Search This Blog

Friday, April 10, 2015

Guru Besar Simpan Gambar Hubungan Seks Dengan 12,000 Wanita


Diterbitkan: Jumaat, 10 April 2015 8:49 AM
Sebanyak 400 album gambar yang menjadi tempat Takashima menyimpan gambar seksnya.

SEORANG guru besar sebuah sekolah disiasat selepas dilapor menyimpan gambar seramai 12,000 wanita dan gadis yang dikatakan telah melakukan hubungan seks dengannya.
Guru dari Jepun itu, Yuhei Takashima dikesan menyimpan sebanyak 150,000 keping gambar ketika dia melakukan hubungan seks dengan wanita dan gadis.
Lelaki berusia 64 tahun itu ditahan pada Rabu selepas dia didakwa merakam gambar di ranjang bersama seorang gadis di Manila.
Hasil tangkapan, polis kemudian menyerbu rumah suspek dan menemui sebanyak 150,000 keping gambar yang menyaksikan dirakam ketika di ranjang bersama 'mangsanya'.
Gambar-gambar itu disimpan di dalam 400 album, lapor akhbar tempatan Jepun, Times.
Siasatan polis mendedahkan, Takashima dikesan melakukan hubungan seks dengan gadis berusia seawal 14 tahun hingga warga emas berumur 70 tahun.

Lori tangki meletup, seorang kanak-kanak terbunuh

 KHAMIS, 9 APRIL 2015 @ 1:02 PM


KHARTOUM: Seorang kanak-kanak terbunuh dan sekurang-kurangnya 18 orang cedera dalam kejadian sebuah lori tangki gas meletup di ibu negara Sudan hari ini.

Kementerian Dalam Negeri Sudan dalam satu kenyataan menyatakan lori tangki itu terbabas dan melanggar sebuah jambatan sebelum terbakar dan meletup.

Kejadian itu mengakibatkan kematian seorang kanak-kanak berusia enam tahun dan mencederakan sekurang-kurangnya 18 mangsa yang lain. - BERNAMA

Rugi duit terpedaya menang emas

jongkong emas

CHERAS - Sepasang suami isteri kerugian RM18,000 apabila terpedaya dengan seorang lelaki yang menyamar sebagai kakitangan sebuah pasar raya yang mendakwa pasangan itu memenangi sebuah kereta Perodua Myvi dan tiga jongkong emas, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata, mangsa berusia 74 tahun bersama isterinya ke sebuah  pasar raya di Ampang.

“Mereka didatangi seorang suspek yang berusia dalam lingkungan 25 hingga 30 tahun, kemudian suspek meminta mangsa mengemukakan resit dan kad pasar raya terbabit, sebelum memberitahu mereka pelanggan bertuah,” katanya.

Menurutnya, suspek bersama pasangan tersebut ke sebuah kedai emas di Cheras kerana suspek mendakwa hanya kedai itu sahaja boleh menebus hadiah jongkong emas.

“Pekerja kedai emas itu menyerahkan satu jongkong emas bernilai RM18,000, kemudian suspek meminta kad kredit mangsa, sebelum membuat pembayaran dan mangsa menandatangani resit kad kredit itu,” katanya.

Menurutnya, suspek yang memegang jongkong emas itu memberi alasan mahu ke tandas, sebelum dia melarikan diri.

“Mangsa kemudian membuat laporan polis dan membatalkan kad kreditnya,” katanya.

Kok Sin berkata, pihaknya meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kes ini boleh tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Bayi dijumpai dalam beg kertas


Bayi dijumpai dalam beg kertas
Bayi lelaki berkenaan didukung oleh jemaah masjid. (Gambar ihsan FB Daily Traffic Repport)
SHAH ALAM - Seorang jemaah Masjid An Nur Bandar Country Homes, Rawang terkejut menjumpai beg kertas yang ditinggalkan atas keretanya ketika pulang dari menunaikan solat Isyak, malam kelmarin.

Situasi bertukar panik apabila dia kemudian mendapati isi kandungan beg kertas tersebut adalah seorang bayi yang masih hidup.

Menurut sumber, jemaah berkenaan baru sahaja ingin bergerak pulang ke rumah apabila terlihat sebuah beg kertas berwarna putih jenama kasut terkenal diletak di atas bonet keretanya.

"Bila dibuka, dia terkejut lihat ada bayi lelaki di dalamnya yang dibalut dengan kain batik. Bayi itu kelihatan sihat juga sempurna sifat dan masih bertali pusat," kata sumber itu.

Tambahnya, jemaah itu kemudian memaklumkan kepada pihak masjid sebelum bayi berkenaan dibawa ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad semalam mengesahkan perkara tersebut.

Beliau berkata, bayi itu ditemui seorang jemaah masjid yang juga pesara polis.

