Search This Blog

Thursday, April 9, 2015

Empat cedera letupan di Jakarta



SKUAD bom Indonesia memeriksa di sebuah rumah di Tanah Abang, Jakarta hari ini. - Foto EPA
JAKARTA: Satu letupan berlaku di sebuah rumah di Tanah Abang, Jakarta menyebabkan empat orang cedera, kata polis hari ini.
Seorang mangsa cedera parah apabila terkena paku di bahagian dada akibat letupan berkenaan.
"Satu objek ditemui mempunyai paku dan serbuk kelabu tetapi tidak mempunyai peledak atau kabel," kata jurucakap polis Jakarta, Martin Sitompul. - Reuters

Pemain NBA, teman wanita ditikam di luar kelab malam New York

NEW YORK: Seorang pemain bola keranjang Persatuan Bola Keranjang Nasional (NBA), teman wanitanya dan seorang lagi wanita ditikam selepas berlaku pergaduhan di tepi jalan raya berdekatan sebuah kelab malam di Manhattan, malam tadi.
Susulan kejadian itu, dua lagi pemain NBA ditahan pihak berkuasa.
Pemain tengah skuad Indiana Pacers, Chris Copeland, 31, cedera ditikam di siku kirinya dan di perut.
Copeland memulakan karier bola keranjangnya di NBA dengan menyertai New York Knicks pada usia lewat 28 selepas bermain di Eropah beberapa tahun sebelum itu.
Jurulatih Pacers, Frank Vogel, berkata Copeland menjalani pembedahan di bahagian siku dan abdomen serta dijangka berada di hospital sepanjang malam.
Kejadian berkenaan dilaporkan berlaku sebelum jam 4 pagi di luar 1Oak Club, kelab malam yang digemari dalam kalangan selebriti antaranya, Justin Bieber dan Snoop Dogg untuk menghabiskan masa bersama kenalan, demikian menurut polis.
Polis berkata, Copeland dan teman wanitanya dikatakan bertekak di tepi jalan sebelum seorang lelaki tiba-tiba datang dan cuba untuk campur tangan.
Perkelahian itu berlarutan sehingga penyerang berusia 22 tahun mengeluarkan pisau dan mula megacukan tikaman.
Pemandu Copeland berjaya menahan suspek sehingga polis tiba.
Katrine Saltara, teman wanita Copeland cedera akibat dikelar di lengan dan dadanya, manakala seorang lagi wanita dipercayai bersama suspek penyerang ditikam di perut.
Pemain kelab Atlanta Hawks, Pero Antic, 33, dan Thabo Sefolosha, 30, yang tidak bersama Copeland tetapi berada di kelab sama, ditahan selepas cuba menghalang pegawai polis daripada memulakan siasatan di tempat kejadian.
Antic dan Sefolosha kemudian dibebaskan tanpa jaminan selepas dituduh menghalang penjawat awam menjalankan tugas namun hakim mendapati mereka tidak melakukan kesalahan jenayah. - AFP

Penganggur kena penjara 18 tahun sebabkan kematian Noor Syafikah


Oleh Adha Ghazali
ALOR SETAR: Seorang pemuda dijatuhi hukuman penjara 18 tahun di Mahkamah Tinggi, di sini, atas kesalahan menyebabkan kematian seorang daripada tiga beradik dari Alor Semela, di sini, dua tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Dr Choo Kah Sing menjatuhkan hukuman terhadap penganggur, Mohd Firdaus Mohd Faridul, 20, mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan, dengan hukuman bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu 15 Januari 2014.
Pada 29 Mac lalu, Mohd Firdaus mengaku salah membunuh Noor Syafikah Nadia Abdullah, 14, di kawasan kawah terbiar di Kampung Alor Senibong, dekat Tajar, di sini.
Pengakuan itu dibuat tertuduh berdasarkan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana dengan niat menyebabkan kecederaan tubuh badan yang mungkin menyebabkan kematian.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Salim Soib, manakala tertuduh diwakili peguam Burhanudeen Abd Wahid.
Pada 30 November 2013, mayat Noor Syafikah Nadia ditemukan di sawah terbiar dalam keadaan tertiarap dan hanya memakai coli, manakala mayat dua adiknya iaitu Nur Izzati Husna, 12, dan Puteri Nurul Akma, 3, ditemukan dalam terusan MADA di Kampung Padang Petani, dekat Alor Semela, kira-kira 24 jam kemudian.
Terdahulu, tiga beradik berkenaan dikatakan keluar daripada rumah mereka pada malam 29 November dengan menunggang motosikal, sebelum ketiga-tiga mereka dilapor hilang.

Suspek baling bom petrol di Alor Setar ditahan


Oleh Adha Ghazali
Alor Setar: Lelaki yang disyaki membaling molotov koktail ke arah sebuah bank di Simpang Kuala, di sini, petang semalam diberkas polis malam tadi.
Suspek berusia lingkungan 30-an itu diberkas jam 11 malam di kediamannya di Taman Bersatu, dekat Kuala Kedah, di sini, kira-kira lapan jam selepas kejadian itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya, mengesahkan penahanan suspek untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan, kerana mendatangkan bencana dengan api.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang semalam, seorang lelaki dilapor membaling bom petrol jenis molotov koktail ke arah sebuah bank di Simpang Kuala, selepas dikatakan berang kerana hasratnya mengeluarkan wang RM10,000 di bank berkenaan sebelum itu, gagal berikutan akaun miliknya sudah ditutup.
Difahamkan, suspek yang berang dikatakan memarahi juruwang bank yang bertugas sebelum berlalu meninggalkan premis terbabit.
Suspek bagaimanapun kembali ke bank itu kira-kira sejam kemudian sebelum terus membaling bom api berkenaan ke arah bank dan melarikan diri.

24 maut bas terjunam dalam sungai di Bangladesh

KHAMIS, 9 APRIL 2015 @ 12:18 PM

 
DHAKA: Sekurang-kurangnya 24 terbunuh dan lebih 22 orang lagi cedera apabila sebuah bas penumpang terjunam ke dalam sungai di Faridpur, Bangladesh, hari ini.

Jurucakap polis berkata, bas hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam sungai dengan 15 penumpang terbunuh di tempat kejadian manakala sembilan lagi meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital tempatan.

