Search This Blog

Wednesday, March 18, 2015

Helikopter Terhempas, Dua Anggota Tentera Maut


Diterbitkan: Rabu, 18 Mac 2015 10:12 AM

BAMAKO: Dua tentera pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dari Belanda maut selepas helikopter tempur, Apache yang mereka naiki terhempas di utara Mali, kata tentera Belanda.
Helikopter daripada misi Minusma PBB itu dilapor terhempas di lokasi yang terletak kira-kira 20 kilometer dari Gao.
Pemimpin tertinggi pertahanan Belanda, Jeneral Tom Middendorp dalam sidang media di The Hague mengesahkan mengenai kemalangan berkenaan dan kematian dua anggota tenteranya.
"Pada tengah hari ini (Selasa), sebuah helikopter tempur Apache Belanda telah terhempas di Mali.
"Seorang kapten berusia 30 tahun dan leftenan pertama berumur 26 tahun telah terkorban dalam kemalangan itu.
"Kapten terbabit yang merupakan juruterbang maut di lokasi kejadian manakala leftenan berkenaan disahkan meninggal dunia di hospital tentera selepas mengalami luka-luka di badan," jelas Middendorp.
Tambahnya, kedua-dua mangsa terdiri daripada anggota Skuadron 301 yang berpusat di pangkalan udara Gilze-Rijen di selatan Belanda.

Wanita Terlibat 10 Kes Ragut Dan Tipu Dicekup


Diterbitkan: Rabu, 18 Mac 2015 4:24 PM

SANDAKAN: Polis berjaya menyelesaikan sepuluh kes curi dan tipu membabitkan mangsa warga emas, dengan tertangkapnya seorang wanita berusia 39 tahun.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan Supt Fadzil Mohd Ali berkata wanita terbabit ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Batu 4 dekat sini pada 1 Mac lepas.
Katanya beberapa barangan turut dirampas daripada wanita berkenaan termasuk barangan kemas bernilai RM8,000.
"Enam kes curi dan empat kes tipu dilaporkan berlaku antara 27 Jun 2013 hingga 22 Januari lepas di sekitar Bandar Sandakan, Bandar Ramai-Ramai, Jalan Leila, Batu Sapi, Bandar Kim Fung dan Bandar Indah," katanya pada sidang akhbar di sini, Rabu.
Beliau berkata modus operandi wanita itu adalah menarik perhatian mangsa dengan berpura-pura mengenali mereka dan menghulurkan bantuan rawatan atau memberi hadiah.
Katanya wanita itu menggunakan banyak helah untuk memperdayakan mangsa antaranya meminta mangsa menanggalkan barangan kemas yang dipakai dan menyimpan dalam beg tangannya ketika mangsa hendak ke tandas.
Peluang itu digunakan oleh wanita itu untuk mengambil beg tangan mangsa dan menghilangkan diri, jika gagal melalaikan mangsa, wanita itu akan melakukan ragut dan melarikan diri, katanya.
Fadzil berkata wanita berkenaan yang sudah berkahwin tidak mempunyai rekod jenayah masih ditahan reman sebelum dihadapkan ke mahkamah.

Dua Pelajar Antara Ditahan Guna Wang Palsu


Diterbitkan: Rabu, 18 Mac 2015 4:29 PM

TEMERLOH: Polis menahan tiga lelaki termasuk dua pelajar kolej yang disyaki terlibat dengan penggunaan wang palsu dalam satu serbuan di Pekan Lachang Isnin lepas.
Timbalan Ketua Polis Temerloh, Supt Zundin Mahmood berkata hasil penahanan ketiga-tiga suspek berusia antara 19 hingga 30 tahun itu, polis turut merampas 49 keping not wang RM100 dipercayai palsu.
"Kesemua suspek termasuk seorang mekanik ditahan kira-kira jam 3.30 petang Isnin lepas semasa sedang membeli barangan di salah sebuah kedai runcit di Pekan Lanchang.
Hasil pemeriksaan, polis menjumpai 13 keping wang kertas RM100 yang disyaki palsu didalam sebuah beg hitam yang dibawa salah seorang suspek," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.
Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut ke atas sebuah kenderaan yang dimiliki oleh suspek berhampiran tempat itu, polis menemui menemui 13 keping lagi wang not RM100 dipercayai palsu, enam keping cakera digital video (DVD) lucah serta kulit DVD lucah yang disembunyikan di dalam sebuah buku nota di bahagian belakang bonet kereta.
Hasil soal siasat yang dijalankan, polis turut memeriksa sebuah lagi kenderaan sewa yang ditinggalkan oleh suspek di Plaza Tol Lanchang, dan menemui 23 keping lagi wang not RM100, katanya.
Zundin berkata, kesemua suspek yang berasal dari Selangor dipercayai menjadikan kedai runcit di kawasan pedalaman untuk membelanjakan wang palsu itu kerana peniaga di kawasan kampung tidak mempunyai mesin pengimbas wang.
Beliau berkata suspek ditahan reman seminggu dan disiasat di bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan, iaitu menggunakan wang palsu sebagai wang tulen; Seksyen 489C Kanun Keseksaan, memiliki wang kertas palsu dan Seksyen 5(1)(a) Akta Penapisan Filem 2002, memiliki filem atau bahan lucah.