Menurutnya, lelaki berusia 64 tahun itu kemudiannya membawa bayi itu ke klinik berdekatan, sebelum dilaporkan kepada polis.

"Kita mohon sesiapa yang mempunyai maklumat untuk tampil segera membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran," katanya.

Gambar bayi lelaki terbabit yang diazankan oleh seorang jemaah masjid menjadi viral di pelbagai laman sosial termasuk Facebook dan aplikasi WhatsApp sejak tengah hari semalam.

Rumah kuarters pegawai kanan TNB hangus


Rumah kuarters pegawai kanan TNB hangus
Kelihatan api menjulang pada rumah dua tingkat kuarters pegawai kanan TNB terbabit.
PORT DICKSON - Seorang pemuda berusia 22 tahun terselamat dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah kuarters pegawai kanan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Batu 2 Jalan Pantai, pagi semalam.

Insiden berlaku kira-kira jam 6.25 pagi itu menyebabkan rumah dua tingkat terbabit musnah dijilat api.

Sinar Harian difahamkan, ketika kejadian, pegawai TNB yang menghuni rumah berkenaan berada di luar negara dan hanya anak saudaranya sahaja berada di rumah tersebut.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Pegawai Bomba Kanan II, Abd Rahim Atan berkata, ketika pihaknya tiba di lokasi kejadian, api sudah membakar keseluruhan struktur rumah dua tingkat itu.

Menurutnya, siasatan awal bomba mendapati, kejadian disedari oleh mangsa yang berada di rumah apabila terhidu bau hangit dan segera berlari keluar sebelum melihat api di bumbung.

Abd Rahim berkata, anggota bomba berusaha mengawal api dari merebak ke garaj kereta yang menempatkan sebuah kereta jenis Honda.

“Api berjaya dikawal 10 minit kemudian dan operasi memadam dan menyelamat selesai pada jam 9.30 pagi.

“Rumah berkenaan hangus sepenuhnya dan hanya kereta berjaya diselamatkan. Mangsa yang juga trauma dengan kejadian itu berjaya ditenangkan oleh anggota bomba,” katanya.

Abd Rahim menambah, punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan namun pihaknya tidak menolak kemungkinan berlaku litar pintas.

Operasi memadam dan menyelamat turut dibantu pasukan Bomba dan Penyelamat Telok Kemang.

Ibu terkejut jumpa lelaki dalam almari anak


khalwat
KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki yang menyembunyikan diri di dalam almari baju selepas dipercayai merogol seorang gadis 'kantoi' apabila dia dicekup oleh ibu mangsa sendiri.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 pagi Selasa lalu, apabila si ibu, 45, melihat tindak-tanduk anak gadisnya, 16, yang pelik dan mencurigakan semasa dikejutkan untuk bersiap ke sekolah.

“Ibunya mula curiga apabila mangsa lambat buka pintu bilik semasa diketuk dan teragak-agak selepas disuruh bersiap untuk ke sekolah, sedangkan dia tidak pernah bersikap sedemikian sebelum ini.

“Melihatkan perubahan anaknya yang begitu ketara, naluri si ibu kuat mengatakan ada sesuatu yang tidak kena sebelum membuat pemeriksaan di dalam bilik ketika mangsa berada di dalam bilik mandi,” katanya.

Selepas menyelongkar hampir keseluruhan ruang di dalam bilik berkenaan, ibu mangsa terkejut apabila menjumpai seorang lelaki dikenali yang juga rakan kepada anaknya sedang bersembunyi di dalam almari baju dalam bilik tersebut.
Mengesyaki anak gadisnya telah diapa-apakan, ibunya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut sebelum lelaki terbabit ditahan.
Sementara itu, Majistret Rabiatul Adawiyah Che Khalid membenarkan suspek direman untuk disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Dua mati kejadian tembak di mahkamah Itali


Dua mati kejadian tembak di mahkamah Italy
Seorang lelaki turut cedera dalam kejadian tembak tersebut - Foto AP
MILAN - ITALI. Polis Itali berjaya menahan seorang lelaki yang dipercayai suspek dalam kes tembak mati dua orang di Istana Kehakiman di sini, hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Angelino Alfano berkata, suspek berjaya ditahan oleh polis ketika cuba melarikan diri.

Memetik laporan BBC, seorang pegawai berkata, lelaki bersenjata itu merupakan defendan dalam satu kes kebankrapan.

Salah seorang mangsa adalah seorang hakim mahkamah kebankrapan, Fernando Ciampi.

Bunyi tembakan di dalam Istana Kehakiman telah menimbulkan suasana panik dengan beratus-ratus orang cuba menyelamatkan diri.

Manakala, polis dan pegawai polis tentera memburu lelaki bersenjata itu.

"Tiba-tiba kami mendengar sekurang-kurangnya tiga atau empat tembakan," peguam Marcello Ilia yang juga merupakan seorang saksi memberitahu agensi berita AFP.

