Search This Blog

Friday, March 20, 2015

Tiga warga asing maut sesak nafas sembunyi daripada ditahan


20/03/2015 6:43pm

LAHAD DATU - Tiga lelaki dipercayai warga asing meninggal dunia akibat sesak nafas ketika bersembunyi di bawah pasar ikan di sini pagi tadi.
Sumber polis menyatakan bahawa mereka dikatakan bersembunyi di situ apabila menyedari operasi membanteras pendatang asing sedang dijalankan oleh pasukan keselamatan kira-kira pukul 8 pagi.
"Ketiga-tiga mangsa dipercayai tidak sedarkan diri akibat kekurangan udara dan ditemui orang awam beberapa jam kemudian," katanya.
Menurut sumber tersebut, beberapa individu lain yang turut bersembunyi di situ bagaimanapun tidak mengalami masalah sedemikian.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Bomba dan Penyelamat Sabah, Mohd. Affendy Kamin dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 10.46 pagi.
"Empat anggota bersama sebuah jentera tiba di lokasi tiga minit kemudian dan mendapati kesemua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam serta dihantar ke Hospital Lahad Datu, sebelum mereka disahkan meninggal dunia," ujarnya lagi. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0320&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_14.htm#ixzz3UvZW6fea 
Hakcipta terpelihara 

150 tong gas cuba diseludup keluar dari Tawau


20/03/2015 4:06pm

TAWAU - Maritim Malaysia (APMM) Tawau berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar 150 tong gas memasak dalam satu operasi di perairan daerah ini semalam.
Ketua Penguatkuasa APMM Tawau, Kapten Anor Jaafar berkata, kesemua gas itu dirampas dalam sebuah bot jongkong yang dipercayai dalam perjalanan dari Tawau ke Nunukan, Indonesia kira-kira pukul 5.10 pagi.
"Seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun, merupakan juragan bot jongkang berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kesemua rampasan itu dibawa ke jeti APMM untuk tindakan lanjut dan kes itu disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana cuba menyeludup keluar barang bersubsidi ke negara jiran.
Anor berkata, pihaknya akan terus mempertingkat usaha membanteras kegiatan penyeludupan keluar barangan kawalan ke negara jiran.
Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan berkenaan agar menghubungi talian 089-752115 yang beroperasi secara 24 jam untuk membuat laporan. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0320&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_10.htm#ixzz3UvSWuqDh 
Hakcipta terpelihara 

Persenda hudud, Mufti Kelantan saran taubat

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali
Kota Bharu: Umat Islam yang mempersendakan hukum hudud sama ada secara lisan atau melalui rakaman video perlu segera bertaubat sebelum terlambat.
Mufti Kelantan, Datuk Muhamad Shukri Muhamad berkata, individu berkenaan dinasihatkan berbuat demikian kerana ia boleh memesongkan akidah.
Katanya, mereka yang melakukan secara sedar dan bukan secara jahil boleh jejaskan akidah dan pegangan agama.
"Sebagai umat Islam, kita perlu faham hukum ini dan menunjukkan contoh yang baik kepada orang bukan Islam supaya mereka hormat dengan hukum ini.
"Sebaliknya umat Islam sendiri yang tidak faham dan menjadikan hukum ini sebagai suka-suka," katanya sebagai mengulas berhubung penyebaran video berdurasi 1 minit 55 saat yang menjadi viral sejak semalam, dirakam menerusi syarikat radio tempatan oleh seorang gadis dikenali sebagai Aisyah yang dikatakan mempersendakan hukum hudud, semalam.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2015 @ 1:23 PM


PETIKAN daripada klip video yang viral.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/38271#sthash.KzgmQMZm.dpuf

Kereta tauke kilang ada dua klon


Kereta tauke kilang ada dua klon
Huei Soon menunjukkan kereta jenis Toyota Velfire yang didaftarkan atas nama syarikat milik bapanya, semalam.
MENTAKAB – Seorang tauke kilang papan terkejut apabila mendapat tahu kereta mewah Toyota Velfire yang dibeli pada 2010 itu mempunyai dua klon lain dari model yang sama.

Hong Meng Kiat berkata, kejadian disedari apabila dia menerima dua surat saman yang dihantar Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan kesalahan memandu melebihi had laju.

Menurutnya, kesalahan pertama dilakukan pada 17 Februari tahun ini dan surat saman tiba di pejabatnya seminggu kemudian, manakala kesalahan kedua dilakukan pada 2 Mac lalu dan surat saman juga sampai ke tangannya.

“Pada tarikh dan waktu tersebut kenderaan saya berada di kilang kami di Mentakab, tetapi surat saman itu memaklumkan saya melakukan kesalahan di Kilometer 375.9 dan Kilometer 204.6 Lebuhraya Utara Selatan sekitar Slim River dan Taiping, Perak.

“Saya tidak pernah memandu ke kawasan terbabit selama ini, berdasarkan rakaman sistem penguatkuasaan automatik (AES) dan rakaman kamera polis menunjukkan kereta klon yang sama melalui jalan tersebut pada hari kejadian," katanya.

Menurutnya, walaupun nombor pendaftaran dan model kereta yang sama dipandu individu lain, ia jelas bukan keretanya, malah bukan sebuah tetapi dua kereta yang sama diklonkan seperti kenderaannya.

Sementara itu, anak lelaki Meng Kiat, Hong Huei Soon berkata, berdasarkan rakaman kamera dalam surat saman jelas menunjukkan beberapa perbezaan dua kenderaan klon terbabit dengan kereta milik keluarganya.

Menurutnya, setakat ini ada lima saman berjumlah RM300 setiap satu telah dipos PDRM kepada bapanya atas kesalahan memandu melebihi had laju.

“Bapa saya tidak kisah sangat dengan saman itu, tetapi kami semua bimbang sekiranya kenderaan tersebut digunakan untuk tujuan jenayah.

“Sebab itu kami laporkan perkara ini kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis bagi membolehkan pihak berkuasa terbabit melakukan siasatan,” katanya.

Penyamun kebas harta masjid


Penyamun kebas harta masjid
Kepala paip besi di ruang berwuduk lesap dilarikan penjenayah.
SEGAMAT – Sebuah masjid yang sedang dalam pembinaan di Taman Yayasan, dekat sini, mengalami kerugian belasan ribu ringgit selepas beberapa barangan berharga yang diletakkan di kawasan masjid tersebut lesap.