Bangladesh adalah negara yang mempunyai kadar kematian akibat kemalangan jalan raya tertinggi di dunia disebabkan pembinaan jalan raya yang kurang bermutu, kenderaan tidak diselenggarakan dengan baik, melanggar peraturan lalu lintas dan pemantauan yang lemah oleh pihak berkuasa.

Satu kajian oleh Pusat Penyelidikan Kemalangan, Universiti Teknologi Kejuruteraan Bangladesh menunjukkan 12000 orang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Bangladesh setiap tahun. - BERNAMA

Lori tangki meletup, seorang kanak-kanak terbunuh

KHAMIS, 9 APRIL 2015 @ 1:02 PM

 
KHARTOUM: Seorang kanak-kanak terbunuh dan sekurang-kurangnya 18 orang cedera dalam kejadian sebuah lori tangki gas meletup di ibu negara Sudan hari ini.

Kementerian Dalam Negeri Sudan dalam satu kenyataan menyatakan lori tangki itu terbabas dan melanggar sebuah jambatan sebelum terbakar dan meletup.

Kejadian itu mengakibatkan kematian seorang kanak-kanak berusia enam tahun dan mencederakan sekurang-kurangnya 18 mangsa yang lain. - BERNAMA

Puluhan Petani India Bunuh Diri Kerana Hujan Lebat


Diterbitkan: Khamis, 9 April 2015 11:16 AM
Hujan lebat memusnahkan tanaman menyebabkan petani semakin bimbang sukar meneruskan kehidupan.

MUMBAI: Sekurang-kurangnya 30 petani India dilaporkan membunuh diri sejak seminggu lalu selepas hujan lebat memusnahkan ratusan hektar tanaman sebelum sempat dituai.
Menurut laporan media, kejadian berlaku di kawasan utara negara berkenaan.
Biro kaji cuaca India berkata, Mac lalu mencatatkan kadar hujan tertinggi dalam tempoh 100 tahun.
Pegawainya berkata, dianggarkan secara keseluruhan berjuta-juta hektar tanaman pertanian rosak atau musnah akibat hujan lebat di seluruh negara, terutama di Delhi, Haryana, Punjab dan Rajasthan.
Kerajaan negeri Uttar Pradesh, Haryana, Punjab dan Madhya Pradesh pula melaporkan, mereka belum dapat mengesahkan kes bunuh diri yang berkaitan dengan kerosakan tanaman itu.
Bagaimanapun, seorang petani di pinggir New delhi berkata, keadaan semakin buruk dan mereka tidak mampu berbuat apa-apa.
“Kami tidak ada tempat mengadu dan pada masa sama, kami tidak yakin kerajaan mampu membantu.
“Kami terpaksa bergelut untuk meneruskan hidup mengikut kemampuan yang ada,” katanya.
Kejadian membunuh diri ekoran kerugian ditanggung bukan sesuatu yang asing di India.
Jurucakap kerajaan Delhi berkata, mereka pernah berdepan pengalaman melihat kekecewaan petani yang menanggung kerugian.
“Ia tidak semestinya disebabkan hujan. Kadang-kadang kemarau atau ribut juga memusnahkan tanaman dan petani menanggung kerugian besar.
“Sebahagian daripada mereka pula menanggung hutang dan berharap hasil pertanian itulah yang akan membantu membayar hutang itu,” katanya.
Sementara itu, penganalisis berpendapat, kerajaan Narendra Modi berdepan risiko jika gagal menangani isu kerugian dialami petani di India.
“Modi perlu ingat, dia memenangi pilihan raya umum tahun lalu hasil sokongan petani dan tahun ini mereka mengharapkan beliau melakukan sesuatu bagi menyelamatkan keadaan,” katanya.

Kilang Terbakar, 30,000 Penduduk Dipindahkan


Diterbitkan: Khamis, 9 April 2015 4:37 PM

BEIJING: Hampir 30,000 penduduk terpaksa berpindah ke kawasan lebih selamat selepas sebuah kilang kimia berhampiran penempatan mereka terbakar dan mengambil masa lebih 50 jam untuk dipadamkan, lapor media temptan.
Dimaklumkan, kilang yang menghasilkan 'paraxylene' (sejenis bahan kimia dikenali sebagai PX dan digunakan untuk membuat kain) itu dipercayai terbakar diikuti dengan letupan yang menggegarkan bangunan di Zhangzhou pada petang Isnin.
Kebakaran tersebut berjaya dipadamkan pada malam Selasa, namun dua tangki simpanan bahan itu terbakar semula pada Rabu, jelas agensi berita rasmi XinHua.
"Seramai 29,096 penduduk dipindahkan dari kawasan kebakaran tersebut," kata agensi berita XinHua pada Rabu dan turut memberitahu kebakaran tersebut berjaya dipadamkan awal pagi Khamis.
Enam pekerja kilang itu yang terletak di wilayah timur Fujian itu cedera dalam kejadian kebakaran kedua dalam tempoh dua tahun.
Dalam pada itu, rakaman televisyen menunjukkan api yang marak dan kepulan asap tebal menyebabkan lebih 800 anggota bomba berusaha mengawal kebakaran.
Beberapa bandar di China dikatakan mengadakan protes selepas cadangan bahan poliester dan kain oleh kilang yang menghasilkan PX, cecair mudah terbakar dan karsinogenik dikeluarkan tanpa mengendahkan risiko kesihatan.
Pembinaan kilang PX Zhangzhou pada mulanya ditetapkan di sebuah bandar berhampiran pantai di Xiamen, bagaimanapun dipindahkan ke lokasi sekarang kerana mendapat halangan penduduk pada 2007. 

Nahas Germanwings: Maklumat Terbaru Dapati Pembantu Juruterbang Masukkan Sejenis Ubat Dalam Kopi Kapten


Diterbitkan: Khamis, 9 April 2015 3:42 PM
Pasukan mencari dan menyelamat menemui serpihan besar yang merupakan badan pesawat Germanwings yang terhempas di Pergunungan Alps, Perancis pada 24 Mac lalu. Nahas tersebut mengorbankan 150 orang termasuk anak kapal.