Hakim Mahkamah Rayuan, Giovanni Canzio memberitahu bahawa lelaki bersenjata itu melepaskan tembakan di pintu masuk ke bilik mahkamah sebelum melarikan diri ke bahagian lain bangunan itu.

Ia tidak jelas bagaimana dia berjaya membawa senjata ke Istana Kehakiman kerana setiap pengunjung perlu melalui pengesan logam.

‘Port’ sabung ayam terbongkar



Oleh Amrullah Abdul Karim
Bukit Beruntung: Sebuah rumah kosong yang dijadikan gelanggang sabung ayam sejak tiga tahun lalu diserbu pihak berkuasa di taman perumahan Bukit Sentosa, Bukit Beruntung pagi tadi.
Operasi Sita Ayam Sabung yang bermula kira-kira 9.30 pagi itu merampas 31 ayam kampung yang digunakan untuk sabung selain beberapa peralatan termasuk sangkar.
Ketua Bahagian Penguatkuasaan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Khairul Nizam Mohamad Khanafi berkata, serbuan dilakukan selepas pemilik rumah itu tidak mematuhi notis arahan yang dikeluarkan MDHS iaitu pengosongan premis yang dijadikan gelanggang ayam sabung.
Menurutnya, kegiatan haram itu terbongkar selepas penduduk membuat aduan berikutan berlaku masalah pencemaran bau busuk selain gangguan lalat.
Katanya, pihak berkuasa yang menerima aduan itu mengemukakan notis pengosongan premis yang dijadikan gelanggang pertarungan namun diingkari pemiliknya.
"Susulan itu, pagi tadi pihak berkuasa membabitkan MDHS dan polis mengambil tindakan dengan menyita peralatan serta 31 ekor ayam termasuk baka yang dipercayai dijadikan ayam sabung," katanya.
Menurutnya, ketika serbuan premis berkenaan kosong.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 3:55 PM

FOTO Amrullah Abdul Karim
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/42676#sthash.0gp43zCz.dpuf

‘Kantoi’ menyamar polis

Oleh Mohamad Hussin
Bukit Kayu Hitam: Seorang lelaki berusia 46 tahun ditahan selepas menyamar sebagai anggota polis dan cuba merasuah RM1,000 kepada anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menahannya di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK), di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 2 petang, lelaki terbabit mengaku sebagai anggota polis berpangkat koperal yang bertugas di Kuala Lumpur.
Suspek yang memandu kereta jenis Mercedes S 320 turut menunjukkan kad kuasa polis dipercayai palsu untuk melepaskan diri daripada ditahan.
Timbalan Komander Briged Utara, Asisten Komisioner Khaw Kok Chin berkata, suspek juga cuba memberikan rasuah sebanyak RM1,000 kepada anggota PGA namun ditolak anggota terbabit.
Beliau berkata, siasatan mendapati suspek mempunyai isteri di negara jiran dan kerap balik ke sana.
"Suspek ditahan reman empat hari mulai hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 170 KK dan Seksyen 88(a) KK," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 2:00 PM


TIMBALAN Komander Briged Utara menunjukan kad kuasa polis palsu dan kad pengenalan suspek yang menyamar sebagai anggota polis. FOTO Sharul Hafiz Zam
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/42667#sthash.Llby1x47.dpuf

Mengaku bunuh remaja perempuan

Oleh Norul Awatif Romli 
awatifromli@hmetro.com.my


Alor Setar: Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun oleh Mahkamah Tinggi, di sini, sebentar tadi, atas kesalahan menyebabkan kematian seorang remaja perempuan di Kampung Alor Senibong, Mukim Tajar, di sini, dua tahun lalu.
Hukuman berkenaan dikenakan terhadap Mohd Firdaus Mohd Faridul, 20, berkuatkuasa daripada tertuduh ditahan pada 15 Januari tahun lalu.
Tertuduh yang hadir ke mahkamah dengan memakai kemeja T dan seluar jeans hitam kelihatan tenang sebaik Pesuruhjaya Kehakiman Dr Choo Kah Sing menjatuhkan hukuman.
Mohd Firdaus sebelum ini menghadapi pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori.
Bagaimanapun, pada 26 Mac lalu tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304 (a) KK yang ditawarkan.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 12:50 PM


MOHD Firdaus Mohd Faridul dipenjara selama 18 tahun. FOTO Amran Hamid
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/42649#sthash.4cTPf3hU.dpuf

Kan dah kena...

