Search This Blog

Monday, March 30, 2015

Dua pemain ski terbunuh runtuhan salji di Switzerland

GENEVA: Dua pemain ski dari Jerman dan Britain terbunuh akibat runtuhan salji, lapor polis negara itu semalam.
Runtuhan pertama berlaku pada Jumaat di gunung Pigne d'Arolla menyebabkan tujuh kumpulan terkandas, termasuk seorang lelaki berusia 60 tahun, kata Polis di Barat Daya Valais dalam satu kenyataan.
Tiga anggota yang lain dalam kumpulan itu, terdiri daripada lima pemain ski dan dua pemandu, cedera.
Semua yang terkandas kecuali seorang dapat menggali sendiri keluar dari bawah runtuhan salji untuk meminta bantuan daripada Jerman.
Dia diterbangkan ke hospital bagaimanapun meninggal dunia tidak lama kemudian.
Dalam kejadian kedua semalam di Gunung Velan di Valais, dua bersaudara warga Britain berusia 30 dan 31 sedang menuruni bukit apabila adiknya terperangkap dalam runtuhan salji.
Penyelamat dapat sampai ke tempat nahas tidak lama kemudian tetapi mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian. - AFP

Gempa kuat dekat Papua New Guinea, amaran tsunami dikeluarkan

SYDNEY: Gempa bumi kuat 7.7 magnitud berlaku di luar pesisir Papua New Guinea dan amaran tsunami dikeluarkan sejurus itu.
Menurut Kajian Geologikal Amerika Syarikat (USGS), pusat gempa ialah pada kedalaman 33 kilometer berhampiran bandar Rabaul di timur laut Papua New Guinea.
Pusat Amaran Tsunami Pasifik di Hawaii menyatakan "ombak tsunami yang merbahaya mungkin melanda pantai yang terletak dalam lingkungan 1,000 kilometer dari pusat gempa di sepanjang pantai Papua New Guinea dan Kepulauan Solomon."
Bagaimanapun, menurutnya, tiada tsunami besar di seluruh Pasifik dijangkakan.

Juruterbang Germanwings pernah kata semua orang akan tahu namanya


ANDREAS Lubitz ketika menyertai maraton di Hamburg, Jerman pada 13 September 2009. - Foto AP
DUESSELDORF, Jerman: Pembantu juruterbang Germanwings sebelum ini selalu meluahkan kebimbangan keadaan kesihatan akan menjejaskan cita-citanya dalam industri penerbangan, kata bekas teman wanitanya kepada sebuah akhbar Jerman.
Andreas Lubitz, 27, yang dipercayai menjunamkan pesawat ke pergunungan Alps Perancis dan membunuh semua 150 orang dalam pesawat itu, dikatakan berazam melakukan sesuatu untuk mengubah keadaan dan membuatkan semua orang ingat namanya.
Wanita berusia 26 tahun dikenali Maria W dalam temuramah dengan akhbar Bild berkata, Lubitz selalu memberitahunya: "Satu hari nanti saya akan lakukan sesuatu yang akan mengubah seluruh sistem dan semua orang akan tahu dan ingat nama saya."
"Saya tak tahu apa maksudnya ketika itu, tetapi sekarang baru saya faham," kata Maria.
Perakam suara penerbangan pesawat malang 4U 9525 menunjukkan Lubitz mengunci kapten di luar kokpit ketika dia sengaja menjunamkan pesawat itu ke pergunungan Alps Perancis, ketika Airbus A320 itu dalam penerbangan rutin dari Barcelona, Sepanyol ke Duesselforf.

PASUKAN penyiasat membawa kotak dari apartmen Andreas Lubitz di Duesseldorf, Jerman. - Foto AP
Pemeriksaan pasukan penyiasat di rumah Lubitz mendapati dia selama ini menyembunyikan penyakit kemurungan melampau yang dialami malah membuang berpuluh surat cuti sakit yang diberikan doktor termasuk pada hari nahas, Selasa lalu.
Sementara itu, pihak berkuasa sudah mengeluarkan nama kapten pesawat malang itu iaitu Patrick Sonderheimer.
Sonderheimer mula berkhidmat dengan Germanwings pada Mei 2014, tetapi sebelum itu berkhidmat dengan syarikat induk, Lufthansa dan satu lagi anak syarikatnya Condor selama lebih 10 tahun. Beliau mempunyai rekod penerbangan selama lebih 6,000 jam.
Kedua-dua juruterbang, Sonderheimer dan Andreas Lubitz, dilatih di pusat latihan penerbangan Lufthansa di Bremen, Jerman. - AFP

APARTMEN milik Lubitz di Duesseldorf, Jerman. - Foto Reuters

Tayar Gerabak Terbakar, Perkhidmatan Monorel Tergendala


Diterbitkan: Isnin, 30 Mac 2015 11:19 AM
Anggota Bomba dan Penyelamat berusaha memadam kebakaran di Stesen Monorel Titiwangsa di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. - fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Monorel dihentikan sementara berikutan tayar sebuah gerabak perkhidmatan itu terbakar dalam kejadian di Stesen Titiwangsa pagi Isnin.

Ketua Pegawai Operasi Bomba Kuala Lumpur Shamsol Maarif Saibani berkata pihaknya menerima panggilan pukul 8.52 pagi tentang kebakaran itu dan tiba di tempat kejadian kira-kira lima minit kemudian.