DUSSELDORF (Jerman): Maklumat terbaru yang dikumpulkan oleh pasukan penyiasat nahas pesawat Germanwings mendapati, terdapat kemungkinan yang besar, pembantu juruterbang, Andreas Lubitz memasukkan sejenis ubat ke dalam kopi kapten pesawat itu, Patrick Sondenheimer untuk memaksanya pergi ke tandas.
Lubitz, 27, yang dikenalpasti sebagai orang yang bertanggungjawab menghempaskan pesawat itu di pergunung Alps di Perancis sehingga mengorbankan 150 orang penumpang termasuk dirinya dan anak kapal dipercayai meletakkan ubat jenis diuretik ke dalam cawan kopi kapten pesawat Airbus 320 tersebut.
Ubat ini akan meransang penggunanya lebih kerap ke tandas untuk membuang air kecil.
Ini bagi membolehkan Lubitz meneruskan rancangannya untuk membunuh diri dan juga semua penumpang pesawat berkenaan dalam insiden 24 Mac lalu.
Dia telah disahkan menghidapi masalah depresi dan kebimbangan yang lesen penerbangannya tidak akan diperbaharui kerana masalahnya itu.
Akhbar UK, The Daily Mirror memetik laporan dari Jerman yang menyebut maklumat terbaru ini diperolehi menerusi pemeriksaan forensik ke atas komputer Lubitz yang dirampas oleh polis Jerman di kediamannya.
Maklumat dari komputer itu dipercayai mendedahkan yang Lubitz memeriksa atau mencari maklumat mengenai diuretik dan kegunaannya untuk melaksanakan rancangan gilanya itu.
Maklumat terbaru ini muncul di tengah-tengah gesaan ramai supaya Kapten Sondenheimer diberi penghormatan yang lebih sempurna kerana cubaannya untuk menyelamatkan pesawat itu dari tangan Lubitz.
Kapten yang berusia 34 tahun itu dan merupakan bapa kepada dua orang anak yang baru berusia tiga dan enam tahun itu telah memohon untuk diletakkan di dalam jadual penerbangan jarak pendek dalam usahanya untuk meluangkan lebih banyak masa bersama-sama anaknya.
Nampaknya hasratnya itu tidak kesampaian.
Sebelum ini, hasil rakaman suara dari kokpit mendapati, Lubitz telah mengunci pintu kokpit sebaik sahaja kapten pesawat itu keluar untuk ke bilik air.
Dia kemudiannya telah didapati menggunakan alat kawalan khas untuk menutup kod laluan masuk semula ke kokpit dalam usahanya untuk menghalang Kapten Sondenheimer daripada kembali ke kokpit semula.
Dalam tempoh lapan minit dia berada seorang diri di dalam kokpit, Lubitz telah tidak memperdulikan rayuan kaptennya yang menjerit "Demi Tuhan, tolong buka semula pintu ini..." sebaliknya dia (Lubitz) memandu pesawat itu turun ke paras yang lebih rendah sehinggalah terhempas.
Kelajuan pesawat ketika ia terhempas ialah 400km sejam.
Sementara itu Lufthansa, syarikat induk kepada Germanwings, telah mengarahkan semua staf mereka agar tidak memakai uniform dalam majlis mengenang mereka yang terkorban dalam insiden itu pada 17 April nanti.

Kereta terbalik masuk longkang


Kereta terbalik masuk longkang
Kereta Myvi mangsa terbalik selepas terbabas dan melanggar tembok longkang sebuah rumah di Kampung Inas.
KUALA PILAH – Sepasang suami isteri berhadapan detik cemas apabila kenderaan dinaiki mereka terbabas lalu terbalik ke dalam longkang di Jalan kampung Inas, Dingir, kira-kira jam 6 pagi, semalam.

Bagaimanapun kedua-dua mangsa, Abu Bakar Haizar, 29, dan isterinya, Norafidah Yazid, 28, yang menaiki kereta jenis Perodua Myvi hanya mengalami cedera ringan.

Penduduk kampung yang ingin dikenali Anuar, 40-an berkata, pasangan suami isteri itu dipercayai dalam perjalanan dari Rumah Rakyat Sungai Layang Rembau menuju ke Simpang Durian, Jelebu.

“Tiba di selekoh jalan ini, kereta dipandu lelaki berkenaan hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan hingga melanggar tembok longkang sebuah rumah.

“Bunyi dentuman kuat menyebabkan penduduk berhampiran keluar melihat insiden tersebut," katanya.

Tambah Anuar, kedua-dua mangsa dalam keadaan trauma dan penduduk telah membantu mengeluarkan mereka melalui pintu belakang kereta.

"Mereka kemudiannya dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) untuk rawatan lanjut," katanya.

Kata Anuar, jalan kampung itu merbahaya terutama di selekoh tajam ditambah pula cuaca masih gelap.

“Saya berharap pengguna lebih berwaspada kerana jalan kampung ini agak kecil dan banyak selekoh merbahaya” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superitendan Azmi Abdul Rahim mengesahkan kejadian dan kemalangan itu disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pencuri kerat kabel waktu Subuh


Pencuri kerat kabel waktu Subuh
Abdul Jabar menunjukkan kabel telefon terjuntai ke tanah akibat dipercayai dipotong pencuri pada waktu Subuh.
KEMAMAN – Ikhtiar penduduk Kampung Pengkalan Binjai, di sini, untuk mengekang kes kecurian kabel telefon di kampung mereka yang berleluasa dengan melakukan rondaan pada waktu malam tidak menampakkan hasil apabila pencuri mengubah taktik dengan mencuri pada waktu Subuh pula.

Kes terbaharu kecurian kabel telefon itu disedari Pengerusi JKKK Kampung Pengkalan Binjai, Abdul Jabar Wahab pagi kelmarin.

Abdul Jabar berkata, dia melihat kabel telefon terjuntai ke atas tanah ketika menuju ke kedai untuk membeli sarapan pagi.

“Selepas saya periksa di kawasan itu saya turut jumpa alat pemotong dan apabila diteliti kabel itu, kesan potongnya masih lagi baharu,” katanya.

Berikutan keadaan itu, Abdul Jabar segera melaporkan kes berkenaan kepada pihak Telekom Malaysia (TM).

