Search This Blog

Thursday, March 26, 2015

Ular Tedung 12 Meter Kejutkan Penduduk Kampung


Diterbitkan: Khamis, 26 Mac 2015 9:58 AM

KOTA KINABALU: Seorang penduduk kampung di utara Kudat dikejutkan dengan penemuan seekor ular tedung selar sepanjang 12 meter di tempat letak kereta di rumahnya.
Bakir Ahmidul dari Kampung Tinutudan menemui ular itu berhampiran dengan pasu bunga selepas dia pulang ke rumah dari tempat kerja kira-kira pukul 4.40 petang Rabu.
Dia kemudiannya segera menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Afendy Ramin berkata, penangkapan haiwan reptilia itu mengambil masa kurang daripada 20 minit. 
Tambahnya, ular itu kini disimpan di Balai Bomba Kudat dan akan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Sah: Pengacara Popular Top Gear, Jeremy Clarkson Dipecat


Diterbitkan: Khamis, 26 Mac 2015 8:58 AM
Jeremy Clarkson (kiri) ketika berhadapan dengan para wartawan berhubung isu kontroversinya bersama BBC. Dia kini dipecat sebagai hos program kereta, Top Gear.

LONDON: Perbadanan Penyiaran British (BBC) telah mengambil keputusan untuk berpisah dengan pengacara popular dan kontroversi mereka, Jeremy Clarkson dengan tidak memperbaharui kontraknya yang kebetulan akan tamat menjelang hujung minggu ini.
Keputusan itu dibuat setelah satu jawatankuasa siasatan dalaman mendapati Clarkson melakukan satu serangan fizikal tanpa provokasi ke atas rakan sekerjanya iaitu penolong penerbit Top Gear, Oisin Tymon awal bulan ini.
Pengumuman mengenai keputusan yang sudah pastinya mengundang pelbagai reaksi positif dan negatif itu dibuat oleh Ketua Pengarah BBC, Lord Tony Hall.
Ekoran pemecatan Clarkson, kedudukan dua orang rakan hosnya, James May dan Richard Hammond masih belum ditentukan lagi oleh BBC.
Kedua-duanya menyatakan rasa terkejut dan sedih berakhirnya satu era yang menakjubkan dengan pemecatan Clarkson.
Mereka tidak menyatakan sama ada akan menyambung tugas bersama BBC dengan ketiadaan Clarkson. Sepertimana Clarkson, Hammond dan May juga adalah kakitangan kontrak BBC.
Hall telah mengarahkan Pengawal Rancangan BBC 2, Kim Shillinglaw untuk mengkaji semula format Top Gear tahun depan. Dia tidak menyatakan apa yang akan dilakukan dengan baki program Top Gear sepanjang tahun ini.
Kata Hall, BBC tidak mengambil keputusan ini secara mudah dan menyedari yang ia akan mengundang reaksi yang pelbagai.
Bagaimanapun tegas Hall, tindak-tanduk Clarkson bagaikan 'telah melanggari sempadan' dan perbuatannya itu tidak boleh dibiarkan begitu sahaja atau ditutup sebelah mata hanya kerana dia adalah pengacara BBC paling popular.
Sebagai sebuah stesen penyiaran yang mempunyai integriti, BBC katanya, tidak boleh dilihat mempunyai dua standard yang berbeza di kalangan kakitangannya.
Walaupun Clarkson dan Top Gear menjana pendapatan yang besar untuk stesen televisyen itu tetapi BBC katanya masih berfungsi atas wang pembayar cukai.
Clarkson telah digantung tugas sejak 10 Mac lalu selepas isu dia menumbuk Oisin Tymon tersebar luas dalam media sosial dan internet.
Sejak itu, program Top Gear telah dihentikan buat sementara waktu manakala empat program siaran langsungnya yang dijadualkan di Norway hujung minggu ini turut dibatalkan walaupun tiket untuk penonton menyaksikannya habis dijual.
Insiden yang berlaku di Hotel Yorkshire pada awal bulan ini, dikatakan berpunca daripada hidangan makan malam yang sejuk selepas sehari suntuk krew rancangan itu selesai menjalani proses pengambaran di kawasan berhampiran.
Clarkson yang terkenal dengan sikap panas barannya telah hilang sabar lalu menghayunkan penumbuk ke muka Tymon tanpa sebarang provokasi dan kemudian melemparkan rasa marahnya ke atas penolong penerbit itu dengan kata-kata kesat dan makian.
Menurut Hall, siasatan yang dijalankan mendapati, selepas ditumbuk, Tymon terpaksa mendapatkan rawatan di Wad Kecemasan sebuah hospital akibat pendarahan pada bibir.Insiden itu, jelasnya, berlaku dalam tempoh 30 saat dan hanya berhenti selepas dileraikan oleh saksi-saksi yang lain.
Bagaimanapun serangan verbal terhadap Tymon berterusan selepas dia ditumbuk dengan Clarkson membuat ugutan untuk memastikan Tymon disingkir dari krew Top Gear.
Tymon selepas itu tidak memfailkan aduan rasmi berhubung insiden tersebut sebaliknya Clarkson yang pergi mengadap pengurusan tertinggi menceritakan apa yang terjadi.
Akibatnya, Pengarah Program BBC, Danny Cohen, merasakan yang dia tidak mempunyai pilihan melainkan menggantung tugas Clarkson sehingga satu jawatankuasa siasatan dalaman ditubuhkan dan menyiasat kejadian itu.
Susulan daripada keputusan untuk mengantungkan tugas Clarkson itu, BBC telah menghentikan penyiaran siri Top Gear termasuk program-program yang belum dirakamkan lagi sehingga satu keputusan rasmi berhubung nasib Clarkson dibuat.
Bagaimanapun para peminat setia Top Gear memprotes dengan mengumpulkan tanda tangan mendesak supaya BBC menarik balik keputusan untuk mengantung tugas Clarkson dan menyiarkan semula program Top Gear seperti sediakala.
BBC enggan tunduk kepada tekanan itu.
Sementara itu, Hall dalam pengumumannya turut menegaskan bahawa apa yang telah terjadi ini tidak akan sedikit pun memadam sumbangan Clarkson kepada BBC dan Top Gear.
Manakala Tymon pula dalam satu kenyataan ringkas berkata, dia berterima kasih kepada BBC di atas siasatan yang telus dan mendalam berhubung insiden yang sangat-sangat dikesali ini.
"Saya telah berkhidmat dengan Top Gear sudah hampir sedekad dan ia adalah program yang saya sangat-sangat sayangi serta dekat di hati dan sepanjang tempoh tersebut, Jeremy dan saya mempunyai hubungan kerja yang sangat baik dan positif.
"Dia adalah seorang yang berbakat luar biasa dan saya sedar, ramai yang akan rasa kecewa khidmatnya bersama Top Gear akan berakhir begini," ujarnya.
Dan nampaknya kontroversi itu tidak akan berakhir begitu sahaja kerana Polis Daerah Yorkshire Utara telah membuat pengumuman yang mereka akan menyiasatan insiden tersebut sebagai satu kes jenayah.
Perdana Menteri David Cameron dalam reaksi segera berkata, episod ini hanya membuktikan satu perkara iaitu perbuatan kasar, ganas dan pencabulan ke atas hak pekerja lain tidak boleh diterima dalam budaya kerja di mana-mana pun tidak kira betapa popularnya seseorang itu.
Top Gear, yang merupakan program paling popular BBC adalah program mengenai kenderaan kini akan diteruskan tanpa Clarkson, buat pertama kali dalam sejarahnya sejak ke udara pada tahun 1988.
Program ini ditayangkan di lebih 200 buah negara dan menjana pendapatan sehingga £50 juta setahun kepada BBC.
Clarkson yang menjadi jutawan apabila dia menjual hak penyiaran rancangan itu kepada BBC kini akan menjadi subjek rebutan stesen-stesen televisyen yang lain.
Statistik Semasa Top Gear:
> Ditonton oleh lebih 350 juta orang di seluruh dunia.
> Sejak 2002, lebih 170 episod telah dirakamkan.
> Mempunyai lebih 3 juta pengikut YouTube
> Majalah Top Gear dicetak sebanyak 1.7 juta naskhah sebulan dan diedarkan di seluruh dunia.