Oleh Alias Abd Rani
Kuching: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai meragut beg tangan milik seorang wanita di Taman BDC di sini, selepas video tersebar dan menjadi viral dalam Facebook (FB), petang semalam.
Suspek berusia 21 tahun ditahan di sebuah hotel di bandar raya ini, hasil risikan dijalankan berdasarkan video dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) jam 5.30 petang.
Jurucakap polis berkata, serbuan itu membolehkan polis menemui beberapa barangan dipercayai milik mangsa diragut.
"Turut ditemui wang tunai berjumlah RM600, barang kemas serta jam tangan. Polis tidak menolak kemungkinan barangan ini hasil jenayah ragut dilakukan suspek termasuk di Taman BDC.
"Suspek ditahan sebelum dibawa ke Balai Polis Sentral untuk siasatan lanjut," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 3:01 PM


PETIKAN daripada rakaman CCTV menunjukkan kejadian ragut berlaku.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/42669#sthash.eX0OgIMe.dpuf

12 PATI ditahan

Oleh Zainuz Fitri 
am@hmetro.com.my


Mersing: Dua belas warga Indonesia pekerja asing tanpa izin (PATI) di sebuah kilang papan di Jemaluang di sini, ditahan anggota Jabatan Imigresen Johor ketika pemeriksaan hari ini.
Dalam pemeriksaan 12 tengah hari itu, didapati warga asing berkenaan tidak memiliki pas perjalanan, salah guna pas lawatan sosial dan tinggal lebih masa di negara ini.
Timbalan Ketua Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Johor Masri Adul berkata, kesemua lelaki yang ditahan itu berusia antara 19 hingga 45 tahun.
Menurutnya, serbuan dijalankan hasil risikan dan maklumat orang ramai.
"Kesemua yang ditahan dibawa ke Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Setia Tropika, Johor Bahru untuk tindakan lanjut," katanya.8
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 3:58 PM


Seorang Pati bersembunyi di dalam belukar. FOTO Zainuz Fitri
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/42678#sthash.i6zU17qO.dpuf

Parah dirempuh lori

Oleh Rosliza Mohamed 
am@hmetro.com.my


Tumpat: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun parah di kepala selepas dirempuh lori ketika mahu menyeberangi jalan di persimpangan lampu isyarat dekat sebuah pasar raya di Pasir Pekan, di sini.
Kejadian berlaku kira-kira 1.30 tengah hari menyebabkan mangsa Haziq Syahmi Che Mohd Zahari tidak sedarkan diri dan kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu.
Menurut ibunya, Che Zurita Che Soh, 38, sebelum kejadian, Haziq Syahmi keluar bersama rakan dengan menunggang basikal.
"Dia beritahu mahu membeli barang bersama rakannya dan saya minta dia berhati-hati.
"Tiba-tiba rakannya kembali semula ke rumah saya di Taman SBJ Putra, memaklumkan dia kemalangan," katanya ketika ditemui di HRPZ II, hari ini.
Menurutnya, anaknya dihantar ke HRPZ II oleh orang awam dan kini masih tidak sedarkan diri.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Zaharuddin Rasip mengesahkan kejadian.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 5:25 PM


FOTO ihsan pembaca
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/42680#sthash.c0ihdUYZ.dpuf

Penjenayah ahli kongsi gelap Geng 24


Sepang: Penjenayah lelaki berusia 30 tahun yang mati selepas ditembak polis di Jalan Ulu Yam, Gombak, Selangor kelmarin disahkan sebagai ahli kumpulan kongsi gelap Geng 24.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah (gambar) berkata, berdasarkan maklumat diperolehi, suspek dipercayai terbabit dalam kes bunuh di Lembah Klang.
“Malah, suspek dikatakan mempunyai rekod jenayah serta pernah ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Bagi kami, suspek ini amat berbahaya,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Serah Tugas Ketua Polis Daerah Sepang, di sini, semalam.
Majlis disempurnakan Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat.
Pada majlis itu, Abdul Samah menyaksikan penyerahan ‘Baton of Command’ oleh Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Mohd Yusoff Awang kepada Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2) Superintendan Abdul Aziz Ali.
Abdul Aziz kini dilantik sebagai Pemangku Ketua Polis Daerah Sepang berikutan Mohd Yusoff bersara daripada perkhidmatan.
Semalam, akhbar ini melaporkan tindakan ganas seorang penjenayah menembak pegawai polis menyebabkan suspek akhirnya tersungkur selepas dadanya ditembusi tiga butir peluru.
Dalam kejadian jam 1.30 pagi kelmarin, suspek berusia 30 tahun dikesan menaiki kereta dalam keadaan mencurigakan di Jalan Ulu Yam, Gombak.
Sementara itu, Mohd Adnan berkata, polis membuat siasatan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti suspek dipercayai terbabit dalam kes seorang lelaki warga emas yang maut selepas dipukul di Jalan SS17/48, Petaling Jaya, kelmarin.
Katanya, suspek yang dipercayai memukul mangsa dikatakan menggunakan motosikal ketika hari kejadian berlaku.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/42584#sthash.2ncLFATh.dpuf

