Search This Blog

Sunday, March 29, 2015

Lubitz Beli Dua Kereta Audi Sebelum Nahas


Diterbitkan: Sabtu, 28 Mac 2015 10:37 AM

Andreas Lubitz.
PEMBANTU juruterbang Germanwings, Andreas Lubitz dikatakan telah membeli dua kereta Audi bagi kegunaan persendirian dan juga untuk diberikan kepada teman wanitanya pada minggu lalu sebelum nahas membabitkan pesawat malang itu.

Lubitz membeli kereta Audi tersebut dari wakil jualan di pinggir Dusseldorf berhampiran pangsapuri miliknya, tempat dia tinggal bersama kekasihnya.

Tiga hari sebelum kejadian, salah satu kereta tersebut telah dihantar pada hujung minggu lalu.

Majalah Fokus berkata kereta yang dihantar tersebut tidak dapat dipastikan sama ada ia milik Lubitz atau teman wanitanya.

Bagaimanapun media Jerman mendakwa walaupun Lubitz menghadiahkan kekasihnya kereta tersebut, hubungan mereka dikatakan bermasalah dan besar kemungkinan mereka akan berpisah.

Perkara ini juga menjadi punca kepada tragedi pesawat Germanwings itu.

Wanita yang dirahsiakan identitinya itu difahamkan kembali tinggal bersama keluarganya semasa polis forensik Jerman menjalankan siasatan penuh di Dusseldorf.

Pasangan ini tinggal di sebuah pangsapuri tingkat atas di pinggir bandar.

Habibalah Hassani, 53, yang menguruskan restoran piza disitu memaklumkan dia sering melihat pasangan tersebut bersama-sama.

"Mereka berdua sangat baik, pasangan muda yang peramah. Kekasihnya adalah seorang wanita yang sopan dan menarik. Mereka akan datang ke kedai saya dua kali seminggu.

"Dia pernah beri tip kepada saya dan sangat murah hati. Dia memberitahu saya akan terbang ke San Francisco. Namun saya tidak melihat mereka selama beberapa bulan sebelum kejadian tersebut berlaku," katanya.

Tujuh Maut Dibunuh Boko Haram


Diterbitkan: Sabtu, 28 Mac 2015 11:47 PM

Rakyat Nigeria sedang beratur untuk mengundi pada pemilihan presiden negara itu pada Sabtu. Foto EPA

ABUJA: Sekurang-kurangnya tujuh maut di pusat mengundi semasa pemilihan presiden Nigeria pada Sabtu, dipercayai diserang oleh kumpulan militan, Boko Haram.

Serangan pertama berlaku di perkampungan di Birin Bolawa dan Birin Fulani di daerah Nafa, Gombe yang sering menjadi sasaran kumpulan militan itu.

Menurut seorang pegawai pilihan raya yang enggan dikenali: "Kami dapat mendengar bunyi tembakan yang dilepaskan oleh kumpulan lelaki bersenjata.

"Tidakkah kita sudah memberi amaran anda (militan) supaya jangan ganggu hari mengundi?"

Rakyat Nigeria ketika ini sedang mengundi untuk pertandingan jawatan presiden antara penyandangnya, Goodluck Jonathan dan bekas ketua tentera Nigeria.

Pegawai pilihan raya itu berkata, sekumpulan lelaki bertopeng yang membawa senjata tiba di Birin Bolawa dengan menaiki trak pada waktu pagi, sejurus selepas hari mengundi presiden secara rasmi bermula pada Sabtu.

Seorang pengundi ditembak mati dan yang lain melarikan diri dalam keadaan panik.

"Mereka melepaskan tembakan kepada semua bahan-bahan mengundi yang ditinggalkan kami yang juga menyelamatkan diri," tambahnya.

Seorang penduduk Birin Fulani, Karim Jauro berkata, serangan kedua mengakibat seorang lelaki maut.

"Mereka membakar bahan-bahan pilihan raya. Kita percaya mereka adalah Boko Haram yang memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menyertai hari mengundi."

Kumpulan lelaki bersenjata itu kemudiannya melakukan serangan di bandar Dukku dengan melepaskan tembakan secara rambang ketika para pengundi sedang beratur di pusat mengundi.

"Mereka menembak tiga orang dan mencederakan dua yang lain," kata Ibrahim Ahmad, sambil menambah penyerang itu kemudiannya membunuh seorang ahli dewan undangan negeri dan ketua tempatan dekay kampung Tilen. - AFP

Merusuh Di Stadium: Enam Lelaki Mengaku Bersalah


Diterbitkan: Jumaat, 27 Mac 2015 6:05 PM


SHAH ALAM: Enam lelaki termasuk dua beradik yang menghadapi pertuduhan merusuh semasa perlawanan bola sepak separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki antara Malaysia dan Vietnam di Stadium Shah Alam, Disember lepas, menukar pengakuan mereka kepada bersalah pada Jumaat.

Amirul Akmal Nooradzhar, 23, Zulhelmy Akmal Zainol Abidin, 28, Muhammad Naquiyuddin Sallehuddin, 20, Muhamad Izzat Mohd Khir, 26, serta dua beradik Mohd Aminuddin Hamdan, 35, dan Noor Hadi, 30, menukar pengakuan itu ketika kes mereka disebut di hadapan Majistret Norshakinah Ahmad Kamaruddin.

Mahkamah menetapkan Isnin ini untuk menjatuhkan hukuman ke atas Amirul Akmal, Zulhelmy Akmal, Muhamad Izzat, Mohd Aminuddin dan Noor Hadi serta menetapkan 28 April untuk sebutan semula bagi mendapatkan laporan sosial Muhammad Naquiddin yang merupakan pesalah muda ketika kejadian.

Kesemua lelaki itu sebelum ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersama-sama beberapa orang lagi yang masih bebas merusuh dengan menyerang penyokong pasukan bola sepak Vietnam menggunakan kekerasan di kawasan Quadrant A, Stadium Shah Alam pada pukul 9.50 malam, 7 Disember tahun lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa  hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rustam Sanip sementara peguam Muhammad Hidhir Mustapa mewakili Muhammad Naquiddin, Amirul Akmal dan Zulhelmy Akmal, peguam M. Hafiz Zainol Abidin mewakili Mohd Aminuddin dan Noor Hadi dan peguam Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud mewakili Muhamad Izzat.

Dalam insiden pada 7 Dis tahun lepas, sekumpulan penyokong Harimau Malaya, yang kecewa setelah Malaysia kalah 1-2 kepada Vietnam, dikatakan melakukan provokasi dengan membaling objek ke arah penyokong Vietnam.

Ketika kekecohan itu, seorang penyokong Vietnam mengalami kecederaan dan susulan itu, sembilan lelaki ditahan reman bagi membantu siasatan.

Lelaki Dipenjara Tiga Tahun Kurung, Cedera Tukang Cuci


Diterbitkan: Khamis, 26 Mac 2015 9:06 PM

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen pada Khamis menjatuhi hukuman penjara dua tahun ke atas seorang pengawal keselamatan kerana mencederakan seorang tukang cuci wanita, warga Indonesia dua tahun lepas.

R. Jeevanathan, 29, juga turut dijatuhi hukuman penjara setahun kerana mengurung Marifa Tima, 33.

Hakim Zulqarnain Hassan turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu secara serentak bermula dari tarikh dia ditangkap pada 16 Julai 2013.

