Search This Blog

Thursday, March 19, 2015

Geng samun bersenjata tumpas


Geng samun bersenjata tumpas
Zundin menunjukkan wajah lelaki dipercayai ketua kumpulan atau perancang kumpulan terbabit yang masih diburu pada sidang media semalam.
TEMERLOH – Polis berjaya menumpaskan kumpulan penjenayah yang menyamun stesen minyak, kedai ubat dan kedai arak di sekitar Mentakab sejak awal bulan ini dengan tertangkapnya tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 18 hingga 34 tahun semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Superintendan Zundin Mahmood berkata, kesemua yang ditahan dipercayai terbabit dalam kejadian samun yang turut mengakibatkan seorang pemilik kedai ubat cedera ditetak pada 2 Mac lalu.

Menurutnya, kumpulan terbabit telah menyebabkan kerugian sekitar RM6,000 dengan melarikan barangan berharga dari tiga premis terbabit dalam kejadian yang berlaku pada 2 dan 11 Mac lalu.

“Cawangan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh telah menubuhkan satu pasukan khas bagi memburu mereka yang terlibat dan akhirnya berjaya menahan mereka semalam.

“Dua daripada suspek berjaya ditahan di Brickfield selepas menyamun sebuah kedai serbaneka manakala dua lagi ditahan di Telemong, Karak.

“Polis masih memburu seorang lagi lelaki dipercayai ketua kumpulan terbabit yang masih bebas dikenali G.Lingeswaran yang berasal dari Karak,” katanya pada sidang media semalam.

Zundin berkata, kumpulan terbabit yang berasal dari Karak mengejutkan orang ramai apabila melakukan jenayah samun di kedai ubat di Jalan Haji Kassim, Mentakab dan menetak pemilik premis di lengan dalam kejadian pada 6.45 petang 2 Mac lalu dan melarikan sebuah telefon bimbit jenama Nokia.

Beliau berkata, kira-kira 15 minit kemudian, kumpulan yang sama melakukan samun ke atas sebuah premis menjual arak di bandar yang sama dan melarikan enam botol arak, komputer riba dan wang tunai RM1,000.

Menurutya, pada 11 Mac lalu, kumpulan yang sama meluru masuk ke sebuah stesen minyak di Jalan Karak dan melarikan barangan berharga serta sebuah motosikal milik pelanggan seperti laporan akhbar ini pada 13 Mac lalu.

“Kesemua suspek kini akan direman tujuh hari dan disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan serta Seksyen 395/397 samun berkumpulan dan bersenjata,” katanya.

Cedera diserang babi hutan


Bekas jahitan yang diterima Kamariah di lengan dan pehanya.
Samsudin menunjukkan tapak tangan kirinya yang cedera selepas cuba membantu Kamariah yang diserang babi hutan.
GEMAS - Seorang wanita terpaksa menerima sebanyak 60 jahitan selepas diserang seekor babi hutan di kebun getahnya di Felda Jelai, di sini pada 14 Januari lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa, Kamariah Hassan, 58, cedera di kedua-dua peha, lengan, tangan dan punggung selepas disondol serta digigit haiwan berkenaan, sementara suaminya, Samsudin Ayob, 62, cedera di tapak tangan kiri.

Menurutnya, sewaktu kejadian dia sedang menoreh getah dan tiba-tiba haiwan berkenaan mengejarnya.

“Sudah lebih setahun babi ini berkeliaran, namun jika dihalau ia akan melarikan diri.

''Namun pada hari kejadian, babi itu mengejar makcik dan terus menggigit,” katanya

Manakala Samsudin berkata, sebelum babi berkenaan menyerang isterinya, ia menyerangnya terlebih dahulu, namun dia sempat menyelamatkan diri.

Bagaimanapun menurutnya, tidak lama selepas itu dia mendengar suara isterinya meminta tolong dan segera menyelamatkannya.

"Pada masa itu, muka dan badan isteri dipenuhi darah dan pak cik cuba meleraikan gigitan babi itu sehingga tapak tangan kiri pak cik cedera.