Menurutnya, dalam usaha menangani kes curi kabel itu JKKK Kampung Pengkalan Binjai dengan kerjasama Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Pengkalan Binjai mengadakan rondaan setiap malam di kawasan yang berisiko dan terdedah kepada kecurian.

“Sejak sebulan lalu kami buat rondaan dan menunggu hingga jam 3 dan 4 pagi dan tidak ada kecurian berlaku dalam tempoh itu dan kini pencuri lebih licik dengan mencuri waktu awal pagi ketika orang ramai sedang menunaikan solat Subuh,” katanya.

Menurutnya, kes kecurian kabel yang kerap terjadi di kampungnya itu menimbulkan kesulitan kepada kira-kira 60 pengguna TM kerana tidak dapat menggunakan telefon rumah dan tidak dapat mengakses internet.

“Bagi mereka yang melanggan perkhidmatan Streamyx, perkhidmatan ini tak dapat mereka gunakan dan ini benar-benar mengganggu terutama bagi pelajar yang mahu mencari maklumat menerusi internet.

“Saya amat berharap agar pihak TM dapat mencari satu alternatif baharu dengan meninggikan lagi kabel tersebut bagi mengelak berlakunya kecurian di masa hadapan," katanya.

Dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, lebih lima kes kecurian kabel dilaporkan berlaku di kampung berkenaan.

Sementara itu, Pegawai Ibusawat TM di Mak Chili, Tengku Muda Tengku Hussin berkata, kes kecurian kabel bukan sahaja semakin menjadi-jadi di Kampung Pengkalan Binjai bahkan keadaan sama turut berlaku di Bandar Cheneh Baru, Felda Cerul, Kampung Air Putih dan Kampung Teluk Kalong sejak beberapa bulan lalu.

Beliau berkata, akibat perbuatan jenayah itu, TM mengalami kerugian besar dan kerugian yang ditanggung dianggarkan hampir RM10,000 setiap kali berlakunya kecurian.

“Kos tersebut termasuk penggantian kabel baharu dan pemasangan semula yang terpaksa dilakukan oleh TM demi menjaga pelanggan walaupun untuk mendapat pulangan balik terpaksa menunggu bertahun-tahun.

“Dalam membasmi kes ini TM juga sentiasa membuat rondaan setiap malam bagi memastikan kecurian tidak berlaku tapi malangnya ia tetap berlaku tanpa kita sedari,” katanya.

Katanya, pihak TM juga melahirkan ucapan terima kasih kepada orang ramai yang segera menyalurkan maklumat mengenai kecurian kabel telefon bagi memudahkan pihak mereka menggantikan kabel baharu dengan segera.

“Diharap orang ramai bersabar tunggu giliran penggantian kabel yang lakukan dalam masa terdekat. Kita juga berharap orang ramai terus memberi kerjasama padu agar kes curi kabel ini dapat diatasi,” katanya.

Anak mati disangka tidur kerana keletihan


Kemalangan maut
KERTEH – Seorang pemandu lori berusia 24 tahun ditemui mati terbaring di dalam sebuah bangsal kayu dalam kejadian di Kampung Labohan, di sini, kira-kira jam 8 pagi kelmarin.

Mayat pemuda berkenaan dijumpai bapanya  yang masuk ke bangsal itu untuk mengejutkan anaknya itu yang bekerja di sebuah syarikat di kawasan perindustrian Kerteh.

Pemuda itu yang belum berumah tangga bekerja sebagai pemandu lori sejak empat tahun lalu dan tinggal berseorangan di bangsal berkenaan yang terletak dalam kawasan rumah keluarganya.

Sebelum kejadian, bapa pemuda berkenaan dikatakan melihat anaknya itu terbaring di atas lantai bangsal namun menyangka anaknya tidur kerana keletihan dan tidak mengesyaki apa-apa.

Bapa mangsa yang tidak mahu dikenali berkata, bagaimanapun selepas beberapa kali cuba mengejutkan dan memanggil anaknya itu, tiada sebarang reaksi menyebabkan dia berasa tidak sedap hati.

Menurutnya, apabila diperiksa, badan anaknya itu sejuk dan kaku, dia kemudian segera menghubungi Balai Polis Kerteh untuk memaklumkan perkara berkenaan.

Katanya, anaknya itu sebelum ini kelihatan sihat dan tidak menghidap sebarang penyakit kronik atau penyakit berbahaya lain.

Anggota polis yang bergegas ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan mengesahkan pemuda berkenaan telah meninggal dunia beberapa jam sebelum ditemui.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman Deputi Superintendan Normansah Din mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Setelah kita lakukan bedah siasat kita dapati kes tidak melibatkan sebarang unsur jenayah dan ia diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut,” katanya.

Kubah masjid disambar petir


Kubah masjid disambar petir
Keadaan kubah Masjid Kariah Felda Bukit Jalor yang disambar petir, petang kelmarin.
GEMENCHEH – Penduduk Felda Bukit Jalor, di sini gempar apabila kubah Masjid Kariah Felda Bukit Jalor disambar petir dalam kejadian hujan lebat berserta petir, petang kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Felda Bukit Jalor, Rosli Baharudin berkata, kejadian berkenaan berlaku selepas solat Asar kira-kira jam 5 petang.

"Sebelum kejadian seorang siak, Roslan Deresa, berada di dalam masjid sedang melakukan kerja-kerja pembersihan dan tiba-tiba bekalan elektrik terputus.

“Sejurus selepas elektrik tiada, kubah masjid disambar petir menyebabkan serpihan kubah itu tercampak ke atas jalan," katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini.

Rosli berkata, kejadian tersebut kali pertama berlaku selepas masjid berkenaan didirikan sejak 1970-an.

"Kubah di masjid ini tidak pernah diganti baru sejak dibina dan penduduk serta jawatankuasa masjid dari masa ke masa sering membersihkan dan mengecatnya supaya kelihatan baru dan bahagian bawah kubah menempatkan suis utama bagi bekalan elektrik masjid," katanya.

Rosli berkata, berikutan itu, ahli jawatankuasa masjid diminta untuk membuat permohonan bantuan baik pulih kerosakan kubah berkenaan yang dianggarkan bernilai RM20,000.

