Search This Blog

Wednesday, April 1, 2015

Empat bulan untuk cam mayat mangsa


Montabaur (Jerman): Keluarga mangsa nahas pesawat Germanwings terpaksa menunggu sehingga empat bulan sebelum semua mayat dapat dikenalpasti.
Pengarah Institut Penyelidikan Jenayah Perancis Francois Daoust berkata, pengecaman DNA mangsa akan mengambil masa dua hingga empat bulan.
“Tertakluk kepada jumlah bahagian mayat yang ditemui, tempoh antara dua hingga empat bulan diperlukan sebelum mereka boleh dicam..
“Lebih baik kami bekerja mengikut rentak sains daripada bertindak terburu-buru dan akhirnya tersilap mengenal mangsa,” katanya.
Bercakap kepada akhbar Jerman, Bild, Daoust bagaimanapun berkata, dia tidak dapat berjanji akan dapat mengecam semua mangsa.
Dalam pada itu, pendakwa raya Jerman berkata Andreas Lubitz, 27, yang didakwa sengaja menghempaskan pesawat yang dipandunya di Alps Perancis menjalani rawatan kerana kerana kecenderungan untuk membunuh diri sebelum dia memperoleh lesen juruterbang.
Dia dirawat pakar sakit jiwa, kata jurucakap pejabat pendakwa raya Duesseldorf Christoph Kumpa. - AFP
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/40647#sthash.ukIo9bXR.dpuf

Polis mabuk dengan banduan ditahan


Mumbai: Dua anggota polis digantung tugas selepas membawa keluar dua banduan dari penjara dan minum arak bersama mereka.
Kedua-dua polis itu dilapor menghabiskan masa tujuh jam bersama-sama banduan berkenaan di sebuah bar di Mumbai bulan lalu.
Timbalan Pesuruhjaya Polis S Jaykumar berkata, mereka menandatangani surat kebenaran membawa banduan terbabit dengan alasan mahu menyiasat.
Sebaliknya, banduan itu dibawa ke sebuah bar.
“Perbuatan mereka terbongkar selepas kami membaca catatan dalam diari balai terbabit,” kata Jaykumar.
Katanya, siasatan sudah dijalankan dan tindakan susulan akan dilakukan berdasarkan siasatan itu.
Ini kali kedua dalam tempoh beberapa minggu polis India ditangkap kerana berbaik dengan banduan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/40643#sthash.oV9CBHQC.dpuf

Perompak tua patah kaki


Tokyo: Seorang perompak bersenjata berusia 60-an patah kaki ketika cuba merompak sebuah kedai runcit dan kemudian menggunakan telefon kedai terbabit untuk menghubungi ambulans.
Dia patah kaki akibat bergelut dengan kerani kedai yang berusia 35 tahun selepas mengancam mangsa dengan pisau di Chiba, timur Tokyo, kelmarin.
Menurut laporan akhbar China Nippo, lelaki itu terjatuh dan patah kaki ketika bergelut sebelum dia keluar dari kedai dalam keadaan terhincut-hincut, lapor akhbar itu.
Kerana kesakitan dan tidak boleh bergerak lebih jauh, lelaki yang namanya tidak didedahkan, kembali sejam kemudian dan menggunakan telefon berbayar di kedai berkenaan untuk memanggil ambulans.
Polis merancang menangkap lelaki itu sebaik dia dibenarkan keluar dari hospital. - AFP
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/40646#sthash.auKYezgY.dpuf

Mati dihempap batu nisan ibu mentua


Pennsylvania: Seorang lelaki yang membantu menghiasi pusara ibu mentuanya menjelang sambutan Easter mati apabila dihempap batu nisan ibu mentuanya itu.
Penjaga Tanah Perkuburan Katolik St Joseph di bandar Throop, timur Pennsylvania, Edward Kubilas berkata, kejadian yang menimpa Stephen Woytack, 74, berlaku secara tiba-tiba.
Menurutnya, Woytack melutut membersihkan kubur berkenaan sementara isterinya mengikat salib bertentangan dengannya.
“Batu nisan itu tiba-tiba rebah dan menghempap Woytack.
“Isterinya datang mendapatkan saya. Apabila tiba, di pusara itu, saya melihat Woytack dalam keadaan yang agak teruk. Saya cuba mengalihkan batu nisan itu, tetapi tidak terdaya,” kata Kubilas.
Polis dan ambulans tiba tidak lama kemudian dan membantu mengangkat batu nisan berkenaan. Tetapi keadaan sudah terlambat untuk menyelamatkan mangsa. - Agensi
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/40641#sthash.WkHzTDyM.dpuf

10 tahanan penjara larikan diri


Jakarta: Seramai 10 tahanan berjaya melarikan diri dari sebuah penjara Badan Narkotik Nasional (BNN) awal pagi semalam selepas menebuk tembok dan membengkokkan jeriji besi.
Semua tahanan berkenaan melarikan diri dari Pusat Pengawasan Tahanan, Barang Bukti dan Aset BNN melalui jalan belakang.
Kompas.com, melaporkan tahanan itu menebuk lubang sebesar 40 sentimeter di dinding di sel tahanan mereka.
Mereka juga menebuk lubang di satu tembok penjara dan memotong jeriji besi untuk melarikan diri.
Tahanan berkenaan dipercayai melarikan diri melalui belakang penjara yang terletak bersebelahan sebuah hospital sakit mental.
Seorang pegawai BNN, Slamet Pribadi mengesahkan kejadian itu.
“Benar ada 10 tahanan yang melarikan diri.
“Kesemua mereka berasal dari Aceh dan ditahan atas kesalahan dadah,” katanya. - Agensi
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/40655#sthash.DdnKo5l7.dpuf

