Search This Blog

Saturday, March 21, 2015

Sia-sia beranak


Hong Kong: Seorang lelaki yang didakwa membunuh, mengerat dan memasak mayat ibu bapanya disabitkan atas dua tuduhan bunuh, semalam.
Dalam perbicaraan selama 20 hari, mahkamah diberitahu Henry Chau, 31, mengerat ibu bapanya sebelum cebisan mayat diasin dan disimpan dalam bekas makanan seperti ‘daging babi barbeku.’
Kepala Chau Wing-ki, 65, dan isteri Siu Yuet-yee, 62, ditemui di dalam dua peti sejuk pada Mac 2013 di dalam sebuah pangsapuri yang berlumuran darah beberapa hari selepas dilaporkan hilang.
Cebisan mayat lain ditemui di dalam tong sampah dalam keadaan disimpan bersama nasi di dalam bekas makanan.
Media tempatan melaporkan, panel juri Mahkamah Tinggi memutuskan Chau bersalah bagi kedua-dua tuduhan bunuh terhadapnya.
Bagaimanapun, rakannya Tse Chun-kei yang turut berdepan tuduhan sama didapati tidak bersalah. Kedua-duanya mengaku tidak bersalah ketika didakwa.
Mahkamah menetapkan Isnin ini untuk menjatuhkan hukuman ke atas Chau.
Chau mulanya memberitahu polis bahawa ibu bapanya berada di tanah besar China, namun mengaku melakukan pembunuhan itu dalam mesej kepada rakan-rakannya dalam laman sembang Internet.
Dia dikatakan merancang mengelirukan polis supaya dapat ‘mencuri masa’ untuk mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakannya.
“Saya dan rakan pembunuh merancang menjadikannya seperti kes orang hilang dengan membuang cebisan mayat sikit demi sedikit,” katanya.
Dalam mesej itu, Chau mengaku dirinya psikopat.
“Saya tidak dapat menyelami penderitaan dialami orang lain kerana pengalaman zaman kanak-kanak dan remaja saya sendiri tidak baik,” katanya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/38364#sthash.0y6oEIgf.dpuf

Kepala suami dalam beg

New Jersey: Seorang wanita didapati bersalah mencincang suaminya dan menyimpan kepala mangsa dalam beg tangan dan membawanya berpindah dari rumah ke rumah.
Loretta Burroughs mendakwa suaminya Daniel meninggalkannya di rumah mereka di Mays Landing, New Jersey untuk hidup bersama-sama seorang wanita muda di Florida.
Pembunuhan itu dilakukan pada 2007 akhirnya terbongkar apabila adik Daniel membuat laporan polis mengenai kehilangan mangsa.
Loretta disiasat berhubung dakwaan yang dibuatnya ekoran kehilangan suaminya.
Dia didapati bersalah semalam atas tuduhan membunuh dengan niat kerana menikam suaminya hingga mati, mencincang mayat mangsa dengan pisau dan gergaji, bungkus mayat mangsa dalam dua beg plastik dan membawa bersama-samanya berpindah tiga kali dalam masa enam tahun.
Sebelum ditangkap, dia bertanya kepada polis yang berada di rumahnya sama ada mereka akan memeriksa kediaman itu.
“Dia kelihatan pucat dan takut,” kata Sarjan Lynn Dougherty dari pejabat pendakwa raya Atlantic County selepas anggota polis berkata, mereka akan memeriksa rumah itu.
Dalam keterangannya kepada mahkamah, pakar forensik Dr Charles F Siebert Jr berkata, dia menemui mayat itu dalam bungkusan minyak wangi dipercayai untuk mengelak bau busuk.
Kepala Simon ditemui dalam beg tangan di dalam satu bungkusan berkenaan.
Loretta berdepan hukuman penjara seumur hidup apabila mahkamah menjatuhkan hukuman ke atasnya pada 22 April depan.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2015 @ 8:27 AM


Loretta
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/38363#sthash.tkQubXQF.dpuf

