Search This Blog

Wednesday, March 25, 2015

Ahli gusti patah leher ketika beraksi


Ahli gusti patah leher ketika beraksi
Ahli gusti maut akibat patah leher ketika beraksi di atas gelanggang.
TIJUANA - MEXICO. Seorang ahli gusti maut akibat patah leher ketika beraksi di atas gelanggang, kelmarin.

Pedro Aguayo Ramirez, dikenali sebagai Hijo del Perro Aguayo lembik selepas terkena 'flying-kick' pihak lawan, Oscar Gutierrez yang juga dikenali sebagai Rey Misterio Jr.

Menurut Dailymail.uk, perlawanan gusti itu berterusan selama dua minit sebelum pihak pengadil dan peserta gelanggang menyedari Ramirez berada di ambang maut.

Ramirez kemudian dibawa ke sebuah hospital berhampiran dan disahkan maut pada jam 1.30 pagi waktu tempatan.

Kertas siasatan dibuka untuk menyiasat terdapat motif pembunuhan dalam kejadian tersebut.

20 lelaki ‘angkat bas’, selamatkan mangsa


20 lelaki ‘angkat bas’, selamatkan mangsa
Orang ramai berusaha melepaskan mangsa dari bawah bas.
HENAN - CHINA. Kira-kira 20 orang awam bekerjasama mengangkat sebuah bas untuk membebaskan seorang lelaki yang dilapor terperangkap di bawah bas tersebut, lapor portal berita Metro.co.uk semalam.

Dalam kejadian pada Jumaat lepas, mangsa, Chang Suibin yang dikatakan terperangkap di bawah bas dapat melepaskan diri dengan bantuan orang ramai dalam masa kurang dari tiga minit.

Menerusi satu klip video yang berdurasi satu minit 41 saat, paparan klip tersebut menunjukkan bagaimana orang awam dan penumpang bas bekerjasama menolak sisi bas tersebut untuk membolehkan Suibin melepaskan diri.

Pegawai Polis Trafik, Tang Xiaoqi berkata, terdapat sebilangan orang awam termasuk pejalan kaki dan penumpang bas sedang menunggu lampu trafik semasa kejadian tersebut berlaku.

“Mereka ternampak kejadian tersebut dan terus datang membantu. Pada mulanya kami gagal untuk tolak dan angkat bas tersebut, kemudian lebih ramai (orang awam) datang membantu.

“Ada yang mengangkat bas, ada juga yang cuba menarik dan mengeluarkan mangsa. Akhirnya kami semua berjaya,” katanya seperti yang dipetik menerusi portal tersebut.

Setelah drama tersebut berakhir, mangsa mengucapkan penghargaan kepada orang ramai yang membantunya.

“Orang-orang baik boleh dijumpai di mana-mana dalam masyarakat kita,” katanya.

Susulan daripada kemalangan tersebut, mangsa dikatakan mengalami keretakan di bahagian pelvis.

Mangsa raba heret penyerang ke balai polis


Mangsa raba heret penyerang ke balai polis
Mangsa, Mandhare terpaksa berdepan dengan penyerangnya seorang diri tanpa bantuan orang ramai.
MUMBAI - INDIA. Seorang wanita nekad memukul dan membelasah seorang lelaki mabuk yang merabanya di sebuah stesen keretapi dan mengheret penyerang itu ke balai polis berdekatan.

Memetik laporan berita dari portal Metro.co.uk, mangsa, Pradnya Mandhare dikatakan dalam perjalanan pulang dari kuliah apabila kejadian itu berlaku di sebuah platform stesen keretapi Mumbai.

Dalam kejadian pukul 2.30 petang itu, Mandhare berkata, lelaki tersebut menghampirinya dan mula meraba bahagian tubuhnya menyebabkan dia terkejut dan bergelut untuk melepaskan diri daripada lelaki itu.

Lebih mengecewakan, kata Mandhare, orang awam yang berada di tempat kejadian hanya melihat dan tidak membantu dia melepaskan diri dari penyerangnya.

Menyedari tiada sesiapa yang sanggup membantu, Mandhare bertindak pantas membelasah lelaki tersebut menggunakan beg tangannya, mencekak rambut lelaki itu dan mengheretnya kepada polis.

“Saya benar-benar terkejut apabila dia datang dan mula meraba-raba saya, dan saya cuba untuk melepaskan diri tapi tidak berjaya pada mulanya.