Sementara itu, tiga tertuduh iaitu R. Kanagarajah, 35, dan dua wanita iaitu R. Yarputnedave, 43, dan M. Pusparani, 27, masing-masing didenda RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu, dan masing-masing membayar denda tersebut.

Bagi pertuduhan pertama, Jeevanathan bersama Kanagarajah, Yarputnedave dan Pusparani didakwa secara salah mengurung Marifa, selama tujuh hari di dalam sebuah rumah pangsa, Bukit Sri Bintang, Kepong di sini, antara 8 pagi, 10 Julai 2013 hingga 3.30 petang, 16 Julai 2013.

Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 343 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata iaitu wayar kabel, batang kayu, topi keledar dan gunting yang mungkin boleh menyebabkan kematian ke atas Marifa di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Kesemua tertuduh yang diwakili peguam K. Komagan didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Menurut fakta kes, Marifa yang menyewa sebuah bilik di Kamunting, Perak telah ditendang dan dipaksa menaiki sebuah kereta oleh seorang daripada tertuduh yang kemudiannya membawa mangsa ke rumah pangsa tersebut.

Dalam tempoh tujuh hari dikurung di rumah itu, tertuduh telah memotong rambut, mengikat dan mencederakan mangsa di beberapa bahagian badan dengan menggunakan senjata, menurut pertuduhan yang dikemukakan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Tan Sew Ping memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dan memberi pengajaran kepada semua tertuduh kerana mencederakan mangsa sehingga mengalami kecederaan teruk.

Pengasuh Mengaku Tidak Bersalah Dera Dua Beradik


Diterbitkan: Jumaat, 27 Mac 2015 5:41 PM

IPOH: Seorang pengasuh wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret berasingan di sini Jumaat terhadap pertuduhan mendera dua beradik di bawah jagaannya di sebuah kawasan perumahan di Chemor di sini.

Bagi pertuduhan pertama, P. Nalani Dewi, 26, didakwa menganiaya dan membiarkan Nor Sarinya Abdullah, 3, mengalami kecederaan fizikal di sebuah rumah di Chemor pada 28 Dis 2014 hingga 3 Mac 2015.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nadiatul Athirah Azman memohon mahkamah supaya tidak membenarkan tertuduh diikat jamin atas alasan kes itu adalah serius dan jika memberi jaminan perlu berserta syarat tambahan bahawa tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa serta keluarganya.

Peguam yang mewakili Nalani Dewi, E.P. Seeralasittan memohon mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin dengan jumlah yang sangat rendah kerana tertuduh tidak bekerja dan hanya menjaga kanak-kanak berkenaan.

Majistret Suhaima Mohd Noor, kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan dua orang penjamin tanpa syarat tambahan.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, Nalani Dewi didakwa menganiaya dan membiarkan Muhammad Darwen Abdullah, 6, mengalami kecederaan fizikal, pada tarikh dan di tempat yang sama.

Majistret Haslinda A. Raof membenarkan wanita itu diikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan iaitu tidak dibenarkan menghubungi keluarga mangsa dengan cara apa sekalipun, jika gagal, jaminan akan ditarik balik.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Nalani Dewi didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 29 April depan untuk sebutan semula kedua-dua kes.

Nor Sarinya, disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, selepas mangsa didapati tidak sedarkan diri dan mengalami pendarahan di bahagian mulut di rumah pengasuhnya di Chemor di sini, pada 3 Mac lepas.

Kanak-kanak itu didapati mengalami kesan luka di seluruh bahagian badan, dipercayai akibat didera.

Wanita itu ditahan pada 2.30 petang, 4 Mac lepas di Unit Forensik hospital berkenaan.

Dua Lelaki Bersenjata Tukul Besi Rompak Barang Kemas


Diterbitkan: Ahad, 29 Mac 2015 7:51 PM
Gambar hiasan.

BUKIT MERTAJAM: Dua lelaki bersenjatakan tukul besi melarikan satu dulang barang kemas bernilai RM100,000 dalam kejadian rompakan yang berlaku tidak sampai seminit di sebuah kedai emas di Jalan Pasar, di sini, Ahad.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Rusli Mohd Noor berkata dalam kejadian 12.35 tengah hari itu, dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal itu memberhentikan kenderaan mereka di hadapan kedai emas tersebut.

"Dua lelaki memakai kemeja putih dan bertopi keledar penuh itu masuk ke dalam kedai berkenaan dan seorang daripada mereka bertindak memecahkan cermin pameran emas dengan menggunakan tukul besi.

"Rakannya bertindak mengaut semua barang kemas dalam dulang berkenaan sebelum melarikan diri. Kejadian itu berlaku tidak sampai seminit," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata ketika kejadian terdapat dua pelanggan dan empat pekerja dalam kedai berkenaan dan mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kejadian itu berlaku dengan pantas dan mereka yang berada dalam kedai berkenaan tidak sempat berbuat apa-apa. Terdapat CCTV dalam premis berkenaan dan polis sedang meneliti rakamannya untuk siasatan lanjut," katanya.

Rusli berkata semakan ke atas nombor pendaftaran motosikal yang digunakan dua lelaki berkenaan mendapati ia nombor palsu.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Silap pilih tempat kencing


Jakarta: Seorang lelaki, Suyitno (58) mati dirempuh kereta api ketika membuang air kencil di landasan di Jakarta Selatan.
Ketua Polis Kebayoran Lama, Riftazudin berkata, kejadian berlaku kira-kira 9 pagi semalam.
Menurutnya, seorang saksi melaporkan, lelaki itu, peniaga, pergi ke tiang lampu di landasan kereta api berkenaan kerana hendak melepaskan hajat kecilnya.
“Sebaik dia habis buang air kecil, tiba-tiba datang kereta api dan melanggarnya. Dia luka teruk di kepala dan mati di tempat kejadian,” kata Riftazudin.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/39819#sthash.cC2oXMH9.dpuf

Gam anu isteri


Agensi
Mpumalanga (Afrika Selatan) : Kerana cemburu, seorang suami yang mengesyaki isterinya menjalin hubungan sulit dengan lelaki lain mengambil keputusan membalas dendam - meletakkan glu pada kemaluan wanita berkenaan.
Si suami sebelum itu dihantui perasaan marah kerana menyangka isterinya tidur dengan bapa saudaranya selepas dia menghantarnya pulang di rumah mereka di bandar ini.
Selepas mengunci isterinya di dalam kamar tidur mereka, lelaki berusia 45 tahun itu memaksa wanita berkenaan menanggal pakaian sambil menghunus parang pada mangsa dan mengancam memenggalnya jika dia tidak patuh kepada arahannya.
Dalam laporannya kepada polis, wanita itu berkata: “Dia sebelum ini mengancam memotong tangan saya. Saya begitu takut. Dia mengarah saya baring dan kangkang. Dia kemudian mengambil glu dan menyapu pada kemaluan saya.
“Saya menangis dan meminta dia berhenti, tetapi dia tidak peduli.”
Mangsa kemudian cuba menanggalkan glu berkenaan, tetapi kini bimbang tidak akan dapat melakukan seks pada masa depan.
Menurutnya, dia mahu polis menahan dan penjarakan suaminya kerana bimbang lelaki itu datang dan bertindak lebih kejam.
Lelaki itu melarikan diri selepas kejadian.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/39847#sthash.SHOG0myh.dpuf

Adik bongsu presiden mati dikapak


Colombo: Adik bongsu Presiden Sri Lanka Maithripala Sirisena meninggal dunia semalam selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan kapak, dua hari sebelumnya.
Priyantha Sirisena, 42, parah di kepalanya dalam kejadian di Polonnaruwa. Polis berkata, seorang lelaki ditahan berhubung kejadian itu dan siasatan masih dijalankan.
Maithripala berada di China atas lawatan kerja.
Dalam satu kenyataan, kerajaan berkata, Priyantha diserang ketika pertengkaran dengan rakannya, lewat Khamis lalu.