Suami Diperintah Bela Diri Tuduhan Bunuh Eksekutif Pentadbiran TV9


Diterbitkan: Khamis, 26 Mac 2015 2:04 PM
Norazman (tengah) dibawa oleh polis ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Khamis. Foto K.K. SHAM / THE STAR

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini Khamis memerintahkan suami kepada eksekutif pentadbiran TV9 Nur Syaleza Jaffar, membela diri atas tuduhan membunuh wanita itu, tiga tahun lepas.
Hakim, Datuk Abdul Halim Aman memutuskan sedemikian selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
Mahkamah menetapkan Jumaat bagi tertuduh, Norazman Bashah Ahmad Azam Bashah, 34, membela diri.
Terdahulu, tertuduh memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia akan memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi.
Seramai 24 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula 16 Oktober tahun lepas.
Norazman Bashah didakwa membunuh Nur Syaleza, 31, di kediaman mereka di satu alamat di Apartmen Saujana, Jalan PJU 10/1C, Damansara Damai, Petaling Jaya, antara 12 tengah hari hingga 7.30 malam, 28 Julai 2012.
Bekas eksekutif bahagian teknologi maklumat syarikat gas dan minyak itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Rosidah Abu Bakar dan T. Deepa Nair sementara tertuduh diwakili peguam Muhammad Fadhli Sutris dan Shah Rizal Abdul Manan.

Penganggur Didakwa Buat 165 Panggilan Lucah Sehari


Diterbitkan: Khamis, 26 Mac 2015 2:18 PM

SEORANG penganggur didapati membuat 165 panggilan lucah sehari yang dibuat secara rambang kepada individu tidak dikenali menggunakan nombor yang diperoleh daripada buku telefon, dan kegiatan itu berlanjutan selama tiga bulan.
Amjid Khan, 39 ditahan selepas beberapa mangsa mengenalinya dan memaklumkan mengenai kelakuannya itu kepada pihak polis.
Selepas kes gangguan seks membabitkan penganggur itu dibicarakan di mahkamah, Sarjan Adrian Mchugn berkata: "Jumlah panggilan tersebut amat mengejutkan."
"Dalam tempoh tiga bulan, dia telah membuat 15,000 panggilan seksual.
"Dia akan memilih nombor daripada buku telefon secara rambang dan kemudiannya akan mengeluarkan kata-kata lucah kepada mangsa yang menjawab panggilannya."
Khan didapati melakukan beribu-ribu panggilan "tidak senonoh" berdasarkan siasatan yang dijalankan oleh pihak polis selama 18 bulan.
Khan yang hadir di Mahkamah Preston mengaku bersalah melakukan perkara itu ke atas orang awam.
Dia dibebaskan dengan jaminan dan akan disabitkan hukuman pada 30 April depan.
Polis menjalankan siasatan selama 18 bulan berdasarkan butiran panggilan telefon bagi mengesan panggilan lucah yang dibuat Khan dalam tempoh 91 hari. - MIRROR

Rakaman Cubaan Ragut Bawa Penahanan Suspek


Diterbitkan: Khamis, 26 Mac 2015 2:44 PM

PETALING JAYA: Rakaman cubaan ragut yang diambil daripada sebuah kamera di bahagian 'dashboard' kenderaan membawa kepada penahanan suspek.
Video tersebut yang kini menjadi viral di Facebook menunjukkan seorang wanita warga emas sedang menunggu untuk menyeberang jalan.
Ketika kejadian, dua lelaki menaiki motosikal melalui jalan itu dan meragut beg tangan milik wanita berkenaan, namun mangsa dapat mempertahankannya dengan memegang beg tersebut dengan kuat sehingga menyebabkan dia diseret di sepanjang jalan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Azmi Abu Kassim berkata, insiden itu berlaku di Jalan 20/16A di sini kira-kira pukul 10.20 pagi Rabu.
"Lau Hong Leng, seorang suri rumah berusia 40 tahun menyaksikan kejadian itu ketika dia berada di dalam kereta semasa menunggu suaminya.
"Dia kemudiannya membuat laporan polis yang disertakan dengan nombor plat kenderaan yang dirakamkan di dalam video itu," katanya ketika dihubungi.
Maklumat yang diberikan itu membawa kepada penahanan dua suspek berusia 21 dan 24 tahun.
Azmi berkata, mangsa dikenali sebagai Seow Wah Yin, 76, mengalami kecederaan di bahagian dahi, lengan kanan dan kaki akibat diseret di sepanjang jalan.
"Dia berjaya memegang kuat beg tangannya," katanya, sambil menambah wanita itu menerima rawatan di sebuah klinik berdekatan selepas kejadian berlaku.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana merompak.

Tiga Maut, Seorang Cedera Parah Kemalangan Di NKVE


Diterbitkan: Khamis, 26 Mac 2015 10:58 AM
Keadaan salah sebuah kereta yang remuk teruk selepas terbabit dalam kemalangan di Km14.4 NKVE di Subang menghala ke Damansara, pagi Khamis. Foto twitter @bombaJBPM

KUALA LUMPUR: Tiga maut manakala seorang cedera parah dalam kemalangan membabitkan sebuah lori sampah 10 tan dengan empat kereta di Km14.4 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) di Subang menghala ke Damansara, pagi Khamis.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan berkenaan kemalangan itu pada pukul 6.50 pagi.
Laporan awal kejadian mendapati seorang lelaki dan dua wanita dipercayai warga tempatan disahkan meninggal dunia oleh pihak ambulans manakala tiga lagi selamat, katanya.
Beliau berkata, seramai sembilan pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Damansara dan Subang Jaya dihantar ke tempat kejadian.