“Memandangkan tiada siapa datang membantu, saya pukul dan belit tangannya dengan tali beg. Dia cuba lepaskan diri dan membalas pukulan saya tetapi dia terlalu mabuk untuk berbuat demikian, "katanya.

Menurut Mandhare lagi, penyerangnya merayu meminta dilepaskan dan berjanji untuk mengikut gadis itu ke balai polis secara sukarela namun tidak dilayan.

Polis mengesahkan menahan seorang lelaki berusia 25 tahun, Chavan Chowdee dan suspek juga disahkan menghisap dadah dan mempunyai ketagihan alkohol.

Chowdee kini ditahan pihak berkuasa sementara menunggu pendakwaan ke atasnya

Gadis Perancis dijadikan hamba seks


seksST
RASBOURG - PERANCIS. Enam individu didakwa pada Ahad atas tuduhan rogol dan penderaan ke atas seorang wanita muda.

Gadis berkenaan dilapor diperlakukan sebagai hamba seks di Perancis lebih daripada sebulan, dipukul dan dipaksa untuk melibatkan diri dalam aktiviti seks yang menjijikkan.

Mangsa berusia 20 tahun itu yang turut mempunyai masalah kesihatan mental, dikatakan dikurung di bandar Verdun di utara Perancis.

Menurut AFP, media tempatan melaporkan, mangsa berjaya melarikan diri selepas meyakinkan penculiknya bahawa dia mahu mengambil kad banknya daripada bekas guru.

Guru terbabit kemudian membuat laporan polis selepas melihat keadaan mangsa.

"Kepala mangsa turut dicukur dan dia juga dipaksa makan makanan kucing," menurut sumber mahkamah.

Enam suspek iaitu tiga lelaki dan tiga wanita berumur antara 19 dan 27 tahun, telah didakwa atas tuduhan rogol dan tindakan kekejaman, kata peguam tertuduh, Alexandre Rolland.

1,000 penipu peperiksaan ditahan


1,000 penipu peperiksaan ditahan
Puluhan lelaki memanjat dinding untuk mencampakkan kertas nota kepada pelajar.
NEW DELHI - INDIA. Lebih 1,000 orang ditahan di timur India berhubung skandal penipuan yang menyaksikan ahli keluarga memanjat dinding sekolah untuk membantu pelajar ketika sedang menjalani peperiksaan.

Menurut Press TV, Ketua Pengarah Polis, Gupteshwar Pandey berkata, ibu bapa dan guru adalah antara ditahan dan kini ditempatkan di sebuah penjara di Bihar.
"Separuh daripada mereka telah dibebaskan tetapi saya percaya yang lain masih di penjara. Kami tidak memberi layanan buruk kerana mereka bukan penjenayah profesional," katanya.

Menurutnya, tujuan penahanan dilakukan adalah supaya mereka tahu bahawa mereka telah lakukan satu kesalahan yang serius.

Minggu lalu, sebuah video menunjukkan puluhan lelaki memanjat dinding dan berpaut pada tingkap sebuah bangunan empat tingkat untuk mencampakkan kertas nota kepada calon peperiksaan menjadi viral di internet.

Penternak babi diberi tempoh tiga tahun


24 Mac 2015 2:00 PM

KUALA LUMPUR 24 Mac - Penternak babi tempatan diberi tempoh tiga tahun bermula tahun ini untuk menaik taraf ladang ternakan mereka kepada jenis ladang tertutup.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan terhadap ladang babi yang tidak memenuhi kriteria itu selepas tamat tempoh berkenaan.
Katanya, ladang moden yang tertutup sepenuhnya dan mempunyai sistem pengurusan sisa yang teratur adalah lebih baik kerana lebih mesra alam dan mesra awam.
Menyedari kos tinggi untuk pembinaan fasiliti ladang ternak babi yang moden, beliau turut meminta pengusaha ladang bergabung tenaga dan sumber untuk membina ladang-ladang yang memenuhi spesifikasi kerajaan.
“Kini, anda mempunyai notis mencukupi untuk semua penternak babi, tiga tahun daripada sekarang, kita akan tutup semua ladang babi yang tidak mematuhi penternakan ladang tertutup,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Sim Tong Him (DAP-Kota Melaka) di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Katanya, pendapatan daripada sektor penternakan babi adalah hampir RM2 bilion setahun.
Terdahulu, beliau memberitahu persidangan Dewan Rakyat bahawa terdapat sebanyak 737 buah ladang babi di seluruh negara dengan Pulau Pinang mempunyai ladang terbanyak iaitu 199 buah, diikuti Sarawak sebanyak 141 buah dan Selangor sebanyak 128 buah.
Bilangan babi yang direkodkan ialah sebanyak 1.82 juta ekor.
Katanya, pengeluaran daging babi buat masa ini memenuhi 96 peratus daripada permintaan tempatan manakala empat peratus lagi diimport.- BERNAMA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/penternak-babi-diberi-tempoh-tiga-tahun-1.73147#sthash.7XShOhr2.dpuf