Bunuh diri tiada wang bertunang


Pematangsiantar (Indonesia): Seorang pemuda di sini bertindak membunuh diri selepas terlalu kecewa kerana tidak mempunyai wang untuk melangsungkan pertunangan dengan kekasihnya.
Sawaludin Siregar, 26, dijumpai mati pada pagi semalam di dalam bilik air di rumahnya di Kecamatan Siantar Martoba, di sini.
Sawaludin ditemui dalam keadaan terduduk dengan pergelangan tangan kirinya dikelar di dalam bilik air oleh ibunya sendiri.
Ibu mangsa sebelum itu berasa hairan selepas mendapati ada darah mengalir di bawah pintu bilik air yang terkunci ketika mahu mengambil air sembahyang.
Wanita berkenaan kemudian bertindak memecahkan pintu bilik air dan terkejut mendapati anaknya sudah tidak bernyawa.
Polis berkata, mangsa mati akibat kehilangan darah yang banyak selepas mengelar pergelangan tangannya dengan pisau lipat. - Agensi
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/40656#sthash.LUKKDHhT.dpuf

Penderaan Seksual, Bekas Pengurus Tegar Ditahan


Diterbitkan: Rabu, 1 April 2015 6:42 PM
Tegar

DIKEMAS KINI

PETALING JAYA: Bekas pengurus penyanyi remaja Tegar Septian iaitu Arif Dollah telah ditahan oleh pihak berkuasa Singapura susulan laporan penderaan seksual yang dilakukan terhadap artis dari Indonesia itu.

Berita Harian Singapura pada Rabu melaporkan, penangkapan itu telah disahkan oleh pihak polis selepas mereka menerima dua laporan dan seorang lelaki berusia 29 tahun telah ditangkap.

Laporan itu menyebut, siasatan terhadap suspek yang juga rakyat Singapura telah dilakukan oleh pihak polis negara itu pada petang Rabu.

Bekas pengurus berkenaan didakwa melakukan penderaan seksual terhadap Tegar, 13, yang popular dengan lagu Aku Yang Dulu Bukan Yang Sekarang sejak menguruskan penyanyi berkenaan.

mStar Default Image
Tegar (kiri) bersama bekas pengurusnya Arif. Gambar: Berita Harian Singapura.

Tegar sebelum ini dilaporkan telah membuat laporan serupa kepada badan yang melindungi hak kanak-kanak di Indoensia.

Dalam pada itu wakil Tegar di Singapura iaitu Ali Majid, 22, yang dihubungi mStar Onlinepada Rabu berkata, remaja itu telah mengadakan sidang media dengan wartawan Singapura pada Rabu bagi menjelaskan isu itu.

Katanya, Tegar telah membuat laporan polis di Cantonment Complex Singapura pada pukul 5 petang Selasa.

Ujarnya, laporan berkenaan lambat dilakukan sedangkan kes berkenaan dikatakan sudah berlaku agak lama kerana pihaknya perlu menguruskan pasport Tegar yang hilang.

"Selepas kejadian berkenaan Tegar tidak lagi mempunyai pengurus dan dia akan ditemani ayah atau ibu serta wakil syarikat rakamannya untuk menjalankan segala aktiviti seni," katanya.

Usaha mStar Online untuk bercakap dengan Tegar gagal kerana kanak-kanak itu sedang tidur ketika panggilan telefon dilakukan.

Terdahulu Tegar dalam satu sidang media di Istana Budaya pada pertengahan Mac lalu mendedahkan selama ini dia berdiam diri terhadap perbuatan buruk pengurusnya itu kerana berasa malu.

Selain itu, Tegar mendakwa Arif pernah menemaninya mandi selain dengan sengaja merapatkan tubuhnya sehingga kemaluannya terkena di bahagian dubur Tegar.

Bagaimanapun, Ariff dalam satu kenyataan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.

Dalam pada itu, Tegar berkata, dia mendapat keberanian untuk bersuara selepas bertemu dengan bekas anak tiri Arif yang dikenali sebagai Sufie Rashid yang turut mendakwa pernah menjadi mangsa suspek.

Tiga Suspek Kes Samun Dan Rompak Ditembak Mati Di Ipoh


Diterbitkan: Selasa, 31 Mac 2015 8:10 PM

IPOH: Polis menembak mati tiga lelaki disyaki terlibat dalam beberapa kes samun dan rompakan dalam kejadian berbalas tembakan di Kampung Simee di sini, Selasa.

Kesemua suspek mati di tempat kejadian yang berlaku kira-kira 3.00 petang.

Difahamkan, ketiga-tiga suspek terlibat dalam kes samun dan rompakan termasuk di Ipoh.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam akaun twitternya berkata: "Syabas STAFOC (Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang) dan CID perak (Jabatan Siasatan Jenayah Perak) @ pdrm baru sahaja tumpaskan tiga penjenayah ganas di Kampung Simee, Ipoh, dua senjata api dirampas.

Dalam pada itu, Ketua Polis Perak Datuk Osman Salleh berkata sidang media berhubung kejayaan itu dijangkakan esok.