Pelanggan Tetap Rempuh Gerai Makan


Diterbitkan: Rabu, 18 Mac 2015 4:55 PM

BUKIT MERTAJAM: Seorang peniaga kedai makanan kerugian lebih RM20,000 selepas sebuah kereta milik pelanggan tetapnya merempuh premis berkenaan di Taman IKS Bukit Minyak di sini, awal pagi Rabu.
Sharifah Ismail, 50, berkata dalam kejadian pukul 5.45 pagi itu, beliau baru sahaja sampai di kedainya yang terletak di belakang rumah keluarganya untuk memulakan perniagaan dengan memanaskan air.
"Saya ketika itu sedang menyalakan dapur gas untuk panaskan air, secara tiba-tiba gerai saya bergegar dan bekelan elektrik terputus, dalam keadaan cemas itu saya bersama dua lagi pembekal kuih berlari keluar melalui pintu belakang gerai.
"Kami sangkakan ia disebabkan gempa bumi dan bunyi dentuman akibat rempuhan berkenaan juga amat menakutkan serta boleh didengar hingga ke kawasan kejiranan tempat saya tinggal," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Katanya beliau hanya menyedari kedainya dirempuh kereta yang dipandu pelanggan tetapnya selepas melihat orang ramai membantu mengeluarkan lelaki berusia 60-an itu daripada kenderaannya, bagaimanapun pemandu berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
Sharifah berkata berikutan kejadian itu pintu hadapan kedai dan bumbung rosak teruk manakala peralatan lain seperti peti sejuk, sistem pendawaian elektrik, kamera litar tertutup (CCTV) dan barangan jualan lain juga rosak.
"Kejadian itu telah menyebabkan kerosakan teruk pada pintu dan bumbung kedai dan ia adalah yang pertama kali berlaku sepanjang kami sekeluarga mengusahakan gerai ini...kerugian mungkin lebih RM20,000.
"Pemilik kenderaan itu juga kerap singgah ke gerai kami untuk makan kerana premis ini adalah antara tumpuan kakitangan dan pekerja kilang di kawasan berkenaan," katanya.
Sementara itu, jurucakap polis berkata pemandu kereta berkenaan memaklumkan semasa kejadian berkenaan beliau hendak menekan pedal brek bagaimanapun telah tertekan pedal minyak sehingga menyebabkan kenderaannya merempuh kedai tersebut.
"Pemandu itu hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di klinik berhampiran. Nasib baik ketika kejadian kedai belum dibuka dan tiada pelanggan," katanya.

Dipenjara akibat pukul isteri sendiri


kes mahkamah
KUANTAN – Padah memukul isteri, seorang pengawal keselamatan didenda RM800 dan dijatuhi hukuman penjara enam hari oleh Mahkamah Majistret Kuantan, di sini, semalam.

Tertuduh, Aris Sharif, 62, dari Paka, Terengganu, mengaku bersalah dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan ke atas isterinya yang berusia dalam lingkungan 30an.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh melakukan kesalahan itu di Kampung Baru Cherating lebih kurang jam 6.30 petang, 12 Mac lepas.

Timbalan Pendakwa Raya, Fatinah Abu Bakar mengemukakan tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, ketika pengadu berada di rumah dia telah mengarahkan anak perempuannya untuk mengangkat kain di ampaian namun tertuduh telah masuk campur lalu mengamuk dan menendang pengadu hingga jatuh.

Pengadu kemudiannya melarikan diri ke dalam bilik tetapi tertuduh memukulnya menggunakan tangan di kepala dan belakang badan.

Selepas pengadu membuat laporan polis, siasatan telah dilakukan dan tertuduh didapati dengan sengaja melakukan perkara berkenaan.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Majistret Noor Zaihan Mohamad Ali memberikan nasihat kepada tertuduh agar tidak mengulangi perbuatan itu memandangkan suami bertanggungjawab menjaga dan bukan mencederakannya.

Lelaki ditemui mati tergantung


Lelaki ditemui mati tergantung
Mayat mangsa dibawa ke HKT untuk dibedah siasat.
KOTA TINGGI – Seorang lelaki ditemui mati oleh abangnya dalam keadaan leher terjerut dengan tali di rumahnya di Taman Kemang, di sini, semalam.

Mangsa yang berusia 31 tahun itu dipercayai penagih dadah dan baru keluar penjara, ditemui di pintu masuk bilik kira-kira jam 8.30 malam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, sepasukan polis pergi ke lokasi selepas Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi menerima panggilan jam 8.45 malam.

Ketua Polis Balai Kota Tinggi, Inspektor Azri Yaacob bersama lima anggota ke rumah mangsa dan dapati mayat tergantung di pintu bilik hadapan tingkat satu rumah itu.
"Lehernya dijerut dengan seutas tali getah dan ketika kejadian tiada penghuni di rumah itu," katanya.

Rahmat berkata, mayat mangsa, anak kelima daripada lapan beradik dan tinggal bersama tiga beradik lelaki itu dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk bedah siasat.

Lelaki mengamuk tikam jiran


Kes jenayah
Kes jenayah
KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki hilang pertimbangan sehingga sanggup bertindak menikam jirannya dalam satu kejadian di Kampung Atas Tol, di sini, awal pagi semalam, kerana mendakwa tidak tahan dengan sikap mangsa yang suka menjaga tepi kain keluarganya.

Kejadian berlaku pada kira-kira jam 1.30 pagi dan ketika itu mangsa yang juga pesara guru bersama ahli keluarganya berada dalam rumah sebelum dikejutkan oleh suara jeritan seperti orang sedang mengamuk di luar pagar kediaman mereka.

Menurut sumber, selepas terkejut dengan situasi itu, suami mangsa menjengah ke luar rumah dan ternampak kelibat suspek yang juga jiran mereka sedang mengamuk di depan rumah sambil memaksa mereka membuka pintu pagar.