‘Disergah’ kali kedua


Nibong Tebal: Kemalangan menimpa Samsul Yahya, 31, dan anak perempuannya, Nur Qasrina Syasha, 16 bulan, yang cedera selepas disergah anjing kejadian kali kedua menimpa dua beranak itu dalam tempoh setahun.
Isteri Samsul, Norhayati Mat Saleh, 31, berkata, sebelum ini suaminya pernah menempuh detik cemas apabila Nur Qasrina Syasha terjatuh ke atas jalan berikutan suaminya terkejut dan terjatuh akibat disergah haiwan itu hingga menyebabkan kecederaan di kaki, April tahun lalu.
Beliau berkata, akibat kejadian terbabit, bahagian belakang kepala anaknya yang ketika itu baru berusia empat bulan bengkak, namun bernasib baik kerana tidak cedera serius selepas menjalani pemeriksaan kesihatan.
“Ketika itu suami sedang mengendong anak kami, namun secara tiba-tiba seekor anjing menghampirinya dan menyalak menyebabkan Nur Qasrina terlepas dari kendongan dan terjatuh ke atas jalan.
“Suami pula terjatuh dan cedera di kaki, namun kerana risau anak kami dicederakan haiwan itu, dia terus mendapatkan Nur Qasrina dan berlari menyelamatkan diri,” katanya.
Berikutan kejadian terbaru malam kelmarin, Norhayati dan penduduk di Taman Seri Bayu, Bukit Panchor, di sini, mendesak pihak berkuasa meningkatkan pemantauan dan operasi bagi mengawal anjing liar di kawasan itu.
Sementara itu, Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) Loh Joo Huat berkata, pihaknya sudah mengambil tindakan segera termasuk melancarkan operasi menangkap anjing liar bermula petang semalam.
Beliau berkata, pihaknya memandang serius masalah anjing liar dan sentiasa melakukan pemantauan selain bakal melancarkan program pemandulan haiwan berkenaan bagi mengawal jumlah haiwan tidak bertuan itu.
“Terbaru, operasi menangkap anjing liar dilakukan Februari lalu dan kami akan melakukan pemeriksaan bagi memastikan hanya anjing yang mempunyai lesen sahaja dipelihara di kawasan perumahan mengikut syarat ditetapkan,” katanya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/42585#sthash.AyFE6FxK.dpuf

Rotan isteri hingga cedera


Ampang: Seorang wanita bukan saja tidak diberi nafkah, malah dibelasah dan dirotan suami hingga cedera.
Lebih kejam, suami mangsa tidak membenarkannya untuk mendapatkan rawatan sehingga diselamatkan jiran yang kebetulan datang ke rumah mangsa di pangsapuri di Ampang Saujana, kelmarin.
Sumber polis berkata, sebelum kejadian, mangsa yang berusia 21 tahun dipercayai bergaduh dengan suaminya apabila lelaki berkenaan enggan memberikan wang, selain mendakwa dilayan seperti pembantu rumah dan mendakwa suaminya itu ada teman wanita baru.
“Suami mangsa naik angin sebelum merotan kedua - dua belah tangan mangsa, selain ditumbuk di bahu.
“Mangsa ditumbuk berulang kali di belakang badan hingga cedera,” katanya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/42589#sthash.dBEiOMkh.dpuf

Bapa ‘Gadis Myvi’ nafi tuduhan

Shah Alam: Bapa kepada kumpulan ‘Gadis Myvi’ yang terbabit dalam insiden pergaduhan dengan pemandu teksi pada 29 Mac lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.
Syed Fareid Yahya, 51, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nor Shakinah Ahmad Kamaruddin.
Berdasarkan fakta kes, Syed Fareid didakwa menyebabkan cedera atas bangkitan marah dan mengejut ke atas Azmi Mat Mokhtar, 54, jam 4.30 petang pada 29 Mac lalu di pejabat pertanyaan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.
Dia didakwa di bawah Seksyen 334 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara sebulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya N Panimallah manakala Syed Fareid diwakili peguam bela Azad Bashir dan Sarah Mohd Ali.
Dalam prosiding semalam Panimallah memohon mahkamah mengenakan jaminan RM3,000 kepada Syed Fareid, namun Azad meminta ia dikurangkan berikutan Syed Fareid menanggung isteri serta empat daripada tujuh anaknya.
Nor Shakinah menetapkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 29 April ini.
Isnin lalu, Azmi yang juga pemandu teksi dihadapkan di mahkamah sama atas empat tuduhan iaitu didakwa mengakibatkan kerosakan kereta Perodua Myvi milik Sharifah Fara Difla Syed Fareid, 28, manakala tiga tuduhan lain ialah menumbuk dan menyebabkan kecederaan kepada tiga beradik iaitu Sharifah Fara Difla; Sharifah Fara Afzan, 27; dan Sharifah Fara Ryyana, 24.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 11:56 AM


SYED Fareid (kiri) di Mahkamah Majistret Shah Alam, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/42601#sthash.bTEi9zkU.dpuf