Beliau berkata sebaik tiba, kesemua penumpang diarahkan keluar dan pihak pengendali monorel diarahkan mengalihkan gerabak yang terbakar ke satu tempat jauh dari bangunan.

"Sekarang operasi memadam masih dijalankan," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata 22 anggota dan tiga jentera dikejarkan ke tempat kejadian.

Dua Beranak Rentung Dalam Kebakaran Kilang Perabot


Diterbitkan: Isnin, 30 Mac 2015 1:19 PM
Gambaran hiasan.

KOTA KINABALU: Dua beranak rentung dalam kejadian kebakaran awal pagi Isnin melibatkan sebuah kilang perabot dan dua kilang membaiki sofa, di Mogonibong, Bahang, Penampang.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Penampang Pegawai Bomba Kanan 2 Jaree Mohd berkata mereka yang rentung dikenali sebagai Yewn Chai Hwe, 63, dipercayai pemilik kilang perabot berkenaan, dan anak lelakinya, Yewn Min Kok, 34, seorang Orang Kurang Upaya.

Beliau berkata mayat Chai Hwe dijumpai di dalam tandas manakala mayat Min Kok di atas lantai kilang perabot berkenaan.

Menurut Jaree mereka menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 4.03 pagi sebelum menghantar empat jentera, dua buah daripadanya dari balai bomba Kota Kinabalu, dengan 24 pegawai dan anggota.

Katanya punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Mayat Berkopiah Ditemui Berhampiran Empangan


Diterbitkan: Isnin, 30 Mac 2015 2:34 PM

GEORGE TOWN: Mayat seorang lelaki berkopiah putih tanpa dokumen pengenalan diri ditemui di tepi jalan berhampiran Empangan Teluk Bahang dekat sini, Isnin.
Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Lai Fah Hin berkata mayat yang lengkap berpakaian dan berkain pelekat putih serta ditutup dengan dua helai kain selimut itu ditemui orang awam yang melalui kawasan itu pada pukul 10.47 pagi.
"Lelaki itu dipercayai meninggal dunia di tempat lain sebelum mayatnya dibuang di kawasan itu," katanya ketika dihubungi di sini.
Beliau berkata berdasarkan fizikal mayat, polis percaya lelaki itu rakyat Bangladesh atau Myanmar dan tiada sebarang kecederaan luaran ditemui pada tubuhnya.
Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

MH17: Belanda Cari Saksi Tembakan Peluru Berpandu Untuk Siasatan


Diterbitkan: Isnin, 30 Mac 2015 9:22 PM

THE HAGUE: Kumpulan pakar dari Belanda yang menyiasat nahas pesawat MH17 di timur Ukraine pada Isnin membuat panggilan kepada saksi yang melihat pengangkutan atau tembakan peluru berpandu permukaan BUK sekitar masa kejadian.

"Penyiasat melihat kepada semua senario. Salah satu senario adalah bahawa pesawat telah ditembak jatuh pada pukul 4.20 petang waktu tempatan pada 17 Julai," kata pejabat pendakwa raya Belanda dalam satu kenyataan.

"Memandangkan senario ini diberikan, penyiasat mencari saksi yang boleh memberitahu lebih lanjut mengenai pengangkutan, krew dan pelancaran roket BUK di kawasan itu beberapa hari sebelum dan selepas kemalangan itu," katanya.

Semua 298 orang di dalam pesawat Malaysia Airlines, majoriti mereka dari Belanda meninggal dunia selepas pesawat ditembak jatuh di zon perang di timur Ukraine tahun lepas.

Belanda telah bertugas mengetuai siasatan mengenai punca kejadian dan mengenal pasti kematian.

Pihak berkuasa Belanda juga bertanggungjawab dalam siasatan jenayah kemalangan itu, yang berlaku di tengah-tengah pertempuran sengit antara tentera Ukraine dan pemisah pro-Rusia.

Kiev dan West mendakwa bahawa Boeing 777 telah ditembak jatuh oleh kumpulan pemisah, menggunakan peluru berpandu permukaan BUK yang dibekalkan oleh Rusia. Moscow menafikan tuduhan tersebut, sebaliknya menuding jari kepada Kiev.

Pendakwa menegaskan 'panggilan supaya saksi tampil tidak bermakna terdapat bukti yang tidak boleh dinafikan terhadap apa yang menyebabkan kemalangan itu."

"Masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan tentang nahas," kata mereka.

Permintaan itu telah tersebar secara meluas melalui media sosial dan stesen berita, bersama-sama dengan video di Rusia dengan sarikata Belanda.

Awal bulan ini ahli keluarga mangsa nahas melihat bangkai pesawat yang dibawa balik ke Belanda, di mana ia dibina semula sebagai sebahagian daripada siasatan itu.

Dua daripada 298 mangsa masih belum dikenal pasti.

Awal Ashaari Trauma Akibat Kemalangan - Scha Alyahya


Diterbitkan: Isnin, 30 Mac 2015 1:40 PM
Penyampai radio AG (kanan) turut menziarahi Awal Ashaari di Melaka. Awal kini sudah dipindahkan ke sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur.