Dua Pemandu, Seorang Penumpang Maut Nahas Babitkan Tiga Kenderaan Berat


Diterbitkan: Rabu, 1 April 2015 3:59 PM

MELAKA: Dua pemandu kenderaan berat dan seorang penumpang maut dalam kemalangan melibatkan dua treler dan sebuah lori di KM 221.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Tol Simpang Ampat, Alor Gajah di sini, Rabu.
Pemandu treler Salamat Nawar, 53, pemandu lori Ahmad Pauzi Morad, 47, dan penumpang treler yang dipandu Salamat, warga Indonesia Ferdie Mnune, 26, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa anggota badan dalam kejadian kira-kira 5 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Muhammad Ismail Muhammad Yusuf berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila treler dipandu Salamat membawa bersama anaknya, Zulhairi, 21, dan Ferdie dari arah Kuala Lumpur ke Johor Bahru melanggar belakang sebuah treler yang dipandu Norsuhairi Zuldin, 47.
"Ketika kejadian treler yang dipandu Salamat berada di lorong kiri sebelum melanggar belakang treler yang dipandu Norsuhairi.
"Pada masa sama, treler yang dipandu Salamat pula dilanggar sebuah lori yang dipandu Ahmad Pauzi dari arah belakang menyebabkan ketiga-tiga mangsa yang terlibat meninggal dunia di tempat kejadian kerana kecederaan parah dipercayai akibat tersepit," katanya dihubungi Bernama di sini, Rabu.
Beliau berkata, ketiga-tiga mayat berkenaan dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat, manakala Zulhairi dan Norsuhairi tidak mengalami kecederaan dalam kemalangan itu.
Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah Dzulkarnain Abd Halim berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira 5.22 pagi dan sampai di lokasi kejadian 16 minit kemudian.
Beliau berkata, operasi mengeluarkan semua mangsa mengambil masa kira-kira satu jam disebabkan keadaan kenderaan terperosok dan remuk akibat perlanggaran ketiga-tiga kenderaan berat itu.
"Kita mengambil masa kurang daripada 10 minit untuk mengeluarkan mangsa pertama yang tersepit dalam kenderaan belakang sekali menggunakan peralatan menyelamat yang ada.
"Namun mangsa kedua dan ketiga yang berada dalam kenderaan tengah terpaksa dikeluarkan menggunakan bantuan dua kren besar kerana kenderaan tersebut telah terperosok pada belakang kenderaan pertama dan ketiga yang menyebabkan ia mengambil sedikit masa," katanya.
Beliau berkata operasi tersebut melibatkan dua jentera dan satu unit Perkhidmatan Respons Perubatan Kecemasan (EMRS) dari balai Alor Gajah serta sebuah jentera dari Balai Rembau dan dua unit Motosikal Gerak Cepat (RIM) dari Balai Seremban 2 Negeri Sembilan dengan jumlah kekuatan anggota seramai 24 orang termasuk tiga pegawai. -- Bernama

Tiga Mati Dalam Kejadian Berbalas Tembak Dengan Polis


Diterbitkan: Rabu, 1 April 2015 7:00 PM
Kesan darah jelas kelihatan di dalam kenderaan yang dinaiki penjenayah dalam kejadian berbalas tembakan di Kampung Simee di Ipoh, malam Selasa.

IPOH: Tiga penjenayah yang terlibat dalam beberapa kes samun mati ditembak dalam kejadian berbalas tembak dengan pasukan polis di Jalan Kompleks Sukan, Kampung Simee di sini, Selasa.
Polis turut menemui sepucuk pistol jenis Revolver Smith and Wesson .38 yang berisi tiga peluru dan sepucuk pistol jenis Sport Arms Miami separuh automatik berisi tiga butir peluru jenis 9mm dalam kereta yang dinaiki mereka.
Ketua Polis Perak, Datuk Osman Salleh berkata, turut ditemui tiga bilah parang, tiga topeng muka dan lima telefon bimbit.
Beliau berkata, kesemua suspek dipercayai aktif melakukan jenayah sejak tahun lepas dengan seorang dripadanya yang berusia 21 tahun mempunyai 21 rekod jenayah lampau antaranya samun, cubaan membunuh dan mencederakan orang.
Kejadian berbalas tembak berlaku pada pukul 3.45 petang dengan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak dan JSJ Bukit Aman, katanya.
Osman berkata, pasukan tersebut yang melakukan rondaan Ops Cantas Khas telah  mengesan sebuah kereta yang dinaiki suspek dalam keadaan mencurigakan dan mengarahkan kereta itu supaya berhenti.
"Namun suspek bertindak menghimpit dan melanggar kereta peronda polis sehingga berlaku kejadian berbalas tembakan antara pihak polis dan penjenayah tersebut," katanya.
Beliau berkata, dengan tumpasnya kumpulan itu, pihak polis percaya dapat menyelesaikan 15 kes samun yang berlaku di sekitar Ipoh dan Sungai Siput.-- Bernama