Nahas Germanwings: Perakam Suara Dedah Juruterbang Terkunci Di Luar Kokpit


Diterbitkan: Khamis, 26 Mac 2015 9:29 AM

MISTERI menyelubungi nahas Germanwings selepas analisis awal data perakam suara kokpit mendedahkan salah seorang juruterbang terkunci di luar kokpit.
Analisis awal itu memaklumkan bahawa juruterbang itu cuba memecah pintu kokpit untuk masuk ke dalam.
Bagaimanapun, masih belum ada petunjuk mengapa juruterbang itu meninggalkan kokpit dan apakah yang berlaku kepada juruterbang yang berada di dalam kokpit pesawat itu.
Seorang pegawai kanan tentera yang terlibat dalam penyiasatan itu menyifatkan perbualan antara kedua-dua juruterbang berkenaan "amat baik, amat tenang" semasa pesawat tersebut memulakan penerbangan dari Barcelona ke Düsseldorf.
Audio perakam kemudiannya menunjukkan salah seorang daripada juruterbang meninggalkan kokpit dan tidak dapat masuk semula ke dalamnya.
"Juruterbang yang berada di luar mengetuk pintu secara perlahan tetapi tiada jawapan," kata penyiasat itu.
"Dan dia kemudiannya mengetuk pintu dengan lebih kuat dan masih tiada jawapan.
"Sememangnya tiada maklum balas diberikan oleh juruterbang di dalam kokpit."
Penyiasat itu berkata: "Anda boleh dengar dia (juruterbang di luar kokpit) cuba memecah pintu itu."
Audio perakam suara kokpit itu sedikit-sebanyak memberi petunjuk yang membawa kepada punca nahas Germanwings yang terhempas di Pergunungan Alps Perancis antara Barcelonnette dan Digne, Perancis pada Selasa lalu.
Bagaimanapun, masih banyak persoalan mengenai nahas belum dirungkaikan. - MIRROR

Mengaku tidak bersalah liwat anak jiran


26 Mac 2015
KUALA LUMPUR - Seorang pekerja binaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan meliwat anak jirannya, lima tahun lepas.

Mohd Zaid Zakaria, 37, didakwa melakukan seks luar tabii terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun 10 bulan di kawasan semak, Taman Cabaran, Presint 20, Putrajaya pada 2 petang, 6 Oktober 2010.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Tan Sew Ping tidak menawarkan sebarang wang jaminan terhadap tertuduh namun ketika rayuan, tertuduh, yang tidak diwakili peguam, memohon diberi ikat jamin RM3,000 dengan alasan perlu menjalani rawatan perubatan di hospital setiap bulan.

Hakim Zulqarnain Hassan membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 April depan untuk sebutan semula kes. - Bernama

Warga Myanmar ditemui mati dipercayai dibunuh


26 Mac 2015

 Kes jenayah
 Kes jenayah

MELAKA - Seorang lelaki warga Myanmar ditemui mati dipercayai dibunuh di tingkat atas sebuah rumah kedai di Taman Selendang, Batu Berendam di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata berkata mangsa berusia 30-an itu ditemui seorang lelaki warga tempatan dalam keadaan berlumuran darah di atas tilam dalam bilik pada kira-kira 8 pagi tadi.

"Mangsa ditemui seorang lelaki yang ingin mengambil dia dan rakannya ke tempat kerja, tetapi ketika sampai di rumah berkenaan mangsa tidak turun.

"Saksi berkenaan naik ke tingkat atas rumah kedai dan menemui mangsa yang hanya berseluar pendek berlumuran darah di bahagian badan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian di sini.

Siasatan awal polis mendapati terdapat beberapa kesan luka di badan mangsa  dipercayai akibat tikaman senjata tajam, katanya.

Katanya, polis turut menjumpai sebilah pisau berukuran 15 sentimeter dengan  kesan darah berhampiran mayat tersebut dan mangsa dipercayai dibunuh kurang 24 jam.

Mangsa dikatakan tinggal di rumah berkenaan bersama beberapa rakan senegara dan polis sedang mengesan mereka untuk membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Bernama

250 rumah atas air musnah terbakar


25 Mac 2015
Kebakaran
SEMPORNA - Kira-kira 250 rumah atas air musnah dalam kebakaran di Kampung Bangau-Bangau di sini awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba Semporna Fazizul Hizam Borhan berkata dua jentera bersama 12 anggota dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan
pada kira-kira 2.02 pagi.

"Bomba sampai di tempat kejadian lima minit kemudian apabila api sedang marak dan kira-kira 60 peratus rumah sudah terbakar.

"Anggota bomba menghadapi kesukaran untuk memadamkan api disebabkan masalah air dan terpaksa menggunakan bot awam untuk mendapatkan bekalan air laut untuk memadam kebakaran," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata, pihaknya turut dibantu satu jentera dan enam anggota dari Balai Bomba Tawau, satu jentera dan enam anggota (balai Kunak) dan lebih 20 anggota daripada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.

Fazizul Hizam berkata api berjaya dikawal sepenuhnya pukul 6.56 pagi dan setakat ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat. - Bernama

Suami, isteri terlibat kes pecah rumah ditahan


25 Mac 2015

KOTA KINABALU - Polis menahan tiga individu, termasuk sepasang suami isteri, kerana disyaki terlibat dalam enam kes pecah rumah di sekitar Inanam.  

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M.Chandra berkata, dalam operasi Rabu lepas, suspek wanita yang berusia 18 tahun ditahan di Bambangan Apartment, kira-kira 8 malam.  

"Semasa ditangkap, suspek membuang empat buah beg dari dalam rumahnya yang dipercayai milik seorang mangsa yang membuat aduan mengenai rumahnya telah dipecah masuk pada hari yang sama," katanya kepada pemberita selepas sambutan peringatan Hari Polis Peringkat Daerah Kota Kinabalu, di sini hari ini.  

Hasil tangkapan itu, Chandra berkata polis berjaya menahan suami wanita berkenaan yang berumur 34 tahun bersama rakannya berumur 22 di Kampung Kalansanan pada 11.15  malam, dua hari kemudian.  

Chandra berkata, kedua-dua suspek didapati positif dadah dan suami wanita itu mempunyai empat kes jenayah dan satu kes dadah.

