BACHOK 2 April – Polis daerah ini sedang memburu 11 ahli geng curi kenderaan yang dipercayai bergiat aktif di sekitar bandar ini.
Ini ekoran penahan dua lelaki yang cuba mencuri sebuah kereta di Kampung Kuin Pasir, Jelawat dekat sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, tindakan dua suspek yang berusia 21 dan 31 tahun terbabit untuk menghidupkan enjin kereta jenis Perodua Kancil telah mengejutkan pemilik kenderaan tersebut.
Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Abdul Hamid Che Ahmad berkata, pemilik kereta tersebut telah menghubungi adiknya untuk mendapatkan bantuan penduduk kampung dan polis untuk memberkas kedua-dua suspek.
Beliau berkata, suspek akhirnya berjaya diberkas dan siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki itu terlibat dalam beberapa kes curi kenderaan di sekitar daerah ini.
Susulan itu katanya, pihak polis menahan dua pelajar berusia 16 dan 19 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek kemudian merampas beberapa barangan yang dipercayai dicuri.
“Hasil penahanan ini kita percaya ada 11 lagi ahli geng curi kenderaan di daerah ini dan usaha untuk memburu mereka sedang giat dijalankan.
“Kesemua yang ditangkap ditahan reman mulai hari ini untuk siasatan lanjut," katanya.
Sementara itu, Abdul Hamid berkata, secara keseluruhannya, cawangan siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok berjaya meningkatkan usaha membanteras kegiatan curi kenderaan daripada terus berleluasa.
“Kejayaan ini berdasarkan jumlah kes curi kenderaan yang dapat diselesaikan. Pada tahun 2014 sebanyak 198 kes kehilangan kenderaan dilaporkan berlaku dengan tangkapan sebanyak 39 orang dan berjaya menyelesaikan sebanyak 72 kes.
“Manakala bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini seramai 10 suspek ditangkap hasil laporan kehilangan kenderaan sebanyak 55 kes dan berjaya menyelesaikan 18 kes dalam tempoh yang singkat,” katanya.