Jenazah Empat Sekeluarga Dikebumikan Satu Liang


Diterbitkan: Rabu, 1 April 2015 10:50 AM

MUAR: Jenazah empat sekeluarga yang terbunuh dalam kemalangan ngeri di Kilometer 138 Jalan Kuantan-Segamat, berhampiran Bandar Muadzam Shah, pagi Selasa dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Beting, Jalan Salleh di sini awal pagi Rabu.
Kesemua jenazah itu disemadikan kira-kira 3 pagi yang turut dihadiri lebih 100 penduduk kampung.
Sebelum itu semua jenazah tiba di rumah ibu bapa Allahyarham Sallyza Hakim Lokma Nulhakim di Kampung Parit Beting kira-kira 1 pagi dengan dua van jenazah dari Hospital Muadzam Shah, Pahang.
Suasana pilu mula dirasai apabila semua jenazah diusung penduduk kampung untuk dibawa ke tanah perkuburan yang hanya terletak kira-kira 300 meter dari rumah keluarga Allahyarham Sallyza Hakim itu.
Penduduk kampung berdiri di tepi jalan sepanjang ke tanah perkuburan untuk memberikan penghormatan terakhir ketika jenazah diusung keluarga dan penduduk kampung.
Dalam nahas 5.30 pagi semalam, empat beranak, Rohaizan Paimon, 38; isterinya, Sallyza Hakim, 32; dan dua anak mereka, Nur Allysha Adrieanna Hakim, 6; serta Muhammad Nur Orfan Danish Hakim, 4; maut di tempat kejadian selepas Proton Waja dipandu Rohaizan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung sebuah lori.
Sementara itu sepupu mangsa yang enggan dikenali berkata, sebelum kejadian, empat beranak itu tiba di sini pada 8 malam untuk menghantar anak ketiga mereka, Nur Irresya Nellydia Hakim Rohaizan, setahun, kepada ibu bapa Sallyza Hakim, sebelum pulang ke Kuantan kurang daripada lima jam kemudian.
"Saya difahamkan, mereka menghantar Irresya Nellydia Hakim untuk dijaga ibu bapa Sallyza Hakim sebagai persediaan awal sebelum sepupu perempuan saya itu melahirkan anak keempat, dua bulan lagi," katanya.
Katanya Sallyza Hakim yang juga jururawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan kini sarat mengandung tujuh bulan manakala suaminya Rohaizan merupakan seorang jurutera di sebuah syarikat perkapalan dan mereka menetap di Kampung Sungai Karang Darat, Kuantan, Pahang.
"Sebelum pulang dari sini kira-kira 12.30 tengah malam, keluarga ada meminta Rohaizan yang berasal dari Kluang, supaya berehat dan pulang selepas subuh bagaimanapun arwah berkeras untuk pulang cepat kerana bertugas," katanya.
"Semua anggota keluarga kami sedih dengan kejadian ini namun reda dengan ketentuan Tuhan. Apa yang penting adalah membesarkan seorang lagi anaknya dengan penuh kasih sayang kerana dia bukan saja tidak sempat melihat adiknya, malah kehilangan ibu, bapa, kakak dan abang," katanya.
Jiran mangsa, Amaludin Rahim, 21, berkata beliau sedih dengan kejadian itu kerana rapat dengan semua mangsa dan menganggap mereka sebagai keluarga sendiri.
"Walaupun kami hanya berjiran, saya membesar bersama mereka dan menganggap Sallyza Hakim sebagai kakak sendiri, malah memanggilnya 'kak long'," katanya yang kali terakhir bertemu keluarga itu Februari lalu.

Penyiasat Temui Rakaman Terakhir Penumpang Germanwings


Diterbitkan: Rabu, 1 April 2015 8:47 AM

PASUKAN penyiasat nahas pesawat Germanwings menemui sebuah telefon bimbit yang mempunyai rakaman detik cemas dan jeritan 150 penumpang serta anak kapal sebelum penerbangan itu terhempas di pergunungan Alps, Perancis.
Rakaman menyayat hati itu ditemui pasukan penyiasat di lokasi nahas minggu lalu, sekaligus mendedahkan babak terakhir mangsa sebelum semuanya terkorban.
Rakaman panjang itu dilapor merekodkan suasana cemas sehingga ke saat akhir sebelum pesawat tersebut berkecai.
Menurut dua wakil akhbar Eropah yang dibenarkan menonton video berkenaan mendedahkan, suasana kabin cemas dan penumpang mula menjerit serta memohon kepada tuhan semoga diselamatkan.
Turut kedengaran bunyi juruterbang pesawat berkenaan berusaha memecahkan pintu kokpit yang telah dikunci oleh pembantunya, Andreas Lubitz - suspek yang bertanggungjawab dalam nahas berkenaan.

Germanwings: Kapten Pecah Pintu Kokpit Guna Tuil Besi, Lubitz Pakai Topeng Oksigen


Diterbitkan: Rabu, 1 April 2015 8:18 AM

KAPTEN juruterbang yang terbabit dalam nahas Germanwings pada Selasa minggu lalu sempat menjerit "bukakan pintu ini" dan cuba membuka pintu kokpit menggunakan sebatang tuil besi yang diletakkan di bahagian pesawat itu, menurut laporan baharu.
Media Jerman sebelum ini melaporkan ketua juruterbang Patrick Sondenheimer cuba memecah pintu kokpit menggunakan kapak.
Portal berita Mirror Online melaporkan bahawa semasa Sondenheimer cuba untuk memecah pintu kokpit, pembantu jurterbangnya Andreas Lubitz telah memakai topeng oksigen dan berada dalam keadaan tenang 'membawa' pesawat Airbus A20 itu ke pergunungan Alps di Perancis.
Pendedahan butiran baharu itu menunjukkan perkara yang sebenarnya berlaku di dalam pesawat, yang diterbitkan oleh majalah Perancis, ParisMatch yang mendakwa telah mendapat penerangan penuh berdasarkan perakam data penerbangan daripada seorang penyiasat.
Butiran baharu itu turut mendakwa terdapat sebuah klip video yang mendedahkan saat terakhir selepas pesawat Germanwings terhempas.
Menurut akhbar Jerman, Bild, kualiti rakaman itu terlalu kabur dan tiada individu yang dapat dikenal pasti, tetapi ia sedang diperiksa sebagai antara petunjuk kepada bahan bukti oleh pasukan penyiasat.
Jeritan para penumpang dapat dilihat, termasuk beberapa jeritan menyebut "Tuhanku" dalam beberapa bahasa.
Penemuan baharu ini dapat menyokong laporan bahawa Kapten Sondenheimer terkunci di luar kokpit cuba memecah masuk dengan menggunakan objek berat apabila pesawat itu mahu dihempaskan ke pergunungan Alps.
Pembantu juruterbang, Andreas Lubitz yang dipercayai menghempaskan pesawat Germanwings menyebabkan kesemua 150 penumpang dan anak kapal terkorban. 