Kerani tapak projek masjid tersebut, yang ingin dikenali sebagai, Mohamad berkata, kehilangan tersebut disedari kira-kira jam 8.30 pagi semalam oleh pekerja-pekerja projek berkenaan yang datang untuk memulakan kerja.

“Masjid ini bernilai RM3 juta dan sudah memasuki fasa terakhir pembinaannya dan di antara peralatan yang hilang ialah 45 unit kepala paip besi dan besen besi untuk kegunaan jemaah wanita dan lelaki.

“Selain itu, turut dicuri satu set alat pemancur di bilik mandi lelaki, satu unit peralatan pembesar suara yang diletakkan di dalam kotak, satu set kompresor angin dan beberapa tombol pintu,” katanya.

Menurutnya, dia mengesyaki suspek memasuki masjid tersebut dengan memakai kasut kerana terdapat beberapa kesan tapak kasut dalam masjid itu sehingga menyebabkan karpet yang telah dipasang terpaksa dibersihkan semula.

Katanya, jumlah kerugian juga sedang dinilai dan satu laporan polis juga telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Kamil Sukarmi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut dan siasatan juga akan dijalankan.

Mayat ditemui bertutup dengan selimut


20 Mac 2015


IPOH - Mayat seorang lelaki warga Myanmar dipercayai dibunuh ditemui dalam bilik di sebuah rumah kedai dua tingkat di Bandar Seri Botani di sini, malam tadi.
   
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, mayat lelaki berusia 46 tahun itu ditemui majikannya dalam keadaan bertutup dengan selimut kira-kira 9 malam.
   
"Siasatan awal mendapati, mangsa meninggal dunia dalam lingkungan enam hingga 12 jam. Pemeriksaan di tempat kejadian juga menemui kesan darah yang telah kering," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
   
Chang Keong berkata, suspek dipercayai menggunakan senjata tajam kerana terdapat kesan kecederaan di bahagian kepala, muka dan belakang badan mangsa.

"Bagaimanapun, tiada sebarang kesan pergelutan walaupun bilik mangsa berada dalam keadaan tidak tersusun," katanya.
   
Katanya, kedai dua tingkat berkenaan dihuni tujuh pekerja termasuk mangsa dan kesemuanya merupakan warga Myanmar.
   
Difahamkan, mangsa bekerja dengan majikannya sejak dua tahun dan hanya datang menetap di rumah berkenaan apabila mempunyai projek.
   
"Mangsa berada di sini sejak sebulan yang lalu. Usaha sedang dijalankan bagi mengesan enam lelaki Myanmar yang tinggal bersama si mati untuk membantu siasatan," katanya.
   
Chang Keong berkata, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat. - Bernama 

Bayi meninggal dunia akibat tersedak susu


PDRM
ALOR SETAR - Seorang bayi perempuan berusia tiga bulan meninggal dunia dipercayai akibat tersedak susu di rumahnya di Jalan Kilang Tebu di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata kanak-kanak itu dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini kira-kira pukul 6 pagi sebelum disahkan meninggal dunia.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan daripada pihak hospital berhubung kejadian itu kira-kira pukul 8 pagi dan mayat bayi tersebut dihantar ke Jabatan Forensik hospital untuk bedah siasat.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya. - Bernama

Hudud: Beri Kelantan peluang


Hudud: Beri Kelantan peluang
Mohd Akmal Kamarudin
IPOH – Peluang perlu diberikan kepada kerajaan negeri Kelantan untuk menguatkuasakan undang-undang hudud, kata Pemuda Pas Perak.

Timbalan Ketuanya, Mohd Akmal Kamarudin berkata, ia sebagai bukti Pas komited kepada prinsip Islam dan tidak pernah berubah seperti didakwa sesetengah pihak.

Mohd Akmal berkata, usaha itu sewajarnya mendapat sokongan daripada rakan PR sebagai penghormatan terhadap hak berdemokrasi iaitu Islam boleh dilaksanakan dan diamalkan secara bebas.

“Saya merayu kepada semua Ahli Parlimen Pas dan PR agar menyokong undang-undang ini apabila dibentangkan di Parlimen kelak, sebaik ianya diluluskan dan dilaksanakan, PR akan semakin kukuh dan mendapat sokongan rakyat.

“Sama ada Umno ikhlas atau tidak dalam menyokong undang-undang ini, itu soal mereka dengan ALLAH. Di dalam Perlembagaan Pas tidak pernah terpadam tujuan penubuhan Pas yang antara lain adalah mendaulatkan Islam,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, pembentangan rang undang-undang hudud sebagai enakmen yang sah di Kelantan adalah sebagai satu usaha mengembalikan kefahaman Islam yang jelas bagi rakyat Malaysia serta mendaulatkan agama ALLAH.

Mohd Akmal berkata, semua pihak sedia maklum bahawa enakmen itu dibentangkan pada 1993 iaitu sebelum terbentuknya PR, oleh itu diharap rakan dari PKR dan DAP menghormati pendirian Pas sebagaimana Pas boleh menghormati dasar dua parti rakan sekutunya.

Katanya, pindaan rang undang-undang hudud itu hanya berkuat kuasa ke atas masyarakat Islam sahaja.

“Ini adalah peluang kerajaan Kelantan dan Pas khususnya untuk memberi kefahaman tentang Islam terutama hukum hudud yang dimomokkan sebagai undang-undang zalim dan jumud,” katanya.

Polis jumpa mayat bayi dalam peti sejuk


20 Mac 2015


BORDEAUX - PERANCIS. Polis telah menemui lima mayat bayi di sebuah rumah di Selatan Perancis semalam.

Polis pada mulanya menemui bayi yang baru lahir dalam beg sejuk beku di sebuah rumah di Louchats, Perancis selepas menerima laporan daripada bapa bayi berkenaan.

Menurut laporan AFP, pegawai polis kemudiannya menemui empat lagi mayat bayi selepas menggeledah rumah berkenaan.

Empat bayi tersebut dilaporkan diletakkan di dalam sebuah peti sejuk.

Lelaki tersebut, 40, memberitahu polis bahawa dia tidak tahu sama ada isterinya telah mengandung.

Isterinya, 35 telah dimasukkan ke hospital dan akan menjalani pemerikasaan kesihatan.

Warga Nigeria ke tali gantung kerana edar dadah

20 Mac 2015
kes mahkamah
SHAH ALAM - Seorang pelajar warga Nigeria dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah mengedar 725.4 gram dadah jenis methamphetamine di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, tiga tahun lepas.
Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah membuat keputusan itu setelah berpuas hati dengan pihak pendakwaan yang berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Luke Nnaemeka Ugwu, 29.