Kereta api tergelincir, 32 maut

Lucknow: Sekurang-kurangnya 32 orang, termasuk kanak-kanak, terbunuh dan puluhan lagi cedera apabila sebuah kereta api ekspres tergelincir di utara India, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 50 kilometer dari Lucknow, ibu negera Uttar Pradesh.
Pegawai perhubungan syarikat kereta api terbabit, Neeraj Sharma berkata, kerja menyelamat sudah berakhir dan sejumlah 32 mayat ditemui dan 50 orang dirawat akibat cedera.
Seorang pegawai di tempat kejadian berkata, sebuah daripada gerabak yang tergelincir itu kosong, sekali gus mengurangkan jumlah kematian.
Agensi berita Press Trust of India melaporkan, kereta api itu dipercayai terbabas melanggar istarat sebelum merempuh penghadang lalu tergelincir.
Sharma berkata, siasatan rasmi akan dilancarkan dan ia mungkin berlaku kerana kecuaian pemandu atau kegagalan sistem brek.
Kemalangan kereta api yang menyebabkan kematian sering berlaku di India. Puluhan juta rakyat negara itu menggunakan perkhidmatan pengangkutan itu setiap hari.
Bulan lalu, 10 orang terbunuh apabila sebuah kereta api penumpang tergelincir dari landasan. - AP
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2015 @ 8:28 AM
PEKERJA penyelamat berusaha mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam gerabak yang tergelincir, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/38366#sthash.05FvDUVt.dpuf

'Awe Kelate' Tak Hadir Mahkamah Curi Motosikal Lagi


Diterbitkan: Jumaat, 20 Mac 2015 3:09 PM

KEPALA BATAS: Dua remaja lelaki dari Tanah Merah, Kelantan yang sepatutnya menghadiri perbicaraan kes curi motosikal di mahkamah di Bukit Mertajam, tidak serik apabila sekali lagi terlibat dalam kes curi motosikal di Bagan Dalam, Butterworth awal pagi Jumaat.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata dua remaja berusia 19 dan 20 tahun itu baru tiba di Butterworth dengan menaiki bas dari Tanah Merah pada pukul 6.20 pagi ini sebelum mencuri sebuah motosikal di Flat Bagan Dalam 10 minit kemudian.
"Anggota polis yang menjalankan rondaan pencegahan jenayah mendapati dua remaja itu dalam keadaan mencurigakan dan mengarahkan mereka memberhentikan motosikal di tepi jalan, bagaimana pun penunggangnya memecut laju.
"Tindakan pantas anggota polis mengejar dua remaja itu telah berjaya menahan mereka kira-kira dua kilometer daripada kawasan perumahan tersebut dan hasil pemeriksaan mendapati motosikal berkenaan baru sahaja dicuri," katanya pada sidang akhbar di sini, Jumaat.
Beliau berkata siasatan awal mendapati dua remaja itu bersama empat rakannya pernah ditahan oleh polis daerah Seberang Perai Tengah di Penanti pada 9 Feb lepas selepas terlibat dengan kegiatan mencuri motosikal di sekitar Pulau Pinang.
Abdul Rahman berkata dua remaja berkenaan seperti tidak serik kerana walaupun baru tiba di negeri ini untuk menghadiri perbicaraan kes curi motosikal tetapi sekali lagi mencuri kenderaan berkenaan.
"Modus operandi mereka adalah menaiki bas dari sana (Tanah Merah) dan turun di terminal-terminal bas di negeri ini sebelum mencuri motosikal di sekitar Pulau Pinang dan membawa balik ke Kelantan sebelum ia dijual atau komponennya dileraikan selain turut dijual dengan harga lebih murah.
"Semasa ditahan dua remaja itu mengaku baru sampai di negeri ini untuk menghadiri perbicaraan kes curi motosikal di mahkamah di Bukit Mertajam bagaimana pun mereka terlebih dahulu bertindak mencuri sebuah motosikal jenis Yamaha sebelum berjaya ditahan polis," katanya.
Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan sama ada geng 'awe kelate' yang aktif sejak Ogos tahun lalu itu terlibat dengan kes kecurian motosikal di daerah itu yang semakin meningkat sekarang ini.
Dua remaja yang tidak bekerja itu kini direman bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Akhbar sebelum ini melaporkan polis berjaya menumpaskan geng curi motosikal selepas menahan enam lelaki berusia 17 hingga 21 tahun dan merampas 10 buah motosikal bernilai RM50,000 dalam dua serbuan pada 7 Feb lepas.
Polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kuranganya 10 kes curi motosikal di Pulau Pinang susulan penahanan enam remaja lelaki berkenaan. - Bernama

Mayat Lelaki Warga Myanmar Ditemui Dalam Bilik


Diterbitkan: Jumaat, 20 Mac 2015 4:13 PM

IPOH: Mayat seorang lelaki warga Myanmar dipercayai dibunuh ditemui dalam bilik di sebuah rumah kedai dua tingkat di Bandar Seri Botani di sini, Khamis malam.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata mayat lelaki berusia 46 tahun itu ditemui majikannya dalam keadaan bertutup dengan selimut kira-kira 9 malam.