Katanya, dalam kedua-dua tangkapan itu, polis turut merampas pelbagai barang curi termasuk televisyen, alat pengerudi, cakera video digital (DVD), komputer riba, parang dan pemotong besi yang dianggarkan bernilai RM49,000.  

Sementara itu, sepanjang tempoh Januari hingga Mac tahun ini, sebanyak 1,546 keping iklan pemberi pinjam wang haram (Ah Long) diturunkan di sekitar Kota Kinabalu dan daripada jumlah itu, 850 keping belum diserahkan kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu.  

Chandra berkata, operasi Ops Vulture dijalankan di lokasi tumpuan kegiatan Ah Long seperti di kawasan perumahan serta jalan-jalan utama termasuk Luyang, Inanam, Tanjung Aru, Menggatal dan Karamunsing.  

Katanya, 20 individu, termasuk lima wanita, ditahan tahun lalu dan sembilan kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang.  

"Sejumlah 124 nombor telefon yang tertera pada iklan itu disenarai dan dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tujuan pembatalan dan tindakan lanjut," katanya. - Bernama

Video buli: Polis tunggu kebenaran mahkamah


WARTAWAN SINAR HARIAN
26 Mac 2015

 Video buli: Polis tunggu kebenaran mahkamah
Video buli: Polis tunggu kebenaran mahkamah Tiga pelajar dirakamkan bertengkar dan video itu menjadi viral dalam laman sosial.

TAPAH – Polis masih menunggu kebenaran mahkamah untuk menjalankan siasatan berkaitan kes buli yang didakwa melibatkan pelajar sebuah sekolah di Tapah yang menjadi viral dalam laman sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang guru yang melihat video melibatkan pelajar berusia 15 tahun dan dimuat naik dalam laman sosial, awal Mac lalu.

Menurutnya, ibu bapa pelajar terlibat turut dipanggil untuk membantu siasatan.

“Ibu kepada mangsa mengetahui kejadian tersebut menerusi laman sosial namun dia tidak pasti sama ada pelajar yang terlibat itu adalah anaknya.

“Kami masih tunggu kebenaran mahkamah untuk membolehkan Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah jalankan siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas sambutan Peringatan Hari Polis ke-208, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, di sini, semalam.

Video berdurasi 42 saat berkenaan memaparkan tiga pelajar perempuan bertengkar dengan mengeluarkan kata-kata kesat, malah berlaku adegan tampar -menampar di antara pelajar terbabit.

Sinar Harian difahamkan, pertengkaran yang berlaku awal Mac lalu itu berpunca daripada perebutan teman lelaki.

Som Sak berkata, siasatan berhubung kes itu akan dijalankan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain,  beliau berkata, IPD Tapah mencatatkan penurunan kadar indeks jenayah sebanyak 20 kes iaitu 242 kes pada 2013 kepada 222 kes bagi 2014.

“Saya percaya kita berjaya capai penurunan jenayah indeks signifikan ini hasil kerjasama masyarakat dan ia diharap berterusan,” katanya.

Warga emas parah kena kelar


NOR ‘ASYIKIN MAT HAYIN
26 Mac 2015

 Warga emas parah kena kelar
Warga emas parah kena kelar Md Noh ditemui tertunduk di meja ini dibacanya dalam keadaan berlumuran darah selepas dikelar suspek.

LEDANG – Seorang warga emas nyaris maut apabila tengkuknya dikelar dengan parang oleh seorang lelaki di sebuah syarikat pemasaran kelapa sawit dan getah dekat Bukit Gambir, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi, mangsa, Md Noh Nahar, 62, mengalami kecederaan parah di tengkuk sebelum dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar untuk rawatan kecemasan.

Insiden tersebut tidak disedari pekerja syarikat berkenaan kerana masing-masing sibuk dengan tugas melayan pelanggan yang datang berurus niaga.

Bagaimanapun, seorang pekerja yang enggan dikenali berkata, dia ada melihat suspek yang juga pelanggan syarikat itu memegang parang pendek sambil berkata-kata sesuatu yang tidak difahami.

"Suspek dilihat membasuh parang itu pada lopak air di hadapan kaunter dan meletakkan di bakul motosikal miliknya.

“Saya berasa tidak sedap hati lalu keluar ke bahagian hadapan dan terkejut lihat mangsa tertunduk di meja sambil memegang akhbar yang dibacanya dalam keadaan berlumuran darah kesan kelar di tengkuk.

“Mangsa mengerang kesakitan sambil meminta tolong dengan suaranya agak perlahan,” katanya.

Kata saksi itu juga, keadaan menjadi kecoh apabila orang ramai mula menyedari kejadian itu dan suspek melarikan diri dengan menaiki motosikal.

“Mangsa yang juga pekerja syarikat itu dibawa ke Klinik Kesihatan Bukit Gambir sebelum dikejarkan ke HPSF,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Superintenden Mohd Salleh Abd Razak ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan suspek berusia 45 tahun itu ditahan di rumahnya di Bukit Gambir dua jam selepas kejadian.

“Lelaki tersebut ditahan reman sehingga 30 Mac ini dan akan mendapatkan kebenaran mahkamah bagi membolehkan suspek menjalani pemeriksaan mental di hospital.

“Punca kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan jika sabit kesalahan,” katanya.

Tak sempat buat kenduri tahlil


NORADILA MAHAMAD
26 Mac 2015

Tak sempat buat kenduri tahlil
Orang ramai melihat api yang sedang marak membakar tiga rumah dalam kejadian di Kampung Beladau Kolam, petang kelmarin.


Tak sempat buat kenduri tahlil
Azlan melihat barangan di dalam rumahnya yang tidak sempat diselamatkan dalam kebakaran di Kampung Beladau Kolam, Manir, petang kelmarin.
KUALA TERENGGANU - Hasrat sekeluarga untuk mengadakan kenduri tahlil selepas kematian ibu, Mariam Sulong, 72, yang meninggal dunia minggu lalu, tidak kesampaian apabila rumah pusaka dua tingkat didiami mereka musnah dijilat api dalam kejadian di Kampung Beladau Kolam, Manir, kira-kira jam 6.15 petang kelmarin.

Rumah berkenaan antara tiga rumah terlibat dalam kebakaran itu.

Menurut mangsa, yang juga menantu kepada Allahyarham Mariam, Azlan Yusof, 42, sebelum ini ibu mertuanya itu tinggal di rumah berkenaan dan menghembuskan nafas terakhir pada minggu lalu, akibat strok.

“Saya dan adik beradik isteri, Senani Ngah, 38, memang berhajat nak buat kenduri tahlil beberapa hari lagi di rumah ini, tapi nak buat macam mana bila dah jadi (kebakaran) terpaksa buat di masjid sahaja.