PETALING JAYA: Isteri kepada pengacara Awal Ashaari iaitu Scha Alyahya memberitahu suaminya mengalami sedikit trauma selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada Ahad.
Bagaimanapun, Scha, 32, berkata, mereka bersyukur apabila pemerikasaan sinar-X yang dilakukan di Hospital Melaka terhadap Awal tidak menunjukkan sebarang kecederaan serius.

"Alhamdulillah dia baik dan saya bersyukur dia tidak mengalami sebarang kecederaan yang serius selepas pemerikasaan semalam (Ahad).

"Dia beritahu saya apa yang dia rasa cuma sedikit trauma sahaja," katanya kepada mStar Online, ketika dihubungi di sini, Isnin.
 
Awal bersama rakannya Izuan Mokhtar yang terlibat dalam kemalangan pada Ahad. 
Awal Ashaari terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) berdekatan Hentian Rawat & Rehat (R&R) Ayer Keroh, Melaka arah Selatan, pagi Ahad selepas kereta BMW yang dinaiki milik rakannya Izuan Mokhtar terbabas sehingga rosak teruk.

Awal bersama Izuan dalam perjalanan ke program Jom Heboh yang diadakan di Melaka bagi mengendalikan program siaran langsung Melodi.

Awal kemudian dibawa ke Hospital Melaka bagi membuat rawatan lanjut sementara Azuan yang memandu kenderaan berkenaan tidak mengalami kecederaan.

Dalam pada itu Scha berkata, Awal kini sudah dipindahkan ke sebuah pusat perubatan swasta di Kuala Lumpur pada petang Ahad.

Namun, setakat ini dia masih lagi dalam pemerikasaan pihak hospital sebelum dibenarkan pulang.

"Dia sudah dipindahkan di sini (Kuala Lumpur) dan mungkin dalam beberapa hari lagi dia akan keluar. Semua itu bergantung kepada keputusan dan pemeriksaan doktor," ujarnya.

Sementara itu, usaha mStar Online untuk menghubungi Awal tidak berjaya kerana dia masih memerlukan rehat yang cukup.

Bagaimanapun, pada malam Ahad, Awal memuat naik status Instagram memberitahu tentang keadaannya kini dan berterima kasih kepada orang ramai yang membantu mengeluarkannya daripada kenderaan akibat kemalangan itu.

Mayat kesan jerutan, bakar ditemui


30 Mac 2015


KUALA LUMPUR - Seorang kontraktor yang sedang menjalankan kerja memungut sampah terkejut apabila menemui mayat di dalam pelampung perangkap sampah di Jalan 1/2A Taman Wilayah Pusat Bandar Utara, di sini, hari ini.

Mayat yang belum dikenal pasti identitinya itu ditemui 11.55 pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, kontraktor berkenaan telah menghubungi pihak bomba, yang kemudiannya memaklumkan kepada polis.

"Hasil siasatan mendapati ada kesan jerutan di leher dan kesan bakar ke atas mayat berkenaan.

"Kedua-dua tangan dan kaki mangsa telah tiada dan mempunyai kesan bakar," katanya ketika dihubungi hari ini. Beliau berkata polis tidak menemui sebarang barangan berharga daripada mangsa. - Bernama

Terjun dari kapal terbang kerana tertekan


kapal terbang
MUMBAI - INDIA. Seorang jurutera komputer ditahan selepas membuka pintu kecemasan dan melompat keluar dari sebuah kapal terbang komersial yang baru mendarat, Sabtu lepas.

Menurut Times Of India, Akash Jain, 30 didakwa mengalami tekanan perasaan selepas lari dari rumah.

Inspektor polis, Rajendra Nagbhire memberitahu, Akash membuka pintu kecemasan dan melompat ke sayap pesawat dan terjun ke tanah.

Difahamkan, penumpang sedang beratur untuk keluar dari pesawat manakala Akash tidak dapat menahan sabar.

Gas punca bangunan terbakar, runtuh


Gas punca bangunan terbakar, runtuh
Foto CNN
NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Gas disyaki sebagai punca kebakaran sebuah bangunan yang akhirnya runtuh, mencederakan lebih 18 orang, semalam.

Menurut CNN, empat orang dilaporkan kritikal dan sebuah bangunan berhampiran rosak disebabkan kebakaran tersebut.

Pengurus utiliti, Craig Ivey memberitahu terdapat pemeriksaan servis gas dalam bangunan tersebut.

"Meter baru yang diperkenalkan belum diperiksa oleh kami, bermakna ia belum bersedia untuk dipasang." kata Ivey.

Punca sebenar kejadian masih disiasat.

Dalam kejadian malam semalam, dua blok bangunan setinggi empat hingga lima tingkat terbakar selepas satu letupan berlaku.

