, tetapi hanya bertanya ke mana pergi sebahagian wang simpanan Zamani yang dipegang pengurusannya?”
Demikian kenyataan abang penyanyi Zamani Ibrahim, Zulfazil, 50, mengenai salah faham yang timbul kononnya peguam dan keluarga menuding jari kepada pihak pengurusan vokalis kumpulan Slam itu berhubung wang simpanan yang didakwa sudah lesap.
Zulfazil berkata, persoalan dicetuskan peguam Zamani, Datuk Ahmad Zaharil Munaiyar di Facebook pada minggu lalu bertujuan merungkai keberadaan wang simpanan penyanyi itu dan bukan menuduh mana-mana pihak menyelewangkannya.
“Sebab itu saya kena jelaskan hal sebenar kepada umum kerana sudah timbul salah faham daripada kemas kini status peguam Zamani minggu lalu mengenai pertanyaan wang simpanan adik saya.
“Kami keluarkan pertanyaan itu di Facebook bukan untuk cari glamor atau publisiti, tapi sekadar bertanya mengenai duit adik saya saja. Baru kami tanya saja, tapi pengurusannya sudah melenting jadi keadaan itu seolah-olah macam ada yang tidak kena di sebaliknya,” katanya.
Zulfazil berkata demikian ketika mendedahkan punca di sebalik tindakan peguam Zamani mengeluarkan pertanyaan mengenai wang adiknya di Facebook, minggu lalu yang mencetuskan pelbagai respons.
Susulan status berkenaan, beberapa pihak mendakwa pertanyaan itu seolah ditujukan kepada pengurus Zamani, Johan Aziz kerana lelaki berkenaan bekerja bersamanya sejak 22 tahun lalu.
Johan dalam kenyataan kepada Harian Metro pada Sabtu lalu mempersoalkan sejauh mana kesahihan mengenai isu wang lesap itu ditimbulkan oleh Zamani.
Katanya, isu terbabit sebaliknya perlu diajukan secara terus kepada Zamani berbanding pihak lain.
Zulfazil berkata, berikutan kekeliruan itu, dia terpaksa mengadakan sidang media semalam bagi menjelaskan perkara sebenar di sebalik tindakan peguam Zamani bertanyakan isu wang secara terbuka.
“Kami hendak beritahu keadaan Zamani semakin pulih sekarang. Cuma masalah ketagihannya belum hilang sepenuhnya cuma ia semakin terkawal berbanding dulu. Namun, timbul pula hal lain di mana pemeriksaan doktor mendapati Zamani ada masalah tulang belakang.
“Ia tiada kaitan dengan penagihan dadahnya selama ini, tapi Zamani perlu dirawat segera dengan kos mencecah RM40,000 hingga RM50,000. Saya sendiri tak mampu nak biaya kos rawatan itu sebab sebelum ini kos guaman, perubatan dan daftar masuk Pengasih saya sudah bantu.
“Sebab itulah, saya dan peguamnya mula bertanyakan mengenai wang simpanan Zamani bagi membantu rawatan untuk dirinya sendiri, bukan atas sebab lain,” katanya.
Johan berkata, tindakan peguam dan keluarganya mempersoalkan isu wang simpanan berkenaan secara terbuka di Facebook tidak adil untuk reputasinya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/42793#sthash.u5yITtsS.dpuf