Kampung Bangau-Bangau berapi

Semporna: Lebih 3,000 penduduk di kawasan setinggan Kampung Bangau-Bangau, di sini, tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Dianggarkan lebih 500 rumah terbakar dalam kejadian 2 pagi di perkampungan atas air itu, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah Mohd Affendy K Ramin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.02 pagi dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian.
"Anggaran awal lebih 500 buah rumah musnah terbakar dan kebakaran kini dapat dikawal.
“Anggota bomba mengalami masalah bekalan air dan terpaksa menggunakan bot awam untuk mendapatkan air laut," katanya ketika dihubungi, pagi ini.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2015 @ 7:53 AM


Anggota bomba bertungkus -lumus memadam api. FOTO ihsan bomba
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/39089#sthash.ATlNalWs.dpuf

Susi berang

Jakarta: Menteri Kelautan dan Perikanan Indonesia, Susi Pudjiastuti semalam menitiskan air mata kerana terlalu marah selepas sebuah kapal nelayan yang dirampas kerana menangkap ikan secara haram di perairan di negara itu hanya dikenakan hukuman ringan.
Kapal Hai Fa yang didaftarkan di Panama dianggap sebagai kapal nelayan yang paling banyak mencuri hasil perikanan di Indonesia.
Bagaimanapun, kapal itu hanya didakwa cuba menyeludup hidupan marin dan dikenakan denda sebanyak Rp200 juta (RM56,311) atau enam bulan penjara terhadap kapten kapal.
“Apabila diteliti hasil yang dikaut kapal berkenaan, keputusan mahkamah itu sangat mengecewakan,” kata Susi.
Tegasnya, beliau tidak dapat menerima jumlah denda yang dikenakan terhadap kapal itu dan mahu satu semakan terhadap keputusan berkenaan dilakukan.
“Saya mahu siasatan dilakukan semula terhadap keputusan mahkamah berkenaan.
“Kenapa kapal itu hanya dikenakan denda seperti itu,” katanya dengan marah.
Susi berkata, beliau sangat komited untuk membanteras aktiviti penangkapan ikan secara haram tetapi keputusan mahkamah itu membuatkan dia berasa sedih.
Menurutnya semalam, undang-undang membasmi penangkapan ikan secara haram dikuatkuasakan demi kesejahteraan rakyat Indonesia.
“Undang-undang ini adalah ikrar negara untuk membasmi aktiviti itu dan menegakkan kedaulatan negara dengan melindungi sumber lautnya.
“Sekiranya aktiviti ini tidak dihapuskan sebarang program pembangunan nelayan tidak akan mendatangkan sebarang hasil,” tegasnya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2015 @ 8:20 AM


KAPAL Hai Fa yang ditahan pihak berkuasa Indonesia.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/38883#sthash.LlONs3Rq.dpuf

Remaja ditemui lemas


Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

sitinor@hmetro.com.my

Kota Bharu: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun ditemui lemas di sungai Kampung Banggol, Jalan PCB, di sini, 8.20 malam tadi.
Mangsa, Mohd Syamil Ishak, 17, dari Kampung Penambang, di sini, sebelum kejadian dikatakan ke sungai untuk mandi bersama tiga rakan pada 6 petang.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Mohd Rozi Jusoh berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada 6.45 petang dan tiba enam minit kemudian.
"Seramai 13 anggota termasuk unit skuba dari balai Kota Bharu bergegas ke lokasi kejadian.
"Operasi mencari dan menyelamat berjaya menemui mangsa pada 8.20 malam ," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/39062#sthash.IKO0snxe.dpuf