Dia diterbangkan ke Colombo untuk rawatan kecemasan, tetapi gagal diselamatkan disebabkan kecederaan yang terlalu teruk di kepalanya.
Maithripala yang dilantik Januari lalu berbeza daripada pemimpin terdahulu itu apabila enggan melantik pengawal keselamatan untuk adik-beradiknya, malah dia sendiri mempunyai unit perlindungan yang amat kecil. - AFP
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/40018#sthash.0I5lyS8u.dpuf

‘Saya akan terkenal’


Berlin: Pembantu juruterbang Andreas Lubitz yang dipercayai menghempaskan pesawat Germanwings pernah membayangkan rancangan jahat mahu memastikan dirinya terkenal dalam sejarah penerbangan kepada bekas kekasihnya.

Wanita terbabit membongkar kenyataan itu kepada agensi berita Jerman dengan mengatakan Lubitz sebenarnya memberi ‘petunjuk’ mengenai perancangannya sejak tahun lalu.

“Dia berkata: ‘Satu hari saya akan melakukan sesuatu yang mengubah seluruh sistem dan semua orang akan tahu serta mengingati nama saya.’

“Saya tidak pernah faham maksud yang cuba disampaikannya, namun kini segala-galanya masuk akal. Apabila mengetahui tragedi itu, seolah-olah tahu apa cuba disampaikan Lubitz bermain berulang-kali dalam fikiran ini,” katanya.

Dia menyifatkan Lubitz mempunyai jiwa terseksa, sering bersikap tidak menentu dan bijak menyembunyikan keadaannya yang kurang waras.

Dia juga sering mengigau dengan menjerit ‘Kita sedang jatuh!’

Setakat ini belum ada siasatan dijalankan ke atas wanita terbabit, namun polis akan menyoalnya bagi mengetahui keadaan mental bekas kekasihnya itu.

Pasangan itu berpacaran selama tujuh tahun dan menetap di pinggir Dusseldorf. Mereka didakwa bakal melangsungkan perkahwinan tahun depan.

Wanita itu meninggalkan Lubitz kerana tidak tahan dengan sikapnya yang tidak menentu dan menakutkan.

Sebelum kejadian, Lubitz dilaporkan memesan dua Audi untuk memenangi semula hati wanita terbabit, namun tidak berjaya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2015 @ 5:12 AM

Bunga diletakkan di tempat memperingati mangsa di pekan Le Vernet, berhampiran lokasi nahas.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/40042#sthash.pxEtkwbk.dpuf

Sembunyi cuti sakit


Agensi
Montabaur (Jerman): Pembantu juruterbang yang didakwa sengaja menghempaskan pesawat Germanwings di Alps Perancis hingga menyebabkan semua 150 penumpang di dalam pesawat itu mati Selasa lalu, merahsiakan dia diberi cuti sakit pada hari berkenaan.

Penyiasat Jerman semalam berkata, serbuan yang dilakukan terhadap kediaman Andreas Lubitz menemui dokumen perubatan yang menunjukkan dia memang sakit dan menjalani rawatan perubatan.

Turut ditemui ialah beberapa resit cuti sakit, termasuk untuk hari kemalangan itu.

Penemuan itu menyokong laporan bahawa Lubitz memang menghadapi tekanan perasaan yang teruk, tetapi menyembunyikannya daripada majikan dan rakannya, kata penyiasat di Duesseldorf, bandar di barat Jerman.

Menurut mereka, siasatan terhadap rekod perubatan akan mengambil masa beberapa hari dan hasil siasatan itu akan diumumkan kepada orang ramai sebaik bukti kukuh diperoleh.

Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak menemui sebarang nota atau pengakuan bunuh diri. Mereka juga tidak menemui sebarang tanda menunjukkan tindakan Lubitz itu berpunca daripada politik atau agama.

Laporan sebelum ini menyatakan Lubitz pernah menangguhkan latihannya enam tahun lalu kerana tertekan.

Dia juga dilapor menjalani rawatan psikiatrik selama lebih setahun.

Akhbar Jerman, Bild, melaporkan demikian sehari selepas penyiasat Perancis berkata, mereka percaya Andreas Lubitz, 27, pembantu juruterbang pesawat milik Germanwings, syarikat penerbangan tambang murah milik Lufthansa mengunci kaptennya di luar kokpit dan menjunamkan kapal terbang Airbus A320 itu.

Dalam sidang akhbar kelmarin, Ketua Eksekutif Lufthansa Carsten Spohr mengaku Lubitz berhenti seketika daripada latihannya pada 2009, tetapi tidak menjelaskan sebabnya,

“Dia lulus semua ujian dan penerbangan dengan baik. Kemahirannya menerbangkan pesawat sungguh menakjubkan. Tidak ada apa yang menunjukkan dia menjadi ancaman,” kata Spohr.

Bagaimanapun, Bild yang memetik dokumen daripada Pusat Perubatan Penerbangan Lufthansa melaporkan, Lubitz mengadakan tekanan teruk ketika dia digantung daripada menjalani latihan.

Lufthansa dan pendakwa raya Jerman enggan mengulas laporan itu yang jika sahih sudah pasti menimbulkan persoalan mengenai prosedur menyaring juruterbangnya.

Polis menyerbu kediaman keluarga Lubitz di Duesseldorf dalam usaha mencari bukti.

“Kami mengambil beberapa barangan dan memeriksanya serta-merta,” kata juruckap Dusseldorf.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mac 2015 @ 5:10 AM


SEORANG anggota penyelamat dibawa naik dengan helikopter bersama-sama apa yang dipercayai mayat mangsa nahas pesawat Germanwings dari tempat kapal terbang itu terhempas.

Angkara si pembantu?


Seyne-les-Alpes (Perancis: Pembantu juruterbang pesawat Germanwings yang terhempas di pergunungan Alps dipercayai ‘sengaja’ mengunci kapten pesawat di luar kokpit, kata seorang pegawai penyiasat Perancis semalam.

Namun, penyiasat berkenaan, Brice Robin percaya tindakan itu bukannya satu plot pengganas.

Dalam detik akhir pita rakaman suara kokpit, pembantu juruterbang, Andreas Lubitz, 28, dikatakan sengaja mengemudi pesawat itu terbang rendah ketika berseorangan di kokpit.

Robin berkata, pembantu juruterbang warga Jerman itu juga menunjukkan ‘keinginannya untuk memsunahkan pesawat berkenaan.’

Katanya, penemuan awal itu diperoleh selepas mendengar pita rakaman suara kokpit pada detik akhir sebelum pesawat itu terhempas dan membunuh semua 150 penumpang.

“Semua penumpang mati serta-merta dan mereka mungkin tidak menyedari pesawat itu akan terhempas sehinggalah pada saat akhir.

“Jeritan didengar beberapa saat sebelum terhempas.

“Ketika itu pembantu juruterbang sedang mengemudi pesawat dan enggan membuka pintu kokpit bagi membenarkan kapten masuk,” katanya.