Dalam penghakimannya, Abdul Alim berkata pembelaan tertuduh, yang merupakan pelajar di sebuah kolej swasta, hanyalah bersifat penafian semata-mata.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di laluan keluar balai ketibaan antarabangsa KLIA pada pukul 9.45 malam, 15 Mei 2012.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a), Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. 
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hasifulkhair Mohd Jamaluddin dan Husniyah Hanapi manakala tertuduh diwakili Hasnan Hamzah.
Sementara itu, dalam perbicaraan berasingan, dua lagi pelajar warga Nigeria terlepas daripada tali gantung apabila seorang daripada mereka mengaku bersalah atas tuduhan pilihan memiliki 4,432 gram kanabis pada 2012.

Onyeme Chibunna Okechukwu, 31, mengaku salah atas tuduhan pilihan itu sebelum perbicaraan bermula dan dikenakan penjara 12 tahun dan 12 sebatan oleh mahkamah yang sama manakala rakan senegaranya, Obdiegwu Chinwuba Sigismund, 29, dibebaskan.

Abdul Alim mengarahkan hukuman itu dikuatkuasakan dari tarikh tertuduh ditangkap pada 20 Februari 2012.

Mereka sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a), Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan sebelum pihak pendakwa raya mengubahnya kepada Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak kurang dari lima tahun dan minimum 10 sebatan.

Tertuduh mengaku memiliki dadah jenis kanabis atau ganja seberat 4,432 gram di tingkat 1, tempat letak kereta, Magna Villa Condo, Selayang pada kira-kira pukul 1 pagi, tiga tahun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norhani Mohamad Adzhar manakala tertuduh diwakili Gurbachan Singh.  - Bernama

Polis Marin Sarawak rampas pelbagai barangan bernilai RM11.5 juta

PASUKAN Polis Marin Wilayah Lima bersama pegawai Jabatan Perhutanan Sarikei menunjukkan balak yang dirampas di Sungai Paoh, Sarikei, Sarawak, kelmarin. - Gambar ihsan Polis Marin Wilayah Lima

KUCHING: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima Sarawak melakukan 111 tangkapan atas pelbagai kesalahan membabitkan nilai rampasan RM11.5 juta dari Januari hingga semalam.
Komander Polis Marin Wilayah Lima Sarawak, Asisten Komisioner N Kalai Chelvan, berkata jumlah tangkapan itu meningkat berbanding 58 tangkapan bagi tempoh sama tahun lepas.
Beliau berkata, kesalahan mengikut Akta Perhutanan mencatatkan nilai rampasan berjumlah RM5,473,425; Kanun Tanah Negeri (RM3,227,000); Akta Kawalan Bekalan (RM2,689,540); dan Akta Kastam (RM176,589).
Beliau ditemui pemberita selepas perhimpunan bulanan dan sesi pemakaian pangkat kepada 14 anggota daripada Sarjan kepada Sarjan Mejar, di Markas PPM Wilayah Lima hari ini.
Sementara itu, Kalai Chelvan berkata, beliau sudah mengarahkan dua buah bot PPM Wilayah Lima dari Bintulu dan Miri dengan kekuatan 20 anggota untuk melakukan pemantauan 24 jam pergerakan nelayan asing di perairan Miri.
"PPM Wilayah Lima sudah melakukan pemantauan sejak hari pertama kegiatan nelayan asing itu didedahkan. Untuk makluman pada hari pertama pemantauan kami sudah merampas sebuah bot nelayan dipercayai milik nelayan asing.
"Kami akan terus bekerjasama dengan semua agensi terbabit seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia bagi membanteras kegiatan nelayan asing tersebut," kata Kalai Chelvan.
Nelayan asing itu dipercayai dari Suluk, Filipina yang tinggal di penempatan setinggan Kampung Batu Satu dan Pujut Lima, di Miri didakwa mengambil kesempatan menangkap ikan serta hasil laut lain terutama pada musim bubuk (udang geragau) sehingga menjejaskan nelayan tempatan. - BERNAMA

Tiga Beradik Dakwa Cedera Akibat Dirawat Bomoh


Diterbitkan: Khamis, 19 Mac 2015 11:57 PM


SIBU: Tiga beradik berusia antara lima hingga 10 tahun didakwa mengalami kecederaan akibat dirawat seorang bomoh tradisional sejak Oktober tahun lalu.
Mereka yang dikatakan menerima rawatan hampir setiap hujung minggu melecur pada badan akibat sering dicucuh dengan colok setiap kali menerima rawatan daripada bomoh tersebut.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Mohd Kamal Kordi berkata perkara tersebut akhirnya diketahui bapa mereka yang bekerja sebagai tukang masak selepas anak lelakinya yang berusia lima tahun mengadu sakit di bahagian dada pada 10 Mac
lalu.

Pemeriksaan pada pada badan abang kanak-kanak itu yang berusia enam tahun dan kakaknya yang berusia 10 tahun turut mendapati terdapat kesan lecur yang sama, katanya

Beliau berkata anak sulung lelaki itu memberitahu bahawa ibu mereka telah membawa mereka menemui bomoh itu di Bukit Lima untuk upacara sembahyang di mana mereka dipaksa berlutut berjam-jam lamanya sambil memegang colok dan apabila mereka bergerak mereka akan dicucuh dengan colok.

Adik beradik itu juga telah diugut untuk tidak memberitahu sesiapa mengenai perkara itu selain diarahkan memakai pakaian berlengan panjang sepanjang masa,
katanya.

Mohd Kamal berkata bapa kanak-kanak tersebut kemudiannya membuat laporan polis dan wanita tersebut telah ditahan petang tadi.

Bomoh tersebut turut sedang diburu, katanya.

#KitaLawan: Tian Chua Pula Ditahan


Diterbitkan: Jumaat, 20 Mac 2015 12:28 PM
Tian Chua

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Batu, Tian Chua ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan haram #KitaLawan di ibu negara baru-baru ini.

Penahanan Tian yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menjadikan beliau sebagai individu ke 11 ditahan berhubung perhimpunan berkenaan.

Menurut Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil Tian ditahan kira-kira pukul 11.53 pagi Jumaat.

Terdahulu, Tian hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi difahamkan untuk dirakamkan percakapan.

Berdasarkan penahanan sebelum ini berhubung perhimpunan yang sama, kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman dan Seksyen 143 Kanun Keseksaan.