Sejam kejar suspek samun


Oleh Muhamaad Razis Ismail
Kota Bharu: Dua penjenayah paling dikehendaki dalam beberapa kes samun dan curi kereta di negeri ini ditahan dalam aksi kejar mengejar lebih sejam di Kampung Pauh Lima, di sini malam tadi
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, dalam kejadian itu polis terpaksa mengejar suspek kira-kira 10.50 malam dari Jalan Kota Bharu-Salor sebelum mereka ditahan di Kampung Pauh Lima pada 12 tengah malam.
Katanya, polis terpaksa melepaskan dua das tembakan untuk memberhentikan kenderaan suspek yang merempuh kereta polis dan kereta orang awam.
"Seorang suspek berusia 29 tahun ditahan di lokasi kejadian dan seorang lagi suspek berusia 31 tahun ditahan di kawasan berhampiran tengah hari tadi.
"Seorang lagi suspek berusia 20 an berjaya melarikan diri dengan mencuri motosikal milik orang awam," katanya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/39707#sthash.1bZ4OliV.dpuf

Maut ditetak Bangladesh


Oleh Fuad Hadinata Yaacob

am@hmetro.com.my

Klang: Seorang pemandu teksi berusia 55 tahun maut selepas diserang dan ditetak dengan parang oleh seorang lelaki Bangladesh dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Kepayang, Klang, malam tadi.
Dalam kejadian 10.10 malam itu, mangsa, Mohd Alias Mahani, 55, ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah di rumah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama rakannya menemui suspek berusia 30-an di depan sebuah kedai kosong di Jalan Meru.
Katanya, berdasarkan keterangan rakan mangsa, berlaku tolak menolak sebelum suspek melarikan diri dan mangsa mengejarnya.
“Rakan mangsa yang berusia 35 tahun kemudian menghubungi seorang lagi rakan mereka.
"Kedua-duanya mencari mangsa di sekitar kawasan itu kira-kira sejam namun tidak menemuinya.
"Mereka kemudiannya menemui rakan wanita mangsa sebelum dibawa ke rumah sewa suspek di Jalan Kepayang," katanya.
Menurutnya, salah seorang rakan mangsa memasuki rumah berkenaan dan menemui mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah serta tidak sedarkan diri.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis kini giat mengesan suspek dari Bangladesh yang dikenali sebagai Jais.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/39937#sthash.9tuLBDez.dpuf

Exora berapi

Oleh Azma Razana Johari

am@hmetro.com.m
.m
Bukit Mertajam: Seorang lelaki sempat menyelamatkan diri selepas Proton Exora dipandunya tiba-tiba terbakar di Lebuhraya Kulim Butterworth (BKE), 11.30 pagi tadi.

Ketika kejadian, mangsa yang dikenali sebagai Shauqi, 34, memandu seorang diri dan dalam perjalanan dari Butterworth untuk mengambil isteri serta dua anaknya di rumah mereka di Kulim, Kedah.

"Ketika memandu saya dikejutkan dengan bunyi letupan dari bahagian enjin dan lampu amaran pada papan pemuka menyala.

"Saya kemudian berhenti di lorong kecemasan dan terus keluar dari kereta kerana melihat asap keluar dari bahagian enjin sebelum api mula marak," katanya.

Sebelum kejadian, Shauqi baru selesai menghantar kenderaan yang dibeli dua tahun lalu untuk diservis dan baru saja 30 minit meninggalkan bengkel berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2015 @ 4:23 PM

Exora yang terbakar. FOTO ihsan pembaca
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/39946#sthash.n0NcT7IS.dpuf

Gaduh sampai mati

 Oleh Alias Abd Rani

am@hmetro.com.my

Bintulu: Seorang lelaki warga Indonesia maut ditikam pada rusuk kiri oleh rakan senegara dalam pergaduhan di rumah pekerja Fu Shun, dekat Kemena, pagi tadi.

Kejadian berlaku pada 9 pagi menyebabkan mangsa dikenali sebagai Erwin, 30, maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Abdul Razak Mohammad berkata, mangsa dan suspek bergaduh dan kemuncaknya, lelaki itu mengambil pisau lalu menikam mangsa sebanyak dua kali.

Katanya, tikaman di rusuk kiri itu menyebabkan mangsa rebah dan meninggal dunia.

"Susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki berusia 31 tahun disyaki suspek utama dalam kejadian itu.

"Suspek ditahan ketika cuba bersembunyi dalam rumah pekerja terbabit sebaik menyedari kehadiran polis.

"Suspek akan direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2015 @ 6:20 PM

Anggota polis melakukan pemeriksaan di tempat kejadian (gambar kiri). Polis menahan suspek (gambar kanan)
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/39952#sthash.NBHwLsNL.dpuf

Pemandu jentolak terbunuh


 Oleh Zarina Abdullah

am@hmetro.com.my

Jertih: Seorang pemandu Jentolak terbunuh selepas Proton Saga FLX dipandunya bertembung dengan lori di selekoh berdekatan Kampung Batang Gergaji, dekat sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Khalid Che Lah berkata, mangsa, Mohd Sapri Kadir dari Kampung Telok Bayu, Kuala Besut, 36,Kampung Telok Bayu, Kuala Besut, parah di kepala dalam kemalangan yang berlaku pada 7.15 pagi itu.

Beliau berkata, mangsa sebelum itu dalam perjalanan menghala Kuala Terengganu, dikatakan hilang kawalan sebelum keretanya terbabas lalu memasuki laluan bertentangan.

"Mangsa yang dipercayai tidak memakai tali pinggang keledar, tercampak keluar dari kenderaannya selepas berlaku kemalangan. Mayat mangsa di bawa ke Hospital Besut untuk bedah siasat.