Ujarnya, kapten pesawat yang dipercayai pergi ke tandas berusaha keras memecahkan pintu untuk masuk semula ke kokpit.

“Bunyi ketukan yang kuat boleh didengar pada rakaman berkenaan,” jelasnya.

Sehingga kini penyiasat tidak tahu mengapa pembantu juruterbang berkenaan bertindak sedemikian tetapi mereka menolak unsur pengganas.

Tambah Robin, beliau tidak dapat mengagak motif Lubitz tetapi dia tidak mahu menggunakan motif bunuh diri.

“Biasanya orang membunuh diri berseorangan tetapi apabila 150 nyawa ditangan anda saya tidak menggelarkannya sebagai bunuh diri,” tegasnya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Lufthansa Carsten Spohr terkejut dengan rumusan penyiasat Perancis bahawa pembantu juruterbang itu sengaja menghempaskan pesawat berkenaan.

Sementara itu, satu lagi sumber berkata, penggera kecemasan turut dapat didengar menandakan jarak pesawat itu dengan bumi terlalu dekat sejurus sebelum terhempas.

Katanya, berdasarkan rakaman kokpit juruterbang didengar bercakap seperti biasa dalam bahasa Jerman pada awal penerbangan sebelum seorang daripada mereka keluar.

Selepas serangan 11 September 2001 di New York, langkah keselamatan semakin diperketatkan termasuk kebenaran untuk membuka pintu kokpit hanya boleh dilakukan dengan persetujuan dari juruterbang di dalam kokpit.

Seorang pakar penerbangan mencadangkan satu teori terhadap kejadian itu.

“Jika juruterbang tidak menghalang pesawat daripada terus terbang ke kawasan pergunungan, ia mungkin disebabkan mereka tidak sedarkan diri atau mati, atau mungkin juga mengambil keputusan untuk mati ataupun dibunuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2015 @ 8:36 AM
ANGGOTA polis mengawal lokasi di sekolah Joseph-Koenig-Gymnasium yang dijadikan tempat peringatan 16 remaja dan dua guru sekolah itu yang terkorban.


PASUKAN penyelamat mencari sisa mayat di celah serpihan bangkai pesawat. - See more at: http://www.hmetro.com.my/node/39581#foto

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/39581#sthash.QYoEDqe7.dpuf

Rela mati bini tak cantik


Shiyan (China): Seorang pengantin lelaki yang kecewa kerana dipaksa mengahwini wanita yang hodoh, cuba membunuh diri dengan terjun ke dalam tasik.

Polis tiba di tempat kejadian selepas menerima laporan yang mengatakan lelaki dikenali sebagai Kang Hu cuba melemaskan dirinya dengan menelangkupkan mukanya ke dalam air.

Bagaimanapun, lelaki berkenaan sempat diselamatkan dan dibawa keluar dari air untuk diberi rawatan dan keadaannya kini dilapor stabil.

Menurut pegawai Hou Kunshan yang menemui lelaki terbabit, dia mengesyaki sesuatu tidak kena apabila melihat seorang lelaki terapung dengan muka mengadap ke bawah air.

“Apabila mendekati lelaki terbabit, barulah kami menyedari dia cuba membunuh diri,” katanya.

Selepas keadaan lelaki terbabit reda, polis menyoal mengapa dia sanggup berbuat demikian.

Lelaki itu menjawab: “Saya tidak gembira dengan perkahwinan yang dirancang oleh keluarga kerana wajah wanita itu hodoh, dan sebab itulah saya membuat keputusan untuk membunuh diri.” - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mac 2015 @ 5:13 AM

Anggota bomba mengikat Kang sebelum membawanya ke tempat selamat.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/40047#sthash.SF5Xjm3j.dpuf

Tiga unit rumah hangus


NORAFIZA JAAFAR
29 Mac 2015

 Tiga unit rumah hangus
Tiga unit rumah hangus Api sedang marak ketika anggota bomba tiba di lokasi.

GOMBAK - Tiga unit rumah di Gombak Indah di sini hangus dalam kebakaran dipercayai bermula dari sebuah rumah sewa sebelum merebak ke dua unit berhampiran sekitar jam 3 petang semalam.

Mangsa, Ahmad Ahmad Nabawi, 80 berkata, dia bersama dua anaknya menyedari kejadian sewaktu terdengar jeritan orang ramai memaklumkan rumah jirannya terbakar.

Menurutnya, jaraknya yang terlalu hampir menyebabkan api cepat marak dan dia tidak sempat menyelamatkan apa-apa barangan.

“Saya tengah tidur dalam bilik sebelum anak jerit kata rumah sebelah terbakar. Saya tengok kepulan asap dah tebal tapi belum merebak ke rumah lagi. Disebabkan panik saya hanya terfikir selamatkan diri saja, tak teringat nak ambil apa-apa barang berharga.

“Ubat-ubatan, pakaian dan geran semua hangus terbakar, tapi mujurlah kereta sempat dialihkan salah seorang anak saya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, buat sementara dia akan menumpang di rumah seorang lagi anaknya sebelum apa-apa keputusan dibuat.

“Tak tahu nak anggarkan kerugian berapa, tapi saya dah duduk sini sejak tahun 1987 lagi dan geran juga telah diperoleh, premium juga sudah dibayar.

“Walaupun sedih namun saya bersyukur kerana kami semua selamat,” katanya.

Sementara itu Ketua Operasi Balai Bomba Selayang, Narmizi Hamzah berkata, sebanyak empat unit terlibat, tiga daripadanya hangus seratus peratus sementara seunit lagi alami kerosakan kecil.

“Panggilan diterima jam 3.08 minit dengan jentera pertama dari Rawang tiba ketika rumah sudah 50 peratus terbakar sebelum jentera dari Selayang dan Gombak Selatan tiba. Bantuan turut diterima dari balai Sri Hartamas yang membawa lori tangki.

“Jumlah kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan dan operasi tamat sepenuhnya jam 5 petang. Tiada sebarang kemalangan nyawa dilaporkan,” katanya.

Turun hadir ke lokasi Adun Gombak Setia, Hasbullah Ridzwan bagi meninjau bantuan atau keperluan utama yang diperlukan mangsa.

Katanya, dua keluarga akan ditempatkan ke dewan sementara satu keluarga lagi akan menumpang di rumah saudara.

“Kita juga akan memantau keperluan harian kepada mangsa dengan kerjasama dan bantuan dari JKM serta Lembaga Zakat untuk bantuan bersesuaian,” katanya.

Ibu lega anak berjaya dibawa pulang dari Lombok


ERMA YUSNIDA JUSOH
29 Mac 2015
Ibu lega anak berjaya dibawa pulang dari Lombok
 Urusan mendapatkan pasport untuk Kar See berjalan lancar di Pejabat Imigresen Mataram, Lombok.

KUANTAN - “Saya maafkan dia... saya maafkan lelaki yang bawa anak saya ke Lombok, yang penting sekarang anak saya selamat."

Demikian luah, Lee Choy Fah, 33, ibu kepada remaja perempuan yang dilarikan ke Lombok sejak September 2014.

Choy Fah berkata, anak keduanya, Mun Kar See, 14, dibawa pulang kelmarin dengan bantuan Adun Teruntum, Sim Chon Siang selepas aduan dibuat di Pusat Khidmat Dun Teruntum pada Januari lalu.

Menurutnya, kehilangan anaknya yang mengikut seorang kenalan lelakinya yang bernama Deddy, 26, amat membimbangkannya.