Pelajar tahfiz masih aktif jual produk


Pelajar tahfiz masih aktif jual produk
Pelajar yang mendakwa dari sekolah tahfiz melakukan jualan amal di Bandar Perda, Bukit Mertajam.
ALOR SETAR – Ibarat mencurah air ke daun keladi. Demikian dapat digambarkan mengenai tindakan pengurusan sebuah sekolah tahfiz di sini yang dipercayai masih menggunakan kanak-kanak untuk tujuan perdagangan.

Biarpun notis pemberhentian operasi dikeluarkan Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) pada Februari tahun lalu namun, sekolah terbabit dikesan masih menjalankan operasinya.

Kegiatan terbabit sekali lagi terbongkar apabila wartawan Sinar Harian terserempak dua pelajarnya di sebuah restoran dekat Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Masing-masing yang berusia lingkungan belasan tahun pada mulanya mempromosikan produk jualan mereka kepada orang ramai di restoran terbabit.

Mereka kemudiannya menghampiri wartawan sambil memperkenalkan diri sebagai pelajar sekolah tahfiz berkenaan sebelum menawarkan produk kesihatan bernilai RM10.

Anak yatim piatu yang berasal dari Sik itu mengakui diarahkan seorang lelaki bergelar ‘ustaz’ untuk menjalankan perniagaan di kawasan itu.

“Ustaz yang bawa kami ke sini dengan van. Nanti petang ustaz tunggu tepi jalan dan bawa kami tidur di Kulim,” katanya kepada Sinar Harian.

Ketika sedang berbual bersama pelajar berkenaan, seorang lagi kenalannya tiba-tiba menghilangkan diri dipercayai menyedari kegiatan mereka sedang dirakam.

Bagaimanapun, pelajar lelaki itu memaklumkan ia merupakan kali pertama mereka melakukan jualan amal di kawasan terbabit.

Berikutan kejadian itu, tinjauan semula di sekolah berkenaan pada hari berikutnya mendapati ia masih beroperasi seperti biasa.

Pemerhatian kira-kira 30 minit mendapati beberapa kanak-kanak memakai baju kurung dan baju Melayu sedang bermain di pekarangan sekolah berkenaan.

Sementara sebahagian pelajar lain pula sedang mengikuti kelas pengajian seperti biasa mengikut waktu yang ditetapkan pihak pengurusan.

Terdahulu, tinjauan Sinar Harian pada Mei 2014 mendapati sekolah tahfiz itu masih beroperasi dengan bukti kedengaran dan pembacaan surah al-Fatihah oleh pelajar.

Perkara itu dapat dibuktikan lagi apabila seorang ustazah kelihatan sedang mengajar membaca aya-ayat suci al-Quran di dalam kelas.

Dalam pada itu, Exco Agama, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan menunggu masa sesuai untuk melakukan serbuan ke sekolah tahfiz terbabit.

Menurutnya, keputusan untuk tidak membenarkan proses rayuan pendaftaran sekolah tahfiz itu juga adalah kekal.

Kebanyakan penduduk setempat ketika ditemui turut memaklumkan sudah mangli dengan perkara itu kerana tiada penguatkuasaan tegas diambil.

Sebelum ini,  pengetua sekolah berkenaan juga pernah menafi mengarahkan pelajarnya melakukan aktiviti jualan amal.

Katanya, kegiatan terbabit dihentikan buat sementara waktu selepas sekolah berkenaan diarah menghentikan operasinya oleh Jaik berkuat kuasa serta-merta.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, sekolah berkenaan diarah menghentikan operasinya pada 2014 atas alasan menjalankan operasi sebagai Sekolah Islam tanpa pendaftaran mengikut Seksyen 12(1) Enakmen Pengawalan Sekolah-sekolah Agama Negeri Kedah Tahun 1988.

Jaik juga pernah mengeluarkan notis sama pada 2007 yang mengarahkan supaya operasi terbabit dihentikan.

Keengganan mematuhi arahan itu adalah satu kesalahan yang boleh didakwa menurut Seksyen 2 Enakmen Pengawalan Sekolah-sekolah Agama Negeri Kedah Tahun 1988.

'Kawe sayang bini kawe boh'

'Kawe sayang bini boh'
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tampin untuk urusan bedah siasat.
GEMAS – 'Kawe sayang bini boh'. Itu perbualan terakhir arwah Koperal Ridzuan Zakaria, dalam grup WhatsApp sebelum terlibat dalam maut ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa, 30, disahkan meninggal dunia di Hospital Tentera Darat, Kem Syed Sirajudin Gemas selepas motosikal ditungganginya dari Kem Gemas ke Kem Asahan bertembung dengan Land Rover tentera.

Menurut rakan mangsa, Koperal Faiza Wahab, 30, dia mengenali arwah sejak tujuh tahun lalu semasa berkhidmat di Kem Gemas dan arwah seorang yang sangat baik.

“Malam sebelum kejadian, arwah ada berkongsi gambarnya bersama anak di dalam grup WhatsApp dan memberitahu dia sangat sayangkan isterinya (Siti Aisyah Abdul Murad, 20-an). Malah, arwah juga berkongsi gambarnya yang sedang membantu isterinya membuat inti kuih.

"Sebelum ini, arwah tidak pernah berkongsi gambarnya bersama isteri dan hanya berkongsi gambarnya ketika melakukan aktiviti seperti memancing,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di perkarangan Bilik Mayat Hospital Tampin, semalam.

Faiza berkata, arwah juga sebelum ini menyatakan hasrat ingin membuat majlis sambutan hari jadi buat anak lelaki sulungnya yang mencecah usia setahun pada 25 Mei ini.

Sementara itu, ahli keluarga mangsa, Mohd Amin Ali, 47, berkata, pada malam sebelum kejadian, arwah ada menghubungi keluarga memandangkan hari ini (semalam) merupakan hari lahirnya dan sempat meninggalkan pesanan kepada ibunya supaya menjaga isterinya untuk selama-lamanya.

"Tapi kami tidak fikir bukan-bukan. Tetapi tidak menyangka itu adalah antara pesanan terakhir arwah. Malah, arwah juga pernah menyuarakan hasratnya untuk disemadikan di kampungnya di Kuala Besut, Terengganu sekiranya berlaku perkara tidak diingini kepadanya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Wooi Kooi Cheang berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave bertembung dengan sebuah Land Rover tentera dari arah bertentangan.