"Pemandu lori Mohd Firdaus Sharuddin, 29, dari Kuantan bersama pembantunya seorang warga Nepal, Ram Prasad, 31, tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu melulu dan menyebabkan kematian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2015 @ 8:17 PM

Proton Saga FLX dipandu Mohd Sapri Kadir remuk selepas bertembung dengan lori jenis Scania dalam kemalangan di Jalan Terengganu- Kelantan berhampiran Kampung Batang Gergaji, Jertih, jam 7.15 pagi tadi. FOTO ihsan pembaca
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/39962#sthash.biDsJ9eT.dpuf

Tiga rumah rosak dipukul ribut

Oleh Mohd Khidir Zakaria

am@hmetro.com.my

Seremban: Tiga rumah rosak teruk dalam kejadian ribut di Kampung Gadong Jaya, Labu, dekat sini, petang tadi.

Kejadian bermula pada 5 petang ketika cuaca mendung dan angin kencang kira-kira 10 minit sehingga atap rumah berkenaan tercabut dan berterbangan sehingga hampir 50 meter.

Mangsa, Mohd Fadhil Sulaiman, 33, berkata, ketika kejadian dia, isteri dan dua anaknya berusia 10 dan 7 tahun menonton televisyen.

Katanya,angin itu seperti puting beliung dan muncul datang dari kebun buah-buahan berhampiran.

“Ada pokok durian yang tumbang. Saya dan keluarga tidak berani keluar rumah ketika kejadian, bimbang ditimpa atap yang tercabut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2015 @ 11:11 PM

Mohd Fadhil menunjukkan keadaan rumahnya yang rosak teruk dipukul ribut di Kampung Gadong Jaya, Labu, Seremban.FOTO Mohd Khidir Zakaria
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/39965#sthash.eJTiwS0d.dpuf

Pemandu teksi cedera bertembung lori

 Oleh Kamal Majid

am@hmetro.com.my


Jeli: Seorang pemandu teksi cedera selepas teksi dipandu bertembung dengan lori di Kilometer 95.5 Jalan Kota Bharu-Machang-Gerik dekat Kampung Lakota, di sini.

Kejadian berlaku kira-kira 9.10 pagi tadi ketika mangsa, Suhaimi Yahya, 57, dalam perjalanan dari arah Batu Melintang menghala ke Ayer Lanas.

Difahamkan, ketika melalui kawasan itu, dia hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori.

Akibat pertembungan itu, teksinya terbabas ke kanan jalan dan dihempap sisi kiri lori.

Mangsa dihantar ke Hospital Jeli sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu dan dilaporkan stabil.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2015 @ 4:27 PM

FOTO ihsan pembaca
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/40139#sthash.39o7AX2R.dpuf

Dua lelaki samun kedai emas


Oleh Salman Hamat

salman@hmetro.com.my


Bukit Mertajam: Dua lelaki menunggang motosikal menyamun sebuah kedai emas di Jalan Pasar di sini, 12.30 tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor berkata, suspek terbabit terus meluru ke dalam premis itu sebelum seorang dari mereka mengetuk meja pameran dipercayai menggunakan tukul besi.

"Selepas meja pameran berkenaan pecah rakan suspek terus mengaut barang kemas berkenaan dan kedua-duanya terus melarikan diri.

"Pemeriksaan mendapati suspek melarikan satu dulang barang kemas namun nilainya belum dapat dipastikan dan kami akan melakukan semakan dengan pemilik kedai terbabit," katanya.

Rusli berkata, ketika kejadian dua pelanggan dan empat kakitangan berada dalam premis berkenaan namun tidak sempat berbuat apa-apa berikutan kejadian yang berlaku amat pantas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2015 @ 5:34 PM


FOTO Amir Irsyad Omar

Blok sekolah agama hangus

 Oleh Junaidi Ladjana

junaidi_ladjana@hmetro.com.my


Kota Belud: Sebuah blok menempatkan bilik dan pejabat Sekolah Agama Negeri (SAN) Kota Peladok, Kota Belud, musnah terbakar, petang tadi.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, tiada kemalangan jiwa berlaku kerana murid di sekolah berkenaan sedang bercuti hujung minggu.

Ketua Pusat Gerakan (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin berkata, bomba menerima panggilan pada 3.47 petang dan lapan anggota bersama sebuah jentera tiba di lokasi kejadian 15 minit kemudian.



Operasi memadam kebakaran turut dibantu anggota JPAM Kota Belud.

"Kebakaran membabitkan bangunan sekolah jenis tidak kekal iaitu satu blok kelas dan pejabat sekolah musnah sepenuhnya.

"Api berjaya dikawal pada 4.33 petang," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Menurutnya, punca kejadian masih dalam siasatan bomba.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2015 @ 6:37 PM

FOTO ihsan JPAM Sabah
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/40147#sthash.GtBRFZUM.dpuf

Tujuh kediaman musnah terbakar

 Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
Kuala Lumpur: Tujuh kediaman musnah dalam kebakaran rumah kedai empat tingkat di Jalan Alor, di sini, 4.30 petang tadi.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Abu Obaidat Mohamad berkata, kebakaran dipercayai berpunca daripada pembakaran sampah di sebuah daripada rumah kosong di tingkat tiga kediaman berkenaan sebelum merebak ke enam rumah lain.

Menurutnya, tiada kemalangan jiwa mahupun kecederaan dilaporkan dalam insiden itu.