“Walaupun masih geram dengan tindakan lelaki tersebut, tapi dia dah minta maaf dan saya cuba menerima situasi ini dengan baik. Selepas ini, saya akan pastikan anak-anak saya dalam perhatian dan insiden sebegini tak berulang lagi,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Dun Teruntum di sini, semalam.

Choy Fah berkata, sepanjang perjalanan untuk menemui anaknya itu, dia hanya mahu anaknya selamat dan berada dalam keadaan yang sihat.

“Saya gembira dan berterima kasih kepada pihak wakil rakyat yang bekerja keras memastikan usaha bawa pulang anak saya berjaya,” katanya yang bekerja sebagai penoreh getah.

Mun Kar See yang mengenali Deddy sejak setahun lalu dikatakan mengikut lelaki itu ke Lombok selepas mengalami masalah keluarga, namun tidak menyangka akan dibawa di tempat yang jauh seperti itu.

Sementara itu, Chon Siang berkata, tindakan Deddy yang merupakan kaum Sasak membawa Kar See ke Lombok untuk tujuan ‘kawin culik’ adalah bukan satu kesalahan dalam masyarakat mereka.

Bagaimanapun, Kar See bernasib baik kerana belum cukup umur iaitu 16 tahun untuk berkahwin dengan Deddy.

“Dia dibawa tinggal bersama keluarga Deddy sepanjang tempoh tersebut. Namun pada 1 Mac lalu, Kar See menelefon ibunya mengatakan dia dipukul Deddy dan mahu pulang. Sebaik mengetahui perkara itu, saya mendapatkan kerjasama daripada Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur pada 18 Mac lalu,” katanya.

Chon Siang berkata, pihaknya cuba menghubungi nombor telefon yang ada dan berjaya bercakap dengan bapa Deddy.

“Bapa Deddy menceritakan perkara sebenar dan mengakui Kar See berada di rumahnya dan ini memudahkan usaha menyelamatkannya. Bagaimanapun, keadaan Kar See selamat sepanjang berada di rumah Deddy,” katanya.

Chon Siang berkata, pihaknya membuat keputusan ke Lombok pada Selasa lalu selepas mendapat kerjasama pihak berkuasa iaitu Polis dan Imigresen.

Katanya, pihaknya mendengar penjelasan daripada Deddy dan membuat kesimpulan bahawa Kar See mengikutnya atas dasar suka sama suka.

“Saya gembira kerana urusan bawa pulang remaja tersebut berjalan lancar sepanjang tiga hari saya di sana. Malah semua pihak memberikan kerjasama yang baik sehingga kes berjaya diselesaikan,” katanya.

Chon Siang berkata, untuk tindakan selanjutnya, pihaknya mencadangkan agar Kar See melalui sesi kaunseling untuk menghilangkan trauma.

“Malah hasil pemeriksaan perubatan yang dibuat, remaja terbabit tidak dirogol,” katanya.

Dalam pada itu, Kar See yang masih trauma berkata, dia akan mengambil pengajaran daripada insiden tersebut dan tidak akan sewenang-wenang mengikut lelaki yang berbuat baik kepadanya.

Katanya, dia berdepan perjalanan yang sukar dan jauh untuk sampai ke Lombok melalui laluan haram termasuk terpaksa mengharungi laut untuk sampai ke Batam.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang ibu kepada remaja perempuan berumur 14 tahun dari Kampung Baru, Gambang, di sini, mengharapkan anaknya dapat pulang ke pangkuan keluarga setelah dipercayai diculik jirannya yang merupakan warga Indonesia sejak 3 Oktober 2014.

Pemandu jentolak maut nahas


WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Mac 2015
Pemandu jentolak maut nahas
Kereta dipandu mangsa remuk teruk selepas bertembung dengan sebuah treler.

KAMPUNG RAJA - Seorang pemandu jentolak maut selepas kereta Proton Saga FLX yang dipandunya bertembung dengan sebuah treler dalam kejadian di Kampung Batang Gergaji dekat Jabi di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 7.15 pagi itu, mangsa Mohd Sapri Kadir, 36, dari Kampung Telaga Papan, Semerak, Pasir Puteh, Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah berkata, kejadian berlaku apabila kereta dipandu Mohd Sapri yang dalam perjalanan dari arah Jertih ke Kuala Terengganu dipercayai hilang kawalan.

Menurutnya, kenderaan mangsa kemudian memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan lori treler dari arah Kuala Terengganu.

“Akibat pelanggaran itu mangsa tercampak dari kenderaan dan maut di tempat kejadian, manakala kereta dipandu mangsa remuk.

“Pemandu lori berusia 29 tahun dan kelindannya 31 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Besut untuk bedah siasat dan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mohd Sapri dijadualkan bakal melangsungkan perkahwinan dengan tunangnya pada Jun ini dan sebelum kejadian mangsa dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Kemaman.

Awal Ashaari kemalangan di Melaka


WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Mac 2015
Awal Ashaari kemalangan jalanraya di Melaka
 Keadaan kereta Awal yang terlibat dengan kemalangan.

[DIKEMASKINI] PENGACARA terkenal, Awal Ashaari dilaporkan terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Plus ketika dalam perjalanan ke siaran langsung Melodi di Melaka, hari ini.

Berita itu dimaklumkan wartawan Melodi, Zuan Azmi melalui akaun Instagram miliknya, kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.

“Saya ingin memaklumkan bahawa pengacara Melodi, Awal Ashaari terlibat dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Plus berdekatan R&R Ayer Keroh Melaka arah selatan.

“Awal ditemani Izuan Mokhtar dalam perjalanan untuk siaran langsung Melodi dari Jom Heboh Stadium Ayer Keroh,” tulisnya.

Zuan turut berkongsi gambar keadaan kereta Awal yang remuk teruk.

Menurutnya lagi, Awal telah dibawa ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan.

“Awal sudah dibawa ke Hospital Melaka oleh ambulans dan saya masih berada di lokasi kemalangan menunggu pegawai penyiasat dan ‘towing’. Dalam pemerhatian saya, Awal tidak mengalami sebarang kecederaan serius. Sama-sama kita doakan untuk Awal,” katanya lagi.

Sementara itu, isterinya, Scha Al Yahya ketika ditemui di hospital berkenaan berkata, Awal hanya mengalami cedera ringan di bahagian mulut dipercayai akibat terhentak ketika kemalangan itu.

Dalam pada itu, Zuan berkata, tempat Awal sebagai pengacara Melodi digantikan oleh penerbit Micheal dan Liza Hot Fm.

Maut dalam perjalanan ke tempat kerja


MOHD ISKANDAR OTHMAN
29 Mac 2015

 Maut dalam perjalanan ke tempat kerja
Maut dalam perjalanan ke tempat kerja Anggota polis menjalankan siasatan di ​lokasi kejadian.

BAYAN LEPAS - Seorang remaja perempuan maut apabila motosikalnya terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.20 pagi, Poh Siew Tin, 20​,​ dari Jalan Van Praagh,Jelutong di sini dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerjanya di sebuah kilang di kawasan Perindustrian Bebas​ Bayan Lepas di sini.

Mangsa yang menunggang motosikal bersendirian dikatakan gagal mengawal motosikalnya sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Lai Fah Hin berkata, mangsa cedera parah di bahagian kepala dan badan ​serta ​disahkan mati di tempat kejadian.

"Mayat​nya ​dibawa ke Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat​. Polis masih menjalankan siasatan bagi mengetahui punca sebenar kejadian," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

​Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan.