"Selain itu, suspek yang bertindak seperti orang kurang siuman turut mengeluarkan kata-kata ugutan mahu membunuh mangsa dan keluarganya kerana tidak puas hati dengan jirannya yang didakwa suka jaga tepi kain keluarganya.

"Bimbang perkara tidak diingini berlaku, suami mangsa mengambil keputusan berdiam diri dalam rumah. Bagaimanapun suspek berjaya menceroboh masuk kawasan rumah dan seterusnya memasuki rumah mangsa melalui pintu belakang," kata sumber berkenaan.

Menurutnya, bagi menyelamatkan diri, mangsa bersama suami serta pembantu rumahnya menyembunyikan diri di belakang pintu sehingga yakin suspek telah keluar dari rumah mereka.

Katanya, tekaan mereka meleset kerana sejurus keluar dari tempat persembunyian, suspek terus menyerang dan menikam mangsa pada bahagian rusuk menggunakan sebilah pisau sebelum melarikan diri.

"Suami mangsa tidak mampu berbuat apa-apa ketika itu, terus menghubungi pihak berkuasa bagi mendapatkan bantuan dan seterusnya membuat laporan di Balai Polis Chendering," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.

Idris berkata, hasil siasatan awal, suspek mengaku telah menelan beberapa biji pil kuda sebelum menyerang mangsa dan keluarga dan hasil saringan awal ke atas urin suspek didapati positif dadah.

"Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari untuk disiasat mengikut Seksyen 459 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah sehingga menyebabkan kecederaan dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan.

"Mangsa kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil," katanya.

Kastam berjaya rampas pelbagai kereta mewah


Kastam berjaya rampas pelbagai kereta mewah
Abdullah Zawawi (kanan) menunjukkan antara jenis kereta mewah yang berjaya dirampas sepanjang Januari hingga kini di pejabat Kastam Padang Bongor, semalam.
KOTA BHARU - Kastam Kelantan berjaya merampas pelbagai jenis kenderaan mewah diseludup masuk dari negara jiran sejak Januari hingga semalam, dengan nilai rampasan berjumlah RM1.1 juta.

Pengarah Kastam negeri, Datuk Abdullah Zawawi Abd Latiff berkata, sepanjang Januari sehingga kini, pihaknya telah menahan 31 kenderaan dengan lima suspek terlibat dalam sindiket terbabit.

“Kita ambil serius hal ini kerana sindiket berkenaan sering membawa masuk kereta mewah ke negara ini, antaranya  Toyota Wish, Estima, Mitsubishi Grandis, Subaru Impreza,Toyota Harrier, Toyota Wish dan Honda Jazz. Ramai pembeli tertipu dengan harga dijual, kononnya jauh lebih murah daripada harga pasaran namun sebenarnya semua kereta ini dibawa masuk secara haram.

“Malah, kereta ini juga tidak mempunyai kelulusan Kastam dan tidak sah, maka tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka yang terlibat,” katanya kepada pemberita di pejabat Kastam Padang Bongor, Jalan Pengkalan Chepa, di sini, semalam.

Abdullah berkata, ahli sindiket yang terlibat ditahan sebelum didakwa di mahkamah untuk tindakan susulan.

“Dalam kes terbaru kelmarin, kita berjaya menahan tiga lelaki dengan dua kenderaan jenis Mitsubishi dan Toyota Wish yang berjaya dirampas walaupun salah seorang suspek mengugut seorang pegawai Kastam yang bertugas.

“Kita harap orang ramai lebih berwaspada pembelian kereta mewah ditawarkan dengan harga jauh lebih murah kerana kereta terbabit juga turut menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya.

Abdullah Zawawi berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 dan boleh dikompaun lima kali nilai harga kereta.

Maut terperosok bawah lori


ALLAHYARHAM KAMARUDDIN
ALLAHYARHAM KAMARUDDIN
KOTA BHARU - Seorang bekas Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) maut selepas motosikal ditunggangnya bersendirian bertembung dengan sebuah lori dalam kejadian di Jalan Dusun Muda di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, Kamaruddin A.Razak, 46, yang datang dari arah stesen minyak Petronas Jalan Dusun Muda bertembung dengan lori jenis Hicom yang secara kebetulan membelok ke kanan simpang sebelah kanan.

Saksi kejadian, Wan Rusli Wan Daud berkata, dia mendengar bunyi dentuman ketika berada di rumahnya, kira-kira lima meter dari lokasi kejadian.

"Saya bergegas melihat apa yang berlaku dan mendapati mangsa terperosok di bawah lori.

"Mangsa meninggal dunia kira-kira 10 minit selepas kejadian akibat parah di kepala," katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Rohaimi Md Isa berkata, mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat.

"Mangsa dipercayai dari arah Kota Bharu ke Dusun Muda, manakala lori dari arah bertentangan dan memasuki lorong motosikal terbabit.

"Pemandu lori ditahan untuk membantu siasatan," katanya.

'Aku baham mu dengan golok..'


'Aku baham mu dengan golok..'
Roki dipenjara setahun selepas mengaku salah mengeluarkan kata-kata ugutan terhadap isterinya di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam.
KUALA TERENGGANU - 'Aku baham mu dengan golok atau pisau, biar senang mati belaka' merupakan antara kata-kata ugutan ditujukan oleh tertuduh, Roki Ismail, 45, kepada isterinya semasa perselisihan faham antara keduanya di kediaman mereka di Kampung Kubang Parit, di sini.