Antara yang pernah ditahan adalah Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad; Ketua Pemuda DAP Kebangsaan, Teo Kok Seong serta aktivis muda, Adam Adli Abdul Halim dan Mandeep Singh.

Perhimpunan #KitaLawan diadakan bagi menyatakan bantahan terhadap pemenjaraan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lelaki mati ditetak di Manjung


20/03/2015 4:03pm

IPOH - Seorang lelaki ditemui mati dipercayai akibat ditetak sekumpulan orang di sebuah padang di Taman Rancangan Perumahan Awam (RPA) 2, Ayer Tawar, Manjung awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, orang awam menemui mangsa berumur 34 tahun itu kira-kira pukul 5 pagi.
"Mangsa ditetak di bahagian kepala hingga menyebabkan pendarahan teruk sehingga mengakibatkan kematian," katanya ketika dihubungi.
Mohd Zailan berkata, hasil siasatan mendapati lima lelaki menaiki kereta jenis Toyota Vios berwarna coklat menetak mangsa dengan menggunakan senjata tajam.
"Kelima-lima suspek telah melarikan diri dan punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0320&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_09.htm#ixzz3UvRka1ht 
Hakcipta terpelihara 

5 mayat bayi ditemui di rumah pasangan Perancis


PARIS: Polis menemui empat mayat bayi dalam pendingin beku di sebuah rumah di selatan Perancis selepas seorang lelaki melaporkan penemuan mayat bayi dalam beg penyejuk di rumah keluarganya, menurut sumber polis.
Polis menggeledah rumah berkenaan yang terletak di Louchats, berhampiran Bordeaux, petang semalam selepas selepas lelaki berkenaan melaporkan beliau menemui mayat seorang bayi di kediamannya.
Lelaki berusia 40 tahun itu memberitahu polis bahawa beliau tidak tahu sama ada isteri beliau mengandung.
Wanita berusia 35 tahun itu dimasukkan ke hospital dan akan menjalani pemeriksaan perubatan. - Reuters

Polis berkas suspek terbabit 14 kes pecah rumah

ACP Azlee (tig dari kiri) menunjukkan barang rampasan bagi kes pecah rumah ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam 14 kes pecah rumah di sekitar Lembah Klang serta merampas pelbagai barangan bernilai RM500,000.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Azlee Abdullah berkata, suspek yang berusia 37 tahun dan bergiat aktif sejak 2012 itu ditahan pada jam 1.45 tengah hari di sebuah unit pangsapuri di Taman Bukit Mandarina, Cheras pada 12 Mac lepas.
"Suspek memiliki 12 rekod jenayah lampau manakala ujian air kencing suspek didapati positif dadah jenis ganja.

Ekoran daripada tangkapan itu, polis merampas pelbagai barangan antaranya barang kemas, televisyen, komputer riba, telefon bimbit, jam tangan dan peralatan yang digunakan suspek untuk melakukan jenayah pecah rumah seperti playar," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, di sini, hari ini.
Selain itu, polis turut menahan dua individu lain iaitu peniaga kedai komputer dan barang kemas kerana membeli barangan yang dicuri suspek selain disyaki terbabit dalam proses pelupusan barangan berkenaan.
"Polis masih mengesan seorang lagi rakan suspek yang masih bebas dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya. - BERNAMA

Tian Chua ditahan di IPD Dang Wangi

JUMAAT, 20 MAC 2015 @ 12:24 PM


KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Tian Chua, ditahan polis ketika hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi sebentar tadi.

Perkara ini dinyatakan sendiri Tian Chua menerusi akaun Twitternya.

"IPD Dang Wangi: ASP Sabri secara rasmi memberitahu saya bahawa saya ditahan - waktu: 11.53h," katanya.

Terdahulu, Tian Chua ke situ untuk memberi keterangan berhubung perhimpunan #KitaLawan.

Bayi 3 bulan maut tersedak susu


Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
ALOR SETAR: Seorang bayi perempuan berusia 3 bulan maut dipercayai akibat tersedak susu di sini, pagi, tadi.
Bayi perempuan itu dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada kira-kira jam 6 pagi tadi sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 8 pagi.
Bayi yang berasal dari Taman Cembara, Jalan Kilang Tebu di sini, kini masih berada di HSB untuk tindakan lanjut pihak hospital dan keluarga mangsa.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner, Adzaman Mohd Jan, mengesahkan kejadian dan mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.

Lelaki kebulur pecahkan ATM

AKSI Zhang cuba melakukan kesalahan supaya ditangkap.
Beijing: Seorang lelaki berusia 20 tahun cuba memecahkan mesin juruwang automatik (ATM) menggunakan batu semata-mata mahu mendapat makanan percuma di dalam lokap.
Lelaki hanya dikenali sebagai Zhang dari Anhui itu dirakam kamera litar tertutup di mesin itu di Shanghai selepas kehabisan semua wangnya apabila memutuskan pindah ke bandar berkenaan dengan membawa hanya 100RMB (RM60) pada Festival Musim Bunga lalu.
Zhang memberitahu polis semua wangnya habis ketika singgah di Zhejiang menyebabkan dia terpaksa berjalan ke Shanghai selama beberapa hari tanpa makan.
Disebabkan itu dia memilih melakukan jenayah kecil itu dengan harapan dapat ditahan di dalam lokap seterusnya diberi makan.
Agensi berita Xinhua melaporkan, polis mendapati perbuatan Zhang tidak serius kerana hanya berjaya memecahkan tempat kad di mesin itu.
Polis yang bersimpati dengan nasibnya kemudian memberinya makan secara percuma sebelum melepaskannya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2015 @ 5:13 AM



- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/38127#sthash.ZSDwUfeS.dpuf

Wartawan dijel kerana fitnah


Yangon: Dua wartawan dipenjara dua bulan oleh mahkamah di Myanmar atas tuduhan fitnah.
Ketua pengarang Myanmar Post, Than Htaik Thu dan wartawan Hsan Moe Tun didakwa pada Februari 2014 selepas akhbar mingguan mereka memetik kenyataan seorang pegawai tentera Mejar Thein Zaw mengatakan rakannya di parlimen berpendidikan rendah.
Bagaimanapun, Thein menafikan mengeluarkan kenyataan itu dan memfailkan tuduhan fitnah ke atas dua wartawan itu.
Pengarang jurnal, Zin Thaw Naing berkata: “Keputusan itu satu ancaman kepada kebebasan media. Sistem kehakiman Myanmar tidak bebas dan di bawah tekanan pentadbiran.” - Agensi
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/38146#sthash.FC87XgNH.dpuf