"Siasatan awal mendapati, mangsa meninggal dunia dalam lingkungan enam hingga 12 jam. Pemeriksaan di tempat kejadian juga menemui kesan darah yang telah kering," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Sum berkata suspek dipercayai menggunakan senjata tajam kerana terdapat kesan kecederaan di bahagian kepala, muka dan belakang badan mangsa.

"Bagaimanapun, tiada sebarang kesan pergelutan walaupun bilik mangsa berada dalam keadaan tidak tersusun," katanya.

Katanya, kedai dua tingkat berkenaan dihuni tujuh pekerja termasuk mangsa dan kesemuanya merupakan warga Myanmar.

Difahamkan, mangsa bekerja dengan majikannya sejak dua tahun dan hanya datang menetap di rumah berkenaan apabila mempunyai projek.

"Mangsa berada di sini sejak sebulan yang lalu. Usaha sedang dijalankan bagi mengesan enam lelaki Myanmar yang tinggal bersama si mati untuk membantu siasatan," katanya.

Sum berkata mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

Dua Penjenayah Ditembak Mati Di Jalan Seremban - Port Dickson


Diterbitkan: Sabtu, 21 Mac 2015 8:17 PM

SEREMBAN: Polis menembak mati dua penjenayah di Jalan Rasah-Port Dickson di sini, petang Sabtu.

Difahamkan kejadian itu berlaku kira-kira 2.15 petang ketika suspek, yang menaiki sebuah kereta, telah diekori polis dari arah Port Dickson menuju kebandar raya ini. 

Menyedari mereka diekori, suspek kemudian bertindak terjun daripada kenderaan itu bagi melarikan diri sebelum melepaskan beberapa das tembakan kearah polis.

Polis kemudian terpaksa melepaskan tembakan balas dan kedua-dua suspek mati ditembak. 

Sehingga kini, polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Muhamad Zaki Harun berkata satu sidang akhbar berhubung kejadian itu akan diadakan oleh Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Jaafar Mohd Yusof pada Ahad. 

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam laman twitternya mengucapkan syabas kepada Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) kerana berjaya tumpaskan penjenayah dalam kejadian itu. 

Wanita Ditahan Tanggal Pakaian, Berkelakuan Lucah Dalam Pesawat


Diterbitkan: Sabtu, 21 Mac 2015 9:14 AM
  (Ubah saiz teks)
SEORANG wanita warga British ditahan kerana dipercayai mabuk di dalam pesawat selepas bertindak menanggalkan pakaian malah melakukan 'aksi lucah' dalam penerbangan British Airways dari Jamaica ke London.
Portal berita mirror.co.uk melaporkan wanita berusia 46 tahun dari barat daya London itu dibawa keluar sebaik sahaja penerbangan tersebut mendarat di Lapangan Terbang Gatwick, London pada 19 Mac lalu dari Kingston, Jamaica.
Dia didakwa kerana membuat gangguan di dalam pesawat itu selain berkelakuan tidak senonoh.
Wanita itu kemudiannya menjadi perhatian polis kerana mabuk di dalam pesawat.
British Airways bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai insiden itu tetapi mengesahkan pihak polis dipanggil berhubung kejadian berkaitan penerbangan berkenaan.
Seorang jurucakap berkata: "Kami boleh mengesahkan polis diminta untuk datang bertugas terhadap penerbangan kami dari Kingston."
Satu tinjauan yang dikeluarkan tahun lalu menunjukkan seorang daripada tujuh pelancong warga British mengakui mabuk di dalam pesawat semasa menaiki penerbangan untuk bercuti.
Hampir satu pertiga daripada mereka berkata telah mengambil minum beralkohol itu untuk menenangkan diri kerana gemuruh menaiki penerbangan. - mirror.co.uk

Maut ketika menjala ikan


LemasIPOH - Seorang lelaki warga emas dijumpai mati lemas ketika sedang menjala ikan bersama seorang rakannya di sebuah anak sungai di Kampung Piandang Siputeh dekat Batu Gajah di sini hari ini.
 