Roki mengaku salah atas tuduhan dengan sengaja melakukan ugutan jenayah terhadap isterinya, Junaidah Jaafar, 43, pada lebih kurang jam 1 pagi, 23 Februari lalu dan dijatuhi hukuman penjara selama setahun oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan L Rathna di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, lebih kurang jam 5.30 petang, semasa berada di rumah, anak perempuan pasangan terbabit yang berusia 15 tahun telah dimaklumkan oleh neneknya bahawa mangsa (emak) telah dipukul oleh Roki (ayah).

Kejadian berpunca daripada Roki yang juga seorang penagih dadah selalu mengungkit kisah lama dan menuduh Junaidah mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain sedangkan mangsa tidak pernah berbuat sedemikian.

Anak gadis pasangan itu turut dimaklumkan bahawa ayahnya telah menampar muka emaknya dan kejadian seumpama itu telah kerap kali berlaku sebelum ini menyebabkan emaknya sakit di bahagian tepi badan.

Bagaimanapun, pada 22 Februari lalu, semasa sedang lena tidur, anak gadis pasangan terbabit terdengar ayahnya memarahi mangsa serta mengeluarkan kata-kata ugutan ‘aku baham mu dengan golok atau dengan pisau, biar senang mati belaka'.

Anak gadis pasangan itu tidak tahan melayan kerenah ayahnya yang turut menyebabkan adik beradiknya hidup dalam tekanan serta tidak dapat memberi tumpuan kepada pelajaran kerana selalu memikirkan masalah keluarga, dan mengambil keputusan membuat laporan polis agar Roki dikenakan tindakan sewajarnya.

‘Anggap saja aku sudah mati’


‘Anggap saja aku sudah mati’
Jenazah mangsa dibawa ke Tanah Perkuburan Kampung Langgar.
KUALA BERANG - ‘Anggap Saja Aku Sudah Mati’. Itu imej terakhir yang terpapar pada Facebook milik mangsa lemas ketika mandi sungai, petang kelmarin.

Imej yang mengandungi tulisan berwarna merah itu dimuat naik pada 30 Januari lalu.

Mangsa, Muhammad Nur Zulfiqri Mohd Zuki, 15 merupakan bekas pelajar SMK Seri Berang bersama dua sahabatnya mengisi masa cuti sekolah dengan mandi-manda di sungai di kawasan bawah jambatan Kampung Buluh, di sini.

Bagaimanapun keseronokan bermain air bertukar tragedi apabila Muhammad Nur Zulfiqri yang bakal menyambut ulang tahun kelahirannya Ahad ini ditemui lemas.

Dalam kejadian kira-kira, 3.20 petang itu, selain mangsa yang berasal dari Kampung Langgar, rakan baiknya dikenal sebagai Tuan Aizat juga hampir lemas ketika cuba menyelamatkan mangsa.

Difahamkan, mangsa ditemui orang awam di lokasi sama kira-kira 20 minit selepas kejadian dan ketika ditemui dia yang juga pelajar SMK Seri Lalang, Air Hitam, Johor, dipercayai sudah meninggal dunia.

Mangsa, yang juga anak bongsu daripada tiga beradik dan kini tinggal di Johor bersama ibunya, baru pulang ke kampung ayahnya, Mohd Zuki Ngah, 46, untuk menghabiskan masa sempena cuti sekolah.


Terkejut dapat tahu anak lemas

Mohd Zuki berkata, dia mendapat tahu berita sedih menimpa anaknya itu ketika sedang berehat di rumah kira-kira jam 4.15 petang, setelah seorang rakan anaknya datang memaklumkan kepadanya.

“Saya tidak pasti jam berapa dia keluar rumah dan saya sangat terkejut bila mendapat tahu anak saya sudah tiada akibat lemas ketika mandi di sungai bersama rakannya. Setahu saya, dia tidak pernah mandi sungai di sana (Kampung Buluh).

“Walaupun sedih dengan pemergiannya, namun sebagai bapa saya reda dengan ketentuan-NYA kerana ALLAH lebih menyayangi dia daripada kami sekeluarga serta rakannya,” katanya kepada Sinar Harian di rumahnya di Kampung Langgar, di sini, semalam.


Mangsa terkapai-kapai di tengah sungai

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Hussin Deraman berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa dan seorang rakannya dikenali sebagai Aiman terjun ke sungai, lalu berenang ke tengah, manakala Aizat menunggu di tebing.
“Ketika di tengah sungai, mangsa didapati lemas menyebabkan Aiman mengambil keputusan berenang ke tebing bagi mendapatkan pertolongan. Melihat mangsa terkapai-kapai, rakannya (Aizat) berada di tebing itu kemudiannya terjun ke sungai untuk selamatkan mangsa.
“Bagaimanapun, dia (Aizat) pula yang turut sama lemas. Sementara Aiman mendapatkan pertolongan daripada orang kampung sebelum berjaya menyelamatkan Aizat.
“Mangsa yang ditemui kira-kira 20 minit kemudian, meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat dan punca kematian disebabkan mati lemas.
“ Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan ibu bapa diingatkan agar sentiasa awasi pergerakan anak mereka,” katanya.
Pakai jaket keselamatan
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Zamri Omar pula berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.38 petang dan bergegas ke lokasi kejadian menaiki sebuah jentera dengan kekuatan empat anggota.
“Sebaik tiba di lokasi didapati mangsa sudah dijumpai orang awam,” ujarnya.
Katanya, kedalaman sungai itu dianggarkan kira-kira tiga meter dan difahamkan kawasan itu sering menjadi tumpuan pemancing.
“Orang awam dinasihatkan agar sentiasa utamakan keselamatan, termasuk menjadikan pemakaian jaket keselamatan sebagai satu amalan.
“Walaupun mandi di sungai berikan satu keseronokan, tetapi ia juga mampu mengundang perkara tidak diingini,” ujarnya.