​Orang ramai yang melihat kejadian ​itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Polis tahan 2 lelaki, rampas syabu RM250,000


29 Mac 2015
dadah
 Grafik Sinar Online


LAHAD DATU - Polis menahan dua lelaki dan merampas dadah dipercayai syabu lebih dua kilogram bernilai kira-kira RM250,000 dalam serbuan di pusat bandar ini Jumaat lepas, kata Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Hamzah Ahmad.
 
Beliau berkata, suspek warga tempatan berumur 46 dan 47 tahun itu ditahan pukul 2 petang selepas polis menerima maklumat awam tentang aktiviti pengedaran dadah di sebuah kawasan tempat letak kereta di pusat bandar ini.
 
"Ketika dihampiri polis di kawasan berkenaan seorang daripada suspek cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan tidak jauh dari tempat berkenaan.
 
"Hasil pemeriksaan terhadap sebuah beg yang dibawa seorang daripada suspek,   terdapat dua bungkusan disyaki dadah jenis syabu seberat lebih dua kilogram," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu, di sini hari ini.
 
Hamzah berkata, kedua-dua suspek kini ditahan reman sembilan hari bermula semalam untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. - Bernama

Rumah keluarga Hannah Yeoh dirompak


NUR FARHANA ABDUL MANAN
29 Mac 2015
Hannah Yeoh Tseow Suan
 Hannah Yeoh Tseow Suan

SUBANG JAYA – Kediaman milik ibu bapa kepada Speaker Kerajaan Negeri Selangor, Hannah Yeoh Tseow Suan dipecah masuk lima lelaki bersenjatakan parang, di USJ, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, bapa dan adik lelaki kepada Adun Subang Jaya itu turut diikat suspek yang memakai topeng ski serta bersarung tangan.

Hannah Yeoh berkata, ibu, pembantu rumah, nenek saudara dan anak saudara perempuannya pula dipaksa menutup kepala masing-masing dengan selimut.

Beliau berkata, sebelum itu, adik lelakinya leka mengemas laman rumah sebelum kelima-lima lelaki terus menyerbu masuk dan mengacukan parang.

Suspek kemudian menggeledah keseluruhan rumah antara 15 dan 20 minit sebelum melarikan sejumlah wang tunai, barang kemas, pelbagai jenis minuman keras dan beberapa kotak sarang burung.

Penjenayah terbabit kemudian melarikan diri menaiki kenderaan yang tidak dapat dikenalpasti.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Tan Ah Chua ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira jam 11 pagi, sepasukan anggota bergegas ke rumah ibu bapa wakil rakyat itu untuk membuat pemeriksaan dan siasatan.

Dua lelaki rompak barang kemas RM100,000


29 Mac 2015


BUKIT MERTAJAM - Dua lelaki bersenjatakan tukul besi melarikan satu dulang barang kemas bernilai RM100,000 dalam kejadian rompakan yang berlaku tidak sampai seminit di sebuah kedai emas di Jalan Pasar, di sini hari ini.
 
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor berkata dalam kejadian 12.35 tengah hari itu, dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal itu  memberhentikan kenderaan mereka di hadapan kedai emas tersebut.
   
"Dua lelaki memakai kemeja putih dan bertopi keledar penuh itu masuk ke dalam kedai berkenaan dan seorang daripada mereka bertindak memecahkan cermin pameran emas dengan menggunakan tukul besi.
     
"Rakannya bertindak mengaut semua barang kemas dalam dulang berkenaan sebelum melarikan diri. Kejadian itu berlaku tidak sampai seminit," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
     
Beliau berkata, ketika kejadian terdapat dua pelanggan dan empat pekerja dalam kedai berkenaan dan mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.  
   
"Kejadian itu berlaku dengan pantas dan mereka yang berada dalam kedai berkenaan tidak sempat berbuat apa-apa. Terdapat CCTV dalam premis berkenaan dan polis sedang meneliti rakamannya untuk siasatan lanjut," katanya.
   
Rusli berkata, semakan ke atas nombor pendaftaran motosikal yang digunakan dua lelaki berkenaan mendapati ia nombor palsu.
   
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. - Bernama

Sikap pelik Lubitz didedah


29 Mac 2015

 Germanwings: Juruterbang terkunci luar kokpit
Germanwings: Juruterbang terkunci luar kokpit

DUESSELDORF - PERANCIS. Bekas teman wanita kepada pembantu juruterbang pesawat Germanwings, Andreas Lubitz mendedahkan sikap ganjil lelaki berkenaan sebelum pesawat itu terhempas di Banjaran Alps, Perancis.

Menurut AFP, Maria W, 26, berkata Lubitz pernah memberitahunya bahawa satu hari nanti dia akan mengubah seluruh sistem dan semua akan mengingati namanya.

Menurutnya lagi, Lubitz pernah mengalami mimpi pesawat terhempas.

“Saya tak tahu apa yang dia maksudkan, tapi sekarang baharu saya faham,” katanya kepada akhbar Jerman, Bild.

Kelmarin, pasukan penyiasat menemui surat cuti sakit termasuk yang dikeluarkan pada hari nahas (Selasa) yang disembunyikan Lubitz di rumahnya.

Siasatan awal mendapati Lubitz, 28, sengaja menjunamkan pesawat itu ke pergunungan Alps sehingga membunuh kesemua 150 penumpang dan krew.

Pesawat Air Canada terbabas langgar tiang elektrik


29 Mac 2015

 Air Canada
Air Canada Air Canada

HALIFAX - KANADA . Pesawat Air Canada yang membawa 135 penumpang dan lima anak kapal dilaporkan terbabas sewaktu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Halifax Stanfield di Nova Scotia, kata jurucakap lapangan terbang, Peter Spurway.

Memetik laporan CNN, tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden itu dan pesawat  penerbangan 624 dari Toronto itu dikatakan berada dalam keadaan yang agak teruk.

Namun, menurut kenyataan Air Canada, 23 penumpang telah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Salji tebal dilaporkan ketika kejadian namun Spurway berkata masih belum jelas sama ada cuaca itu menjadi punca kemalangan.

Susulan kejadian itu, lapangan terbang tersebut bergelap akibat terputus bekalan elektrik namun pihak Nova Scotia Power kemudiannya memaklumkan bahawa bekalan elektrik telah dikembalikan.

Lebih 50 orang cedera kereta api bertembung


28 Mac 2015

 Lebih 50 orang cedera kereta api bertembung
Lebih 50 orang cedera kereta api bertembung Anggota penyelamat bertungkus-lumus menyelamatkan mangsa.

BANGKOK - THAILAND. Lebih 50 penumpang cedera selepas dua buah kereta api bertembung di wilayah Ayutthaya, Thailand, semalam.

Kemalangan pada pukul 10.15 malam (waktu tempatan) itu berlaku apabila kereta api laju dari Bangkok ke Denchai melanggar bahagian belakang sebuah kereta api ekspres yang tidak bergerak.

"Daripada 52 mangsa cedera, enam orang dimasukkan ke hospital manakala dua lagi berada dalam keadaan kritikal," menurut pegawai kanan Kereta api Negeri Thailand, Thanongsak Kongprasert.

Difahamkan, dua mangsa kritikal adalah pemandu kereta api dan seorang juruteknik.

Dalam perkembangan lain, satu jawatankuasa khas yang ditugaskan merangka perlembagaan baharu Thailand meluluskan fasal bagi memberikan pengampunan kepada pemimpin pada rampasan kuasa tahun lalu.