Pesawat EasyJet Mendarat Cemas, Penumpang Amuk Kerana Sandwich


Diterbitkan: Rabu, 1 April 2015 8:51 AM
  (Ubah saiz teks)
SEBUAH pesawat EasyJet membuat pendaratan cemas selepas seorang penumpang bertindak menumbuk pramugari kerana berang menunggu lama bagi mendapatkan hidangan sandwichnya.
Portal berita DailyMail melaporkan bahawa seorang saksi berkata, penumpang berkenaan menjerit: "Saya telah menunggu berjam-jam. Saya lapar." dan kemudiannya menyerang kru kabin itu.
Insiden tersebut berlaku dalam penerbangan EasyJet dari Geneva ke Pristina di Kosovo pada petang Selasa (waktu Malaysia).
Seorang saksi yang duduk berhampiran lelaki berang itu, berkata: "Dia menjerit kepada pramugari, kemudiannya berdiri dan menumbuk pramugari itu.
"Pramugari itu kemudiannya terjatuh ke lantai dan lelaki itu terus memukulnya."
Beberapa penumpang bertindak menahan lelaki amuk itu, manakala juruterbang terpaksa melencongkan penerbangannya ke lapangan terbang Fumincino di Rom, Itali atas sebab keselamatan.
Pramugari itu kemudiannya memberitahu akhbar Switzerland, 20 Minutes: "Saya benar-benar terkejut. Saya tidak faham bagaimana seseorang itu boleh bertindak seganas itu hanya kerana hidangan sandwich.
Syarikat penerbangan EasyJet mengesahkan insiden serangan itu dan berkata, kru kabinnya mengalami kecederaan dan cermin matanya turut pecah.
EasyJet berkata, seramai 180 penumpang itu kemudiannya dibawa ke Pristina menggunakan pesawat yang lain pada sebelah petang (malam waktu Malaysia). - DailyMail

Rakaman akhir pesawat Germanwings tersebar


Rakaman akhir pesawat Germanwings tersebar
Pesawat Germanwings merempuh banjaran pergunungan Alps di Perancis pada 24 Mac lalu.
PARIS - PERANCIS. Sebuah video yang diambil oleh penumpang dalam kabin pesawat Germanwings sejurus selepas terhempas minggu lalu dilaporkan tersebar.

Majalah Perancis, Paris Match melaporkan rakaman itu dijumpai dalam memori telefon salah seorang penumpang.

Dalam rakaman itu, menunjukkan penumpang menjerit dan menyebut "my god" dalam beberapa bahasa dan kedengaran bunyi ketukan logam kemungkinan cubaan kapten untuk membuka pintu kokpit.

Menurut laporan yang dipetik The Indipendent, jeritan penumpang makin kuat selepas pesawat bergegar.

Majalah tersebut juga memberitahu, rakaman tersebut ditemui bersama bangkai pesawat oleh individu yang menyertai misi menyelamat tersebut.

Walau bagaimanapun, Leftenan Kolenel Jean-Marc Menichini yang terlibat dalam operasi menyelamat menafikan bahawa tiada apa-apa rakaman telefeon yang dijumpai di lokasi kejadian.

Rakaman tersebut tersebar selepas Lufthansa berkata, pembantu juruterbang Andreas Lubitz, pembantu juruterbang tersebut melalui tempoh kemurungan yang teruk semasa menjalani latihan di sekolah penerbangan.

Dalam kejadian pada 24 Mac itu, pesawat Germanwings tersebut telah merempuh banjaran pergunungan Alps di Perancis dalam perjalanan dari Barcelona ke Dusseldorf membunuh kesemua 150 penumpang dan kru.

Sorok mayat dalam peti sejuk


Sorok mayat dalam peti sejuk
Pasukan penyiasat tiba di rumah suspek, Gambat kecil, Mitchelle Blair.
SEORANG ibu di Detroit, Amerika Syarikat mengaku membunuh dua anaknya dan menyembunyikan mayat mereka di dalam sebuah peti sejuk.

Mitchelle Blair, 35, didakwa membunuh Stephen Gaga Berry, 9 dan Stoni Ann Blair, 13 selepas melakukan penderaan ke atas mangsa selama beberapa minggu.

Rahsia kekejaman wanita itu terbongkar selepas petugas sosial melakukan pemeriksaan di kediamannya, baru-baru ini.
Ketika disoal siasat, Mitchelle mengaku membunuh anak lelakinya yang berusia 9 tahun pada 2012 dan kemudian membunuh anak perempuannya Stoni Ann tahun lalu.

Susulan daripada itu, Mitchelle didakwa dengan lima tuduhan penderaan termasuk membunuh dan mungkin dakwaan ke atasnya bertambah.

Menerusi laporan ABC News, anak perempuannya yang berusia 17 tahun memberitahu penyiasat bahawa ibunya membungkus Stephen selepas mangsa tidak sedarkan diri.

Dia juga mendakwa dipaksa ibunya untuk menyembunyikan mayat Stoni Ann di dalam peti sejuk.