“Kami reda dengan apa yang berlaku biarpun terpaksa tinggal sehelai sepinggang, mujur isteri dan anak lelaki tunggal kami Ahmad Azizi Amiruddin, 3, sempat keluar dari rumah ketika kejadian,” ceritanya.

Azlan yang bekerja sebagai kontraktor binaan berkata, dia yang berada di tempat kerja di bandar Kuala Terengganu, menerima panggilan daripada penduduk kampung memaklumkan rumahnya terbakar.

“Dalam perjalanan balik macam-macam saya fikir, bimbang keselamatan isteri, anak dan keadaan rumah. Bila sampai api sudah marak, memang tak dapat selamat apa… tetapi lega bila tengok isteri dan anak selamat, itu paling penting,” jelasnya.

Azlan menganggarkan mengalami kerugian lebih kurang RM200,000 kerana semua barang di dalam rumah musnah, termasuk barang niaga milik isterinya yang bekerja sebagai jururawat dan menjalankan perniagaan sampingan di rumah.

“Barang niaga dia (isteri) saja bernilai RM100,000, tak termasuk barang lain seperti perkakas elektrik, perabot, wang dan banyak lagi,” katanya.

Sementara itu, seorang saksi, Jefri Ismail, 40, berkata, kira-kira jam 6.15 petang kelmarin, dia yang sedang sibuk mengemas barang di bengkel kereta berdekatan mendengar letupan seperti mercun dari jarak dekat.

“Bila dengar bunyi mercun (letupan), saya keluar dan melihat api datang dari arah rumah tengah. Saya cuba pecah masuk untuk padamkan api tetapi tak berjaya kerana pintu berkunci dan tuan rumah tiada ketika kejadian.

“Selang beberapa minit, orang kampung mula keluar dan saya bersama penduduk redah api yang mula marak untuk menyelamatkan barangan di rumah berhampiran. Rumah tengah memang tak dapat buat apa sebab kami tak dapat masuk,” katanya.

Komander Operasi, Timbalan Penguasa Bomba Kamerul Bieza Kassim berkata, kebakaran itu melibatkan tiga rumah dua tingkat.

Menurutnya, dua rumah itu hangus sama sekali, manakala sebuah rumah lagi musnah 50 peratus.

Seramai 27 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, BBP Wakaf Tapai dan Pasukan Bomba Sukarela Seri Nerus, terlibat dalam operasi pemadaman.

Tiada kemalangan  jiwa dan kecederaan dilaporkan dan operasi pemadaman tamat jam 8.12 malam.

Manakala usaha Sinar Harian menemui dua lagi pemilik rumah gagal difahamkan mereka ke Balai Polis Manir untuk buat laporan.

Jumpa mayat ayah tergantung


WARTAWAN SINAR HARIAN
26 Mac 2015

 Jumpa mayat ayah tergantung
Jumpa mayat ayah tergantung Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk dibedah siasat.

KOTA TINGGI - Seorang lelaki ditemui tidak bernyawa dalam keadaan lehernya terjerut di kediamannya di sebuah tanah rancangan Felda di sini, pagi semalam.

Mangsa, 37, dijumpai oleh anak bongsunya kira-kira jam 9 pagi sebelum bertindak mengejutkan ibunya yang sedang tidur bersama abang dan kakaknya.

Turut dijumpai sehelai nota dipercayai ditulis oleh mangsa serta sebungkus nasi goreng ayam yang untuk isterinya.

Nota berkenaan berbunyi...“Awak sentiasa tahu Y** tak akan makan sebelum awak makan. Terima kasih sudi menjadi isteri Y** yang ikhlas.. Cuma awak dan awak hingga akhir. Demi Allah, suamimu yang malang. Y**terlalu rindukan emak! Assalamualaikum..

Isteri mangsa, 38, berkata, sejak kebelakangan ini, suaminya sering merungut tentang masalah peribadi yang dihadapinya.

"Kadang kala dia turut menggunakan senjata tajam untuk mengugut mencederakan dirinya. Saya juga ada menegurnya agar jangan terlampau tertekan dengan masalah-masalahnya itu,” katanya.

Menurutnya lagi, berlaku pertengkaran antara dia dan mangsa pada awal pagi sebelum kejadian dan mangsa juga cuba mengugut untuk mengelar lehernya sendiri menggunakan pisau.

“Saya cuba hubungi polis tetapi telefon bimbit saya dirampas oleh suami. Saya mahu keluar namun pintu rumah di bahagian depan dan belakang telah dikunci suami.

“Saya yang keletihan kerana berniaga dari lewat petang terus masuk tidur. Namun pagi ini saya dikejutkan dengan kejadian ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Rahmat Othman berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.

"Setakat ini tiada sebarang unsur jenayah dikenal pasti. Siasatan awal juga tidak menemui sebarang kecederaan fizikal kecuali di leher akibat tergantung," katanya.

Rasuah: Sub kontraktor dipenjara, denda RM10,000


26 Mac 2015

 Rasuah
Rasuah

JOHOR BAHRU - Seorang sub kontraktor dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini selepas mengaku bersalah memberi rasuah RM400 kepada seorang pegawai polis, awal bulan ini.
 
Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz turut memerintahkan tertuduh, Donny Harizzal Anak Ahjun @ Eden, dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda itu.
 
Donny Harizzal, 23, didakwa memberikan suapan itu kepada Inspektor Mohd Mokhtar Mohd Nor bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan terhadap Hanis Suraya Zul Afizi bagi kesalahan disyaki memiliki dadah.
 
Tertuduh yang berasal dari Sarawak didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Banang Height, Batu Pahat kira-kira 1.40 petang, 8 Mac lepas.
 
Dia yang masih bujang didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
 
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa SPRM, Noor Fazlin Hamdan manakala Donny Harizzal tidak diwakili peguam. - Bernama

Tiga maut, seorang parah di NKVE


26 Mac 2015

 kemalangan
kemalangan

KUALA LUMPUR - Tiga maut manakala seorang cedera parah dalam kemalangan membabitkan sebuah lori sampah 10 tan dengan empat kereta di Km14.4 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) di Subang menghala ke Damansara, pagi ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata pihaknya menerima panggilan berkenaan kemalangan itu pada pukul 6.50 pagi.

Laporan awal kejadian mendapati seorang lelaki dan dua wanita dipercayai warga tempatan disahkan meninggal dunia oleh pihak ambulans manakala tiga lagi selamat, katanya.

Sebanyak sembilan pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Damansara dan Subang Jaya dihantar ke tempat kejadian, katanya. - Bernama

Polis wanita menyamar orang awam tangkap peragut


25 Mac 2015

 PDRM
PDRM

SEREMBAN - Polis Negeri Sembilan menukar strategi, menggunakan anggota polis wanitanya menyamar sebagai orang awam bagi menangani jenayah ragut di bandar ini.

Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner (SAC) Datuk Hamzah Md Jamil berkata, anggota polis wanita itu menyamar sebagai orang awam dengan memakai barangan kemas dan membawa beg tangan.
   
"Mereka ini ditempatkan dua minggu lepas di tempat tumpuan awam seperti di pasar raya, terminal bas, bank dan sebagainya. Anggota polis wanita ini digunakan sebagai 'umpan' untuk menangkap penjenayah kes ragut.
   
"Kami mengenal pasti 28 anggota polis wanita ini, yang telah dilatih menghadapi situasi apabila diragut. Jadi, saya beri amaran kepada penjenayah agar jangan sebarang ragut," katanya kepada pemberita selepas perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-208 Kontinjen Negeri Sembilan di Sekolah Latihan Kontinjen Negeri Sembilan di sini, hari ini.
   
Mengikut rekod terdapat lapan kes jenayah ragut berlaku sepanjang bulan ini di sekitar Seremban dan Nilai.

Katanya, orang ramai tidak perlu bimbang, walaupun tidak kelihatan anggota polis berpakaian uniform di tempat tumpuan orang ramai, tetapi terdapat anggota
polis yang berpakaian orang awam.
 
Katanya jenayah ragut tidak mengenal usia dan tiada belas ihsan walaupun yang menjadi mangsa adalah warga emas terutama golongan wanita.
   
"Perubahan masa menyaksikan ragut sebagai satu jenayah serius yang sejak akhir-akhir ini turut meragut nyawa manusia. Fenomena ini membawa satu lagi amaran kepada wanita supaya lebih berhati-hati dalam kehidupan seharian mereka terutama ketika berada di tempat awam.
   
"Pihak polis memandang serius jenayah ragut kerana ia menimbulkan keadaan traumatik kepada mangsa. Ini kerana jenayah ragut bukan sahaja boleh menyebabkan kecederaan, malah kematian kepada mangsa," katanya.
 
Pada majlis itu, 19 pegawai polis, 27 anggota pangkat rendah dan 16 kakitangan awam menerima surat penghargaan. - Bernama

Tipu konon jumpa bayi, rupa-rupanya anak sendiri


NORHASRAM MOHAMAD
25 Mac 2015

 Tipu konon jumpa bayi, rupa-rupanya anak sendiri
Tipu konon jumpa bayi, rupa-rupanya anak sendiri Bayi yang didakwa dijumpai.

PASIR PUTEH - Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditahan kerana membuat laporan palsu mengenai kes 'buang bayi' petang semalam.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Abd Rozak Muhammad berkata, bayi lelaki yang masih bertali pusat itu kononnya dijumpai di kawasan perkelahan Jeram Pasu, di sini.

Katanya, siasatan awal mendapati bayi itu hasil hubungan intim remaja lelaki terbabit dengan kekasihnya yang berusia 15 tahun.

"Suspek membawa bayi itu ke rumahnya di Kok Lanas dan memberitahu ibunya bahawa bayi itu dijumpai di Jeram Pasu.

"Di atas desakan ibu, suspek membuat laporan polis di Balai Polis Ketereh," katanya dalam sidang media selepas perbarisan sambutan Hari Polis Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh, hari ini.

Misteri enam anak lembu hilang terjawab


WARTAWAN SINAR HARIAN
26 Mac 2015
 Misteri enam anak lembu hilang terjawab
Misteri enam anak lembu hilang terjawab Khairil Izzwan (kanan) sedang melihat buaya sepanjang tiga meter yang berjaya ditangkap penduduk, malam kelmarin.

KLANG - Misteri kehilangan enam anak lembu milik penduduk akhirnya terjawab dengan tertangkapnya seekor buaya tembaga sepanjang tiga meter, di kawasan perumahan awam, Jalan Kampung Sungai Kandis, Kampung Jawa, malam kelmarin.

Penduduk mendakwa haiwan itu telah membaham enam lembu berkenaan yang dilaporkan hilang sejak beberapa bulan lalu di kawasan itu.

Timbalan Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Selangor, Leftenan Kolonel Khairil Izzwan Abdul Rahman berkata, setelah sekian lama berusaha, akhirnya penduduk berjaya menangkap buaya berkenaan.

“Beberapa jam sebelum itu, penduduk memaklumkan mereka telah ternampak kelibat buaya di kawasan perangkap sampah di sungai di kawasan tersebut dan menghubungi pihak kami (JPAM) untuk tangkapan.

“Selepas itu kami dimaklumkan buaya itu gagal dikesan sehinggalah sekali lagi kami menerima panggilan memaklumkan buaya itu berjaya ditangkap penduduk,” katanya.

Menurutnya, berikutan itu, anggota JPAM seramai lapan orang diketuai Pegawai Sukarela, Wan Harun Wan Jaafar ke lokasi berkenaan.

“Penduduk mengikat haiwan itu menggunakan tali. Kami kemudiannya menggunakan peralatan khas bagi memastikan haiwan itu tidak terlepas dan sekitar jam 10.15 malam ia berjaya dibawa ke JPAM Klang, di Jalan Raya Barat,” katanya.

Katanya, dengan tertangkapnya haiwan itu, pihaknya percaya ia dapat menyelesaikan kes kehilangan lembu penduduk yang dilaporkan hilang sebelum ini.

Tiada mangsa pesawat Germanwings terselamat


25 Mac 2015
 Tiada mangsa pesawat Germanwings terselamat
 mangsa pesawat Germanwings terselamat Bangkai pesawat yang remuk teruk. - Foto BBC

PARIS - PERANCIS. Tiada mangsa yang terselamat dalam nahas membabitkan pesawat Germanwings yang terhempas di selatan Perancis semalam ketika dalam perjalanan dari Barcelona ke Dusseldorf, Jerman, kata pegawai.

Menteri Dalam Negeri Perancis berkata, kotak hitam pesawat telah dijumpai namun punca nahas masih belum diketahui dan pesawat tidak menghantar sebarang isyarat kecemasan semasa kejadian tersebut.

Bruce Robin, seorang pendakwa dari Marseille, memberitahu dia telah melihat bangkai pesawat dari helikopter.

"Bangkai pesawat itu remuk teruk, tidak ada satu kepingan sayap atau fiuslaj," katanya dipetik BBC.

Menteri Luar Jerman, Frank-Walter Steinmeier yang melihat lokasi kemalangan menyifatkannya "pemandangan yang mengerikan."

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Sepanyol berkata, 67 daripada penumpang pesawat malang tersebut adalah warga Jerman dan 45 penumpang warga Sepanyol.