"Pihak kami terima panggilan pada 4.54 petang sebelum jentera pertama tiba 15 minit kemudian. Kebakaran berjaya dikawal pada 6.52 petang," katanya kepada pemberita dilokasi kejadian.

Katanya, kerugian dianggarkan kira-kira RM500,000 dan pihak forensik masih menyiasat punca sebenar kebakaran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2015 @ 8:20 PM

ANGGOTA bomba sedang memadamkan api di tingkat empat bangunan rumah kedai empat tingkat.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/40149#sthash.WiJkPphU.dpuf

Riang bertukar tragedi

Oleh Khairul Hamizy Ramlee

am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Keseronokan sembilan sekawan mandi di muara sungai Kualai Ibai, di sini, mengundang tragedi apabila seorang daripada mereka lemas di bawa arus deras, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa Che Muhammad Fakrul Danial Mohd Noor, 12, hilang kawalan dan dibawa arus deras di muara terbabit tanpa sempat diselamatkan lapan rakan lain selepas beberapa minit mandi.

Ibu mangsa, Rosmayati Salleh, 39, berkata, dia hampir pitam selepas dimaklumkan penduduk kampungnya bahawa anaknya lemas dan sedang dicari oleh anggota bomba di muara sungai terbabit.

Menurutnya, dia dan ahli keluarga lain bergegas ke lokasi kejadian dan sebak apabila anaknya dijumpai di dasar muara sungai dalam keadaan sudah kaku.

Katanya, anaknya yang keluar rumah jam 9 pagi itu pulang jam 1 petang sebelum keluar lagi bersama lapan rakan lain tidak lama selepas itu.
ANGGOTA mengangkat mayat mangsa yang lemas di muara sungai Kuala Ibai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2015 @ 5:26 AM


ROSMAYATI sebak selepas mengetahui anak sulungnya lemas.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/40092#sthash.9ZO1fn7b.dpuf

Tanah runtuh ragut 12 nyawa


Jakarta: Dua belas orang terbunuh manakala empat lagi masih hilang dalam kejadian tanah runtuh akibat hujan lebat yang melanda kepulauan Jawa di Indonesia.

Jurucakap agensi pengurusan bencana kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho berkata, kejadian berlaku di perkampungan Tegal Panjang di daerah Sukabumi, Jawa Barat lewat kelmarin.

“Tanah runtuh itu berlaku secara tiba-tiba ketika hujan lebat yang mengakibatkan tebing runtuh dan menimpa penempatan terbabit.

“Kejadian menyebabkan 11 rumah tertimbus. Dua belas penduduk terbunuh dan empat lagi hilang. Usaha mencari mereka masih diteruskan,” katanya.

Laporan awal sebelum ini menyatakan seorang terbunuh dan 20 hilang.

Banjir dan tanah runtuh sering berlaku di Indonesia ketika musim hujan.

Agensi pengurusan bencana kebangsaan menganggar hampir separuh daripada 250 juta penduduk negara itu tinggal di kawasan yang terdedah kepada tanah runtuh.

Indonesia yang terdiri daripada ribuan pulau adalah negara yang terdedah kepada bencana alam, termasuk gempa bumi dan letupan gunung berapi. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2015 @ 5:17 AM

SEBUAH rumah ranap dalam kejadian tanah runtuh di Sukabumi, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/40206#sthash.xCL2WHof.dpuf

Pelacur asing jadikan hotel port ‘cari makan’


Melaka: Dua wanita warga Thailand dipercayai menjalankan aktiviti pelacuran ditahan dalam Ops Noda di sebuah hotel di Taman Melaka Raya, di sini, kelmarin.
Serbuan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri itu diketuai Inspektor ST Manonmany.
Pegawai Turus Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, ASP Azhar Abdul Rahim berkata, Operasi bermula jam 7 malam kelmarin dan berakhir jam 5 pagi semalam, itu dilakukan di beberapa buah hotel di sekitar bandar raya ini.
“Tangkapan pertama dibuat sekitar jam 7 hingga 11 malam dalam sebuah bilik hotel.
“Hasil pemeriksaan mendapati dalam sebuah bilik di tingkat satu hotel terbabit, didiami seorang lelaki dipercayai pelanggan dan seorang wanita warga Thailand dipercayai pelacur.
“Turut ditemui barang kes iaitu kondom, wang RM170, tuala dan pelbagai lagi,” katanya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/40089#sthash.yN5biKIV.dpuf

Penyanyi ‘gelap mata’ ditangkap


Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

mhafis@hmetro.com.my
Ampang: Bagai mengulangi kesilapan lalu, seorang penyanyi yang pernah popular sekitar 1991 sekali lagi ditahan polis berkaitan dadah di Jalan Jelatek 2, Jelatek Bussiness Park, Hulu Kelang, di sini, kelmarin.

Penyanyi berusia 36 tahun itu sebelum ini pernah terbabit dalam penyalahgunaan dadah beberapa tahun lalu sehingga menyebabkan perkahwinannya musnah dan hilang punca pendapatan.

Kejayaan memenangi tempat ketiga dalam sebuah program realiti yang mengumpulkan penyanyi lama dianggap peluang untuk dirinya kembali bergiat aktif.

Bagaimanapun, selepas program itu, penyanyi terbabit mula menghilangkan diri kerana dipercayai ‘gelap mata’ dengan wang kemenangan sebelum dia ditahan polis pada jam 9 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Khairuldin Saad berkata, penyanyi terbabit ditahan dalam satu operasi khas Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2015 @ 6:32 AM

Suspek direman selama tiga hari.