Polis berkata, dua anak Mitchelle berusia 17 dan 8 tahun kini di bawah jagaan pihak berkuasa. - Mirror

Suami isteri mengaku miliki rokok haram

Kuala Terengganu: Suami isteri mengaku salah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan memiliki sebanyak 1,490 paket rokok kretek dan putih pelbagai jenama bernilai RM1, 704.
Rozi Mohd Noor, 44, dan isterinya, Siti Esah Sidek, 40, dari Kampung Tebakang, Bukit Payong, Marang membuat pengakuan bersalah ketika pertuduhan mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 135 (1) (iii) (aa) akta yang sama dibacakan di hadapan Majistret Rabiatul Adawiyyah Che Khalid.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa memiliki barang-barang larangan iaitu 1,490 paket rokok pelbagai jenama yang belum diluluskan Kastam yang ditaksirkan bernilai RM1,704 dengan mengangkutnya menggunakan kereta.
Pasangan suami isteri itu didakwa melakukan kesalahan itu di tepi jalan, Jalan Hassan Hussin, Taman Safiah Murni, Bukit Payong, Marang, 12.10 tengah malam pada 27 Mac lalu.
Sejurus pengakuan bersalah mereka direkodkan, Rabiatul Adawiyyah menetapkan 5 April depan sebagai tarikh sebutan kes di Mahkamah Majistret Marang dan membenarkan mereka diikat jamin RM8,000 setiap seorang.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia Terengganu Mohd Zaizul Azli Mohamed Zain.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2015 @ 3:51 PM


TERTUDUH dihadapkan atas tuduhan memiliki pelbagai jenama rokok haram. FOTO Syahirah Abdullah
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/40570#sthash.EsBGke9m.dpuf

Denggi meningkat 32,535 kes dalam tiga bulan


Kuala Lumpur: Demam denggi meningkat kepada 32,535 kes di seluruh negara daripada Januari hingga 29 Mac tahun ini berbanding 23,633 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, ia menunjukkan peningkatan 37.7 peratus atau 8,902 kes.
Beliau berkata, negeri Selangor menyumbang 59 peratus daripada kes denggi di seluruh negara dengan mencatatkan 19,162 kes bagi tempoh yang sama dengan 52 kematian.
“Sebanyak 101 kematian dilaporkan berbanding 59 kematian dalam tempoh yang sama pada tahun 2014, iaitu peningkatan sebanyak 71.2 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Kebangsaan Mengenai Denggi di bangunan sementara Parlimen, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, tindakan bersepadu melalui kerjasama tujuh kementerian termasuk kerajaan negeri telah diaktifkan semula bagi mengatasi masalah itu.
Katanya penubuhan Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Denggi Peringkat Negeri di setiap negeri bagi menyelaras aktiviti pencegahan dan kawalan denggi secara bersepadu dengan jabatan dan agensi berkaitan adalah antara enam tindakan yang telah dilaksanakan dan membawa hasil positif.
Selain itu, katanya, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengeluarkan Pelan Tindakan bagi memastikan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mempunyai lokaliti tompokan panas melakukan penambahbaikan aspek kutipan sampah domestik dan pukal mengikut jadual.
Beliau berkata, PBT juga perlu memastikan tapak pelupusan sampah, tanah kosong dan taman-taman awam tidak menjadi tempat pembiakan Aedes.
“Kementerian Komunikasi dan Multimedia meningkatkan aktiviti penerangan dan promosi bagi menanam sikap tanggungjawab awam dan memperbetulkan pemahaman serta salah tanggapan masyarakat bahawa tanggungjawab mengawal denggi adalah tanggungjawab kerajaan semata-mata,” katanya.
Muhyiddin berkata, Kementerian Pendidikan juga melipatgandakan usaha bagi meningkatkan pengetahuan pelajar sekolah mengenai denggi melalui penyampaian mesej denggi semasa perhimpunan pagi serta meningkatkan peranan pelajar sebagai ejen perubahan dengan melaksanakan aktiviti ‘cari dan musnah’ tempat-tempat pembiakan Aedes bersama anggota keluarga di rumah.
Beliau berkata Kementerian Dalam Negeri menyelaras dan menggerakkan pasukan beruniform seperti Polis, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dalam membantu pelaksanaan aktiviti pencegahan dan kawalan denggi.
Katanya penguatkuasaan Ops Gempur Tapak Binaan dilaksanakan Kementerian Kesihatan di samping menjalankan pendakwaan kes di mahkamah.
“Hasil aktiviti Ops Gempur dari 10 Feb hingga 14 Mac tahun ini mendapati sebanyak 95 daripada 111 tapak binaan yang diperiksa mempunyai pembiakan nyamuk Aedes dan kesemua pesalah akan didakwa di mahkamah. Sebanyak 80 tapak binaan telah diberi perintah penutupan,” katanya.
Selain itu, katanya, Kementerian Kesihatan turut menjalankan aktiviti kawalan kaedah baharu iaitu ‘Outdoor Residual Spray’ (ORS) melibatkan 103 kawasan tompokan panas sejak 11 Feb lalu di daerah Petaling, Hulu Langat, Gombak dan Klang.
Muhyiddin berkata, Kementerian Kesihatan juga melaksanakan aktiviti promosi kesihatan melalui penglibatan aktiviti masyarakat secara besar-besaran dan menggunakan media sosial bagi tujuan itu.
Beliau berkata, kementerian itu juga meningkatkan kerjasama dengan syarikat swasta melalui program tanggungjawab sosial korporat dalam melaksanakan aktiviti pencegahan denggi melibatkan pelajar.
“Walaupun kes denggi telah menunjukkan trend penurunan pada masa ini dengan anggaran 2,000 kes seminggu, satu mekanisme atau strategi pencegahan yang lebih efektif perlu dilaksanakan agar momentum pengurangan kes denggi ini dapat dikekalkan,” katanya.
Beliau berkata tindakan pencegahan dan kawalan denggi hendaklah dijalankan secara berterusan oleh semua pihak termasuk komitmen semua lapisan masyarakat dan pihak berkaitan adalah amat penting bagi menjayakan usaha mengurangkan kes dan kematian akibat demam denggi.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/40577#sthash.yvOEEpwJ.dpuf