Masuk longkang dikejar anjing

Wan Azrin Syahirah Mior Zulkifli dan Syamimi Jamil 
am@hmetro.com.my

Nibong Tebal: “Hati saya merasa ada yang tidak kena selepas terdengar bunyi dentuman di luar rumah diikuti laungan ‘Ya Allah’.
“Ketika itu, saya dapat merasakan anak saya ditimpa kecelakaan kerana kenal itu suaranya,” kata Latifah Embi, 57, menceritakan detik cemas anak lelaki dan tiga cucunya tercampak ke dalam longkang selepas motosikal ditunggang terbabas gara-gara cuba mengelak dikejar anjing liar, kelmarin.
Ketika kejadian jam 7 malam di Taman Seri Bayu, Bukit Panchor, di sini, Latifah berada di rumahnya yang terletak 10 meter dari tempat kejadian menyebabkan dia terus berlari keluar untuk melihat apa yang berlaku.
Dia tergamam selepas mendapati anak lelakinya, Samsul Yahaya, 31, berada di dalam longkang bersama cucunya, Nur Qasrina Syasha, 16 bulan, yang meraung kesakitan dengan badannya berlumuran darah.
Dua lagi cucunya yang membonceng motosikal sama iaitu anak Samsul, Syamimi dan anak saudara Samsul, Nurul Ain Kasrul Anuar, masing-masing berusia lima tahun, turut berada di dalam longkang, namun tidak cedera serius.
Ketika kejadian, Samsul menunggang motosikal Yamaha Lagenda manakala Nur Qasrina Syasha duduk di dalam bakul depan, Syamimi di belakang Samsul dan Nurul Ain paling belakang.
Samsul dalam perjalanan ke rumah Latifah untuk menghantar Nurul Ain selepas mereka beriadah di taman permainan berhampiran.
“Saya terjun ke dalam longkang separas pinggang itu untuk menyelamatkan cucu terutama Nur Qasrina Syasha yang ketika itu berlumuran darah akibat luka di pipi serta dagu selain mukanya bertukar biru menyebabkan saya bertambah cemas.
“Samsul pula dalam keadaan mengerang kesakitan, namun ketika itu saya mengutamakan cucu dan memeriksa ketiga-tiganya kerana risau sekiranya mereka cedera serius,” katanya.
Latifah berkata, dalam keadaan cemas, dia mengarahkan Syamimi dan Nurul Ain memanjat tebing longkang itu, namun mereka tidak berdaya kerana masih dalam keadaan bingung menyebabkan dia membantu menolak kedua-duanya naik ke tebing sebelum dibawa masuk ke dalam rumahnya.
Menurutnya, selepas itu dia membantu Samsul yang ketika itu dalam keadaan separuh sedar keluar dari longkang, namun anaknya itu enggan dibantu berikutan merasa sakit pada seluruh badan berikutan tulangnya patah.
Dia bagaimanapun lega apabila menantunya, Norhayati Mat Saleh, 31, yang dihubungi tiba beberapa minit kemudian dan mereka terus memberikan kata-kata semangat untuk memastikan Samsul terus sedar serta keluar dari longkang itu.
“Mujurlah 10 minit kemudian, dia keluar daripada longkang itu menggunakan kudratnya sendiri dan kami membantunya masuk ke dalam kereta dan dikejarkan ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan kecemasan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 10:21 AM


ADUN Jawi, Soon Lip Chee (kanan) melihat kecederaan Nur Qasrina Syasha di rumahnya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/42587#sthash.8Cb39X0x.dpuf