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Gajah Halid Md Zin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 10.38 pagi.
 
Beliau berkata sebelum kejadian, mangsa Lee Kok Kwong, 77, bersama rakannya berada di tebing sungai berkenaan sedang menjala ikan.
 
"Menurut rakannya, mangsa tiba-tiba terjatuh ke dalam sungai dan dia ternampak topi yang dipakai mangsa terapung," katanya ketika dihubungi.
 
Halid berkata, mayat mangsa kemudiannya dijumpai kira-kira 11.45 pagi dalam keadaan tersangkut pada jala berkenaan tidak jauh dari tempat dia dilaporkan terjatuh.
 
Katanya, operasi mencari dan menyelamat mangsa melibatkan lapan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Gajah. - Bernama

Tinggal bayi lelaki depan rumah


Tinggal bayi lelaki depan rumah
Bayi yang ditinggalkan di hadapan sebuah rumah penduduk
SUNGAI PETANI – Orang ramai dikejutkan dengan penemuan seorang bayi lelaki ditinggalkan depan rumah seorang penduduk dan turut diselitkan dengan sepucuk surat di sebuah kampung di Merbok, awal pagi semalam.
Difahamkan, bayi terbabit yang lengkap berpakaian diletakkan dalam sebuah kotak dan ditinggalkan bersama dengan kelambu, sepertimana yang disebarkan menerusi aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Khalil Arifin berkata, pihaknya menerima maklumat orang awam yang memaklumkan perkara itu.
"Bagaimanapun, kita tidak dapat memastikan sama ada surat yang disebarkan menerusi aplikasi itu adalah sahih atau sebaliknya, siasatan akan dilakukan," katanya kepada Sinar Harian.
Khalil berkata, bayi itu dipercayai berusia seminggu berdasarkan kesan tanggal tali pusat yang masih baru.
"Kejadian disedari awal pagi tadi (semalam) ketika umat Islam sibuk mahu mengerjakan solat Subuh apabila bayi ditinggalkan di hadapan sebuah rumah penduduk di kampung terbabit.
"Berdasarkan pemerhatian, bayi lelaki itu dilaporkan berada dalam keadaan sihat dan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk rawatan lanjut," katanya.
Khalil berkata, pihaknya akan menunggu laporan perubatan sebelum menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan selanjutnya.
Dalam perkembangan lain, katanya, berhubung kes penemuan mayat bayi yang ditemui dalam tin biskut di sebuah bangunan asrama semalam, ibu kepada bayi itu kini dilaporkan sihat.
"Kita masih menyiasat perkara itu dan wanita itu bagaimanapun masih dirawat di HSAH untuk tindakan lanjut," katanya.

Padah pelihara sembilan kongkang


Padah pelihara sembilan kongkang
Sembilan ekor kongkang yang dirampas Perhilitan Perak dari sebuah rumah di Jalan Dato Khong Kam Tak, Ipoh.
KUALA GULA - Tindakan seorang lelaki menyimpan dan memiliki sembilan ekor kongkang membawa padah apabila aktivitinya itu berjaya dikesan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, kelmarin.

Perhilitan Perak menyerbu kediaman lelaki terbabit di Jalan Dato Khong Kam Tak, Ipoh pada jam 6.30 petang setelah menerima maklumat orang awam bahawa pemilik rumah terbabit memiliki beberapa ekor haiwan peliharaan pelik di kediamannya.

Pengarah Perhilitan Perak, Fakhrul Hatta Musa, berkata, semasa serbuan, pemilik rumah yang berusia 57 tahun terkejut apabila dikunjungi Perhilitan namun memberikan kerjasama sepenuhnya untuk membolehkan siasatan dijalankan.

Menurutnya, pemeriksaan di kediaman lelaki itu menemui sembilan ekor haiwan dipercayai kongkang yang ditempatkan dalam satu ruangan khas untuk dijadikan haiwan peliharaan.

“Soal siasat dijalankan ke atas lelaki terbabit dan dia gagal mengemukakan sebarang lesen dan dokumen memiliki hidupan liar itu," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, kesemua kongkang itu dirampas dan kini ditempatkan di Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL), di sini manakala lelaki terbabit ditahan untuk siasatan lanjut.