"Peliknya babi itu tidak mahu beredar sehinggalah  penduduk memanggil ketua kampung untuk menembak babi berkenaan," katanya.

Susulan kejadian itu, Kamariah ditahan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah Kuala Pilah kira-kira sebulan, manakala tangan kiri suaminya pula sering menggigil.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun berkata, pihaknya bersedia untuk menyokong permohonan mangsa bagi Kumpulan Wang Amanah Bantuan Mangsa Serangan Binatang Buas.

Menurutnya, di Negeri Sembilan, hanya satu kes membabitkan serangan binatang buas dan kadar sumbangan yang disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat bergantung kepada kecederaan mangsa.

“Kadar maksimum bantuan sebanyak RM20,000 mengikut kategori kecederaan.  Bayaran penuh akan dibayar kepada kes melibatkan kematian atau hilang upaya kekal dan hilang upaya sebahagian.

“Permohonan bantuan hendaklah dibuat dalam tempoh tiga bulan dari tarikh kejadian," katanya.

Anak dilarikan bekas suami


Anak dilarikan bekas suami
Wati menunjukkan gambar anak-anaknya yang didakwa dilarikan keluarga suaminya.
AYER KEROH - Seorang wanita dari Tanjong Kling, di sini, mendakwa dua anaknya dilarikan keluarga bekas suami hampir tiga bulan lalu.

Wanita itu, Wati (bukan nama sebenar) mendakwa, kedua-dua anaknya yang berumur 8 dan 9 tahun, kini dijaga keluarga mertuanya yang bukan beragama Islam, di Pulau Pinang.

Wati, seorang kakitangan syarikat swasta, berkata, masalah bermula selepas mereka bercerai buat kali kedua pada 2012 akibat tiada persefahaman.

Menurutnya, mereka bercerai pertama kali pada 2009 dan merujuk semula setahun kemudian.

“Sebaik kami bercerai pada Mei 2012, kami tidak memohon hak penjagaan anak. Kedua-dua bersetuju menjaga salah seorang anak. Saya menjaga anak lelaki, manakala suami menjaga anak perempuan yang dibawanya ke Pulau Pinang.

“Bagaimanapun, awal tahun ini, bekas suami sudah bersetuju membenarkan saya memelihara kedua-dua anak dalam tempoh tertentu, malangnya kedua-dua anak saya dilarikan keluarga bekas suami tanpa kerelaan saya," katanya.

Wati mendakwa, anak lelakinya dilarikan adik ipar dari rumah sewaktu dia keluar bekerja, manakala pada 24 Januari pula, anak perempuannya pula dilarikan ketika sedang dalam jagaan pengasuh,” katanya.

Menurutnya, dia mencari kedua-dua anaknya itu di Pulau Pinang yang disangka tinggal bersama suami, tetapi mendapati anak-anaknya diletakkan di bawah jagaan keluarga mertua yang bukan beragama Islam.

“Saya merayu pada keluarga suami supaya pulangkan kembali anak saya, tetapi saya dimaki. Bekas suami juga pukul saya dan tidak benarkan saya bertemu anak saya.

"Saya sangat sedih apabila mereka beritahu anak-anak saya kononnya saya sudah mati," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Wati berkata, dia kini tersangat rindukan anak-anaknya.

"Saya tak boleh tidur setiap malam. Mereka saja harta saya. Saya mahu mereka pulangkan anak saya,” katanya.

Semalam, dia mengadu tentang masalahnya kepada Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) negeri Melaka, di sini.

Pengarah Pembela BN, Amir Hamzah Aziz berkata, pihaknya akan berusaha menolong Wati.

“Tindakan mengambil anak dan meletakkan mereka di bawah penjagaan keluarga bukan Islam adalah sesuatu yang serius. Kita akan berusaha menerusi mahkamah bagi mendapatkan hak jagaan untuk kedua-dua anak itu," katanya.