Guru antara 14 dicekup judi siber


KOTA KINABALU: Seorang guru antara 14 individu yang ditahan kerana terlibat dalam kegiatan judi siber.
Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, guru lelaki berumur 50 tahun itu dipercayai menganjurkan kegiatan tersebut di rumah sewanya di Taman Faber, Luyang di sini pada 15 Mac lalu.
Bagaimanapun, guru terbabit ditahan dua hari kemudian di sekitar bandar raya, katanya kepada pemberita selepas majlis penerimaan Pondok Bit Polis Imago berkeluasan 700 kaki persegi di pusat komersial KK Times Square di sini, hari ini.
Menurut beliau, 13 individu lain, kesemuanya lelaki berumur antara 26 dan 59 tahun ditahan dalam tiga serbuan berasingan iaitu pada 15 Mac di rumah sewa guru terbabit, 16 Mac di Pusat Perniagaan Inanam dekat sini dan 22 Mac di Taman Kinamount di sini.
Katanya, polis turut merampas 15 set komputer yang dianggarkan bernilai RM20,000 dan wang tunai berjumlah RM940.
"Modus operandi judi siber sudah berubah daripada kawasan komersial kepada kawasan perumahan dan beroperasi secara bersembunyi di mana pelanggan tertentu sahaja yang boleh masuk," katanya.
Chandra juga mengalukan orang ramai untuk tampil menyalurkan maklumat mengenai kegiatan judi siber di kawasan perumahan masing-masing. - Bernama
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/39064#sthash.XBGWsQYa.dpuf

Buaya sesat dalam parit

Putatan: Buaya sepanjang dua meter dengan berat hampir 50 kilogram ditangkap sepasukan anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Kota Kinabalu di parit di Kampung Serigai Ketiau, malam tadi.
Dalam kejadian 8.53 malam itu, buaya berkenaan dipercayai tersesat sebelum disedari oleh penduduk kampung lalu menghubungi JPAM Kota Kinabalu.
Pegawai JPAM Kota Kinabalu, Leftenan (PA) Hazle Shah Abdul Hamid berkata, sebaik terima laporan daripada penduduk kampung lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Anggota JPAM mengambil masa hampir 20 minit sebelum buaya berkenaan ditangkap tanpa sebarang kecederaan.
"Buaya jenis jelulong kemudian dibawa ke pejabat JPAM Kota Kinabalu dan akan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2015 @ 10:29 PM


BUAYA yang ditangkap anggota JPAM Kota Kinabalu. FOTO Mohd Adam Arinin
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/39067#sthash.kbgtdyA9.dpuf

Remaja dikhuatiri lemas di sungai

Kota Bharu: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dikhuatiri lemas di Sungai Kampung Banggol dalam kejadian di Kampung Banggol, Jalan PCB, di sini, hari ini.
Dalam kejadian 6.40 petang itu, mangsa, Mohd Syamil Ishak, 17, bersama tiga rakan mandi di sungai berkenaan.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Mohd Rozi Jusoh berkata, bomba terima panggilan kecemasan pada 6.45 petang dan tiba 6.51 petang.
"Seramai 13 anggota termasuk unit skuba dari balai Kota Bharu bergegas ke lokasi kejadian.
"Kita berusaha mencari di lokasi mangsa dikhuatiri lemas dan berhenti pada 8 malam.Operasi akan bersambung pagi esok," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2015 @ 8:54 PM


ORANG ramai turut menyertai operasi mencari dan menyelamat mangsa. FOTO Siti Nor Hidayatidayu Razali
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/39058#sthash.o5ARi5LZ.dpuf

Keluarga tinggal sehelai sepinggang

Nilai: Sebuah keluarga sehelai sepinggang selepas rumah mereka di Lorong Stor, Kampung LBJ, di sini, musnah terbakar 7.10 malam tadi.
Ketika kejadian semua penghuni seramai 10 orang berada di dalam rumah, namun mereka terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Difahamkan seorang penghuni menyedari kepulan asap dan api di siling rumah sebelum menjerit meminta semua ahli keluarganya keluar menyelamatkan diri.
Api yang marak dengan cepat menyebabkan mereka tidak dapat melakukan apa-apa untuk memadam kebakaran dan menyelamatkan harta di dalam rumah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Nilai Penolong Kanan Penguasa Bomba Badrul Isham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan pada 7.25 malam dan tiba ke lokasi 15 minit kemudian bersama 24 anggota dan tiga jentera termasuk bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2.
Beliau berkata, sejurus tiba api sedang marak, namun kebakaran berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya dalam masa 25 minit.
"Rumah berkenaan musnah 90 peratus dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya ketika di temui di tempat kejadian.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2015 @ 12:00 PM