“Perhilitan Perak percaya lelaki ini telah lama menyimpan haiwan ini untuk dipelihara dan bukan dipasarkan di pasaran gelap sebagai haiwan eksotik” katanya.

Fakhrul Hatta berkata, menyimpan atau memiliki binatang dilindungi tanpa sebarang dokumen sah daripada Perhilitan sememangnya satu kesalahan besar.

Katanya, kongkang adalah binatang dilindungi sepenuhnya oleh Perhilitan.

“Bagi kes ini, lelaki terbabit bakal berdepan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

“Perhilitan beri jaminan akan sentiasa memandang serius perkara sebegini untuk memastikan binatang dilindungi ini tidak pupus.” katanya.

SKMM, PDRM siasat radio siar video persenda hudud


Gadis persenda hudud dikecam teruk
Klip video yang berdurasi 1 minit 55 saat itu, telah ditonton seramai 279,031 dan mendapat sebanyak 15,701 ‘share’.
HULU TERENGGANU - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyiasat stesen radio perniagaan berbahasa Inggeris BFM yang memuat naik klip video menyindir pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.
  
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, stesen radio seharusnya mematuhi garis panduan yang ditetapkan dalam syarat lesen termasuk dari segi etika perbincangan.
"Walaupun BFM adalah radio yang bersiaran secara online, kita perlu memastikan setiap maklumat yang hendak dikongsi kepada masyarakat mengandungi kandungan yang berasas dan tepat.      

"Saya serah kepada SKMM dan PDRM untuk mengambil tindakan sewajarnya walaupun BFM telah meminta maaf dan berharap pihak lain mengambil iktibar daripada kejadian ini," katanya.
Jailani bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Mengubah Destini Anak Bangsa Parlimen Hulu Terengganu yang dihadiri lebih 200 bekas pelajar sekolah menengah di sini, hari ini.
Beliau juga mengingatkan semua stesen radio dan televisyen untuk sentiasa berhati-hati dalam menyalurkan pandangan, khususnya dalam sesuatu isu supaya tidak mengelirukan masyarakat.        

"Kita tak mahu ada pihak menyalurkan pandangan secara peribadi yang boleh mengelirukan masyarakat dan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia terdapat beberapa peruntukan yang membolehkan tindakan terhadap individu yang berbuat demikian," katanya.
  
BFM memuatnaik video berdurasi 1 minit 56 saat yang memaparkan seorang pengacara menyindir pelaksanaan undang-undang Islam itu, sehingga menimbulkan kemarahan pengguna laman sosial.
  
Semalam, stesen radio itu menarik semula klip video itu dan memohon maaf dan berkata mereka tidak berniat untuk mempersoalkan hudud, sebaliknya hanya mengajak penonton video untuk bertanyakan soalan berkaitan pelaksanaan hudud, serta isu banjir besar yang melanda Kelantan baru-baru ini. - Bernama

'Pulanglah ayah, kami risau'


Pulanglah ayah, kami risau
Syarul menunjukkan mesej terakhir dari ayahnya dan Haznah (kanan) berharap angah berada dalam keadaan selamat.
KUALA PILAH – Seorang remaja lelaki tidak menyangka mesejnya meminta tambah nilai kredit telefon menjadi perbualan terakhir dengan ayahnya yang kemudian tidak pulang ke rumah di Kampung Juasseh, Batu 30, Jalan Bahau di sini.

Syarul Mohd Tarmizi, 17, berkata, dia hanya menerima jawapan tiada wang dan berada di Kuala Lumpur kerana bekerja pada 12 Mac lalu daripada ayahnya, Mohd Tarmizi Zainal, 49, melalui aplikasi Whatsapp.

"Ayah KL ni kerja, ayah tinggal tambang je ni," antara kata-kata akhir Mohd Tarmizi pada pada jam 4.05 petang, membalas mesej Syarul ketika remaja itu meminta duit untuk topup telefon.

"Saya tidak syak apa-apa yang mencurigakan pada mulanya dan pada keesokan harinya pada jam 10.54 pagi, saya sekali lagi menghantar mesej kepada ayah memintanya mengambil saya di Seremban, namun tidak berbalas," katanya.

Menurut anak bongsu daripada empat beradik itu, bapanya turut tidak menjawab panggilan telefonnya selepas itu.