‘Pagar’ tak boleh diharap


Beijing: Bekas pengerusi syarikat minyak terbesar Asia, PetroChina Ltd, semalam didakwa atas tuduhan menyalahgunakan kuasanya di China National Petroleum Corp (CNPC) dan menerima rasuah membabitkan kehilangan wang rakyat.
Pejabat pendakwa kebangsaan semalam mengesahkan dalam satu kenyataan bahawa Jiang Jiemin dihadapkan ke mahkamah.
Jiang dipercayai mempunyai kaitan dengan bekas ketua keselamatan Parti Komunis China, Zhou Yongkang yang ditahan pada Disember tahun lalu atas pelbagai tuduhan termasuk rasuah dan membocorkan rahsia kerajaan.
Jiang dinaikkan pangkat pada Mac 2013 untuk mengetuai cabang Kabinet yang memantau syarikat-syarikat terbesar milik kerajaan, namun dipecat September 2013 disebabkan siasatan kes rasuah.
Beberapa pegawai kanan industri minyak milik kerajaan ditahan dalam usaha besar-besaran diketuai Presiden Xi Jinping yang dilihat mengukuhkan pegangan kerajaan terhadap PetroChina dan syarikat lain.
Industri tenaga menjadi asas kuasa bagi pegangan terhadap syarikat milik kerajaan mampu menyediakan peluang pekerjaan untuk penyokong mereka, selain wang bagi kegunaan kerjaya sendiri.
Di samping itu, media tempatan semalam mendakwa, pada 2013 Jiang mempunyai hubungan rapat dengan ahli politik Bo Xilai yang dipenjara selama setahun kerana menggelapkan wang dan menyalahgunakan kuasa.
Menurut laporan akhbar, Jiang membina kilang penapis minyak di kawasan dipegang Bo untuk mempertingkatkan prestasi politik Bo.
Isnin lalu, parti pemerintah mengumumkan naib pengerusi PetroChina Liao Yongyuan juga sedang disiasat kerana disyaki melanggar disiplin - istilah digunakan parti berkenaan untuk rasuah.
Sekurang-kurangnya empat eksekutif CNPC atau PetroChina juga ditahan dalam kejadian itu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/38128#sthash.9HejdKNW.dpuf

Belah perut ibu hamil


Denver, Colorado: Ketika seorang bakal ibu membuka pintu rumahnya untuk menyambut seorang wanita tidak dikenali, dia berharap ada pakaian bayi cantik yang boleh dibeli untuk dipakaikan kepada anaknya yang bakal lahir tidak lama lagi.
Namun wanita hamil itu tidak pernah menyangka tetamu yang disangkanya jurujual pakaian bayi itulah yang akan menyerang dan membelah perutnya sebelum mengeluarkan bayi berkenaan dari rahimnya.
Mangsa bernasib baik kerana kecederaan parah pada perutnya tidak menghalang dia menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.
Jurucakap polis Longmont, Jeff Satur berkata, wanita hamil itu menghubungi suspek yang memperkenalkan dirinya sebagai penjual pakaian bayi.
Katanya, produk itu diiklankan di Internet.
“Polis dikejarkan ke rumah mangsa selepas menerima panggilan kecemasan.
“Apabila tiba, mereka mendengar suara wanita menjerit kesakitan dan meminta tolong di dalam rumah berkenaan,” katanya.
Katanya, apabila masuk ke rumah itu, polis menemui mangsa berlumuran darah dengan kesan torehan di perut.
“Mangsa memberitahu, anaknya dikeluarkan dari rahim,” katanya.
Siasatan menunjukkan, mangsa yang berusia 26 tahun itu dan tidak mengenali penyerangnya.
Wanita itu kemudian dibawa ke Hospital Longmont dan dia dijangka selamat selepas menjalani pembedahan.
Sementara itu, dalam perkembangan mengejutkan, polis menemui suspek membawa seorang bayi yang tidak bernyawa di hospital sama.
Menurut Satur, suspek berusia 34 tahun dan pernah mengalami keguguran. - Agensi
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/38130#sthash.7Z2tuSyw.dpuf

PDI-P parti paling korup di Indonesia


Jakarta: Rancangan kerajaan untuk memperkenalkan peraturan meringankan hukuman penjara dilalui pesalah rasuah dilihat sebagai satu cara untuk melindungi ahli Parti Demokrasi Indonesia (PDI-P) daripada tindakan undang-undang memandangkan parti pemerintah itu mempunyai paling ramai anggota disabitkan untuk rasuah sejak sedekad lalu.
Alvon Kurnia Palma dari Institut Yayasan Bantuan Guaman Indonesia memetik kajian mengenai indeks persepsi rasuah parti politik oleh kumpulan pemantau Suruhanjaya Penghapusan Rasuah (KPK) mendedahkan ahli politik PDI-P paling banyak terbabit dalam skandal seumpama itu antara 2004 dan 2014.
Organisasi itu menjalankan kajian berdasarkan data disediakan beberapa pertubuhan antirasuah termasuk KPK, Indonesia Corruption Watch dan Transparency International Indonesia.
Menurut kajian itu, ahli politik dari parti terbabit berada di tempat pertama dengan 157 kes, manakala Parti Golkar di tempat kedua dengan 113 kes diikuti Parti Demokratik (47).
“Ini penemuan menarik dan mungkin ada kaitan dengan perancangan yang meragukan. Kami juga mengesyaki perancangan ini mempunyai agenda politik,” kata Alvon yang juga peguam bekas timbalan ketua KPK, Bambang Widjajanto, kelmarin.
Menteri undang-undang dan Hak Asasi Manusia, Yasonna H Laoly baru-baru ini membangkitkan rancangan untuk menyemak semula peraturan kerajaan pada 2012 yang mengenakan syarat ketat bagi meringankan hukuman dilalui bagi jenayah termasuk dadah, rasuah dan keganasan.
Namun, katanya, pesalah rasuah sewajarnya dibenarkan pengurangan seumpama itu.
Abraham Todo Napitupulu dari Institut Pembaharuan Keadilan Jenayah menasihati Yasonna supaya menggugurkan rancangan itu, sebaliknya menjalankan kajian menyeluruh mengenai kesan pelaksanaan peraturan itu.
Yasonna bagaimanapun membalas kritikan itu dengan menegaskan pelan itu bertujuan menambah baik sistem undang-undang. - Agensi
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/38148#sthash.IayspkFC.dpuf

