Wajah kapten pesawat itu, Patrick Sondheimer didedahkan semasa satu pameran peringatan potret krew penerbangan Germanwings yang terkoban dalam nahas itu di ibu pejabat syarikat berkenaan di Cologne.
Ironinya, gambar Sondheimer diletakkan bersebelahan dengan gambar pembantu juruterbang, Andreas Lubitz yang sengaja menyebabkan pesawat itu terjunam sehingga terhempas dan mengorbankan kesemua 150 penumpang dan anak kapal pesawat berkenaan, lapor Mail Online.
Dengan mata yang fokus memandang kamera dan wajah memandang ke hadapan, gambar itu merupakan satu-satunya gambar Sondheimer yang pernah dilihat sejak nahas tersebut berlaku pada 24 Mac lalu.
Lubitz didakwa sengaja membiarkan pesawat yang dalam penerbangan dari Barcelona ke Dusseldorf itu terjunam selepas secara berhati-hati merancang serangan itu menggunakan nama samaran, ‘Skydevil’, dedah akhbar Jerman, Bild.
Ketika pesawat itu sedang menjunam, Sondheimer, 36, bapa kepada dua orang anak bertungkus-lumus cuba menyelamatkan nyawa kesemua penumpang dan anak kapal selepas terkunci dari luar kokpit ketika pergi ke tandas.
Sondheimer menghabiskan masa lebih lima minit bagi memecahkan pintu itu termasuk menggunakan sebilah kapak, namun usa­hanya gagal.
Menerusi perakam suara pe­nerbangan daripada kotak hitam pesawat berkenaan, Sondheimer boleh kendengaran menjerit: ‘Buka pintu ini’ beberapa saat sebelum pesawat itu terhempas.
Sementara itu difahamkan, pameran peringatan kakitangan Germanwings yang terkorban dalam nahas itu didedahkan sebelum laporan yang menyatakan Lubitz sengaja menjunamkan pesawat itu.
Selain gambar Sondheimer dan Lubitz, pameran itu turut menunjukkan empat lagi gambar potret krew penerbangan tersebut yang masing-masing dilihat sedang tersenyum.