Beliau berkata, Pembela BN mendapati Wati mampu memelihara kedua-dua anaknya itu kerana dia mempunyai pekerjaan, malah sering menghantar wang belanja untuk anak yang di bawah jagaan bekas suami itu.

Dentuman dari luar sekolah


Dentuman dari luar sekolah
Keadaan kereta yang terbabas dan merempuh lampu isyarat di luar perkarangan sekolah SMK Datuk Sedia Raja, semalam.
REMBAU - Dentuman kuat dari luar pagar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Sedia Raja, di sini, mengejutkan seorang pengawal keselamatan sekolah terbabit.

Dentuman didengari kira-kira 11.10 pagi itu disebabkan sebuah kereta jenis Proton Saga BLM dipandu seorang lelaki lingkungan 50-an, terbabas merempuh tembok dan tiang lampung isyarat sebelum tersadai ke dalam longkang.

Menurut pengawal keselamatan berkenaan, Azwan Khairul Azhar, 20, pada masa kejadian, dia berada dalam pos pengawal.

"Selepas terkejut dengan bunyi dentuman kuat di luar pagar sekolah, saya dapati tembok batu sudah pecah.

“Terdapat sebuah kereta masuk dalam longkang. Manakala tiang lampu isyarat berdekatan juga sudah patah dipercayai dilanggar kereta itu," katanya.

Menurutnya, dia kemudian bergegas mendekati mangsa yang masih dalam kereta.

“Saya bantu keluarkan mangsa. Cuma melalui pintu depan penumpang, saya nampak lehernya sudah merah. Pintu tempat pemandu terhalang lampu isyarat yang patah,” katanya di sini, semalam.

Azwan berkata, dia sempat bertanya punca kejadian daripada mangsa.

"Dia kata, dia mencari telefon bimbitnya, tapi tak jumpa. Cuma kemudian dia sedar kereta dipandunya sudah terbabas ke tepi jalan, lalu melanggar tembok batu dan merempuh lampu isyarat di kiri jalan.

Menurutnya, tidak berapa lama selepas kejadian, rakan mangsa yang kebetulan melalui jalan itu membawa mangsa pulang.

Lagi Muslim jadi sasaran serangan


Lagi Muslim jadi sasaran serangan
Satu daripada tingkap kediaman keluarga ini turut ditembusi peluru.
RALEIGH - UNITED KINGDOM . Seorang wanita cedera selepas sebuah keluarga Muslim di timur Mecklenburg menjadi sasaran serangan terbaharu di North Carolina, kelmarin.

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Abdul mendakwa, sebanyak 18 das tembakan disasarkan ke kediamannya dan salah satu peluru terkena pada anggota tubuh isterinya.

"Seluruh keluarga saya masih terkejut dengan insiden itu. Adakah kejadian tersebut bermotifkan kebencian agama? Ia terus menjadi persoalan hingga kini," katanya.

Sementara itu, jurucakap polis Charlotte-Mecklenburg, Chuck Henson memaklumkan mereka sedang menjalankan siasatan untuk mengetahui motif serangan tersebut.

Difahamkan, insiden itu berlaku sebulan selepas tiga pelajar Islam ditembak mati di sebuah apartmen berhampiran kampus mereka.

Awal bulan lalu, seorang lelaki Muslim, Ahmed al-Jumaili, 36, turut menjadi sasaran tembakan di Dallas, Texas dan mangsa dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.  - Press TV

Tujuh maut bom kereta meletup di Afghanistan


Tujuh maut bom kereta meletup di Afghanistan
Pasukan keselamatan Afghanistan kini berjuang menentang Taliban di negara dilanda perang itu.
KABUL - AFGHANISTAN . Sekurang-kurangnya tujuh maut manakala 41 lagi cedera dalam satu letupan bom kereta disyaki dilakukan militan Taliban di wilayah selatan Helmand, Afghanistan, kelmarin.

Menurut Timbalan Gabenor Wilayah Mohammad Jan Rasolyar, pengebom meletupkan kereta berhampiran sebuah kompleks di Lashkar Gah yang menempatkan gabenor, ketua majlis wilayah dan timbalan ketua polis wilayah.

Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka terselamat dalam insiden yang dipercayai disasarkan kepada perhimpunan pegawai kanan kerajaan, ahli masyarakat sivil dan wartawan yang ketika itu menyertai seminar berkaitan pemerdagangan manusia dan penculikan.

Kesemua mangsa cedera termasuk jurucakap kerajaan wilayah, Omar Zhwak dikejarkan ke hospital berdekatan untuk dirawat.

Bulan lalu, tentera memulakan operasi menentang Taliban bertujuan melemahkan mereka sebelum bermulanya musim berjuang pada April atau Mei. - Press TV

Surat dihantar ke White House positif sianida


White House
White House
WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT . Hasil ujian dilakukan ke atas sampul surat yang dihantar ke White House menunjukkan ia positif sianida sejenis sebatian kimia sangat beracun, menurut Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat (AS), kelmarin.

Bagaimanapun, agensi tersebut tidak mendedahkan sama ada surat itu dikirimkan kepada Presiden Barack Obama atau tidak.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti pengirim surat terbabit," kata jurucakapnya.

Difahamkan, sebarang surat yang dihantar ke Rumah Putih akan ditapis sebagai langkah berjaga-jaga selepas beberapa bungkusan mengandungi antraks diterima sejak tragedi 9/11.  - Press TV

Darth Vader rompak bank


CAROLINA UTARA - AMERIKA SYARIKAT. Seorang perompak berpakaian seperti Darth Vader dilaporkan merompak sebuah bank menggunakan selaras senapang patah, pagi Isnin lepas.
Darth Vader rompak bank
Seorang perompak berpakaian seperti Darth Vader.
 
Menurut Dailymail.uk, perompak yang berpakaian watak penjahat popular dari siri Star Wars berkenaan dilaporkan membawa lari lebih AS$1,000 (RM3,710) dari bank berkenaan.
 
Menurut polis, walaupun terdapat banyak trafik dan pejalan kaki di luar bank berkenaan, perompak tersebut berjaya melarikan diri.
 
Difahamkan, perompak tersebut melarikan diri dengan sebuah kenderaan jenis Chevloret empat pintu berwarna kelabu.
 
Polis masih mengesan suspek.

Lebih 400 masjid musnah


Lebih 400 masjid musnah
Anggota misi pengaman berkawal di luar tapak masjid yang musnah di Bangui.
NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT . Lebih 400 masjid di Republik Afrika Tengah menjadi sasaran keganasan akibat krisis yang berterusan di negara itu, menurut Duta AS ke PBB, kelmarin.

Samantha Power berkata. sebanyak 417 daripada 436 masjid dilaporkan musnah sepenuhnya sejak kempen penghapusan etnik berleluasa di Bangui sejak lebih setahun lalu.

"Konflik tersebut meninggalkan kesan kemusnahan yang teruk di negara itu dan penduduk Islam juga terpaksa hidup dalam ketakutan," katanya.

Power turut menzahirkan kebimbangan beliau selepas kira-kira 750 anggota misi pengaman dari Kesatuan Eropah (EU) mula meninggalkan negara bergolak itu pada hujung minggu lalu.

"Kehadiran pasukan pengaman masih tidak dapat menghentikan kekejaman dilakukan kumpulan militia anti-Balaka yang semakin bermaharajalela di Bangui. Pelucutan senjata antara puak bertelagah adalah langkah paling utama untuk meredakan konflik tersebut," tegasnya.

Krisis di negara terbabit semakin meruncing selepas kumpulan bersenjata anti-Balaka melancarkan serangan balas terhadap kumpulan militan, Seleka yang menggulingkan kerajaan pada Mac 2013. - Press TV

Kantoi seludup rokok dalam batang pokok


Kantoi seludup rokok dalam batang pokok
Kastam Ukraine membawa keluar rokok dari batang pokok
YAGODYN - UKRAINE. Kastam Ukraine berjaya mematahkan cubaan penyeludupan rokok yang disembunyikan di dalam batang pokok di sempadan Ukraine-Polish, semalam.
 