Polis takut protes bebaskan sami


Bangkok: Polis di Phimai terpaksa membebaskan sami yang ditahan kerana memiliki kayu secara haram selepas kira-kira 50 penduduk Nakhon Ratchasima mengadakan perhimpunan membantah tindakan itu.
Phra Samroeng Chanthathammo, 45, ditahan di biaranya di Taman Negara Thap Lap ketika sedang menggergaji kayu untuk membina bilik sami baru di sana. Polis turut merampas 64 keping papan kayu dari pokok yang dilindungi.
Menurut Phra Samroeng dia dijemput penduduk kampung untuk tinggal di biara itu sejak 2009.
Mereka sudah membina lebih banyak penempatan untuk sami kerana buat masa ini hanya ada satu rumah dan empat bilik.
Katanya, papan terbabit dibawa penduduk kampung.
Sebelum pihak polis sempat mengambil tindakan lanjut selepas menangkapnya, kira-kira 50 penduduk kampung mengadakan bantahan di Balai Polis Udomsap.
Dua jam kemudian, polis bersetuju melepaskan sami terbabit dan perhimpunan itu bersurai.
Menurut polis, pembebasan sementara itu bagi meredakan ketegangan dengan penduduk kampung. Sami terbabit turut menafikan tuduhan terhadapnya.
Tindakan undang-undang itu diambil selepas mendapat aduan daripada pegawai di taman negara. Siasatan akan diteruskan kemudian. - Agensi
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/38149#sthash.i4i8fAyx.dpuf

Parah ‘dikasut’ pondan

Kaparzyna parah dipukul dengan kasut tumit tingi.
PLAKAT Somchan
Bangkok: Seorang warga Poland cedera parah selepas terlibat dalam pergaduhan dengan ‘mak nyah’ ketika melancong ke Thailand bersama suaminya.
Kaparzyna Pietrzyck, 42, dilaporkan mengalami kecederaan parah di dahi yang menyebabkannya kehilangan banyak darah selepas dipukul berulang kali dengan kasut tumit tinggi oleh wanita transgender Plakat Somchan, 23.
Pergaduhan bermula apabila Somchan cuba menggoda dan menawarkan seks kepada suami Kaparzyna.
Berang dengan tindakan Plakat, Kaparzyna membuat laporan kepada pihak berkuasa dan kedua-duanya sudah memberi keterangan kepada polis.
Plakat kini berdepan tindakan jenayah manakala Kaparzyna dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2015 @ 5:17 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/38152#sthash.aCjQePoJ.dpuf

Bawa seguni air ketum


Bawa seguni air ketum
Bungkusan kecil berisi air ketum dirampas.
JITRA - Tindak-tanduk mencurigakan seorang lelaki yang membawa satu guni disyaki barangan terlarang membawa padah apabila ditahan polis di Jalan Kuala Sanglang, di sini, kelmarin.

Ketua Polis daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Rahim Abdullah berkata, suspek, 31, ditahan sepasukan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu di tepi jalan kira-kira jam 12 tengah hari.

"Suspek cuba melarikan diri ketika ditahan, bagaimanapun berjaya ditangkap.

“Pemeriksaan lanjut mendapati lelaki yang bekerja sebagai pesawah itu membawa 21 bungkusan kecil cecair disyaki air ketum dalam guni tersebut," katanya.

Menurutnya, hasil soal siasat mendapati suspek menjalankan kegiatan air ketum sejak sebulan lalu.

"Air ketum berkenaan di peroleh daripada seorang pembekal tempatan untuk dijual pada harga RM2 sebungkus.

"Rampasan itu membabitkan kira-kira tujuh liter air ketum. Kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952," katanya.

Ditipu agen insurans palsu


Ditipu agen insurans palsu
Yusney menunjukkan salinan laopran polis dan borang maklumat yang diisi ketika membeli insurans tersebut.
PADANG SERAI - Seorang suri rumah mendakwa ditipu sepasang suami isteri yang menyamar sebagai  agen insurans ketika selesai berurusan di sebuah pejabat pos di sini, Februari lalu.

Mangsa, Yusney Jaffar, 38, berkata, suaminya tertarik dengan syarat yang ditawarkan pasangan berkenaan iaitu hanya perlu membayar RM599 seumur hidup bagi mendapat pelbagai kemudahan selain pulangan RM30,000.

"Ketika itu, suami saya mahu bayar cukai jalan dan insurans kenderaan di pejabat pos, tetapi dia turut terpengaruh setelah disapa dan melihat ramai orang menyertai insurans ditawarkan pasangan berkenaan.

“Pelbagai hadiah dijanjikan, termasuk mahu memulangkan 50 peratus bayaran yang dibuat sekiranya memperbaharui cukai jalan dan insurans kenderaan, kononnya mereka ada kerjasama dengan syarikat insurans kenderaan,” katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, pasangan itu juga enggan memberikan nombor telefon untuk dihubungi sebaliknya meminta dia dan suami menghubungi syarikat berkenaan di ibu negara untuk pertanyaan lanjut.

“Dia kata akan masukkan 50 peratus daripada bayaran pembaharuan cukai jalan dan insurans kenderaan ke dalam akaun dalam tempoh 24 jam, tapi selang beberapa hari wang dijanjikan masih belum ada," katanya.

Yusney berkata, dia cuba membuat semakan dengan syarikat insurans terbabit bagaimanapun diberitahu syarikat yang mewakili pasangan terbabit tidak wujud dan mereka bukan wakil jualan insurans berkenaan. "Saya harap orang ramai akan lebih berhati-hati supaya tidak mudah tertipu.

"Sebelum berurusan pastikan mereka wakil sah dan minta nombor telefon atau kad pengenalan. Jika perlu ambil gambar sebelum menyerahkan wang," katanya.

Polis buru 5 suspek rompak dua rumah dalam sehari


19 Mac 2015


GEORGETOWN - Polis Pulau Pinang sedang mengesan lima suspek kes rompakan melibatkan dua unit rumah pangsapuri di Bukit Dumbar, di sini, Selasa lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Datuk Mazlan Kesah berkata, kejadian pertama berlaku di Jalan Batu Gajah pada pukul 9.30 pagi diikuti sebuah lagi pangsapuri yang terletak di Jalan Thomas pada pukul 8 malam.

"Kedua-dua pangsapuri itu terletak tidak jauh antara satu sama lain dan modus operandi yang digunakan juga hampir sama," katanya kepada pemberita selepas melawat rumah mangsa rompakan berkenaan di sini hari ini.