Sumber dalam Jawatankuasa Penggubalan Perlembagaan (CDC) mengesahkan, ia mengambil masa kurang lima minit untuk meluluskan fasal semua artikel dalam piagam interim semasa seperti yang diarahkan junta.

Setelah siap, draf perlembagaan perlu diluluskan oleh junta selaku pemerintah negara sebelum disahkan di dalam referendum.  - AFP

30 individu dilapor cedera dalam kebakaran besar


WARTAWAN SINAR HARIAN
27 Mac 2015

 30 individu dilapor cedera dalam kebakaran besar
 Kebakaran melibatkan dua blok bangunan dan bermula di bangunan nombor 121, 2nd Avenue.
30 individu dilapor cedera dalam kebakaran besar
NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Lebih 30 individu dilapor tercedera dalam satu kebakaran besar di Manhattan semalam, lapor portal Business Insider.

Memetik laporan portal tersebut, kebakaran yang melibatkan dua blok bangunan setinggi empat hingga lima tingkat itu bermula di bangunan nombor 121, 2nd Avenue yang akhirnya merebak ke bangunan bernombor 123, 2nd Avenue.

Menurut saksi kejadian, ada yang mendengar bunyi letupan di bangunan pertama sebelum percikan api mula kelihatan dan merebak ke sekitar bangunan.

Lebih 200 ahli bomba dilapor terlibat dalam usaha memadam kebakaran manakala puluhan paramedik bersedia merawat mangsa yang tercedera.

Kebakaran tersebut menyebabkan seluruh kawasan itu ditutup sepenuhnya.

17 terbunuh serangan hotel di Somalia


29 Mac 2015

 17 terbunuh serangan hotel di Somalia
17 terbunuh serangan hotel di Somalia Penduduk membantu mangsa yang cedera selepas sebuah bom kereta diletupkan di luar hotel Maka al-Mukaram di Mogadishu, kelmarin. Foto oleh AFP

MOGADISHU - SOMALIA. Pihak berkuasa Somalia mengesahkan 17 terbunuh dalam serangan di sebuah hotel di Mogadishu, semalam.

Menurut Press TV, jurucakap polis, Kapten Mohamed Hussein berkata insiden serangan itu berakhir dalam tempoh 12 jam.

Kelmarin, sekumpulan lelaki bersenjata menyerbu hotel Maka al-Mukaram di tengah Mogadishu dan menjadikan beberapa kakitangan dan pelanggan hotel sebagai tebusan.

Kumpulan pemberontak al-Shabaab, mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan berkenaan.

Cedera angkara bom kluster Israel


29 Mac 2015
 Cedera angkara bom kluster Israel
Cedera angkara bom kluster Israel Mangsa yang cedera di bawa ke hospital di bandar Tyre.

BEIRUT - LUBNAN. Sekurang-kurangnya lapan kanak-kanak cedera dalam satu letupan di selatan Lubnan, kelmarin.

Menurut Reuters, saksi berkata, letupan berpunca daripada bom kluster lama milik Israel yang digugurkan di kawasan itu semasa perang Israel-Lubnan pada 2006.

Bom roket berangkai itu meletup ketika mereka bermain di perkampungan Zibqin, beberapa kilometer dari sempadan Israel.

"Dua kanak-kanak mengalami kecederaan parah dan salah seorang daripada mereka dalam keadaan kritikal," kata anggota paramedik.

Militan al-Shebab serang hotel, 14 maut



AFP - SEORANG anggota keselamatan berjalan melintasi tiga mayat militan al-Shebab di Hotel Maka al-Mukarama di Mogadishu, Somalia semalam.


MOGADISHU – Sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh dalam serangan militan al-Shebab ke atas sebuah hotel di ibu kota Somalia di sini, kata beberapa pegawai keselamatan negara itu kelmarin.
“Sekurang-kurangnya 14 orang maut termasuk duta Somalia ke Switzerland yang berada di hotel itu,” kata seorang pegawai keselamatan tersebut.
Sumber berkenaan menambah, pasukan khas Somalia telah memasuki Hotel Maka al-Mukarama dan dalam proses menguasainya selepas pertempuran sengit selama beberapa jam.
Menurut seorang pegawai keselamatan lain, kira-kira lima lelaki bersenjata telah memasuki hotel itu selepas meletupkan sebuah bom kereta di luar pagar belakangnya.
“Seorang penyerang bersenjatakan sepucuk mesingan berat. Kebanyakan kematian melibatkan pengawal keselamatan yang melawan kumpulan penyerang itu,” katanya.
Seorang lagi pegawai ke­selamatan berkata, semua penyerang itu dibunuh selepas pertempuran lebih tiga jam.
Al-Shebab merupakan kumpulan militan yang berpangkalan di Somalia dan setia kepada rangkaian al-Qaeda. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0329&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3Vmf2OEHi 
Hakcipta terpelihara 

Tragedi MPV rempuh kerbau





JITRA – Kegembiraan lima rakan keluar makan dan bersiar-siar di sekitar Alor Setar berakhir tragedi apabila kende­raan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka merempuh seekor kerbau di Kilometer 22.3 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara di sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, ke­semua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Bukit Kayu Hitam dekat sini.
Akibat rempuhan kuat itu, MPV jenis Chery Easter terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar tiang elektrik lalu terbalik.
Mangsa, Muhamad Amirul Abdul, 19, yang tercampak ke luar sebelum dihempap kenderaan tersebut meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala, manakala dua rakannya cedera parah dan dua lagi cedera ringan.
Kenderaan tersebut dipercayai dipandu oleh Shaarifuddin Azhar, 21, yang cedera parah akibat kemalangan itu.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd. Rahim Abdullah berkata, kejadian dipercayai berlaku selepas kenderaan dinaiki kesemua mangsa merempuh seekor kerbau yang cuba melintas jalan.
Beliau berkata, kerbau yang dirempuh itu tercampak ke laluan bertentangan sejauh kira-kira tujuh meter dan mati.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0329&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz3VmekYiII 
Hakcipta terpelihara 

Kereta Pembantu Menteri terbakar langgar bas mini



KERETA rasmi Pembantu Menteri yang terbakar di Jalan Kalansanan-Tuaran, Kota Kinabalu semalam.


KOTA KINABALU – Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Edward Yong Oui Fah (gambar) berdepan detik cemas selepas kereta rasmi yang dinaikinya terbakar dalam kejadian di Jalan Kalansanan-Tuaran di sini pagi semalam.
Kejadian pukul 8.40 pagi itu berlaku ketika beliau dalam perjalanan menghadiri majlis rasmi di Kota Marudu sebelum kereta jenis Volvo yang dipandu pemandunya terlanggar sebuah bas mini.
Semasa kejadian bas mini berke­naan tidak membawa penum­pang.
Pelanggaran itu menyebabkan bahagian hadapan kereta berke­naan terbakar, namun Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN) Tanjung Aru itu dan pemandunya sempat keluar menyelamatkan diri.
Pemandu bas mini yang berusia 53 tahun juga terselamat.
Sementara itu, Pegawai Perhubu­ngan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Mohd Affendy K Ramin ketika dihubungi berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba Lintas dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kira-kira jam 9.07 pagi.
“Kereta yang terbakar kira-kira 60 peratus itu berjaya dipadamkan lima minit kemudian,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0329&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz3Vme2Msu6 
Hakcipta terpelihara 