"Saya cuba hubungi ayah tetapi gaga. Saya bimbang keselamatan ayah kerana dia sentiasa akan balik jika keluar bekerja, tetapi kali ini tidak," katanya.

Syarul berkata, dia dan adik-beradik tinggal di Seremban bersama ibu selepas ibu bapanya berpisah dan ayahnya menjaga nenek Haznah Hassan, 67.

"Ayah tinggal bersama nenek. Bila tiba cuti sekolah, saya akan pulang ke rumah nenek untuk bertemu ayah. Sebelum ini, ayah seperti biasa, tidak pula menunjukkan perbuatan mencurigakan.

Menurut Haznah, Mohd Tarmizi yang dipanggil sebagai angah pergi ke Kuala Lumpur pada 10 Mac dan pulang semula ke rumah sebelum ke rumah adiknya di Cheras dua hari kemudian.

"Namun pada hari Sabtu, adik sekali lagi hubungi makcik dan bertanyakan angah dan makcik terkejut bila dapat tahu dia tiada di Cheras. Ke mana angah menghilang? Sudah seminggu angah tidak pulang ke rumah. Kami risau," katanya.

Haznah berkata, berikutan itu dia dan Syarul membuat laporan polis di Cheras dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah pada 15 Mac.

"Ini kejadian pertama berlaku dan makcik berharap angah pulang ke rumah dengan selamat. Dia tiada masalah mental atau daya ingatan dan kejadian kehilangan ini sememangnya membimbangkan kami.

Haznah dan Syarul mengharapkan orang ramai termasuk kenalan Mohd Tarmizi yang mempunyai maklumat mengenainya diminta menghubungi talian 0133577235.

Leka dengar lagu, maut dilanggar keretapi


Leka dengar lagu, maut dilanggar keretapi
Pelajar perempuan terbunuh selepas dilanggar keretapi ketika sedang leka mendengar lagu One Direction.
VALIEVO - SERBIA. Seorang pelajar perempuan terbunuh selepas dilanggar keretapi ketika sedang leka mendengar lagu dari kumpulan pujaannya, One Direction.

Ketika kejadian, Jana Djuric, 15, sedang berjalan pulang dari sekolah dengan seorang kawannya, menggunakan jalan pintas iaitu melalui landasan keretapi.

Rakannya, Valerija, 15, berkata kami sedang mendengar lagu One Direction dan dia kemudiannya mendahului saya berlari ke landasan keretapi.

"Landasan kereta api ditutup 10 bulan sebelum ini, dan kami tidak tahu ia sudah kembali beroperasi".

"Jana menari dan menyayi dan kemudian tiba-tiba keretapi muncul dan melanggarnya", katanya dipetik Mirror.uk.

Sementara itu, selepas menghentikan kereta api berkenaan, pemandu keretapi menelefon perkhidmatan kecemasan.

"Ibu bapa gadis itu telah dimaklumkan mengenai tragedi itu." kata jurucakap polis.

Penyelia tapak pembinaan dibunuh



Anggota polis mengusung mayat penyelia tapak pembinaan yang ditemui di sebuah rumah kedai dekat Bandar Seri Botani, Ipoh malam kelmarin.


IPOH – Seorang penyelia tapak pembinaan warga Myan­mar mati dibunuh dalam satu kejadian di Bandar Seri Botani di sini malam kelmarin.
Mayat Soe Soe Win, 46, ditemui majikannya pukul 9 malam di sebuah bilik rumah kedai dua tingkat dalam ke­adaan bertutup dengan selimut.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, polis tiba ke lokasi dan membuat pemeriksaan selepas menerima laporan daripada majikan lelaki itu.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0321&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm#ixzz3UyWdYNNx 
Hakcipta terpelihara 

Sindiket jual MyKad palsu di Sabah



Ismail menunjukkan MyKad palsu yang dirampas daripada sindiket baru-baru ini pada sidang akhbar di Kota Kinabalu semalam.


KOTA KINABALU – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) meluahkan rasa terkejut apabila MyKad palsu yang dibeli daripada sindiket telah digunakan oleh beberapa individu dalam jangka masa lama iaitu antara lima hingga 10 tahun lamanya di negeri ini.
Pengarah JPN, Ismail Ahmad mendedahkan, khidmat sindiket itu kebanyakannya ditagih oleh warga asing.
Terbaharu, JPN berjaya menangkap enam suspek terdiri daripada warga Filipina dan Indonesia di daerah ini.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0321&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz3UyWOidV8 
Hakcipta terpelihara 

Jurutera Malaysia dijel 30 tahun kerana cabul 31 lelaki


WENG WAH dituduh melakukan hubungan seks dengan 31 kanak-kanak lelaki di pelbagai lokasi di Singapura antaranya beberapa apartmen di Woodlands, Yishun, Hougang, Changi, hotel di Geylang dan kompleks renang di Hougang serta Tampines.