"Punca kemalangan masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tampin bagi proses bedah siasat," katanya.

22 ditahan dalam Ops Sarang


PDRM
BUKIT MERTAJAM - Sebanyak 18 penagih dan empat pengedar dadah ditahan dalam Ops Sarang di sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT), di sini, hari ini.
 
Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor berkata, mereka yang ditahan dalam operasi khas enam jam bermula 7 pagi itu terdiri daripada 21 lelaki dan seorang wanita berusia antara 20 dan 45 tahun.
 
"Polis turut merampas sejumlah dadah bersama empat lelaki yang disyaki  pengedar dadah itu. Seorang daripada mereka juga ditahan kerana dipercayai terlibat dalam beberapa kes curi motosikal di sekitar daerah ini," katanya di sini, hari ini.
 
Beliau berkata, polis turut merampas sejumlah air ketum daripada dua lelaki yang ditahan itu. - Bernama

Mayat pelajar sudah keras ditemui dalam semak


Kemalangan maut
KOTA TINGGI - Mayat seorang pelajar sekolah dipercayai mangsa kemalangan, ditemui terbaring di dalam semak di tepi jalan Kilometer 8 Jalan Kota Tinggi-Kluang berhampiran Kampung Batu Ampat, di sini.

Mangsa, Ahmad Azmi Norazni, 17, seorang pelajar Sekolah Menengah Vokasional Kota Tinggi ditemui orang awam yang melalui kawasan itu kira-kira jam 7.00 pagi tadi.
  
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Rahmat Othman yang dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
  
Hasil siasatan awal polis mendapati mangsa adalah mangsa kemalangan, kata beliau.
  
Rahmat berkata, mangsa yang menunggang motorsikal jenis Honda EX5, dipercayai berseorangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Felda Linggiu, di sini selepas latihan sepak takraw di sekolah.

"Mangsa dipercayai telah terbabas ke kanan jalan dan terjatuh ke dalam semak dan setakat ini tiada saksi kejadian," katanya.
  
Beliau berkata, pihak polis juga tidak menjumpai sebarang pecahan komponen kenderan lain di lokasi kemalangan.
  
"Berdasarkan keadaan mayat yang sudah keras, dipercayai mangsa telah meninggal tidak kurang lima jam sebelum dijumpai," kata beliau.  

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat. - Bernama

Bumbung sekolah tercabut, pokok hempap kereta


Bumbung sekolah tercabut, pokok hempap kereta
Sebahagian bumbung bangunan Sekolah Kebangsaan Senawang yang tercabut dan di terbangkan tengah padang sekolah itu ekoran kejadian angin ribut yang berlaku lewat petang semalam di Seremban hari ini. - Foto Bernama
SEREMBAN - Sebuah bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Senawang dekat sini, mengalami kerosakan teruk selepas bumbung bangunan empat tingkat itu tercabut dipukul angin kencang ketika hujan lebat, malam tadi.

Kejadian kira-kira 7 malam itu, mengakibatkan empat bilik darjah yang terletak di aras empat bangunan itu terpaksa dikosongkan.   

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Pkharuddin Ghazali berkata, tiada kecederaan dilaporkan berikutan kejadian tersebut berlaku selepas waktu persekolahan.   

"Bangunan tersebut menempatkan lapan kelas murid Tahun Enam dan untuk sementara, pelajar ditempatkan di surau dan bilik khas.   

"Pihak sekolah juga memberi cuti khas bergilir kepada 1,231 pelajarnya iaitu pelajar Tahun Satu akan diberi cuti esok dan murid Tahun Dua pada Jumaat," katanya selepas melakukan lawatan ke SK Senawang hari ini.   

Beliau berkata, pihaknya masih menunggu penilaian kerosakan oleh Jabatan Kerja Raya sebelum memohon peruntukan daripada Kementerian Pendidikan untuk kerja pembaikan.

"Kerja pembaikan akan dibuat seberapa segera yang mungkin dan pihak sekolah juga telah melantik kontraktor untuk melakukan kerja-kerja pembersihan sisa-sisa bumbung yang diterbangkan angin kencang semalam," katanya.   

Sementara itu, di Taman Jasmin, Senawang, sebanyak lima buah kereta yang diletakkan di bahu jalan, remuk dihempap pokok tumbang dalam kejadian angin kencang malam tadi.   

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Fazli Jamaludin berkata, empat pokok tumbang menghempap lima kereta tersebut dengan terdapat dua mangsa dalam satu daripada kenderaan itu.   

Beliau berkata mangsa yang tidak mengalami kecederaan, berjaya dikeluarkan setelah pihaknya memotong dahan pokok yang menghempap kenderaan tersebut.   

"Tujuh anggota bomba mengambil masa kira-kira dua jam untuk memotong dan membersihkan pokok-pokok yang tumbang," katanya. - Bernama

Serangan histeria berulang-ulang


Serangan histeria berulang-ulang
Aina mula menunjukkan perubahan tingkah laku sewaktu azan Zohor.
HULU TERENGGANU - Sebuah sekolah di daerah ini gempar apabila sekumpulan pelajar perempuan diserang histeria secara tiba-tiba ketika dalam kelas sehingga sesi pembelajaran terganggu.

Kejadian dikatakan berlaku pada kira-kira jam 10.30 pagi menyebabkan ibu bapa serta penjaga mengambil keputusan untuk membawa pelajar terbabit pulang.

Difahamkan, kejadian histeria berlaku berulang-ulang dan semakin menjadi-jadi sejak dua minggu kebelakangan ini serta kebanyakannya melibatkan pelajar yang sama.

Kejadian dikatakan bermula sekitar jam 10 pagi dan Sinar Harian turut dimaklumkan, seramai 16 pelajar di sekolah berkenaan diserang histeria Selasa lalu.

Mengikut maklumat, ketika pelajar terbabit berada dalam keadaan tidak sedarkan diri, tingkah laku dan pertuturan mereka sama, termasuk menyebut perkataan 'mawar' berulang kali.