Pelajar terpaksa cuti bergilir

Senawang: Sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) 300 pelajar tahun enam Sekolah Kebangsaan Senawang (SKS), di sini, terjejas apabila sebahagian besar bumbung di Blok A yang menempatkan kelas mereka diterbangkan ribut, malam kelmarin.
Ribut luar biasa bermula jam 7 malam itu menyebabkan bumbung berkenaan diterbangkan sejauh kira-kira 300 meter ke kawasan padang sekolah.
Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan Pkharuddin Ghazali berkata, kejadian itu turut merosakkan sebahagian kecil bumbung bangunan lain dan dewan sekolah.
Beliau berkata, berikutan kejadian itu, lapan kelas tahun enam terpaksa dipindahkan ke kelas lain bagi memastikan sesi pembelajaran tidak terjejas.
“Sebagai langkah awal, kelas bagi pelajar tahun satu dan dua terpaksa diubah dengan pelajar terbabit diberikan cuti bergilir selama dua hari bermula esok (hari ini) berikutan Blok A yang menempatkan pelajar tahun enam ini terpaksa dikosongkan atas faktor keselamatan.
“Bangunan berkenaan rosak teruk terutama pada bahagian atap dan kita sudah minta kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) membuat penilaian terhadap kerosakan untuk dimajukan kepada Kementerian Pendidikan.
“Semua peralatan berharga di bangunan berkenaan juga akan dipindahkan ke bangunan lain demi keselamatan, manakala bagi aktiviti pembersihan kita sudah melantik kontraktor kecil untuk melakukannya yang dijangka selesai dalam tempoh dua hari bermula hari ini (semalam),” katanya ketika ditemui ketika melawat sekolah berkenaan, semalam.
Menurutnya, kerja membaiki struktur bangunan Blok A berkenaan akan diberikan keutamaan untuk disiapkan selepas JKR membuat taksiran kerosakan, namun ia mungkin mengambil sedikit masa.
Katanya, pihak sekolah dibenarkan menggunakan bangunan lain seperti perpustakaan dan surau bagi menampung lapan kelas tahun enam sekali gus memastikan sesi pembelajaran kepada semua 1,231 pelajar sekolah itu berjalan seperti biasa bermula Isnin ini.
“Keutamaan kita untuk memastikan sesi P&P pelajar tidak terjejas dan kemudahan padang untuk aktiviti kokurikulum dapat digunakan,” katanya.
Mengulas lanjut kejadian ribut berkenaan Pkharuddin berkata, SKS adalah antara empat sekolah di negeri itu yang terbabit selain Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senawang, SMK Dato Mansor di Bahau dan SMK Syed Tunku Idrus di Tampin.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 12:03 PM


BUMBUNG Sekolah Kebangsaan Senawang yang rosak teruk selepas diterbangkan ribut.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/42606#sthash.eGSSlrVg.dpuf

Guru sertai kursus mati di hotel


Kuantan: Seorang guru sekolah rendah yang menyertai Seminar Penyelidikan Tindakan Program Pensiswazahan Guru ditemui mati di bilik sebuah hotel di bandar ini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 7.35 pagi itu, mangsa, Zulkifli Mohamed, 41, berasal dari FELDA Kampung Sertik, Karak dekat Bentong meninggal dunia dipercayai akibat penyakit kencing manis, darah tinggi dan paru-paru berair.
Timbalan Ketua Polis Daerah Superintendan Abdul Aziz Ahmad berkata, mangsa menghadiri kursus di hotel berkenaan pada 6 April lalu dan dijangka berakhir petang kelmarin.
“Kematian mangsa disedari rakan sebilik selepas mendapati guru tidak bangun tidur walaupun berulang kali cuba mengejutkannya,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Katanya, pembantu perubatan dari Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan yang tiba tidak lama kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/42714#sthash.Qd4fPe8m.dpuf

Anggota JPAM cedera ambulans terbalik

Oleh Salman Hamat 
salman@hmetro.com.my


Butterworth: Seorang anggota wanita Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dipercayai mengalami kecederaan tulang belakang manakala tiga lagi anggota lain dan pesakit dibawa mereka cedera ringan selepas ambulans dinaiki terbalik selepas terbabit dalam kemalangan dengan Proton Persona di Persimpangan Lampu Isyarat berhampiran Tol Sungai Nyior menghala ke Seberang Jaya, 4.30 petang tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Leftenan (PA) Amirul Asyraf Mohamad Mayidin berkata, ketika kejadian ambulans berkenaan dalam perjalanan menghantar mangsa kemalangan jalan raya dari Bagan Jermal ke Hospital Seberang Jaya (HSJ).
"Maklumat awal kami terima ketika kejadian lampu isyarat sedang hijau dan ambulans meneruskan perjalanan namun ketika itu sebuah Proton Persona dipandu seorang wanita melanggar belakang ambulans menyebabkan ia terbalik.
"Tiga lagi anggota dan mangsa kemalangan jalan raya di bawa hanya cedera ringan dan kami sedang menunggu laporan lanjut berhubung keadaan terkini anggota wanita yang disyaki alami kecederaan tulang belakang," katanya.
Pemandu Proton Persona berkenaan bagaimanapun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 6:42 PM


AMBULANS JPAM yang terbalik. FOTO Amir Irsyad Omar
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/42684#sthash.uzrhgSc4.dpuf

Lemas di tasik

Oleh Mohamad Fahd Rahmat 
Fahd@hmetro.com.my


Johor Bahru: Lelaki berusia 21 tahun ditemui lemas dalam tasik di Jalan Bukit Impian Taman Impian Emas, di sini, 5.55 petang tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Superintendan Beh Eng Lai berkata, mangsa dikenali sebagai M Kumuthan dikatakan ke tasik berkenaan untuk memancing bersama lima lagi rakannya pagi tadi.
Bagaimanapun, katanya, sekitar 2 petang, mangsa memaklumkan kepada rakannya untuk mandi sebelum berenang ke tengah tasik.
"Sampai di tengah tasik mangsa terkapai -kapai sebelum tenggelam dan rakannya bergegas ke balai polis Skudai. Pasukan skuba Balai Bomba Larkin kemudian dihubungi untuk membantu.
"Tiada kecederaan pada badan mangsa dan kaki si mangsa terikat tali halus dipercayai tersangkut tali pancing ketika berenang, " katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 7:18 PM