SINGAPURA – Seorang jurutera berusia 31 tahun dari Malaysia dikenakan hukuman penjara 30 tahun dan 24 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas mengaku bersalah mencabuli 31 mangsa berusia 11 dan 15 tahun antara November 2009 dan Jun 2012.
Menurut laporan Channel News Asia (CNA), Hakim Woo Bih Li menyifatkan kes itu sebagai jenayah seksual paling teruk terhadap kanak-kanak lelaki.
Laporan stesen televisyen tempatan itu menyebut tertuduh Yap Weng Wah, yang bekerja di negara ini sejak 2009, melakukan kesalahan itu selepas berkawan dengan mangsa di laman sosial Facebook.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0321&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz3UyVZkDV1 
Hakcipta terpelihara 

Samun: Polis tahan 
19 rakyat Indonesia


JOHOR BAHRU 20 Mac - Satu sindiket samun yang aktif melakukan jenayah di beberapa daerah di negeri ini tumpas selepas polis menahan 19 rakyat Indonesia termasuk tiga perem­puan dalam satu serbuan di Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram di sini kelmarin.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, kesemua mereka berusia antara 25 hingga 45 tahun itu ditahan pada pukul 1 pagi selepas pihak­nya bertindak atas maklumat berhubung kegiatan jenayah ber­kenaan.
“Sindiket tersebut yang aktif menyamun sejak awal tahun ini disifatkan sangat ganas kerana bukan sahaja menyamun turut mence­derakan mangsa terlebih dahulu.
“Susulan penahanan semua suspek, kita telah merampas pelbagai barangan kemas, 128 telefon bimbit, 15 komputer riba, tujuh iPad, 10 kamera pelbagai jenis, 16 jam tangan dan tiga konsol permainan video Play Station,” kata­nya di sini hari ini.
Mohd. Mokhtar berkata, pihak­nya percaya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 48 kes samun di bandar raya ini, Kota Tinggi dan Mersing selain akan menahan saki-baki ahli sindiket berkenaan yang masih bebas.
Katanya, kesemua mereka kini direman sehingga 1 April ini dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan dan bersenjata.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai tampil menghubungi polis bagi mengenal pasti barangan yang disamun sekali gus membantu siasatan polis berhubung kes tersebut.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/samun-polis-tahan-8232-19-rakyat-indonesia-1.71829#sthash.Ljo72fUJ.dpuf