FOTO Khairul Najib Asarulah Khan
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/38979#sthash.X46rilpi.dpuf

Nasib anak tiri, dipukul, diseterika


Jakarta: Kerana bermain terlalu lama, seorang wanita di sini sanggup memukul anak tirinya termasuk meletakkan seterika panas di pipi kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun berkenaan.
Kejadian itu berlaku di Duren Sawit, Jakarta Timur semalam yang menyebabkan kanak-kanak malang itu cedera di kepala dan pipi.
Seorang jiran mangsa yang dikenali sebagai Wiwi, 53 berkata, kanak-kanak itu dipukul dengan kejam kerana keluar bermain dari pukul 12 tengah hari hingga 2 petang.
“Wanita itu yang dikenali sebagai Su marah kerana anaknya bermain terlalu lama dan tidak pulang ke rumah.
“Kanak-kanak itu cedera di pipi kerana diletakkan seterika panas oleh Su dan kepalanya turut benjol akibat dipukul,” katanya.
Ujarnya, kanak-kanak itu tinggal bersama bapa dan ibu tirinya selepas ibu bapa kandungnya berpisah.
“Kanak-kanak itu tinggal bersama ibu tirinya sejak setahun yang lalu.
“Saya tidak tahu mengapa wanita itu sanggup memukul anaknya tetapi saya mendengar dia berang selepas kanak-kanak itu keluar bermain,” katanya. - Agensi
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/38884#sthash.7eZCzf8I.dpuf

Jerut kekasih hingga mati kerana cemburu


Jakarta: Kerana cemburu seorang pemuda di sini sanggup membunuh kekasihnya dengan menjerut leher gadis malang itu dengan tali sehingga mati.
Asep Sudrajat, 23, ditahan polis kelmarin selepas dia menghantar kekasihnya, Nurhayati, 18, ke sebuah hospital sejurus serangan berkenaan yang berlaku di rumah mangsa.
Jurucakap polis berkata, Asep mengaku membunuh kekasihnya itu selepas mereka bertengkar di rumahnya yang terletak di Cengkareng, Jakarta Barat.
“Saya datang ke rumah Nurhayati untuk bertanya siapakah pemuda yang suka datang ke rumahnya,” kata Asep kepada polis.
Katanya, Nurhayati tidak menjawab soalan itu sebaliknya dia memukul hidung pemuda itu sebanyak tiga kali.
Namun, Asep memberitahu bahawa dia tidak marah dengan perbuatan itu dan meminta maaf kepada Nurhayati serta berharap gadis itu tidak memusuhinya.
Bagaimanapun, Nurhayati enggan melayan sebarang soalan Asep menyebabkan pemuda itu berasa marah.
“Saya kemudian mengambil seutas tali kain dan terus menjerut leher Nurhayati.
“Nurhayati meronta-ronta minta dilepaskan dan dia turut menggigit tangan saya,” cerita Asep.
Tambah Asep, selepas Nurhayati berhenti meronta dia meninggalkan gadis itu di luar rumah dan menyimpan tali berkenaan di poket seluarnya.
Dia kemudian memberitahu ahli keluarga Nurhayati bahawa gadis itu membunuh diri. - Agensi
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/38881#sthash.GJ8FQ0yY.dpuf

Maut digigit tikus


Dillsburg (Amerika Syarikat): Seekor tikus yang dipelihara untuk diberi makan kepada ular peliharaan keluarga dari Pennsylvania menggigit bayi lelaki mereka berusia enam bulan hingga mati.
Koroner Daerah Cumberland Charlie Hall mengumumkan Khamis lalu, bayi terbabit mati selepas mengalami jangkitan meningitis dan myokarditis melalui gigitan.
Menurut Hall, kejadian berlaku di kediaman keluarga terbabit di Jalan South Baltimore di Dillsburg.
Bagaimanapun, pegawai itu enggan mendedahkan identiti bayi berkenaan kepada media ketika itu kerana siasatan sedang dijalankan.
Kata Hall, bayi itu dirawat di unit kecemasan Hospital Holy Street Disember tahun lalu kerana mengalami demam dan ruam, tetapi dia dibenarkan keluar.
Tambahnya, dua hari kemudian, bayi itu semakin tidak bermaya dan demam lalu dia dibawa semula ke hospital, namun disahkan mati di unit kecemasan pada hari yang sama.
Selepas bedah siasat, penyiasat diberitahu bayi itu digigit oleh seekor tikus di jari telunjuknya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/38878#sthash.mIT4oMw5.dpuf