Michael Jackson maut terlanggar bahu jalan


Michael Jackson maut terlanggar bahu jalan
Mangsa maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
PUCHONG – Seorang lelaki maut apabila motosikal ditunggang terbabas melanggar bahu jalan di Kilometer S3.7, Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) berhampiran susur keluar Puchong Intan, lewat malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.49 malam itu, mangsa, Michael Jackson @ J Stephan dipercayai dalam perjalanan dari arah Putrajaya ke Subang Jaya.

Kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Honda EX5  ditunggang mangsa terbabas, sebelum melanggar bahu kiri jalan.

Sumber berkata, mangsa terpelanting beberapa meter dan jatuh di jalan mati bersebelahan laluan lebuh raya tersebut.

“Kejadian hanya disedari orang awam yang melihat mayat mangsa di tepi jalan, sebelum bertindak menghubungi ambulans.

“Pegawai perubatan yang dikejarkan ke lokasi mengesahkan mangsa yang cedera parah sudah meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Inspektor Mohammad Zul Helmi Khalid ditalian, 03-78627222 bagi membantu siasatan.

Pelajar maut dalam pertandingan minum arak


Pelajar maut dalam pertandingan minum arak
Gambar hiasan
BAURU - BRAZIL. Seorang pelajar maut selepas minum 25 gelas vodka dalam masa kurang 60 saat dalam sebuah pertandingan.
 
Humberto Moura Fonseca, 23, sebelum itu dilaporkan berparti di Universiti Julio de Mesquita dan penganjur parti membuat pertandingan minum arak terbanyak dalam masa 60 saat.
 
Menurut Dailymail.uk, Selain Fonseca, enam peserta lain turut tumbang sebelum kesemua mangsa dibawa ke hospital.
 
Jurucakap pihak hospital memberitahu, kesemua mangsa keracunan arak dan dalam keadaan kritikal.
 
Dua orang pelajar tahun keempat dari universiti berkenaan ditahan dan didakwa menganjurkan parti berkenaan tanpa lesen.

Hilang suara akibat leher tertusuk zink


Hilang suara akibat leher tertusuk zink
Mohd Said kini ditempatkan di ICU Hospital Taiping.
KUALA KURAU - Seorang tukang rumah bakal kehilangan suara selepas lehernya cedera akibat ditimpa zink yang terjatuh ketika dia merobohkan bangunan lama di sebuah sekolah di sini, minggu lalu.

Ketika kejadian 10 Mac lalu itu, leher Mohd Said Mastor, 51,  ditusuk sekeping zink, menyebabkan urat suaranya terputus.

Anak mangsa, Faiz, 30-an, berkata, insiden itu berlaku pada jam 11.30 pagi.

“Rakan sekerja ayah segera membawa ayah ke Klinik Kesihatan Tanjung Piandang sebelum dia dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Parit Buntar.

“Kecederaan serius menyebabkan ayah koma sebelum dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Taiping untuk rawatan susulan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Faiz berkata, ayahnya hanya menunjukkan reaksi positif setelah mengalami koma selama dua hari dan kini semakin pulih.

“Bagaimanapun kami sekeluarga sedih apabila doktor bertugas beritahu ayah mungkin hilang suara setelah urat suaranya terputus dan tidak dapat diselamatkan.

“Saya yang berada di Rawang, Selangor sewaktu kejadian berlaku bergegas pulang melihat keadaan ayah dan kami sekeluarga akan berusaha supaya ayah kembali bersuara semula,” katanya.

Nasib menimpa mangsa mendapat perhatian Adun Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari yang menziarahinya di Hospital Taiping kelmarin.

Tikam ibu, potong kemaluan sendiri


Tikam ibu, potong kemaluan sendiri
Mann ketika dibawa keluar dari mahkamah.
SEORANG remaja 21 tahun dijatuhi hukuman penjara 16 tahun selepas didapati bersalah menikam ibunya, Emma, sebanyak 11 kali sebelum bertindak memotong alat kemaluannya sendiri.

Menurut laporan Daily Mail, mengimbas kejadian pada Disember dua tahun lalu itu, Charles Mann berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol berlebihan apabila menyerang ibunya yang berada di rumah mereka di Haywards Heath, West Sussex di England.

Ketika polis tiba di rumahnya, Mann memberitahu pegawai yang dia telah membunuh ibunya dengan menikam wanita itu beberapa kali dan dia perlu dihukum atas apa yang telah dilakukan.
Semasa pendengaran kes di mahkamah baru-baru ini, Emma menceritakan bagaimana dia membuat panggilan kecemasan sekitar pukul 6.20 pagi (waktu tempatan), 29 Disember lalu, dan memberitahu dia diserang anaknya yang ketika itu berada di tingkat bawah sambil memegang pisau.

Difahamkan, Mann yang menerima rawatan kemudahan psikiatri sebelum dipindahkan ke penjara Lewes, berada dalam keadaan sangat khayal ketika serangan dan tidak bertindak balas kepada rasa sakit.

Selepas mengaku bersalah, Mann dipenjara 16 tahun, namun hukuman dikurangkan kepada lapan tahun.