Pemandu teksi maut ditetak



Mohamad Syukur


SHAH ALAM – Gara-gara berebut seorang wanita warga Indonesia, seorang pemandu teksi maut ditetak oleh seorang lelaki warga Bangladesh di sebuah rumah di Jalan Kepayang, Klang dekat sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 10.10 malam, Mohd. Alias Mahani, 55, ditemui tertiarap dalam keadaan berlumuran darah di salah sebuah bilik di rumah suspek tersebut.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong berkata, sebelum kejadian, mang­sa dikatakan telah bertemu dengan lelaki Bangladesh itu yang berusia dalam lingku­ngan 30-an di hadapan sebuah kedai kosong di Batu 1/2, Jalan Meru, Klang dekat sini.
“Menurut seorang saksi yang juga rakan Mohd. Alias, mangsa yang cemburu melihat kemesraan lelaki Bangladesh itu dengan teman wanitanya yang dikenali sebagai Warti telah bertemu suspek untuk mendapat penjelasan.
“Saksi yang ketika itu berada di dalam teksi mangsa telah bertindak masuk campur dan menolak bahu suspek setepas melihat Mohd. Alias dan lelaki Bangladesh itu bertengkar serta tolak-menolak,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.
Mohamad Shukor berkata, tindakan saksi kejadian itu telah menyebabkan suspek melarikan diri ke arah Jalan Kepayang de­ngan dikejar oleh mangsa.
Katanya, risau setelah kelibat Mohd. Alias dan suspek hilang daripada pandangan, saksi de­ngan bantuan seorang rakannya yang lain cuba mencari mangsa di kawasan sekitar namun gagal.
“Selepas sejam, mereka menghubungi Warti. Wanita itu kemudiannya membawa mereka ke rumah lelaki Bangladesh tersebut yang terletak hampir satu kilometer dari Batu 1/2, Jalan Meru dan seterusnya membawa kepada penemuan mayat Mohd. Alias,” katanya.
Mohamad Shukor berkata, mayat mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala dipercayai ditetak dengan parang telah dibawa ke Unit Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dekat sini untuk dibedah siasat.
Beliau berkata, suspek dipercayai telah melarikan diri de­ngan senjata yang digunakan dalam pembunuhan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0329&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm#ixzz3VmeF5f6Y 
Hakcipta terpelihara 

Polis temui petunjuk nahas 4U9525



ANGGOTA penyiasat nahas Germanwings menggeledah rumah pembantu juruterbang, Andreas Lubitz di pekan Montabaur, Jerman kelmarin.


BERLIN – Polis yang menyiasat pembantu juruterbang Andreas Lubitz berhubung nahas penerbangan Germanwings membuat ‘penemuan penting’ di kediamannya, menurut beberapa laporan.
Polis mengesahkan penemuan itu bukan nota bunuh diri tetapi enggan mendedahkan butiran lanjut memandangkan siasatan mengenainya masih berjalan.
Lubitz, 28, sengaja menghempaskan pesawat Airbus A320 itu ke banjaran Alps Perancis selepas mengunci dirinya di dalam kokpit sekali gus menyebabkan semua 150 penumpang dan krunya terbunuh.
“Kami menggeledah untuk mengetahui sama ada kami dapat menemui petunjuk yang dapat menjelaskan apa yang berlaku
“Kami telah menemui sesuatu dan akan menyerahkannya untuk diuji,” kata pegawai polis bandar raya Dusseldorf, Markus Niesczery.
“Kami tidak dapat mendedahkan penemuan itu buat masa ini tetapi ia petunjuk penting mengenai nahas berkenaan,” tambahnya.
Germanwings mengeluarkan satu kenyataan semalam selepas pendedahan bahawa pesawat Airbus A320 milik syarikat penerbangan tambang murah berkenaan sengaja dijunamkan oleh Lubitz.
“Kami terkejut dan sedih mendapati pesawat yang terhempas di selatan Perancis itu sengaja dijunamkan oleh pembantu juruterbang Penerbangan 4U9525 (Lubitz),” kata kenyataan tersebut.
Berdasarkan rakaman audio daripada perakam suara kokpit, pihak berkuasa Perancis merumuskan bahawa selepas pesawat itu mencapai altitud penerbangan, juruterbangnya keluar seketika daripada kokpit dan tidak dapat masuk semula akibat dikunci dari dalam oleh Lubitz.
Rakaman kotak hitam itu juga mendapati Lubitz bernafas seperti biasa ketika pesawat itu menjunam dari ketinggian sekitar 9,144 meter dalam tempoh hanya lapan minit sebelum terhempas di Banjaran Alps Perancis. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0328&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3Vmczxh83 
Hakcipta terpelihara 

Hempas pesawat kerana kecewa



GAMBAR fail yang disiarkan kelmarin menunjukkan Lubitz menyertai Larian Lapangan Terbang Hamburg di Hamburg, Jerman pada 13 September 2009.


BERLIN – Pembantu juruterbang Germanwings yang menghempaskan sebuah pesawat Airbus A320 di Banjaran Alps Perancis memberitahu bekas teman wa­nitanya bahawa “suatu hari nanti, semua orang akan tahu nama saya”, menurut akhbar Jerman, Bild.
Semua 150 penumpang dan kru Penerbangan 4U9525 itu maut dalam nahas tersebut.
Dalam wawancara bersama Bild, pramugari berusia 26 tahun itu yang dikenali sebagai Maria W berkata, dia teringat apa yang diberitahu pembantu juruterbang berkenaan, Andreas Lubitz kepadanya apabila mendengar berita nahas Penerbangan 4U9525.
“Suatu hari nanti, saya (Lubitz) akan melakukan sesuatu yang akan mengubah keseluruhan sistem dan semua orang akan tahu dan ingat nama saya,” katanya kepada Bild.
Perakam suara kokpit menunjukkan Lubitz, 27, mengunci pintu kokpit pada Selasa lalu dan sengaja menerbangkan pesawat Airbus A320 itu ke lereng gunung, kata beberapa pegawai Perancis.
Mereka berkata, nahas Penerbangan 4U9525 merupakan perbuatan bunuh diri dan pembunuhan beramai-ramai.
Terdahulu, pendakwa raya Jerman mendedahkan bahawa polis merampas beberapa dokumen perubatan semasa menggeledah kediaman Lubitz tetapi enggan mendedahkan penyakitnya.
Namun, menurut beberapa akhbar tempatan, dokumen itu menunjukkan Lubitz mengalami kemurungan atau depresi yang serius.
Menurut Bild, Maria terbang bersama Lubitz dalam sejumlah penerbangan di Eropah selama lima bulan pada tahun lalu dan mereka dipercayai menjadi pasangan kekasih.
“Jika Lubitz sengaja menghempaskan kapal terbang itu, dia melakukannya ke­rana kecewa impiannya untuk menjadi juruterbang penerbangan jarak jauh tidak akan tercapai disebabkan oleh masalah mentalnya,” kata Maria.
Menurutnya, mereka berpisah kerana sakit mental yang dialami lelaki itu.
“Pada waktu malam dia akan terjaga dan menjerit, kita akan terhempas,” tambah wanita itu.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Lufthansa memberitahu bahawa Lubitz pernah menggantung latihannya sebagai juruterbang untuk suatu tempoh pada 2008 sebelum menjalaninya semula dan disahkan layak mengendalikan pesawat Airbus A320 pada 2013. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0329&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3Vmc2AW2z 
Hakcipta terpelihara