Menurut Dailymail.uk, rokok-rokok tersebut yang dihasilkan di Belarus sedang dalam perjalanan ke beberapa syarikat persendirian di Jerman dan Britain.
 
"Hasil pemeriksaan rambang yang dijalankan, kami menemui beberapa batang pokok yang kelihatan sudah diubah untuk tujuan tersebut (penyeludupan)," kata pengawal sempadan, Arkhip Glazkov 
 
Sejumlah 25,000 peket rokok dijumpai disembunyikan dalam 27 batang pokok.

Peguam Pakistan ditembak mati


Peguam Pakistan ditembak mati
Ahli keluarga Samiullah Afridi menolak mayatnya keluar dari hospital selepas dia ditembak mati di Peshawar. - Foto AFP
PESHAWAR - PAKISTAN . Seorang peguam di Pakistan yang mempertahankan doktor dalam membantu ejen Agensi Perisikan Pusat (CIA) memburu pemimpin al-Qaeda Osama Laden, maut ditembak, kelmarin.

Menurut polis, Samiullah Afridi ditembak ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Peshawar.

Susulan kejadian itu,  militan Pakistan Jendullah iaitu sebuah kumpulan pecahan Taliban mengaku bertanggungjawab di atas serangan tersebut.

"Kami membunuhnya kerana dia mempertahan Shakil, yang merupakan musuh kami," menurut jurucakap kumpulan terbabit, Fahad Marwat.

Samiullah yang menjadi peguam bela Dr Shakil Afridi, dijatuhi hukuman penjara selama 33 tahun pada 2012 kerana menjalankan kempen suntikan palsu dipercayai telah membantu agensi AS itu mengesan Osama.

Bagaimanapun, hukuman itu diterbalikkan dua tahun lalu dan doktor berkenaan kini di penjara menunggu perbicaraan baharu.

Difahamkan, Samiullah baru kembali ke tanah air selepas beberapa tahun berada di luar negara setelah menerima pelbagai ancaman dan ugutan bunuh dari organisasi serta individu yang bukan sahaja membahayakan dirinya tetapi juga keluarganya. - AP

Raungan minta tolong dalam van remuk


WARTAWAN SINAR HARIAN
19 Mac 2015
Raungan minta tolong dalam van remuk
Anggota bomba mengalihkan sisa cermin sebelum memotong bahagian yang remuk untuk mengeluarkan mangsa tersepit.


Raungan minta tolong dalam van remuk
Pemandu van yang dikeluarkan orang awam disandarkan pada pengadang jalan sementara menunggu ketibaan ambulans.
CHENEH (KEMAMAN)  – “Sebaik dengar letupan kuat, van itu berasap dan saya dengar raungan minta tolong dari dalam van yang remuk.”

Demikian kata Mohamad Haniff Hamzah, 45, yang merupakan saksi kejadian kemalangan melibatkan sebuah van dan sebuah lori yang berlaku di Kilometer 270.7 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) 2 dekat Cheneh, kira-kira jam 6.10 petang kelmarin.

Kemalangan dipercayai berlaku selepas Toyota Hiace dinaiki dua lelaki yang berada di lorong kiri, cuba memotong  lori yang berada di hadapan.

Bagaimanapun, ketika cuba memotong, terdapat sebuah kenderaan dalam keadaan laju di lorong kanan menyebabkan pemandu van terbabit masuk semula ke lorong kiri lalu merempuh belakang lori.

Selepas rempuhan itu, van terbabit terbabas ke sebelah kiri dan tersadai di bahu jalan dengan asap memenuhi bahagian hadapan van yang remuk kesan rempuhan kuat.

Menurut Mohamad Haniff, orang ramai yang kebetulan melalui lokasi kejadian ketika itu turut menghulurkan bantuan dengan mengeluarkan pemandu berusia lingkungan 40-an dari dalam van.

Bagaimanapun katanya, kelindan yang tersepit di celah van yang remuk itu tidak dapat dikeluarkan orang ramai.