Pelajar pukul profesor


Agensi
Patna (India)
Seorang pelajar kolej di wilayah Vaishali ditahan polis selepas dia memukul seorang profesor yang melarangnya menipu ketika peperiksaan.
Polis berkata, Rahul Yadav yang menuntut di Kolej Bipin Bihari memukul pensyarah berkenaan apabila mangsa membantah hasrat pelajar itu untuk meniru dalam peperiksaan pada 17 Mac lalu.
Pengetua kolej berkenaan, Dr M Pandey berkata, pihaknya memfailkan satu kes terhadap Yadav yang juga presiden kesatuan pelajar kerana memukul pensyarah berkenaan.
Beberapa rakan Yadav yang terbabit menyerang mangsa turut dikenakan tindakan sama.
Jurucakap polis, Rajesh Kumar Rai berkata, Yadav ditangkap dan pihaknya sedang mengesan semua tertuduh yang lain.
Kes itu mula mendapat perhatian selepas satu rakaman video yang menunjukkan kumpulan pelajar berkenaan memukul pensyarah mereka menjadi viral di Internet.
Vaishali yang terletak di negeri Bihar menjadi perhatian media baru-baru ini selepas beberapa gambar menunjukkan berlakunya penipuan besar-besaran ketika peperiksaan sekolah menengah tersebar.
Penipuan itu membabitkan ibu bapa pelajar dan rakan-rakan mereka.
Sejak itu beberapa penipuan besar-besaran ketika peperiksaan turut dilaporkan di negeri itu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/38885#sthash.iBIi7RDi.dpuf

Ketua Balai terima hadiah hari lahir sebelum terkorban dalam nahas



BEGINILAH keadaan mayat Pua Teik yang ditemui dalam longkang selepas motosikal ditungganginya terbabas di Taman Selasih Fasa 3, Kulim, Kedah semalam.


KULIM – Kegembiraan Ketua Balai Polis Kulim Hi-Tech menerima telefon bimbit baharu daripada isteri sempena hari lahirnya tidak berpanjangan apabila ditemui maut di dalam longkang selepas terbabit dalam kemalangan di Lorong Selasih, Taman Selasih Fasa 3 di sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, motosikal ditunggangi Asisten Superintendan Chua Poh Teik, 57, dipercayai terbabas dan bergesel dengan tembok batu longkang di sebelah kanan jalan menyebabkan mangsa tercampak ke dalam longkang tersebut.
Kemalangan itu mengakibatkan mangsa yang berasal dari Pulau Pinang mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada badan dan kepala.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Abdullah Arshad berkata, kejadian dikatakan berlaku semasa mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Kijang, Lunas di sini setelah selesai membuat rondaan di kawasan tersebut.
“Bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa terbabas lalu terjatuh ke dalam sebuah longkang,” katanya di sini semalam.
Difahamkan, mangsa ditemui oleh anggota Unit Rondaan Bermotosikal yang melakukan rondaan di kawasan terbabit selepas terjumpa sebuah motosikal di tepi jalan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0325&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_12.htm#ixzz3VE24GfMC 
Hakcipta terpelihara 

Pesawat Airbus A320 terhempas


SEBUAH helikopter penyelamat Perancis terbang berhampiran lokasi nahas pesawat Airbus A320 milik Jerman dekat Seyne, tenggara Perancis semalam.