Mayat mangsa diangkat anggota bomba. FOTO ihsan bomba
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/42686#sthash.wUIGiRYK.dpuf

Rakyat Malaysia hilang di pergunungan Nepal

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi
Kuala Lumpur: Usaha mencari lelaki warga Malaysia, Dennis Lee Thian Poh berusia 47 tahun yang hilang ketika mendaki di kawasan pergunungan Pokhara, Nepal sejak Ahad lalu giat dijalankan pihak berkuasa di sana.
Mangsa hilang di kawasan Ghorepani berhampiran laluan Khopra Danda kira-kira jam 3 petang waktu tempatan (5.15 petang waktu Malaysia).
Pemangku Duta Besar Malaysia ke Nepal Fadli Adilah berkata, pihaknya menerima berita kehilangan mangsa pada Selasa lalu.
“Kita sudah berhubung dengan pihak berkaitan di Nepal termasuk agensi yang membawa rombongan delegasi itu, pasukan Polis Nepal di Kathmandu dan Pokhara dan beberapa agensi lain bagi membantu serta mengetahui situasi terkini proses pencarian berkenaan
“Sehingga kini, setelah hampir 90 jam, mangsa masih belum ditemui dan tiada sebarang bukti baru daripada pihak polis Nepal ataupun agensi berkaitan,” katanya.
Menurutnya, usaha mencari mangsa turut membabitkan anjing pengesan dan helikopter.
“Isteri mangsa, Jennifer Eileen Peters-Lee sudah tiba di Kathmandu malam tadi dari Kuala Lumpur, dan kini berada di lokasi kejadian.
“Pihak kedutaan akan terus memantau dan berusaha membantu sewajarnya, serta memaklumkan kelak sebarang status terkini,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 9:37 PM


DENNIS Lee Thian Poh, 47.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/42693#sthash.9u64eF2H.dpuf

Rintihan ibu di sisi jenazah


Oleh Abnor HamizamAbd Manap

am@hmetro.com.my
Jempol: Luluh hati seorang ibu apabila melihat jasad anak lelakinya yang maut dalam kemalangan dengan lori di Kilometer 15, Jalan Bahau-Rompin, dekat sini, awal pagi semalam.
Dalam keadaan menahan sebak, Juhar Kadir, 58, beberapa kali mengesat air mata di sisi mayat arwah Muhamad Ridduan Abdul Karim, 35, yang ditutupi dengan kain dan surat khabar, sekali gus mengundang simpati orang awam di tempat kejadian.
Dia ditenteramkan suaminya, Abd Karim Samad, 65, yang turut bersedih dengan kematian anak kedua daripada empat beradik itu.
Ketika kejadian jam 6.45 pagi, Muhamad Ridduan yang juga peniaga runcit baru selesai membeli barang keperluan niaga di Pasar Borong Bahau dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Sentosa, Gemas, dekat sini, dengan memandu kenderaan serba guna (MPV) Toyota Wish.
Arwah yang juga Ketua Pemuda UMNO taman itu ditemani isterinya, Nur Azizah Ariffin, 33, dan anak perempuan, Puteri Aina Aisha, 4, namun mereka terselamat dan hanya mengalami cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hamzah Alias berkata, siasatan pihaknya mendapati sebaik tiba di tempat kejadian, kenderaan yang dinaiki mangsa cuba mengelak daripada melanggar pokok tumbang di laluannya sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan lori tiga tan menghala ke Bahau.
“Kemalangan itu menyebabkan mangsa parah di badan dan maut di tempat kejadian. Mayatnya yang tersepit dikeluarkan dari kenderaan oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bahau.
“Bagaimanapun, isteri dan anaknya hanya cedera ringan dan dikejarkan ke Hospital Jempol (HJEM) untuk rawatan,” katanya.
Hamzah berkata, pemandu dan dua penumpang lori tidak cedera.
Katanya, mayat mangsa dihantar Ke HJEM untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Abdul Karim berkata, arwah anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika bertemu di kedainya petang kelmarin.
Katanya, arwah yang juga anak kedua daripada empat adik-beradik ceria dan suka bergurau dengan ahli keluarga lain.
“Kebiasaannya arwah pergi ke pasar membawa lori jika mahu membeli barang yang banyak, namun pagi tadi (semalam) dia memandu kereta kerana tidak banyak barang yang dibelinya.
“Saya menerima panggilan daripada menantu yang memberitahu mengenai kemalangan ini dan bergegas ke tempat kejadian bersama isteri sedih dimaklumkan anak saya sudah tiada,” katanya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/42596#sthash.OGBOaZAe.dpuf