Meskipun Mann mengalami mental kurang sihat ketika serangan kerana pengaruh dadah, dia kini semakin pulih tetapi masih lemah.

Jatuh 65 kaki tersangkut pada tali layang-layang


Jatuh 65 kaki tersangkut pada tali layang-layang
HO CHI MING - VIETNAM. Seorang kanak-kanak maut selepas terjatuh dari ketinggian 65 kaki selepas kakinya tersangkut pada sebuah tali layang-layang, Ahad lepas.
Menurut Dailymail.uk, Van Minh Dat, 5, sedang menolong ibunya di sebuah gerai di padang layang-layang Dong Dieu ketika kejadian berlaku.
Menurut saksi, tali dari sebuah layang-layang yang lebarnya 49 kaki membelit kaki Dat dan terus meluncur naik kerana angin bertiup kencang.
Tali layang-layang tersebut putus pada ketinggian 65 kaki, menyebabkan kanak-kanak tersebut jatuh.
Difahamkan, padang tersebut digunakan untuk latihan layang-layang untuk sebuah festival akan datang.

Suami jadi mangsa dera isteri


Suami jadi mangsa dera isteri
Gregory (kiri) dan Gilbertson
GARA-GARA bertengkar kerana masalah kewangan dan kerja rumah, seorang lelaki melecur teruk dan terpaksa hidup dengan parut kekal selepas bekas isterinya mencurahkan air mendidih di badannya.

Menurut laporan Mirror, akibat kejadian itu, Ken Gregory, 65, dari Peterborough, England, mengalami kelecuran darjah pertama dan kedua di 14 peratus daripada bahagian tubuhnya.

Ketika kejadian 23 Mac tahun lalu, Gregory dan bekas isterinya, Teresa Gilbertson, 60, dikatakan berselisih faham sebelum mencapai kata sepakat untuk bercerai selepas lima tahun berkahwin.

Apabila Gilbertson menawarkan untuk membuat secawan teh, Gregory menolak pelawaan itu dan isterinya meninggalkan bilik sebelum kembali membawa satu jag air yang baru masak.

Tanpa amaran, wanita tersebut mencurahkan air panas itu dari atas kepala dan di bahagian belakang badan Gregory yang ketika itu berdiri secara membelakangkannya.

“Dia datang tanpa amaran. Sakitnya tidak tertanggung. Selepas kejadian itu, saya sukar tidur kerana tidak boleh baring,” katanya.

Menurut pendakwa, corak kecederaan menunjukkan air itu dicurahkan dengan sengaja dan bukannya kemalangan.

Gilbertson kini sedang menanti hukuman dijatuhkan pada 24 Mac depan selepas didapati bersalah awal bulan ini.

Penumpang cuba masuk kokpit ketika penerbangan


Penumpang cuba masuk kokpit ketika penerbangan
Foto ABC News
WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Sebuah penerbangan dari Washington ke Denver terpaksa berpatah balik selepas seorang penumpang engkar arahan kakitangan penerbangan, hari ini.

Menurut ABC News, penumpang tersebut bertukar ganas selepas penerbangan United Airlines 1074 berlepas dan terpaksa ditahan.

"Beliau lari ke arah kokpit dan terus ditahan oleh penumpang lain" kata salah seorang juruterbang.

"Keadaan kokpit terkawal dan kami akan berpatah balik untuk menyerahkan lelaki tersebut kepada pihak berkuasa," tambahnya.

Seorang penumpang, Donna Tellam memberitahu, dua orang penumpang lain menahan lelaki tersebut sementara kakitangan mengambil sebuah pengikat untuk mengikat tangan lelaki berkenaan.

Pihak berkuasa menahan lelaki berkenaan setibanya di Washington dan menghantar lelaki tersebut untuk evaluasi.

24 maut, 3,300 hilang tempat tinggal


24 maut, 3,300 hilang tempat tinggal
Pihak berkuasa menganggarkan kira-kira 90 peratus struktur di ibu negara musnah akibat siklon tropika Pam.
PORT VILA - VANUATU. Sekurang-kurangnya 24 terkorban manakala kira-kira 3,300 lagi hilang tempat tinggal selepas siklon tropika Pam yang membawa angin kencang berkelajuan 320 kilometer sejam membadai Vanuatu di kepulauan Pasifik.

Angka tersebut dikeluarkan PBB, kelmarin selepas pihak berkuasa merancang untuk melancarkan pemantauan udara di kawasan terjejas teruk di Port Vila menggunakan pesawat Australia dan Perancis.

Sementara itu, Presiden Baldwin Lonsdale mengemukakan rayuan kepada masyarakat antarabangsa untuk menyalurkan bantuan kepada negara tersebut yang musnah teruk dalam kejadian terbabit.

Difahamkan, pekerja bantuan kini sedang berusaha untuk menghantar keperluan asas kepada penduduk yang terjejas. - AFP

Warga emas rentung dalam kebakaran di Tanah Merah



TANAH MERAH: Seorang warga emas rentung dalam kebakaran membabitkan tiga buah rumah selepas gagal menyelamatkan diri di Lorong Tok Janggut, Kampung Banggol di sini, hari ini.
Mangsa, Embong Othman, 88, dikatakan sedang mandi ketika kebakaran berlaku dan gagal diselamatkan anggota keluarganya dalam kejadian pada 12.30 tengah hari itu.
Menantu mangsa, Hasnah Deraman, 61, berkata ketika kejadian beliau sedang berada di luar rumah sebelum terlihat percikan api di sebatang tiang elektrik berhampiran rumahnya.
"Percikan api itu menyebabkan kebakaran berlaku dan saya kemudian bergegas masuk ke dalam rumah untuk menyelamatkan suami yang sakit lelah dan enam cucu.