Deepak saman bekas menteri, penulis buku RM200 juta


KUALA LUMPUR 20 Mac – Peniaga permaidani, J. Deepak mendakwa, buku bertajuk Membongkar skandal Deepak dan Bank Rakyat, Dari isi hati Tan Sri Sabbaruddin Chik, telah diterbitkan dengan niat jahat sebagai reaksi kepada keputusan yang tidak melantik semula bekas menteri itu sebagai Pengerusi Bank Rakyat.
Buku terbitan Special One Publication itu menurut Deepak, diedarkan secara meluas, mengandungi pernyataan palsu yang didakwa memfitnah dirinya sehingga terpaksa menanggung malu dan reputasinya terjejas selain perniagaannya turut diragui.
Perkara tersebut terkandung dalam saman fitnah RM200 juta yang difailkan oleh Deepak terhadap Sabbaruddin dan pengarang buku tersebut, Shahbudin Husin di Mahkamah Tinggi di sini pada 11 Mac lalu.
Deepak mendakwa, beliau berhak ke atas ganti rugi teruk atas alasan tiada dasar atau sebab mengapa Sabbaruddin dan Shahbudin mempersoalkan penyelesaian aman yang dicapai bagi menyelesaikan baki pembiayaan bank itu dengannya.
Deepak selaku pihak plaintif menamakan Sabbaruddin yang merupakan bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan sebagai defendan pertama dan Shahbudin defendan kedua dalam tuntutan tersebut.
Menurut pihak plaintif, isi kan­dungan buku tersebut membawa maksud antaranya beliau telah bersubahat secara salah dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dalam mencapai penyelesaian berhubung baki pembiayaan Bank Rakyat kepadanya.
Plaintif juga mendakwa, buku tersebut membawa maksud, beliau tidak boleh dipercayai dan pihak lain tidak sepatutnya berurusan dengan plaintif.
Deepak sehubungan itu antaranya menuntut ganti rugi am RM200 juta, ganti rugi teruk dan injunksi tetap bagi menghalang pihak defendan daripada terus menerbitkan pernyataan tersebut dengan apa cara sekalipun.
Peguam Adnan Seman yang mewakili kedua-dua defendan selepas menghadiri pengurusan kes di hadapan Hakim Vazeer Alam Mydin Meera di kamar hakim di sini memberitahu pemberita, pihaknya akan memfailkan pernyataan pembelaan anak guamnya minggu hadapan.
Peguam Ashok J. Sanghrajka yang mewakili Deepak pula berkata, mahkamah menetapkan 23 April ini untuk mendengar permohonan injunksi inter-parte (antara pihak) bagi menghalang pihak defendan daripada terus menerbitkan pernya­taan tersebut.
Mahkamah pada 6 Mac lalu telah membenarkan permohonan pihak plaintif bagi mendapatkan perintah injunksi secara ex-parte (sebelah pihak) setelah mendengar hujahan Ashok.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/deepak-saman-bekas-menteri-penulis-buku-rm200-juta-1.71908#sthash.Sd4H7Qxv.dpuf

Pengacara BFM didakwa hina hudud


Sedutan video yang menjadi viral dalam aplikasi WhatsApp yang
SEDUTAN video yang menjadi viral dalam aplikasi WhatsApp yang memaparkan pengacara stesen radio BFM memperlekehkan hukuman hudud yang akan dilaksanakan di Kelantan.
KUALA LUMPUR 20 Mac – Tindakan pengacara stesen radio BFM, Aisyah Tajuddin memuat naik video mempersoalkan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan telah membangkitkan kemarahan umat Islam di negara ini.
Video berdurasi 1 minit 55 saat yang disiarkan BFM Kupas dan ditonton sebanyak 378,868 pengguna internet itu mendakwa Pas Kelantan menggunakan agama bagi mengaburi mata rakyat untuk meraih populariti politik.
Malah, Aisyah juga mendapat kecaman hebat daripada ribuan pengguna laman sosial yang memarahi tindakannya memperlekehkan dan mempersendakan agama Islam.
Pengacara itu itu mendakwa isu melaksanakan hukum hudud itu hanya ilmu politik dan menggunakan nama agama untuk mengaburi mata rakyat dari isu penting seperti ekonomi dan pentadbiran.
Dia juga turut mempersoalkan rakyat negara ini yang bergaduh mengenai agama dan bangsa tetapi ekonomi negara merosot dan hutang meningkat.
Aisyah yang memakai baju berwarna putih itu juga turut menyindir pelaksanaan hukum hudud dengan membuka bungkusan nasi lemak tetapi di dalamnya kosong sambil mengibarkan bendera ne­geri Kelantan.
Rata-rata pengguna laman sosial Facebook meminta pihak bertanggungjawab mengambil tindakan ke atas Aisyah yang dianggap bukan sahaja menghina rakyat Kelantan tetapi agama Islam dan hukum Allah.
Sementara itu, BFM dalam satu kenyataannya berkata, pihaknya telah mengambil keputusan untuk menarik balik video tersebut memandangkan kemarahan yang timbul.
“Berdasarkan komen-komen yang diterima daripada pelbagai pihak jelas bahawa sebahagian da­ripada penonton menganggap kami mempersoalkan hukum hudud sedangkan kami tidak berniat sedemikian. Kami hanya mengajak penonton supaya mempertimbangkan beberapa persoalan mengenai pelaksanaannya.
“Walau bagaimanapun, kami i­ngin menyatakan rasa kesal terhadap serangan peribadi ditujukan kepada Aisyah termasuk ugutan bunuh dan rogol. Kami ingin mene­gaskan Aisyah hanyalah pengacara pengganti BFM Kupas dan bukanlah pengacara tetap rancangan tersebut,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/pengacara-bfm-didakwa-hina-hudud-1.71981#sthash.F7BEx3eE.dpuf