Sementara itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh diketuai Komander Operasi, Abdul Razak Abdullah yang tiba di lokasi kejadian, mengambil masa setengah jam untuk keluarkan kelindan van yang tersepit.

Kerja mengeluarkan mangsa dilakukan lima anggota dengan dibantu dua anggota bomba bantuan hingga mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira jam 7.13 malam.

Kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk luka di kepala, kemudian dikejarkan segera ke Hospital Kemaman dengan menaiki ambulans.

Bagaimanapun, pemandu lori jenis Hino berusia 42 tahun yang ketika itu dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ibu muda penggal kepala anak umur 3 bulan


Ibu muda penggal kepala anak umur 3 bulan
Deasia Watkins
OHIO - AMERIKA SYARIKAT. Seorang ibu muda ditahan kerana disyaki memenggal kepala anaknya yang berumur tiga bulan, Isnin lalu.

Menurut Mirror.uk, Deasia Watkins, 20, ditahan di rumahnya di Cincinnati selepas pihak polis menemui mayat bayi malang berkenaan.

Ketika ditanya tentang punca kematian, pihak polis memberitahu ia adalah kes bunuh.

Sumber berita tempatan pula mendedahkan bayi tersebut dipenggal oleh Watkins.

Suspek dibawa ke pusat kesihatan Universiti Cincinnati untuk evaluasi kesihatan mental.

Polis geledah kondo jutawan AS


DURST duduk di dalam sebuah kenderaan polis selepas meninggalkan sebuah mahkamah di New Orleans, Louisiana kelmarin.


HOUSTON, Texas – Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) membawa dua buah kotak selepas menggeledah kediaman jutawan hartanah, Roberst Durst di sini susulan penangkapannya di New Orleans pada hujung minggu lalu kerana disyaki membunuh.
Durst, 71, didakwa berhubung satu pembunuhan di California pada 15 tahun lalu. Dia merupakan suspek dalam kes kehilangan isteri pertamanya di New York tetapi tidak pernah didakwa.
Pada 2003, dia dibebaskan daripada dakwaan melakukan pembunuhan di Texas.
Penangkapannya di New Orleans berlaku sejurus sebelum episod akhir sebuah dokumentari terbitan HBO mengenai kaitannya dengan tiga pembunuhan tersebut.
Seramai tujuh anggota polis mengambil masa beberapa jam menggeledah kediaman Durst yang terletak di tingkat 17 sebuah bangunan kondominium kelmarin.
Sekitar pukul 8.30 malam, anggota-anggota polis itu membawa dua kotak berisi dokumen dan meninggalkan lokasi kejadian dengan menaiki enam buah ken­deraan.
Dalam perkembangan berkaitan, jurucakap Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Shauna Dunlap mengesahkan bahawa beberapa ejen FBI terlibat dalam operasi di kediaman Durst atas permintaan Jabatan Polis Los Angeles (LAPD).
Jurucakap LAPD, Sarjan Barry Montgomery pula berkata, jabatannya enggan mengulas berhubung operasi itu sehingga Durst berada dalam tahanannya.
Jutawan itu kini ditahan di negeri Louisiana dan berdepan tuduhan memiliki dadah dan senjata. Setakat ini, masih tidak jelas bila dia akan dihantar pulang ke California.
“Pada masa ini, LAPD masih menunggu proses ekstradisi Durst,” kata Montgomery.
Seorang anggota keselamatan memberitahu, penangkapan Durst kerana dakwaan membunuh dibuat berdasarkan beberapa perkataan yang ditulisnya.
Analisis pihak berkuasa mengaitkan sepucuk surat yang ditulis oleh Durst kepada rakannya, Susan Berman setahun sebelum wanita itu dibunuh dengan surat kedua yang mana Durst menyatakan bahawa hanya pembunuh Berman yang boleh menulis surat untuk memaklumkan kepada polis tentang lokasi mayat mangsa.
Surat berkenaan kini menjadi bukti baharu dalam kes pembunuhan pada tahun 2000 itu.
Durst didakwa pada Isnin lalu di Los Angeles kerana membunuh Berman di Beverly Hills, California. Wanita itu merupakan anak perempuan seorang ketua penjenayah yang ditakuti di Las Vegas.
Dia boleh dihukum mati jika didapati bersalah berhubung dakwaan tersebut. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0319&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3UmqVIYGM 
Hakcipta terpelihara 