Sangkut celah batu

Kajang: Mayat seorang lelaki berusia lingkungan 30-an dijumpai tersangkut di celah batu di sungai berdekatan simpang Sungai Long, Bandar Mahkota Cheras di sini, malam Jumaat lalu.
Mayat yang hampir reput itu dijumpai jam 8.40 malam dalam keadaan terlentang dengan muka sudah hampir menjadi tengkorak oleh orang awam sebelum memaklumkan kejadian itu kepada polis.
Anggota polis kemudiannya meminta bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Kajang sebelum mayat berjaya dibawa naik dari sungai berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab yang mengesahkan kejadian itu berkata, hasil pemeriksaan forensik di lokasi kejadian tidak dapat mengesan kesan kecederaan pada mangsa berikutan mayatnya hampir reput.
“Mayat kemudiannya dibawa ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat. Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan hentakan di kepalanya,” katanya.
Beliau berkata, polis percaya mangsa adalah warga asing berikutan tiada kesan suntikan BCG pada lengannya.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2015 @ 7:23 AM


ANGGOTA bomba membawa naik mayat mangsa yang dipercayai dibunuh di kawasan simpang Sungai Long, Bandar Mahkota Cheras.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/40373#sthash.SDcz798E.dpuf

9 mati minum arak ubat nyamuk


Jakarta: Sembilan orang mati di bandar Prabumulih di Sumatera selepas meminum arak tercemar yang dicampur dengan ubat nyamuk, kata polis semalam.
Kematian itu kejadian terbaru berkait dengan arak tercemar di Indonesia.
Jurucakap polis Djarod Padakova berkata, semua mangsa membeli arak di tepi jalan di Prabumulih pada Khamis lalu dan dimasukkan ke hospital selepas mengadu sakit.
“Mangsa pertama meninggal dunia pada Jumaat dan korban kesembilan mati pada Ahad lalu,” katanya yang memberitahu mangsa ke-10 terselamat.
Djarod berkata, arak itu dicampur dengan ubat nyamuk dan minuman tenaga.
Laporan media memberitahu bahawa arak berkenaan dihasilkan secara haram.
Pada tahun lalu, seramai 16 orang mati selepas mengambil arak yang tercemar ketika menyambut tahun baru di Jawa.
Penduduk bukan beragama Islam di Indonesia sering memilih untuk mengambil arak yang dibuat secara haram kerana harganya yang murah berbanding minuman keras yang dihasilkan syarikat berlesen. - AFP
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/40471#sthash.1m72j9mL.dpuf

Ugut letup diri guna mercun

Hanzhong (China): Kerana terdesak untuk memenangi semula cinta bekas teman wanitanya seorang lelaki di sini sanggup membalut badannya dengan mercun dan mengancam untuk meletupkan dirinya sendiri.
Akhbar Huashang Daily melaporkan, lelaki berusia 30-an itu datang ke rumah keluarga kekasihnya pada 23 Mac lalu dan mendesak untuk berjumpa dengan wanita itu.
Bagaimanapun, ibu wanita itu telah menghubungi polis kerana melihat lelaki berkenaan seperti menyembunyikan ‘bahan letupan’ dalam bajunya.
Pihak polis yang menahan lelaki itu kemudiannya mendapati ‘bahan letupan’ itu sebenarnya mercun yang dibalut di badannya.
Ketika ditahan lelaki itu didapati menangis teresak-esak. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2015 @ 10:13 AM


LELAKI berkenaan ditahan ketika cuba meletupkan dirinya dengan mercun.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/40480#sthash.xSjQuYuk.dpuf

Empat sekeluarga maut nahas



Keadaan kereta Proton Waja dinaiki empat sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Kilometer 138.9, Jalan Kuantan-Segamat semalam.


ROMPIN – Seorang bapa sama sekali tidak menyangka kepula­ngan anak perempuan sulungnya, Sallyza Hakim ke kampung halaman di Muar, Johor malam kelmarin merupakan perjumpaan mereka buat kali terakhir.
Lokma Nulhakim Abdul Hamid, 62, berkata, dia hanya sempat menghabiskan masa kira-kira empat jam bersama Sallyza Hakim, menantu dan dua cucu kesaya­ngannya sebelum mereka sekeluarga bertolak pulang ke Kuantan demi memenuhi tuntutan kerja.
Malangnya, empat sekeluarga itu maut selepas kereta jenis Proton Waja yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori dalam kemalangan di Kilometer 138.9, Jalan Kuantan-Segamat dekat Cenderawasih di sini awal pagi semalam.
Nahas yang berlaku pada pukul 5.35 pagi itu mengakibatkan Sallyza Hakim, 32, dan suaminya, Rohaizan Paimon, 38, serta dua anak mereka, Nur Allysha Adrieanna Hakim, 6, dan Muhammad Nur Orfan Danish, 4, meninggal dunia di tempat kejadian.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0401&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz3W0dcgd2L 
Hakcipta terpelihara 

Tiga penjenayah ditembak mati



Anggota polis sedang melakukan pemeriksaan di lokasi tiga penjenayah mati ditembak di Kampung Simee, Ipoh semalam.