MARSEILLE – Sebuah pesawat Airbus milik syarikat penerbangan Germanwings terhempas di kawasan pedalaman Banjaran Alps, selatan Perancis semalam manakala semua 150 penumpang dan krunya dipercayai terbunuh.
Menurut jurucakap Kementerian Pengangkutan Perancis, Pierre-Henry Brande, pesawat itu menghantar isyarat kecemasan pada pukul 10.47 pagi (5.47 petang waktu tempatan) sebelum terhempas di kawasan pergunungan itu.
Presiden Perancis, Francois Hollande berkata, beliau percaya tiada penumpang dan kru di dalam pesawat Airbus A320 itu yang terselamat.
“Situasi kemalangan yang masih belum dapat dijelaskan mendorong kami untuk mempercayai bahawa tiada mangsa selamat,” kata Hollande.
Beliau berkata, sebuah helikopter berjaya mendarat di lokasi nahas dan tidak menemui mangsa yang selamat.
Germanwings yang merupakan syarikat penerbangan tambang murah mengesahkan bahawa semua penumpang dan kru menaiki Penerbangan 4U9525 itu terkorban.
Ia menyatakan panggilan kecemasan itu diterima selepas pesawat berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang El Prat, Barcelona pada pukul 9.55 pagi waktu tempatan (4.55 petang waktu Malaysia).
“Pesawat itu terhempas ketika dalam penerbangan dari Barcelona menuju ke bandar raya Duesseldorf di Jerman,” ujar Hollande.
Laman web pengesanan penerbangan tidak rasmi mendapati pesawat itu menjunam dari ketinggian 10,668 meter (m) tetapi jatuh tidak cukup cepat seperti yang berlaku apabila sebuah pesawat hilang kawalan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0325&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz3VE1uVL32 
Hakcipta terpelihara 

Dijel setahun pukul anak guna kabel



WAN IMRAN (kiri sekali) yang mengaku salah memukul anaknya dengan kabel brek basikal dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Gara-gara berang terhadap anak lelakinya yang dikatakan mencuri sebuah telefon bimbit, seorang buruh dijatuhi hukuman penjara selama setahun oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku salah memukul anaknya itu menggunakan kabel brek basikal tahun lalu.
Majistret Mohd. Firdaus Zainal Abidin menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, Wan Imran Wan Hussain, 40, membuat pengakuan berkenaan terhadap pertuduhan yang disabit ke atasnya,
Mengikut pertuduhan, Wan Imran didakwa dengan niat mencederakan anak lelakinya yang berusia 12 tahun menggunakan kabel brek basikal sehingga mendatangkan kecederaan pada belakang badan, kaki dan tangan mangsa di sebuah rumah di Belakang Masjid Kota di sini pada pukul 11 malam, 30 Oktober tahun lalu.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu jika sabit kesalahan.
Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syahrun Nizam Mohd. Misan.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu 2 Mac lalu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0325&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_13.htm#ixzz3VE1bARxq 
Hakcipta terpelihara 

Budak tercampak, koma dirempuh van



MAT RADZI MOHAMAD menunjukkan tempat cucunya tercampak sehingga ke tembok konkrit tanah perkuburan Islam selepas dirempuh sebuah van di Permatang Sungai Dua, Kepala Batas, Seberang Perai semalam.


SEBERANG PERAI – Seorang murid darjah empat koma dan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan selepas basikal yang dinaikinya dirempuh sebuah van di Permatang Sungai Dua, Kepala Batas di sini baru-baru ini.
Dalam kemalangan yang berlaku pada 19 Mac lalu pukul 5.30 petang, mangsa, Adam Harris Mohd. Hisham, 10, cedera parah termasuk patah tulang rusuk dan pendarahan otak.
Anak kedua daripada empat beradik itu merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan Permatang Buloh di sini.
Ibunya, Norhayati Mat Radhi, 33, berkata, kejadian berlaku selepas anaknya bersama rakannya mengambil bubur di Masjid Tuan Samad di sini yang mengadakan majlis kenduri.
“Setelah menyeberangi jalan, Adam tiba-tiba berpatah balik untuk mengambil sudu di masjid dan ketika berada di tengah jalan, dia telah dirempuh van yang dipandu oleh seorang peniaga pasar malam.
“Akibat rempuhan kuat, Adam tercampak kira-kira 10 meter sehingga ke tembok konkrit tanah perkuburan Islam di situ dan mengalami pendarahan teruk pada kepala sebelum dikejarkan ke Hospital Kepala Batas,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0325&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz3VE1MPNcy 
Hakcipta terpelihara 

Anggota polis maut diseret 50 meter



KEADAAN mayat Mohd. Sahkirul (gambar kecil) selepas diseret sejauh 50 meter dalam kemalangan di Kilometer 52.2 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak, Bentong semalam.