Mahu masalah diakhiri

Wartawan akhbar ini turut menyaksikan serangan histeria yang berlaku secara tiba-tiba ke atas seorang pelajar tingkatan empat selesai azan Zohor dan pada ketika itu, pelajar itu bersama ibunya sedang ditemu ramah.

Selain agresif, pelajar itu turut bertutur menggunakan bahasa Melayu lama dan bahasa Melayu dengan pelat Inggeris dalam nada marah, termasuk mempersoalkan kenapa bermain di tempat 'mawar' serta menyebut perkataan tangki air beberapa kali.

Ibu bapa yang tidak mahu kejadian itu berlarutan meminta pihak sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Hulu Terengganu dan pihak berkaitan mencari langkah terbaik bagi mengakhiri kejadian itu.

Seorang ibu yang hanya ingin dikenal sebagai Nor, 30-an berkata, sejak belakangan ini dia sentiasa bimbang ketika anaknya berada di sekolah itu dan keadaan sama turut dilalui ramai ibu bapa sehingga ada yang tidak dapat bekerja selain terpaksa ambil cuti.

"Pagi tadi (semalam), anak saya yang belajar di tingkatan empat sekolah itu diserang histeria buat kali kelapan sejak tinggal di asrama tahun ini. Sebelum ini dia belajar di sekolah lain. Keadaan ini benar-benar membimbangkan saya.

"Masalah ini bukan sahaja menyebabkan dia tidak bermaya, malah apabila berlanjutan, ia pasti akan menjejaskan pembelajarannya. Minggu lepas dia sudah diserang histeria dan hari ini (semalam) kejadian itu berulang. Saya kasihan melihat keadaannya," katanya.

Menurutnya, kejadian ini bermula jam 10 pagi dan ketika itu dia dan iba bapa pelajar lain akan bersedia dengan telefon masing-masing kerana kebiasaannya pada jam itulah panggilan akan diterima memaklumkan anak mereka tidak sedarkan diri dan perlu bergegas ke sekolah.

Katanya, tidak mustahil serangan histeria boleh melarat kepada pelajar lain dan dia berharap pihak berkaitan mengambil tindakan untuk mengakhiri masalah tersebut termasuk mengadakan majlis bacaan Yasin bersama ibu bapa di sekolah.

"Kali pertama anak saya diserang histeria adalah pada minggu kedua dia berada di asrama. Ketika itu dia berada di surau pada waktu maghrib dan secara tiba-tiba bekalan elektrik terputus. Sebaik bekalan elektrik pulih, dia dilihat sedang merangkak sambil meracau-racau," katanya.


Anak takut ke sekolah

Bapa seorang pelajar yang hanya mahu dikenal sebagai Mamat, 72, memaklumkan, kejadian semalam merupakan kali ketiga anaknya diserang histeria dan walaupun telah sedarkan diri, dia tetap memerlukan masa antara dua hingga tiga hari untuk kembali sihat seperti biasa.

"Saya dapat panggilan memaklumkan anak saya kembali diserang histeria pada sekitar jam 12.15 tengah hari dan bergegas ke sekolah untuk bawa anak pulang ke rumah.

"Sampai bila perkara ini akan berlarutan? Anak saya seakan-akan sudah takut mahu ke sekolah dan situasi sebegini pasti akan menjejaskan pelajarannya. Kami benar-benar berharap pihak sekolah berikhtiar walau dengan cara apa sekalipun untuk menangani masalah ini," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Terengganu, Jalaludin Ismail ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah sedia maklum berkenaan masalah tersebut dan tindakan berkaitan telah diambil.

"Pihak sekolah dan PPD sudah panggil beberapa ustaz dan pengamal perubatan tradisional sebagai usaha mengatasi masalah itu. Kita akui ia sedikit sebanyak akan menjejaskan sesi pembelajaran selain menimbulkan perasaan takut dalam diri pelajar.

"Sudah tentu kita perlu masa untuk menyelesaikan masalah ini, namun setakat ini keadaan masih terkawal. Bagaimanapun, jika ia semakin serius, kita akan fikirkan langkah lain yang lebih sesuai kerana kita mahu masalah ini segera berakhir," katanya.

Bumbung tercabut ketika solat


Bumbung tercabut ketika solat
Salehudin menunjukkan bumbung rumahnya yang diterbangkan ribut.
BATU PAHAT – “Terkejut saya mendengar jeritan daripada menantu dan juga cucu, yang datangnya dari arah ruang tamu rumah,” kata salah seorang mangsa ribut di daerah ini, Salehudin Zakaria, 55.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 4.30 petang, kelmarin itu turut melibatkan 16 rumah di sekitar Kampung Parit Gantong dan Kampung Parit Kuda di Semereh serta Kampung Sungai Suloh dan Taman Soga di Bandar Batu Pahat.

Menurut Salehudin, hujan lebat berserta angin kencang mula berlaku sebaik memulakan solat namun dia tidak menyangka yang kediamannya akan dilanda ribut.

Katanya, selesai sahaja menunaikan solat, dia mendapati angin bertambah kencang sebelum mendengar jeritan menantu dan cucunya, yang kemudiannya terus ke bahagian depan rumah.

“Selesai menunaikan solat di dalam bilik, saya terus bergegas ke ruang tamu dan kemudian melihat menantu dan cucu saya berpelukan kerana ketakutan.

“Saya juga melihat bumbung rumah sudah tercabut dipercayai diterbangkan angin kencang selain bahagian ruang tamu rumah basah dan beberapa perabot kami turut rosak," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kampung Parit Gantong, semalam.

Salehudin berkata, pemeriksaan di seluruh rumah mendapati bumbung di bahagian dapur juga tercabut dalam kejadian hujan lebat berserta angin kencang selama kira-kira 30 minit.

"Ketika kejadian, kami hanya mampu berdoa supaya terselamat dalam kejadian yang sememangnya tidak dijangka malah pertama kali berlaku sepanjang tinggal di situ," katanya.

Sementara itu, Sulaiman Salleh, 35, yang mengunjungi kenalannya berkata, dia terkejut apabila menyaksikan sendiri bumbung rumah itu tercabut ketika melalui kawasan berkenaan.