MENANTU mangsa, Hasnah Deraman, menunjukkan tempat mangsa yang ditemui rentung di depan pintu bilik air dalam kejadian kebakaran membabitkan tiga rumah kediaman di Lorong Tok Janggut, Kampung Banggol, Tanah Merah. - Foto Mohamad Sahidi Yusoff
"Selepas itu, saya cuba masuk ke dalam rumah bagi menyelamatkan ibu mentua, namun gagal kerana api semakin marak," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Hanaffi Mohd berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.37 tengah hari.
"Kami tiba di tempat kejadian tiga minit kemudian bersama 10 anggota dan tiga jentera dan mendapati api sedang marak membakar tiga buah rumah.
"Kami berjaya mengawal sepenuhnya kebakaran pada 1.20 petang dan mendapati selain rumah, dua kereta dan empat motosikal turut musnah dalam kebakaran itu," katanya.
Beliau berkata, kebakaran itu turut menyebabkan kira-kira 15 mangsa tinggal sehelai sepinggang kerana kehilangan rumah dalam kejadian berkenaan dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih disiasat.
- BERNAMA

Mayat lelaki terjun kapal persiaran ditemui


GEORGETOWN: Mayat seorang lelaki yang dilaporkan terjun dari kapal persiaran Star Cruise MV Super Star Libra, dekat sini Jumaat lepas, ditemui, petang semalam.
Mayat warga Indonesia, Mulianto Raik, 50, ditemui pada kedudukan 19 batu nautika barat Muka Head, dekat sini oleh bot nelayan tempatan.
Ketua Penguatkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 2 Pulau Pinang, Kapten Kamaruszaman Abu Hassan berkata mayat mangsa dibawa ke jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Teluk Bahang, dekat sini sebelum diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.
"Operasi mencari dan menyelamat dilancarkan pada 13 Mac lepas selepas menerima laporan daripada kapten kapal berkenaan yang memaklumkan mangsa telah terjun dari dek kapal pada kedudukan lapan batu nautika utara Muka Head menerusi kamera litar tertutup kapal itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, pihak kapal berkenaan menjumpai kad pengenalan mangsa semasa rondaan keselamatan selepas kapal itu berlabuh di jeti Sweetenham Pier, di sini.
"Punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.
Kamaruszaman turut mengingatkan komuniti maritim agar memaklumkan sebarang aktiviti jenayah di laut dengan membuat aduan di talian kecemasan 999 (MERS 999).
- BERNAMA

Kastam Kelantan rampas 31 kenderaan mewah bernilai RM1.1 juta

SELASA, 17 MAC 2015 @ 8:56 PM

 
KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 31 kenderaan mewah pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM1.1 juta sejak Januari tahun ini.

Pengarahnya, Datuk Abdullah Zawawi Abd Latiff, berkata antara kenderaan mewah yang dirampas adalah Toyota Wish, Subaru Impreza dan Mitsubishi Grandis yang diseludup dari negara jiran.

"Kami ambil serius hal ini memandangkan sindiket berkenaan sering membawa masuk kereta mewah dari negara jiran dan tidak mempunyai kelulusan Kastam dan tidak sah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Abdullah berkata, orang ramai sering tertipu dengan sindiket berkenaan kerana harga yang ditawarkan oleh sindiket ini adalah lebih murah berbanding harga pasaran.


"Pembeli tertipu dengan harga yang dijual kononnya jauh lebih murah daripada harga pasaran namun sebenarnya semua kereta terbabit dibawa masuk secara haram.

"Kami harap orang ramai lebih berwaspada dengan pembelian kereta mewah yang ditawarkan dengan harga jauh lebih murah kerana kereta itu juga turut menggunakan nombor pendaftaran palsu," katanya.

- BERNAMA

Tiga pelancong Australia cedera kereta masuk gaung

SELASA, 17 MAC 2015 @ 11:44 PM

 
KOTA KINABALU: Tiga pelancong Australia cedera, seorang daripadanya parah, selepas kereta dinaiki mereka terhumban ke dalam gaung di Kampung Kebayau, Jalan Tuaran Lama-Kiulu hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP M Chandra, berkata pelancong yang cedera parah ialah seorang lelaki berumur 47 tahun manakala dua yang cedera ringan ialah wanita berumur 39 tahun dan remaja lelaki berumur 15 tahun.

"Turut cedera parah dalam kemalangan 3.50 petang itu ialah pemandu kereta berkenaan, seorang wanita tempatan berumur 44 tahun yang juga kenalan kepada pelancong berkenaan," katanya dalam kenyataan tanpa memberikan butiran identiti mereka.

Semua mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 2 untuk rawatan.


Chandra berkata, siasatan awal mendapati kereta dalam perjalanan dari arah Kiulu ke Kota Kinabalu itu gagal dikawal oleh pemandunya dan terhumban ke dalam gaung.

- BERNAMA

Empat suspek kes bunuh remaja 14 tahun ditahan

SELASA, 17 MAC 2015 @ 8:52 PM

 
KUALA LUMPUR: Polis menahan empat suspek lelaki dipercayai terbabit dalam kes bunuh seorang remaja lelaki berusia 14 tahun di Jalan Keramat, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Zainuddin Ahmad, berkata dalam kejadian 1.53 pagi itu, mangsa Muhammad Israf Firdaus Abdullah, dipercayai dipukul dengan objek keras di bahagian kepala sehingga menyebabkan kematian.