Dua pelajar tampar muka 'senior' ditahan


SEDUTAn yang menunjukkan seorang pelajar menampar pelajar senior sebuah sekolah di Johor Bahru yang
SEDUTAN yang menunjukkan seorang pelajar menampar pelajar senior sebuah sekolah di Johor Bahru yang menjadi viral di Facebook.
JOHOR BAHRU 18 Mac - Polis menahan dua pelajar ke­rana didakwa membuli seorang pelajar lain yang lebih ‘senior’ dengan menampar muka mangsa beberapa kali di bawah blok sebuah perumahan di Taman Sri Orkid, Mutiara Rini, di sini kelmarin.
Dua pelajar berkenaan, masing-masing berusia 13 dan 14 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Aminah dan SMK Damai Jaya itu ditahan di dua tempat berasingan antara pukul 1 hingga 3 pagi ini.
Mereka ditahan selepas rakaman kejadian tampar itu dimuat naik di laman sosial Facebook milik suspek berkenaan pada 16 Mac lalu. Insiden berkenaan turut dimuat naik di Facebook Polis Johor hari ini.
Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintenden Noor Hashim Mohamad berkata, kedua-dua pelajar itu ditahan ekoran laporan yang dibuat mangsa yang berusia 17 tahun dan merupakan pelajar SMK Tun Aminah.
“Kita terima laporan pukul 11.13 malam tadi oleh mangsa. Berdasarkan maklumat yang kita terima dua pelajar tersebut tidak berpuas hati dengan percakapan mangsa,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Noor Hashim berkata, pihaknya memberi tumpuan ke atas kes itu dan akan disegerakan kerana melibatkan pelajar.
“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/dua-pelajar-tampar-muka-senior-ditahan-1.71067#sthash.8IRRkCs3.dpuf

Ibu seludup bayi dalam beg galas


Imej x-ray (gambar kecil) menunjukkan seorang bayi di dalam beg
IMEJ x-ray (gambar kecil) menunjukkan seorang bayi di dalam beg galas yang cuba diseludup keluar oleh ibunya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Manila, kelmarin. AGENSI
MANILA 18 Mac – Pengawal ke­selamatan di Terminal 1 Lapa­ngan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, di sini, terkejut apabila mereka mengesan imej seorang bayi di dalam sebuah beg galas semasa melakukan pemeriksaan imbasan x-ray, malam kelmarin.
Portal berita newsinfo.inquirer.net melaporkan, pihak berkuasa bertindak menghampiri pemiliknya, seorang wanita Papua New Guinea, Jenifer Pavolaurea, 25, dan menahannya kerana cuba menyeludup anaknya yang berusia dua bulan keluar dari negara ini.
Menurut pegawai di lapangan terbang, ini merupakan kali pertama mereka berdepan kes pelik seumpama itu.
Bagaimanapun, pemeriksaan kesihatan yang dilakukan oleh seorang doktor terhadap bayi bernama Charles Benjamin itu menunjukkan, dia tidak terjejas akibat radiasi mesin pengimbas berkenaan.
Penolong pengurus besar keselamatan dan kecemasan, Vicente Guerzon berkata, Pavolaurea me­rancang mahu meninggalkan negara ini dengan penerbangan Air New Guinea PX011 untuk ke Port Moresby.
Terdahulu, wanita itu disoal siasat oleh pegawai imigresen kerana tinggal melebihi tempoh di Filipina, namun dibebaskan selepas membayar denda.
Bagaimanapun, pemeriksaan terakhir sebelum menaiki pesawat, menjumpai bayi itu di dalam beg galas yang dibawanya.
Tambah Guerzon, ibu beranak satu itu cuba meninggalkan negara ini beberapa hari lalu bersama anaknya, namun dilarang berbuat demikian kerana bayi tersebut tiada Sijil Pelepasan Imigresen (ECC) walaupun memiliki tiket penerbangan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/ibu-seludup-bayi-dalam-beg-galas-1.71027#sthash.iogfFpDF.dpuf