“Ketika itu saya turut memberhentikan kereta dan melihat bumbung rumah terbabit tercabut akibat angin kencang serta ribut yang berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Batu Pahat, Adnan Md Yassin berkata, pihaknya akan melakukan siasatan berkaitan kejadian yang berlaku selain menguruskan pemberian bantuan kepada mangsa.

"Sepanjang bulan Januari hingga Mac tahun ini sebanyak 23 bantuan membabitkan jumlah RM50,000 telah disalurkan kepada mangsa ribut manakala bagi bulan April sehingga semalam sebanyak 36 kes dilaporkan.

“Bagaimanapun bantuan untuk bulan ini masih belum dapat diserahkan kerana pihak JKM masih melakukan siasatan berkaitan jumlah kerugian dialami mangsa,” katanya.

Blogger dipenjara seumur hidup kerana bunuh anak


Blogger dipenjara seumur hidup kerana bunuh anak
Lacey Spears (Gambar kecil) Garnett.
NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Seorang ibu berhadapan hukuman penjara seumur hidup selepas didapati bersalah meracun anaknya yang berumur lima tahun dengan garam.
 
Menurut Strait Times, Lacey Spears, 27 yang mengendalikan blog mengenai penyakit anaknya, Garnett, didapati bersalah menyebabkan kematian kanak-kanak tersebut pada 2014.
 
Pendakwaraya mendakwa Spears memasukkan jumlah garam yang merbahaya ke dalam saluran bantuan pemakanan anaknya di Westchester Medical Center.
 
Peguam Spears bagaimanapun menafikan perkara berkenaan dan akan membuat rayuan berhubung keputusan tersebut.

Pembuli jalan guna gergaji elektrik


Pembuli jalan guna gergaji elektrik
Sedutan video yang dimuatnaik oleh Karine Cyr
SAINT-JEROME - CANADA. Seorang ibu berjaya merakam tindakan seorang pembuli jalan raya menakut-nakutkan keluarga menggunakan sebuah gergaji elektrik, 6 April lepas.
 
Menurut Dailystar.uk, Karine Cyr dan suaminya, Alexandre bersama dua orang anak mereka menyedari sebuah kereta dipandu bersimpang-siur dan bertindak merakam aksi berkenaan.
 
Selepas berhenti di sebuah jalan mati, Karine dan Alexandre kemudian diserbu pembuli berkenaan yang membawa sebuah gergaji elektrik.
 
Polis kemudian menahan seorang lelaki berumur 37 tahun di Saint-Jerome berdasarkan nombor pendaftaran yang diberikan oleh Karine.

Parkir haram: Zon operasi CCTV ditambah


Parkir haram: Zon operasi CCTV ditambah
Foto LTA
SINGAPURA - Penguatkuasa Pengangkutan Darat (LTA) Singapura hari ini mengumumkan menambah 40 lokasi untuk dipantau menggunakan CCTV dalam usaha membasmi parkir haram.

Menurut Channel News Asia, bermula 15 April ini, kawasan seperti Ang Mo Kio, Bukit Batok East Avenue, Collyer Quay akan dipantau dengan CCTV.

Sebelum ini, pemantauan di 30 lokasi seperti Beach Road, Bishan, Pasir Panjang Road and River Valley Road memberi respon positif.

Untuk mengenal pasti kawasan di bawah pantauan CCTV, pihak LTA mengecat tiang lampu dengan jalur oren di kawasan yang berkenaan.

500 muat turun haram filem diperangkap


500 muat turun haram filem diperangkap
Filem Dallas Buyers Club
SINGAPURA - Lebih 500 pengguna internet di Singapura berkemungkinan berhadapan tindakan selepas dikesan memuat turun secara haram filem Hollywood, Dallas Buyers Club.

Menurut Straits Times, syarikat LLC yang memegang hak cipta filem berkenaan, mahukan ganti rugi.

Syarikat berkenaan sudah mengenalpasti lebih 500 alamat internet (IP) dari tiga penyedia rangkaian internet (ISP) utama, Singtel, StarHub dan M1.

Difahamkan, syarikat berkenaan mula menghantar surat kepada pengguna-pengguna internet berkenaan berkenaan ganti rugi dan kos.

LLC juga dalam proses mengenalpasti 4,700 pelayar internet dari Australia berkenaan muat-turun haram filem berkenaan.

Di Amerika Syarikat, lebih 1,000 pelayar internet sudah disaman.

KDN rampas bahan berunsur lucah


KDN rampas bahan berunsur lucah
Antara patung bogel yang dirampas.
SHAH ALAM – Patung bogel dan bahan penerbitan lucah antara yang dirampas oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu serbuan di sebuah pusat membeli-belah tersohor di Damansara, kelmarin yang melibatkan jumlah keseluruhan RM14,234.20.

Ketua Unit Penguatkuasa Negeri, Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran, Mohamad Hashim Kamaruddin berkata, sebanyak 150 bahan penerbitan berupa baju, patung, alas tetikus, buku dan poster mempunyai unsur lucah dirampas.

“Kita juga merampas 80 unit barangan seperti beg, baju, topi, seluar, stoking  dan rantai yang mempunyai lambang pakalolo (daun ganja) pada barangan berkenaan.

“Tindakan rampasan ini dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Menurutnya, operasi itu bermula jam 11 pagi hingga 1 petang melibatkan sembilan pegawai dan anggota penguat kuasa serta polis dari Balai Damansara.

“Kita telah serbu tiga premis dan dapati premis itu menjual bahan-bahan tidak bermoral yang dikenakan perintah larangan mengikut Seksyen 8 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (1984).
“Serbuan ini bertujuan untuk membanteras pengedaran dan penjualan bahan penerbitan berunsur lucah serta memaparkan lambang dadah yang boleh merosakkan minda masyarakat,” jelasnya.

Katanya, hasil pemeriksaan juga mendapati kebanyakan barangan itu dibawa masuk dari negara luar dan dicetak di sini.

“Saya tidak menolak kemungkinan patung lucah itu dibawa masuk dari Jepun.

“Saya yakin penjualan bahan berkenaan disasar kepada golongan remaja dan percaya ia mempunyai pelanggan tersendiri,” katanya.

Menurutnya, premis itu pernah diserbu sebelum ini, namun ia masih beroperasi.