Kereta tercampak langgar lembu


Jitra: Perjalanan pulang lima sekawan ke Bukit Kayu Hitam berakhir tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut akibat tercampak keluar dari kenderaan pelbagai guna (MPV) selepas melanggar seekor kerbau dalam kemalangan di Kilometer 22.3, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, di sini, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 pagi mengakibatkan mangsa Muhammad Amirul Abdul, 19, dari Kampung Perik, Mukim Kurong Hitam, Kuala Nerang, di sini, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Dalam kejadian itu, pemandu kenderaan berusia 22 tahun dan penumpang lain berusia 20-an cedera parah di kepala dan badan dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk rawatan, sementara dua penumpang lain berusia 20-an menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Jitra, di sini.

Difahamkan, kenderaan dinaiki mangsa terbalik di tepi lebuh raya selepas dipercayai melanggar penghadang jalan.

Bapa mangsa Abdul Yaakob, 49, berkata arwah ada memaklumkan kepadanya bahawa dia akan pulang ke rumah untuk membaiki kandang lembu di rumahnya ketika mereka bertemu buat kali terakhir kira-kira dua hari lalu sebelum anaknya keluar ke Bukit Kayu Hitam.

Menurutnya, Amirul yang bekerja di sebuah pusat mencuci kenderaan menetap di Perumahan Awam Bukit Kayu Hitam kerana berhampiran tempat kerjanya, selain bapa saudaranya juga menetap di kawasan berkenaan.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2015 @ 6:32 AM

KEADAAN kereta yang terbalik akibat langgar lembu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/40114#sthash.HMzmrI0Z.dpuf

Seminit samun kedai emas


Oleh SYALMIZI HAMID



ANGGOTA polis menjalankan siasatan di sebuah kedai emas di Jalan Pasar, Bukit Mertajam, Seberang Perai yang disamun dua lelaki bersenjatakan tukul besi semalam.


SEBERANG PERAI – Sebuah kedai emas di Jalan Pasar, Bukit Mertajam di sini kerugian kira-kira RM100,000 selepas disamun dua lelaki bersenjatakan sebatang tukul besi tengah hari semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, sebanyak 147 rantai leher emas dilarikan oleh dua penjenayah berkenaan dalam tempoh seminit.
Sumber berkata, kedua-dua suspek dilihat masuk ke premis itu dengan memakai baju kemeja lengan panjang, bersarung tangan dan memakai topi keledar berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV).
“Kedua-dua suspek telah memasuki premis berkenaan dengan salah seorang daripadanya mengetuk cermin pameran menggunakan tukul besi.
“Sebaik cermin pameran itu berjaya dipecahkan, seorang lagi mengaut barangan kemas dari dulang pameran tersebut,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0330&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz3VonaAg2s 
Hakcipta terpelihara 

Merengek kuat sebelum ribut




KEADAAN salah sebuah rumah yang rosak dalam kejadian ribut di Kampung Parit Gabis, Bagan Serai petang kelmarin.


BAGAN SERAI – Rengekan seorang bayi berusia setahun yang enggan tidur di dalam buaian menyelamatkannya daripada diterbangkan ribut yang melanda rumahnya di Kampung Parit Gabis di sini kelmarin.
Ibu bayi terbabit, Norasiah Sabri, 40, berkata, dalam kejadian pukul 4 petang itu, dia bersama tiga anaknya ­berada di ruang tamu rumah dan hendak menidurkan anak bongsu, Nurul Auni Syazwan Ibrahim pada buaian yang diikat pada alang rumah.
Menurutnya, sebaik memasukkan Nurul Auni ke dalam buaian tersebut, anak bongsunya itu mula meragam dan meronta-ronta agar diturunkan dari buaian, sedangkan pada kebiasaannya bayi itu hanya akan tidur nyenyak apabila dimasukkan ke dalam alat tersebut.
“Saya merasa hairan kerana kebiasaannya dia tidak begitu. Apabila melihat Nurul Auni meronta-ronta minta diturunkan, saya mengarahkan anak kedua saya mengangkat dan meletakkannya di atas katil dalam bilik.
“Sejurus diturunkan, ribut kencang melanda dan dengan tiba-tiba keseluruhan bumbung rumah telah diterbangkan termasuklah kipas angin dan buaian yang diikat pada alang rumah,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Norasiah berkata, beliau bersyukur kerana kesemua anak-anaknya terselamat dalam kejadian tersebut.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0330&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz3VonJn9QI 
Hakcipta terpelihara 

Lima lelaki bertopeng samun keluarga Hannah Yeoh


SUBANG JAYA – Lima ahli keluarga dan pembantu rumah Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Hannah Yeoh, berdepan detik cemas apabila disamun lima lelaki bertopeng yang bersenjatakan parang di rumah mereka di Jalan USJ 3, Subang Jaya di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 10 pagi itu, adik lelaki kepada Hannah sedang membersihkan halaman rumah dua tingkat milik bapanya sebelum didatangi lima lelaki Cina bertopeng.
Mereka menceroboh masuk ke dalam rumah sebelum mengarahkan kesemua ahli keluarga Hannah berkumpul di bilik televisyen.
Hannah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Subang Jaya tiada di rumah sewaktu peristiwa tersebut berlaku.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Tan Ah Chua berkata, suspek kemudian mengikat kesemua mangsa menggunakan wayar kabel.
“Suspek dipercayai masuk ke dalam kawasan rumah melalui pintu tepi yang tidak berkunci.
“Mereka menyelongkar kediaman itu kira-kira 20 minit sebelum berjaya melarikan wang tunai RM8,000, barang kemas, minuman keras dan lima kotak sarang burung,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Kesemua suspek dipercayai melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0330&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz3Von1KJUU 
Hakcipta terpelihara 

