Dalam satu sidang media, Robin berkata, maklumat daripada Perakam Suara Kokpit (CVR) pesawat menunjukkan Lubitz, 28, bersendirian di dalam kokpit pesawat tersebut selepas juruterbangnya, yang dikenal pasti sebagai rakyat Jerman, Patrick S keluar dari bahagian tersebut dipercayai untuk ke tandas.
Katanya, Lubitz seorang rakyat Jerman dengan sengaja enggan membuka semula pintu kokpit ketika diminta kapten pesawat itu dan mula menjunamkan pesawat tersebut selama lapan minit sebelum terhempas.
Keadaan di dalam kokpit pesawat pada ketika itu agak senyap, manakala kapten kapal bergelut untuk membuka semula pintu berkenaan.
Malah, Lubitz dipercayai masih hidup sebelum pesawat dari Barcelona ke Duesseldorf yang membawa 144 penumpang dan enam krew itu menghentam kawasan pergunungan tersebut.
“Kami dengar Patrick meminta pembantunya mengambil alih kawalan pesawat dan pada masa sama, kami dengar bunyi kerusi diundurkan ke belakang dan bunyi pintu ditutup.
“Pada ketika itu, Lubitz menerbangkan pesawat itu sendirian sebelum dipercayai menekan butang sistem kawalan pesawat yang mengarahkan pesawat menjunam,’’ kata Robin sebagaimana lapor portal BBC.
Robin berkata, tindakan menjunamkan pesawat pada ketinggian itu memang disengajakan.
“Teori yang paling munasabah adalah, pembantu juruterbang terang-terangan enggan membenarkan kapten memasuki kokpit. Dia sebaliknya menekan butang menyebabkan pesawat menjunam.
“Kami tidak tahu apa sebab dia berbuat demikian, tetapi nampaknya dia memang mahu memusnahkan penerbangan 4U 9525,” katanya.
Robin berkata, pusat kawalan trafik udara berulang kali cuba menghubungi pesawat itu, namun gagal.