Katanya rakaman kamera litar tertutup dapat merakamkan wajah suspek dan mereka disyaki orang tempatan selain kelihatan memahami selok-belok kawasan berkenaan.

Beliau berkata dalam kes pertama perompak yang terdiri daripada tiga lelaki naik ke tingkat 15 rumah mangsa dengan menaiki tangga dan membuka pintu pagar hadapan dipercayai menggunakan kunci yang telah diubah suai sebelum memecahkan tombol pintu kedua.

Manakala di rumah kedua suspek masuk menerusi tembok belakang pangsapuri sebelum masuk ke rumah mangsa yang terletak di tingkat bawah menggunakan cara yang sama dan mengikat penghuninya, kata Mazlan.

Beliau berkata jumlah kerugian mangsa terlibat dianggar RM20,000 selain pelbagai barang berharga seperti laptop, telefon pintar dan barang kemas turut dilarikan.

Seorang daripada mangsa Ong Wei Khen, 23, berkata, ketika kejadian pukul 9.30 pagi itu beliau baru keluar dari bilik air selepas selesai mandi dan terkejut melihat penjenayah itu sudah berada di dalam rumahnya.

"Apabila terlihat saya dari bilik air seorang dari perompak itu mengacukan parang pada leher dan mengikat tangan dan kaki saya dengan wayar pengecas telefon. Mereka tidak bertopeng dan mungkin tidak sangka ada orang di dalam rumah," katanya.

Tukang masak restoran itu berkata suspek seperti mengetahui rutin keluarganya dan bertanya bila ibu bapanya yang berniaga di Pasar Jelutong akan balik dan kelihatan tergesa-gesa menggeledah rumah itu.

"Ibu bapa saya memang akan balik sekitar 11 pagi atau lebih awal selepas selesai berniaga...saya sepatutnya telah bersiap-siap untuk ke tempat kerja tetapi saya lambat sikit hari itu," katanya. - Bernama

Lelaki aktif samun kedai telefon bimbit ditahan


Kes jenayah
Kes jenayah
NIBONG TEBAL - Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai aktif menyamun kedai-kedai telefon bimbit di sekitar daerah Seberang Perai Selatan (SPS), di sini dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Jawi, Sungai Jawi di sini Sabtu lepas (14 Mac).

Ketua Polis Daerah SPS Superitendan Wan Hassan Wan Ahmad berkata lelaki berusia 27 tahun itu ditahan pada pukul 9 malam iaitu kira-kira dua jam selepas dia menyamun sebuah kedai telefon bimbit di sini.

"Dalam kejadian berkenaan, lelaki yang tidak bekerja itu telah menyamun sebuah telefon bimbit dengan mengambil iPhone 6 bernilai RM2,700 serta turut mencederakan pemilik premis berkenaan ketika mangsa cuba menghalang suspek sebelum dia melarikan diri menaiki kereta jenis Proton Wira.

"Susulan kejadian itu, sepasukan polis menyerbu sebuah rumah dan berjaya menahan lelaki berkenaan serta merampas lima buah telefon bimbit pelbagai jenama serta wang tunai sebanyak RM2,067," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata berdasarkan siasatan, lelaki yang mempunyai satu rekod jenayah berkaitan dadah itu turut terlibat dengan kes samun membabitkan dua buah kedai telefon bimbit di Bukit Panchor dan Jalan Badak Mati di sini, baru-baru ini.

Wan Hassan berkata dalam dua kejadian berasingan membabitkan kerugian lebih RM6,000 itu, lelaki berkenaan telah menyamun telefon bimbit dan wang tunai yang terdapat di kedai tersebut.

"Modus operandi lelaki itu ialah menggunakan parang, kapak atau pisau untuk menakutkan pemilik kedai sebelum menyamun telefon bimbit serta wang tunai. Jika ada yang melawan ketika kejadian dia yang bergerak seorang diri akan mencederakan mangsa," katanya.

Katanya lelaki yang positif dadah itu kini direman selama enam hari bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain beliau berkata pihaknya menahan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian samun di asrama pekerja asing di Taman Gamelan, Sungai Bakap di sini awal pagi semalam.

Beliau berkata remaja lelaki yang sudah tidak bersekolah itu ditahan pada pukul 3.15 pagi iaitu 15 minit selepas menyamun empat telefon bimbit pelbagai jenis bernilai RM3,000 milik pekerja asing di asrama berkenaan.

"Dalam kejadian itu, remaja tersebut masuk ke asrama pekerja asing berkenaan dengan bersenjatakan pisau dan ia disedari seorang wanita warga Vietnam yang sedang tidur di ruang tamu rumah itu.

"Remaja itu turut mencederakan wanita berkenaan ketika berlaku pergelutan antara mereka sebelum dia (remaja lelaki) berjaya melarikan diri dengan keluar melalui tingkap rumah tersebut," katanya.

Wan Hassan berkata remaja itu berjaya ditahan di kawasan taman perumahan itu oleh sepasukan polis yang menjalankan rondaan cegah jenayah di taman tersebut selepas mendapati dia dalam keadaan mencurigakan.

Katanya polis turut menemui semula empat telefon bimbit berkenaan dan merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian samun tersebut.

"Polis tidak menolak kemungkinan remaja itu turut terlibat dalam beberapa kejadian samun lain, dia kini direman selama enam hari bagi membantu siasatan," katanya. - Bernama

Tumpahan minyak jejas pantai


Tumpahan minyak jejas pantai
Pekerja Alam Flora Sdn Bhd membersihkan tompokan minyak di pantai Teluk Cempedak
KUANTAN - Penduduk di sepanjang Pantai Beserah dan Sungai Karang dekat sini terkejut selepas menyedari beberapa tompokan minyak ditemui di tepi pantai dan menyebabkan pencemaran pantai berkenaan.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, banyak tompokan minyak di pesisir pantai yang dibawa ombak manakala penduduk pula terpaksa membuang kepah atau kerang di pantai itu bagi mengelakkan keracunan.

Seorang penduduk Pantai Sungai Karang,  Mohd Zubir Mat Ghani, 50, berkata, dia menyedari tompokan minyak awal pagi kelmarin tetapi semakin banyak sejak pagi semalam ketika sedang berjoging di pesisir pantai.

Katanya, setiap pagi dia singgah di rumah ibunya yang hanya 100 meter dari pantai untuk memukat dan berjoging namun keadaan pagi ini (semalam) menyebabkan hasrat berkenaan tidak dapat dilakukan.