Polis lumpuh Geng 
Lee Kong


KUALA LUMPUR 18 Mac – Dengan menyamar sebagai seorang juruteknik atau pelawat sesebuah pejabat dan kawasan perumahan, dua penganggur telah memecah masuk 14 premis sekitar Lembah Klang dan melarikan pelbagai jenis barangan bernilai hampir RM500,000.
Namun kegiatan kedua-dua suspek yang dikenali sebagai Geng Lee Kong itu berjaya dilumpuhkan apabila salah seorang daripada mereka ditahan dalam satu serbuan yang dijalankan di Taman Bukit Mandarina, Cheras pada 12 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Azlee Abdullah berkata, suspek akan menyimpan hasil barangan yang dicuri di dua rumahnya yang terletak di Apartmen Mandarina Court dan Apartmen Jalan Bukit Jalil di sini.
“Susulan penahanan tersebut, polis turut merampas sebanyak 175 jenis barangan hasil kegiatan pecah rumah geng tersebut yang dianggarkan bernilai RM500,000 termasuk televisyen, kamera digital, komputer riba, jam tangan, telefon bimbit dan beberapa jenis barangan kemas seperti gelang dan cincin.
“Hasil siasatan polis juga mendapati suspek menjual barangan curi ini di sekitar Lembah Klang.
“Malah suspek turut meleburkan emas sebelum menjualnya di kedai pajak gadai,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfield di sini hari ini.
Menurut Azlee, suspek yang berusia 37 tahun tersebut mempunyai 12 rekod jenayah lampau dan ujian air kencing menunjukkan dia positif dadah jenis ganja.
Tambahnya, suspek akan keluar menaiki motosikal dan melakukan tinjauan bagi memilih kawasan yang berpotensi sebelum bertindak.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/polis-lumpuh-geng-8232-lee-kong-1.71078#sthash.BDDAwIDV.dpuf

Muzium Tunisia diserang, 19 terbunuh


Beberapa orang anggota pasukan keselamatan Tunisia, berkawal di
Beberapa orang anggota pasukan keselamatan Tunisia, berkawal di sekitar Muzium Bardo selepas satu serangan dilancarkan kumpulan bersenjata di Tunis, semalam. AFP
TUNIS 18 Mac – Sebanyak 19 orang dilaporkan terbunuh, termasuk 17 pelancong asing dalam satu serangan oleh sekumpulan lelaki bersenjatakan raifal di Muzium Nasional Bardo, yang merupakan lokasi tumpuan pelancong, di sini hari ini.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Mohamed Ali Aroui berkata, bagaimanapun drama tebusan itu berakhir selepas dua penyerang bersenjata terbunuh selepas di­serbu pasukan antipengganas.
Katanya, seorang anggota pa­sukan ke­selamatan itu turut maut.
Ketika kejadian, terdapat kira-kira 100 pelancong berada di dalam premis itu.
Beberapa orang yang dijadikan tebusan oleh penyerang juga berjaya diselamatkan.
Saluran penyiar Wataniya, turut menyiarkan rakaman menunjukkan anggota pasukan keselamatan bertopeng memindahkan pelancong asing ke lokasi selamat. Muzium Nasional Bardo terletak bersebelahan bangunan Parlimen Tunisia.
Sementara itu, anggota Parlimen Tunisia mendakwa mereka terdengar bunyi tembakan, sekali gus memaksa jawatankuasa Parlimen menangguhkan sidang ketika anggota Parlimen lain diarahkan supaya berkumpul di bahagian utama dewan.
Bagaimanapun, identiti pe­nyerang masih tidak dapat dipastikan. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/muzium-tunisia-diserang-19-terbunuh-1.71036#sthash.IcAFVfjS.dpuf