Penumpang adalah termasuk pelajar sekolah Jerman yang dalam perjalanan pulang dari program pertukaran pelajar serta dua penyanyi opera, Maria Radner dan Oleg Bryjak.

Antara penumpang lain terdiri daripada warga Australia, Turki, Denmark, Belanda dan Belgium.

Germanwings, syarikat penerbangan kos rendah yang dimiliki oleh syarikat penerbangan utama Lufthansa Jerman dan mempunyai rekod keselamatan yang cemerlang.

Pesawat tentera India terhempas, dua masih hilang


25 Mac 2015

 Pesawat tentera India terhempas, dua masih hilang
Pesawat tentera India terhempas, dua masih hilang Pesawat tentera laut India.

GOA - INDIA. Dua anak kapal masih hilang selepas sebuah pesawat tentera laut India terhempas ke dalam laut di Barat Goa, hari ini.

Menurut tentera laut, pesawat pengawasan Dornier tersebut sedang melakukan penerbangan rutin dan punca nahas masih belum diketahui.

Sementara itu, jurucakap Tentera laut, Rahul Sinha berkata, seorang anak kapal pesawat berkenaan telah berjaya diselamatkan dan operasi mencari dan menyelamat dua lagi mangsa yang hilang masih diteruskan.

Ini adalah siri nahas terbaru membabitkan tentera India, lapor BBC.

November lalu, seorang anak kapal maut manakala empat hilang selepas sebuah kapal laut karam semasa menjalani latihan di luar pantai Visakhapatnam.

Pada Februari 2014, satu kebakaran di atas sebuah kapal selam nuklear menyaksikan dua kelasi maut dan pada bulan Ogos 2013, 18 pelayar mati dalam salah satu bencana tentera laut yang paling buruk berlaku apabila kapal selam tenggelam selepas terbakar di pelabuhan di Mumbai.

Germanwings: Juruterbang terkunci luar kokpit


Germanwings: Juruterbang terkunci luar kokpit
PARIS - PERANCIS. Salah seorang dari juruterbang nahas penerbangan Germanwings yang terhempas Selasa lepas dilaporkan telah terkunci di luar kokpit.

Menurut NY Times, berdasarkan rakaman suara kokpit, juruterbang tersebut juga cuba memecahkan pintu kokpit selepas pintu kokpit tersebut terkunci dari dalam.

"Kami tidak tahu mengapa juruterbang tersebut keluar (dari kokpit) kata sumber yang enggan dikenali.

"Apa yang pasti, di saat akhir penerbangan, terdapat seorang lagi juruterbang di dalam kokpit dan tidak membuka pintu," tambahnya.

Data yang terdapat dalam kotak hitam yang ditemui semalam dikatakan cuma menambah misteri tentang apa sebenarnya terjadi di dalam kokpit dalam nahas penerbangan yang mengorbankan 150 penumpang termasuk anak kapal.

150 korban nahas pesawat


PASUKAN penyelamat Perancis bersiap sedia untuk berlepas ke tempat kejadian.
La Javie (Perancis): Sebuah pesawat Airbus milik Germanwings, syarikat yang mengendalikan penerbangan tambang murah syarikat penerbangan Lufthansa terhempas di kawasan terpencil bersalji di Pergunungan Alps Perancis, semalam,.
Semua penumpang dan anak kapalnya dikhuariti terbunuh .
Presiden Perancis Francois Hollande berkata, pihaknya percaya tiada yang terselamat dalam pesawat A320 itu manakala Ketua Eksekutif Lufthansa Carsten Spohr menyifatkan semalam sebagai hari yang kelam untuk penerbangan Jerman itu.
Germanwings mengesahkan penerbangan 4U9525 dari Barcelona, Sepanyol ke Dusseldorf, Jerman, terhempas di Pergunungan Alps dengan 144 penumpang dan enam anak kapal.
Hollande berkata: “Berdasarkan keadaan nahas ini - yang masih belum dapat dipastikan sepenuhnya - kami melihat kemungkinan besar tiada yang terselamat.”
Menurut pihak berkuasa, pesawat itu membuat panggilan kecemasan pada 9.47 pagi (waktu tempatan) atau 52 minit selepas berlepas. Kejadian berlaku di kawasan pergunungan bersalji yang menyukarkan pasukan penyelamat tiba di situ.
Hollande berkata, ramai penumpang pesawat itu warga Jerman. Timbalan Perdana Menteri Sepanyol berkata, 45 penumpang mempunyai nama Sepanyol.
Kejadian itu ialah nahas pertama membabitkan pesawat penumpang besar di Perancis sejak kemalangan Concorde di luar Paris pada Julai 2000.
Pesawat A320 jet paling popular digunakan syarikat penerbangan dunia dan mempunyai rekod baik.
Sementara itu Spohr berkata: “Buat masa ini kami tidak tahu apa yang berlaku kepada penerbangan 4U9525.
“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga dan sahabat penumpang serta anak kapal terbabit. Ini memang hari yang kelam untuk Lufthansa.
“Namun kami masih memegang harapan dapat menemui mangsa terselamat.”
Kata-katanya itu disiarkan Lufthansa di laman Twitternya.
Jurucakap pihak berkuasa penerbangan Perancis, DGAC berkata, pesawat itu terhempas berhampiran pekan Barcelonnette, kira-kira 100 kilometer ke utara Nice.
Penyiasat Perancis dan Jerman semalam menuju ke lokasi nahas di Meolans-Revel, penempatan kecil di kaki Pergunungan Alps.
Jurucakap Kementerian Pengangkutan Jerman berkata menterinya, Alexander Dobrindt juga berlepas ke lokasi itu.
Sementara itu, Airbus berkata pihaknya maklum mengenai kejadian itu.
“Kami tahu mengenai laporan kejadian dan kini berusaha membantu menilai keadaan nahas.
“Kami akan mengumumkan maklumat mengenainya sebaik kami menerimanya,” kata syarikat itu dalam laman Twitternya.
Sementara itu, pihak berkuasa di lapangan terbang Barcelona berkata, pesawat itu berlepas pada jam 8.55 pagi (waktu tempatan).
Pesawat yang terhempas itu sudah digunakan sejak 24 tahun lalu.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2015 @ 8:25 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/39114#sthash.3wzrHbvT.dpuf

Tiga bas, satu lori berlanggar, 37 maut


Lima, Peru: Sekurang-kurangnya 37 orang terbunuh manakala lebih 84 cedera apabila tiga bas dan sebuah trak berlanggar di lebuh raya utama Peru, awal pagi semalam.

Ketua Polis, Jeneral Jorge Flores berkata, mangsa yang cedera teruk dalam kemalangan di Huarmey, kira-kira 320 kilometer ke utara Lima, dibawa dengan helikopter ke ibu negara itu.