IPOH – Polis menembak mati tiga penjenayah paling dikehendaki dalam kejadian berbalas tembakan di Kampung Simee di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 3 petang itu, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 20-an yang disyaki terlibat dalam beberapa kes samun dan rompakan di sekitar Ipoh mati di tempat kejadian.
Menurut sumber, kejadian bermula apabila kesemua suspek yang menaiki sebuah kereta jenis Honda Accord melarikan diri apabila menyedari sepasukan polis mengekori mereka.
Katanya, kereta suspek kemudian menghimpit kenderaan polis yang mengarahkan mereka supaya berhenti.
“Selepas kereta suspek berjaya dihalang, penjenayah dipercayai telah melepaskan tembakan ke arah pihak berkuasa dan berlaku adegan berbalas tembakan.
“Kejadian itu telah mengakibatkan ketiga-tiga penjenayah terbabit maut akibat terkena tembakan,” katanya di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0401&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz3W0dMoKq7 
Hakcipta terpelihara 

Balasan bunuh 2 pelajar Britain



Anggota polis mengiringi Mohd. Zulkipli yang dihukum gantung sampai mati setelah didapati bersalah membunuh dua pelajar Britain oleh Mahkamah Tinggi Kuching semalam.


KUCHING – Perbuatan kejam seorang penjual ikan menikam hingga mati dua pelajar perubatan warga Britain dalam satu pergaduhan Ogos lalu mendapat pembalasan setimpal apabila dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Tertuduh, Mohd. Zulkipli Abdullah, 24, dijatuhi hukuman berkenaan selepas didapati bersalah membunuh Aidan Brunger, 23, dan Neil Gareth Dalton, 22, di Jalan Abell di sini antara pukul 4.10 pagi hingga pukul 4.15 pagi pada 6 Ogos lalu.
Mohd. Zulkipli menghadapi dua pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan
Hakim Chew Soo Ho dalam penghakimannya berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan dakwaan tanpa keraguan munasabah sementara pembelaan tertuduh sering tidak konsisten dan tidak boleh dipercayai.
Menurutnya, berdasarkan keterangan yang dikemukakan, beliau yakin tertuduh secara bersendirian menyerang kedua-dua mangsa walaupun dia berada di tempat kejadian bersama tiga lagi rakan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0401&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz3W0cqfJKy 
Hakcipta terpelihara 

Dua wanita Laos tak sempat raih hasil lacur



INIlah dua wanita yang mendakwa dari Laos ditahan polis kerana terlibat dalam aktiviti pelacuran di Jalan Bukit Baru, Melaka kelmarin.


MELAKA – Hasrat dua wanita warga Laos meraih pendapatan mudah dengan melacurkan diri tidak kesampaian apabila kedua-duanya dicekup polis dalam satu serbuan Ops Noda di sebuah hotel di Jalan Bukit Baru di sini kelmarin.
Dalam serbuan kira-kira pukul 7 malam yang dilakukan oleh sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka diketuai Inspektor Hafiz Hodari itu, kedua-dua pelacur berusia 20 dan 22 tahun tersebut dicekup semasa berada di bilik masing-masing di tingkat bawah hotel berkenaan.
Sumber polis memberitahu, semasa serbuan, salah seorang mereka yang berusia 20 tahun baru selesai melayan pelanggannya yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun.
“Siasatan awal mendapati pelanggan itu mengaku melanggan wanita Laos terbabit dengan bayaran sebanyak RM160 dan semasa diserbu pelanggan itu baru hendak pulang,” kata sumber polis itu ketika ditemui di lokasi kelmarin.
Menurutnya, seorang lagi pelacur yang berusia 22 tahun pula dicekup ketika sedang menunggu pelanggan dan dipercayai turut mengenakan bayaran yang sama untuk sekali perkhidmatan seks.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0401&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz3W0cA5ulo 
Hakcipta terpelihara 

Mati kemalangan kerana berpandukan GPS





CHICAGO, Amerika Syarikat – Seorang wanita terbunuh dalam satu kemalangan di sini apabila kereta yang dipandu suaminya berdasarkan panduan daripada sistem penentu kedudukan global (GPS) terjunam dari jambatan yang ditutup pada Sabtu lalu.
Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi di persimpangan Jalan Riley menuju arah selatan Cline Avenue yang telah ditutup kepada pengguna sejak 2009.
Zohra Hussain, 51, meninggal dunia apabila kereta yang dinaiki terbakar selepas terjunam dari jambatan itu pada ketinggian 12.2 meter.
Bagaimanapun, suami mangsa, Iftikhar Hussain, 64, terselamat apabila berjaya keluar dari kereta sebelum terbakar.
Jurucakap Jabatan Syerif Daerah Lake, Patricia Van Til memberitahu, jalan tersebut telah ditandakan dengan pelbagai tanda halangan jalan termasuk tong dan kon berwarna oren, tanda kayu tertulis ‘jalan tutup’ dengan jalur oren dan halangan konkrit di seberang jalan.
“Penyiasat mengesyaki mangsa memandu kereta jenis Nissan Sentra itu berpandukan GPS apabila dia telah melanggar beberapa sekatan jalan raya ketika menuju arah ke jambatan itu,” tambahnya. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0401&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3W0bRMh00 
Hakcipta terpelihara