“Saya menyedari tompokan minyak semakin banyak ketika berjoging pagi ni. Kami juga ada mencari kepah dan kerang tetapi terpaksa membuangnya kerana bimbang keracunan,” katanya.

Mohd Zubir berkata, kejadian sama pernah beberapa kali berlaku tetapi tidak banyak seperti kali ini dan berharap pihak berkuasa dapat memantau keadaan berkenaan.

“Punca kejadian mungkin dari kapal di pelabuhan tetapi kita berharap pihak berkuasa dapat bertindak segera kerana kawasan pantai di Kuantan menjadi tumpuan pelancong,” katanya.

Tinjauan di Teluk Cempedak juga mendapati syarikat Alam Flora Sdn Bhd sedang melakukan pembersihan bagi membolehkan orang ramai bersantai dan melakukan aktiviti di pantai itu.

Pantai berkenaan juga dipenuhi tompokan minyak sejak kelmarin tetapi semakin banyak awal pagi semalam.

Eksekutif Bahagian Operasi Alam Flora Sdn Bhd, Saadan Hamzah berkata, syarikat itu menerima aduan dari Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) pagi kelmarin.

“Kita memulakan kerja-kerja pembersihan sejak semalam (kelmarin) bagi mengelakkan lebih banyak tompokan minyak yang boleh mengganggu keselesaan pelancong,” katanya ketika ditemui di lokasi terbabit.

Beliau berkata, seramai 20 tenaga kerja digunakan untuk membersihkan pesisir pantai sepanjang lebih dua kilometer itu.

Katanya, sekumpulan pekerja berkenaan akan menumpukan kepada pembersihan pantai itu sepanjang hari namun mungkin tidak dapat disiapkan dalam tempoh singkat kerana air pasang membawa lebih banyak tompokan minyak.

Sementara itu, pengunjung pantai Teluk Cempedak, Muhammad Razali Abdullah, 17, berkata, tompokan minyak di sepanjang pantai itu membuatkan pengunjung tidak selesa.

“Pencemaran ini boleh menjatuhkan imej Teluk Cempedak sebagai pantai yang dikenali antara yang tercantik di dunia,” katanya.

Dadah: Penganggur berdepan 4 tuduhan


Dadah: Penganggur berdepan 4 tuduhan
Tertuduh (kanan) dibawa keluar dari mahkamah selepas dituduh, semalam.
KOTA BHARU - Seorang penganggur berdepan empat tuduhan memiliki dadah ketika dihadapkan ke mahkamah majistret, di sini, semalam.

Tertuduh yang berusia 31 tahun itu mengaku bersalah kesemua tuduhan ke atasnya di hadapan Majistret, Mohamad Nasrudin Mohamed.

Mohammad Syawal Yusof didakwa pada satu tuduhan memiliki tiga gram (g) dadah jenis metamphetamine di tepi Jalan Sultan Yahya Petra, di sini, kira-kira jam 12.30 tengah malam, 14 Mac lalu.

Dalam tiga lagi tuduhan lain, dia didakwa pada tuduhan pertama memiliki 1.7g dadah jenis sama pada masa tarikh dan lokasi sama.

Manakala pada tuduhan kedua dia dituduh memiliki 1.5 g heroin serta 1 g lagi dadah jenis metamphetamine di situ.

Pada prosiding semalam, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Mohd Syahrun Nizam Mohd Misan memohon tarikh sebutan semula untuk pengurusan kes.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula pada 14 Mei depan, sementara itu tertuduh dibenarkan diikat jamin RM13,000 dengan seorang penjamin.

Telefon dirampas milik pegawai polis terkorban


mahkamah
KOTA KINABALU - Seorang pegawai Cawangan Khas (SB) Bukit Aman percaya telefon bimbit yang dirampasnya dari sebuah kereta di Jalan Lihak-Lihak di Semporna pada 13 Mac 2013 kepunyaan pegawai atasannya yang terkorban dalam serangan di Kampung Simunul 11 hari sebelum itu, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini.
Ketika memberi keterangan pada perbicaraan 30 individu yang mempunyai kaitan dengan pencerobohan Lahad Datu dua tahun lepas, Inspektor Holib Wan Ahmad berkata beliau menjumpai sebuah telefon bimbit Samsung Note 2 hitam di antara pakaian lama di dalam beg plastik hijau di dalam boot Perodua Viva yang dinaiki tiga tertuduh -- Basil Samiul, Rizman Gulan dan Abdul Majil Jubin.

"Saya merujuk kepada Asisten Superitendan Wan Kamal Rizal Wan Daud (pegawai koordinasi operasi) mengenai penemuan telefon bimbit (Samsung Note 2) tersebut dan beliau menjelaskan telefon bimbit tersebut adalah telefon bimbit arwah Supt Ibrahim Lebar)," katanya ketika disoal balas Datuk N. Sivananthan.
Sivananthan: Sepanjang pengetahuan kamu, berapa buah telefon bimbit yang arwah Supt Ibrahim Lebar ada?

Holib: Sepanjang pengetahuan saya, hanya satu.
Sivananthan: Adakah kamu menyatakan bahawa satu-satunya telefon bimbit yang beliau (Ibrahim) ada merupakan Samsung Note 2?

Holib: Ya.
Sivananthan: Adakah kamu bersetuju bahawa telefon bimbit Samsung Note 2 ini serupa dengan mana-mana telefon Samsung Note 2 yang dijual dalam warna ini (hitam)?
Holib: Ya.

Holib memberitahu mahkamah tiada sesiapapun yang berada di dalam Perodua Viva itu -- lima dewasa (empat lelaki dan seorang wanita) mengaku memiliki telefon bimbit berkenaan.

Pegawai SB itu berkata beliau turut memaklumkan tentang telefon bimbit itu kepada ketua pasukan operasi, Asisten S Budy Jurman Osman, bagaimanapun beliau percaya Budy Jurman mungkin sudah terlupa mengenainya disebabkan kekangan masa ketika melakukan tugasan lain.

Holib berkata beliau juga memberitahu pegawai penyiasat Asisten Superitendan Zairolnizal Ishak bahawa beliau percaya telefon bimbit itu kepunyaan Allahyarham Ibrahim.

Katanya, Zairolnizal kelihatan terkejut dan memberitahunya bahawa perkara itu mesti disiasat.

Dikandang tertuduh adalah 27 warga Filipina dan tiga penduduk tempatan dibicarakan atas pelbagai tuduhan termasuk menganggotai kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Februari dan 10 April, 2013.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung esok. - Bernama