Menurut polis, kejadian berlaku apabila bas milik syarikat Murga Serrano memasuki lorong bertentangan dan melanggar dua bas sebelum ketiga-tiga bas itu dirempuh pula oleh sebuah lori.

Mangsa yang terselamat berkata, pasukan kecemasan mengambil masa kira-kira tiga jam untuk tiba di tempat kejadian.

Kerajaan menghantar lima pakar perubatan ke Huarmey untuk membantu klinik kecil di situ merawat mangsa.

Ia adalah kemalangan jalan raya paling buruk berlaku di Peru sejak Oktober 2013 apabila lori yang membawa muatan berlebihan terjatuh ke dalam gaung berhampiran Cuzco, menyebabkan 51 orang terbunuh. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2015 @ 8:15 AM
KEADAAN salah sebuah bas yang terbabit kemalangan.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/39104#sthash.DECVJuYi.dpuf

PM Tunisia pecat enam ketua polis

ANGGOTA polis Tunisia memeriksa kenderaan di sebuah pos kawalan di hadapan Muzium Nasional Bardo di Tunis kelmarin.


TUNIS – Perdana Menteri Tunisia, Habib Essid memecat enam komander polis kelmarin termasuk ketua keselamatan pelancong selepas serangan militan ke atas Muzium Nasional Bardo yang menyebabkan kematian 20 pelancong asing pada minggu lalu.
Jurucakap pejabat Perdana Menteri, Mofdi Mssedi berkata, mereka yang dipecat termasuk seorang ketua briged perisikan, ketua polis daerah ini, komander polis trafik dan ketua keselamatan Muzium Bardo.
“Essid melawat Muzium Bardo kelmarin dan akur terdapat beberapa kelemahan kawalan keselamatan di lokasi itu,” kata Mssedi.
Dalam serangan tersebut pada Rabu lepas, beberapa militan bersenjata bertindak membunuh 20 pelancong asing termasuk rakyat Jepun, Poland, Itali dan Sepanyol semasa mereka turun daripada beberapa buah bas di Muzium Bardo serta di pekarangan bangunan Parlimen yang biasanya dikawal ketat.
Ia merupakan serangan terburuk dalam tempoh lebih sedekad di Tunisia sekali gus mencabar sistem demokrasi negara Afrika Utara itu selepas empat tahun diktator Zine El-Abidine Ben Ali digulingkan dan pilihan raya bebas diadakan.
Seorang anggota polis yang bekerja di muzium berkenaan turut ditangkap kerana meninggalkan pos kawalannya semasa serangan berlaku, lapor stesen radio dan media tempatan.
Pihak berkuasa memberitahu, dua lelaki bersenjata telah ditembak mati di lokasi kejadian, manakala polis masih memburu suspek ketiga.
Polis setakat ini menangkap lebih 20 orang dengan 10 suspek dipercayai terlibat secara langsung dalam serangan itu. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0325&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3VJw2l0wX 
Hakcipta terpelihara 

Gerun tragedi 4U9525






DUA waris mangsa nahas Penerbangan 4U9525 tiba di Lapangan Terbang El Prat di Barcelona, Sepanyol kelmarin.

LONDON– Beberapa juruterbang syarikat tambang murah Germanwings enggan membuat sebarang penerbangan semalam susulan nahas sebuah pesawat milik syarikat berkenaan di pergunungan Alps, Perancis yang membunuh kesemua 150 penumpang dan anak kapalnya.

Menurut portal MailOnline, keputusan itu dibuat selepas pendedahan pesawat jenis Airbus A320 itu telah ditahan daripada berlepas 24 jam sebelum nahas berlaku kelmarin disebabkan oleh masalah teknikal.

Kapal terbang itu tiba-tiba menjunam dari altitud penerbangannya lalu terhempas di pergunungan tersebut.

Nahas tersebut turut mendorong pemeriksaan keselamatan dilakukan ke atas semua pesawat Airbus A320 lain yang banyak digunakan oleh Germanwings.

Perkembangan itu menyebabkan ramai penumpang terkandas di Lapangan Terbang Heathrow, Stansted dan Manchester di Britain kerana kru-kru Germanwings enggan bekerja berikutan kebimbangan berhubung aspek keselamatan.

Seorang jurucakap syarikat induk Germanwings, Lufthansa berkata, penerbangan dari Dusseldorf, Jerman ke Barcelona telah dibatalkan kerana beberapa juruterbang berasa mereka berada ‘dalam keadaan tidak baik untuk mengemudi pesawat.’

Jurucakap itu bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah juruterbang yang enggan bertugas; semalam.

“Namun, semua penerbangan lain milik Lufthansa masih diteruskan seperti biasa,” katanya.

Seorang jurucakap sebuah kesatuan juruterbang Jerman, Joerg Handwerg berkata, keengganan melakukan penerbangan itu bukan disebabkan oleh faktor keselamatan.

“Sebaliknya, juruterbang-juruterbang terbabit mempunyai kenalan dan rakan sekerja yang baru sahaja menemui ajal. Ia satu bebanan emosi yang besar kepada mereka,” ujarnya.

Germanwings kelmarin mengumumkan gangguan pada beberapa laluan penerbangan disebabkan sebilangan juruterbangnya terlalu terkejut selepas beberapa jam mendapat berita nahas tersebut.

– Agensi



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0326&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3VJtJ11Qo
Hakcipta terpelihara 

Polis akan panggil Pengarang roketkini.com


KUALA LUMPUR 25 Mac - Polis akan memanggil pengarang portal berita propembangkang, roketkini.com bagi memberi keterangan berhubung penyiaran berita berkaitan demonstrasi anti-cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang berbaur fitnah dan hasutan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pengarang terbabit akan dipanggil bagi mengemukakan bukti terhadap tuduhan tersebut.
“Eloklah roketkini hentikan fitnah dan hasutan sebegini. PDRM akan panggil untuk kemukakan bukti tuduhan ini,” katanya menerusi kenyataan Twitter beliau sambil merujuk kepada paparan tajuk berita portal tersebut, semalam.
Semalam, portal propembangkang berkenaan menyiarkan sebuah berita bertajuk “Demo anti-GST: Sampai bila polis nak jadi ‘pak turut UMNO?.
Kandungan berita tersebut adalah berkaitan kenyataan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang mempertikaikan tindakan PDRM menahan puluhan aktivis Gabungan Bantah GST selepas menimbulkan kekecohan di Ibu Pejabat Kastam Diraja Malaysia, Kelana Jaya semasa menyerahkan memorandum bantahan semalam. - UTUSAN ONLINE
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/polis-akan-panggil-pengarang-roketkini-com-1.73260#sthash.jD81nAyH.dpuf