"Hasil soal siasat awal, semua suspek berusia lingkungan 20 hingga 22 tahun mengaku terlibat dalam kejadian tersebut...punca didakwa disebabkan mangsa cuba mencuri barangan dan aksesori kereta.

"Kami juga sedang mengesan seorang lagi suspek dikenali sebagai 'Hafiz Ayam' bagi membantu siasatan," katanya kepada pemberita.


Katanya, mangsa yang ditemukan di kawasan lorong berhampiran tebing sungai itu juga mempunyai kesan lebam dan melecet di bahagian pipi sebelah kiri.

"Semua suspek yang ditahan semalam direman sehingga 23 Mac ini," katanya.

- BERNAMA

Bahagian atas Istana Kesoma terbakar


ALOR SETAR: Istana Kesoma yang didiami Raja Muda Kedah di Jalan Tunku Bendahara, di sini terbakar di bahagian atas, awal pagi tadi.
Bagaimanapun, ketika kejadian jam 2 pagi itu, Tunku Abdul Malik Sultan Badlishah tidak berada di kediaman itu selepas berpindah kira-kira dua bulan lalu untuk kerja pengubahsuaian di istana berkenaan.
Difahamkan, kejadian itu dipercayai berlaku akibat litar pintas.
Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Nur Hafizah Muhammad Lukman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 2.10 pagi dan empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Jalan Raja dan Jitra serta sebuah jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dari Jitra tiba di lokasi pada jam 2.18 pagi.
Beliau berkata, dua pasukan dari Balai Bomba Sukarela Seberang Nyonya dan Kuala Kedah turut membantu memadam api yang merebak di tingkat atas istana berkenaan.
"Api berjaya dikawal pada jam 3.07 pagi oleh 27 anggota bomba yang diketuai Penguasa Kanan Bomba II Mohd Firdaus Daud dan 13 anggota bomba sukarela supaya tidak merebak di bahagian lain," katanya.
Nur Hafizah berkata, kebakaran itu membabitkan kemusnahan 40 peratus di bahagian bangunan yang sedang diubahsuai.

Gempa bumi 6.6 magnitud gegar Indonesia



IMEJ daripada USGS menunjukkan lakaran seismograf gempa bumi. - Foto AFP
JAKARTA: Gempa bumi berukuran 6.6 magnitud menggegar Laut Molucca, Indonesia hari ini tetapi tiada amaran tsunami dikeluarkan dan tiada laporan sebarang kerosakan, kata Agensi Penyelidikan Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Gempa itu berlaku pada kedalaman 41 kilometer, 134 kilometer barat laut Kota Ternate.
Pusat Amaran Tsunami Pasifik berkata, tiada ancaman tsunami susulan gempa berkenaan.
Pegawai Agensi Meteorologi, Cuaca dan Geofizik Indonesia, Hendra Rahman berkata, gempa itu dirasai secara sederhana di Manado, Pulau Sulawesi dan Pulau Ternate.
Bagaimanapun, katanya, tiada laporan mengenai sebarang kerosakan. - AFP

Operasi cari mangsa AirAsia QZ8501 ditamatkan


BAHAGIAN badan pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 di dasar Laut Jawa. - Foto Reuters
JAKARTA: Operasi mencari dan menyelamat bagi mengesan baki mangsa pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang terhempas tahun lalu, ditamatkan dengan 56 orang masih belum ditemui, kata pegawai.
Pesawat QZ8501 terhempas dalam cuaca buruk ketika penerbangan yang dianggap pendek iaitu dari Surabaya ke Singapura pada 28 Disember lalu mengorbankan kesemua 162 orang di dalamnya.
Nahas membabitkan pesawat Airbus A320-200 di Laut Jawa itu mendapat perhatian antarabangsa dengan pembabitan kapal laut dan pesawat dari beberapa negara bagi mengesan bangkai pesawat dan mangsa.
Misi mencari dihentikan secara berperingkat dalam beberapa minggu lalu, apabila kapal laut asing menamatkan tugasan dan juga tentera Indonesia yang menyediakan sejumlah besar anggota dan peralatan.

TENTERA Laut Indonesia ketika operasi mencari dan menyelamat mangsa pesawat AirAsia QZ8501 di atas kapal KRI Banda Aceh, pada 3 Januari lalu. - Foto ihsan Xinhua
Sehubungan itu, agensi mencari dan menyelamat awam Indonesia masih meneruskan pencarian tetapi secara kecil-kecilan dan hanya sekali-sekala menemui mayat dan bangkai pesawat.
Pengarah Operasi BASARNAS, SB Supriyadi berkata, misi mencari "berakhir sepenuhnya" semalam dan kapal yang terbabit akan pulang ke pangkalan.
"Kesemua empat kapal akan kembali ke Jakarta pagi ini (Rabu)," katanya.
Katanya, jumlah mayat mangsa yang sudah ditemui masih kekal 106 orang.

TENTERA Laut Indonesia ketika operasi mencari dan menyelamat mangsa pesawat AirAsia QZ8501 di atas kapal KRI Banda Aceh, pada 3 Januari lalu. - Foto Reuters
Pasukan mencari menemui tiga mayat pada Sabtu lalu di bawah sebahagian daripada bangkit pesawat.
Sementara itu, kerajaan Indonesia akan mengumumkan laporan akhir berkaitan nahas itu pada Ogos nanti. - AFP