Tumbuk buaya selamatkan nyawa




Muliana menunjukkan tangan kanannya yang hampir putus akibat diserang seekor buaya tembaga di Sungai Telong, Miri kelmarin.


MIRI – Berpantang maut sebelum ajal. Itulah yang boleh digambarkan terhadap tindakan berani seorang pekerja ladang sawit yang bergelut kira-kira lima minit dengan seekor buaya untuk menyelamatkan diri daripada dibaham reptilia itu di Sungai Telong, Suai di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, Muliana Malla, 35, berasal dari Sulawesi, Indonesia hampir putus pergelangan tangan kanannya akibat digigit sang bedal sepanjang kira-kira tiga meter tersebut.
Menceritakan detik cemas itu, Muliana berkata, dia sedang mencuci pakaiannya di tebing sungai tersebut seorang diri sebelum diserang reptilia berkenaan.
Kata Muliana, sang bedal yang menggigit pergelangan tangannya kemudian mengheret dirinya ke tengah sungai.
“Saya terpaksa mengerah segala kudrat yang ada untuk melawan pemangsa itu termasuk menumbuk kepalanya beberapa kali.
“Buaya tembaga itu akhirnya melepaskan gigitan selepas tumbukan tangan kiri saya mengenai tepat matanya sebelum kelibat haiwan tersebut terus hilang,” katanya ketika ditemui di Hospital Miri di sini semalam.
Katanya, dalam keadaan kesakitan dia terus berenang ke tebing sungai sambil menjerit meminta pertolongan.
“Beberapa rakan sekerja yang kebetulan berada di situ bergegas ke tebing sungai untuk membantu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0330&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz3Vomk9AyG 
Hakcipta terpelihara 

Sorok dadah dalam beg kertas




Hamzah (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas daripada dua lelaki pada sidang akhbar di Lahad Datu semalam.


LAHAD DATU – Hajat dua lelaki untuk mengaut keuntungan lumayan dengan menjalankan aktiviti pengedaran dadah terbongkar selepas mereka dicekup dalam serbuan di kawasan letak kereta sebuah hotel di sini Jumaat lalu.
Dalam operasi pukul 2 petang itu, kedua-dua suspek berusia 46 dan 47 tahun itu dikatakan baharu sahaja keluar dari lokasi penginapan dengan seorang daripadanya membawa sebuah beg kertas dipercayai mengandungi dadah.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Hamzah Ahmad berkata, pemeriksaan ke atas beg tersebut menemui dua bungkusan mengandungi dadah jenis syabu dianggarkan seberat lebih dua kilogram.
Katanya, penahanan kedua-dua lelaki itu dibuat hasil maklumat awam mengenai kegiatan pengedaran dadah di kawasan berkenaan.
“Polis telah mengawasi lokasi berkenaan dan terlihat dua lelaki dengan seorang daripadanya membawa sebuah beg kertas sedang cuba beredar dari kawasan berkenaan.
“Anggota kami cuba mendekati mereka dan seorang suspek cuba melarikan diri sebelum berjaya ditahan tidak jauh dari lokasi kejadian,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Tambah Hamzah, siasatan awal mendapati dadah yang dirampas itu dipercayai untuk diedarkan di sekitar daerah ini.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0330&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz3VomRr7RF 
Hakcipta terpelihara 

Penganggur ugut isteri, anak dijel




Mohd. Karim (kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kota Bharu semalam selepas dijatuhi hukuman penjara.


KOTA BHARU – Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mengamuk dan mengancam untuk mencederakan isteri dan anaknya menggunakan tukul besi pada Khamis lalu.
Majistret Mohd. Firdaus Zainal Abidin menjatuhi hukuman tersebut ke atas Mohd. Karim Yusoff, 46, selepas dia mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu.
Mohd. Firdaus menjatuhkan hukuman lima bulan terhadap Mohd. Karim atas tuduhan mengancam mendatangkan kecederaan kepada isterinya, Shahrizad Arifin, 42, dan lima bulan lagi atas tuduhan mengancam mendatangkan kecederaan kepada anaknya, Mohamad Danial Hasiff, 15.
Menurut pertuduhan pertama, Mohd. Karim didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam hendak mencederakan Shahrizad yang merupakan seorang suri rumah di sebuah rumah di Kampung Gong Jerat, Pengkalan Chepa di sini pada pukul 5.30 petang, 26 Mac lalu.
Bagi pertuduhan kedua, penganggur itu didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengancam untuk mencederakan Mohamad Danial Hasiff pada pukul 7 malam hari yang sama di tempat yang sama.
Bagi kedua-dua pertuduhan ini, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0330&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz3VomDLQ3E 
Hakcipta terpelihara