BENTONG – Seorang anggota polis berpangkat koperal yang dalam perjalanan pulang selepas bercuti maut akibat dilanggar dan diseret kira-kira 50 meter oleh sebuah kereta dalam kejadian kemalangan di Kilometer 52.2 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak di sini awal pagi semalam.
Difahamkan, semasa kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, mangsa, Mohd. Sahkirul Sulaiman, 29, yang bertugas di Balai Polis Lurah Bilut di sini dalam perjalanan pulang dari Perak selepas bercuti selama empat hari bagi mengadakan kenduri akikah anak keduanya.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd. Nor berkata, apabila sampai di tempat kejadiaan pada kira-kira pukul 7 pagi, mangsa yang menaiki motosikal jenis Yamaha LC terlanggar seorang pejalan kaki di lorong kecemasan.
“Mangsa kemudiannya terpelanting ke tengah jalan dan pada masa yang sama sebuah kereta tidak sempat mengelak dan melanggar mangsa sebelum terbabas di bahu jalan sebelah kiri.
“Akibat rempuhan itu mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada badan dan kepala," katanya ketika dihubungi di sini semalam.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0325&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz3VE17xkWJ 
Hakcipta terpelihara 

Terkejut jumpa coli, baju wanita depan rumah



NAJIB (kiri) bersama abang iparnya, Hamzah Mazelan (kanan) menunjukkan baju tidur wanita dan coli yang ditemui di hadapan rumah keluarga mereka di Kota Tinggi semalam. - Gambar/Pemberita : FARIK SALLEH (Utusan)


KOTA TINGGI – Penghuni sebuah rumah di Jalan Mohamed dekat sini merasa pelik apabila hadapan kediaman mereka menjadi mangsa individu misteri membuang pakaian dalam wanita.
Mangsa, Azura Ahmad, 35, berkata, kejadian kali pertama berlaku pada 24 Februari lalu, apabila ibunya yang sedang menyapu di hadapan rumah menemui satu bungkusan yang dibalut seperti jenazah kanak-kanak.
Menurutnya, bungkusan berbalut kain hitam sepanjang 1.5 meter itu mengandungi beberapa pakaian dalam wanita termasuk tujuh helai baju dalam wanita (coli), dua helai kain tudung kepala dan sehelai baju tidur fesyen kaftan.
“Kejadian kedua berlaku hari ini (semalam) iaitu kira-kira pukul 4.30 petang ketika saya hendak keluar dan terlihat bungkusan kain berwarna merah jambu di tepi dinding kiri hadapan rumah sebelum bertanya kepada bapa siapa pemilik bungkusan itu.
“Kami agak terkejut kerana sebaik membuka bungkusan itu, terdapat 12 helai coli dan dua helai baju dalam seperti blaus,” katanya yang bercadang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi mengenai kejadian itu.
Kesemua coli dan pakaian itu masih disimpan untuk diserahkan kepada polis.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0325&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm#ixzz3VE0lMQOv 
Hakcipta terpelihara 

Bergambar sebelum tergelincir



QHAIRUN FATIN (kanan) bergambar bersama rakan-rakannya semasa mendaki Bukit Tabur, Hulu Klang semalam. (Gambar ihsan JPAM Wilayah Persekutuan)


HULU KLANG – Keterujaan seorang remaja perempuan merasai pengalaman mendaki Bukit Tabur di sini berakhir dengan tragedi apabila dia cedera pada tulang belakang selepas tergelincir ke dalam gaung sedalam 200 meter semalam.
Mangsa, Qhairun Fatin Khairul Amin, 18, bersama sembilan rakannya dikatakan mendaki bukit tersebut pada pukul 8 pagi.
Mereka yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Tembak di sini sempat bergambar sebelum mangsa dikatakan tergelincir.
Menurut rakan mangsa yang enggan dikenali, Qhairun Fatin sangat teruja untuk menyertai pendakian tersebut.
Bagaimanapun katanya, sebaik tiba pada tahap sembilan di bukit berkenaan, mangsa dilihat berada dalam keadaan kurang stabil sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam 200 meter.
“Kami terkejut apabila Qhairun Fatin menjerit dan dalam sekelip mata dia hilang daripada pandangan kami.
“Selepas apa yang berlaku, mungkin kami tidak mahu mendaki bukit atau gunung selepas ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairuldin Saad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.30 pagi dan sepasukan anggota bomba tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0325&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz3VE0MECTn 
Hakcipta terpelihara